Saturday, February 16, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 2

Part sebelumnya:

Part 1

***
"Awak buat apa di sini?" tanya Syafiq dengan nada sedikit keras.

"Apa ini Syafiq? Mama yang jemput Deena ke mari, nak kenalkan dengan Syafiq tapi nampaknya kau orang berdua dah berkenalan dulu. Duduklah, kita berbual," jawab Puan Rasyida, ibu kepada Syafiq.

Syafiq hanya menurut perintah ibunya dan memilih untuk duduk bersebelahan dengan ibunya. Dia dapat melihat wajah Deena yang tersenyum melihat dirinya.

Noor Deena Shafiyah, seorang wanita yang sama sekali tidak dia jemput untuk masuk ke dalam kehidupannya sekali lagi. Melihat wajahnya sudah cukup untuk memanggil kembali memori pedih lima tahun lepas.

Syafiq sendiri yang menjadi saksi pernikahan Deena dengan kawan baiknya sendiri lima tahun lepas, meskipun sebelum itu mereka berdua masih bergelar kekasih. Deena memberikan alasan bahawa ibu bapanya menerima pinangan Zayyan, kawan baiknya itu kerana menyangkakan Zayyan itu teman lelakinya.

Akan tetapi, selepas setahun barulah dia mengetahui bahawa Zayyan merupakan teman lelakinya sejak di bangku sekolah lagi. Dirinya hanya dijadikan teman hilangkan kesunyian kerana kesibukan Zayyan sebagai seorang doktor membuatkan Deena mula merapatkan diri dengannya.

"Syafiq apa khabar?" tanya Deena, memulakan bicara.

"Sihat Alhamdulillah, Zayyan apa khabar?" tanya Syafiq pula. Sengaja dia tidak menyatakan siapakah Zayyan itu kerana bimbang ibunya akan berkecil hati dengan soalan tajamnya itu.

Namun begitu, riak wajah Deena berubah mendengar soalan maut seorang lelaki bernama Syafiq itu. Dia sama sekali tidak menyangka nama itu akan meniti di bibir lelaki itu.

"Deena tak pasti kerana kami sudah dua tahun bercerai. Selepas kami bercerai, Zayyan bawak anak-anak semua berpindah ke Australia. Deena memang sebatang kara sahaja di sini," jawab Deena, sedikit sebak.

Timbul pula perasaan bersalah kerana ikutkan hati yang marah sehingga mengguris hati seorang ibu yang rindukan anak-anaknya. Namun begitu, sejak mereka berdua bernikah, hubungannya dengan Zayyan juga turut terjejas.

"Maafkan Syafiq," jawab Syafiq.

"Tak apalah, benda dah nak jadi. Lagipun, Deena yang salah kerana terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga abaikan keluarga. Deena langsung tidak menyedari Zayyan ada hubungan sulit dengan pengasuh anak-anak kami sampaikan sanggup madukan Deena. Seandainya perempuan itu tidak hamil, pasti sampai ke sudah Deena tidak tahu."

Syafiq hanya mampu berbalas pandangan bersama Puan Rasyida. Terkelu dua beranak itu mendengar kisah duka Deena itu.

"Bagaimana mama boleh kenal Deena?" tanya Syafiq, ingin menukar topik perbualan.

"Dia bekerja sebagai pembantu butik kawan mama. Kawan mama sudah anggap Deena seperti anaknya, jadi dia ingin carikan calon buat Deena. Katanya, jikalau anak-anak lelakinya ada yang bujang, sudah lama dia jadikan Deena ini menantunya," jawab Puan Rasyida.

"Tinggi sangat pujian puan pada saya, sedangkan saya pernah mempermainkan perasaan anak puan dulu," ujar Deena dengan riak wajah bersalahnya.

"Benda dah lepas, biarkan berlalu. Sekarang ini kita usaha untuk masa depan kita pula. Boleh tak Deena, Syafiq?" tanya Puan Rasyida.

Syafiq tidak menjawab soalan ibunya, sebaliknya hanya bangun meninggalkan kedua wanita itu lalu menuju ke arah bilik tidurnya. Serabut kepalanya dengan permintaan ibunya itu.

Puan Rasyida dan Deena pula hanya memandang kepergian Syafiq dengan pelbagai perasaan.

"Nampaknya Syafiq belum bersedia nak terima Deena dalam hidupnya buat kali kedua, puan. Mungkin kita kena lupakan rancangan kita ini," ujar Deena.

"Takkan Deena nak berputus asa sekarang? Saya sudah tak larat nak carikan menantu untuk Syafiq lagi, nak tunggu dia cari memang kempunan saya nak timang cucu. Jangan risau Deena, saya akan usahakan. Oh ya, janganlah panggil saya puan. Panggil saya makcik saja."

"Baiklah, makcik. Saya akan cuba lagi untuk menambat hati Syafiq," jawab Deena sambil tersenyum nipis.

     *     *     *     *     *

"Amboi Amy, bukan main kelat lagi muka kau! Kena torture dengan orang tua kurang kasih sayang itukah?" seloroh Dora yang baru saja keluar dari biliknya apabila terlihat Amelia yang sedang duduk termenung di atas sofa ruang tamu rumah mereka.

"Torture apanya, aku sedap membuta dalam bilik dia adalah! Sudahlah bilik dia sejuk, sedap aku tidur. Aku ingatkan dia nak marah, tapi dia bantai ajak aku makan tengahari pula," jawab Amelia dengan riak wajah serius tanda dia tidak bergurau.

"Kau tidur? Kau tak ada buat apa-apapun?" tanya Dora, inginkan kepastian.

Amelia hanya menggelengkan kepala.

"Sah, dia suka kau! Dia cuma nak tengok muka kau depan mata dia saja, bukannya nak sangat kau tolong dia," ujar Dora, yakin.

"Tak ada maknanya dia suka aku, kami ini tak seteru langsung! Kau ini jangan main serkap jarang saja, kalau salah jadi fitnah tahu?"

"Aku agak saja, tak percaya sudahlah! Oh ya, tadi mantan kau cari kau. Tak tahulah mamat itu nak apa dengan kau," ujar Dora.

"Dia nak couple balik, itu saja. Aku bukan tak nak terima dia balik, tapi aku tak nak dia kecewakan aku semula. Aku tak sanggup nak hadap zaman gelap itu lagi."

"Itu yang aku katakan pada dia, tapi dia kata dia sanggup tunggu sampai kau sedia. Dia kata lebih baik nikah."

"Hah, yang itu lagi satu hal! Aku memang tak boleh nak bicara soal nikah kahwin ini, aku tak mahu bakal suami aku hilang nyawa sebab aku."

"Maksud kau?"

"Benda ini aku baru saja tahu dan aku tak tahu sejauh mana kebenarannya. Cuma, disebabkan ramai yang sudah jadi mangsa, aku tak nak ambil risiko."

"Apa dia ini? Kau jangan buat aku suspen."

"Memang suspen benda ini, aku tak tipu. Ceritanya begini, nenek moyang aku ada ilmu tak berapa baik, dan perjanjiannya dengan makhluk Allah itu dah habis. Disebabkan kami semua tak ada yang tahu apa perjanjiannya, maka bermula siri sumpahan dalam keluarga aku. Setiap lima tahun, kalau ada orang baru dalam keluarga, orang itu akan diambil nyawanya. Ada yang keguguran, ada yang meninggal sebab sakit, ada juga yang meninggal sebab kemalangan. Macam-macam sebab tapi jangka masanya akan sama."

"Orang baru? Maksudnya?"

"Menantu baru atau anak baru. Kira ahli keluarga yang baru masuklah. Cuma, untuk menantu, syaratnya adalah mesti ada hubungan kelamin baru dikira ahli baru."

Ternganga Dora mendengar kisah mistik Amelia. Sangkaannya zaman serba teknologi ini, perkara sebegini tidak lagi wujud. Ternyata semuanya salah.

"Habis itu, kenapa tak buang? Kenapa masih simpan?"

"Sudah buang, tapi makhluk Allah itu datang semula. Kata seorang ustaz ini, ilmu ini boleh dipatahkan seluruhnya dengan satu cara sahaja. Sekiranya dalam tempoh lima tahun itu, orang baru itu lahir pada 15 hari bulan Safar, maka ilmu itu akan terhapus secara sendirinya sama ada ketika berlakunya hubungan kelamin atau saat kelahiran orang baru itu dan makhluk Allah itu akan bebas. Itu perjanjian antara makhluk Allah itu dengan nenek moyang aku."

"Mujurlah perjanjian itu ada kepincangan. Kalau tak ada, tak ke aniaya anak cucu? Macam manalah nenek moyang kita boleh terfikir nak membela segala ini? Tak tahukah mereka ini semua syirik?" bebel Dora setelah mendengar kisah Amelia itu.

"Entahlah, Dora. Aku memang tak berani nak ambil risiko nak berkahwin selagi ilmu itu tak terhapus. Tak nak jadi punca hilang nyawa orang. Nyawa orang ini bukan mainan," jawab Amelia.

"Sampai bila? Macam mana kalau benda ini tak selesai juga?"

"Tak kahwinlah aku sampai tua," jawab Amelia lalu bangun menuju ke dapur untuk mengambil air. Dia tak mahu memanjang topik ini kerana bulu romanya sudah berdiri tegak sepanjang topik itu dibuka.

     *     *     *     *     *

Zaidah menyedari kehadiran seorang lelaki yang duduk berhadapan dengannya membuatkan dia berhenti menelaah. Dia memandang ke arah lelaki lalu tersenyum kerana itulah lelaki yang ditunggu.

"Kenapa lambat? Kau dah janji bukan nak ajar aku statistik?" tanya Zaidah sambil mencebik muka.

"Yalah, aku dah datang bukan? Kau itu, bila nak bagi habuan aku?" tanya Azam, lelaki itu pula.

"Nanti aku bagilah, aku nak kena deal dengan Amy dulu. Bagi aku masa sikit ya?" pujuk Zaidah.

"Baik, tapi kalau kau tak dapat bagi aku Zai, kau tahulah nasib kau!" ugut Azam.

"Yalah, nanti aku dah dapat, aku beritahu kau."

Azam hanya tersenyum puas mendengar jawapan yang diberikan oleh Zaidah. Baru lega hatinya.

     *     *     *     *     *

"Baiklah, semua. Kita sudahpun habis silibus kita, maka mulai daripada minggu hadapan, kita boleh fokus pada peperiksaan akhir kamu semua. Oh ya, tentang tugasan berkumpulan kamu, saya nak kamu semua hantar di dalam kotak sakti saya sebelum jam 12 tengahari esok. Tugasan yang lewat walaupun seminit, akan saya tolak 5 markah," terang Syafiq setelah selesai sesi pengajaran dan pembelajaran.

Amelia yang sedang melayari aplikasi Instagram di telefon bimbitnya tidak menyedari bahawasanya pensyarahnya sudahpun berdiri di hadapannya sambil memerhatikannya.

"Nur Diyana Amelia, ada apa-apa yang menarik tak dalam Instagram itu?" tanya Syafiq dengan nada manja membuatkan Amelia terkedu dan memandang ke arah punca suara itu.

"Saya bukannya tak bagi awak main telefon dalam kelas, tapi apa syarat saya? Jangan bagi saya nampak bukan? Kenapalah awak suka sangat nak langgar cakap saya?" jerit Syafiq yang berang dengan sikap Amelia itu.

Kali ini Amelia memilih untuk tidak menjawab dengan harapan api kemarahan lelaki itu akan reda sendiri. Tak mahu dia menghadap perintah berkurung dalam bilik lelaki itu lagi.

"Bagi telefon awak sekarang," arah Syafiq sambil menghulurkan tangannya.

Amelia hanya mampu menyerahkan telefon bimbitnya kepada pensyarah itu. Selepas itu, hanya keluhannya saja yang kedengaran.

"Awak datang tuntut telefon awak semula selepas jam 4 petang. Saya habis kerja jam 5 petang, jadi pandai-pandailah awak cari masa," ujar Syafiq lalu menuju ke arah mejanya dan menyimpan telefon bimbit gadis Amelia di dalam beg laptopnya sebelum berjalan keluar dari kelas.

Tindakan Syafiq membuat Amelia tergamam. Belum pernah lagi pensyarahnya itu bertindak seperti itu. Geram pula hatinya apabila harta peribadinya diambil begitu saja.

"Apa kau mencebik itu, Amy? Salah kau juga, main telefon terang-terang depan batang hidung orang tua itu! Padanlah muka kau, selamat menghadaplah ya?" ujar Dora sambil tersenyum sinis.

"Macam inilah kawan kan?" geram pula Amelia disindir begitu.

Terlepas tawa Dora dan Zaidah mendengar jawapan Amelia itu. Geli hati mereka berdua kerana ayat Amelia sepertinya ingin menegakkan benang yang basah.

"Apa-apalah, cik Amelia oi. Oh ya, ada senior kita berminat dengan kau. Nak berkenalan tak?" tanya Zaidah pula.

"Kalau nak berkenalan sebagai kawan, boleh tapi kalau nak berkenalan sebagai lebih daripada kawan, aku tak berminatlah," jawab Amelia, serius.

"Kalau aku nak bagi nombor telefon kau kat dia, boleh?" tanya Zaidah lagi.

"Tak, kalau apa-apa urusan, melalui kau sajalah. Aku tak selesalah."

"Okay, aku tak paksa. Nanti kalau kau dah bersedia nak jumpa dia, beritahulah aku ya?" ujar Zaidah sambil tersenyum.

Amelia hanya mengangguk lemah. Pening kepalanya dengan semua ini.

     *     *     *     *     *

"Assalamualaikum, sir. Saya datang nak tuntut telefon bimbit saya," ujar Amelia sebaik sahaja masuk ke dalam bilik Syafiq.

Syafiq yang sedang menyemak tugasan pelajar memandang ke arah Amelia hanya mengangguk sebelum menuding ke arah kerusi yang terletak berhadapan dengannya sebagai isyarat menyuruh Amelia duduk.

Amelia hanya menurut arahan Syafiq tanpa bersuara kerana malas hendak bertegang urat dengan pensyarahnya itu.

"Sir tak jawab lagi salam saya," ujar Amelia bagi memecah kesunyian bilik itu.

"Waalaikumussalam," jawab Syafiq, bersahaja sebelum menyambung kerjanya sedari tadi.

Pada mulanya, Amelia hanya membiarkan Syafiq melakukan kerjanya tetapi selepas lima minit, Amelia mulai hilang sabar. Panas hatinya dibiarkan begitu.

"Sir memang sengaja buat saya begini bukan?" tanya Amelia, geram.

"Memang," jawab Syafiq, ringkas.

"Sudahlah sir tahan saya dalam bilik ini, saya bosanlah. Sudahlah telefon saya sir belum pulangkan lagi."

"Kalau saya pulangkan, awak mesti balik terus bukan? Jadi, saya takkan pulangkan selagi hati saya belum puas tengok muka bosan awak itu," jawab Syafiq, selamba.

"Apa salah saya pada sir sampai sir selalu cari pasal dengan saya?"

"Awak curi hati saya," jawab Syafiq, masih lagi selamba.

"Apa dia?" tanya Amelia dengan mata yang terbeliak.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment