Tuesday, October 24, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 39...

Bahagian sebelumnya:
Bahagian 39: Lepaskan Pergi


"Aku bukan apa, aku cuma tak mahu hidup tuan musnah. Virus ini boleh merosakkan seluruh kehidupannya. Dia anak orang berada, malah berdarah kerabat pula. Sudah pasti dia akan dipandang serong andai dia dijangkiti penyakit ini," luah Qatrunnada menyebabkan Bob terbungkam.

"Aku tahu kau sayangkan bos dan aku yakin bos sebenarnya sayangkan kau. Dia cuma keliru dengan perasaannya terhadap Ayra sahaja," ujar Bob sambil tersenyum.

Qatrunnada berasa hairan melihat perilaku Bob itu. Dalam keadaan inipun, lelaki itu boleh tersenyum?

"Aku tahu kau keliru. Jom kita ke gerai depan sana, aku belanja kau air. Kalau kau takut, kau boleh minta air mineral. Aku akan jelaskan kesemua pemerhatian aku," ajak Bob sebelum berjalan keluar dari klinik itu lalu mengiringi Qatrunnada menuju ke arah gerai yang terletak bertentangan dengan klinik tersebut.

Mereka berdua duduk di meja paling belakang sebelum pekerja gerai tersebut datang untuk mengambil pesanan. Bob memesan air teh ais manakala Qatrunnada memesan air mineral botol sahaja. Mujurlah gerai itu menjual air botol.

"Okay, sambung cerita kau cepat. Kenapa kau berani katakan yang tuan sayangkan aku?" tanya Qatrunnada, hairan.

"Kau adalah satu-satunya wanita yang diberikan kebenaran untuk memasuki biliknya. Kau tahu tak, Ayra pun tak pernah masuk ke dalam biliknya?" ujar Bob, yakin.

"Takkanlah, Ayra itu bukankah teman wanita tuan?" tanya Qatrunnada, tidak percaya.

"Memanglah, tapi bagaimanapun Ayra itu tetap isteri Hafizal. Penat-penat dia buat mereka berdua bercerai, semasa kau buat mereka rujuk semula, dia tak marahkan kau pun. Betul tak?"

"Mungkin dia bukan jenis yang marah perempuan agaknya," jawab Qatrunnada, cuba menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Bob itu.

"Aku ini sudah jadi pengawal peribadi bos selama lima tahun, Qat. Semuanya tentang bos aku tahu. Ayra sendiripun dia boleh marah selamba katak saja, kau tahu?"

"Takkan itu saja cukup untuk meyakinkan aku bahawa tuan sayangkan aku? Aku ini hamba tebusan dia aahaja," jawab Qatrunnada.

"Qat, kau sudah langsaikan hutang kau Khamis lepas sebenarnya tapi bos masih tak lepaskan kau. Cuma, dia tak suruh kau tiduri mana-mana lelaki lagi dah. Kau perasan tak?" tanya Bob.

"Ya ke? Patutlah aku pelik kenapa dia tak suruh aku bekerja sejak hari Khamis lepas. Maksudnya, aku boleh bebas?" tanya Qatrunnada, teruja.

"Kau nak bebas?" tanya Bob, ingin tahu.

"Siapa yang tak nak kebebasan? Cuma, apalah gunanya kebebasan andai hayat aku tak lama mana," jawab Qatrunnada, sebak.

"Qat, selagi ada esok untuk kau, selagi itulah kau masih ada harapan. Beginilah, nanti kau tanya bos sendiri mengenai kebebasan kau itu. Aku tak nak campur hal kau orang," jawab Bob lalu menghirup air teh ais yang dipesannya tadi.

Qatrunnada hanya memandang Bob dengan pandangan yang kosong. Entah mengapa perasaannya berbelah bagi.

     *     *     *     *     *

Ketika Qatrunnada memasuki bilik kurungan Hafizal, dia melihat Hafizal baru sahaja selesai solat.

"You solat sekarang? tak tahu pula selama ini you tahu solat," sindir Qatrunnada setelah duduk di atas kerusi berhampiran katil Hafizal.

"Lebih baik solat sekarang, daripada tak solat langsung," jawab Hafizal, sinis.

"You tak payahlah nak berbicara serupa orang alim, sedangkan you pun tawanan seseorang! You tak tahu sampai bila hayat you kan?" ujar Qatrunnada.

"You tahu tak, I cemburu dengan orang yang ada HIV, AIDS, Kanser dan juga banduan akhir, sebab Allah berikan mereka peluang untuk bertaubat dengan memberikan mereka anggaran jangka hayat mereka. Mereka dah tahu bila mereka akan mati, sayanglah kalau mereka tak bertaubat. Betul tak?" ujar Hafizal pula.

Kata-kata Hafizal membuatkan Qatrunnada tersentap. Sungguh, selama ini dia menyalahkan takdir di atas penyakit yang dihadapinya, namun dia sendiri tidak menyedari akan peluang yang Allah berikan kepadanya.

"I memang tawanan Wafi, I akuinya. Itu membuatkan I sendiri tak tahu bila ajal I akan tiba. Mungkinkah hari ini, mungkinkah esok? Entahlah," sambung Hafizal lagi.

Qatrunnada masih lagi mendiamkan diri, sungguh dia berasa malu dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Hafizal itu.

"Kenapa sudah dekat dua bulan you tak datang sini? Lama I tak nampak you," ujar Hafizal, tiba-tiba.

"Bagaimana you tahu I sudah dekat dua bulan tak datang jumpa you? Rindu ya?" seloroh Qatrunnada bagi menyembunyikan keresahannya.

"Sejak you letakkan dadah dalam makanan II kira hari yang berganti selepas itu. Bukan rindu, cuma tertanya-tanya. Selalunya you datang cari gaduh dengan I," jawab Hafizal, bersahaja.

"Ya ke? Hari ini berapa hari bulan, kalau betul you kira," tanya Qatrunnada, ingin menguji tahap pengiraan Hafizal.

"Hari ini satu hari bulan dua belas. Betul tak?" jawab Hafizal sambil tersenyum.

"Wah, hebatnya! Betullah itu. Sedar tak sedar, sudah lebih dua bulan you hidup terkurung dalam ini ya? Eh, sekejap! Macam mana you tahu I yang letakkan dadah dalam makanan you?" ujar Qatrunnada sambil membalas senyuman Hafizal.

"Budak-budak ini beritahu semasa mereka hantar makanan. I tanya mana you, mereka kata you tak nak hantar makanan pada I lagi sejak kantoi hari itu. Begitulah cara I dapat tahu," jawab Hafizal.

"I dah dapat balasan I di atas semua dosa-dosa II rasa jijik sangat dengan diri I sendiri. I minta maaf sebab perangkap you dulu sehingga you hidup begini sekarang," jelas Qatrunnada.

"Semua orang ada sebab mereka sendiri mengapa mereka melakukan kesilapan. Semua manusia tak terlepas daripada berbuat silap, yang penting kita haruslah bertaubat sebelum Allah tarik nyawa kita," jawab Hafizal.

"I ini pelacur, Hafizal, bukan model seperti dulu. Bagaimana I nak solat sedangkan I sendiri bergelumang dengan maksiat?" tanya Qatrunnada.

"I tak bagus mana, tapi setahu I, dosa kita hanya Allah sahaja yang boleh menilai. Bukannya you sengaja pilih untuk jadi pelacur bukan? You terpaksa, untuk membayar hutang you pada Wafi. Kalau you nak bertaubat, you buat saja. Pilihan itu di tangan you," jawab Hafizal sambil tersenyum.

"Boleh I berkongsi sesuatu dengan you tak?" tanya Qatrunnada, resah.

"Boleh, kalau I boleh tolong, I tolong. Apa dia?" tanya Hafizal pula.

"I telah dijangkiti virus HIV, I dianggarkan boleh hidup lebih kurang setahun lagi. Atas sebab itulah I tak nak hantar makanan pada you lagi, bukannya sebab kes dadah itu," jelas Qatrunnada, sebelum menangis. Dia tak dapat menyembunyikan kesedihannya walaupun dia tahu Hafizal sedang memandangnya.

     *     *     *     *     *

Qatrunnada sedang duduk di ruang tamu markas apabila Bob datang lalu duduk di sebelahnya. Wanita itu masih lagi leka dengan tablet milik Wafi yang dipinjam untuk bermain permainan video.

"Aku sudah berbincang dengan bos mengenai kau. Aku terpaksa beritahu bos yang kau sakit, tetapi aku tak beritahu dia apa penyakit yang kau hidapi. Jadi, bos kata, memandangkan kau telah melunaskan hutang kau dengan bos, bos lepaskan kau pergi," terang Bob sambil tersenyum.

Penerangan Bob membuat Qatrunnada berhenti bermain lalu meletakkan tablet yang dipegangnya sedari tadi di atas meja kopi dan memandang ke arah Bob.

"Ini beg tangan kau, dalam beg itu ada dompet kau, duit RM500, kunci rumah kau dan telefon bimbit kau. Telefon bimbit kau sudah tak boleh dihidupkan, jadi aku belikan telefon bimbit baru dengan model yang sama. Selain itu, ada sampul surat berisi RM10 ribu hasil pemberian bos untuk kos perubatan kau. Aku nak kau gunakan sebaiknya. Kalau kau perlukan apa-apa bantuan, nombor telefon aku ada dalam telefon bimbit kau," jelas Bob, panjang lebar.

"Terima kasih, Bob. Eh, sekejap! Kunci rumah? Bukankah rumah aku telah diambil oleh tuan?"  tanya Qatrunnada, tak percaya.

"Taklah, rumah kau dia tak ambil. Katanya, itu hadiahnya buat kau kerana setia kepadanya. Dia tak tahu nak beri apa kepada kau, jadi aku cadangkan supaya dia pulangkan semula rumah kau kepada kau semula memandangkan dia belum lagi menjual rumah kau," terang Bob sambil tersenyum.

"Baiklah, kalau begitu. Jadi, bila aku boleh keluar?" tanya Qatrunnada, ingin tahu.

"Bos suruh kau keluar secepat mungkin, aku pun tak pasti kenapa. Katanya, dia mula rasa tak sedap hati. Cuma, aku tak dapat hantar kau pulang. Aku cuma dapat hantar kau di stesen bas sahaja. Tak apa ke?" tanya Bob.

"Tak apalah, aku pun nak balik kampung. Kau hantar sajalah aku di situ. Terima kasih sebab jaga aku selama dua bulan ini," ujar Qatrunnada.

"Aku jaga kau sebab aku kasihan dengan kau sebenarnya. Silap kau cuma satu saja, kau nak hidup senang tapi gara-gara itu, kau terpaksa jadi korban. Mujurlah kau tak perlu bayar hutang kau penuh kerana duit daripada Harry sudah dapat lunaskan lebih daripada setengah hutang asal kau. Lagipun, bos sebenarnya rasa bersalah sebab kau orang pertama yang serah diri kepada dia," terang Bob, serba salah.

"Tak kisahlah apapun sebabnya, aku sudah cukup bersyukur kerana ada kau dan tuan dalam hidup aku. Oh ya, nanti kau kirim salam pada Hafizal ya?" ujar Qatrunnada.

"Baiklah, Qat. Dah, jom aku hantar kau. Petang ini aku ada kerja sikit, tak boleh lambat," jawab Bob sebelum berlalu pergi dari situ. Qatrunnada pula hanya mengikuti langkahnya.

     *      *      *      *      *

Qatrunnada baru sahaja menaiki bas untuk pulang ke Muar, Johor dan membuka beg tangannya untuk menyimpan tiket basnya apabila dia menjumpai sehelai sampul surat yang lebih nipis daripada sampul surat berisi wang yang dilihat tadi. Tanpa berlengah, dia mengambil sampul surat tersebut lalu membacanya.

Buat Qatrunnada,

Aku tak pandai nak menulis surat, jauh sekali nak bermadah pujangga. Akan tetapi, aku perlu meluahkan segala perasaan aku sebelum terlambat. Aku minta maaf andai di saat kau membaca surat ini, kau telahpun selamat keluar dari markas kerana bagiku, keselamatan kau adalah keutamaanku.


Sejujurnya, aku berasa sangat terharu apabila kau menyerahkan diri kepada aku hanya untuk melunaskan hutang kau. Aku tak sangka seorang bekas model seperti kau sanggup melakukan kerja-kerja begitu hanya kerana mahu terus hidup. Aku tahu kau kecewa dengan sikap Harry yang melarikan dirinya setelah gagal melunaskan hutangnya pada aku, tetapi tak semua perempuan sanggup menggalas beban seperti yang kau lakukan.


Pada mulanya, aku sangkakan kau berbuat begitu hanya kerana kau terlalu sayangkan Harry, tetapi ternyata aku silap. Aku tak menyangka kau tidak memberikan apa-apa reaksi ketika aku ingin menjual Harry bagi melunaskan sebahagian daripada hutang tersebut. Kau benar-benar mengejutkan aku.


Semakin lama aku kenali kau, semakin jauh aku rasakan perasaan aku pada Ayra. Aku mulai sedar, hanya kau yang aku perlukan. Namun, perhubungan kita sudah pergi terlalu jauh dan aku sudah tidak boleh berhenti. Atas sebab itulah, aku jadikan kau teman tidurku.


Ketahuilah Qat, aku baru sahaja sedar bahawa aku sayangkan kau seadanya kau. Apabila aku dapat tahu yang kau sedang sakit, aku memilih untuk lepaskan kau agar kau dapat merawat penyakit yang kau hidapi. Untuk itu, aku siapkan sedikit duit untuk menampung kos perubatan kau dan sekiranya kau memerlukan lebih daripada itu, aku mahu kau hubungi aku. Aku telah minta Bob untuk simpankan nombor telefon aku di dalam telefon bimbit kau.


Pergilah sejauh yang boleh, dan jangan kembali lagi ke sini. Aku harap kau boleh teruskan hidup kau dengan baik dan aku sentiasa mendoakan kau akan bahagia hingga ke hujung hayat kau. Aku memang sayangkan kau, tetapi aku bukanlah lelaki terbaik buat kau. Carilah yang lebih sempurna.


Jaga diri. Andai ada jodoh, kita akan berjumpa lagi.



Yang benar,
Wafi

Sebaik sahaja Qatrunnada selesai membaca surat yang diberikan oleh Wafi itu, air matanya mulai mengalir tanpa henti.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment