Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...
Hari ini dengan limpah karunia-Nya, dapat aku menukilkan diri dalam blog ini. Tak nak cakap panjang, boleh baca sambungan cerpen bersiri Kasih Tak Terbanding ini. Untuk link sebelumnya, sila klik link-link dibawah:
“Apa maksud makcik ini?” tanya Hazli, pura-pura terkejut
dengan kenyataan Mak Aina tadi.
Gadis yang bersama Hazli sudahpun merenungnya seperti mahu
ditelan lelaki itu. Itu menjadikannya semakin serba salah.
“Kamu tahu apa yang makcik maksudkan. Satu saja pesan
makcik, pergilah buat pemeriksaan doktor. Adik ini, kalau pernah bersama lelaki
ini, makcik sarankan buat pemeriksaan doktor juga ya. Bukan apa, takut kena
penyakit berjangkit pula,” pesan Mak Aina, sinis sebelum berlalu pergi.
Gadis itu, memilih untuk mengejar Mak Aina. Dia
memberhentikan langkah Mak Aina.
“Apa maksud makcik tadi?” tanya Julia, gadis tersebut.
“Kamu pernah bersama dengan Hazli ke nak?” duga Mak Aina.
“Makcik cakap dulu, Hazli sakit apa? Makcik tahu dari mana?”
“HIV. Terpulang kamu nak percaya makcik ataupun tidak, tapi
sumber makcik paling boleh dipercayai. Sebab anak makcik dah terkena jangkitan
HIV selepas berhubungan dengannya. Kalau kamu dah terlanjur, makcik harap
sangat kamu pergi jumpa doktor periksa diri kamu.”
Terkedu Julia mendengar kenyataan Mak Aina yang berlalu
pergi begitu sahaja. Serabut fikirannya tika cuba menghadam kata-kata wanita
itu.
*
* * *
*
Runsing Nadira memikirkan perangai suaminya itu. Sejak dia
pulang dari hospital, dia seperti manusia halimunan. Tak bercakap, tak makan,
seolah-olah hidup dalam dunianya sendiri. Gayanya seperti dia yang dijangkiti
HIV, sedangkan dia kata dia bebas dari virus tersebut.
Rumah madunya juga langsung tidak dijenguk. Serba salah
rasanya bila wanita itu menelefonnya kerana inginkan perhatian si suami. Dia
kenal sangat suaminya, dia tahu suaminya itu tidak membenci isterinya yang seorang
itu, namun mengapa dia sebegitu, tak siapa yang tahu.
Sedang dia mengelamun sendirian, tiba-tiba dia terlihat
kelibat suaminya melintasinya.
“Abang keluar sekejap,” ujar Aamir sebelum sempat Nadira
bertanya.
“Abang nak pergi mana?” tanya Nadira.
“Jumpa Azhar sekejap. Tak tahulah kenapa dia nak jumpa
abang. Oh ya Ida, tak payah masak untuk abang tahu. Abang tak makan di rumah.”
“Oh, baiklah abang,” jawab Nadira, sedikit hampa.
“Eh, kejap. Tak payah masak langsunglah, nanti abang belikan
makan malam Ida. Nanti kebulur pula anak abang di dalam itu.”
Wajah Nadira yang masam mencuka tiba-tiba kembali ceria
mendengar jawapan si suami itu. Benarlah kata orang, kalau kena gayanya, boleh
terbang rasanya.
“Abang pergi dulu,” ujar Aamir lalu menghulur tangannya sebagai isyarat ingin bersalam dengan isterinya itu.
Dengan pantas, Nadira menyambut tangan Aamir lalu mencium
tangan itu. Sebaik sahaja selesai, Aamir berjalan menuju ke pintu rumah lalu
keluar melaluinya. Nadira hanya memandang pemergian Aamir dengan perasaan yang
bercampur aduk.
* *
* * *
“Ada apa kau tiba-tiba datang jumpa aku ini?” tanya Aamir
sebaik sahaja Azhar duduk di hadapannya.
“Takkan jumpa kawan pun tak boleh, bro?”
“Masalahnya, kau hanya datang cari aku bila kau nak minta tolong.
Let me guess, Ira kan?”
“Tolonglah aku, dia kan kawan baik kau.”
“Aku kawan baik dia, tapi dia bukan kawan baik aku. Aku ada
hati nak dijaga,” jawab Aamir, terus terang.
“Tapi aku tengok, kau macam serabut saja.”
“Fikiran aku serabut, bro. Tambah dengan kau punya lagi,
makin serabutlah aku.”
“Kau ada masalah dengan Ida ke?”
“Aku ingat aku nak lepaskan dia. Aku tak sampai hati nak
lukakan hati dia lagi.”
“Kau mesti ada orang lain kan?”
“Tak. Aku bukan macam kau.”
“Habis tu? Kita lelaki, buat perkara mesti bersebab.”
“Ya, betul tapi itu bukan sebabnya. Aku tetap sayangkan dia
sama macam dulu.”
“Habis tu sebab apa?”
“Sebab aku tahu, aku takkan dapat bahagiakan dia. Hanya
Tuhan saja tahu betapa sengsaranya aku nak lepaskan dia, tapi aku nekad bro.
Aku tak nak dia menangis lagi sebab aku, aku bukan lelaki dayus. Aku cuma nak
dia bahagia.”
Terkesima Azhar mendengar jawapan yang lahir daripada
seorang Aamir. Baru dia tersedar akan mulianya insan di hadapannya.
* *
* * *
“Ada apa kau nak jumpa aku, bro?” tanya Syahmi setelah duduk
di sebelah Azhar yang sedang memandang ke arah sekumpulan kanak-kanak yang
sedang bermain di hadapan mereka.
“Aku nak berbual dengan kau, sebab aku tahu kau seorang saja
yang boleh tolong aku.”
“Apa yang buat kau pasti aku nak bantu kau?, lebih-lebih
lagi setelah segala tuduhan kau pada aku?”
“Aku minta maaf, bro. Aku serabut waktu itu, jadi aku banyak
keluarkan kata-kata sebelum berfikir.”
“Tak semua kesalahan kita boleh minta maaf, bro. Kau tuduh
aku rampas janda kau kot! Padahal sewaktu mula-mula aku jumpa dia semula, aku
tanya kau sihat ke tak, rumahtangga kau orang bagaimana. Aku tak pernah tahupun
kau orang sudah bercerai sampailah Ira sendiri yang cerita.”
“Jadi, bila kau dapat tahu dia dah bercerai, kau masuk jarum
pula? Kawan jenis apa kau?”
“Tengok, baru saja aku terangkan, kau dah melenting! Sebelum
kau tanya aku kawan jenis apa, kau tanya diri sendiri dulu kau suami jenis apa?
Kenapa kau pasang perempuan dulu kalau kau sayangkan dia?”
“Aku nak zuriat, jadi aku kena cari calon untuk kahwin
lain.”
“Kau pun nak jadi macam mak kawan Ira itu ke?”
“Siapa?”
“Aamir, kalau tak silap aku. Mak dia desak dia kahwin lain
hanya kerana isteri dia tak mengandung lagi. Kau tahu apa yang jadi lepas itu?”
“Apa dia?”
“Isteri muda dia sakit kronik, gara-gara curang pada dia
dulu. Kau nak jadi begitu ke? Kadang-kadang aku terfikir balik, inilah
hikmahnya Allah pisahkan kau dengan Ira. Mungkin Dia tak nak Ira menderita
kerana tindakan kau.”
Azhar terbungkam, dua kali dia mendengar kesengsaraan yang
dialami Aamir, namun sayangnya Aamir pada Nadira tetap utuh. Memang tak ada
siapapun yang dapat menandingi kehebatan kasih sayang Aamir itu.
* *
* * *
“Kau sihat, Ida? Kenapa aku tak tahu kau dah berbadan dua
ya?” tanya Syahira sebaik sahaja Nadira hadir bersama air dan kudapan.
“Aku sihat tapi nampaknya macam kau yang kurang sihat. Apa
kes datang rumah aku malam-malam buta ini?” tanya Nadira, hairan.
“Ini, Aamir minta aku hantarkan makanan kau. Dia kata, dia
tak balik malam ini. Jangan tunggu dia,” jawab Syahira sambil menolak bekas
polistren di hadapannya kepada Nadira.
“Kau tak beli untuk kau sekali ke?” tanya Nadira lagi.
“Aku sudah makan dengan Syahmi tadi. Kami terserempak dengan
Aamir waktu makan tadi. Maaflah kalau makanan dah sejuk sebab aku singgah ambil
pakaian di rumah tadi.”
“Jangan kata Aamir suruh kau tidur sini malam ini?”
Syahira hanya tersenyum selepas mendengar soalan Nadira itu.
Fahamlah Nadira akan jawapan kepada soalan itu.
“Kau dengan Syahmi apa cerita?” tanya Nadira, cuba mengubah
topik.
“Eh, kau! Suka tukar topik. Soalan aku yang mula-mula tadi
kau belum jawab lagi.”
“Bukan ke aku sudah bilang aku buat persenyawaan luar?”
“Kiranya persenyawaan itu berjayalah ya? Wah, bagusnya! Tak
lama lagi aku dapat anak buah,” ujar Syahira lalu bersorak riang.
“Dia punya sorak macam anak dia,” komen Nadira sambil
mencebik.
“Untung kau lagi, kahwin dapat anak. Bukan macam aku,” jawab
Syahira.
“Sekurang-kurangnya kau masih boleh beranak sepuluh. Aku ini
mungkin lepas seorang ini sajalah.”
“Kenapa pula?”
“Sebab peranakan aku ada masalah. Nak mengandung kali ini
pun besar risikonya.”
“Oh ya, Aamir suruh aku bagi surat ini pada kau,” ujar
Syahira lalu menyerahkan sekeping sampul surat kepada Nadira.
Nadira membuka sampul surat itu dan didalamnya terdapat
sekeping surat yang ditulis tangan oleh Aamir sendiri, yang mana isinya:
Buat bidadari abang,
Maafkan abang andai isi warkah ini bakal menganggu perasaanmu, namun
abang yakin keputusan ini adalah yang terbaik buat kita masa ini. Setiap
perkara yang abang lakukan sedari dulu punya sebab tersendiri.
Sejak kita bernikah, sayang sentiasa menghiburkan hati abang dengan
keegoan sayang dulu. Sayanglah permata hati abang walaupun sayang pernah dingin
dengan abang, tapi Allah itu Maha Adil. Dia tahu apa yang terbaik untuk kita.
Ahirnya, sayang tewas dalam pelukan abang dan cinta abang pada sayang terbalas
jua.
Tambah menggembirakan abang apabila sayang disahkan mengandung. Ketika
itu rasanya bagai dunia ini abang yang punya. Allah dah makbulkan doa abang.
Hanya Allah saja tahu bagaimana perasaan abang ketika itu.
Namun, Allah lebih sayangkan anak kita. Kita mengalami kemalangan
semasa sayang dalam trimester kedua dan kita kehilangan anak kita. Tambah
memilukan apabila doktor mengatakan bahawa peluang untuk sayang mengandung
secara semulajadi amat tipis. Meskipun sedih, abang bersyukur sayang masih ada
untuk abang.
Akan tetapi, abang betul-betul tak sangka mama abang boleh paksa abang
kahwin lagi satu. Abang nak sayang tahu abang betul-betul tak redha dengan
perkahwinan kedua abang, mungkin sebab itulah Ana mendapat penyakit sebegitu.
Hati abang rasa bersalah sangat pada dia.
Meskipun berat, abang nak sayang tahu abang terpaksa ambil langkah ini
demi keselamatan sayang. Ini adalah kerana abang rasa abang perlu menjaga Ana
kerana apapun jadi, Ana itu tetap suami abang. Namun, disebabkan penyakit Ana,
abang bimbang untuk terus bersama sayang kerana tak mahu ada sebarang
kemungkinan pun untuk sayang dan anak kita mendapat jangkitan tersebut. Dengan
ini, Sayyidah Nadira binti Ahmad Termizi, abang ceraikan Ida dengan talak satu.
Yang Benar,
Aamir Arsyad bin Zaini.
Berguguran air mata Nadira apabila mendapati dirinya telah
diceraikan dengan talak satu. Syahira yang memerhatikan Nadira sedari tadi
mengambil surat itu daripada teman baiknya itu lalu membacanya. Berderau
darahnya membaca ayat terakhir itu.
“Sampainya hati dia, Ida!”
Nadira tidak menjawab, sebaliknya hanya
menangis.*bersambung*
Foot print: Apa yang ada di tanganku kadangkala bukan milikku.
No comments:
Post a Comment