Monday, January 20, 2020

Dalam Kesamaran Bahagian 17

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15
Bahagian 16

"Atas sebab awak," jawab Suraya, sangat perlahan tetapi masih boleh didengari oleh Haziq membuatkan Haziq terkejut dengan jawapan yang diberikan.

"Kenapa saya?" tanya Haziq, hairan.

"Bukankah awak yang suruh saya terima Muhaimin dulu?" tanya Suraya sambil merenung ke arah Haziq.

"Awak sudah ingatkah?" tanya Haziq, terkejut dengan pertanyaan Suraya.

Suraya hanya mendiamkan diri dan terus merenung Haziq membuatkan Haziq mengerti apakah jawapan Suraya kepada soalannya tadi.

"Hanya semata-mata untuk saya?" tanya Haziq.

"Awak duduk sini, letihlah nak dongakkan kepala saya," ujar Suraya sambil menepuk-nepuk birai katilnya.

Haziq hanya menurut dan duduk di birai katil Suraya. Suraya hanya memandang wajah yang dirinduinya itu tanpa sebarang ekspresi.

"Bukan semata-mata untuk awak, tapi sekiranya awak terima pengakuan saya dulu, saya takkan terima Muhaimin dalam hidup saya. Saya lakukan sebab awak, sebab ayah, sebab Lia dan sebab Tan Sri Mazlan. Bagi saya, saya harus perbetulkan segalanya," jelas Suraya, masih merenung wajah Haziq.

"Sampai awak korbankan hidup awak selama 4 tahun untuk kami semua?" tanya Muhaimin, keliru.

"Saya sayangkan awak, ayah dan Lia. Kamu semua ada sesuatu yang buat saya sangat terhutang budi. Saya harus lindungi semuanya dari belenggu Tan Sri Mazlan. Kita sama-sama tahu perangai Tan Sri sekeluarga bukan?" jelas Suraya lalu tunduk ke bawah. Dia dapat rasakan air matanya bakal mengalir.

"Saya lepaskan awak kerana saya sangkakan Muhaimin akan bahagiakan awak. Jujur, saya tak berbohong. Setidaknya, Tan Sri Mazlan akan pastikan Muhamin akan bahagiakan awak. Akan tetapi, saya terlupa bahawasanya perangai Muhaimin dan papanya serupa. Saya tak sangka yang Muhaimin akan sia-siakan awak sepenuhnya," jawab Haziq lalu memandang ke arah Suraya.

"Nampaknya awak sudah tahu semuanya. Apa lagi yang boleh saya katakan?" ujar Suraya dengan air mata yang mengalir.

Meskipun Suraya menundukkan wajahnya, dia tahu Haziq pasti tahu dirinya sedang menangis. Jadi, dia hanya mengekalkan posisinya sekarang supaya ianya tidak terlalu ketara.

"Saya tak lepaskan awak untuk awak dilayan sebegitu, Suraya. Demi Allah, saya tidak berniat begitu. Saya minta maaf sangat-sangat," pinta Haziq.

"Saya tahu, saya tak pernah salahkan awak."

"Izinkan saya tebus kesalahan saya," ujar Haziq, lemah.

"Tebus kesalahan? Dengan?"

"Nikahi saya," jawab Haziq, kali ini tegas.

Mendengar kata-kata Haziq, air mata Suraya terus berhenti mengalir lalu dia mendongakkan wajahnya dan memandang Haziq kerana terkejut.

"Apa dia?" tanya Suraya.

"Nikahi saya. Saya nak jaga awak, dan saya pasti mama dan papa pun nak jaga awak juga. Saya nak tebus kesalahan saya lepaskan awak dulu," jelas Haziq.

"Saya rasa saya tak boleh nikahi awak sekarang," jawab Suraya sambil memandang wajah Haziq dengan perasaan sayu.

"Kenapa?" tanya Haziq, ingin tahu.

"Saya tak bersedia untuk hadapi alam perkahwinan untuk kali kedua. Saya tak boleh buat masa ini. Saya minta maaf," jawab Suraya.

Haziq menarik nafas dalam lalu mengeluh. Suraya hanya mampu memandang Haziq dengan penuh perasaan bersalah. Dia tak mahu menerima Haziq dengan mudah kerana dia takut akan dikecewakan kali kedua.

     *     *     *     *     *

Zulaikha sedang menghidangkan air kepada Rashdan dan Aduka yang baru sahaja tiba apabila loceng pintu pagar rumahnya berbunyi. Zulaikha memandang Rashdan dengan perasaan keliru kerana setahunya, hanya Aduka yang dijemput datang ke rumah. Aduka masih belum bersedia untuk bertemu dengan Lily, lebih-lebih setelah mengetahui Lily sudahpun bahagia dengan suami dan anaknya.

Zulaikha berjalan menuju ke arah pintu lalu membukanya. Kelihatan Suraya dan Haziq berdiri di hadapan pintu rumahnya membuatkan dia sedikit terkejut. Kehadiran Suraya sudahpun mengejutkan, ditemani oleh Haziq lebih mengejutkan Zulaikha.

"Ika tak nak jemput Su masukkah? Oh, terkejut tengok Haziq? Su nak datang sendiri, tapi keluarga Haziq tak bagi Su pandu kereta sendiri. Tahu tak, kereta Su dah seminggu tidur kat garaj rumah papa," ujar Suraya sambil tersenyum.

Zulaikha memandang ke arah Haziq. Tampak ketara wajah bengang Haziq meskipun cuba disembunyikan. Pasti geram disindir sebegitu.

"Jemputlah masuk," ujar Zulaikha sambil tersenyum.

Zulaikha berjalan menuju ke dapur untuk mengambil gelas buat Suraya dan Haziq. Sekembalinya dia di hadapan, dia melihat Suraya dan Haziq masih berdiri di tempat terakhir dia tinggalkan mereka berdua tadi.

"Tak payah nak tenung begitu, memang Aduka," ujar Zulaikha lalu meletakkan gelas yang diambilnya tadi di atas meja kopi.

Suraya hanya mengangguk lalu duduk bersebelahan Zulaikha, manakala Haziq pula duduk bersebelahan Aduka. Kelihatan Aduka dan Haziq bersalaman, memandangkan mereka berdua pernah bertemu minggu lepas.

"Eh, sekejap. Bila masa Aduka dengan Haziq berkenalan ini?" tanya Zulaikha, hairan dengan tindakan keduanya itu.

"Minggu lepas, sewaktu abang jemput Aduka datang ke rumah, terserempak dengan Haziq. Cuma, yang abang tak faham, sejak bila kawan baik kita ini berbaik dengan bekas majikannya?" sindir Rashdan membuatkan wajah Suraya semakin masam.

"Itulah, Ika pun terkejut juga. Macam mana ya? Terjumpa di rumah keluarga sendirikah, encik Haziq?" tanya Zulaikha sambil tersenyum.

"Salah sendiri, setahun aku menetap di rumah keluarganya, tak pernah-pernah dia balik rumah semasa aku ada. Tiba-tiba saja dia balik, lepas itu ajak bergaduh pula," ujar Suraya, dengan niat menyindir Haziq pula.

"Eh, kau! Aku sindir kau, kau sindir dia. Kau orang berdua ini bukannya muda lagi, nak bergaduh macam budak-budak buat apa? Oh ya, ada hajat apa kau datang ke rumah aku ini?" tanya Rashdan selepas memarahi tindakan Suraya menyindir Haziq itu.

"Aku ingat nak ajak kau orang keluar makan, aku belanja sempena perdamaian antara aku dengan Haziq tapi nampak gayanya Ika macam sudah masak. Cukupkah nak hidang kat kami berdua sekali? Kalau cukup untuk seorang, aku suruh Haziq balik dulu," ujar Suraya, selamba membuatkan kesemua mereka terkedu dengan pernyataan Suraya itu.

"Kau ini, tak beragaklah soalan kau! Kalau cukup untuk seorang pun, aku hantar kau saja balik. Suka hati kau saja buat keputusan. Aku tuan rumah, jadi terpulang pada akulah bukan? Cukuplah, Ika masak lebih, ingatkan nak makan sampai malam tapi sudah tertulis rezeki kau orang. Jadi, aku nak kau orang bertiga habiskan," jawab Rashdan.

"Tapi masalahnya, bukan kami berdua saja sebenarnya. Su lupalah itu," jawab Haziq.

"Jangan cakap..."

Belum sempat Zulaikha menghabiskan ayatnya, kedengaran loceng pintu pagar rumahnya sekali lagi berbunyi.

Kali ini, Rashdan pula bangun dari tempatnya lalu berjalan menuju ke arah pintu rumahnya sebelum membukanya. Alangkah terkejutnya dia melihat Lily, Adrian dan anak mereka berdiri di hadapan pintu rumahnya itu.

"Maaflah, kami lambat. Ada kemalangan di Jalan Ipoh tadi. Sesak teruk," ujar Lily sambil tersenyum.

"Tak apa, masuklah," jawab Rashdan lalu memberikan laluan kepada mereka bertiga.

"Nah, aku bawakan ayam KFC untuk makan tengahari. Almaklumlah, kami semua datang mengejut, bukan?" ujar Adrian lalu menyerahkan bungkusan plastik kepada Rashdan sebelum masuk ke dalam rumah diikuti dengan Lily yang sedang mendukung Cempaka.

"Terima kasih. Kau orang macam tahu-tahu saja makanan yang ada tak cukup," jelas Rashdan sambil tersenyum nipis.

"Aku tahulah, aku dengan Su datang mengejut. Su mana?" tanya Lily sebelum memandang ke arah semua orang yang berada di ruang tamu.

Zulaikha dapat melihat Lily sudahpun terkejut melihat Haziq tetapi dia terus terkaku melihat insan yang berada di sebelah Haziq itu. Tanpa berlengah, Zulaikha bangun lalu mendekati Lily.

"Maafkan Ika, kalau Ika tahu Lily nak datang, Ika suruh Lily datang hari lain," ujar Zulaikha sambil memegang bahu Lily.

"Oh ya, Adrian. Kenalkan ini Haziq, bekas majikan Su dan ini Aduka, kawan lama kami. Haziq, Aduka, kenalkan ini Adrian, suami Lily," ujar Rashdan sebelum menuju ke dapur untuk menghantar bungkusan ayam yang diterimanya tadi.

Zulaikha melihat ketiga-tiga lelaki itu bersalaman sebelum Adrian duduk di sebelah Haziq. Zulaikha membawa Lily dan Cempaka untuk duduk di sofa yang diduduki oleh Rashdan tadi.

Semua orang tidak boleh meneka apa yang berada di dalam kepala Lily sekarang, tetapi mereka cuma boleh berharap agar semuanya baik-baik sahaja.

Sebaik sahaja Rashdan tiba bersama kerusi untuk dia duduki, dia dapat melihat suasana sunyi membuatkan dia mulai bimbang. Bimbang akan perang meletus sebentar lagi.

"Su, tadi kau kata kau datang seorang. Bagaimana boleh ada Haziq ini?" ujar Lily bagi memecahkan hening.

"Haziq tak bagi aku pandu sendiri sejak kes aku pengsan hari itu," jawab Suraya, perlahan.

"Baguslah, kalau aku jadi dia pun aku tak bagi. Kalau dia nak jadi bodyguard kau, berkepit 24 jam sehari dengan kau pun aku setuju. Nikah terus pun tak apa!" sindir Lily tajam.

"Dia dah ajak aku nikah, tapi aku tolak," jawab Suraya, perlahan.

Semua pandangan beralih daripada Lily kepada Suraya. Semuanya tidak percaya akan apa yang didengarinya.

"Kau serius? Kau tinggal dalam rumah keluarganya, tapi tak nak jadi menantu keluarganya?" tanya Rashdan.

"Aku cuma belum bersedia untuk berkahwin lagi. Itu saja," jawab Suraya.

"Semoga berjaya, Haziq. Kau kena usaha lebihlah nampaknya," ujar Aduka sambil menepuk bahu Haziq.

Zulaikha sedang memikirkan bagaimana hendak menolong Suraya apabila terpandangkan Lily yang sedang merenung Aduka tajam. Sangkaannya, hanya dia saja yang melihat. Ternyata Rashdan juga perasan akan tindakan Lily itu.

"Lily, kau jangan tenung Aduka itu lama sangat. Tembus nanti," seloroh Rashdan, cuba meredakan ketegangan yang mulai menular.

"Kenapa kau jemput dia datang ke rumah kau, Dan?" tanya Lily, masih merenung Aduka.

"Aku tak rasa aku boleh jawab soalan itu, Lily. Itu hal aku dengan Aduka," jawab Rashdan.

"Su, kau tahu kenapa Rashdan jemput Aduka ke rumahnya? Memandangkan kau sampai sini dahulu," tanya Lily kepada Suraya pula.

"Aku tak tahu," jawab Suraya, perlahan.

"Kau tak tipu aku, bukan?" tanya Lily lagi.

"Kalau kau rasa aku tipu kau, kau tanyalah orang lain. Kau punya hal, aku pula nak kena fikirkan," jawab Suraya, geram dituduh sebegitu.

"Kenapa awak tak tanya saya saja?" tanya Aduka, letih melihat tingkah laku Lily yang baginya seperti kebudak-budakan itu.

"Kau diam! Aku tak tanya kau pun!" bentak Lily, berang.

"Lily, cantik sikit perangai itu!" tegas Adrian membuatkan wajah Lily berubah.

"Abang tak tahu apa-apapun, kenapa abang nak marah Lily pula?" tanya Lily, bengang ditegur begitu oleh Adrian.

"Aduka ini mesti ex-boyfriend Lily, bukan?" duga Adrian.

"Betul tapi bagaimana abang tahu?" tanya Lily, hairan.

"Abang tengok sendiri reaksi Lily bagaimana tatkala melihat wajah Aduka. Sesiapapun akan tahu," jawab Adrian, selamba.

"Baguslah abang tahu, inilah lelaki yang buat Lily jadi fobia nak bercinta dulu. Dialah punca kenapa abang kena gunakan kuasa veto ayah untuk nikahi Lily. Lelaki inilah!" ujar Lily lalu menuding ke arah Aduka.

"Kenapa kamu berdua putus dulu?" tanya Adrian lagi.

"Dia ada orang lain," jawab Lily.

"Betulkah dia ada orang lain, Rashdan?" tanya Adrian kepada Rashdan.

Rashdan hanya menggelengkan kepalanya.

"Kenapa abang tanya Rashdan?" tanya Lily, hairan.

"Orang lelaki ini setiakawannya lebih. Sekiranya benar Aduka betul-betul ada orang lain, tak mungkin Rashdan, kawan baik Lily akan terus berkawan dengannya. Melihatkan hubungan Rashdan dan Aduka, mereka berdua sepertinya sudah lama rapat. Let me guess, 5 tahun?" ujar Adrian.

"Apa yang Adrian cakapkan itu masuk akal," sampuk Haziq, menyokong pendapat Adrian.

"Aku ini polis, Haziq. Sekali imbas aku sudah boleh duga semuanya. Kau dengan Suraya punya cerita pun aku dah boleh duga. Aku harap kali ini kau takkan kecewakan sepupu ipar aku lagi," sindir Adrian sambil tersenyum.

"Betul apa yang kau cakapkan, Adrian. Sepanjang 5 tahun ini, Aduka hanya berhubung dengan aku sahaja," jawab Rashdan.

"Kenapa kau atau Aduka tak berterus-terang saja mengapa Aduka tinggalkan Lily dulu?" tanya Adrian.

"Maksud kau?" tanya Aduka, hairan.

"Aku dengan kau sama-sama kenal bini aku bagaimana. Sampai bila kau nak biarkan dia bersangka buruk pada kau?" tanya Adrian pula.

Aduka terkesima mendengar pertanyaan Adrian itu. Dia belum bersedia untuk Lily tahu akan penyakitnya 5 tahun lalu.

"Apakah ada perkara yang akan berubah kalau aku berterus-terang, bro?" tanya Aduka semula.

"Setidaknya, dia tak hukum kau tanpa neraca begini! Aku tak nak isteri aku tanggung dosa salah sangka, bro. Tidak, selagi dia masih isteri aku," jawab Adrian membuatkan semuanya terkedu.

"Aku tak bersedia untuk berterus-terang," jawab Aduka, lemah.

"Kau jangan fikirkan diri kau sahaja! Kawan-kawan kau adalah kawan-kawan Lily juga. Kau pernah fikirkan tak apa implikasi tindakan kau kepada kawan-kawan kau?" tegas Adrian.

"Apa yang Adrian cakap ada betulnya. Kalau kau tak berterus-terang, tindakan kau akan beri kesan kepada persahabatan Rashdan, Zulaikha, Lily dan Suraya. Jangan hukum yang lain di atas kesalahan kau," ujar Haziq sambil menepuk bahu Aduka.

"Baiklah kalau begitu. Sebenarnya Lily, saya berpura-pura ada perempuan lain kerana saya nak awak tinggalkan saya. Perempuan itu adalah sepupu saya, bukannya orang lain pun. Saya terpaksa minta awak tinggalkan saya supaya awak tak perlu tahu akan penyakit saya 5 tahun lepas," ujar Aduka dengan air mata yang ditahan.

Haziq dan Suraya terkedu mendengar penjelasan Aduka tetapi tiada reaksi daripada Lily. Adrian, Rashdan dan Zulaikha tahu Lily hanya berpura-pura kuat, jadi sengaja dibiarkan wanita itu melayan perasaannya.

"Saya ada ketumbuhan dalam otak yang berbalik dan doktor sarankan saya melakukan pembedahan walaupun peluang untuk saya sembuh tidak besar. Jikalau saya selamat sekalipun, saya tak mungkin boleh hidup dengan sempurna untuk sementara ataupun selamanya. Tiada apa yang pasti tentang pembedahan saya membuatkan saya terpaksa lepaskan awak," sambung Aduka lagi.

"Elok saja aku tengok kau sekarang," jawab Lily, sinis.

"Betul, saya nampak sihat sekarang tapi itupun selepas setahun koma, empat tahun rehabilitasi. Semasa saya terjaga dari koma, saya tidak boleh bergerak dan bercakap dengan baik. Jikalau saya masih bersama awak, mampukah awak menjaga saya selama 5 tahun ini?"

Lily terkedu mendengar penjelasan Aduka. Dia faham maksud Aduka itu, dia yakin Aduka sudah boleh menduga apakah yang dia rasakan sekiranya mereka masih bersama.

"Saya minta maaf kerana tak berterus-terang dari mula. Malah, saya pinta Ika dan Rashdan untuk sembunyikan daripada awak dan Su. Mereka berdualah yang telah menjaga saya selama 5 tahun kebelakangan ini. Keluarga saya semuanya sibuk dengan hal mereka, tak ada sesiapapun yang datang menjaga saya. Jadi, atas sokongan mereka berdualah, saya terus hidup sehingga sekarang," jelas Aduka lagi.

"Apabila saya dapat tahu awak sudah berkahwin dan melahirkan anak, sejujurnya hati saya hancur. Akan tetapi, saya tahu saya tak mampu untuk bahagiakan awak. Jadi, saya redha yang kita tiada jodoh. Saya sentiasa doakan yang terbaik untuk awak dan keluarga awak," terang Aduka lagi.

Lily hanya mampu mendiamkan diri selepas mendengar penjelasan panjang lebar Aduka. Dia tak mampu menghadam besarnya pengorbanan Aduka buatnya kerana Lily sedar, tanpa perpisahannya dengan Aduka, dia pasti takkan berkahwin dengan Adrian.

"Saya maafkan awak, Aduka dan terima kasih kerana lepaskan saya dulu," jawab Lily, perlahan.

"Terima kasih, Lily. Terima kasih, Adrian kerana berikan peluang pada aku untuk jernihkan keadaan," ujar Aduka sambil tersenyum nipis.

"Sama-sama, bro. Aku tak mahu ada prasangka di antara kita semua," jawab Adrian sambil tersenyum.

Rashdan dan Zulaikha pula memandang antara satu sama lain lalu tersenyum lega.

"Encik Haziq, apa kata encik pula berterus-terang tentang kenapa encik tolak pengakuan cinta sepupu saya dulu?" tanya Lily sambil merenung Haziq pula, tajam.

Haziq menelan air liur. Kali ini gilirannya pula menghadapi kenyataan.

"Saya sudah berterus-terang dengan awak, bukan?" jawab Haziq.

"Ya ke? Bila ya? Tak ingat pula!" tanya Lily, selamba.

Haziq memandang Lily seperti mahu menelan wanita itu. Sampai hati wanita itu mengenakannya!

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com