Saturday, August 8, 2015

Dekat tapi Jauh...

Nama aku Maizatul Nadrah, orang panggil Maizatul. Ada juga yang panggil aku Nadrah tapi tidaklah ramai. Sekarang ini aku bukan nak bercerita tentang nama aku, itu tak penting sebenarnya. Aku nak bercerita tentang cinta. Aku pasti semua orang pasti ada kisah cinta tersendiri, sama macam aku. Bezanya, aku tak nak bercerita tentang kisah cinta aku ketika aku sudah dewasa, sebaliknya kisah cinta ini hadir ketika aku masih di alam persekolahan. Bukan sekolah menengah tahu? Kisah cinta ini hadir tatkala aku berada dalam sekolah rendah.

            Bila bercerita tentang kisah cinta ketika zaman persekolahan, ramai yang menggelarkan ia sebagai cinta monyet. Ya, aku tak nafikan semua itu tapi ada beberapa perkara dalam kisah aku yang membuatkan aku tak pernah lupa akan kisah ‘cinta monyet’ aku ini. Hingga saat ini, tatkala usiaku menginjak 26 tahun, kisah itu masih tersemat utuh di dalam benak fikiranku.

                        *                      *                      *                      
Aku memandang lelaki yang berdiri di hadapanku ini. Dia merupakan salah seorang rakan sekelasku yang boleh dikatakan agak rapat denganku. Kami sekelas sejak tahun ini, namun di manakah dia pada tahun lepas aku tak berapa pasti. Lagipun bukan dia sahaja orang asing dalam kelas aku ini, masih ada beberapa orang lagi. Jadi, perkara itu tidak aneh bagiku.

“Ustazah ini memang saja nak tarik ramai orang kan? Nasib baik kita memang dah masuk kelas mengaji itu, jadi boleh abaikan surat ustazah ini kan?” ujarnya lalu menggulung kertas yang dipegangnya sedari tadi.
Aku hanya memandang wajahnya. Kami boleh dikatakan kerap bertemu, kerana kami sekelas di sekolah agama, kelas kami bersebelahan di sekolah kebangsaan dan kami juga mengikuti kelas mengaji yang sama pada waktu malam. Ramai orang mengatakan bahawa dia menyimpan perasaan padaku, tapi aku sengaja memilih untuk tidak percaya. Bukan kerana aku tidak menyukainya, tetapi kerana perasaan yang sangat matang itu hadir tatkala usia kami berdua masih di alam kanak-kanak. Jujur aku katakan, aku juga menyimpan perasaan yang sama tetapi belum masanya untuk aku luahkan.

Oh ya, terlupa aku nak cerita. Namanya, Zulqarnain. Orangnya mempunyai raut wajah yang tidaklah sekacak mana, namun sejuk mataku memandang. Dia ini memang nakal, sampai para ustazah, ustaz dan cikgu di sekolah memang mengenalinya kerana kenakalannya di dalam kelas. Akan tetapi, dia akan menjadi kurang nakal jika aku berada berhampirannya.

Dia pernah membuat ustazah kami menjerit kerana dia ingin memelukku yang sedang memadam papan hitam di hadapan kelas. Mujur kawan-kawan perempuan kami menjerit memanggilku, kalau tidak alamatnya aku ini dah kena peluk lelaki ajnabi seawal usia lapan tahun!

Dia juga sangat menyukaiku sehinggakan semua kawan baiknya terpaksa menjadi penyiasat bergeraknya. Semua tindak-tandukku, semuanya dilaporkan kepadanya. Kadang-kadang aku sengaja menggunakan kawan-kawan baikku untuk memberitahunya khabar-khabarku bagi mengelakkan kawan-kawannya mengganggu keamananku. Kasihan aku pada kawan-kawannya, kerana mereka juga adalah kawan-kawanku. Sudah pasti aku memahami kesusahan mereka.

Namun, apabila terlalu lama aku memilih untuk tidak berterus-terang akan perasaanku padanya, dia mulai resah. Tambahan pula, ada lelaki lain yang juga menyimpan perasaan padaku di kalangan kawan-kawannya. Dia bimbang aku tidak membalas perasaannya dan memilih insan lain sebagai yang teristimewa dalam hidupku. Bagaimanalah seorang budak lelaki berusia sembilan tahun ketika itu boleh berfikir sehingga ke arah itu sedangkan aku masih lagi memikirkan berapa banyak anak patung yang mahu dibeli nanti?

            *                      *                      *                      
“Maizatul, Zul minta aku tanya kau sesuatu. Boleh tak?” tanya Diandra, kawan sekelasku sebaik sahaja dia duduk di sebelahku. Ketika itu, kami sedang berehat di kantin sekolah. Memang rutin kami untuk makan di kantin ketika rehat sebelum pergi bermain di dataran sekolah.

“Apa dia?” tanyaku pula. Namun, aku masih leka menikmati kuih karipap yang dibeli daripada makcik kantin tadi.

“Dia nak tahu kau suka dia tak? Dia dah setahun lebih sukakan kau, tapi kau buat tak tahu saja. Kadang-kadang nampak macam suka, kadang-kadang nampak macam tak. Aku nak tolong jawabkan pun aku tak reti. Jadi, aku tanya kau sendiri,” ulas Diandra, lebih daripada sekadar bertanya.

Aku kaget. Bagaimana aku hendak menjawab soalan yang aku tak ada jawapannya? Aku sukakan dia sepertimana dia menyukaiku, tapi aku merasakan masa ini kurang sesuai untuk berfikir soal cinta, kahwin dan seangkatan dengannya. Hilang terus selera aku nak menelan karipap makcik ini.

“Mai, jawablah soalan aku itu! Kau tak kasihan dengan aku ke? Aku letih nak dengar soalan Zul hari-hari. Dulu, aku tengok dia boleh saja tanya sendiri pada kau tapi sekarang, nak bercakap dengan kau pun dah malu. Bila dah malu, habis semua orang kena jadi mata-mata dia. Penatlah begini!” Diandra mula berasa bengang apabila melihat aku hanya mendiamkan diri.

Aku sedar hakikat itu. Kawan-kawan kami semuanya dah mula letih dengan kisah cinta bertepuk sebelah tangan seorang Zulqarnain. Hanya kerana aku tidak pernah berterus-terang tentang hakikat yang bertapak di dalam hatiku semenjak aku mengetahui isi hatinya. Dia menghukum kawan-kawan kami hanya kerana dia berasa dirinya terancam dengan sikapku itu. Memang aku tahu semua itu salah, namun berterus-terang juga kurasakan salah buat ibu bapaku yang mengharapkan kejayaan anaknya ini. Sungguh aku bingung.
“Macam inilah, Dian. Kau beritahu dia, kita ini muda lagi. Belum sampai masanya untuk kita fikir soal cinta. Kalau betul kami ada jodoh, dah terpisah lama pun jumpa juga. Bukankah ustazah pernah cerita tentang ini? Sekarang, kita semua fokus pada belajar dulu. Okay?” jawabku, sedikit tegas. Jawapan ini kurasakan jawapan selamat yang boleh aku berikan padanya tanpa aku mengetahui bahawa ada perkara yang lebih besar yang bakal berlaku.
            *                      *                      *                      
Setahun berlalu lagi, kami menjadi renggang sejak aku memberikan ‘jawapan selamat’ itu kepadanya. Namun, aku tahu dia masih lagi mengintip pergerakanku dalam diam. Sengaja aku biarkan kerana aku telah terbiasa dua tahun diperlakukan begitu. Lagipun, dia tidak mengganggu aku secara terang-terangan lagi sekarang. Itu sudah cukup selesa buat aku.

Dia tidak lagi menghadiri kelas mengaji yang kami berdua hadiri sebelum ini. Membuatkan aku mula berasa sunyi sedikit demi sedikit tanpanya. Bagi aku, aku hanya dapat berbual dengannya ketika kelas mengaji sahaja kerana tiada kawan-kawan yang menyakat kami berdua. Ketika itu sahaja, aku menjadi diri aku yang sebenar di hadapannya. Mengapa dia tidak perasan semua itu?

Andai dulu, dia yang rajin mengorek tentang diriku. Kini, giliran aku pula mengorek tentang dirinya. Aku mulai rajin bertanyakan perihal dirinya daripada kakak kepada kawan baiknya, Aina. Ini adalah kerana kak Aina juga mengetahui tentang kami daripada adiknya, Khairul. Maka, aku menggunakan kebetulan itu untuk mengorek tentang dirinya memandangkan mereka juga kebetulan merupakan jiran. Banyak yang telah aku ketahui tentangnya, seperti kedudukan rumahnya, keluarganya dan juga pelajarannya. Namun, aku meminta kak Aina agar tidak memberitahu sesiapa tentang tindakanku ini.

Setelah sekian lama aku tidak mendengar khabar beritanya, akhirnya hari tersebut telah berlaku seusatu yang telah mengubah segalanya buat kami berdua. Peristiwa itu bermula apabila kak Aina yang ketika itu bersamaku dipanggil oleh salah seorang rakan sekelas Zulqarnain. Aku mula terpinga-pinga apabila aku mendengar nama Khairul dan Zulqarnain disebut. Namun begitu, aku tambah hairan apabila kak Aina melarang aku mengikutinya apabila aku katakan aku ingin melihat apa yang berlaku.

Tanpa mempedulikan nasihat kak Aina, aku mengekori kak Aina dalam diam. Aku melilih untuk bersembunyi di sebalik dinding berhampiran dengan tempat mereka berada. Aku dapat melihat kak Aina sedang cuba meleraikan pergaduhan antara Zulqarnain dan Khairul, namun aku hanya dapat mendengar kak Aina acap kali bertanyakan mengapa mereka berdua bertengkar. Selebihnya, aku kurang jelas.

“Sedar diri kau itu sikit, Zul! Dia itu budak pandai, kau ingat dia nak ke pandang muka kau lagi? Jangan mimpilah! Kau itu dia pandang ibarat semut saja tau?” jerit Khairul. Jeritan itu dapat aku dengari dengan jelas sedangkan jarak aku dengan mereka agak jauh sebenarnya. Aku terkesima mendengar luahan hati seorang kawan baik buat insan yang sekian lama menyimpan perasaan padaku. Ya Allah, apa yang aku dah buat ini? Sungguh aku tak pernah memandang rendah padanya, kerana aku sangat menyukainya. Aku tahu semuanya salah aku, kerana aku memilih untuk berdiam diri. Namun, aku punyai sebab aku sendiri. Aku harap dia memahami aku.

Aku membuat keputusan untuk pergi dari situ. Aku sudah tidak sanggup lagi untuk mendengar pertengkaran hebat antara dua orang kawan baik hanya kerana aku. Cukuplah setakat itu. Perkara itu sahaja sudah mengganggu benak fikiran aku yang hanya berusia sepuluh tahun ketika itu, yang sepatutnya hanya perlu kisah akan mainan atau pelajaran sahaja. Bukan tentang perhubungan manusia yang kompleks ini.
            *                      *                      *                      
Beberapa hari kemudian, aku sekali lagi dikejutkan dengan kehadiran mengejutnya di kelas mengaji. Malam itu, dia tidak seperti selalu, dia memilih untuk duduk di sudut dinding surau sehingga dia dipanggil oleh ustaz yang mengajar pada hari itu. Namun begitu, aku menyedari akan tindakannya memandangku apabila aku tidak memandangnya. Pada mulanya, aku memandangnya kembali apabila menyedari itu, namun dengan pantas dia menukar arah pandangannya. Namun selepas itu, aku biarkan sahaja dia memandangku sepuasnya. Aku dapat melihat dari ekor mata, dia merenungku lama. Hairan juga melihatnya begitu, namun aku memilih untuk tidak peduli tanpa mengetahui bahawa itulah kali terakhir aku bertemu dengannya.

Tak lama selepas itu, aku dikhabarkan oleh kak Aina bahawa dia telah berpindah sekolah kebangsaan dan berhenti sekolah agama. Kelas mengaji juga tidak lagi dihadirinya sejak hari itu. Kata kak Aina, dia patah hati dengan tindakanku yang tidak pernah berterus-terang dan semenjak pertengkarannya dengan Khairul itu, dia sudah tidak dapat menahan malu pada semua orang yang mengetahui tentang perasaannya yang tidak berbalas itu. Dia memilih untuk berpindah sekolah agar hatinya tidak bertambah luka apabila melihat diriku.

Aku terbungkam. Tiga tahun kehadirannya dalam hidupku yang selama ini kusangkakan rimas itu telah bertukar menjadi hari-hari sunyi selepas itu. Terasa berbeza tanpa dirinya yang seringkali menggangguku. Namun, aku ubah perhatianku kepada pelajaran dengan harapan aku akan melupakan semua ini suatu hari nanti.
            *                      *                      *                      
Enam belas tahun berlalu, kisah cinta ini masih jelas dalam ingatanku. Meskipun bagi orang lain, ini adalah cinta monyet namun bagiku inilah kisah cinta pertama yang sangat member pengajaran padaku. Sejak dia pergi dari hidupku, semua kisah cintaku selepas itu serba tak kena. Tak ada lelaki yang dapat bertahan lama dalam hidupku. Entah kenapa jadi begitu, aku juga tak tahu.

Walaupun rumah kami berdekatan, namun Tuhan tidak pernah menemukan kami sejak itu. Aku tak pasti sama ada dia masih mengingatiku atau tidak, tetapi aku tak pernah melupakannya. Biar rasa rinduku padanya aku simpan menjadi gulungan memori yang tak mampu aku persembahkan buat sesiapapun kerana aku tahu dia terlalu baik untuk insan seperti aku. Kali terakhir aku mendengar tentangnya adalah pada lima tahun lepas, ketika itu dia masih melanjutkan pelajarannya dalam bidang kejuruteraan di luar negara sedang aku yang dikatakan ‘budak pandai’ ketika itu hanya mampu melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan di dalam negara sahaja. Begitulah roda hidup berputar, sekejap kita di atas, sekejap lagi kita di bawah.

Mungkin ini adalah kifarah atas sikapku terhadap seorang Zulqarnain suatu ketika dahulu. Aku telah menyebabkan dirinya dipandang remeh oleh kawan-kawannya hanya kerana mereka semua menyangkakan cintanya itu tidak pernah berbalas, sedangkan aku ketika itu turut sama memendam rasa sepertinya. Perasaan bersalah yang aku rasakan kepadanya semenjak dia menghilangkan diri aku simpan sehingga saat ini. Jujur aku katakan, aku sangat mengharapkan kehadirannya sekali lagi dalam hidupku kerana aku ingin memohon sejuta kemaafan daripadanya di atas semua peristiwa yang berlaku sepanjang tiga tahun dia menyukaiku. Andai dia dapat memaafkanku, itu sudah cukup bagiku. Aku tak layak meminta apa-apa lagi daripadanya.


Sampai disini sahaja kisah cintaku yang dapat aku nukilkan. Kisah cintaku ini bukanlah kisah cinta yang biasa anda baca di dalam novel, dan cerpen. Bukan juga kisah cinta seperti yang terpapar di layar perak dan layar kaca. Akan tetapi, kisah cintaku ini hanyalah kisah cinta yang aku sampaikan ikhlas daripada sekeping hati yang masih mengharapkannya. Aku berharap kami tidak lagi berada berdekatan tapi pada hakikatnya jauh.

No comments:

Post a Comment