Thursday, September 19, 2019

Dalam Kesamaran Bahagian 16

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15

"Hello, Lily. Ini Haziq, Suraya pengsan sekarang," ujar Haziq di hujung talian membuatkan Lily terkejut!

"Haziq, bos Su dulu? Suraya pengsan di mana?" tanya Lily, cemas.

"Ya, saya. Dia pengsan di rumah papa saya, dia masih belum sedarkan dirinya. Jadi, saya ingat saya ada perkara yang saya nak bertanyakan kepada awak memandangkan saya berpeluang berbicara dengan awak sekarang," jawab Haziq.

"Apa dia?" tanya Lily, hairan.

"Sejak bila Su hilang ingatan tentang saya?" tanya Haziq.

Sekali lagi Lily terkejut dengan pertanyaan itu kerana setahunya, Suraya tidak pernah hilang ingatan tentang Haziq. Bahkan, dia sentiasa ingat kejadian di mana dia ditolak mentah-mentah oleh Haziq di hadapan seluruh rakan sekerja mereka 5 tahun lalu dan masih trauma akannya.

"Saya pun tak pasti, encik Haziq. Suraya tak pernah lagi berbicara tentang encik Haziq sejak dia menikahi Muhaimin. Katanya, dia tak nak Muhaimin dengar tentang ini. Bimbang dia disalah ertikan," bohong Lily.

Kedengaran Haziq mengeluh di hujung talian membuatkan Lily bertambah bimbang. Bimbang kalau-kalau Haziq mengetahui pembohongannya. Almaklumlah, lelaki itu merupakan seorang kaunselor.

"Pasti Suraya tahu akan perangai Muhaimin. Cuma, saya hairan bagaimana Suraya boleh kenakan syarat pernikahan mereka dengan menyuruhkan Tan Sri Mazlan supaya tidak mengganggu perhubungan antara Muhaimin dan Camellia?" tanya Haziq lagi.

Lily terpana. Nampaknya Haziq sudah tahu tentang penceraian Suraya dan sebabnya sekali. Adakah Haziq tahu tentang kes tangkap khalwat itu?

"Saya rasa, supaya dia boleh meminta cerai dengan mudah, sekiranya perlu," jawab Lily sebelum mengeluh.

"Maksud awak?" tanya Haziq, kurang mengerti.

"Beginilah, saya ceritakan dari mula. Selepas awak suruh Su memilih Muhaimin, Suraya telah bertemu dengan papa encik Haziq semasa dia sepatutnya bertemu dengan Tan Sri Mazlan. Datuk Muhsin telah menawarkan bantuan kepada Su untuk menyiasat Muhaimin dan dalam masa yang sama, meminta Su untuk menjadi anak angkat Datuk dan Datin. Kata Datuk, sekiranya Su bercerai dengan Muhaimin kelak, dia minta Su untuk tinggal bersama mereka supaya keluarga saya tidak berantakan sekali lagi."

"Maksud awak, papa saya dah bertemu dengan Suraya sebelum Suraya menikahi Muhaimin?" tanya Haziq, terkejut.

"Ya, betul. Su setuju dengan kedua-dua tawaran Datuk dan beberapa hari selepas itu, dia mengetahui perihal hubungan Muhaimin dan Camellia. Atas sebab itulah, Su memberikan syarat itu kepada Tan Sri kerana dia gagal untuk pujuk encik Haziq mengahwini anak bongsu Tan Sri," sambung Lily lagi.

"Apa? Tan Sri Mazlan suruh Suraya pujuk saya 5 tahun lepas? Tapi, Suraya tak pernah bertemu dengan saya selepas dia berhenti kerja," ujar Haziq, keliru.

"Datuk tak bagi. Katanya, keputusan encik Haziq tak mungkin berubah."

"Pasti lebih pahit buat Suraya untuk pujuk lelaki yang dicintainya supaya berkahwin dengan perempuan lain. Saya tahu sangat perasaan itu."

"Sebab encik buat dulu, bukan?"

"Betul, saya sudah buat dulu. Sejak saya mengetahui tentang niat Tan Sri Mazlan untuk bermenantukan Suraya, saya ambil keputusan untuk berputus asa. Peritnya dibelasah dan dimalukan Muhaimin dulu masih saya ingati, masakan saya nak hadapinya semula?"

"You are selfish, encik Haziq," ujar Lily, ringkas tapi menusuk kalbu bagi yang mendengar.

"Kenapa?"

"Semua orang di sekeliling Su fikir tentang diri mereka sendiri. Adakah sesiapa yang betul-betul memikirkan perasaan Su? Demi kebahagiaan keluarga saya, demi melindungi encik Haziq, demi menyelamatkan Camellia, dan demi memuaskan keluarga Tan Sri Mazlan, Su menikahi Muhaimin, lelaki yang sama sekali tidak pernah ada di dalam hatinya. Lelaki yang menyintai dan dicintai sepupunya sendiri. Empat tahun menjadi isteri Muhaimin, tidak ada sesaatpun Su menjadi seorang manusia biasa. Ada sesiapapun peduli? Mujurlah papa dan mama encik Haziq sentiasa ada untuk Su. Saya rasa kalau mereka berdua tiada, pastinya Su sudah lama gila!"

Kedengaran Haziq beristighfar setelah mendengar jawapan Lily itu. Lily mengharapkan dengan kebenaran yang pahit ini, Haziq akan menebus semua kesalahannya kepada Suraya.

"Jadi, atas sebab Muhaimin dengan Camellia nyaris ditangkap khalwat, barulah Suraya minta cerai?" tanya Haziq lagi.

"Ya," jawab Lily, pendek.

Haziq mengeluh.

"Teruk sangatkah layanan Muhaimin pada Su?" tanya Haziq lagi, perlahan.

"Muhaimin tak pernah sekalipun sentuh Su selama empat tahun mereka bernikah. Sekali pun tidak! Akan tetapi, meskipun Muhaimin membenarkan Su untuk sambung pengajiannya, Su dihadiahkan pengawal peribadi yang memerhatikannya 24jam sehari. Malah, akaun bank, telefon bimbitnya akan sentiasa dikawal selia oleh Muhaimin. Secara teknikalnya, Su hidup seperti seorang tawanan selama empat tahun, tetapi masih menyelamatkan maruah suaminya di saat-saat akhir perkahwinannya! Apakah sepupu saya itu tak layak hidup seperti seorang manusia?" luah Lily lalu menangis.

Tiada jawapan daripada Haziq dapat kedengaran.

"Saya tak tahu sama ada masih layakkah saya untuk Suraya lagi, Lily. Suraya berhak dapat yang lebih baik, mungkin sebab itu Allah takdirkan dia lupakan saya," ujar Haziq, sebak.

"Encik Haziq ini tak ada hati perutkah? Dia sayangkan encik Haziq dulu, tapi encik Haziq suruh dia kahwini orang lain. Kali ini, siapa pula yang encik Haziq nak suruh dia kahwini?"

"Dia bukannya ingat saya! Apa awak ingat selama 5 tahun ini, saya tak menderitakah?"

"Setidaknya, tidaklah seteruk apa yang Su rasa," jawab Lily, selamba.

"Jadi, awak nak saya buat apa sekarang?" tanya Haziq, geram.

"Tawanlah hatinya semula. Dia terlupa, ingatkan dia. Jangan pernah sakiti hatinya lagi," jawab Lily.

"Apa masih punya ruang lagikah buat saya?" tanya Haziq lagi.

"Kalau encik tak pernah cuba, macam mana encik nak tahu? Dulu, ada jalan mudah, encik tak nak gunakan. Sekarang, kalau encik masih sayangkan dia, silalah hadapi jalan sukar itu," ujar Lily, cuba menduga Haziq.

"Macam mana awak tahu saya sayangkan dia?" tanya Haziq, hairan dengan kata-kata Lily tadi.

"Semua orang di sekeliling encik dan Suraya tahu tentang ini. Cuma, saya tak pasti sama ada Suraya tahu ataupun tidak mengenai perasaan encik ini. Itu encik kena cari sendiri," jawab Lily.

"Baiklah, kalau begitu. Terima kasih, Lily. Assalamualaikum," ujar Haziq.

"Waalaikumussalam," jawab Lily sebelum memutuskan talian.

Lily tahu dia tidak sepatutnya menyampaikan kepada Haziq mengenai hal ini, tetapi dia sudah tidak sanggup lagi melihat Suraya berendam air mata tatkala teringat semua peristiwa lampaunya. Tambahan pula, dia kini menetap di rumah keluarga lelaki yang dicintainya selama ini.

     *     *     *     *     *

Suraya terjaga dan mendapati dirinya berada di atas katil. Dia melihat sekelilingnya, ternyata dia berada di dalam bilik tidurnya.

Suraya melihat dirinya, masih berpakaian. Kepalanya pening, tidak pasti mengapa. Setahunya, dia tidaklah mempunyai repressed memories seperti yang diberitahu kepada Haziq. Mengapakah dia berasa pening dan loya? Sudah alang-alang begini, lebih baik dia buat Haziq anggap ingatannya sudahpun pulih.

"Saya tak tahu sama ada masih layakkah saya untuk Suraya lagi, Lily. Suraya berhak dapat yang lebih baik, mungkin sebab itu Allah takdirkan dia lupakan saya," ujar Haziq, sebak.

Suara Haziq membuatkan dia bangun dan berlujur di atas katil. Dia ternampak Haziq sedang berdiri menghadap tingkap biliknya sambil bercakap di dalam telefon. Lama dia merenung telefon itu sebelum menyedari itu merupakan telefon bimbitnya!

Namun begitu, dia memilih untuk mendiamkan diri. Dia tak tahu apakah yang dibualkan oleh Haziq itu, jadi lebih selamat untuk dia mendengarnya terlebih dahulu.

"Dia bukannya ingat saya! Apa awak ingat selama 5 tahun ini, saya tak menderitakah?"

Kata-kata Haziq itu mengejutkan Suraya. Benar, dia tahu lelaki itu juga menderita. Akan tetapi, penderitaan itu adalah hasil dari keputusannya sendiri. Jika lelaki itu berterus-terang, pasti segalanya yang berlaku kepada dirinya dan lelaki itu tidak berlaku.

"Jadi, awak nak saya buat apa sekarang?" tanya Haziq, geram.

Suraya masih memandang Haziq yang masih tidak menyedari bahawasanya dia sudah terjaga. Perasaan hairan mula menular dalam sanubarinya.

"Apa masih punya ruang lagikah buat saya?" tanya Haziq lagi.

"Ada, ruang dalam hati saya masih lagi milik awak, Haziq. Tak pernah berubah," getus hati kecil Suraya.

"Macam mana awak tahu saya sayangkan dia?" tanya Haziq untuk kesekalian kalinya.

Suraya terbungkam. Sangkaannya, hanya dia sahaja mengetahui akan perasaan Haziq, itupun setelah diberitahu oleh ibu bapa Haziq sendiri. Rupanya ada lagi yang mengetahui.

"Baiklah, kalau begitu. Terima kasih, Lily. Assalamualaikum," ujar Haziq.

Tak lama selepas itu, Haziq menurunkan telefon bimbit Suraya yang dipegangnya itu lalu berpaling ke arah katil Suraya dan dia kelihatan sangat terkejut apabila mendapati Suraya sedang merenungnya dalam keadaan berlujur.

"Lily call awak tadi," ujar Haziq sambil menuju ke arah katil Suraya sebelum menyerahkan semula telefon bimbit Suraya itu.

"Terima kasih," jawab Suraya, pendek.

"Doktor beritahu tadi, tekanan darah awak rendah. Esok saya akan ambilkan ubat awak, awak kena makan ubat ikut arahan doktor," jelas Haziq, tanpa dipinta.

"Tak apalah, saya ambil sendiri esok."

"Jangan degil boleh? Saya akan ambilkan, doktor bagi awak cuti sakit esok. Saya akan ambilkan surat cuti awak dengan ubat sekali esok. Awak duduk di rumah sahaja," tegas Haziq.

"Awak kerja esok, bukan? Tak payahlah susah-susah," ujar Suraya, hambar.

"Saya cuti esok, lagipun selama 5 tahun saya tak ambil cuti. Jadi, biarkan saya ambil ubat dan surat cuti awak. Awak duduk rumah diam-diam," jawab Haziq, tegas.

Suraya terkesima mendengar kata-kata Haziq itu, tetapi disembunyikan untuk menduga Haziq.

"Saya pergi dengan awak boleh? Yang sakitnya, saya bukannya awak," cadang Suraya.

Lama Haziq berfikir membuatkan dia mulai resah. Entah apalah yang bermain di dalam fikiran lelaki itu.

"Jawab soalan saya dulu, dan saya akan bawa awak ke klinik esok," ujar Haziq sambil merenung Suraya.

"Apa soalannya?" tanya Suraya.

"Kenapa awak setuju hendak bernikah dengan Muhaimin dulu? Jujurlah," tanya Haziq, lembut.

"Atas sebab awak," jawab Suraya, sangat perlahan tetapi masih boleh didengari oleh Haziq membuatkan Haziq terkejut dengan jawapan yang diberikan.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com