Friday, September 13, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 13

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12

"Aku tanya kau tadi, kenapa kau tak jawab Ji?" tanya Haziq, berang disindir sebegitu.


"Aku nak panggil dia cik ke puan ke, aku punya pasal! Kau itu, bergaduh dekat tempat orang, cantik sangat ke perangai?" sindir Tarmizi, bengang dengan perangai Haziq itu.

"Sudahlah itu, encik Tarmizi, encik Haziq. Jangan sebab saya, kamu berdua bergaduh pula," ujar Suraya, cuba meleraikan pergaduhan.

"Dia punya bebal ini tak boleh nak bawa berbincang dah, Su! Saya geram," jawab Tarmizi.

"Apa yang bebalnya? Kau tahu kan, Suraya ini isteri orang? Aku pula yang kau bebalkan kenapa?" tanya Haziq, tak mengerti.

"Sudahlah, saya akan jawab semua soalan encik Haziq. Apa dia?" ujar Suraya bagi menukar topik.

"Buat apa nak bercakap dengan awak tentang perkara yang awak tak ingat? Buang masa!" bentak Haziq lalu beredar keluar.

Tarmizi memandang Suraya dengan perasaan hairan. Suraya pula hanya mempamerkan wajah mendung bagi menyembunyikan resah hatinya.

"Sampai bila Su nak pura-pura lupa? Sudah hampir seminggu sejak kau orang bertemu di majlis Puteri, sepanjang itulah dia tak fokus, tak bermaya, marah-marah," terang Tarmizi.

"Saya tahu saya tak sepatutnya buat begitu, tapi sakit saya nak lupakan dia, bagaimana pula? Bagaimana pula dengan keperitan 4 tahun menjadi isteri Muhaimin? Tapi sedetik pun saya tak mampu nak salahkan dia. Saya tahu niatnya, traumanya sebelum saya kahwini Muhaimin lagi," jelas Suraya.

"Teruk sangatkah layanan Muhaimin?" tanya Tarmizi, ingin tahu.

"Saya bukannya isteri, tapi kucing dalam sangkar. Setiap gerak geri saya, perbelanjaan saya dikawal sepenuhnya oleh Muhaimin. Bila difikirkan, macam tawanan pun ada," jawab Suraya.

"Bagaimana awak boleh tunggu sampai 4 tahun?" tanya Tarmizi lagi.

"Saya tunggu dia buat silap, barulah saya paksa dia ikut rancangan saya," jawab Suraya sambil tersenyum.

"Kenapa seksa diri, Su?" tanya Tarmizi lalu mengeluh.

Suraya tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum nipis.

      *     *     *     *     *

"Cempaka sudah tidur?" tanya Lily sambil menggosok pakaian di sudut bilik tidurnya.

"Sudah, cepat dia terlelap. Barangkali penat sangat agaknya," ujar Adrian, suami Lily yang dinikahinya sejak tiga tahun lepas.

"Alhamdulillah, lega Lily. Dia cepat lena bukannya sebab penat, tapi sebab daddy dia tidurkan," jawab Lily sambil menghadiahkan senyuman kepada suaminya itu.

"Lily jangan senyum begitu, anak kita belum umur setahun lagi. Nanti takut termengandung pula," seloroh Adrian sambil tersenyum.

Lily yang baru sahaja selesai menggantung pakaian kerja Adrian itu berjalan menuju ke arah katil lalu duduk di birai katil berdekatan dengan tempat Adrian berlujur.

"Apa salahnya? Kalau Lily termengandung, abanglah jaga Cempaka," ujar Lily sambil tersenyum nakal.

"Abang rasa, abang nak pergi tandas sekejap," jawab Adrian lalu bangun dari katil menuju ke arah bilik air.

Melihat reaksi suaminya, Lily tergelak kecil. Dia mengenali Adrian ketika Adrian masih bekerja sebagai despatch di sebuah syarikat kourier yang sering digunakan untuk menghantar barang-barang jualannya.

Pada mulanya, Adrian sekadar bergurau senda dengannya. Akan tetapi, melihat kesungguhan Adrian, hatinya terbuka untuk berkenalan dengan lelaki itu.

Setelah setahun berkawan, akhirnya Adrian meminangnya dan mereka bertunang selama setahun sebelum bernikah. Ketika mereka berkahwin, Adrian sudahpun bekerja sebagai penyelia di syarikat kourier lain.

Meskipun hidupnya tidak mewah seperti Suraya, tetapi dia bahagia mendapat seorang suami yang ringan tulang dalam mengerjakan rumah tangga. Hidupnya bahagia, tidak seperti Suraya yang seringkali makan hati dengan sikap suami dan bapa mentuanya itu.

Dia juga bersyukur kerana kehadiran Adrian telah mengubat lukanya ditinggalkan Aduka 5 tahun lalu. Sejak mereka berpisah, sekalipun dia tidak bertemu lagi dengan lelaki itu. Dia berharap lelaki itu gembira dengan penggantinya kelak.

"Lily sayang, penat abang tunggu sayang habis termenung. Fikirkan apa itu?" tanya Adrian yang sedang tercegat di hadapan Lily membuatkan Lily tertawa.

"Apa yang kelakar itu?" tanya Adrian lagi.

"Tak ada, tiba-tiba teringatkan Su. Dia kahwin dulu, tapi kita yang ada anak."

"Sudah bukan jodoh dia, tapi Allah dah tulis dia jaga jodoh adik Lily. Setidaknya, kita tahu Su dah buat yang terbaik. Oh ya, kenapa Su tak datang majlis Lia hari itu? Bukankah dia event planner?

"Dia takkan berada di tempat yang sama dengan ibu, itu azam dia sejak kahwin dengan Muhaimin dulu."

"Habis itu, dia tinggal di mana sekarang?" tanya Adrian, hairan.

"Rumah keluarga angkatnya. Orang itu sudah tawarkan tempat tinggal sejak sebelum Su berkahwin dengan Muhaimin lagi."

"Siapa keluarga angkatnya?"

"Keluarga bekas majikannya," jawab Lily sambil mengeluh.

"Sudah, jangan nak mengeluh lagi. Penat dah abang berdiri ni. Jom kita tidur," ujar Adrian sebelum menutup lampu bilik dan terus menuju ke arah katil semula.

     *     *     *     *     *

Lily sedang meneguk air suam yang dipesannya apabila Suraya dan Zulaikha tiba di situ. Tanpa berlengah, keduanya duduk berhadapan dengan Lily.

"Kau orang datang sekalikah?" tanya Lily, hairan dengan kehadiran serentak keduanya.

"Ya, aku kebetulan jumpa klien di kawasan rumah Ika. Jadi, alang-alang jemputlah sekali. Balik nanti Rashdan jemput lepas dia selesai urusannya," jawab Suraya.

"Siapa jaga Zara?" tanya Lily lagi.

"Adik ipar Ika ada di rumah. Dia yang tolong jagakan," jawab Zulaikha.

"Alahai, boleh saja cakap adik Rashdan," ujar Suraya sambil tertawa.

"Kau pula, jauhnya jumpa klien. VIP ke?" tanya Lily.

"Aku jumpa bekas majikan akulah. Next event aku adalah Annual Dinner mereka," jelas Suraya sambil tersenyum.

"Jumpa Haziqkah?" tanya Zulaikha, ingin tahu.

"Tak, Su dah jumpa Haziq minggu lepas. Teruk juga bergaduhnya. Hari ini jumpa Encik Tarmizi dan Puteri," jawab Suraya.

"Kau bergaduh apa?" tanya Lily pula.

"Dia ingat aku masih lagi isteri Muhaimin. Hilang akal dia bila orang panggil aku cik. Macam dia pula Muhaimin," jawab Suraya sambil mencebik mukanya.

Mendengar kata-kata Suraya itu, terbahak-bahak Lily dan Zulaikha ketawa.

"Seriuslah? Kalau dia pernah berkahwin dengan kau, orang panggil gila talak tapi yang ni, gila bayang!" ujar Lily sambil tertawa.

"Biarkan dia, papa kata suruh ajar dia cukup-cukup. Jadi, aku ajarlah," ujar Suraya sambil tersenyum.

"Su masih tinggal dengan keluarga Haziqkah?" tanya Zulaikha.

"Papa pernah saja tawarkan rumah baru pada Su, tapi Su tolak. Su lagi selesa tinggal di rumah mereka. Meriah, suka sangat. Mungkin sebab keluarga mereka mengingatkan Su kepada arwah keluarga Su kot," jawab Su, menahan sebak.

Lily serba salah mendengar jawapan Suraya itu. Dia tahu, keluarganya tidak mampu memberikan kasih sayang yang Suraya impikan kerana sikap ibunya sehinggakan sepupunya itu terpaksa menumpang kasih pada keluarga orang.

"Aku minta maaf sebab tak mampu buat ibu aku terima kau. Aku ingatkan lepas pengorbanan kau lepaskan Muhaimin, ibu aku akan terima kau tapi dia masih lagi begitu walaupun dia dah dapat menantu idamannya," ujar Lily dengan perasaan bersalah.

Mendengar kata-kata Lily, Suraya tersenyum nipis. Dia tahu tak ada apa yang boleh mengubah pendirian ibu saudaranya itu. Situasi ini hanya akan berubah jika ibu saudaranya sendiri yang ingin berubah.

"Macam aku beritahu Lia dulu, apa yang terjadi antara ibu kau dan aku bukan tanggungjawab kau. Aku sanggup tunggu sampai ibu kau maafkan aku. Biarlah masa yang tentukan segalanya," jawab Suraya sambil tersenyum.


"Apa yang jadi antara kau dengan Muhaimin sewaktu kau ambil keputusan nak bercerai dengan dia dulu?" tanya Lily, ingin tahu.


"Apa jadi apa? Aku dapat tahu dia bercinta dengan Lia belakang aku, jadi aku minta cerailah," jawab Suraya, selamba.


"Takkanlah 4 tahun kau berkahwin, baru kau tahu? Mereka dah berkawan selama 8 tahun kot!" ujar Lily.


"Kau ingat hidup aku ini semasa jadi isteri Muhaimin samakah dengan sebelum berkahwin?" tanya Suraya, ingin menduga.


"Ya, aku faham tapi takkan sekalipun tak pernah kantoi?" duga Lily.


"Apa yang kau nak sampaikan sebenarnya?" tanya Suraya, penat hendak terus mengelat.


"Aku tahu kau dah tahu tentang hubungan Lia dengan Muhaimin sebelum kau jadi isterinya lagi. Aku ingat lagi kemurungan yang kau hadapi tak lama selepas kahwini Muhaimin. Mula-mula aku ingatkan sebab kau bergelut nak lupakan Haziq tapi kau tak ada sebut apa-apapun tentang Haziq baik kepada aku, Ika mahupun Rashdan. Jadi, aku syak kau dah tahu," jelas Lily.


Suraya melepaskan keluhan berat tatkala penjelasan itu diberikan. Zulaikha hanya mengangguk bagi mengiyakan kata-kata Lily itu.


"Ya, aku dah tahu. Aku boleh ceritakan apa yang terjadi malam sebelum Muhaimin jatuhkan talak ke atas aku di hadapan keluarganya, tapi dengan syarat," jawab Suraya.


"Apa dia?" tanya Zulaikha.


"Cerita ini habis di sini. Suami kau orang, keluarga kau orang, sesiapapun tak boleh tahu. Termasuklah Rashdan," sambung Suraya lagi.


Zulaikha dan Lily saling berpandangan antara satu sama lain sebelum kedua menganggukkan kepala mereka.


"Sebenarnya, adik kau nyaris kena tangkap khalwat dengan bekas suami aku malam itu. Aku pergi spa malam itu, tapi hati aku tak sedap. Jadi, aku baliklah rumah terus. Aku sampai rumah 5 minit sebelum pegawai pencegah maksiat datang. 5 minit itulah yang selamatkan maruah bekas suami aku dan adik kau," jelas Suraya dengan mata yang mulai bergenang.


"Kau tak tipu aku, bukan?" tanya Lily, seakan tidak percaya.


*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment