Monday, March 21, 2016

Kasih Tak Terbanding Part 4...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Hari ini dengan limpah karunia-Nya, dapat aku menukilkan diri dalam blog ini. Tak nak cakap panjang, boleh baca sambungan cerpen bersiri Kasih Tak Terbanding ini. Untuk link sebelumnya, sila klik link-link dibawah:

“I dah bercerai dengan dia minggu lepas. Dia ada orang lain, Mi,” luah Syahira, diiringi dengan perasaan sebak.

Lelaki itu, Syahmi, tergamam mendengar jawapan Syahira itu. Dia menyangkakan selama ini kawan baiknya sejak di bangku sekolah itu amat menyayangi isterinya. Malahan dia sendiri pernah mencuba untuk menambat hati Syahira, namun ditolak Syahira dengan cara baik kerana perasaannya terhadap Azhar. Tegar sungguh Azhar melukai hati wanita yang bertakhta di hatinya sedang dia yang memberikan peluang itu kepada Azhar.

“Maafkan I, Ira. I tak tahu,” jawab Syahmi, perlahan.

“Tak apalah, nak buat macam mana kan? Dah tak ada jodoh, begitulah. Hidup kena teruskan juga.”

“Betul juga. Jadi, awak macam mana sekarang?” tanya Syahmi lagi.

“Macam itulah. Memang sakitlah, dulu saya pandai cakap saja, bila dah kena batang hidung sendiri baru rasa sakitnya tapi apa-apapun, kita kena teruskan hidup juga. Betul tak?”

Jawapan Syahira membuatkan Syahmi mati akal untuk terus bertanya. Tak sampai hati pula rasanya untuk berlebih-lebih.

     *     *     *     *     *

“Aamir betul-betul buat mama geram! Kenapa Aamir balik rumah Ida semalam?” tanya Mak Aina, setelah hangat hatinya melihat muka tak bersalah anak sulung lelakinya itu.

“Sebab itu rumah Aamir juga, tak ada masalah rasanya nak balik rumah sendiri kan?” jawab Aamir, selamba.

“Semalam giliran Ana kan? Kenapa pula balik rumah Ida?”

“Aamir malas nak cakap banyak, kalau mama nak Aamir teruskan perkahwinan Aamir dengan Ana, mama jangan nak desak-desak Aamir. Sebagai seorang suami, Aamir berhak berlaku adil dengan cara Aamir sendiri. Mana-mana isteri yang buat salah pada Aamir, Aamir berhak untuk menghukum selagi Aamir tak naik tangan pada Ana mahupun Ida. Kenapa Aamir balik rumah Ida, kalau mama nak tahu sangat, apa kata sehari mama ambil masa untuk datang ke rumah Ana secara mengejut ketika giliran Aamir pulang ke rumah Ida? Mungkin mama akan dapat jawapan yang mama cari,” terang Aamir, sinis.

Nadira yang duduk di sebelah Aamir tak mahu masuk campur dalam urusan anak-beranak itu kerana dia tahu jawapan yang Aamir berikan itu menunjukkan dia sudah hilang sabar. Jangan diduga api yang sedang marak, barangkali boleh terbakar diri.

“Ida pun satu, bila Aamir balik rumah kamu, kamu paksalah dia balik rumah Ana,” Mak Aina cuba menuding jari ke arah Nadira pula.

“Aamir takkan dengar cakap saya dan kalau Aamir balik ke rumah saya, saya menerimanya dengan hati yang terbuka kerana Allah memberikan saya peluang untuk terus berkhidmat untuk suami saya, mama,” tutur Nadira lembut. Bimbang akan mengguris hati ibu mentuanya itu.

“Berkhidmat bagai nak rak tapi seorang anak pun tak boleh nak bagi, nak buat apa?”

“Mama, cuba bayangkan kalau mama berada di tempat Ida dan ibu mentua mama cakap begini pada mama, apa perasaan mama ya?” duga Aamir, hangat hati dengan pernyataan ibunya terhadap isterinya.

“Mama dah berikan empat orang anak pada abah kamu, apa mama nak kisah?”

“Aina, kalau rasa tak boleh nak bercakap elok-elok, lebih baik tak payah bercakap. Tutur kata ini menunjukkan niat dalam hati kita. Kata-kata kamu tadi dah boleh dikira riak,” tegur Pak Zaini yang datang entah dari mana.

Terkedu mereka bertiga mendengar kata-kata Pak Zaini itu. Namun, ada sikit perasaan lega terpancar pada wajah Nadira dan Aamir.

     *     *     *     *     *

“Maaflah, lama ke kau tunggu?” tanya Rohana kepada lelaki yang duduk berhadapan dengannya. Terkocoh-kocoh dia meletakkan semua barang-barangnya di kiri dan kanan tempat dia duduk.

Lelaki itu hanya memerhati tindak-tanduk Rohana sambil tersenyum. Geli hati dia melihat Rohana sebegitu.

“Tak apa, aku dah biasa. Cuma, sejak kau kahwin ini, lagi teruk rupanya. Apa kes?” tanya Hazli, lelaki yang bersama Rohana itu.

“Ada suami tapi serupa macam tak ada. Dia balik rumah aku sehari, tapi balik rumah bini tua dia dua hari. Adil ke begitu?”

“Macamlah kau kisah sangat dengan laki kau itu kan?”

“Gila tak kisah! Siapa nak kemas rumah aku?”

“Itu suami kau tau, bukan orang gaji. Kau jangan melampau sangat. Aku tak kisah kalau kau cuma nak duit dia, tapi jangan buat dia serupa orang gaji,” tegur Hazli dengan nada yang sedikit keras. Berang hatinya melihat perangai kawan baiknya itu.

 Namun, tanpa mereka sedari, ada yang mendengar perbualan mereka berdua.

     *     *     *     *      *

Syahira sedang menjawab mesej yang dihantar oleh Syahmi apabila Nadira tiba bersama dulang berisi air sirap dan sedikit kek coklat. Melihat Nadira, dengan pantas dia menyimpan telefon bimbitnya itu ke dalam beg tangannya.

“Amboi, lajunya simpan handphone itu. Ada apa-apa yang patut aku tahu ke?” seloroh Nadira sambil tersenyum manis.

“Tak ada apa-apa. Kalau ada, kaulah orang pertama yang aku akan beritahu tahu?”

“Okay. Kau tak kerja ke hari ini?”

“Tak, aku malas semalas-malasnya. Boleh tak begitu?” tanya Syahira sambil mengangkat-angkat keningnya.

“Boleh saja. Oh ya, aku nak beritahu ini. Aku dengan Aamir dah buat IVR minggu lepas, harap-harap melekatlah.

“In shaa Allah, kalau dah tertulis rezeki kau, pasti akan ada. Aku doakan yang terbaik untuk kau.”

“Thanks sayang. Oh ya, kau dengan Azhar tak ada contact?”

“Nope. Dia senyap begitu sahaja. Yalah, sudah ada yang baru kan?”

“Benda macam ini, sekejap saja. Nanti dia akan rasa kehilangan kau. Trust me.”

“Whatever, Ida. Aku tak nak tahu.”

Nadira hanya mampu menggelengkan kepalanya mendengar respon Syahira itu. Keras betul hati seorang wanita yang terluka.

     *     *     *      *     *

 Rohana sedang menonton televisyen apabila loceng rumahnya berbunyi. Sangkaannya Hazli datang untuk menghantar makan tengaharinya membuatkan dengan pantas dia berjalan menuju ke pintu dan membukanya.

Sangkaannya benar apabila kelibat Hazli berada di hadapannya, namun dia mulai kaget apabila di sebelah Hazli berdirinya seorang wanita yang amat dikenalinya.


“Apa semua ini, Ana?” tanya Mak Aina lalu berjalan masuk ke dalam rumah. Sudahlah dia menerima kejutan akan kelibat seorang lelaki membawa dua bungkus makanan, namun lebih mengejutkan apabila dia melihat keadaan rumah anaknya yang tak serupa rumah itu!

*bersambung*

Foot print: Andai ada waktu, andai kasih dipertemu, cinta pasti menunggu, untuk dia dan aku~

No comments:

Post a Comment