Tuesday, January 21, 2020

Dalam Kesamaran Bahagian 18

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15
Bahagian 16
Bahagian 17

Haziq memandang Lily seperti mahu menelan wanita itu. Sampai hati wanita itu mengenakannya!

"Saya pernah dibelasah oleh Muhaimin dulu kerana menyimpan perasaan kepada teman wanitanya. Bukan sahaja dibelasah, saya juga dimalukan seluruh kolej sehingga terpaksa berpindah kolej. Sampai ke hari ini, jikalau saya bertemu dengan rakan-rakan dari kolej tersebut, pasti isu itu akan dibuka kembali," jelas Haziq.

"Belasah? Ayahnya buat apa bila dapat tahu?" tanya Adrian.


"Ayahnya seorang Tan Sri, pastilah ayahnya menggunakan pengaruhnya untuk memastikan saya dan keluarga tidak melaporkan kepada polis," jawab Haziq.


"Bagaimana dengan kecederaan Haziq?" tanya Adrian lagi.


"Doktor keluarga kami yang rawat. Kami pinta supaya doktor tidak melaporkan kepada polis, mujurlah doktor itu kenal akan ayah Muhaimin. Jadi, dia hanya menurut permintaan kami sekeluarga," jawab Haziq lagi.

"Jadi, atas sebab itulah encik Haziq tolak sepupu saya? Sebab Tan Sri Mazlan inginkan Suraya untuk jadi isteri Muhaimin?" tanya Lily, tidak puas hati.

"Sekiranya saya menerima Suraya dan Suraya menolak permintaan Tan Sri Mazlan itu, keluarga saya, keluarga awak, saya dan Suraya sendiri dalam bahaya. Awak yakin awak mampu bertahan dengan apa yang bakal Tan Sri Mazlan lakukan?" tanya Haziq pula.

"Keluarga saya bukannya banyak harta seperti keluarga encik Haziq. We have nothing to lose," ujar Lily, yakin.

"Kau tak kenal bekas bapa mentua aku, Lily. Jangan yakin sangat," ujar Suraya, tiba-tiba.

"Kau nak menangkan orang yang sudah hancurkan hidup kau, Su?" tanya Lily, geram.

"Aku bukan nak menangkan dia, dia tetap salah sebab hancurkan hati aku di khalayak ramai. Cuma, itu sajalah kesalahannya. Akan tetapi, aku terpaksa berterima kasih atas apa yang dilakukannya kerana dia juga telah menyelamatkan keluarga aku dan keluarganya telah menyelamatkan aku," jelas Suraya.

"Apa maksud kau?" tanya Rashdan pula.

"Sebenarnya, Tan Sri Mazlan nak Haziq untuk jadi menantu bongsunya. Malah, sanggup menyuruh aku untuk jumpa Haziq dan pujuk dia agar menerima Maisarah, bekas adik ipar aku sebagai isterinya. Mujurlah papa Haziq tak benarkan aku buat begitu, kalau tidak, mungkin perasaan kami berdua akan ketara dan ianya akan mengundang padah buat keluarga aku dan Haziq kemudian hari," terang Suraya.

"Rumitnya. Teruk sangatkah keluarga Tan Sri Mazlan itu?" tanya Zulaikha pula, hairan.

"Untuk menghancurkan keluarga kaya seperti keluarga Haziq itu sudah mudah bagi Tan Sri Mazlan, apatah lagi untuk menghancurkan keluarga sederhana atau miskin seperti keluarga Lily dan Su," jawab Suraya.

"Benda boleh laporkan pada polis, bukan?" tanya Lily, tidak puas hati.

"Polis mungkin tak makan rasuah, tapi mahkamah belum pasti lagi," jawab Adrian.

"Kenapa teruk sangat negara kita ini?" tanya Lily, geram.

"Itu hakikatnya, Lily. Kalau awak tak duduk dalam keluarga elit, awak takkan pernah tahu keperitan kami pula," jawab Haziq.

"Selama 4 tahun aku hidup sebagai menantu Tan Sri Mazlan, aku dapat lihat macam-macam benda. Muhaimin memang suka belasah orang, dia seorang yang sangat baran. Selepas dibelasah, dia akan berikan ganti rugi yang lumayan supaya si mangsa tidak membuat laporan polis. Jika ada yang menolak dan membuat laporan polis, pasti si mangsa yang akhirnya masuk ke dalam lokap. Kalau kau rasa drama Korea itu mengarut, yang mengarut itulah yang sebenarnya berlaku," ujar Suraya membuatkan semuanya terdiam.

"Habis itu, dia tak pernah belasah kau?" tanya Lily lagi.

Mendengar soalan Lily, Suraya terdiam.

"Kenapa diam, Su?" tanya Rashdan.

Haziq sudahpun merenung Suraya apabila melihat Suraya mendiamkan diri.

"Pernah, sekali."

Mendengar jawapan Suraya, semuanya memandang wanita itu dengan pandangan tajam.

"Now, everything makes sense. Sudah, jangan disoal lagi Suraya. Takut nanti dia lipat memori dia, kau orang pula yang dia tak ingat. Rashdan, kau tak nak jemput kami semua makankah?" tanya Haziq selepas menegah semuanya daripada menyoal siasat Suraya.

Dengan pantas, Rashdan mengangguk lalu bangun sebelum mengajak semuanya menuju ke meja makan. Hanya Suraya dan Haziq sahaja yang masih lagi belum bangun membuatkan Rashdan mendekati Suraya.

"Aku faham perasaan kau Su, sebagaimana aku fahami perasaan Aduka. Aku takkan tanya apa-apa lagi, jom kita makan," ujar Rashdan sebelum menuju ke arah ruang makan.

Haziq masih lagi memandang Suraya dari tempat dia duduk, membuatkan Suraya bangun lalu mendekati Haziq.

"Awak mesti marahkan Muhaimin, bukan?" tanya Suraya dengan perasaan bersalah.

"Benda sudah lepas, apa yang saya boleh buat adalah tambahkan perasaan bersalah saya pada awak. Itu saja," jawab Haziq tanpa sebarang ekspresi tertera pada wajahnya.

Mendengar jawapan Haziq, Suraya bertindak melutut di hadapan Haziq membuatkan Haziq terkejut.

"Kenapa awak kena tanggung kesalahan Muhaimin?" tanya Suraya, hairan.

"Sayalah punca semua ini berlaku, bukan?" tanya Haziq sambil memandang ke arah Suraya.

"Awak juga yang kata, kita berkorban untuk keselamatan semua orang," jawab Suraya.

"Selamatkah awak?" tanya Haziq lagi.

Suraya terbungkam. Dia tahu Haziq berkorban untuk keselamatannya, tetapi dia tidak dilayan dengan baik. Jadi, matlamat Haziq itu tidak tercapai.

"Jadi, biarkan saya simpan perasaan bersalah saya pada awak. Selagi awak tak bersedia untuk menikahi saya, saya akan tunggu awak dan jaga awak seperti sekarang. Oh ya, lupa pula nak beritahu. Saya sudah sewakan rumah saya, jadi minggu depan saya akan pindah balik masuk rumah papa," jawab Haziq, setelah soalannya tidak dijawab boleh Suraya.

"Saya pindah keluar," jawab Suraya.

"Jangan nak mengada! Awak hanya boleh keluar dari rumah papa sebagai isteri saya. Itu syarat yang saya minta pada papa dan mama," ujar Haziq, sebelum berlalu pergi meninggalkan Suraya yang masih melutut di atas lantai.

"Kalau begini, lebih baik nikah sahaja. Tak menikah pun tetap kena kongkong," ngomel Suraya sebelum bangun dan berjalan menuju ke ruang makan.

     *     *     *     *     *

Suraya menuju ke ruang tamu di mana Datuk Muhsin, Datin Nurina dan Haziq sedang menonton televisyen. Sejak Haziq pindah masuk ke rumah agam Datuk Muhsin, dia seringkali mengambil cuti bagi menghantar dan mengambilnya dari tempat kerja sehingga semua orang di pejabatnya sudahpun mengenali Haziq sebagai "customer-turned-boyfriend". Sejak bila dia bersetuju untuk menjadi teman wanita lelaki itupun dia tak tahu.

Suraya duduk bersebelahan dengan Datin Nurina. Melihat kehadiran Suraya, tiga beranak itu beralih pandangan mereka dari televisyen ke arah wanita itu. Tindakan mereka bertiga mengundang perasaan hairan kepada Suraya.

"Kenapa semua orang pandang Su? Tudung Su sengetkah?" tanya Suraya, hairan dengan tingkah laku mereka bertiga itu.

Mendengar soalan Suraya, mereka bertiga beranak tertawa terbahak-bahak membuatkan Suraya semakin hairan.

"Itulah, Haziq ajak kahwin tak mahu! Kan dah susah, nak kena tengok tudung senget ke tak," seloroh Datin Nurina.

"Ala, mama ini. Sudah setahun Su duduk di sini, tak ada masalahpun. Dulu pun kena jaga aurat juga, sebab ada papa di rumah," jawab Suraya sambil mencebik tanda protes.

"Teringat papa, ada sekali itu papa nak keluar main golf, tapi papa patah balik sebab tertinggal sarung tangan. Sekali elok saja Su turun tak bertudung. Bila nampak papa, lintang-pukang dia lari," ujar Datuk Muhsin sambil tertawa.

"Papa ini, janganlah cerita hal yang itu. Malulah Su!"

"Ingatkan sejak Haziq pindah rumah mama, Su nak pindah keluar. Sekali mama tengok, sudah sebulan masih di sini," ujar Datin Nurina.

"Bukannya Su tak nak pindah keluar tapi Su sudah kena ugut dengan Haziq!"

Datuk Muhsin dan Datin Nurina hairan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Suraya itu.

"Kenapa pula?" tanya Datin Nurina, pura-pura ingin tahu.

"Dia kata, Su hanya boleh pindah keluar sebagai isterinya," jawab Suraya sambil membuat ekspresi kasihan untuk menagih simpati.

"Boleh tahan bijak anak papa ini," ujar Datuk Muhsin sambil mengangkat ibu jari tanda bagus kepada Haziq yang sedang tersenyum sinis kepada Suraya.

"Mama rasa mama setuju syarat itu," ujar Datin Nurina pula sambil tertawa.

"Apa ini mama, papa? Yalah, macam manapun mesti akan lebihkan anak sendiri, bukan?" rajuk Suraya.

"Mama dengan papa setuju bukan sebab Haziq anak kami, tapi sebab kami mahukan Suraya untuk jadi mahram kami. Jadi, mudahlah Su nak tinggal di dalam rumah ini. Akan tetapi, kami takkan paksa Su sekiranya Su tak sudi nak jadi menantu kami," ujar Datuk Muhsin lalu tersenyum.

 Suraya memandang ke arah Datuk Muhsin yang duduk bersebelahan dengan Haziq itu. Ingatannya tiba-tiba kembali ketika Muhaimin bertanyakan perihal Haziq kepadanya itu.

"You tak ada niat nak kahwin lagikah?" tanya Muhaimin, tiba-tiba membuatkan Suraya terkedu.

"Kahwin lagi?"

"Dengan Haziq? I rasa dia tunggu you," jawab Muhaimin, sekali lagi membuatkan Suraya terpinga-pinga.

"Pandai-pandailah you ini, dia mana ada perasaan dengan I. Dia reject I dulu, depan orang ramai lagi," jawab Suraya sambil tertawa meskipun dia sedar yang dia sudah terlanjur kata.

"Nope, I tahu dia memang sayangkan you. Sayang sangat sampai sanggup lepaskan you untuk I. Boleh tahan juga bodohnya," ujar Muhaimin sambil tersenyum sinis.

"Ya, mungkin betul kata you, but does it give the right for you to say it out loud? No, I don't think so," tegas Suraya, bengang dengan pernyataan Muhaimin itu.

"I tahulah you pun sayangkan dia, tak payahlah nak pertahankan dia depan bekas suami you ini," jawab Muhaimin sambil tersenyum.

"Kalau you masih suami I, I takkan sebut nama dia pun depan you. Silap-silap I kena belasah dengan you nanti," sindir Suraya sambil tersenyum sinis.

"I sudah tahu perasaan you dengan dia sebelum kita kahwin lagi. Kalau I dapat tahu 10 tahun lepas, mungkin dia kena belasah lagilah. Lagipun, I tak rasa I kena belasah dia atas sesuatu yang bukan salah dia pun. I taklah sekejam dulu. I think it is about time you think about yourself rather than others," jelas Muhaimin.

"Look who's talking," sindir Suraya.

"No, I am serious. I tahu I tak layan you dengan baik sepanjang kita jadi suami isteri, tapi you berhak untuk bahagia. Sudah lama you hidup sengsara, dituduh bawa malang, dibuang, disisihkan, dicaci. Bila you berkahwin dengan I, you disisihkan lagi, dibelasah, dimaki. Sekarang, I rasa sudah sampai masanya you hidup senang. Lagipun, keluarga Datuk Muhsin sangat sayangkan you. Sampai sanggup terima you jadi anak angkat mereka," terang Muhaimin lagi.

"Macam mana you tahu I anak angkat mereka?" tanya Suraya, hairan.

"Selepas kita bercerai, you tak balik ke rumah ayah, I sudah tahu ada benda yang tak kena. I suruh Ian cari you di pejabat, mereka kata you cuti tanpa gaji 2 minggu. I bimbang kalau apa-apa jadi pada you, so I suruh Ian cari you. Mujurlah ada salah satu transmitter yang I pasang pada you dulu masih ada pada you. So, I found out you are at Datuk Muhsin's house," sambung Muhaimin lagi.

"You!" jerit Suraya, berang apabila mendapati bahawa bekas suaminya mencabul privasinya dengan menghantar bekas pengawal peribadinya untuk mencarinya.

"Relaks, I dah nyahaktifkan transmitter tu lama sudah. Selepas I dapat tahu lokasi you, I minta Ian siasat kenapa you berada di situ. Dari situlah, I dapat tahu you sudah jadi anak angkat Datuk sebelum kita nikah lagi. Patutlah you ada duit untuk upah peguam sendiri, rupanya Datuk yang bantu you untuk proses penceraian kita. Barulah I tahu semuanya," ujar Muhaimin sambil tertawa.

"You tak marah?" tanya Suraya, bimbang.

"Buat apa I nak marah? I tak berhak nak marah. I cuma suami atas kertas you saja. I tak sepatutnya marah you, belasah you dulu tapi I tak layan you seperti seorang isteri. I sedar, I layan you tak ubah seperti burung dalam sangkar saja. Jadi, layakkah I?"

Suraya terbungkam mendengar kata-kata bekas suaminya itu. Sungguh tidak sama sekali dia sangkakan yang dia akan mendengar kata-kata ini dari mulut lelaki itu. Ruginya dia kerana tidak mampu mengeluarkan sisi lelaki itu yang ini ketika dia menjadi isteri lelaki itu dulu.

"Beruntungnya Lia dapat you yang sekarang ini," jawab Suraya sambil tersenyum.

"Kalau I begini sewaktu kita masih suami isteri, adakah you akan cintakan I?" duga Muhaimin.

"Most probably, yes."

Suraya dapat melihat riak wajah Muhaimin berubah tatkala mendengar jawapannya. Namun, sengaja dibiarkan agar isu itu tidak dipanjangkan.

"Eh, mengelamun pula dia," ujar Datin Nurina yang membuatkan lamunan Suraya terhenti. Dia memandang ke arah Datin Nurina yang duduk di sebelahnya.

Suraya hanya tersengih tanda mengiyakan. Dia memandang pula ke arah Haziq dan Datuk Muhsin yang duduk bertentangannya. Kedua-dua lelaki itu sedang memandangnya.

"Dia tak dengarlah itu. Mama tanya, betulkah Su tak sudi nak jadi menantu rumah ini?" tanya Haziq setelah mendapati tiada jawapan dari Suraya.

"Su sudi, tetapi ada syaratnya," jawab Suraya membuatkan semua melopong akibat terkejut!

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com