Saturday, January 25, 2020

Dalam Kesamaran Bahagian 19

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15
Bahagian 16
Bahagian 17
Bahagian 18

"Su sudi, tetapi ada syaratnya," jawab Suraya membuatkan semua melopong akibat terkejut!

"Apa syaratnya?" tanya Datuk Muhsin, ingin tahu.

"Su dengan Haziq akan nikah dulu. Majlis kita buat kemudian, boleh?" tanya Suraya.

"Ingat apa tadi. Boleh, sayang. Majlis nikah Haziq kita buat secara tertutup saja, betul tak abang?" tanya Datin Nurina sambil memegang tangan Suraya.

Datuk Muhsin hanya mengangguk sambil tersenyum. Haziq pula dilihat tersenyum tatkala masih memandang Suraya.

"Haziq setuju dengan syarat Su?" tanya Datuk Muhsin sambil menepuk bahu Haziq.

"Asalkan Su sudi menjadi isteri Haziq, Haziq tak kisah kalau tak buat majlis pun," jawab Haziq sambil tersenyum.

"Mana boleh, majlis tetap kena buat tapi mama rasa kita buat hujung tahun inilah. Su rasa bagaimana?" tanya Datin Nurina.

"Su memang nak cadangkan benda yang sama, mama."

Mendengar jawapan Suraya, Datin Nurina bertindak memeluknya. Tak terperi rasa gembira dalam hati wanita itu tatkala mendengar jawapannya tadi. Suraya tahu wanita itu memang teringin untuk bermenantukan dirinya.

     *     *     *     *     *

Hari itu merupakan hari terakhirnya di Turntable Event Management Sdn. Bhd. Akan tetapi, perletakan jawatannya masih menjadi rahsia buat Haziq dan keluarganya, meskipun dia menggunakan alasan bakal berkahwin sebagai sebab perletakan jawatannya.

Petang itu, Suraya sedang menunggu ketibaan Haziq apabila telefon bimbitnya berdering. Suraya mencapai telefonnya dan ternampak nama Tarmizi di skrin membuatkan dia menjawab panggilan tersebut.

"Assalamualaikum encik Tarmizi, ada apa hubungi saya ini?" tanya Suraya, hairan.

"Waalaikumussalam, Su. Saya hubungi awak sebab nak beritahu saya sudah terima surat tawaran kerja yang awak sudah tanda tangan itu. Jadi, awak boleh mula kerja pada hari yang sama Haziq masuk semula selepas cuti nikahnya," jawab Tarmizi di hujung talian.

"Takkan itu saja sebabnya? Tak percayalah saya," duga Suraya sambil tersenyum, walaupun senyumannya itu tak mungkin dilihat oleh Tarmizi.

"Haziq sudah tahukah yang awak tak pernah lupakan dia?" tanya Tarmizi.

"Sudah saya duga, itu yang encik Tarmizi nak tanya. Tak, dia sangka ingatan saya kembali pulih saja. Dia tak tahu saya tak pernah hilang ingatan," jawab Suraya sebelum terkesima tatkala terlihat susuk tubuh yang amat dikenalinya berdiri di hadapannya dengan wajah yang sangat menakutkan.

"Encik Tarmizi, Haziq ada depan ini. Saya letak dulu, assalamualaikum," jawab Suraya sebelum menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg tangannya.

Melihat keresahan Suraya, Haziq mendekati bakal isterinya itu. Dia sama sekali tidak menyangka wanita itu tegar menipunya hidup-hidup.

"Saya boleh terangkan," ujar Suraya, resah dengan penerimaan Haziq nanti.

"Baik, terangkan," jawab Haziq dengan nada yang sangat dingin.

"Pada asalnya, saya tak ada niat nak tipu awak. Saya cuma tak nak ada kaitan dengan awak lagi ketika itu, sebab itu saya tipu yang saya tak ingat awak," jelas Suraya dengan suara yang terketar-ketar.

"Selepas itu?"

"Selepas itu, bila tengok awak simpan perasaan bersalah yang tebal, saya jadi serba salah. Saya takut tersalah langkah, jadi saya pura-pura ingat kembali selepas saya pengsan di rumah dulu," jawab Suraya, lemah.

Haziq tidak menjawab, sebaliknya hanya menarik tangan Suraya menuju ke arah kereta. Pegangan tangannya yang begitu kuat akibat terlalu marah membuatkan Suraya berasa sakit lalu cuba untuk melepaskan pegangan tangan Haziq itu.

Tindakan Suraya sedang meronta-ronta untuk melepaskan pegangan itu membuatkan pergerakan mereka berdua melintas jalan menjadi lambat dan pandangan Haziq yang tertumpu kepada Suraya membuatkan dia perasan akan kereta yang bergerak laju mendekati Suraya. Haziq bertindak menarik Suraya lalu melepaskan pegangan tangannya membuatkan Suraya hilang keseimbangan sebelum terjatuh di tepi jalan.

Akan tetapi, Haziq yang cuba gagal mengimbangi badannya terlanggar bahagian tepi kereta tersebut sebelum tercampak lebih jauh daripada tempat Suraya terjatuh. 

Suraya berlari mendekati Haziq sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Dengan tangan yang mengigil, dia menghubungi talian kecemasan bagi meminta ambulans untuk menyelamatkan Haziq. Dia dapat melihat Haziq sudahpun tidak sedarkan diri.

     *     *     *     *     *

Lily yang sedang membungkus barang jualannya untuk dihantar melalui kourier terkejut apabila telefonnya berdering. Dia melihat skrin telefonnya, nama Suraya tertera membuatkan dia menjawab panggilan tersebut.

"Hello, Su. Apa cerita?" tanya Lily sebaik sahaja menjawab panggilan tersebut.

Namun begitu, pertanyaannya dijawab dengan suara tangisan Suraya. Mendengar tangisan itu, Lily kaget.

"Su, kau kenapa ini?" tanya Lily, panik dengan apa yang didengarinya.

"Aku.. Haziq... accident."

"Accident? Kau okay?" tanya Lily.

"Aku okay, tapi Haziq... dia..."

"Kau kat mana ini?" tanya Lily kerana dirasakan tak guna jika dia bertanya lebih dalam andai sepupunya itu masih berada dalam keadaan panik.

"Hospital Kuala Lumpur. Emergency," jawab Suraya, dengan suara yang bergetar.

"Kau tunggu sana, aku datang," ujar Lily sebelum menamatkan panggilan.

Tanpa berlengah dia menghubungi Rashdan.

"Hello, Dan. Kau kat mana? Aku nak ajak kau pergi tengok Su dengan Haziq kat HKL, mereka kemalangan. Cuma, aku tak tahu mana nak letak Cempaka ini," ujar Lily sebaik sahaja panggilannya dijawab.

"Hello, Lily. Su dengan Haziq accident? Kau bersiap, aku jemput kau dengan Cempaka, tinggalkan kat rumah aku, lepas itu aku bawa kau ke sana," jawab Rashdan.

"Lambatlah begitu. Aku ke rumah kau sajalah. Nanti kita pergi satu kereta."

"Baik, aku tunggu kau," jawab Rashdan sebelum dia menamatkan panggilan.

Dengan pantas Lily bersiap dan menyiapkan Cempaka sebelum keluar dari rumah untuk menuju ke rumah Rashdan. Sebelum dia bertolak, dia sempat meninggalkan pesanan ringkas untuk memberitahu Adrian yang dia keluar supaya suaminya itu tidak mencarinya nanti. Mesej itu berbunyi:

Abang, Lily keluar dengan Rashdan tengok Su dengan Haziq di HKL. Mereka kemalangan. Cempaka ada di rumah Rashdan, Zulaikha tolong tengok-tengokkan. Apa-apa, abang hubungi Lily.

Semasa dia tiba di rumah Rashdan, Lily menyedari bahawa Adrian menjawab pesanan ringkasnya dengan pesanan:

Baik, nanti update abang dengan perkembangan Su dan Haziq. Kalau abang habis kerja awal, abang ke sana.

Lily tidak menjawab lalu menyimpan semula telefon bimbitnya kerana Rashdan dan Zulaikha sudahpun tiba di tepi keretanya.

Lily keluar dari kereta dan mendukung Cempaka keluar dari kereta sebelum diserahkan kepada Zulaikha.

"Macam mana boleh accident, Lily?" tanya Zulaikha, ingin tahu.

"Tak tahu, sebab Su sudah tak boleh nak bercakap. Panik sangat dia. Itu yang nak kena pergi tengok."

"Baiklah, abang dan Lily hati-hati tau," jawab Zulaikha sebelum mencium tangan Rashdan.

"Baik, sayang. Ika pun sama. Kami gerak dulu," ujar Rashdan sebelum masuk ke dalam kereta Lily.

Zulaikha hanya memandang kepergian kereta Proton Saga milik Lily itu. Setelah kereta tersebut hilang dari pandangan, dia membawa Cempaka yang masih lena itu masuk ke dalam rumah.

     *     *     *     *     *

"Kau kena tengok Haziq, macam mana gelabahnya si Su ini tadi! Macam orang mati laki," seloroh Rashdan lalu tertawa.

"Kalau mati dia, memang mati lakilah aku," jawab Suraya, perlahan tapi cukup kuat untuk didengari oleh Haziq memandangkan dia duduk berhampiran dengan lelaki itu.

Haziq memandang Suraya yang tunduk sedari tadi. Sengaja dia tidak menjawab agar punca kemalangan antara mereka tidak ketara.

"Bagaimana kau orang boleh kemalangan tadi? Aku cuba nak hadam ini," tanya Lily, setelah melihat tiada respon daripada seloroh Rashdan tadi. Dia tahu ada sesuatu yang berlaku.

"Aku... yang melintas tak tengok kiri kanan tadi. Haziq ingatkan aku dah sampai ke seberang jalan, sekali dia toleh tengok aku kat atas jalan lagi dan ada kereta..." jawab Suraya sebelum menekup mukanya.

Melihat keadaan Suraya, Lily tidak bertanyakan lebih lalu bertindak memeluk Suraya. Sebaik sahaja dia dipeluk, Suraya terus menangis teresak-esak.

"Rashdan, Lily, boleh tinggalkan saya dengan Su sekejap tak?" tanya Haziq.

"Baiklah," jawab Rashdan dan Lily, hampir serentak sebelum Lily melepaskan pelukannya dan keduanya beredar dari katil Haziq. Haziq masih belum dapat memasuki wad, jadi dia ditempatkan di wad kecemasan sementara menunggu katil kosong.

"Terima kasih selamatkan saya," ujar Haziq sambil memandang Suraya yang masih lagi menangis itu.

"Sama-sama. Cuma, kenapa awak selamatkan saya? Kenapa awak tak biarkan saya saja tadi? Saya dah buat salah besar pada awak, awak tak sepatutnya selamatkan saya," jawab Suraya dalam esak tangisnya.

Haziq memandang Suraya tajam. Sudahlah tiada terima kasih daripada bakal isterinya itu, ditanya lagi kenapa selamatkannya? Geram pula rasa hati Haziq mendengarnya.

"Salah tetap salah, tapi seteruk mana sakitnya ditipu, awak tetap keutamaan saya. Biarkan awak cuba bunuh saya sekalipun, sekiranya benda tadi berlaku lagi, saya akan tetap selamatkan awak dulu. Sedalam itulah kasih sayang pada awak," jawab Haziq, serius.

Mendengar jawapan Haziq, Suraya terbungkam. Dia berhenti menangis serta-merta lalu memandang Haziq. Pandangannya bertaut dengan pandangan Haziq yang sedari tadi memandangnya.

"Kenapa awak begini?" tanya Suraya, hairan dengan jawapan yang diterimanya.

"Saya susah nak sayangkan orang, tapi sekali saya sayang, saya terima setiap baik buruknya. Ini kali pertama awak tipu saya, dan awak punya sebab kenapa awak perlu lakukannya. Saya boleh kata tindakan awak ini berpunca daripada saya juga. Jadi, takkanlah saya nak kena buang awak hanya kerana ini? Penat saya tunggu awak, takkan semudah itu?" jelas Haziq.

Suraya terkesima mendengar kata-kata Haziq itu. Dia tak tahu bagaimana harus dia memberikan respon terhadap penjelasan Haziq itu.

"Saya minta maaf dan terima kasih kerana selamatkan saya," jawab Suraya, lemah.

Mendengar kata-kata Suraya, Haziq tersenyum.

"Saya boleh maafkan, tapi ada syarat," ujar Haziq.

"Syarat apa?" tanya Suraya.

"Pernikahan kita akan berjalan seperti yang dirancang," jawab Haziq.

"Dalam keadaan awak begini?" tanya Suraya, hairan.

"Patah tangan dengan kaki sahaja, mulut elok lagi nak lafaz akad nikah," jawab Haziq sambil tersenyum.

"Tak boleh tangguhkah?"

"Tak, sebab kalau nak saya maafkan awak, kita kena nikah dan awak kena jaga saya," jawab Haziq lagi.

Suraya melopong mendengar kata-kata Haziq itu.

     *     *     *     *     *

Semua pekerja HAT Consultancy Sdn. Bhd. melopong melihat kehadiran Haziq pagi itu kerana semuanya mengetahui bahawasanya lelaki itu kemalangan minggu lepas. Lebih mengejutkan, apabila melihat wanita yang hadir bersama Haziq yang berkerusi roda itu.

"Selamat pagi semua, mulut-mulut yang ternganga itu bolehlah tutup ya?" seloroh Haziq sambil tersenyum.

Puteri mendekati Haziq dan Suraya yang masih setia berada di belakang kerusi roda yang diduduki Haziq itu sebelum berpeluk tubuh di hadapan majikannya itu.

"Selamat pagi encik Haziq, boleh saya tahu, kenapa encik Haziq masuk kerja hari ini?" tanya Puteri, serius.

"Alahai, Puteri! Awak ini sejak kahwin, makin garanglah. Inikan pejabat saya, kenapa pula saya tak boleh datang?" tanya Haziq, hairan dengan pertanyaan Puteri itu.

"Su sudah hantarkan surat cuti sakit encik Haziq semalam, seingat saya ada lagi seminggu cuti sakit encik Haziq," jawab Puteri.

"Batalkan cuti saya minggu ini, saya dah naik lemas duduk di rumah. Lagipun yang sakit itu sebelah kaki dan sebelah tangan saya saja, yang lain sihat lagi," ujar Haziq.

"Macam mana saya nak jaga majikan yang sakit sedangkan seorang lagi yang sihat itupun saya tak terjaga?" tanya Puteri, resah.

"Tak payah jaga dia, Puteri. Awak jaga saya saja mulai hari ini," sampuk Tarmizi yang datang dari belakang Suraya membuatkan pandangan semua orang beralih ke arahnya.

"Habis itu, siapa nak jadi PA aku?" tanya Haziq, tidak puas hati.

"Eh, aku tak beritahu kau ke? Aku dah carikan kau PA, kau suka sangat caras Puteri dari aku. Penatlah aku," jawab Tarmizi sambil menjeling ke arah Suraya yang menahan ketawa itu.

"Aku tak nak PA baru, nanti aku naik hantu nak kena ubah cara kerja aku ikut dia," ujar Haziq, tak puas hati.

"Kalau PA lama?" tanya Tarmizi.

Mendengar soalan Tarmizi, pandangan semua orang beralih pula kepada Suraya. Suraya masih lagi brpura-pura terkejut ditanyakan begitu.

"Sudahlah, Su. Menyampah pula saya tengok muka awak begitu. Baiklah, mulai dari hari ini, Suraya akan kembali ke pangkuan kita sebagai PA Encik Haziq berkuat kuasa dari minggu lepas sebenarnya," ujar Tarmizi sambil tersenyum.

Kesemua yang berada di situ bersorak gembira sambil menepuk tangan kecuali Haziq yang masih terpinga-pinga itu.

"Encik Haziq punya muka terpinga-pinga sangat itu. Nampaknya ada orang tak tahu ini," seloroh Puteri.

"Awak sudah tahukah?" tanya Haziq kepada Puteri.

"Kami semua sudah tahu sejak Su tanda tangan surat tawarannya. Kalau tak silap, dua hari sebelum encik Haziq kemalangan," jelas Liyana yang berdiri di belakang Puteri.

"Saya seorang sajalah yang tak tahu ini?" tanya Haziq.

"Ya, encik. Nampaknya begitulah," jawab Suraya sambil tersenyum.

"Sudah, semua boleh mula kerja. Tengahari ini kita buat makan-makan sambut kedatangan semula PA saya ini. Puteri, awak tahu nak buat apa kan?" ujar Haziq sambil memandang ke arah Puteri.

"Baiklah, saya akan uruskan makan tengahari kita," jawab Puteri.

"Su, awak tolak saya masuk bilik," ujar Haziq.

"Baiklah, encik Haziq. Jumpa lagi nanti ya semua," jawab Suraya lalu menolak kerusi roda Haziq menuju ke dalam bilik pejabat lelaki itu.

Selepas mereka memasuki bilik Haziq, Suraya berhenti lalu mengalihkan kerusi Haziq ke tepi sebelum menolak kerusi roda itu ke tempat kerusi itu berada tadi.

"Tak sedaplah nak kerja atas kerusi roda ini. Nak duduk atas kerusi itu," ujar Haziq sambil menuding ke arah kerusi yang dialihkan oleh Suraya tadi.

"Mengadalah, duduk sajalah atas kerusi itu. Senang nak tolak nanti. Kalau ringan nak diangkat, tak apa juga," jawab Suraya, dengan nada sedikit keras.

"Seminggu Su angkat abang, okay saja?"

"Encik Haziq, kita kat pejabat. Tak payah nak abang sangat. Apa yang okay? Sakit, cuma tak cakap saja," jawab Suraya sambil memandang ke arah tingkap yang berada di belakang Haziq itu.

"Kenapa tak cakap?" tanya Haziq, hairan.

"Sebab itu memang tanggungjawab saya."

"Su, tarik kerusi itu, duduk sini," ujar Haziq sambil menunjukkan ruang kosong di sebelah kerusi rodanya.

Suraya hanya menurut dan duduk menghadap Haziq sepertimana yang diarahkan.

"Betul, itu tanggungjawab Su dan juga Su nak tebus salah Su pada abang, tapi jangan seksa diri. Abang bukannya kejam," jelas Haziq.

"Kita kat pejabat kan? Nanti orang dengar macam mana?"

"Biarlah, isteri abang. Bukan orang lain," jawab Haziq sambil tersenyum nakal.

"Tak naklah, Su nak orang tahu dari mulut kita, bukannya kantoi cara begini," ujar Suraya.

"Yalah, Puan Suraya. Kita di pejabat ya? Baiklah, tapi tetap Su kena cakap dengan saya apa yang Su rasa," arah Haziq.

"Baik, encik."

"Sudah macam orang gaji pula jawab begitu," seloroh Haziq sambil tertawa.

"Mulalah itu. Ada apa-apa lagi tak? Kalau tak, saya nak kemas meja saya. Mesti dah berhabuk kan? Lima tahun saya tinggalkan," jawab Suraya, ingin melarikan diri.

"Tak ada, pergilah kemas meja itu. Sudah kemas nanti, masuk balik sini. Saya nak minta tolong awak memandangkan keadaan saya yang tak mengizinkan ini," ujar Haziq.

"Suruh duduk kat rumah, gatal nak pergi kerja. Sudah tahu banyak benda tak boleh nak dibuat sendiri," ngomel Suraya sambil berjalan ingin keluar dari bilik Haziq.

"Saya dengar itu, Su. Perangai tak berubah!"

Suraya tidak menjawab, sebaliknya hanya berjalan keluar. Melihat kerenah isterinya, Haziq hanya menggelengkan kepalanya sebelum memulakan kerjanya.

     *     *     *     *     *

Adrian sedang menghirup air kopi O yang dipesannya tadi apabila seorang lelaki duduk berhadapan dengannya.

"Maaf lambat bro, aku cari Grab setengah jam baru dapat," jawab lelaki itu yang melambai ke arah pelayan untuk memesan minumannya pula.

"Tak apa. Kenapa kau tak pandu sendiri?" tanya Adrian.

"Sejak aku sembuh dari lumpuh, aku kena biasakan diri untuk bergerak dulu. Jadi, doktor tak bagi aku pandu kereta. Takut nanti saraf tiba-tiba kejang, membahayakan aku dan orang lain," jawab Aduka selepas dia selesai memesan minumannya.

"Faham," jawab Adrian lalu menghirup airnya.

"Ada apa kau nak jumpa aku? Tentang Lily?" tanya Aduka.

Adrian hanya memandang Aduka dan tidak terus menjawab soalan itu.

*BERSAMBUNG*

1 comments:

sairnejablon said...

Titanium vs Stainless Steel - The Ultimate Guide to Playing for
Titanium vs Stainless titanium flash mica Steel. The ultimate guide to playing for a living. The ultimate ti 89 titanium calculator guide titanium road bike to playing for a living. The ultimate guide to playing mens titanium wedding bands for a living. titanium nail The ultimate guide to playing for a living.

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com