Saturday, September 7, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 8

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7

"Kenapa?" tanya Lily, ingin tahu.


"Sebenarnya Tan Sri Mazlan ini orang yang langgar kereta arwah ayah aku dulu. Dia cuma tak nak aku selaku waris tunggal saman dia atas kesilapannya dulu," jawab Suraya.


"Boleh saman lagikah?" tanya Lily.


"Belum cukup 10 tahun lagi, sebab itu dia masih takut. Jadi, dia nak aku masuk dalam keluarganya agar mudah untuk dia pastikan aku tak saman dia," jawab Suraya.


"Habis itu, kenapa kau setuju? Kau boleh tolak apa? Lepas itu, buatlah apa-apa perjanjian pun," ujar Lily.


"Semua orang suruh aku terima. Pasti ada sebabnya," jawab Suraya lagi.


"Kenapa kau nak rosakkan hidup kau? Kau ini bukan alat tau, kau ini manusia! Jangan rendahkan martabat diri kau begini!"


"Habis itu, nak aku terus-terusan jadi sebab ayah dan makngah bergaduh? Baik aku keluar dari hidup kau orang, daripada terus dibelenggu perasaan bersalah begini," tegas Suraya sambil mengeluh dalam.


Mendengar kata-kata Suraya, Lily kematian kata-kata untuk membidas. Dia hanya mampu doakan agar gadis itu bahagia dengan setiap pilihannya.


     *     *     *     *     *


"Apa kau buat pada Lily sampai dia setuju untuk lepaskan kau?" tanya Rashdan sebaik sahaja dia duduk berhadapan dengan Aduka di kedai mamak berdekatan rumahnya.


"Aku suruh sepupu aku menyamar jadi girlfriend baru aku. Aku dan dia pura-pura dating di Tesco area rumahnya ketika dia sedang membeli-belah."


Ternganga mulut Rashdan mendengar jawapan Aduka itu.


"Idea lapuk juga kau pakai ya?"


"Aku tak ada pilihan, bro. Aku dah nak dibedah minggu depan, jadi aku tak nak Lily tahu. Lagipun, aku tak tahu lagi apa keadaan aku selepas dibedah."


"Apa-apapun, kau beritahulah aku hospital mana kau jalani pembedahan kau. Setidaknya, kau tak adalah kesunyian nanti," jawab Rashdan sambil tersenyum.


"Kau kawan Lily, tapi kau lebih memahami aku."


"Sebab aku lelaki, bro."


"Kau keluar dengan aku ini, bini kau okay? Bini kau sudah tahu belum aku dengan Lily sudah berpisah?" tanya Aduka, hairan.


"Belum, sebab mak Lily masuk hospital dan Lily pun sibuk hendak uruskan pernikahan Suraya," jawab Rashdan.


"Suraya nak kahwin? Dengan siapa?" tanya Aduka, hairan.


"Anak Tan Sri Mazlan," jawab Rashdan, ringkas.


"Tan Sri Mazlan, usahawan terkenal itukah? Aku dengar dia kalau nak sesuatu, dia sanggup buat apa saja untuk dapatkannya," ujar Aduka dengan mata terbeliak.


"Betullah itu, samalah seperti dia nak dapatkan Suraya untuk jadi menantunya itu. Sampai bos dia luluskan perletakan jawatannya serta-merta apabila dia dapat tahu anak Tan Sri Mazlan adalah calon suami Suraya," jelas Rashdan dengan riak wajah hairan.


"Siapa? Haziq anak Datuk Muhsin itu? Aku ada kawan anak orang-orang kaya ini, dia cerita khabarnya Tan Sri Mazlan lamar dua orang sebenarnya jadi menantu. Suraya dan juga bos dia, sekali pakej."


"Kau biar betul?" tanya Rashdan, terkejut.


     *     *     *      *     *


"Betullah, takkanlah saya nak tipu pula Tan Sri!" jawab Datuk Muhsin yang duduk berhadapan dengan Tan Sri Mazlan dan Muhaimin di lobi kelab yang selalu dikunjungi mereka.


"Kenapa pula? Apa kurangnya Maisarah?" tanya Tan Sri Mazlan, tidak puas hati.


"Kata Haziq, bukan Maisarah yang kurang tetapi dirinya. Dia tak mampu nak bahagiakan Maisarah," jawab Datuk Muhsin sambil mengeluh.


Melihat reaksi Datuk Muhsin itu, tahulah Tan Sri Mazlan dan Muhaimin bahawa Datuk Muhsin tidak menipu mereka.


"Takkan masih belum move on dengan arwah isterinya?" tanya Muhaimin, tiba-tiba.


"Entahlah, uncle tanya tadi dia tak jawab. Mungkinlah agaknya," jawab Datuk Muhsin.


"Oh ya, ini kad jemputan pernikahan Muhaimin. Saya jemput rakan-rakan karib saja. Jemputlah datang," ujar Tan Sri Mazlan sambil menghulurkan sekeping kad kepada Datuk Muhsin.


"In shaa Allah, Tan Sri. Saya datang," jawab Datuk Muhsin sambil membaca isi kandungan kad tersebut. Dia ternampak akan nama yang seakan dikenalinya, tetapi dia tak pasti adakah itu adalah orang yang sama. Jika benar, fahamlah dia keadaan sebenarnya.


Sedang mereka berbual, tiba-tiba muncul seorang wanita berhampiran mereka.


"Papa, lama lagikah? Sarah sudah lambat ini!" tegas Maisarah, wanita yang baru sahaja tiba itu.

"Ish, tadi kamu juga yang nak ikut! Ini nak ke mana pula?" tanya Tan Sri Mazlan, hairan dengan gesaan anaknya itu.

"Ada kawan baru balik dari Aussie ajak Sarah lepaklah, papa. Kalau papa tak boleh nak hantarkan, Sarah nak Grab saja," jawab Maisarah, bersahaja.

"Jangan nak mengada! Abang hantarkan. Papa, uncle, saya minta diri dululah," ujar Muhaimin sebelum bangun dan bersalaman dengan Tan Sri Mazlan dan Datuk Muhsin.

Maisarah hanya mencebik apabila mendengar jawapan Muhaimin. Melihat reaksi Maisarah itu, Tan Sri Mazlan hanya tersenyum sinis.

"Kenapa Muhaimin tak benarkan Maisarah naik Grab?" tanya Datuk Muhsin, selepas keduanya pergi dari situ.

"Maisarah itu sebenarnya bukannya nak naik Grab, ada orang jemputlah itu. Dia sebenarnya ada pakwe, tapi saya tak perkenan dengan pilihannya itu. Orang biasa," jawab Tan Sri Mazlan.

"Tapi bakal menantu Tan Sri juga orang biasa bukan?" tanya Datuk Muhsin, hairan dengan jawapan Tan Sri Mazlan itu.

Mendengar soalan Datuk Muhsin itu, Tan Sri Mazlan terkedu. Dia terlupa sesungguhnya bakal menantunya juga orang biasa.

"Saya terlupa pula. Suraya itu special case, saya masih ada hutang budi dengan keluarganya. Atas sebab itulah, saya mahukan dia untuk jadi menantu saya," jawab Tan Sri Mazlan.

"Jadi, Tan Sri pilih anak saya pula sebab dia adalah dari keluarga berada, begitukah?" duga Datuk Muhsin pula.

Sekali lagi, Tan Sri Mazlan terkedu dengan soalan yang diajukan oleh Datuk Muhsin. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu berterus terang tentang sebab Haziq dipilih untuk jadi menantunya.

"Serius sangat kamu ini, Muhsin! Takut pula saya," ngelat Tan Sri Mazlan sambil ketawa yang dibuat-buat.

"Saya tanya saja Tan Sri, kenapa menggelabah sangat ini?" seloroh Datuk Muhsin bagi meredakan keadaan mereka yang mulai tegang.

Melihat reaksi Datuk Muhsin, Tan Sri Mazlan menarik nafas lega. Selesai satu hal.

"Assalamualaikum, Tan Sri. Tan Sri hendak berjumpa dengan saya bukan?" tanya seorang wanita yang baru sahaja tiba dan berdiri di sebelah kerusi tempat Tan Sri Mazlan berdiri.

"Waalaikumussalam, ya Suraya. Sudah sampai pun kamu. Kenalkan, ini kawan papa, Datuk Muhsin. Muhsin, ini bakal menantu saya, Suraya," jawab Tan Sri Mazlan sambil memperkenalkan Datuk Muhsin dan Suraya.

Datuk Muhsin memandang Suraya lalu menganggukkan kepalanya. Benarlah Suraya yang berada di hadapannya ini merupakan Suraya yang sama yang berada di dalam fikirannya.

"Suraya, kamu duduk di sebelah papa. Tadi, Muhaimin ada di sini tapi dia pergi hantar Sarah berjumpa dengan kawannya. Jadi, tinggallah papa dengan Datuk Muhsin ini," jelas Tan Sri Mazlan.

Suraya tidak menjawab, sebaliknya hanya mengikut arahan Tan Sri Mazlan dan duduk di atas kerusi yang diduduki Muhaimin tadi.

"Kalau saya mengganggu Tan Sri, saya beransur dululah. Mungkin Tan Sri perlukan privasi untuk berbual dengan bakal menantu Tan Sri," ujar Datuk Muhsin.

"Nanti dulu, Muhsin. Suraya, kamu masih lagi PA Haziq?" tanya Tan Sri Mazlan selepas menahan Datuk Muhsin daripada beredar.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com