Friday, August 30, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 6

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 2
Bahagian 3
Bahagian 4
Bahagian 5

"Kau tunggu apa lagi, Haziq? Kejarlah dia!" jeritan Tarmizi kepada Haziq itu sangat jelas di telinganya. Namun, selepas itu pandangannya mulai kelam.

Sedar-sedar sahaja, Suraya sudah berada di dalam bilik tidur rumahnya. Kata Lily, malam itu juga Haziq menghantarnya pulang dan memohon maaf kepada Lily atas kejadian yang berlaku.

Suraya mencapai telefon bimbit Oppo Reno miliknya yang terletak di meja sisi katilnya. Ada emel masuk daripada Haziq yang meluluskan perletakan jawatannya dan memintanya untuk menghantarkan surat perletakan jawatan untuk simpanan Sumber Manusia.

Suraya melihat ke luar rumahnya melalui jendela yang terletak berhampiran katilnya. Mengharapkan kekuatan akan datang kepadanya bagi melupakan insan yang bertakhta di dalam hatinya itu.

     *     *     *     *     *

"Ini kerja gila, Haziq! Sudah terang-terang perasaan kau berbalas, kau boleh suruh dia terima Muhaimin? Kau ini manusia jenis apa woi?" tanya Tarmizi, berang dengan sikap Haziq yang menolak cinta Suraya tempoh hari. Atas sikap Haziq inilah, acara team building mereka terpaksa dibatalkan selepas Suraya pengsan akibat terlalu terkejut.

"Aku cuma nak dia bahagia. Aku tahu aku tak boleh bahagiakan dia!" jawab Haziq.

"Atas alasan apa kau tak boleh bahagiakan dia? Duit? Kekayaan?" tanya Tarmizi lagi.

"Zaman sekarang, semuanya perlukan duit. Manalah terbanding diri aku ini dengan Muhaimin. Lagipun, semua orang tahu Muhaimin ini orangnya setia," jawab Haziq.

"Memanglah dia setia, kalau dia cintakan orang itu. Kes Suraya ini, pilihan keluarga kot! Beragaklah kau ini!" ujar Tarmizi, geram dengan jawapan Haziq itu.

"Tapi sekurang-kurangnya hidup Suraya akan lebih baik jika dengan Muhaimin," jawab Haziq lagi.

"Kau, kalau bab berikan alasan, memang kaulah yang hebat! Aku bagi amaran satu saja, jangan nanti beberapa bulan kemudian, kau datang pada aku sedih-sedih, kata kau rindukan Suraya. Waktu itu jangan marah kalau aku tumbuk muka kau!"

"Kalau benda itu terjadi, aku izinkan kau tumbuk muka aku. Tak apa."

"Apa masalah kau ini? Orang lain buat macam-macam untuk buat orang yang dia suka, sukakan dia balik. Ada yang siap guna ilmu hitam lagi. Kau, dah dapat bulan jatuh riba, kau boleh tolak mentah-mentah. Siap malukan dia lagi. Tak fahamlah aku," bebel Tarmizi.

"Sebab dia bulan jatuh ke ribalah, aku tolak Ji. Aku takut, kalau aku terima dia, suatu hari nanti dia akan pergi tinggalkan aku."

"Kalau dia terima Muhaimin, tetapi hubungan mereka tak menjadi, apa yang kau nak buat?"

Haziq memandang Tarmizi. Kenapa dia tidak memikirkan kemungkinan itu? Ada benarnya kata-kata Tarmizi itu.

"Kalau hubungan mereka tak menjadi sekalipun, itu bukan masalah aku."

"Apa pulak? Sudah tentu itu masalah kau, kaulah punca dia terima Muhaimin bukan? Jadi, aku nak kau janji dengan aku, sekiranya hubungan mereka berdua putus di tengah jalan, kau kena pulihkan Suraya semula. Tak kiralah dengan kerelaan dia mahupun tidak. Faham?" tegas Tarmizi. Baginya, Haziq perlu diajar.

Haziq mendiamkan dirinya. Dia perlu tahu, adakah dia mampu untuk menyembuhkan Suraya sekiranya Suraya menghadapi kemurungan lagi?

     *     *     *     *     *

Haziq membaca mesej yang dihantar oleh Suraya itu buat kali kelapan. Sejak gadis itu menghantar mesej itu buatnya, selang sepuluh minit pasti dia akan membuka mesej tersebut lagi. Mesej yang berbunyi:

"Demi kasih dan sayang saya untuk encik Haziq, saya akan minta keluarga Muhaimin untuk masuk meminang saya. Saya minta maaf andai luahan hati saya menyakitkan hati encik, sungguh tak ada niat untuk saya lukakan hati orang yang saya sayang. Saya doakan encik berbahagia dengan hidup encik, tak kiralah apa yang encik lakukan dan siapa yang encik pilih."

"Aku tak nak kau pilih dia, Suraya tapi aku tak sanggup tengok keluarga aku berantakan kalau keluarga Muhaimin tahu aku orang yang kau cintai. Aku harap bila kebenaran itu muncul kelak, kau akan memahami aku," Haziq bermonolog sendiri.

Masih dia ingat lagi kejadian 17 tahun lepas antara Muhaimin dan dirinya. Kejadian itu nyaris memusnahkan syarikat ayahnya.

"Apa hak kau nak sukakan Elly? Elly itu girlfriend aku!" bentak Muhaimin, geram.

"Aku cuma sukakan dia tapi dia, sukakan kau. Hati aku, mana boleh aku kawal bro!"

Muhaimin berang dengan jawapan yang diberikan oleh Haziq itu, lalu memegang kolar baju Haziq sebelum ditolaknya lelaki itu ke dinding, membuatkan belakang Haziq dalam kesakitan.

"Aku nak kau pindah dari kolej ini, aku tak nak tengok muka kau lagi! Kalau minggu depan, aku nampak muka kau di kolej ini, aku akan pastikan kau dan keluarga kau merempat tepi jalan! Faham?" tegas Muhaimin sebelum melepaskan pegangannya pada kolar baju Haziq 

Bunyi azan yang berkumandang dari telefon bimbit iPhone XS miliknya membuatkan lamunannya terhenti. Haziq hanya memilih untuk beristighfar dan berharap agar semua itu tak berlaku lagi.

"Cukuplah sekali aku terkena, aku tak nak kena lagi dengan orang yang sama," ujar Haziq sebelum menuju ke arah bilik air untuk mengambil wudhuk.

     *     *     *     *     *

"Sampai bila Haziq nak menduda ni? Papa tak faham kenapa Haziq susah sangat nak buka pintu hati pada orang lain. Masih teringatkan arwahkah?" tanya Datuk Muhsin, ingin tahu.

Haziq hanya memandang ayahnya itu. Lelaki itu sangat mengharapkan dirinya kembali menjadi suami orang selepas bercerai hidup dengan bekas isterinya beberapa bulan sebelum wanita itu pergi meninggalnya buat selamanya.

Siti Nurhashima, cinta pertamanya sejak sekolah menengah. Sanggup menunggunya selama hampir 10 tahun untuk menjadi isterinya, namun perkahwinannya hanya mampu bertahan 9 bulan sahaja atas permintaan isterinya untuk melepaskannya setelah dia disahkan menghadapi kanser serviks tahap 3.

Puas dia memujuk untuk memanjangkan usia perkahwinannya, tetapi permintaan Hashima yang beriya-iya meminta Haziq melepaskannya, dia akur. Tanpa dia sangka, seminggu selepas itu, wanita itu meninggal dunia di dalam bilik pembedahan akibat kesilapan pakar bedah.

Meskipun ramai yang menyuruhnya mewakili keluarga Hashima untuk menyaman pakar bedah tersehut, tetapi keluarga bekas isterinya itu sudahpun bersedia untuk kehilangan Hashima dan nekad tidak mahu memanjangkan isu ini. Lagipun, arwah sepertinya sudah mengetahui bahawa ajalnya bakal tiba kerana dia sudahpun memindahkan kesemua hartanya kepada keluarganya, termasuklah Haziq sendiri. Namun begitu, duit yang diterima Haziq telah diserahkan kepada ibu bapa Hashima yang mempunyai banyak tanggungan.

"Haziq, papa tanya, kamu mengelamun pula!" suara Datuk Muhsin itu mengejutkan lamunan Haziq.

"Tak, bila papa sebut pasal arwah, tiba-tiba teringat kat dia. Esok ingat nak jenguk kubur arwahlah," jawab Haziq, bersahaja.

"Kamu ini pandai sangat mengelak bukan? Papa tanya bila kamu nak cari isteri yang baru, kamu cakap pasal arwah. Kamu masih tak boleh lupakan dia ke?"

"Papa, mana mungkin Haziq boleh lupakan insan yang pernah bertakhta di hati Haziq. Hashima tetap punya tempat dalam hati Haziq, walaupun Haziq ketemu dengan yang baru sekalipun."

"Kamu sudah temui pengganti?" tanya Datuk Muhsin, ingin tahu.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment