Thursday, September 5, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 7

"Kamu sudah temui pengganti?" tanya Datuk Muhsin, ingin tahu.

Haziq tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum.

Geram pula Datuk Muhsin melihat reaksi Haziq itu. Akan tetapi, sikap Haziq yang agak perahsia membuatkan Datuk Muhsin hanya mampu menggelengkan kepalanya.

"Kadang-kadang rasa penat juga nak bercakap dengan Haziq ini. Papa suruh kamu ambil jurusan yang boleh digunakan untuk bisnes papa, kamu ambil jurusan kaunseling yang tiada kena mengena itu. Papa nak kamu bantu papa di dalam syarikat, kamu pergi buka agensi kaunseling sendiri. Sampai sanggup pergi dari satu syarikat ke satu syarikat untuk promosi perniagaan kamu. Malu papa dengan kawan-kawan papa. Akan tetapi, bila mereka gunakan khidmat kamu dan produktiviti syarikat mereka meningkat, papa akui papa bangga ada anak seperti kamu," bebel Datuk Muhsin.

"Terima kasih, pa."

"Cuma, sekarang ini berduyun-duyun kawan papa tengah risik-risik kamu untuk dijadikan menantu. Paling baru, Tan Sri Mazlan mahukan kamu jadi suami anak bongsunya, Maisarah. Katanya, nak sandingkan Maisarah dengan Muhaimin. Muhaimin bakal bernikah, kamu tak tahukah?"

Entah kenapa pedih rasa hati Haziq mendengar nama Muhaimin disebut. Sudahlah dia terpaksa menyerahkan kekasih hatinya kepada Muhaimin, disuruh pula menjadi adik iparnya. Tidak sama sekali dia mampu.

"Haziq tak berminat nak jadi menantu Tan Sri Mazlan. Papa tolong tolakkan tawaran dia untuk Haziq."

"Tapi kenapa? Maisarah itu cantik, berpelajaran tinggi, keluarga pun baik-baik. Apa lagi yang kurang?"

"Yang kurang itu Haziq, pa. Haziq tak mampu nak duduk dalam satu keluarga dengan Muhaimin. Nanti trauma Haziq datang kembali. Harap papa faham," jawab Haziq sebelum beredar dari ruang tamu rumah keluarganya.

Bukannya keluarganya tidak tahu apa yang berlaku di antara dirinya dan Muhaimin dulu. Tidak fahamkah keluarganya tentang niat di sebalik perkahwinan ini? Keluarga Tan Sri Mazlan bukannya ingin sangat dirinya menjadi menantu keluarga mereka, mereka hanya ingin mengawal syarikat milik bapanya agar tidak menandingi syarikat milik mereka.

     *     *     *     *     *

Lily baru sahaja selesai membeli-belah di pasaraya Tesco berhampiran rumahnya apabila dia terlihat susuk tubuh yang amat dikenalinya. Dengan pantas, dia mengikuti jejak langkah insan tersebut yang bersama dengan seorang wanita lain yang tidak dikenalinya.

Dia sangkakan matanya tersilap nampak, tetapi selepas dia berjaya mengekori rapat pasangan itu, ternyata tekaannya benar. Dia yakin lelaki itu adalah Aduka bersama seorang wanita yang mana kelihatan mesra di antara mereka.

Bagi memastikan lagi, Lily mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menghubungi Aduka. Kedengaran bunyi nada dering yang amat dikenalinya datang dari arah lelaki yang diekorinya. Dia dapat melihat Aduka melihat skrin telefonnya lama sebelum menolak panggilannya.


Luluh hati Lily melihat kecurangan Aduka di hadapan matanya. Lebih luluh lagi tatkala dia sedang memandang lelaki itu, lelaki itu menyedari kehadirannya berhampiran mereka berdua. Tanpa berlengah, Aduka memimpin wanita itu menuju ke arah Lily.

"You call I tadi nak pastikan you tak tersalah orangkah? Now, you have your answer. What are you going to do now?" ujar Aduka, bersahaja.

"Apa semua ini? Kalau you rasa you dah tak sayangkan I lagi, kenapa perlu buat begini? Kenapa tak minta putus saja?" bentak Lily, berang.

"Kalau I minta putus, you rasa you akan berpuas hatikah bila I kata I dah ada orang lain? Tak, bukan? Jadi, I rasa lebih mudah tunjukkan depan muka you hakikat sebenarnya. Lupa pula, kenalkan, ini buah hati I yang baru, Nelly. Nelly, kenalkan ini buah hati lama I, Lily. Eh, nama kau orang sama ritmalah! So sweet! Pandainya I pilih," sambung Aduka dengan riak wajah selamba lagi membuatkan Lily dan Nelly terpinga-pinga.

"You ini dah gila ke?" tanya Lily, hairan dengan sikap Aduka itu.

"Ya, I memang dah gila. Jadi, lebih baik you berambus dari hidup orang gila ini sebelum orang gila ini naik gila!" bentak Aduka pula.

"Sampai hati you bukan? Fine, kita putus! You dengan buah hati you ini, boleh pergi berambus!" jerit Lily sebelum beredar keluar dari pasaraya itu menuju ke arah kereta Proton Saga miliknya yang diparkir di tempat letak kereta.

Sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta, telefon bimbitnya berdering membuatkan Lily mencapai telefon bimbitnya lalu melihat siapa pemanggilnya. Melihatkan nama 'Camellia' tertera, dia menjawab panggilan tersebut.

"Hello, Lia. Ada apa?" tanya Lily, cuba menahan sebak.

"Hello, kakak! Ibu, dia pengsan selepas bergaduh dengan ayah tadi!" jawab Camellia, cemas.

"Habis itu, ibu di mana sekarang ini? Kenapa mereka bergaduh?" tanya Lily, bertubi-tubi.

"Kami dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh ini. Mereka bergaduh sebab ayah kata nak nikahkan kak Su dengan Muhaimin hujung bulan ini. Ibu tak setuju," jawab Camellia.

"Kenapa akak tak tahu kak Su nak menikah hujung bulan ni? Tak apalah, akak akan ke sana sekarang. Apa-apa, maklumkan pada akak ya?" ujar Lily sebelum mematikan panggilan.

Tanpa berlengah, dia menghubungi Suraya pula.

"Ada apa, Lily?" tanya Suraya, di hujung talian.

"Kau di mana?" tanya Lily, tanpa menjawab soalan Suraya itu tadi.

"Aku dalam kereta, kenapa?" tanya Suraya selepas menjawab soalan Lily itu.

"Kenapa kau tak beritahu aku kau nak menikah dengan Muhaimin hujung bulan ini?" tanya Lily lagi.

Tiada jawapan kedengaran. Lama Lily tunggu untuk mendengar jawapan dari sepupunya.

"Aku tak boleh jawab soalan kau sekarang. Nanti kita bincang," jawab Suraya sebelum mematikan talian.

Geram pula rasanya dilayan sebegitu rupa. Lily yakin, pasti ada benda yang terjadi membuatkan sepupunya itu tiada pilihan untuk berkahwin bersama lelaki yang sama sekali tidak dikenalinya.

Selepas menyimpan semula telefon bimbitnya di dalam beg tangannya, Lily menghidupkan enjin lalu memandu keluar dari situ.

     *     *     *     *     *

"Kenapa dengan ibu ini? Ibu tahu bukan yang ibu ada tekanan darah tinggi, kenapa ibu asyik nak marah-marah?" tanya Lily sebaik sahaja Camellia dan Encik Wahab keluar dari bilik wad yang menempatkan Puan Wardah itu.

"Kau pun sama saja, sudahlah Lia pun marahkan aku. Aku cuma nak kau yang jadi menantu Tan Sri Mazlan itu, bukannya anak sial itu!"

"Ibu ingat, dengan jadi menantu Tan Sri Mazlan itu, ibu akan jadi kaya? Ibu, Lily dah dengar banyak cerita tentang Tan Sri Mazlan ini. Dia bukanlah seorang yang mudah, Lily yakin pasti ada sebab kenapa ayah kahwinkan Su dengan Muhaimin, bukan Lily atau Camellia."

"Ayah kamu itu cuma nak keluarkan budak sial itu daripada rumah saja, macamlah aku tak tahu!"

"Mungkin, tapi adakah ibu pasti Tan Sri Mazlan itu kahwinkan anaknya dengan orang biasa tanpa perlindungan? Takkanlah Tan Sri Mazlan nak berikan hartanya semudah itu pada kita semua?"

Mendengar kata-kata Lily, Puan Wardah terdiam.

"Pasti ada sebabnya kenapa Tan Sri Mazlan beriya nak kahwinkan Muhaimin dengan Su, dan pasti ada sebabnya juga mengapa Muhaimin terima untuk menikahi seseorang yang dia tak pernah kenal. Ibu sanggup biarkan anak-anak ibu berkahwin dengan orang yang kami tak kenal hujung pangkalnya?"

"Betul juga kata kamu. Tak apalah, bagus juga budak sial itu berkahwin dengan Muhaimin itu, entah bahagia entah tidak hidupnya."

"Ibu ini, tak bolehkah doakan yang baik-baik untuk Su?"

"Buat apa aku nak doakan yang terbaik untuk pembunuh anak aku?"

"Astagfirullah hallazim, Wardah! Masih tak boleh terima hakikat lagikah?" sampuk Encik Wahab yang baru sahaja masuk bersama Suraya. Suraya yang mendengar semuanya sedari mula hanya menundukkan wajahnya menghadap lantai, menahan sebak di dada.

"Apa masalah abang ini?" tanya Puan Wardah pula.

"Awak ini, sudah duduk dalam hospital pun bercakap serupa orang tak ingat mati lagi ya? Awak cakap apa tentang Su tadi sampai saya tengok bergenang matanya berdiri depan pintu tadi?" tanya Encik Wahab yang membuatkan Puan Wardah dan Lily kaget.

"Saya cuma kata saya setuju kalau Su nak berkahwin dengan Muhaimin. Itu sahaja," jawab Puan Wardah, selamba.

"Sejam lepas, awak bukan main lagi bangkang bila saya katakan mereka bakal bernikah hujung bulan ini. Tiba-tiba, awak kata awak setuju pula? Sudahlah, malas saya nak bertekak dengan awak. Saya anggap isu ni dah selesai," tegas Encik Wahab.

"Su, aku nak bercakap dengan kau kejap. Kat luar," ujar Lily lalu keluar dari bilik wad tersebut.

Suraya hanya mengikut jejak langkah Lily sehingga ke tempat menunggu. Lily duduk di salah sebuah bangku yang terletak di situ dan Suraya memilih untuk duduk bersebelahan dengan Lily.

"Su, aku dah putus dengan Aduka," ujar Lily, ringkas.

"Kenapa?" tanya Suraya pula.

"Dia ada orang lain. Malaslah nak cerita, sakit hati aku. Aku nak bercakap tentang kau sebenarnya. Kenapa kau setuju nak bernikah dengan Muhaimin? Kau tak kenal dia kot!"

"Kau tahu tak kenapa Tan Sri Mazlan pilih aku, bukan kau atau Camellia?" tanya Suraya pula.

"Kenapa?" tanya Lily, ingin tahu.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment