Friday, August 30, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 5

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 2
Bahagian 3
Bahagian 4

"Kenapa pula?" tanya Aduka, terkejut dengan kenyataan Rashdan tadi.

"Lily itu seorang yang kental. Dia dengan Suraya membesar dalam persekitaran yang kental membuatkan keduanya kuat dan tabah. Akan tetapi, jangan sesekali kau suruh mereka berdua berputus asa. Memang takkan jalan punya. Melainkan kau sendiri buat dia putus asa dengan kau," jawab Rashdan.

"Jangan risau, aku akan buat dia berputus asa dengan aku. Aku cuma terlalu sayangkan dia dan aku tak mahu dia terus terluka. Cukup-cukuplah masalah keluarga dia selama ini," ujar Aduka sambil mengelap air matanya yang mula mengalir.

Rashdan hanya mampu menggelengkan kepalanya melihat Aduka yang sesekali cuba menahan kesakitan pada kepalanya. Dia hanya mampu mendoakan agar semuanya berjalan lancar dan cinta Aduka dan Lily takkan terlerai walaupun cuba diputuskan.

      *      *      *       *      *

"Kenapa pandang saya begitu, Suraya?" tanya Haziq yang menyedari Suraya sudah merenungnya sekian lama sehinggakan dia berasa kurang selesa untuk menyambung kerja yang dilakukannya.

"Saya hairan, kenapa encik layan saya baik dulu, tapi sekarang macam acuh tak acuh saja?" tanya Suraya, ingin tahu.

"Daripada awak tanya saya soalan merepek ini, ada baiknya awak sambung gunting kertas itu," jawab Haziq, bersahaja.

"Kenapa pula? Saya nak tahu juga saya ada buat salahkah sampai encik layan saya begini. Setidak-tidaknya, saya boleh improve diri saya," ujar Suraya.

"Salah itu bukan pada awak, tapi pada saya. Sudah, sambung kerja itu. Awak ingat dengan pandang muka saya ini, kerja awak itu boleh siapkah? Jangan sampai saya buat awak tunggu saya habis kerja baru boleh balik nanti," jawab Haziq, sinis.

"Kalau encik rasa puas tahan saya daripada balik, tahanlah. Saya tak kisah pun."

"Awak tak kisah, tapi saya kisah. Selepas awak siap gunting kertas itu, awak boleh balik. Bukan gerak pun kerja saya dengan perangai awak ini."

Suraya memandang wajah Haziq. Haziq tampak tenang, tapi sesekali tangannya menggigil membuatkan dia merasakan ada yang tidak kena dengan Haziq.

"Suraya, berhenti tenung muka saya bagitu!"

Mendengar amaran Haziq, sepantas kilat perhatian Suraya kembali ke arah kertas-kertas yang diguntingnya sedari tadi. Mereka berdua sedang menyiapkan barangan untuk digunakan sebagai bahan bantuan semasa bengkel kesihatan mental di premis klien mereka dua hari lagi.

"Saya minta maaf, encik kalau pandangan saya mengganggu fokus encik," ujar Suraya, perlahan.

"Saya maafkan, tapi tolonglah jangan buat begitu lagi. Boleh cair saya begini," jawab Haziq yang masih pura-pura sibuk menyemak modul yang hendak digunakan di dalam bengkel itu nanti.

"Cair? Dengan saya? Macam susah nak percaya," ujar Suraya, bersahaja.

"Mana awak nak tahu saya akan cair ataupun tidak? Saya lelaki, awak perempuan, sudah fitrah kalau kita berdua cair antara satu sama lain. Jadi, bahagian manakah yang awak susah nak percaya itu?"

"Saya ini bukannya cantik," jawab Suraya.

"Cantik itu subjektif. Bagi saya, awak cantik. Cukup cantik. Kalau pengiktirafan dunia yang awak mahukan, mungkin awak takkan dapat tapi kalau pengiktirafan saya yang awak nak, awak sudah dapat. Jangan pernah sesekali berkata awak tak cantik, kerana Allah ciptakan seorang manusia itu cukup sempurna di mata yang Allah pilih untuk melihat."

 Suraya terdiam. Sekali kaunselor di depan matanya ini sudah bersyarah, payah untuk dia menjawab syarahan lelaki itu. Maka, lebih baik dia mendiamkan diri sahaja.

     *     *     *     *     *

"Comelnya anak kamu, Ika. Siapa namanya?" tanya Lily tatkala mengusap-usap bayi berusia sebulan itu.

"Zara Raisha. Mula-mula nak letak nama dia bermula dengan R, tapi nama untuk Z pula tak ada yang sesuai dengan Raisha. Terpaksalah Rashdan terbalikkan," jawab Zalikha yang sedang melipat kain baju Zara.

"Sedaplah, tak kisahlah macam manapun susunannya, asalkan maksudnya elok-elok. Betul tak, Su?" ujar Lily sambil memandang ke arah Suraya yang sedang termenung itu.

Melihat tiada respon dari Suraya, Zalikha mula memegang bahu Suraya lembut membuatkan Suraya terkejut lalu memandang mereka berdua yang sudahpun memandangnya.

"Kau ini kenapa, Su?" tanya Lily, hairan dengan sikap Suraya yang kebelakangan ini seringkali termenung.

Suraya tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum nipis. Zalikha yang melihat keadaan Suraya itu mulai bimbang.

"Lily, kamu tolong Ika bancuhkan air. Hauslah," jawab Zalikha.

"Nak air apa?" tanya Lily.

"Air milo panas untuk Ika. Untuk kau orang, ikutlah air apa-apapun," jawab Zalikha sambil tersenyum.

Lily seolah-olah memahami niat Zalikha itu beredar menuju ke arah dapur. Zalikha berhenti melipat kain lalu berpusing menghadap Suraya.

"Kenapa ini, Su?" tanya Zalikha, lembut.

"Entahlah, Ika. Hati ini nak orang lain, tapi orang itu tak tahulah sukakan kita ke tak. Ada orang lain yang nak, tapi hati ini pula tak berkenan. Lagipun, orang lain itupun ada orang lain yang direbutkan," jawab Suraya sambil mengeluh.

"Biar Ika teka, Su nakkan Haziq tapi ada calon lain yang nakkan Su. Cuma, ibu Lily nak calon Su itu untuk Lily. Betul?" tanya Zalikha.

"Rashdan dah beritahu ya?" tanya Suraya, sedikitpun tidak terkejut dengan tekaan Zalikha itu.

"Baguslah tahu. Jadi, sekarang ini Ika nak tanya Su, hati Su nakkan siapa?" tanya Zalikha.

"Hati ini nakkan Haziq, tapi entahlah. Su tak yakin, Ika."

"Dapatkan jawapan Haziq dulu, selepas itu baru Su fikir sama ada nak terima calon Su ataupun tidak."

Mendengar jawapan Zalikha, Suraya terkesima. Ada benarnya kata-kata Zalikha itu, dia harus selesaikan soal hatinya dengan Haziq dahulu, barulah dengan Muhaimin, lelaki yang dipilih ayah saudaranya itu buatnya.

     *     *     *     *     *

"Baiklah, sekarang giliran Suraya pula! True or dare?" tanya Puteri, PA Tarmizi yang dipertanggungjawabkan untuk mengacarakan aktiviti malam ini.

Suraya memandang sekeliling, dan perasan akan kehadiran Haziq di tempat mereka berkumpul membuatkan dia tahu apa yang harus dia pilih untuk menjawab soalan Puteri itu.

"True!" jawab Suraya, yakin.

"Baiklah, dengar sini baik-baik. Suraya, betulkah awak ada perasaan cinta buat majikan awak?" tanya Puteri sambil tersengih-sengih.

Suraya menelan air liur. Dia tahu, semua orang di dalam pejabat itu tahu akan keserasian di antara dirinya dan Haziq. Bohonglah jika tiada sesiapapun di antara mereka ingin tahu tentang perasaan antara Suraya dan Haziq.

"Jawapan saya, ya."

Mendengar jawapan Suraya, riuh rendah semuanya menjerit keriangan. Almaklumlah, Suraya dan Haziq seringkali digelar sebagai pasangan bahagia agensi dan rata-rata semuanya mengharapkan hubungan mereka lebih dari sekadar majikan dan pekerja.

"Sejak bila?" tanya Haziq, tiba-tiba membuatkan kesemuanya senyap.

Suraya tahu, dia tidak boleh lari lagi. Dia harus tamatkan teka-teki ini malam ini juga.

"Sejak dua tahun lepas tapi saya tak ingat sejak bila yang tepatnya," jawab Suraya.

Selepas Suraya memberikan jawapannya, Haziq dilihat bangun dari tempat duduknya dan berjalan menuju ke tempat Suraya berdiri. Wajahnya yang tenang membuatkan semua orang yang berada di situ menantikan apakah jawapan yang ingin Haziq berikan.

"Terima kasih, Suraya sebab simpan perasaan buat saya. Saya hargai perasaan awak itu. Cuma, apa yang boleh saya katakan, saya tidak layak untuk terima perasaan awak ini. Tolonglah, berikan perasaan awak kepada yang lebih layak. Bukan saya orang yang awak cari," jawab Haziq sambil memandang ke arah Suraya yang sedari tadi memandangnya.

Suraya cuba mencari keikhlasan Haziq di dalam matanya, tetapi hampa.

"Saya tak cukup sempurnakah di mata encik Haziq?" tanya Suraya, ingin tahu.

"Awak sudah cukup sempurna di mata saya. Yang tidak sempurna itu adalah saya, Suraya. Bukan awak," jawab Haziq, cuba menahan air matanya.

"Apa maksud encik?" tanya Suraya.

"Pilihlah lelaki yang menunggu awak itu. Bukan saya," jawab Haziq, ringkas.

"Encik ingat soal hati ini semudah ABC kah? Hari ini suka orang ini, esok suka orang lain? Tidak, encik. Saya ambil masa untuk sukakan encik, pastinya akan ambil masa untuk lupakan! Bagaimana pula saya nak terima orang lain sedangkan hati saya untuk encik? Atas dasar apakah saya perlu menerima dia?"

"Awak belum terima dia lagi, bagaimana awak tahu awak takkan dapat lupakan saya? Ini bukan fairy tale, Suraya! Happily ever after itu tak wujud! Move on, dan terimalah orang yang sudah sedia menantikan awak, bukan saya!" Haziq mula meninggikan suaranya.

Suraya masih lagi memandang tepat ke arah mata Haziq. Dia nampak ada sinar tekad di dalam mata lelaki itu, dia tahu walau apapun perasaan lelaki itu kepadanya, lelaki itu sudah tekad untuk melepaskannya saat ini. Dia tahu dia sudah tidak boleh mengubah pendapat lelaki ini lagi. Akhirnya, dia mengeluh.

"Baiklah, encik Haziq. Sekiranya itu yang encik mahukan, saya akan turutkan. Akan tetapi, saya nak encik Haziq terima syarat saya pula!"

"Apa dia?" tanya Haziq, perlahan.

"Saya tak nak tengok muka encik Haziq lagi selepas ini. Jangan risau, saya takkan suruh encik Haziq keluar dari syarikat, cuma saya nak encik luluskan perletakan jawatan saya serta-merta bermula dari saat ini. Itu saja syarat saya!" ujar Suraya sebelum berlalu pergi dari situ. Dia tahu dia harus keluar dari situ kerana malunya apabila ditolak mentah-mentah oleh orang yang disayangi selama dua tahun di khalayak ramai.

"Kau tunggu apa lagi, Haziq? Kejarlah dia!" jeritan Tarmizi kepada Haziq itu sangat jelas di telinganya. Namun, selepas itu pandangannya mulai kelam.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com