Wednesday, January 29, 2020

Dalam Kesamaran Bahagian 20

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15
Bahagian 16
Bahagian 17
Bahagian 18
Bahagian 19

Adrian hanya memandang Aduka dan tidak terus menjawab soalan itu.

"Kenapa ini?" tanya Aduka.

"Tak adalah, aku saja nak kenal dengan kau. Nak juga tahu bagaimana isteri aku semasa dia bersama dengan kau, dan apa perasaan kau pada dia sekarang. Aku nak tahu," jelas Adrian, tenang.

"Kau biar betul?" tanya Aduka, hairan bercampur terkejut.

"Betullah. Kau ingat lagi tak aku pernah cakap semasa kita berjumpa di rumah Rashdan dulu? Kalau kawan baik Lily masih pilih untuk rapat dengan kau, walaupun selepas kau tinggalkan dia, pasti kau lakukannya bersebab. Atas sebab itulah, kau berterus terang tentang penyakit kau lima tahun lepas. Betul?" sambung Adrian.

Aduka hanya mengangguk.

"Apa yang berlaku antara kau dengan Lily, itu kisah kau orang berdua. Bukan kisah aku. Aku kenal Lily selepas kau dan dia putus. Jadi, itu bermakna aku tiada halangan untuk menjadi kawan kau," jelas Adrian lagi.

"Aku tak kisah, tapi aku bimbangkan penerimaan Lily kalau dia dapat tahu tentang persahabatan kita nanti," jawab Aduka.

"Bahagian mana yang kau takutkan itu?" tanya Adrian sambil tersenyum.

"Aku tak naklah sebabkan aku, kau suami isteri bergaduh," jawab Aduka lalu mengeluh.

"Rumah tangga mana yang tak ada pergaduhan? Adatlah kalau bergaduh. Gaduh-gaduh manja tak apa," seloroh Adrian lalu tertawa.

"Kau ini betul-betul peliklah. Mana ada orang nak berkenalan dengan bekas teman lelaki isterinya?"

"Biarlah aku jadi satu-satunya dalam dunia ini. Aku perlukan kau untuk bantu aku," jawab Adrian, kembali tenang.

"Bantu kau?"

"Untuk tengok-tengokkan anak dan isteri aku bila aku tak ada nanti."

"Rashdan kan ada?" tanya Aduka, hairan.

"Rashdan ada rumah tangga dia sendiri. Aku tak boleh nak harapkan dia untuk sentiasa jaga Lily dan Cempaka. Sama juga dengan Su, dia pun ada hidupnya sendiri. Kau saja harapan aku. Kalau kau tak nak jaga mereka selama-lamanya pun, setidak-tidaknya jagalah mereka sampai kau temui pasangan hidup kau nanti," jelas Adrian, tampak serius.

"Kau merepek apa ini? Janganlah takutkan aku," jawab Aduka, mula diselubungi rasa bimbang.

"Takut apa?"

"Kau cakap serupa kau nak pergi jauh saja," jawab Aduka.

"Memang pun. Aku ada misi luar di sempadan Siam, tak tahu berapa lama aku di sana. Atas sebab itulah, aku mohon sangat. Kau tolong aku tengok-tengokkan anak isteri aku. Tak apa, aku akan minta Rashdan tolong kau juga."

"Lily pasti takkan setuju."

"Jangan bagi dia tahu."

Mendengar jawapan Adrian, Aduka mengeluh resah. Namun, tak lama selepas itu, dia mengangguk lemah.

"Terima kasih, Aduka. Hanya Allah saja mampu membalasnya. Aku tahu kau boleh jaga Lily dan Cempaka untuk aku," jawab Adrian sambil tersenyum.

Aduka hanya melihat tingkah laku Adrian dengan seribu kebimbangan di dalam sanubarinya.

     *     *     *     *     *

Suraya sedang memandu kereta Volkswagen Passat milik Haziq apabila telefon bimbitnya berdering. Sejak kemalangan itu, memang Surayalah yang akan memandu ke mana-mana memandangkan keadaan Haziq yang tidak memungkinkan lelaki itu memandu.

Kereta Perodua MyVi milik Suraya yang sekian lama tersadai akhirnya telah selamat dijual atas desakan Haziq kerana sejak kepulangannya ke rumah agam milik keluarganya, Suraya tidak memandu sendiri ke mana-mana. Jadi, daripada kereta itu terbiar, lebih baik dijual.

Suraya menjeling ke arah telefon bimbitnya yang terletak di tepi tempat duduknya tetapi tindakan Haziq yang tiba-tiba berdehem itu mematikan hajatnya untuk melihat skrin telefonnya.

Haziq mencapai telefon bimbit isterinya lalu melihat skrin telefon tersebut. Tertera nama Lily di skrin tersebut membuatkan dia menjawab panggilan tersebut.

"Assalamualaikum sepupu ipar, apa hajat telefon Su?" ujar Haziq, bersahaja.

"Waalaikumussalam, abang Haziq! Tak adalah, ingat nak ajak dia keluar sekejap. Adrian tak ada, dia ada kerja luar. Tak tahu bila balik. Jadi, ingat nak pinjam isteri abang Haziq sekejap, ajak teman beli barang dapur," jelas Lily di hujung talian.

"Kita kenakan dia, dia kenakan kita balik. Tahulah dah tua," jawab Haziq sambil membuat muka masam.

"Boleh ke tak, abang? Kalau tak boleh, nak bodek Rashdan pula. Untung-untung dapat pinjam Ika," tanya Lily.

"Boleh, nak bodek Rashdan pinjam Ika sekali pun boleh. Kalau tak bagi nanti isteri abang Haziq muak pula tengok muka abang saja," seloroh Haziq.

"Eh? Sudah redhakah dipanggil abang? Kau orang kat mana? Senang nak bajet masa," jawab Lily.

"Kami sampai rumah lagi sepuluh minit, kalau apa, datang rumah dulu. Lepas Maghrib baru kau orang gerak," ujar Haziq.

"Bereh, abang. Terima kasih," jawab Lily sebelum mematikan talian.

Haziq meletakkan semula telefon bimbit Suraya di tempat asalnya sebelum mengeluarkan telefon bimbitnya pula. Dia membuka aplikasi WhatsApp lalu menaip pesanan ringkas untuk dihantar kepada Rashdan:

Assalamualaikum, Dan. Kalau Lily nak pinjam Ika, kau bagi sajalah kalau tak keberatan. Aku sudah bagi pinjam Su.

Beberapa saat kemudian, Rashdan membalas.

Waalaikumussalam, aku tak kisah tapi ongkosnya tiada. Kau tahu bukan aku sudah tak bekerja?

Haziq menaip balasan pesanan tersebut:

Pasal itu, nanti aku bagi duit pada Su, suruh dia belanja Ika. Oh ya, esok kau pergi ke pejabat ayah aku. Ayah aku beritahu ada kekosongan dalam bahagian kejuruteraan. Aku sudah berikan resume kau pada dia, dia suruh datang esok jam 10 pagi untuk temuduga.

Tak lama kemudian, Haziq menerima pesanan ringkas daripada Rashdan:

Baiklah, esok aku ke sana. Terima kasih ya. Aku sudah berikan keizinan pada Ika untuk keluar. Aku jaga Raisha malam ini. Doakan aku dapat kerja ya?

Haziq membalas:

Sama-sama. Aku doakan kau dapat kerja itu.

Sebaik sahaja dia menghantar mesej itu, dia menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam poket lalu memandang Suraya.

"Su, sekejap lagi Lily dengan Ika datang rumah. Nak ajak Su keluar. Nanti abang berikan duit, Su belanja Ika sekali tahu?" ujar Haziq.

"Habis itu, abang bagaimana?" tanya Suraya.

"Abang duduk di rumah sajalah. Mama ada, papa ada, makcik Jun ada, apa masalahnya? Sayang itu, sejak kita nikah, Su tak pernah keluar sendiri. Pergilah, bukannya abang suruh keluar dengan lelaki lain. Keluar dengan sepupu dan BFF sayang juga kan?"

"Su bukannya tak nak keluar tapi tak berani nak keluar," jawab Suraya, perlahan.

"Abang suruh jaga abang saja, bukannya kurung diri sendiri dalam rumah. Abang sudah maafkan Su atas kesalahan Su dulu. Jangan nak fikir bukan-bukan lagi. Abang nak Su jadi isteri abang, bukan hamba abang."

"Ya, faham. Terima kasih sebab maafkan Su. Abang nak apa? Nanti Su belikan," ujar Suraya yang baru sahaja selesai memparkir kereta.

"Sekejap, biar abang fikir. Apa yang abang nak Su tak boleh beli," jawab Haziq sambil memandang Suraya.

"Adakah benda yang tak boleh beli?"

"Ada, Suraya Hani Abdul Wahid abang inilah. Abang nak Su malam ini, boleh?"

Mendengar pertanyaan Haziq, dengan pantas Suraya mencubit lengan Haziq yang tidak disimen membuatkan Haziq terjerit kecil.

"Patah kaki tangan pun masih nak mengada lagi ya? Tunggu sihat dulu!" jawab Suraya sebelum keluar dari kereta meninggalkan Haziq yang masih menggosok-gosok tempat yang dicubit Suraya itu tadi.

     *     *     *     *     *

"Pandai ya kau! Kau suruh isteri-isteri kita keluar, lepas itu kau panggil aku dengan Aduka datang rumah kau. Siap bagi bawa anak aku lagi," ujar Rashdan selepas duduk di atas sofa bertentangan dengan Haziq.

Aduka pula duduk bersebelahan dengan Haziq. Mendengar kata-kata Rashdan itu, Aduka hanya mampu ketawa.

"Nasib baiklah Aduka ini belum kahwin. Kalau tidak, jenuh aku nak fikir. Sudahlah Lily masih belum berbaik dengan dia ini," jawab Haziq sambil menjeling ke arah Aduka.

"Eh, sekejap. Cempaka tinggal dengan siapa?" tanya Aduka, hairan.

"Entah, sama ada dia tinggalkan dengan makngah ataupun dia bawa Cempaka sekalilah," jawab Haziq.

"Yalah, kalau dia tinggalkan dengan mak dia pun bukannya ada masalah pun. Lainlah anak kau orang nanti kan?" jawab Rashdan.

"Teruk sangatkah layanan makngah pada isteri aku?" tanya Haziq, ingin tahu.

"Kalau sudah tahap panggil isteri kau itu anak sial, tak terukkah?" tanya Rashdan pula.

Terdiam Haziq mendengar jawapan Rashdan itu.

"Aku dulu dapat tahupun, aku terkelu. Sampai begitu sekali mak Lily menghukum Suraya tanpa bicara," jawab Aduka.

"Harap-harap suatu hari nanti terbukalah pintu hati nak maafkan Su. Kasihan aku tengok dia," ujar Rashdan lalu mengeluh.

"Oh ya, aku ada sesuatu nak dibincangkan dengan kau orang berdua. Cuma, aku harap ini rahsia kita. Aku harap rahsia takkan terbongkar sebelum masanya," ujar Aduka pula.

"Apa dia?" tanya Haziq, ingin tahu.

"Adrian jumpa aku siang tadi," jawab Aduka.

"Adrian? Bukankah dia ada kerja luar?" tanya Haziq, hairan.

"Sebelum dia gerak, dia jumpa aku dulu. Lama juga kami berborak. Dalam dua jam," jawab Aduka.

"Jadi, apa yang peliknya?" tanya Rashdan pula.

"Dia suruh aku tengok-tengokkan Lily dan Cempaka bila dia tak ada nanti," jawab Aduka, lemah.

"Kau biar betul, Ad?" tanya Rashdan, terkejut.

"Buat apa aku nak tipu kau, Dan?"

"Ish, tegak bulu roma aku cerita kau ini!" ujar Haziq.

"Kita doakan semuanya selamat. Itu saja yang mampu kita buat sekarang," jawab Rashdan.

"Aku tak boleh nak hadam. Kenapa dia suruh Aduka, bekas teman lelaki isterinya untuk tengok-tengokkan isteri dan anaknya?" tanya Haziq, hairan.

"Exactly! Itulah yang aku persoalkan, kau tahu dia jawab apa?" tanya Aduka.

"Apa?" tanya Rashdan pula.

"Sebab kau orang ada rumah tangga nak kena jaga. Jadi, dia tak nak susahkan kau orang berdua," jawab Aduka.

"Hah?" jawab Haziq dan Rashdan, hampir serentak.

Tiba-tiba, telefon bimbit Rashdan berbunyi. Rashdan mencapai telefon bimbitnya, tertera nama Adrian di atas skrin membuatkan Rashdan tergamam.

"Siapa itu? Jawablah!" sergah Haziq membuatkan Rashdan menjawab panggilan tersebut.

"Hello, Adrian. Kau bukan kerja luarkah?" tanya Rashdan sebaik sahaja dia menjawab panggilan tersebut.

"Isteri aku ada dengan kau tak? Aku cuba hubungi dia, tapi tak dapat. Dia selalu lupa caj bateri telefon," jawab Adrian di hujung talian.

"Lily ada dengan Su dan Ika. Kau hubungilah Su, in shaa Allah dapat."

"Baiklah. Oh ya, aku nak minta tolong ini," ujar Adrian.

"Apa dia?" tanya Rashdan sambil memandang ke arah Haziq dan Rashdan yang sedari tadi memerhatikannya.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com