Tuesday, January 31, 2017

Selingkar Kasih

"Hello, BumiMas Holdings. I am Dania, how can I assist you?" lemah gemalai suara Dania menuturkan ayat keramat itu. Kerjaya sebagai penyambut tetamu membuatkan dirinya menuturkan ayat tersebut hampir seratus kali sehari dan kerana itulah, lidah itu seakan sudah biasa menuturkannya.

"Hello Dania, sambungkan saya pada Firdaus," kedengaran suara yang tidak asing lagi bagi Dania. Suara yang digeruni oleh seantero pejabat BumiMas Holdings.

"Sebentar Datuk, saya sambungkan," ucap Dania lalu menyambungkan talian kepada Firdaus Hazim, pengurus kreatif syarikat tersebut.

Baru saja dia menyambung talian Datuk itu tadi, telefonnya berdering lagi. Mujur dia tidak perlu mengangkat gagang telefon kerana dia menggunakan telefon yang sudah mempunyai pembesar dan mikrofon suara seakan-akan fon kepala.

"Hello BumiMas Holdings. I am Dania, how may I assist you?" sesekali akan dia ubah frasa yang digunakan dalam ayat pengenalan dirinya.

"Hello, miss. May I speak to miss Dania Natasha?" kedengaran suara serak basah di hujung talian.

"Speaking. May I know who is this?" Hairan Dania kerana skop kerjaya yang dipegang sejak dua tahun lalu tak memerlukan dirinya dicari sesiapa.

"Boleh berbicara sebentar?"

"Kenalkan diri anda dahulu, dan saya akan timbangkan," jawab Dania, tegas. Dia dapat melihat ada panggilan lain yang masuk membuatkan dirinya diulit resah.

"Saya Hadif, Hadif Imran."

Nama itulah yang sebolehnya tak mahu didengari oleh Dania kerana nama itulah yang mengingatkannya kepada kebodohannya sendiri.

     *     *     *     *     *
"Apa semua ini, Dania? Apa yang awak tulis atas kertas ini?" tanya Hadif, bertubi-tubi sampai menghulurkan sekeping kertas kepada Dania.

Tak perlu Dania ambil kertas itu kerana Dania lebih arif tentang isi kandungan kertas tersebut. Namun begitu, tindakannya yang mendiamkan diri meskipun dilontar dengan soalan-soalan cepumas oleh Hadif membuatkan Hadif bertambah berang.

"Sejak bila perasaan ini hadir?" tanya Hadif lagi.

"Tahun lepas agaknya. Saya tak pasti."

"Kenapa awak beritahu sekarang kalau awak dah simpan selama setahun?"

"Saya tulis surat ini untuk lepaskan perasaan saya. Itu saja, tak perlu tanya saya itu ini lagi. Cuma tolong doakan kebahagiaan saya. Saya akan sentiasa mendoakan kebahagiaan awak. Saya rasa kita tak boleh bersama," ujar Dania lalu berlalu pergi dari situ meninggalkan Hadif yang terkelu di situ.

     *     *     *     *     *
"Dania Natasha? Are you still there?" soalan itu membuatkan lamunan Dania terhenti. Sedarlah dia bahawa dia hampir tenggelam dalam kenangan silam.

"Yes, Hadif. Kenapa awak cari saya sampai ke pejabat? Saya rasa saya tak tukar nombor telefon."

"Oh ya ke. Saya minta maaf andai saya menganggu awak berkerja tapi saya perlu berjumpa awak. Ada hal mustahak untuk saya bincangkan. Bila awak boleh berjumpa saya?"

"Saya rasa saya tak ada perkara yang ingin saya bincangkan dengan awak."

"Tolonglah, saya perlu berbincang dengan awak."

"Dania, awak sibuk ke?" Ada suara lain yang menyapa Dania dari hadapan membuatkan Dania tidak membalas kata-kata Hadif.

Dia memandang empunya suara yang menyapanya tadi. Wajah yang telah mula mencuri hatinya kebelakangan ini. Wajah Azmi hanya dipandang tanpa sebarang jawapan.

"Dania, saya tanya awak ini. Awak sibuk ke?"

"Eh, tak! Ada apa ya, Azmi?"

"Saya nak minta awak poskan surat ini. Penting tau, jangan hilangkan!" ujar Azmi lalu menghulurkan sekeping sampul surat kepada Dania lalu beredar.

Dania tersenyum sendiri. Namun, senyuman itu hilang apabila dia teringat bahawasanya Hadif masih lagi dalam talian.

"Hello, Hadif. Maaf saya ada hal sikit tadi. Baiklah, saya jumpa awak petang ini, selepas waktu kerja di tempat biasa kita jumpa dulu. Apa-apa hal, awak mesej saya saja. Assalamualaikum," ujar Dania lalu memutuskan talian.

Dania termenung sendiri. Dia sangat berharap dapat mengelak diri dari bertemu Hadif kerana dia sama sekali tak mahu mengenang peristiwa lalu.

Hatinya masih tak dapat menerima apa yang dilakukannya tahun lepas. Mana mungkin dia dapat berbaik semula dengan insan yang telah mencuri hatinya dahulu.

Sedang Dania mengelamun, dia sama sekali tak perasan ada yang sedang memerhatikannya.

     *     *     *     *     *
"Ada apa awak nak jumpa saya ini?" tanya Dania, sejurus sahaja dia melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan Hadif.

Soalan Dania membuatkan Hadif terkelu kerana terkejut disergah begitu.

"Saya dah fikir masak-masak. Saya nak terima cinta awak. Maaf andai jawapan saya terlalu lewat."

"Semudah itu, Hadif? Sebegitu mudah awak menzahirkan perasaan awak? Selepas setahun? Pernah awak fikirkan betapa payahnya saya nak melupakan awak dulu?"

"Saya ada sebab kenapa saya tak terima dulu."

"Sebab awak tak sukakan saya dulu, kan?"

"Bukan, sebab saya sakit!"

Dania kaget. Dia sama sekali tak mengetahui tentang ini.

"Apa yang buat awak terima saya sekarang?"

"Saya cuma nak rasa bagaimana menyayangi dan disayangi orang yang ada dalam hati saya sebelum saya tutup mata."

Dania terkesima. Entah mengapa hatinya berbelah bagi dengan kata-kata Hadif.

"Maksud awak Hadif, kita..."

"Kita kahwin."

Dania tak mampu meneruskan kata-katanya lagi. Benar, cinta itu ada tapi mengenangkan ianya bakal menemui tarikh luput, dia mati akal.

"Saya cuma nak habiskan sisa hidup saya dengan orang yang saya cintai selama bertahun-tahun. Saya cuma nak habiskannya dengan awak. Tolong pertimbangkan permintaan saya."

Dania hanya mendiamkan diri. Dia terlalu sebak untuk menyuarakan isi hatinya. Ikut hatinya, mahu saya dia baling semua pinggan mangkuk di hadapannya ini bagi melepaskan geramnya tetapi dia masih lagi mampu untuk berfikiran waras.

"Awak sakit apa?" hanya itu mampu keluar dari mulut gadis sunti itu.

"Leukimia."

"Allahu, begitu berat dugaanmu ya Allah!" detik hati kecil Dania.

Lama dia memilih untuk membisu. Kepalanya ligat berfikir sehinggakan Hadif yang berada di hadapannya hanya dianggap halimunan. Dia harus membuat keputusan yang tepat agar tak ada sesiapa yang menyesal kemudian hari.

Hadif juga tidak bersuara apabila melihat Dania seakan memikirkan seuatu. Dia tak mahu menganggu fokus Dania. Lagipun dia faham pasti Dania berada di dalam dilema kerana usianya yang semakin singkat itu.

"Baiklah, saya terima. Cuma saya harap isu penyakit awak ini tidak ditimbulkan oleh sesiapa kepada keluarga saya. Saya bimbang mereka takkan bersetuju," Dania pasrah. Dia harus mencuba untuk membahagiakan dirinya dan orang yang dicintainya supaya tiada kekesalan untuknya nanti.

"Terima kasih, Dania. Terima kasih banyak-banyak."

Dania tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum nipis.

     *     *     *      *      *
Dua tahun kemudian...

Dania merenung ke luar jendela. Pemandangan di Cherating ini tak pernah mengecewakan. Panorama indah laut dari biliknya di Impiana Cherating Resort membuatkan tempat penginapan menjadi salah satu kegemarannya.

Hari ini genap seminggu Hadif kembali kepada sang Pencipta. Meskipun rumah tangga yang dibina hanyalah sekejap cuma, namun kebahagiaan yang Hadif berikan tak mampu Dania ungkapkan dengan bait kata-kata kerana lingkaran kasih yang dikurniakan Hadif buatnya sangat berharga. Mungkin juga kerana keduanya tahu mereka berdua tak punya banyak masa, maka kesungguhan itu begitu ketara.

Sedang dia mengelamun, pintu biliknya diketuk. Dia berjalan menuju ke arah pintu lalu membukanya. Kelihatan seorang pekerja hotel tersebut berdiri di hadapannya.

"Puan Dania, saya tak pasti sama ada saya sepatutnya sampaikan perkara ini ataupun tidak, tetapi saya telah diamanahkan untuk melakukannya. Sebelum Encik Hadif meninggal dunia, dia ada mengirimkan surat ini kepada pengurus kami dan meminta kami menyerahkan surat ini pada puan apabila puan berkunjung ke sini setelah pemergiannya," ujar pekerja itu sambil menghulurkan sekeping sampul surat berwarna perang kepada Dania.

"Terima kasih," jawab Dania setelah mengambil sampul surat tersebut daripada tangan pekerja tersebut. Tak lama selepas itu, pekerja tersebut berlalu pergi.

Dania duduk di ruang tamu biliknya. Dengan segera dia membuka sampul surat yang dipegangnya sedari tadi. Satu persatu bait yang dikarang arwah suaminya dibacanya perlahan.

Buat sayangku Dania,

Tatkala warkah abang ini berada di dalam pegangan tangan Nia, pastinya jasad dan roh abang sudah tidak bersatu lagi di dunia. Abang mohon sejuta kemaafan kerana terpaksa menggunakan cara ini untuk menzahirkan luahan hati abang yang tak kesampaian kerana lumpuhkan segenap kekuatan yang abang ada.

Pertamanya, abang ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Nia kerana sudi bernikah dengan abang. Walaupun Nia tahu masa depan kita berdua tak berapa cerah, namun kesudian Nia untuk bernikah dengan abang sangat abang hargai. Nia kahwini abang, Nia jaga abang sampai hujung nafas abang, hanya Allah saja yang mampu balas jasa Nia pada abang.

Abang tak mampu nak berikan harta berjuta pada Nia sebagai balasan, harta abang dah habis untuk biayai kos rawatan abang. Abang tahu, abang tak banyak harta, tapi abang sebolehnya tak mahu bebankan Nia dan keluarga abang dengan hutang-piutang abang. Abang dah berbincang dengan mak dan ayah, mereka bersetuju dengan cadangan abang untuk tukar hak milik rumah kita atas nama Nia sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan kita yang sepatutnya kita sambut pada bulan Oktober. Geran rumah yang abang dah pindah milik itu ada dalam sampul itu.

Abang tahu, dalam hati Nia ada orang lain. Nia ada pilihan hati Nia sendiri, tapi Nia masih terima abang walaupun atas dasar simpati. Bila abang dapat tahu, hati abang remuk tapi abang tahu hati abang tak seremuk hati Nia. Nia korbankan peluang Nia untuk bersama si dia demi membantu orang sakit macam abang ini. Kadang-kadang abang tanya diri abang sendiri, cinta itu sepatutnya melambangkan kemegahan dan kebahagiaan seorang manusia tapi cinta abang pada Nia hanyalah lambang kelemahan abang sendiri.

Abang mohon ampun dan maaf andai keputusan abang melamar Nia menjadi isteri abang dulu memberikan seribu penyesalan buat Nia. Abang harap Nia gapai impian Nia, cari kebahagiaan Nia yang mana abang tak boleh nak berikan. Abang tahu Nia pasti akan temui kebahagiaan itu.

Yang tulus mencintai,
Hadif Imran.

Kertas yang pada mulanya kering akhirnya dibasahi air mata Dania. Setelah selesai dibaca, kertas itu dilipat semula lalu diletakkan di atas meja kopi berhampiran sofa tempat Dania duduk ketika itu. Tak mampu menahan sebak, akhirnya Dania meraung sendirian akibat kesedihan yang teramat.

     *     *     *     *     *

Hari itu, setelah hampir lima bulan Dania bercuti, akhirnya wanita itu kembali dengan pertukaran status yang amat ketara. Daripada seorang isteri, menjadi seorang balu. Benar, sedih itu tetap menyelubungi, namun Dania tahu hidup ini tetap perlu diteruskan. Dia harus tabah menghadapi.

"Salam takziah daripada saya," teguran itu membuatkan Dania tergamam. Suara itu suatu ketika dahulu pernah menghuni hatinya. Namun kini dia tidak lagi pasti.

"Terima kasih, Azmi. Apa khabar?" tanya Dania, berbasa-basi.

"Alhamdulillah, masih menanti jodoh yang belum pasti lagi bila akan tiba."

"Memilih sangat barangkali, atau ingin menikmati hidup?"

"Keduanya. Mungkin."

"Masa tak menanti sesiapa, awak tahu bukan?"

"Ya, saya sedar itu tapi sebenarnya hati saya telah lama dicuri."

"Kenapa tak kejar si pencuri hati?"

"Pernah dengar lagu 'Andai' nyanyi Kaer Azami tak?"

"Pernah, kenapa dengan lagu itu?"

"Jawapan soalan awak ada dalam lirik lagu itu. Lirik lagu tersebut seiring dengan coretan hati saya buat sang pencuri hati. Awak kaji lirik lagu itu, dan apabila awak pasti akan jawapan saya, kita boleh sambung perbincangan kita," jawab Azmi lalu beredar dari kaunter depan syarikat tempat mereka bekerja.

     *     *     *      *     *

Malam itu Dania tak boleh melelapkan matanya. Jawapan Azmi siang tadi masih terngiang-ngiang di corong telinganya. Lantas dia bangun dan mencapai telefon pintar jenama Samsung Galaxy S3 yang dimilikinya lalu membuka enjin pencari di dalam aplikasi Google.

Dia mencari lirik lagu yang disebutkan oleh Azmi lalu dibacanya satu persatu:

Tidak pernah ku sesali merindui begini
Masih jelas sehingga kini
Walau tak lagi disisi

Aku mahu dikau tahu ketulusan cintamu
Satu keindahan rasa dikalbu, tersimpan dalam hayatku

Namun hatiku redha
Ketentuan yang Esa
Jodoh bukan milik kita
Untuk melayari cinta

Andai ada waktu
Andai kasih dipertemu
Cinta pasti menunggu
Untuk dia dan aku

Aku perlu menerima
Pasrah dengan segalanya
Biarpun makin lemah denyut jiwa
Melihat kau membawa hati ini bersamanya

Bahagialah kau cinta
Kasih sampai ke syurga
Walau diriku bukanlah pilihan
Kau tetap dijiwaku

Namun hatiku redha
Ketentuan yang Esa
Jodoh bukan milik kita
Untuk melayari cinta

Andai ada waktu
Andai kasih dipertemu
Jodoh pasti menunggu
Untuk dia dan aku

Aku perlu menerima
Pasrah dengan segalanya
Biarpun makin lemah denyut jiwa
Melihat kau membawa hati ini...

Oh Tuhan kuatkanlah hatiku ini
Untuk meniti hari-hari tanpanya disisi
Berikan petunjuk-Mu

Andai ada waktu
Andai kasih dipertemu
Cinta pasti menunggu
Untuk dia dan aku

Aku perlu menerima
Pasrah dengan segalanya
Biarpun makin lemah denyut jiwa
Melihat kau membawa hati ini bersamanya...

Setelah selesai Dania membaca lirik lagu tersebut, fahamlah dia kini apa yang tersurat di hati seorang Azmi. Namun begitu, dia masih tak pasti sama ada ingin membiarkan sahaja topik itu atau memberitahu Azmi tentang penilaiannya.

     *     *     *     *     *

"Dah dapat jawapan saya?" suara itu muncul lagi. Dania yang memilih untuk tidak memanjangkan cerita semalam tidak mengendahkan pertanyaan itu.

"Awak dengar tak soalan saya tadi?" tanyanya lagi. Dania masih lagi berdiam diri.

"Dania Natasha, saya tanya ini. Tak baik biarkan saya tertunggu."

"Awak memang pandai menjerat saya ya? Kenapa nak sangat saya tahu jawapan awak? Saya tak faham."

"Sebab saya pilih awak untuk berkongsi rasa hati saya."

Lama Dania mendiamkan diri. Sehingga Azmi mulai penat menunggu dan berpaling untuk meninggalkan meja Dania.

"Awak cintai orang yang telah berpunya? Namun masih mahu menunggu? Untuk apa?"

"Wah, 3-in-1! Ya, saya mencintai orang yang telah berpunya, sebelum dia berpunya lagi. Saya tidak menunggu, tetapi saya tidak berpaling. Dia terlalu istimewa di mata saya. Saya telah mencuba untuk menerima gadis-gadis lain, namun ada sisi setiap gadis itu yang mengingatkan saya padanya. Lama-kelamaan, saya mengalah. Saya tidak mahu lagi menerima seseorang untuk menutup perasaan saya pada orang lain."

"Dia pasti cantik," jawab Dania, sedikit hampa.

"Dia memang cantik. Setidaknya bagi saya."

"Andai awak rasa begitu, apa lagi yang saya mahu katakan?"

"Andai insan itu adalah awak?"

Dania tergamam. Dia sama sekali tidak menyangka itu akan keluar dari mulut lelaki yang berada di hadapannya.

"Awak mungkin tersalah orang."

"Saya tak tersalah orang. Saya dah berminat dengan awak sejak hari pertama saya menyertai syarikat kita. Mana mungkin saya tersalah penilaian. Saya sendiripun sudah lima tahun bekerja disini."

Dania kehabisan idea untuk menjawab. Dia masih lagi dalam keadaan tergamam akibat pengakuan Azmi.

"Saya tak tahu nak kata apa."

"Saya faham awak baru sahaja kehilangan suami. Tak manis kiranya kalau hati awak terus diganti. Tak apa, saya tunggu."

"Bukan begitu, jumpa saya di Taman Tasik Titiwangsa. Akan saya beritahu jawapan saya."

Azmi tidak menjawab. Hanya mengangguk dan berlalu pergi.

     *     *     *      *      *
"Lama dah tunggu saya? Saya minta maaf sebab tadi Encik Kadir macam susah nak bagi saya balik. Kenapa sampai ke sini? Kenapa tak boleh bincang di pejabat saja?"

"Sebab saya tahu ada mata-mata yang memerhati. Awak ada rupa, ramai wanita di pejabat kita yang tergila-gilakan awak, kenapa awak tak bagi peluang pada mereka?"

"Sebab tak ada siapapun yang mampu mencuri hati saya sebagaimana awak curi hati saya 5 tahun lepas,"jawab Azmi, tenang.

"Kenapa tak berterus terang saja dulu? Saya tunggu awak dulu."

"Tunggu saya? Maksud awak, selama ini awak memang ada hati pada saya?"

"Sebelum saya kahwin, ya. Tapi sekarang, sejujurnya saya tak pasti adakah perasaan itu masih ada."

Azmi terkesima mendengar jawapan Dania itu. Dia sendiripun menyesali tindakannya tidak berterus terang sedari mula.

"Kalau awak masih belum boleh memberikan jawapan, saya sanggup tunggu."

"Kenapa perlu buang masa awak untuk menunggu saya? Awak jangan bunuh peluang awak untuk menemui jodoh semata-mata untuk menunggu seorang balu seperti saya."

"Awak terlalu istimewa buat saya, sukar untuk saya cari gantinya."

"Kubur arwah suami saya masih merah, Azmi. Walaupun saya menerimanya bukan kerana cinta sekalipun, saya sudahpun mencintainya. Saya tak mampu untuk membuka hati saya pada orang lain, walaupun orang yang saya pernah ada dalam hati saya dulu. Maafkan saya, andai Allah dah tulis nama kita berdua di Luth Mahfuz nanti, pastinya kita akan bersatu," terang Dania lalu beredar dari situ.

Azmi hanya mampu memandang pemergian Dania tanpa menyedari bahawa itulah kali terakhir dirinya bertemu wanita itu. Rupanya hari itu merupakan hari terakhir Dania kerana Dania telah menghantar surat perletakan jawatan sebulan yang lalu.

     *     *     *     *      *
"Selamat datang ke Primula Beach Resort. Saya Dania, boleh saya bantu puan?" suara itu membuatkan Azmi tersentak. Dia menegakkan kepalanya untuk melihat empunya suara, dan dia sama sekali tidak menyangka bahawa dia akan berjumpa dengan tuan punya suara itu semula.

"Saya ada tempah bilik bulan madu, nama saya Mashitah,"kedengaran suara insan di hadapan Azmi pula yang bersuara.

"Sebentar puan, tempahan di atas nama puan ya?"

"Ya, cik."

"Baiklah, tempahan puan saya dah jumpa. Puan Mashitah binti Ruslan dan Encik Azmi bin Hatta bukan?" Dania dapat merasakan jantungnya berdegup pantas apabila menyebut nama suami wanita yang berada di hadapannya itu. Tanpa berlengah, dia melihat insan di sebelah wanita itu. Benar, dia insan yang sama. Insan yang sama yang dia lukai tiga tahun lepas. Dia lihat ada sinar kaca di mata lelaki itu. Sinar kaca yang tak sepatutnya ada pada wajahnya kini.

"Ya, cik. Betul," jawapan Mashitah telah mengembalikan keduanya ke alam realiti.

"Baiklah, puan. Ini kunci bilik puan. Puan ke kiri dan naik ke tingkat 2 melalui lif. Selamat berbulan madu," tuturnya lancar sambil tersenyum manis.

"Terima kasih, cik..."

"Dania, puan."

"Cik Dania, terima kasih. Saya tersentuh dengan layanan awak."

"Tak perlu berterima kasih dengan saya, puan. Itu memang tugas saya."

"Cik Dania dah kahwin?"

Tergamam Dania apabila Mashitah bertanya soalan itu kepadanya. Dia memandang Azmi di belakang, riak wajah lelaki itu seperti menantikan jawapannya.

"Sudah, puan."

"Ada anak tak?"

"Ada, puan. Seorang. Lelaki."

"Alhamdulillah. Semoga rumah tangga puan diberkati Allah. Baiklah, saya masuk bilik dulu. Jumpa lagi," jawab Mashitah lalu berlalu pergi.

Mata Dania beralih pula kepada Azmi. Ada riak kekecewaan di wajahnya. Dia juga berlalu mengikuti langkah si isteri.

"Semoga awak bahagia, Azmi," tutur Dania dalam hatinya.

     *     *     *     *     *
Dania sedang melayan perasaan memandang laut apabila dia menyedari ada insan di sebelahnya. Dia memandang sebelah kirinya. Azmi sedang membetulkan duduknya lalu memandangnya.

"Tahniah atas perkahwinan awak," ucap Dania, tenang.

"Tahniah atas perkahwinan awak juga."

"Terima kasih. Cantik isteri awak," jawab Dania.

"Tak secantik awak. Lingkaran kasih awak masih menyakar hati saya, meskipun tiga tahun awak pergi dari hidup saya."

"Mungkin jodoh kita tiada."

"Semudah itu? Awak tak pernah tahu bagaimana saya mengharungi segalanya selepas awak pergi."

"Saya tahu ianya tak mudah, tapi hidup perlu diteruskan."

"Betapa sukarnya semua orang nak yakinkan saya untuk kahwini Mashitah, andai saya ikut kata hati, saya tak mahu berkahwin kalau bukan dengan awak. Hancur luluh hati saya mendengar khabar awak sudahpun berkahwin malah mempunyai anak. Mesti anak awak comel macam awak kan?"

"Taklah, dia mirip suami saya."

"Oh ya ke. Apapun semoga awak berbahagia, walaupun saya tak pasti adakah saya mampu berbahagia sejak awak tiada dalam hidup saya."

"Tolonglah Azmi, saya mohon. Awak kena hidup bahagia dengan isteri awak."

"Dania, bahagia itu takkan boleh dipaksa."

Dania bangun lalu berdiri menghadap Azmi yang masih kekal di kedudukan asalnya. Dengan perlahan, dia berlutut di hadapan Azmi. Azmi yang melihat tindakan Dania mulai kaget.

"Kenapa ini? Bangunlah!"

"Saya akan bangun kalau awak berjanji dengan saya, awak akan bahagiakan diri awak dan isteri awak. Setidaknya, itulah hukuman terbaik yang awak boleh berikan saya atas kesalahan saya melukakan hati awak dulu."

"Apa maksud awak?"

"Memang saya akui, saya masih sayangkan awak ketika awak meluahkan perasaan awak pada saya tiga tahun lepas. Namun, saya tak boleh terima awak lagi. Atas sebab itulah, saya berhenti kerja dan berpindah jauh dari awak. Saya harus lupakan awak agar awak boleh teruskan hidup awak."

"Setidaknya awak sudah ada insan lain dalam hati awak. Saya?"

"Mashitah seorang wanita yang cukup sempurna. Jangan sia-siakan anugerah Allah untuk awak. Dia tahu hati awak bukan untuknya, namun dia masih setia berada di sisi awak. Apalah salahnya andai awak berikan selingkar kasih buatnya? Itu saja yang dia perlukan daripada awak."

"Dia ada jumpa awak? Bila? Kenapa?"

"Bila itu tak penting. Awak ingat saya nak ke bercakap dengan awak andai tanpa izinnya? Saya wanita, sama sepertinya. Saya tahu betapa peritnya andai dilukai lelaki yang sepatutnya menjadi sandarannya untuk hidup. Dia tahu saya adalah insan yang berada dalam hati awak itu."

"Kalau dia tahu, kenapa dia terima saya?"

"Sebab awak cinta pertamanya, jawapan istikharahnya, imam yang Allah kurniakan buatnya. Awak ada istikharah ke sewaktu awak mahu memilihnya?"

Azmi menggelengkan kepalanya.

"Allah takkan berikan apa yang kita mahu, Dia berikan apa yang kita perlu. Awak tak perlukan saya, awak cuma mahukan saya. Tapi Allah kata Mashitah adalah orang yang awak perlu, bukan saya. Hargailah dia, dia dah banyak berkorban untuk awak, bukan saya."

Azmi tidak menjawab, sebaliknya hanya mampu mengalirkan air mata lelakinya.

     *     *     *     *     *
"Itah, boleh abang cakap sikit dengan Itah?" Pertanyaan Azmi mengundang perasaan terkejut bagi Mashitah kerana Azmi tidak pernah membahasakan dirinya 'abang' sejak mereka berkahwin.

"Apa dia? Kalau Itah ada buat salah, abang beritahu Itah. In shaa Allah, Itah akan perbaiki semuanya."

"Bukan itu. Abang cuma nak ucap terima kasih."

"Kenapa?"

"Sebab beri abang peluang untuk bersemuka dengan Dania."

"Itah yang suruh Dania jumpa abang. Sebab Itah tahu ada sesuatu yang dia ingin beritahu abang. Dania itu baik, Itah tahu. Siapalah Itah nak halang perasaan abang."

"Tapi dia milik orang. Abang tak boleh nak menyuntingnya jadi isteri abang."

"Abang nak Itah beritahu satu rahsia?"

"Rahsia apa?" tanya Azmi, hairan.

"Dania itu masih lagi seorang balu. Dia tidak berkahwin dengan sesiapapun sejak kematian arwah suaminya. Anak lelakinya adalah daripada hasil perkahwinan dengan arwah suaminya itu."

"Maksud Itah, dia mengandung waktu..."

"Ya, abang. Dania mengandung sewaktu abang meluahkan perasaan abang padanya dulu. Sebab itulah dia mengambil keputusan untuk menghilangkan diri. Dia rasa tak adil bagi arwah suaminya dan anaknya untuk dia menerima abang."

Penerangan Mashitah membuatkan Azmi terbungkam. Dia kehilangan kata-kata.

"Abang minta maaf kerana Itah harus mendengar semua ini. Mesti hati Itah terluka bukan?"

Pertanyaan itu membuatkan Mashitah ketawa kecil. Tindakan Mashitah menghairankan Azmi.

"Itah tak nak abang terima Itah kerana terpaksa. Selagi Itah tak lakukan semua ini, abang takkan buka mata abang untuk pandang Itah ini. Biar kita sakit kerana mencuba daripada sakit kerana tidak mencuba."

"Terima kasih, Itah. Abang terharu sangat dengan pengorbanan Itah," ujar Azmi lalu memeluk Mashitah.

Mashitah yang terkejut pada mulanya akhirnya menerima pelukan suaminya itu dengan rasa lega.

     *     *     *     *     *
"Saya nak daftar keluar, tapi sebelum itu saya nak tanya. Staf yang bernama Dania Natasha datang kerja tak hari ini?" tanya Azmi lalu menyerahkan kunci bilik sementara menunggu isterinya ke tandas seketika.

"Dania? Dia dah tak kerja disini."

"Dia berhenti atau pindah ya? Sebab saya perlu berjumpa dengannya kerana ingin mengucapkan terima kasih padanya atas pertolongannya."

"Bila encik jumpa dia?" tanya staf yang bernama Yusri itu dengan riak wajah yang sangat hairan.

"Minggu lepas. Dia dah daftarkan saya masuk."

"Sebentar ya," jawab Yusri lalu menekan-nekan sesuatu di komputer yang terletak berhadapannya.

Azmi memerhatikan sahaja tindak-tanduk Yusri. Sesekali ada riak wajah terkejut pada wajah lelaki itu. Timbul tanda tanya di dalam hatinya, namun lebih baik dia diamkan sahaja.

"Saya minta diri sebentar. Puan Dania ada memesan agar menyerahkan sesuatu kepada encik andai encik tiba di sini suatu hari nanti. Tunggu sebentar."

Tidak lama selepas itu, Yusri kembali bersama sekeping sampul lalu menyerahkan kepada Azmi.

"Ini barangnya, tapi saya nasihatkan encik baca selepas encik tiba di rumah. Ini pula bil hotel."

Yusri menyerahkan bil bayaran kepada Azmi. Azmi melihat bil tersebut lalu mengeluarkan duit dari dompet yang sekian lama berada dalam genggamannya.

"Terima kasih encik kerana sudi menginap di hotel kami. Atas permintaan pengurus, saya ingin menyampaikan pesanan agar sebelum pulang nanti, encik jangan lupa membaca doa dan ayat kursi. Saya sarankan encik terus pulang ke rumah agar keselamatan encik lebih terjamin," terang Yusri sambil tersenyum manis.

Muka Azmi semakin hairan mendengar kata-kata Yusri namun dia hanya membalas penerangan panjang lebar Yusri dengan senyuman.

     *     *     *     *     *

Azmi terjaga dari tidurnya, dia melihat jam di dinding. Menunjukkan tiga pagi. Entah mengapa dia merasa ingin menunaikan solat Tahajjud.

Seusai solatnya, dia melabuhkan punggungnya di atas sofa kecil di sudut kamar tidurnya lalu mencapai sampul surat yang diberikan Yusri tadi. Dia membukanya dan di dalamnya terdapat sekeping foto dan sehelai kertas. Dia mengambil foto tersebut, Itu merupakan foto Dania dan dirinya yang diambil ketika majlis makan malam syarikat dua tahun lalu. Dia melihat di belakang foto tersebut, ada tertulis sesuatu.

The love of my life - 18 March 2014

Melihat tulisan tersebut, air mata Azmi terus mengalir. Betapa menyesalnya dia tidak meluahkan perasaannya terhadap wanita itu dahulu.

Pandangannya beralih kepada surat itu pula. Dia membuka lipatan kertas tersebut lalu dibaca setiap bait kata yang tertulis di atas kertas tersebut.

Buat Azmi yang dikasihi,

Semasa awak menerima surat ini, ketahuilah bahawasanya saya sudah tidak lagi sudi ketemu awak dan Mashitah. Bukan kerana benci, tetapi atas dasar kemanusiaan. Sudah cukup terluka hati seorang isteri sepanjang bulan madunya kerana suaminya asyik mengejar wanita lain, saya tak sanggup untuk menambah lagi kedukaan itu.

Maafkan saya kerana tidak berterus terang ketika awak meluahkan perasaan awak dulu. Hanya Tuhan tahu betapa saya gembira kerana saya tidak bertepuk sebelah tangan, namun untuk menerima awak di kala saya mengandungkan anak arwah suami saya, adalah keputusan yang tidak adil bagi dirinya dan anak kami.

Lagipun, selingkar kasih yang arwah tinggalkan dalam hati saya telah terpahat dan amat sukar untuk dihapuskan dari sekeping hati ini. Saya tak mampu nak berlaku adil pada hati saya sekiranya saya memilih untuk menerima awak. Maka, lebih baik saya lepaskan sahaja.

Bahagiakanlah isteri awak, dia pendamping awak yang Allah berikan. Usah bimbangkan saya, saya masih ada anak saya, hadiah terbaik arwah suami buat saya. Doakan saya lebih tabah menghadapi hidup dan saya doakan kebahagiaan rumah tangga awak.

Terima kasih kerana sudi membaca warkah tak berlagu saya. Saya harap andai ada jodoh kita ketemu lagi, awak sudah beranak dua. Hahahaha...

Yang Benar,
Dania Natasha.

Azmi terbungkam. Dia harus redha bahawa jodoh antara dirinya dan Dania bukan milik mereka. Malah tidak pernah jadi milik mereka.

Dia memandang Mashitah yang sedang nyenyak tidur, Itulah jodoh yang Allah kurniakan buatnya, mengapa dia harus mendustai nikmat itu? Terlalu bodoh kelihatannya Azmi akan dirinya kerana tidak tahu menghargai.

Dia mendekati Mashitah, lalu duduk di birai katil bersebelahan isterinya itu. Bibirnya didekatkan dengan dahi wanita itu lalu dikucupnya lembut. Tanpa disedari, air matanya mengalir dan jatuh di atas dahi isterinya.

"Terima kasih Allah, kerana berikan abang isteri sebaik Itah," bisik hati kecil Azmi.

*TAMAT*

Sunday, August 21, 2016

#TigaPuluhEnamPurnama

Aku termenung sendiri. Meskipun pandangan mataku dapat melihat kelibat Pulau Lagenda dari tempat aku berdiri, namun fikiran sudah tidak tahu ke mana arahnya.

Begitulah aku sejak tiga puluh enam purnama yang lalu. Tempat inilah yang seringkali menjadi saksi lamunan seorang gadis sunti yang mana usianya sudahpun menjangkau siri ketiga. Tatkala teman sebayaku sedang mendakap penyambung zuriat mereka, aku masih disini mencari erti cinta dari Illahi.

Bukan tiada yang ingin menyunting hati seorang gadis sunti ini, tetapi tiada tampaknya keikhlasan hati dari seorang khalifah muka bumi buatku. Dari sinar mata mereka pasti punya agenda tersembunyi.

Siapa sangka tiga puluh enam purnama yang lalu, lelaki itulah yang telah menutup erat pintu hatiku sehinggakan tiada seorang umat manusiapun yang mampu membukanya kembali.

*     *     *     *      *

"Saya minta maaf, saya dah hilang rasa sayang itu. Semasa perasaan itu hadir, awak lukakan hati saya dengan perkara yang saya tak tahu apa kebenarannya, pernah awak fikirkan itu?" luah Farish, geram.

Aku memandangnya yang membelakangiku. Aku tahu dia marah. Siapalah yang tak marah bila hati dikecewakan saat dia mendambakan, namun hadir saat dia ingin melupakan?

Aku amat menyedari tindakanku padanya beberapa bulan lepas telah memakan diriku semula. Namun, aku juga manusia sepertinya.

"Perkara itu memang benar, saya memang sudah punyai calon ketika itu, namun kecewa awak itu tak terbanding dengan kekecewaan saya mengharapkan awak berjuang bagi memiliki saya. Saya tunggu awak ungkapkan perasaan awak, tapi apa yang awak berikan? Hanya sebab untuk kita saling membenci!" aku membalas luahannya dengan luahan.

"Bagaimana saya nak mengambil hak orang, sedang saya sudah lebih dahulu merasakan peritnya hak saya diambil? Tak mungkin awak tak pernah tahu saya ini pernah putus tunang," ujar Farish, sedikit kendur.

Aku terdiam. Bagaimana aku boleh terlupa tentang itu?

"Saya juga pernah dilukai, tetapi mungkin saya terlalu pentingkan diri sehingga terlupa bahawa awak juga punya perasaan. Maafkan saya," ujarku lalu meninggalkan dia. Sungguh aku malu dengannya, sehinggakan aku langsung tidak menoleh ke belakang lagi.

Aku berjalan sehinggakan kaki aku sudah penat nak melangkah, tanpa aku sedari aku sudah menghampiri jeti nelayan Kampung Sungai Baru. Aku berhenti dan duduk di tebing yang memisahkan antara laut dan daratan. Aku tak mampu memikirkan apa-apa lagi lalu menangis semahunya. Ada orang yang memerhatikanku, aku tahu. Namun, aku sudah tak mahu ambil kisah tentang apa yang orang fikirkan. Aku cuma mahu menangis.

Sedang aku menangis, aku dapat melihat ada kelibat yang duduk di sebelahku. Aku berpaling, menghadap insan itu. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat rakan sekerjaku dari Kuala Lumpur berada di hadapan mataku.

"Kenapa ini, Hani? Saya tengah tengok-tengok ikan kat pasar nelayan sana itu bila saya dengar orang ramai kata ada orang menangis serupa orang meroyan. Saya pun macam biasalah, nak menyibuk juga. Tengok-tengok, rupanya awak. Apa dah jadi?" terang Ilham, panjang lebar.

Mendengar penerangan panjang lebar darinya, perasaan sedihku tak semena-mena hilang. Aku jadi geli hati mendengar caranya menerangkan situasi yang dialaminya. Mujur ada dia, Muhammad Ilham.

     *     *     *     *     *
"Bawa-bawalah berhenti termenung kat sini, bukan ada putera raja datang masuk meminang pun!" jeritan itu sangat aku kenali. Jeritan yang membuatkan lamunanku terhenti.

Aku berpaling memandang punca jeritan itu. Susuk tubuh yang acapkali ku lihat berdiri di pangkal jeti melambai ke arahku. Aku hanya tersenyum, melambai semula lalu menuju ke arah insan itu.

"Bagaimana awak tahu saya disini?" tanyaku, sambil menggaru kepala yang tak gatal.

"Eleh, awak itu dah tiga tahun buat perangai begini, masakan saya tak tahu? Bawa-bawalah berhenti, tak terubat hati awak buat begini. Orang yang pergi takkan kembali," komen Ilham, serius.

"Terubat apa? Dapat tengok burung, awan, laut, Pulau Langkawi," ujarku, sambil ketawa besar.

Namun, tawaku terhenti apabila menyedari riak wajahnya masih kekal serius. Baik, ini masalah besar.

"Awak mesti ada sebab cari saya sampai ke Kuala ini kan?" tanyaku, hairan.

"Haruslah. Esok ikut saya, saya nak bawa awak pergi suatu tempat. Untuk buat awak lupakan semuanya. Sudah-sudahlah itu Hani, saya tak selesa nak bekerja dengan awak bila tengok awak begini."

"Kenapa pula tak selesa? Sekarang sudah jam enam setengah petang. Waktu kerja kita sampai pukul lima sahaja. Selepas itu, saya terus bertolak dari Kangar ke Kuala naik kereta saya sendiri. Jadi Encik Ilham, dimanakah bahagian yang awak kata tak selesa itu?"

"Semuanya."

"Semuanya? Maksud?"

Belum sempat Ilham menjawab soalanku, aku lihat ada bayang seperti manusia menghampiri kami. Ilham memilih untuk memandang ke arah bayang tersebut, namun tidak aku. Aku memilih untuk memandang semula ke arah laut.

"Assalamualaikum," sapa tuan punya bayang bagi memulakan bicara sambil menghulurkan tangan kepada Ilham untuk bersalam.

"Wa'alaikumussalam," jawab Ilham, lalu menyambut salam orang itu. Namun, wajahnya kelihatan berkerut, namun tak ku tahu mengapa.

Namun begitu, suara itu amat merunsingkan aku. Sepertinya suara itulah yang tidak mahu aku dengari lagi. Tak mungkin suara itu datangnya daripada...

"Saudari ini cik Nurhani Saffiyya bukan?" tanya insan itu, kepadaku.

Aku tak punya pilihan, lalu memberanikan diri untuk memandang insan yang aku belakangi sedari tadi. Sebaik sahaja aku berpaling, aku tergamam. Kelu lidahku meskipun hatiku bingit dengan segala macam bait-bait kata. Benar sangkaanku, lelaki itu kini berada di hadapanku. Memilih untuk kembali setelah tiga puluh enam purnama pergi meninggalkan diri ini.

"Ya, sayalah Nurhani Saffiyya," jawabku, ringkas.

"Awak, takkanlah awak sudah tak cam saya? Saya Farish," ujarnya, cuba menyakinkan aku bahawa aku sama sekali tidak bermimpi.

"Ya, saya tahu," jawabku, masih dalam keadaan yang ringkas.

"Habis itu, kenapa mendatar sangat nada awak itu? Oh ya, siapa ini?" tanyanya lagi sambil memandang ke arah Ilham yang sedari tadi kekal disisiku.

"Ini Ilham. Ilham, kenalkan inilah Farish,"ujarku, sekadar berbasa-basi. Hakikatnya, hati aku jadi keliru. Sungguh keliru.

"Oh, ini rupanya Farish yang selalu Hani ceritakan itu? Akhirnya dapat juga kita bertemu. Kalau begitu, saya balik dululah. Bimbang mengganggu kamu berdua pula,"kata Ilham, mengelat.

Namun, belum sempat dia melangkah pergi, aku sudah mencapai lengannya. Mujur hari itu dia memakai kemeja lengan panjang, jadi kami tidak bersentuhan kulit.

Aku dapat melihat Farish memandang tanganku yang sedang menarik lengan Ilham itu. Ada riak cemburu di wajahnya, namun entah mengapa hatiku sama sekali tidak berasa bersalah dengan tindakanku itu.

"Cakap saja di sini. Depan saya, depan Ilham. Saya tak berahsia dengannya," ujarku, meski aku tahu tindakanku akan mengundang tanda tanya dalam benak fikiran dua orang lelaki. Aku tak kisah semua itu kerana aku tahu, aku tidak kuat untuk berdepan dengan orang yang telah memalukan aku tiga tahun lepas.

"Saya dah fikirkan selama tiga tahun kebelakangan ini. Saya nakkan awak semula,"ucapnya dengan begitu mudah sekali. Semudah ABC.

"Kenapa ambil masa tiga tahun untuk terima saya? Bukan semula, hanya sekadar terima. Kita tak pernah bersama, mohon awak ingat itu," jawabku, sambil merenungnya tajam.

"Saya tahu saya ambil masa yang terlalu lama untuk terima awak, tapi fahamilah. Saya dah cuba untuk lupakan awak, tapi tak berjaya."

"Saya juga dah mencuba untuk melupakan, tapi sehingga hari ini saya masih di sini, menunggu awak. Terima kasih sebab datang, tetapi saya tak boleh menerima awak semudah tutur bicara awak. Hati saya dah lama awak biarkan terluka."

"Habis itu, hati saya tak terluka?"

"Hati awak, saat awak mengungkit semua kesalahan saya, sepatutnya awak sudahpun menyedari bahawasanya awak akan kehilangan saya. Awak sepatutnya lebih bersedia. Kalau awak rasa awak masih mahu mengenang segala kesakitan yang awak telah tempuhi sepanjang awak menyayangi saya, saya nasihatkan supaya awak pergilah cari kebahagiaan awak pada orang lain. Akan tetapi, kalau awak rasa awak berani berjuang sekarang, awak berikan saya waktu untuk saya hilangkan segala perasaan malu saya pada awak selama bertahun-tahun ini. Itu saja saya minta. Saya sedar dulu saya hanya kerani biasa, siapalah saya untuk menarik perhatian awak. Tiba-tiba bila awak seperti berminat dengan saya, saya pula kecewakan awak. Kemudian, saya datang kembali pada awak menagih kasih yang sudah hilang dari hati awak. Hanya Allah saja tahu betapa peritnya perasaan itu."

Farish terkesima. Lidahnya kelu, tak tahu bagaimana hendak menjawab luahanku. Barangkali dia sama sekali tidak menyangkakan jawapan sebegitu daripadaku.

"Saya tahu saya tak sepatutnya layan awak begitu dulu. Maafkan saya," rayu Farish.

"Saya maafkan, tapi satu saja saya minta. Andai awak benar-benar perlukan saya, awak tahu apa yang perlu awak lakukan. Namun, saya tidak memberi sebarang jaminan yang saya akan menerima awak. Ilham, jom kita balik," ujarku sebelum berlalu dari situ.

     *     *     *     *      *

Keesokan harinya, sebelum masa kerja tamat, Ilham sudah terpacak di hadapan meja kerjaku. Takut betul dia aku tak sudi keluar bersamanya. Aku hanya memandangnya sambil tersengih.

"Kenapa tiba-tiba tersengih serupa kerang busuk ini? Baik cakap cepat. Nak pergi Kuala dulu ke?" tanya Ilham, lembut.

Aku hanya menggeleng sambil tersenyum.

"Tak nak pergi Kuala? Pelik. Tiga tahun tak pernah ponteng kecuali sakit atau balik kampung, sudah jumpa dia terus tak nak pergi?" tanyanya lagi.

Aku menggeleng lagi, namun masih tersenyum.

"Habis itu?"

"Sebab saya dah jumpa apa yang saya cari. Erti cinta dari Illahi," balasku sambil tersenyum manis.

Aku dapat melihat wajahnya merona merah selepas aku tersenyum itu. Aku dapat mengagak mengapa dia berbuat demikian.

"Sudah pukul lima. Jom kita pergi sekarang," ujarku sambil menyandang beg tanganku. Melihat tindak-tandukku, Ilham cepat-cepat berjalan keluar dari pejabat dan aku sekadar mengikutinya dari belakang.

Setelah tiba di keretanya, dia membuka pintu kereta Proton Iris miliknya dan menjemputku masuk. Setelah aku duduk, dia menutup pintu kereta lalu menuju ke arah bertentangan untuk masuk ke dalam keretanya itu.

Selepas dia selesai menutup pintu kereta, dia memandangku. Aku rasa malu ditatap sebegitu. Terasa panas kereta ini.

Dia mencapai kain penutup mata di tempat duduk belakang lalu memakaikan kepadaku. Aku terkedu seketika kerana terkejut diperlakukan begitu. Tambah terkejut apabila terasa pergelangan tanganku diikat dengan kain.

"Awak nak culik saya ke?" tanyaku, spontan.

"Kalau boleh, saya nak culik awak, kurung awak dalam hati saya. Lepas tu, saya kunci supaya awak tak boleh keluar dan tiada siapa boleh masuk."

Aku terkesima. Dia ini bergurau ke serius? Namun, aku tidak berbuat apa-apa setelah dia menutup mataku dan mengikat kedua pergelangan tanganku. Aku memilih untuk mempercayainya walaupun kami berada sekangkang kera sahaja dari Siam.

"Saya harap awak percayakan saya, saya minta maaf kerana terpaksa menutup mata dan mengikat tangan awak. Kalau awak nak tidur, tidurlah. Nanti dah sampai, saya kejut."

Sebaik sahaja ayat itu habis dituturkan Ilham, aku terlelap akibat tersangat penat.

     *     *     *     *     *

"Hani, bangun. Kita dah sampai," kedengaran suara Ilham yang telah membuatkan aku terjaga dari tidur.

Aku sangkakan duniaku masih lagi gelap setelah 'dibutakan' oleh Ilham tadi, rupanya sudah dia bukakan terlebih dahulu. Cuma tanganku sahaja yang masih lagi menyatu. Namun, apabila aku melihat sekeliling, aku lebih terkedu.

Aku melihat jam tanganku. Sudah menunjukkan jam dua pagi. Kalau mengikut perkiraan, sama ada aku sudahpun memasuki Siam yang mana tak mungkin berlaku kerana pasportku sudah lama tamat tempoh, ataupun aku sudah tiba di Kuala Lumpur atau Selangor!

"Lamanya termenung cik adik. Mari saya bukakan ikatan tangan itu," ujarnya sambil membukakan ikatan pada tanganku.

"Kita di mana?" tanyaku, spontan.

"Rumah ibu bapa saya di KL. Kenapa?"

"Saya tak bawa baju lebih," ujarku, sayu. Bukan apa, aku segan nak meminjam harta peribadi orang lain.

"Oh, itu ke? Beg pakaian awak, ini kan?" tanyanya sambil menuding ke arah beg yang berada di sebelahnya.

"Mana awak dapat ini?" tanyaku lagi.

"Ambil di rumah awaklah. Saya minta tolong Sherry siapkan," terangnya sambil mengenyitkan sebelah matanya.

Aku tak mampu nak bertanya lagi. Mahu tak mahu, terpaksalah turun. Sudah sembilan jam duduk dalam kereta, takkan nak balik semula kan?

Aku mengikuti langkahnya sambil memerhatikan sekeliling. Rumah yang terletak di kiri dan kanan rumahnya kelihatan mewah, namun rumahnya tampak ringkas walaupun kelihatan besar. Takkan anak orang kaya Ilham ini?

Disebabkan kami berdua tiba lambat, Ilham membawaku terus ke bilik tetamu. Mujurlah dalam bilik tersebut terdapat bilik mandi dan tandas, maka tak bimbanglah aku untuk mandi dan mengambil wuduk.

Selepas Ilham selesai memberikan penerangan tentang bilik tidurku, dia terus keluar dan menutup pintu bilikku. Dengan pantas aku mengunci bilik tidurku, takut-takut andai ada yang tak mengetahui kehadiranku malam ini.

Aku melihat segenap sudut di dalam bilik ini. Kelihatan kemas dan berbau harum sahaja, seperti baru sahaja dikemas. Adakah kehadiranku ini sudah dijangka? Andai sudah diberitahu sekalipun, atas tujuan apa Ilham membawaku ke sini? Pening kepalaku memikirnya.

Daripada pening kepala memikirkan perkara yang aku sendiripun tak tahu-menahu, lebih baik aku mandi dan solat dahulu. Sudahlah tertinggal solat Maghrib tadi. Kalau Ilham beritahu awal-awal, boleh niat jamak tadi. Huh!

     *       *      *      *      *

"Assalamualaikum, makcik. Makcik buat apa tu?" sapaku selepas melihat mak Ilham (barangkali) sedang menyiapkan bahan untuk membuat sarapan pagi.

Wanita itu menoleh ke arahku, lalu tersenyum.

"Wa'alaikumussalam. Oh, inilah dia Hani ya. Makcik tengah siap-siap bahan nak masak bihun goreng ini. Hani makan bihun kan? Maaflah makcik tak tahu nak masak apa," jawab wanita itu lalu menyambung kerjanya yang tergendala seketika tadi.

"Tak apa, makcik. Saya tak ada masalah dengan bihun. Makcik dah lama duduk sini?" tanyaku, lagi.

"Lama juga, sejak Ilham berusia tiga tahun. Ayahnya dapat kenaikan pangkat ke KL ini, sejak itulah kami tinggal di sini. Ayah Ilham pun dah bersara tiga tahun lepas. Hani asal mana?"

"Saya asal Perak, makcik. Bota Kanan, tapi mak ayah saya menetap di Seri Iskandar."

"Oh, orang bote ke? Makcik orang Parit," ujar mak Ilham lalu tertawa.

Mendengar jawapan wanita itu, aku tersipu malu. Namun, aku masih belum punya kudrat untuk bertanya soalan yang ingin ku tanya sedari semalam.

"Makcik, kenapa Ilham tiba-tiba bawa saya jumpa makcik dengan pakcik?" tanyaku setelah mengumpul segenap kekuatan untuk bertanyakan soalan tersebut,

"Dia tak beritahu kamu ke? Bertuah punya budak! Diheretnya kamu dari Kangar sampai ke sini tapi dia tak beritahu kenapa?"

Aku hanya menggeleng.

"Dia nak jadikan kamu suri hatinya. Jadi, dia bawa kamu tunjuk dengan pakcik dan makcik. Sebenarnya kami tak kisah sangat, sebab yang berkahwinnya nanti dia, tapi dia berkeras mahu kenalkan. Kami terima saja," terang mak Ilham, makcik Ros sambil tersenyum memandangku.

Aku terbungkam. Aku tidak pernah memberikan harapan buat Ilham selama kami berkenalan, meski aku tahu dia berminat untuk menyuntingku menjadi teman hidupnya. Aku hanya memikirkan perasaanku buat Farish yang tidak pernah sehati denganku. Namun, aku sedar aku tidak mampu kehilangan Ilham. Dialah tempat aku bergantung harapan sejak aku memilih untuk meninggalkan Farish. Dia tahu bila aku gembira dan bila aku sedih. Persoalannya sekarang, siapa yang harus aku terima sekarang? Farish atau Ilham?

"Kenapa berkerut itu, Hani? Fikirkan seseorang ke? Hani ada pilihan sendiri?" tanya makcik Ros, barangkali hairan melihat wajah aku berkerut memikirkan masalah ini.

"Tak. Hani tak ada sesiapa. Cuma Hani takut," laju saja mulutku menjawab pertanyaan makcik Ros itu.

"Takut? Takut apanya, nak?"

"Saya takut terluka lagi. Saya pernah dikecewakan begitu dalam oleh seseorang, jadi saya jadi paranoid untuk mencuba lagi,"luahku dalam keadaan sedikit sebak.

Makcik Ros menutup api kuali lalu mendekatiku yang sedang memotong cili. Melihatnya, aku berhenti. Makcik Ros memegang tanganku lalu memandang wajahku.

"Makcik tahu kamu takut kamu tak cukup sempurna buat Ilham, makcik juga pasti Ilham juga begitu. Akan tetapi, dunia rumah tangga bukan tentang kesempurnaan suami mahupun isteri. Rumah tangga ini adalah berkisar tentang suami yang melengkapi dunia isteri dan sebaliknya. Kalau kita sempurna, maka tak perlulah kita untuk berkahwin, tapi kita berkahwin kerana Allah telah jadikan lelaki dan wanita sama-sama tak sempurna."

Aku terpana dengan nasihat makcik Ros itu tadi. Namun, aku masih keliru kerana aku mungkin harus memilih.

      *      *      *      *      *

Aku merenung ke luar beranda tingkat atas rumah Ilham ini. Tak sangka kota metropolitan ini masih boleh tampak indah walaupun bising dan sudah kelihatan seperti hutan konkrit. Manusia kini lebih mengejar harta dan kuasa dan mula mengendahkan soal alam sekitar dan kemanusiaan.

Aku bersyukur ditempatkan di Perlis. Sungguh berbeza dengan Kuala Lumpur. Udaranya, persekitarannya, suasananya, kos sara hidupnya, bagai langit dengan bumi. Tak banyak tekanan berbanding di sini.

Sedang aku mengelamun, ada insan berdiri di sebelahku. Aku sudah dapat menduga siapakah gerangan yang berdiri di sebelahku ini, maka aku berpaling menghadapnya. Lama aku merenung wajahnya membuatkan wajahnya merona merah akibat malu.

"Saya dengar awak dah tahu kenapa awak di sini. Jadi, bagaimana?" tanya Ilham setelah berpaling memandang ke luar.

Aku masih merenungnya. Mencari apa yang membuatkan aku boleh menerima insan ini dengan hati yang terbuka. Aku perlukan jawapan itu kelak.

"Saya masih tak boleh berikan jawapan. Kalau benar awak mahukan saya, awak tahu apa yang perlu awak lakukan," aku memberikan jawapan selamat buatnya. Sebagaimana aku memberikan jawapan yang sama buat Farish semalam.

"Kenapa awak berikan jawapan yang sama pada saya dan Farish? Adakah awak tak mampu nak memilih atau awak memang tak mahukan sesiapa?"

"Saya selesa dengan awak, awak baik, selalu berada bersama saya tatkala sedih mahupun gembira. Awak penting dalam hidup saya, saya tak boleh bayangkan hidup saya tanpa awak disisi saya. Namun begitu, awak kena faham, dia adalah lelaki terakhir bertakhta dalam hati saya. Saya akui, saya masih belum mampu untuk melupakan dan membuang perasaan saya buatnya yang telah tersemat dalam hati saya sekian lama. Jadi, saya lebih selesa membiarkan Allah sebagai pemilik kekal hati saya memilih untuk saya," terangku panjang lebar.

Aku melihat Ilham sekali lagi. Dia masih tenang memandang ke arah luar. Aku sama sekali tak dapat menduga apa yang berada di benak hatinya.

"Saya yakin pilihan Allah adalah lebih baik daripada pilihan kita semua," luahnya, tenang sebelum berlalu pergi.

Entah mengapa, melihat dia pergi begitu sahaja, membuat hatiku rasa kecewa. Ya Allah, adakah aku telah mula menyayanginya?

     *      *     *     *     *

Aku sedang mengemaskan barang-barang pejabatku apabila Ilham datang menghampiriku.

"Kenapa awak berhenti kerja? Awak ada masalah ke?" tanya Ilham, ada nada risau dari suaranya,

Aku hanya menggelengkan kepala.

"Habis itu? Awak marahkan saya ke?"

Aku menggeleng lagi.

"Takkan awak nak mengelak untuk berjumpa dengan saya setelah saya hantar awak rombongan meminang?"

Aku berhenti mengemas. Aku memandang wajahnya, mana tahu kalau pendek umurku, ini merupakan kali terakhir aku melihat wajahnya.

"Saya nak balik kampung. Saya nak berfikir."

"Kenapa pula?"

"Sebab selepas keluarga awak balik, keluarga Farish pula datang meminang saya. Saya buntu, awak. Saya tak tahu siapa yang harus saya pilih," ujarku sebelum menangis.

Melihat tindakanku, Ilham terbungkam. Sama sekali dia tidak menduga yang aku akan menangis di dalam pejabat. Mujur hanya kami berdua sahaja di sini.

"Saya akan terima siapa sahaja pilihan awak, tapi saya nak awak tahu satu perkara. Mak saya pesan, jangan pilih orang yang kita sayang, tapi pilihlah orang yang sayangkan kita. Kalau keduanya menyayangi kita, pilihlah yang mana yang awak tak boleh hidup tanpanya."

Aku terkesima. Rasa terharu pula bila mendapat nasihat sebegitu.

"In sha Allah, saya akan pertimbangkan itu. Saya mohon, selagi saya tak berikan jawapan saya, jangan datang jumpa saya."

Ilham tersenyum, lalu menganggukkan kepalanya. Melihat responnya, aku lega. Setidak-tidaknya aku hanya perlu bimbangkan respon Farish.

     *      *     *     *     *

"Terima kasih sebab sudi luangkan masa untuk berjumpa dengan saya," ujarku sebaik sahaja duduk di hadapan Farish. Sengaja aku memilih Alora Cafe sebagai tempat pertemuan kami kerana kafe ini lebih senyap dan privasi. Kafe ini juga merupakan tempat aku dan Ilham serringkali melepak kerana ianya berdekatan dengan tempat kerja kami.

"Sama-sama. Macam mana? Apa jawapan awak?" tanya Farish pula.

"Boleh jujur dengan saya satu benda tak?"

"Apa dia?"

"Awak ada masalah yang hanya boleh diselesaikan dengan perkahwinan kita ke?"

Farish menggelengkan kepalanya.

"Baiklah kalau begitu."

"Awak ini banyak sangat tengok drama ini," seloroh Farish sambil tersenyum nakal.

"Drama itu takkan ada situasi begitu andai tiada siapa yang melakukannya. Beginilah, saya tak boleh nak bagi jawapan lagi. Saya ada beberapa perkara yang saya kena uruskan."

"Apa masalah awak sampai tak boleh nak terima atau tolak pinangan saya?" jerkah Farish, membuatkan aku tergamam.

"Kalau saya boleh tunggu tiga tahun untuk awak kembali pada saya, kenapa awak tak boleh lagi beberapa minggu untuk saya?"

Farish terdiam. Tak lama kemudian, ada keluhan berat kedengaran.

"Saya betul-betul minta maaf tentang itu. Saya sangka, saya mampu cari yang lebih baik daripada awak. Jadi, saya buat macam-macam untuk melupakan awak. Tambahan pula, kita memang jauh, sepatutnya benda itu mudah."

Aku tidak menjawab, sebaliknya hanya mendengar.

"Benda jadi lebih ketara bila setiap kali saya buka Facebook. Semua status awak ada dalam garisan masa saya. Separuh hati saya rasa nak sekat awak dari media sosial saya, namun separuh lagi masih mahu mengikuti perkembangan awak."

Aku masih lagi membisu, membiarkannya meluahkan perasaannya.

"Namun, hati saya jadi tak keruan apabila saya ternampak foto awak bersama Ilham. Saya cemburu. Saya jadi takut kehilangan awak."

"Kenapa awak rasa begitu?"tanyaku, hairan.

"Sebab pada sinar mata awak dan dia, perasaan itu ada. Saya bimbang ramalan saya benar. Itulah sebabnya kenapa saya cuba mencari awak di Kuala Perlis hari itu. Tak sangka awak ada di sana, tapi awak bersama dia."

Aku terbungkam. Masih kelu lidah ini untuk menjawab.

"Saya pasti dia sangat cintakan awak, tapi perasaan awak saya tak berapa pasti. Bezanya cuma banyak atau sikit saja."

Aku memandangnya. Perasaan Ilham aku pasti dia boleh rasa, sebab dia juga lelaki. Namun, hati aku sendiripun tak berapa pasti tentang perasaanku sebagaimana yang Farish rasakan.

"Jadi, awak boleh tunggu saya tak? Saya tanya kerana saya ada syarat lain selain daripada itu," tanyaku, serius.

"Apa syaratnya? Banyak betul."

"Selagi saya tak cari awak untuk berikan jawapan, jangan sesekali cari saya atau hubungi saya. Bukan setakat saya, keluarga saya pun awak jangan cari."

"Awak ini betul-betul nak terima saya ke tak sebenarnya? Atau awak tunggu Ilham masuk meminang?"

"Ilham lebih dulu datang meminang saya, sepatutnya awak tiada hak untuk memperlekehkannya. Dia juga menerima syarat yang sama dengan awak. Namun begitu, dia tidak melatah seperti awak walaupun usianya lebih muda daripada awak. Malulah sikit!"

"Awak cuba nak bandingkan saya dengan dia?"

"Ya, jika itu yang awak mahu percaya. Akan tetapi, pada hakikatnya saya sekadar ingin menduga."

"Maksud awak? Saya tak sukalah apabila awak cuba bermain kata dengan saya. Saya bukan artistik seperti awak."

"Saya juga bukannya artistik sangat, tapi saya bercakap dari akal yang berfikir, bukan hati yang membabi buta."

Aku dapat lihat Farish terbungkam. Dia sama sekali tidak boleh menerima sindiran tajamku.

"Baiklah, saya akan tunggu. Terima kasih sebab sudi memberikan peluang kepada saya," ujarnya lalu beredar.

     *     *     *     *     *

Aku sedang menikmati keindahan pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor apabila aku merasakan ada tangan yang memegang bahuku. Aku berpusing.

Alangkah terkejutnya aku apabila melihat seseorang yang telah lama tidak aku temui. Sangat lama, tiga puluh enam purnama kami tidak ketemu. Aku dapat melihat senyumannya masih ada buatku, membuatkan aku berasa sangat lega.

"Assalamualaikum, Hani. Ingat makcik lagi tak?" sapa makcik Ros, insan yang berdiri di hadapanku ini.

"Wa'alaikumussalam, makcik. Mana boleh tak ingat. Makcik sihat?" tanyaku pula.

"Alhamdulillah, makcik sihat. Kamu datang sini seorang saja ke?"

"Ya, makcik. Seorang saja. Makcik datang sini bercuti ke?"

"Tak, Hani. Makcik datang sini cari kamu. Makcik rindu sangat dengan kamu. Kamu tak rindu makcik ke?"

Aku terkesima apabila makcik Ros berkata begitu. Namun begitu, semua yang berlaku ini adalah kerana salahku juga.

"Saya rindu makcik juga. Saya minta maaf sebab tak datang jumpa makcik."

"Kamu tak nak bertembung dengan Ilham, bukan? Kenapa tak cakap? Makcik boleh aturkan, asalkan kamu nak datang jumpa makcik."

Aku tersenyum mendengar jawapan makcik Ros. Sayang benar dia padaku. Sehingga timbul perasaan bersalah kerana tidak menjenguknya sepanjang tiga puluh enam purnama ini.

"Makcik datang dengan siapa? Pakcik ke?"

"Hani tengok sendirilah," jawab makcik Ros sambil menuding ke arah kirinya.

Aku memandang ke arah yang ditunjukkan oleh makcik Ros tadi. Aku dapat melihat ayah Ilham, pakcik Husin sedang melambai ke arahku dan di sebelahnya adalah Ilham yang sedang tersenyum kepadaku.

Sejurus selepas itu, Ilham mendekati kami. Jantung aku mula berdegup kencang. Aduhai, jangan buat hal!

"Makcik tinggalkan kamu berdua ya. Kamu berbincanglah, jangan tangguh lama-lama. Takut hilang seri nanti," tegur makcik Ros setelah Ilham berada di hadapanku, lalu beredar meninggalkan kami berdua.

Aku memandang Ilham. Ya Allah, rindunya rasa! Tiba-tiba perasaan kesal itu mula menyelubungi segenap ruang hatiku kerana membiarkan Ilham menunggu selama tiga tahun. Kalau aku terus memberikan jawapan kepada pinangan Ilham dan Farish, pasti aku sudah beranak satu sekarang, bukan?

"Awak apa khabar?" tanya Ilham, sedikit gugup.

"Alhamdulillah, sihat. Saya tak nak tanya khabar awak kerana saya yakin awak sihat," selorohku, nakal.

Ilham terkejut pada mulanya, namun tersenyum tak lama selepas itu. Ada rona merah di wajahnya, malulah itu!

"Kenapa awak tak berikan keputusan awak pada pinangan saya? Atau awak dah terima pinangan Farish?" tanya Ilham, akhirnya.

"Kenapa awak tak hubungi saya?" tanyaku bagi menjeratnya.

"Awak kata jangan jumpa awak selagi awak tak berikan jawapannya."

"Ada saya kata jangan hubungi saya tak?" tanyaku lagi sambil membuatkan riak wajah nakal.

"Aduhai, macam mana saya boleh terkena ini? Saya minta maaf sebab tak hubungi awak dulu, sampai tiga tahun benda ini meleret," jawabnya, lemah.

"Kenapa awak tak cari lain dalam masa tiga tahun ini?"

"Awak boleh tunggu Farish selama tiga tahun sebelum dia masuk meminang awak, kenapa saya tak boleh tunggu awak tiga tahun bukan?"

Aku terdiam. Inilah jawapan yang aku cari, membuatkan aku tersenyum.

"Betul. Awak nak tahu apa keputusan saya pada pinangan Farish?"

"Mesti awak terima dia bukan?"

"Sebenarnya Farish sendiri yang minta agar saya pulangkan cincin tanda dua hari selepas saya berhenti kerja. Saya sangka dia sanggup tunggu saya, rupanya dia meminang saya kerana ibu bapanya sudah menggesanya agar segera berkahwin kerana keluarganya memerlukan zuriat."

Aku dapat melihat Ilham terkedu mendengar penjelasanku.

"Habis, bagaimana dengan saya?"

Aku tersenyum lebar lalu menekup mulutku dengan tangan kiriku. Aku memandang Ilham. Adakah Ilham menyedari sesuatu?

"Maksudnya, awak terima pinangan saya?"

Aku mengangguk. Aku lihat Ilham yang sedang melonjak kegembiraan membuatkan hatiku berasa amat bahagia kerana aku telah memilih insan yang menyayangiku dan aku sama sekali tak dapat membayangkan bagaimana hidupku tanpanya disisi. Cukuplah tiga puluh enam purnama aku hidup tanpanya, betapa seksanya rasa.

"Terima kasih sebab terima saya yang serba kekurangan ini," ujar Ilham sambil tersenyum.

"Terima kasih juga sebab memilih saya yang serba kekurangan ini dan sanggup tunggu sampai tiga puluh enam purnama untuk jawapan saya."

"Sebenarnya saya dah tunggu awak tujuh puluh dua purnama tahu? Tiga puluh enam yang pertama adalah untuk menyunting awak, dan tiga puluh purnama yang kedua adalah untuk menunggu jawapan awak," jelas Ilham.

Aku terpana. Betullah, dia sudah menantiku selama enam tahun. Kejamnya aku!

"Maafkan saya, Ilham."

"Tak apa, berbaloi apa tunggu tiga puluh enam purnama darab dua untuk dapatkan awak seumur hidup bukan? Nikmatilah zaman bujang awak, sebab tak lama lagi awak akan jadi milik saya," ujar Ilham sambil mengangkat kedua-dua belah keningnya.

Aku tidak menjawab, sebaliknya hanya memandang ke arah laut. Malas pula nak menjawab, nanti perkara ini akan meleret sampai dua tiga perenggan lagi. Apapun, tak sia-sia aku tunggu tiga puluh enam purnama untuk seorang lelaki bernama Muhammad Ilham bin Husin.

*TAMAT*

Foot print: Terima kasih Deena sebab bagi cadangan tajuk. =)

Monday, June 13, 2016

Kasih Tak Terbanding Part 10 (Akhir)...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Alhamdulillah dapat lagi aku mencoret dalam belog tersayang aku ini. Aku tak nak cakap banyak, moh semua layan sambungan cerpen bersiri ini. Untuk link sebelumnya, sila klik link-link dibawah:

Syahira cuba membuka matanya. Matanya dapat dibuka sedikit, namun dia tak dapat melihat apa-apa. Semuanya gelap. Dia cuba bangun, namun dia mendapati tangan dan kakinya terikat. Dia cuba pula untuk menjerit, namun kerana mulutnya telah disumbat dengan kain dan bibirnya dilekatkan dengan pita pelekat, jeritannya tak lagi kedengaran.

Sedang dia bergelut untuk melepaskan diri, dia terdengar suara Azhar mendekatinya. Setiap kata-kata Azhar jelas kedengaran di telinganya.

“Sayang dah sedar? I minta maaf, I terpaksa ikat you sebab I tak nak you lari lagi sayang. I nak you jadi milik I seorang saja. Tapi I boleh bukak pita pelekat pada mulut you,” ujar Azhar lalu menanggalkan pita pelekat yang menyekat pergerakan bibir Syahira sedari tadi.

“Lepaskan I! I rasa you ni dah gilalah! Gila tau tak?” jerkah Syahira sebaik sahaja pita pelekat itu ditanggalkan.

“Sayang, I bagi you cakap bukan untuk you terjerit-jerit macam orang gila! I belum pekaklah, Ira! Tapi kan, I tak nak lepaskan you, sebab nanti you akan lari. Betul tak?”

Mendengar cara percakapan Azhar, Syahira mulai bimbang. Sebelum ini bekas suaminya tak pernah bertindak begini. Pasti ada yang tak kena, Azhar perlukan bantuan.

     *    *     *     *     *

“Kenapa dengan Ida, Aamir?” tanya Mak Aina sebaik sahaja dia tiba di ruangan menunggu hospital. Aamir yang menyedari kehadiran ibu bapanya terus berdiri lalu memeluk ibunya.

“Doktor suruh Aamir pilih antara Ida dengan kandungan.”

“Kandungan? Sejak bila Ida mengandung? Kenapa mama tak tahu?”

“Abang tahu, kamu itu saja yang tak tahu. Yalah, sejak kamu ada menantu baru, mana kisahkan menantu lama kamu. Sihat ke dia, sakit ke dia, mana pernah kamu tanya dah,” sindir Pak Zaini, tajam.

Terkesima dua beranak itu mendengar sindiran Pak Zaini. Tergamam pun ada.

“Oh ya Aamir, dah beritahu pada mak ayah Ida?” tanya Pak Zaini bagi memecah kesunyian.

“Sudah, mama dengan ayah dalam perjalanan. Mereka kata dalam tiga jam baru sampai, itulah paling cepat. Abah faham-fahamlah, ayah itu bukannya muda lagi.”

“Abah faham. Abah kagum macam mana dia masih boleh berjalan jauh lagi. Abah dah tak larat dah.”

“Ida kata dia memang suka berjalan sejak muda. Ida itupun dapat tabiat dia juga,” seloroh Aamir walaupun sedang bimbangkan keselamatan isterinya.”

“In sha Allah Aamir, semuanya akan berjalan lancar. Allah tahu apa yang terbaik buat kita semua,” ujar Pak Zaini apabila menyedari kebimbangan yang dialami oleh anaknya itu.

Aamir hanya mampu tersenyum nipis.

     *     *     *     *     *

Syahmi sedang berdiri tidak jauh dari rumah Azhar apabila seorang lelaki datang mendekatinya.

“Encik Syahmi?” tanya lelaki itu.

Syahmi hanya mengangguk.

“Saya Inspektor Johan dari IPD Dang Wangi. Betulkah teman wanita encik berada dalam rumah ini?”

Sekali lagi Syahmi mengangguk.

“Encik tahu siapa yang menculik dia?”

“Bekas suaminya. Saya syak dia ada masalah psikologi sejak mereka berdua bercerai kerana ini bukan pertama dia menganggu Syahira dan saya.”

“Encik pun pernah diganggu?”

“Ya, Inspektor. Dia pernah datang maki hamun saya dan juga datang merayu pada saya. Kedua-duanya berkenaan Syahira.

“Baiklah, kalau begitu biar kami siasat. Sebaiknya Encik Syahmi tunggu berita tentang hal ini dari dalam kereta saja. Saya bimbang lelaki itu akan bertindak agresif andai dia ternampak encik berada di sini.”

Syahmi tidak menjawab, sebaliknya hanya mengangguk lalu berjalan menuju ke arah keretanya. Dia hanya mampu mendoakan keselamatan Syahira.

Sedang dia melayan perasaan, telefon bimbitnya berdering. Dia melihat skrin telefon bimbitnya, nama “Aamir” tertera. Tanpa berlengah, dia segera menjawab panggilan tersebut.

“Assalamualaikum Syahmi, maaf mengganggu tapi perkara ini mustahak. Ada jumpa Syahira tak? Puas aku hubungi dia tapi telefon bimbitnya tak aktif,” kedengaran suara Aamir dari hujung talian.

“Wa’alaikumussalam Aamir, aku sebenarnya ada hal nak beritahu kau pasal Syahira. Aku share location aku kat kau, kau datang sini sekejap.”

“Okay, bro. See you,” jawab Aamir lalu memutuskan talian.

Syahmi membuka aplikasi WhatsApp lalu mengkongsikan kedudukannya kepada Aamir bagi memudahkan Aamir untuk mencarinya. Dia hanya mampu berharap agar semuanya selamat.

    *     *     *     *     *

Syahira membuka matanya sekali lagi. Bergelut dengan Azhar tadi membuatkan dirinya tidak sedar setelah ditampar dengan begitu kuat. Apabila dia sedar semula, alangkah terkejutnya dia apabila melihat keadaan dirinya yang separa bogel itu. Dia dapat merasakan dirinya sudah dinodai oleh lelaki yang dulunya bertakhta di hati itu.

“Dah bangun dah, sayang? Meski you terkejut tengok keadaan you. Itulah, siapa suruh you degil sangat?  Kan dah kena,” sindir Azhar dengan nada yang paling lembut yang pernah dia tuturkan.

“You memang sah gila! You ingat, bila you buat begini, I akan kahwin dengan you? Silap banyaklah you!” tengking Syahira, sambil membalut tubuhnya dengan selimut yang ada di sebelahnya.

“I tahu you akan kembali dengan I, sebab  I dah siap rakam detik kita bersama. Kalau I sebarkan di internet, you mesti malu kan? Jadi, macam mana sekarang? Masih tak nak lagi?”

Syahira kaget. Pastinya dia tak mahu maruahnya dipijak-pijak oleh bekas suaminya sendiri. Namun, untuk menyerahkan diri sekali lagi pada lelaki yang sudah tidak dia kenali, memang tak mungkin. Jadi, Syahira memikirkan bagaimana dia mahu melepaskan diri tanpa maruah atau nyawanya berada dalam bahaya.

“Azhar, you kata you sayang I tapi kenapa you buat I begini?” tanya Syahira, sengaja dimanjakan suaranya bagi mengelirukan Azhar.

“Sebab I sayang you, I buat begini. Supaya you tak lari lagi. Eh, I tak perasan pula you tak terikat! Sekejap ya sayang, I kena ikat tangan you balik ini,” ujar Azhar lalu mencapai lengan Syahira.

Untuk keselamatan dirinya, dia membiarkan saja Azhar mengikat kedua belah tangannya di kepala katil. Kemudian, dia melihat Azhar mengikat kedua belah kakinya di kaki katil pula.

“Now, that’s better.”

“You nak buat apa ini, sayang?” Terpaksa dia sebutkan juga perkataan terakhir itu meski jijik rasa di anak tekaknya.

“Tak ada apa, I nak tengok you saja sayang. Sebenarnya kan, I tak buat apa-apapun pada you. I Cuma tanggalkan seluar dengan seluar dalam you saja sebab nak you fikir I dah apa-apakan you. Rakam pun tak, saja buat propaganda sikit. Cuma itu tak bermakna yang I takkan buat.”

Mendengar kata-kata Azhar, Syahira menarik nafas lega. Setidak-tidaknya, dia masih belum dinodai, buat masa ini.

Sedang dia mengelamun, tiba-tiba kedengaran pintu bilik itu dibuka. Dia dan Azhar sama-sama memandang ke arah pintu tersebut. Alangkah terkejutnya mereka berdua apabila melihat tiga orang polis berada di hadapan mereka.

Azhar cuba untuk meloloskan diri, namun gagal. Dia akhirnya ditahan atas tuduhan menculik dan cubaan merogol. Sebelum dia dibawa pergi, dia sempat menoleh ke arah Syahira lalu berkata, “Ingat, Syahira! Awak milik saya seorang saja, tunggu saya tahu?”

Syahira yang sedang dibukakan ikatannya oleh seorang anggota polis perempuan, hanya mendiamkan diri kerana bimbang jawapannya kelak akan membuatkan Azhar menjadi agresif. Selepas ikatannya dibuka, polis tersebut memberikannya pakaiannya yang digantung oleh Azhar di atas penyidai tuala agar Syahira dapat memakainya kembali.

Selepas itu, dia dibawa keluar dari rumah tersebut. Melihat kelibat Syahira, Syahmi dan Aamir yang berada di situ sedari tadi berlari menuju ke arahnya.

“Cik, macam mana semuanya dah selesai?” tanya Syahmi kepada anggota polis wanita di sebelah Syahira.

“Sudah, encik. Kami dah ambil keterangan Cik Syahira pun,” jawab Konstabel Rina, polis wanita tersebut.

“Kalau begitu, lebih senang sebab kami perlu bawa dia ke hospital. Kawan baiknya tengah pembedahan nak bersalin,”ujar Syahmi.

“Boleh, encik. Cik Syahira, terima kasih atas kerjasama cik tadi. Cik bolehlah ke hospital sekarang. Kawan cik pasti memerlukan cik sekarang,” ucap Konstabel Rina pada Syahira sebelum beredar meninggalkan mereka bertiga.

“Kenapa dengan Ida, Aamir?” tanya Syahira, cemas.

“Jom kita ke hospital dulu. Dalam kereta nanti kami cerita. Aamir pun datang tadi naik teksi. Jadi, kita akan pergi ke sana bersama.”

Syahira tidak menjawab lalu mengikut saja di belakang mereka berdua yang sudahpun bergerak menuju ke kereta Syahmi. Apapun yang berlaku, dia hanya berdoa agar semuanya selamat.

     *      *     *      *      *

Tiga bulan kemudian…

“Minta maaflah mama sebab minta tolong mama jagakan Ayu ini, hari ini Aamir ada hal nak uruskan. Aamir takut nanti bukan-bukan pula jadi pada puteri Aamir ini,” ujar Aamir lalu menyerahkan Ayu yang tengah lena ke pangkuan Mak Aina.

“Kasihan Aamir. Tak apa, mama faham. Pergilah uruskan hal kamu itu dulu.”

“Baik, mama. Aamir pergi dulu. Assalamualaikum,” ucap Aamir lalu mencium tangan ibunya sebelum beredar masuk ke dalam kereta.

“Kenapa abang suruh mama jaga Ayu? Sayang boleh jaga, selama ini sayang jaga kan?” tanya Nadira yang duduk di sebelah Aamir di dalam kereta itu.

“Oh, tidak! Kita kena berhati-hati. Dia masih bayi lagi, mana boleh dekatkan dia dengan Ana. Nanti sakit budak itu, sayang sanggup tak tidur malam ke?”

“Eleh, abang! Selama ini Dira tak tidur pun, bukannya abang tahu! Abang sedap saja berdengkur,” ujar Nadira lalu mencebik.

“Ala, sayang ini. Abang nak bergurau pun dah tak boleh. Sensitifnya. Abang tahulah sayang abang ini tak tidur malam sebab mata dia macam panda,” ujar Aamir lalu ketawa terbahak-bahak.
Tindakan Aamir membuatkan Nadira berasa geram lalu mencubit suaminya.

“Sakitlah, sayang!”

“Tahu pun sakit. Hati Dira yang sakit ini bagaimana?”

“Yalah, abang minta maaf. Sayang jangan marah, nanti tak cantik.”

“Tak cantik pun abang nak kan? Siap tunggu lama lagi kan?”

“Perasannya isteri abang ini! Siapa ajar?”

“Takkan baru tahu kot sayang ini perasan tak sudah? Abang ini nama saja dah kahwin dengan sayang tiga tahun, benda itu pun abang tak tahu.”

Jawapan Nadira sekali lagi memecahkan hilai tawa Aamir. Mendengar ketawa Aamir, Nadira semakin geram dan terus mendiamkan diri. Tak kuasa nak melayan kerenah suaminya itu.

     *     *     *     *     *

Mahkamah menjatuhkan bahawa Azhar sudah tidak siuman dan seharusnya dirawat. Sehubungan itu, dia telah dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.

Setelah sebulan baru Syahira dapat menguatkan diri untuk melawat insan yang pernah ada dalam hatinya itu. Itupun selepas dipujuk oleh Syahmi yang baru dinikahinya seminggu lepas.

Dari jauh lagi dia dapat melihat kelibat Azhar yang sedang bermain kejar-kejar dengan rakan-rakannya. Sehangat manapun hati Syahira yang terluka dek perbuatannya itu, wanita itu tetap tak mampu menahan sebak melihat keadaan bekas suaminya itu.

“You kena kuat, sayang. I tahu you sedih, walaupun dia pernah lukakan you tapi you tetap tak sampai hati nak tengok dia begitu kan?” tanya Syahmi setelah menyedari yang isterinya itu mengalirkan air mata.

“I bukan apa, I memang tak sangka dia boleh jadi begini. Sangat tak sangka.”

“Kita semua pun tak sangka. Cuma I pasti, Allah takdirkan begini pasti ada sebab dan hikmah di sebaliknya.  Mungkin juga untuk memudahkan kita untuk memaafkannya.”

“Betul juga ya. Terima kasih Hubby. Love you,” ujar Syahira sambil melangkah keluar dari wad psikiatri itu. Syahmi juga mula melangkah mengikuti langkah Syahira.

Setelah puas Syahmi mengejar Syahira, akhirnya mereka berjalan seiringan. Syahmi bertindak merangkul bahu Syahira dan tindakan Syahmi mengejutkan Syahira. Syahira yang berasa sedikit malu itu membalas tindakan suaminya dengan merangkul pinggang Syahmi pula.

“Orang lain bulan madu di gunung, pulau, pantai, ada kawan kita ini bulan madu di hospital pula. Bukan hospital biasa, hospital psikiatri pula tu!”

Suara yang menegur itu menghentikan langkah pasangan suami isteri itu. Mereka berdua memandang ke hadapan, terlihat Aamir dan Nadira berdiri di hadapan mereka.

“Eh, Aamir, Ida! Kau orang buat apa kat sini?” tanya Syahira sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.

“Aku dengan Aamir nak pergi melawat bekas suami kaulah. Sejahat-jahat dia, dia tetap kawan kami. Cuma yang aku tak faham itu, apa pengantin baru ini buat disini? Bila nak pergi bulan madu hah?” jawab Nadira.

“Esok kami bertolaklah, Ida. Ayu mana? Rindu nak main dengan dia,” jawab Syahmi.

“Bulan madu mana? Ayu ada dengan opahnya. Opahnya dah rindu cucu sampai demam,” seloroh Aamir sambil ketawa. Nadira pula tersenyum, cuba menahan ketawa.

“Maldives saja mampu,” jawab Syahira sambil tersengih.

“Maldives saja mampu? Untunglah mampu, aku dengan Aamir dulu bulan madu atas katil di rumah saja,” sindir Nadira.

“Dira yang tak nak, bukan abang tak nak bawa,” jawab Aamir.

“Ya, salah Dira. Tahulah,” jawab Nadira lagi sambil mencebik.

“Bro, kau ini kan! Waktu Ida ini bertarung nyawa dalam bilik pembedahan, kau bukan main lagi nak jadi suami mithalilah, tak nak gaduh lagilah, apa cerita ini?”

Mendengar kata-kata Syahmi, Nadira menjeling ke arah Aamir manakala Aamir pula cuba untuk mengelak daripada memandang Nadira.

“Mithali apa? Mithali tu bolehlah, tapi tang gaduh itu tak pernah berubah pun!”

“Abang tak bolehlah tak kacau sayang. Jiwa abang tak tenang kalau sehari tak gaduh-gaduh manja dengan Dira.”

“Ya ke? Balik nanti kita gaduh ya abang. Agak-agak siapa yang tak dapat tidur dengan siapa malam ini ya?”

“Ugut abang ke?”

“Abang rasa?”

“Okay dah kau orang, dah boleh berhenti dah! Daripada bercinta, sampai dah beranak pun tetap macam ini ya?” tanya Syahira bagi meleraikan pertelingkahan antara Aamir dan Nadira.

“Sayang kena faham, mereka berdua ini nampak saja asyik nak bergaduh tapi kasih sayang mereka memang tak ada siapapun mampu tandingi. Bagilah apapun dugaan, mereka dapat hadapi dengan tabah,” jawab Syahmi.

“Cakap pasal dugaan, Rohana apa khabar?” tanya Syahira.

Soalan Syahira membuatkan keduanya terkedu. Tak lama selepas itu, baru Aamir dan Nadira sedar yang mereka tidak menyampaikan berita itu kepada pasangan pengantin baru ini.

“Ana dah meninggal, kelmarin. Malam ini kenduri tahlil malam ketiga. Kalau kau orang rasa larat nak pergi, jemputlah. Aku buat di rumah mak ayah aku.”

Jawapan Aamir membuatkan Syahira dan Syahmi pula terkedu.

“Aku minta maaf, aku tak tahu,” ujar Syahira, perlahan.

“Tak apalah, sebab arwah pergi memang tak ada siapapun tahu. Tahu-tahu nurse datang periksa, dah tak ada,” jelas Aamir.

“Macam dia tak nak ada sesiapapun tahu dia dah pergi,” ujar Nadira pula.

“Benda dah lepas, bro, sis. Kita yang hidup ini kena teruskan. Kita sedekahkah Al-Fatihah pada arwah, in shaa Allah rohnya pasti akan mendapat rahmat Allah,” ujar Syahmi.

“In shaa Allah…”

“Sudahlah, kami berdua gerak dulu. Nak berehat di rumah saja, malam nanti kami singgah kenduri tahlil itu. Doakan kami berdua dapat rezeki ya?” seloroh Syahmi, gatal.

“You!” jerit Syahira yang diselubungi perasaan malu.

“Kami faham. Kami sama-sama doakan kau orang ya?” jawab Aamir sambal mengenyitkan sebelah mata bagi menyakat Syahira yang sudah malu itu.

Tindakan mereka berdua membuatkan Syahira mencebik dan Nadira pula tertawa riang dengan telatah kedua-dua suami mereka.

Kemudian, mereka mula bersalaman sesama sendiri. Nadira dan Aamir berlalu pergi terlebih dahulu meninggalkan Syahira dan Syahmi berdua di situ.

“You tahu, Ida dan Aamir adalah bukti kasih tidak terbanding. Kalah semua kisah cinta di dunia dengan kisah mereka,” ujar Syahmi.

“Kalau dulu, mungkin I takkan setuju dengan you tapi sekarang I setuju. Memang tak terbanding. Hanya kasih sayang Allah sahaja yang berada di atas kasih mereka.”

“Jom, sayang.”

Syahira melihat ke arah Syahmi yang sedang menghulurkan tangannya. Dengan pantas, dia menyambut dan mereka mula berjalan beriringan keluar dari hospital itu.

*TAMAT*

Foot print: Habis sudah cerpen ini. Maka, dengan ini, saya ingin mengumumkan bahawa saya ingin berehat buat sementara waktu. Semoga berjumpa di lain entri. ;)

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com