Wednesday, September 18, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 15

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14

Haziq terbungkam. Dia seakan tidak boleh menghadam kata-kata Rashdan itu.

"Bercerai? Sejak tahun lepas?" tanya Haziq lagi, untuk pastikan yang dia tidak bermimpi.


Rashdan dan Aduka mengangguk, serentak. Melihat reaksi mereka berdua, Haziq berasa lututnya longgar lalu hampir terjatuh seandainya tidak disambut oleh Rashdan yang sudah sedia berdiri tatkala melihat reaksi Haziq itu.


"Kau okay ke tak ini?" tanya Rashdan selepas memastikan Haziq duduk di tempatnya tadi.


"Kenapa mereka bercerai?" tanya Haziq, cemas.


"Bab itu aku rasa lebih baik kau tanya Su sendiri. Dia lebih berhak untuk menceritakan, lagipun aku sendiripun tak tahu sebab sebenarnya dia memilih untuk bercerai," jawab Rashdan.


"Aku tak rasa Su akan beritahu aku," ujar Haziq.


"Kenapa pula?" sampuk Aduka.


"Sebab Su tak ingat aku pernah wujud dalam hidupnya!" jawab Haziq.


"Apa dia?" tanya Rashdan dan Aduka, hampir serentak.


      *      *     *     *     *


Datuk Muhsin sedang menonton televisyen apabila kedengaran bunyi pintu dibuka dan ditutup. Setahunya, semua penghuni rumah agam itu ada di rumah. Siapa pula yang balik? Hazlinakah?


Akan tetapi, Datuk Muhsin terkejut tatkala dia melihat kelibat Haziq memasuki ruang tamu rumahnya lalu mendekatinya. Sejak 5 tahun lalu, dia hanya akan pulang ke rumah tatkala runsing ataupun ingin melarikan diri daripada sesuatu. Jadi, Datuk Muhsin sama sekali tidak menjangkakan kepulangan anak keduanya ini.


"Apa khabar, papa?" tanya Haziq, lemah sambil mencium tangan Datuk Muhsin.


"Sihat Alhamdulillah. Apa mimpi kamu pulang ke rumah papa hari ini? Ada masalah apa kali ini?" tanya Datuk Muhsin, separuh memperli separuh bimbang.


"Masalah jiwa," jawab Haziq, pendek setelah dia berbaring di atas sofa panjang.


"Kalau nak baring, pergi baring di dalam bilik kamu. Jangan berbaring di sini. Tak manis," ujar Datuk Muhsin tatkala melihat tingkah laku anaknya.


"Siapa pula yang nak tengok Haziq berbaring di sini?" tanya Haziq, hairan dengan kata-kata ayahnya.


"Abang, jom makan. Lauk sudah siap semuanya. Astaghfirullah hallazim budak bertuah ini! Apa baring di sini?" ujar Datin Nurina yang tiba-tiba muncul untuk memanggil suaminya makan tetapi terlihat anak bujangnya pula.


"Apa benda semua orang ini?" tanya Haziq sambil bangun dan duduk bersandar di atas sofa itu.


"Sudah makan?" tanya Datin Nurina.


"Tak ada seleralah, mama dengan papa makanlah dulu. Haziq nak masuk biliklah memandangkan semua orang marah sangat Haziq berbaring di sini," jawab Haziq lalu bangun menuju ke tingkat atas.


Datuk Muhsin dan Datin Nurina berpandangan sesama sendiri. Apakah Haziq tidak menyedari kereta di luar itu ada lebih satu?


"Mama, papa, jomlah makan. Su lapar ini!" ujar Suraya yang datang dari dapur.


Suara itu telah menghentikan langkah Haziq. Dia pasti dirinya mendengar suara yang tidak asing tetapi tidak kena pada tempatnya. Dengan perlahan, Haziq mengatur langkah kembali ke tingkat bawah.


Setibanya dia di ruang tamu, semua orang yang ada di situ tadi telahpun hilang. Jadi, dia bergerak menuju ke arah ruang makan.


Di situ, dia dapat melihat makcik Jun sedang menyiapkan makanan kepada Datuk Muhsin, Datin Nurina dan seorang lagi wanita. Setahunya, adik-beradik lainnya semuanya duduk sendiri. Jadi, siapa pula wanita ini yang memanggil ayahnya papa dan ibunya mama?


Makcik Jun yang melihat kelibat Haziq tiba segera beredar ke dapur. Melihat tindak-tanduk makcik Jun, Datuk Muhsin memandang sekeliling dan terlihat Haziq mendekati tempat Suraya duduk.


"Eh, kata tak ada selera tadi? Tiba-tiba laparkah?" tanya Datuk Muhsin sambil menjeling ke arah Suraya yang sudahpun mulai cemas.


"Dia ini siapa?" tanya Haziq lalu menuding ke arah Suraya yang masih lagi misteri baginya.


"Ini anak angkat papa dan mama, Suraya."


"Suraya Hani?" tanya Haziq, inginkan kepastian.


"Ya, Suraya Hani. Bekas PA kamu," jawab Datin Nurina.


Dalam masa yang sama, Suraya memalingkan wajahnya ke arah Haziq membuatkan Haziq terkedu. Sudahlah dia baru sahaja menerima berita penceraian wanita ini petang tadi, malam ini wanita itu ada di hadapannya, di rumah agam keluarganya!


"Apa semua ini, papa, mama?" tanya Haziq selepas duduk di sebelah Suraya. Sengaja dia memilih tempat tersebut untuk menguji Suraya.


"Apa semua ini apa?" tanya Datuk Muhsin, pura-pura tidak memahami maksud Haziq itu.


"Bagaimana Suraya boleh berada di sini?" tanya Haziq, tidak faham.


"Papa sudah beritahu bukan? Dia anak angkat papa dan mama," jawab Datuk Muhsin, selamba.


"Sejak bila Suraya tinggal di sini? Kenapa Haziq tak tahu?" tanya Haziq lagi.


"Macam mana kamu nak tahu kalau balik pun setahun sekali? Suraya tinggal di sini sejak tahun lepas," jawab Datin Nurina pula.


"Sejak Suraya bercerai dengan Muhaimin, begitu?" tanya Haziq sambil menjeling ke arah Suraya.


Mendengar soalan Haziq, Suraya kaget. Setahunya lelaki itu tidak mengetahui status perkahwinannya kini.


"Yalah, kenapa?" tanya Datin Nurina, pura-pura tidak menyedari bahawasanya anaknya sudahpun mengetahui status perkahwinan Suraya yang disembunyikan itu.


"Suraya, kenapa awak bercerai dengan Muhaimin?" tanya Haziq sambil memandang ke arah Suraya pula.


"Kenapa nak tahu?" tanya Suraya, tenang.


"Jadi, saya bolehlah tahu kenapa awak tak ingat apa-apapun tentang saya!" ujar Haziq.


"Betulkah Su tak ingat apa-apa tentang Haziq?" tanya Datin Nurina, hairan.


Suraya hanya menggelengkan kepalanya. Datuk Muhsin memandang Datin Nurina sambil menggelengkan kepala tanda memohon supaya jangan ditanya apa-apa lagi.


"Jawablah, Suraya!" jerkah Haziq.


"Tak serasi," jawab Suraya, selamba.


"Sudah empat tahun berkahwin, baru nak kata tak serasi?" tanya Haziq sambil membuka aplikasi Instagram di telefon bimbitnya. Matanya meliar mencari sesuatu sebelum diserahkan telefon bimbitnya kepada Suraya.


"Now, explain!" tegas Haziq sambil memandang Suraya yang sedang menatap foto persandingan Muhaimin dan Camellia yang tertera di skrin telefon bimbit Haziq itu.


Suraya hanya mampu mengeluh. Sangkaannya, sekiranya dia berpura-pura tidak mengingati lelaki itu, perasaan bersalah dan ingin tahu lelaki itu akan pudar tetapi dia silap.


"Pengantin perempuan ini sepupu saya. Adik kepada Lily. Dia adalah teman wanita Muhaimin sedari mula, tetapi Tan Sri Mazlan inginkan saya untuk jadi menantunya. Jadi, saya tetapkan syarat, saya akan mengahwini Muhaimin dan Muhaimin akan terus bercinta dengan Camellia untuk selama mana yang dia mahu," jelas Suraya selepas menyerahkan semula telefon bimbit Haziq itu kepada tuannya.


"Kenapa awak buat syarat begitu?" tanya Haziq lagi.


"Saya tak tahu, saya tak ingat kenapa," bohong Suraya. Dia tahu sebabnya, tapi jika dia berterus terang, Haziq pasti akan mengetahui bahawa dia tiada kehilangan memori tentang Haziq.


"Baiklah, jadi bagaimana boleh bercerai?" tanya Haziq, mengalahkan polis pencen.


"Sebab Muhaimin dan Camellia nyaris ditangkap khalwat di rumah yang kami duduki," jawab Suraya, perlahan.


Haziq tergamam apabila mendengar jawapan Suraya itu. Dia sudah dapat menduga mengapa wanita itu sanggup menghilangkan memori tentangnya. Bagi wanita itu, dia adalah punca hidupnya seperti ini. Dia adalah punca segalanya.


"Saya minta maaf," ujar Haziq.


"Untuk apa?" tanya Suraya, hairan.


"Sebab paksa awak memilih Muhaimin dulu. Saya sudah rosakkan hidup awak selama empat tahun ini," jawab Haziq yang sedang menahan sebak.


Jawapan Haziq mengejutkan Suraya, Datuk Muhsin dan Datin Nurina. Mereka bertiga tahu bukan mudah Haziq ingin mengakui kesalahannya itu.


"Atas sebab apa saya nak ikut cakap awak, Haziq? Awak siapa pada saya? Saya pilih Muhaimin sebab ayah, bukan sebab awak!" ujar Suraya sebelum dadanya terasa sesak dan kepalanya mulai sakit.


Suraya hanya mampu memegang dadanya lalu berdiri ingin menuju ke arah dapur. Akan tetapi, baru sahaja dua langkah, dia sudahpun rebah.


Melihat Suraya yang pengsan itu, Haziq bertindak mencempungnya lalu dibawanya ke ruang tamu sebelum makcik Jun meminta Haziq membawa wanita itu ke dalam bilik tidur milik wanita itu.


Setibanya dia di dalam bilik tidur Suraya yang terletak bersebelahan dengan biliknya, dia meletakkan wanita itu di atas katil. Makcik Jun menghidupkan penghawa dingin bilik tersebut apabila Datuk Muhsin dan Datin Nurina muncul di dalam bilik itu.


"Papa sudah call Dr. Omar, dalam 15 minit lagi dia sampai. Nasib baiklah dia ada di rumah, kalau tidak jenuh nak tunggu dia," ujar Datuk Muhsin.


Haziq hanya mengangguk sambil memandang wajah Suraya yang tampak pucat itu. Dia sudah boleh menduga apakah yang sedang berlaku kepada wanita ini, dan dia mengharapkan ingatan wanita itu akan pulih seperti sediakala.


Datuk Muhsin dan Datin Nurina hanya berpandangan sesama sendiri. Mereka tahu anak mereka masih menyayangi wanita yang terbaring di atas katil itu, meskipun cuba untuk dia menafikannya.


     *     *     *     *     *


Lily yang mula berasa tidak sedap hati itu mencapai telefon bimbitnya lalu menghubungi ibunya. Lama dia tunggu sebelum Puan Wardah menjawab panggilan tersebut.

"Assalamualaikum ibu, buat apa itu?" tanya Lily, cuba menyembunyikan getar di dalam suaranya.

"Waalaikumussalam Lily, ibu baru sahaja lepas makan. Lia dengan Muhaimin balik hari ini, mereka belikan sate kajang Haji Samuri tadi. Alhamdulillah kenyang," jawab Puan Wardah, ceria.

Lily hanya mampu menarik nafas lega apabila mendengar jawapan ibunya. Pasti sesuatu berlaku kepada Suraya, fikirnya.

"Oh ya ke? Ibu sihat?" tanya Lily lagi.

"Sihat Alhamdulillah, ayah kamu pun sihat juga. Ibu tengok wajah Lia sekarang makin berseri-seri, pasti ada isi," ujar Puan Wardah.

Lily terkedu mendengar kata-kata Puan Wardah. Ingatannya tentang video panas Muhaimin dan Camellia tiba-tiba menerjah. Mujurlah sepupunya itu bijak mengendalikan situasi itu, kalau orang lain, pasti keluarganya akan menanggung malu yang teramat.

"Jangan yakin sangat ibu, takut kalau tak ada nanti, ibu yang kecewa," jawab Lily, lembut.

"Ada punya, jangan risaulah. Ibu pasti."

"Yalah, ibu. Jangan cakap Lily tak beritahu. Ibu, Adrian panggil. Lily letak dulu ya," bohong Lily sebelum mematikan talian.

Tanpa berlengah, Lily menelefon telefon bimbit Suraya pula. Lama juga dia tunggu sebelum dia mendengar suara asing menjawab telefon tersebut.

"Hello, Lily. Ini Haziq, Suraya pengsan sekarang," ujar Haziq di hujung talian membuatkan Lily terkejut!

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com