Friday, September 29, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 17...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 17: Lelongan

"Awak tak perlu tahu siapa saya, cukup sekadar awak tahu bahawasanya sayalah orang yang awak berhutang itu. Mana RM2.93 juta saya yang awak belanjakan itu? Nak rasa kena lelong macam mana bekas serumah awak, Ayra kena dulukah?" tanya Wafi, sinis.

"Mr. W?" tanya Qatrunnada pula.

"Well, well, well, nampaknya awak dah tahu siapa saya. Kalau begitu, awak tolong sampaikan pesanan saya pada buah hati awak yang tipu duit saya itu. Awak tahu bukan, kalau awak kena lelong, tak mungkin nasib awak sebaik Ayra?" tanya Wafi lagi.

"Mr. W kenal Ayra ke untuk berbicara seperti ini?" tanya Qatrunnada, hairan dengan pernyataan yang dikeluarkan oleh Wafi.

"Saya rasa kalau saya beritahu rahsia ini, secara automatik awak akan tahu siapa saya yang sebenar. Jadi, saya rasa nanti dululah. Tak ada keseronokan kalau beritahu awak awal-awal. Kalau awak tak berjaya bayar saya, mungkin saya akan beritahu," ujar Wafi.

"Apa maksud Mr. W?" tanya Qatrunnada lagi.

"Saya berani jamin, Harry sekarang sudah lari dari rumah yang awak dengan dia beli hari itu. Rumah yang awak beli menggunakan duit saya itu hanya bernilai RM900 ribu, maka awak masih perlu melunaskan baki RM2.03 juta saya. Awak berdua masih ada dua hari, saya akan tunggu. Cukup masa, saya sendiri akan uruskan hal awak," ujar Wafi, lebih sinis daripada tadi.

"Tak mungkin! Harry beritahu saya tadi dia nak keluar cari duit. Mr. W jangan cuba nak berbohong dengan saya!"

"Terpulang, saya lebih kenal Harry berbanding awak. Ke mana dia pergi, apa yang dia buat, semuanya saya tahu. Awak jangan risau, kalau awak ditangkap nanti, dia pun akan ditangkap juga. Waktu itu, tahulah saya nak buat apa dengan kau orang berdua. So, chaw!" ujar Wafi lalu beredar meninggalkan bangunan pejabat milik pakciknya itu.

"Orang begitu memang patut diajar!" getus hati kecil Wafi sambil tersenyum sinis.

     *     *     *     *     *

Dua hari kemudian, Wafi sedang duduk di markas baru geng 888 yang dibelinya beberapa hari lepas apabila beberapa orang lelaki membawa seorang lelaki dan seorang perempuan yang tidak sedarkan diri ke dalam bangunan tersebut. Keduanya telah diikat tangan mereka dan ditutup mata dan mulut mereka.

Mereka berdua telah didudukkan di atas kerusi berhampiran tempat Wafi sedang duduk dan diikat mereka pada kerusi tersebut. Selepas itu, mata dan mulut mereka yang ditekup itu dibuka.

Wafi hanya menanti sehingga keduanya sedar. Lebih kurang lima minit kemudian, lelaki itu mula sedarkan diri. Wafi dapat melihat lelaki tu memandang sekeliling, namun apabila matanya bertemu dengan mata Wafi, lelaki itu mula meronta-ronta.

"Bos, bos nak buat dengan saya ini?" tanya lelaki itu, Harry.

"Aku bagi kau tiga hari Harry, mana duit aku?" tanya Wafi dengan suara yang sangat kuat sehingga mengejutkan wanita yang bersama Harry itu.

"Saya simpan di rumah, saya akan bagi bos," jawab Harry, terketar-ketar.

Wafi mengalihkan pandangannya kepada wanita di sebelah Harry pula. Wanita itu sudah menggigil ketakutan dan tidak berani bersuara.

"Kau ingat aku bodoh Harry? Kau rasa, kalau aku boleh cari kau sampai ke Pulau Perhentian, aku tak tahu apa yang kau buat dengan duit aku itu? Kau ingat aku ini apa?" jerkah Wafi sambil menarik rambut Harry.

"Aduh, sakit bos! Saya minta maaf, saya tak mampu nak bayar. Bos lepaskan Qat, saya akan buat apa saja untuk bos," rayu Harry yang sedang mengerang kesakitan itu.

"Apa? Lepaskan Kathy? Tak mungkin! Sebab kalau aku jual kau pun, siapa nak beli? Baik aku jual Kathy," ujar Wafi sambil tersenyum sinis.

"Jangan, bos. Dia tak bersalah dalam hal ini," jawab Harry.

"Tak bersalah? Kau memang ingat aku ini bodoh kot, Harry! Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri, kau orang berdua pergi membeli-belah dengan Pavilion, Lot 10, KLCC dan Avenue K. Macam-macam barang kau orang borong, nak aku sebut satu persatu ke?" tempelak Wafi, berang.

Wafi dapat melihat wajah Harry yang bertambah pucat setelah mendengar kenyataan itu. Sakit hatinya masih belum terubat jika mereka berdua tidak diajar cukup-cukup.

"Tapi sebenarnya, aku bukan marah sebab kau orang bawa lari duit aku. Ada sesuatu yang lain yang kau orang buat yang membuatkan aku sangat marah," ujar Wafi, setelah melihat keduanya masih mendiamkan diri.

"Apa dia, bos?" tanya Harry, lemah.

"Aku marah sebab kau orang jual teman wanita aku!" teriak Wafi dengan mata yang sengaja dibuntangkan.

"Teman wanita? Ayra? Kalau betul Ayra ini teman wanita encik, jadi encik ini..." Qatrunnada tak mampu untuk menghabiskan ayatnya.

"Ya, aku adalah lelaki yang kau fikirkan itu. Bob, aku nak kau kurung mangkuk dua orang ini! Oh ya, macam mana dengan hasil lelongan cik Qatrunnada kita ini?" tanya Wafi, sinis.

"Ketika saya tutup bidaan tadi, nilai bidaan tertinggi adalah RM2.93 juta," jawab Bob yang masih tekun dengan komputer ribanya.

"Wow, tinggi juga itu! Sama pula itu dengan nilai hutang kau orang, tapi taklah setinggi harga yang Megat Hafizal bayar untuk beli Ayra Melissa, bukan?" sindir Wafi.

Wafi melihat Harry dan Qatrunnada tidak menjawab pertanyaannya membuatkan dia semakin berang.

"Bob, kau kurung mereka berdua! Aku nak kau uruskan hal jual beli Qatrunnada," arah Wafi.

"Nak uruskan macam mana bos? Bukankah yang beli Qatrunnada ini bos?" tanya Bob yang berdiri di hadapan Wafi sementara orang suruhan Wafi yang lain membebaskan Harry dan Qatrunnada daripada belenggu di kerusi mereka.

"Apa dia, bos? Bos beli Qat?" tanya Harry yang terkejut dengan soalan Bob tadi.

"Kenapa aku tak boleh beli dia? Aku ada duit, aku ada kuasa! Geng ini milik aku kot!"

"Bos nak buat apa dengan dia?" tanya Harry, ingin tahu.

Soalan Harry membuatkan Wafi berjalan menuju ke arah Harry yang dipegang oleh dua orang lelaki. Dia bertindak menepuk pipi Harry dengan kuat.

"Apa hak kau nak tanya soalan itu pada aku, pemilik Qatrunnada sekarang?" tanya Wafi, sinis.

"Kau takkkan dapat miliki aku, lelaki gila!" jerit Qatrunnada.

Wafi berpaling dan memandang Qatrunnada. Selepas itu, dia mendekati Qatrunnada lalu menyentuh pipi Qatrunnada dengan lembut sebelum bertindak menampar pipi mulus wanita itu.

"Beginikah cara kau bercakap dengan aku, tuan kau? Ketika kau orang uruskan hal penjualan Ayra, adakah Ayra bersuara ketika itu?" tanya Wafi dengan lantang.

"Bob, kau kurung Qatrunnada di bilik belakang. Kau buatlah apa yang patut supaya dia tak terlepas," arah Wafi setelah lama dia menanti jawapan daripada Harry dan Qatrunnada.

Bob mengarahkan lelaki yang memegang Qatrunnada untuk membawa Qatrunnada pergi dari situ. Sementara itu, Wafi mendekati Harry pula.

"Aku akan buat kau rasa menyesal hidup di dunia ini sebab kau menyakitkan hati aku!" teriak Wafi lalu beredar menuju ke arah bilik tempat Qatrunnada diletakkan.

     *     *     *     *     *

Cahaya mentari telah mengejutkan Wafi dari tidurnya. Dia mula mengeliat untuk bangun dan terlihat susuk tubuh Qatrunnada yang berada di sebelahnya. Hatinya puas kerana dia dapat membalas dendam ke atas apa yang telah dilakukan oleh Qatrunnada dan Harry kepada Ayra sehingga dia tidak dapat memiliki Ayra.

"Are you kidding me? Jangan bicara serupa orang tiada iman, Wafi!" jerkah Ayra saat dia menyuarakan keinginannya.

"I perlukan bukti, selama ini I rasa you tak sayang I. Jadi, inilah buktinya," jawab Wafi sambil meramas tangan Ayra.

"No, that's not it! Banyak lagi cara lain untuk buktikan kasih sayang I pada you, ini bukan caranya!" bantah Ayra lalu menolak pegangan tangan Wafi.

"Kenapa susah sangat you nak bagi diri you pada I?" tanya Wafi, berang dengan penolakan Ayra.

"Kalau you nak sangat, jom kita kahwin!" tegas Ayra.

"I masih belum puas enjoy, sayang. Give me time," jawab Wafi, bersahaja.

"Then, forget about all this!" ujar Ayra sebelum pergi dari situ. Wafi hanya mampu menggarukan kepalanya yang tidak gatal itu.

Bunyi rantai yang membelenggu kaki Qatrunnada membuatkan lamunan Wafi terhenti. Dia berpaling memandang ke arah Qatrunnada yang berpakaian gaun putih tanpa lengan sedang tidur.

"Bagaimanalah perasaan aku kalau lihat Ayra begini dulu? Patutlah Ijal jaga Ayra dengan ketat kalau begini mereka layan Ayra ketika itu," getus hati Wafi sebelum bangun dan beredar dari situ.

Selepas dia pulang ke rumah untuk bersiap, dia terus menuju ke rumah bakal tunang Hafizal seperti yang disuruh oleh Puan Sri Halimatun. Namun begitu, sebaik sahaja selesai urusan pertunangan, dia telah pulang awal dan terus menuju ke rumah Tan Sri Mustaqim kerana dia tahu sepupunya itu berada di sana.

Rasa hairan menyelubungi apabila mendapat berita bahawasanya sepupunya itu bakal bertunang dengan minah senget pilihan ibu saudaranya itu, sedangkan dia sudah mempunyai isteri.

Sebaik sahaja dia masuk ke dalam rumah, dia sudah dapat melihat kelibat Hafizal di rumah tamu rumah itu. Dengan pantas dia memilih untuk duduk bertentangan dengan Hafizal.

"Tahniah, Ijal atas pertunangan kau. Tak sangka Salwa boleh jadi sebegitu cantik, rugi kau tak datang tengok," ujar Wafi sebaik sahaja dia duduk di ruang tamu rumah Tan Sri Mustaqim. Dia memandang ke arah Hafizal yang sedang menonton televisyen.

"Tak mahulah, lagipun orang tua-tua tak bagi kalau pengantin lelaki datang semasa majlis pertunangan," ngelat Hafizal yang mana perhatiannya masih berada di kaca televisyen.

"Yalah, abang Ijal. Cantik gila kak Sal tadi! Rugi abang Ijal tak datang tadi, abang tinggal sini pun bukannya ada buat apa-apapun," ujar Husaini selepas duduk bersebelahan Wafi yang sedang mengipas-ngipas mukanya dengan songkok yang dipakainya tadi.

"Abang kamu itu sentiasa ada benda yang nak dilakukan. Ayra mana? Kamu tak bawa dia ke sini ke?" sampuk Puan Sri Halimatun tiba-tiba.

Wafi tergamam seketika sebaik sahaja nama Ayra disebut.

"Tak, mummy. Ijal tak bagi dia datang. Ada ke mummy suruh dia datang rumah sebab nak raikan pertunangan suami dia sendiri?" seloroh Hafizal.

"Chop, abang! Siapa Ayra ini? Kenapa Husaini tak tahu tentang ini?" tanya Husaini, bertalu-talu.

"Mummy punya pasal, sekarang semua orang sudah tahu! Mummy jawablah, Ijal nak balik. Semua sudah selesai bukan?" ujar Hafizal lalu mencampakkan alat kawalan jauh televisyen kepada Husaini lalu bangun untuk beredar.

"Megat Hafizal, nak ke mana itu?" tanya Puan Sri Halimatun membuatkan Hafizal kematian langkah.

Wafi melihat ke arah Puan Sri Halimatun dan menyedari kehadiran wanita lain di sisi ibu saudaranya itu. Dia memandang Hafizal yang berada tidak jauh daripada dua wanita itu, wajah lelaki itu tergamam tanpa sebarang suara.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com