Wednesday, June 21, 2023

Dalam Kesamaran Bahagian 26

 Link terdahulu:

Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13

"Pakcik akan beritahu kamu bila tiba masanya kelak. Buat masa ini, pakcik cuma nak tahu sama ada kamu masih mahukan anak pakcik ataupun tidak? Itu saja yang pakcik perlukan," tanya Encik Wahab.

Lama Aduka mendiamkan diri kerana dia sama sekali tidak pasti apakah ianya satu keputusan yang baik untuk kembali kepada Lily semula. Dia tahu begitu payahnya Lily ingin melupakan dirinya, dia tidak mahu berpaut kepada dahan yang sudah rapuh.

"Tak apalah kalau Aduka tak sudi. Pakcik faham," ujar Encik Wahab selepas melihat Aduka tidak memberikan apa-apa respon.

"Bukan begitu, pakcik. Saya ikhlas nak jaga Lily dan Cempaka, cuma saya tak rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya fikirkan diri saya sahaja. Saya tak nak Lily terima saya dalam keadaan tak rela atau terpaksa. Jadi, saya merasakan lebih baik saya cuba untuk memenuhi amanah arwah Adrian tanpa sebarang ikatan buat masa sekarang."

Encik Wahab terkesima mendengar penjelasan Aduka.

"Boleh pakcik tahu, kenapa Aduka lepaskan Lily dulu?"

"Saya sakit kritikal ketika itu dan saya tak mahu Lily bersusah-payah untuk menjaga saya yang mungkin koma, mungkin lumpuh."

"Selepas itu, apa yang terjadi pada kamu?"

"Saya koma selepas setahun dan terpaksa menjalani rehabilitasi selepas sedarkan diri semula."

Encik Wahab mendiamkan diri. Dia seorang lelaki, dia amat memahami situasi Aduka itu. Tidak salah tindakan Aduka di matanya. Cuma, bagaimana hendak membuatkan Lily faham bahawa itu adalah yang terbaik buat mereka ketika itu?

     *     *     *     *     *

Ketiadaan Datuk Muhsin dan Datin Nurina petang itu mengundang perasaan hairan di benak hati Suraya. Dia menyedari ibu bapa mentuanya itu pasti akan menghilangkan diri sama ada tengahari ataupun lewat petang.

Niat asalnya untuk meminta ibu mentuanya menemaninya untuk melakukan pemeriksaan kandungannya sebagai pendapat kedua tidak dapat dilaksanakan memandangkan ibu mentuanya tiada di rumah.

Jadi, dia berjalan menuju ke dapur dan terlihat Makcik Jun sedang bercakap di telefon bimbitnya. Pada mulanya, dia ingin keluar semula dari dapur tetapi langkahnya terhenti tatkala dia terdengar sebaris ayat yang mengundang perasaan hairan.

"Mak bukannya tak nak balik jenguh kubur arwah ayah kamu, tapi Suraya menantu Datuk sekarang dalam keadaan tak stabil. Datuk dan Datin pula harus menjaga Haziq di hospital."

Disebabkan ayat terakhir Makcik Jun, Suraya membuat keputusan untuk mencuri dengar perbualan pembantu rumahnya itu.

"Haziq macam itu jugalah, adik. Masih koma."

Terbungkam Suraya mendengar kata-kata Makcik Jun itu.

"Haziq koma? Kenapa papa dan mama tak beritahu aku?" Suraya bermonolog di dalam hatinya.

Suraya membuat keputusan untuk berjalan keluar dari dapur apabila kepalanya terasa pening. Namun, dia gagahkan jua untuk menahan kepeningan itu bagi mengelakkan Makcik Jun daripada mengetahui keberadaannya.

Namun begitu, usahanya gagal apabila dia mula hilang pertimbangan dan rebah ke atas lantai. Dia dapat mendengar jeritan Makcik Jun sebelum semuanya senyap dan pandangannya gelap.

     *      *      *      *     *

Datuk Muhsin sedang membacakan surah Yasin apabila dia terlihat jari telunjuk Haziq bergerak. Tanpa berlengah dia menekan butang panggilan kecemasan di tepi katil Haziq.

Tidak lama kemudian, seorang doktor dan seorang jururawat tiba.

"Doktor, tadi saya nampak jari anak saya bergerak," ujar Datuk Muhsin.

"Baiklah, pakcik. Saya periksa anak pakcik dulu. Minta pakcik tunggu di luar ya," ujar doktor tersebut sebelum menarik langsir yang mengelilingi katil Haziq itu.

Datuk Muhsin berjalan menuju ke luar bilik dan terlihat Datin Nurina sedang mengurut dadanya. Timbul rasa bimbang melihat keadaan Datin Nurina begitu.

"Abang, Su pengsan abang. Dia dalam perjalanan ke sini, Makcik Jun telefon ambulans tadi," ujar Datin Nurina, sedikit panik.

"Kalau begitu, awak tunggu dia di bawah. Abang sedang tunggu doktor periksa Haziq," jawab Datuk Muhsin.

"Kenapa denga Haziq?" tanya Datin Nurina, hairan.

"Tadi jari dia bergerak. Nanti apa-apa saya beritahu awak ya. Awak pergi tengok menantu kita dulu," jawab Datuk Muhsin.

Datin Nurina hanya mengangguk lalu berlalu pergi menuju ke arah lif yang terletak berdekatan.

"Ya Allah, Kau kuatkanlah anak dan menantuku ini," Datuk Muhsin bermonolog sendiri.

     *      *     *     *     *

Puan Wardah sedang melipat kain baju apabila telefon bimbit Lily yang terletak berhampiran dengannya berdering. Pada mulanya, dia mengabaikan sahaja kerana tidak mahu mengganggu privasi anaknya itu.

Namun begitu, setelah telefon bimbitnya berbunyi untuk kali ketiga, hati Puan Wardah mulai bimbang kerana dia tahu pasti panggilan itu penting.

Dia mencapai telefon bimbitnya, terpamer nama Lia di atas skrin. Tanpa berlengah, dia menjawab panggilan dari anak keduanya itu.

"Assalamualaikum kak, kenapa akak tak jawab panggilan Lia tadi?" tanya Camellia di hujung talian. Kedengaran suaranya sedikit panik.

"Waalaikumussalam Lia, ini ibu. Kakak tidurkan Cempaka di atas, dia terlupa ambil telefon bimbitnya. Ada apa, Lia?" jawab Puan Wardah, lembut.

"Oh, ibu rupanya. Lia cari kakak sebab nak minta kakak ke Gleneagles. Tadi pakcik Muhsin hubungi Muhaimin," terang Camellia.

"Gleneagles? Ada apa-apa jadi dengan Haziqkah?" tanya Puan Wardah, sedikit bimbang.

"Bukan Haziq, ibu. Kak Su, dia keguguran. Tadi dia pengsan di rumah, pembantu rumah jumpa dia sudah tumpah darah," sambung Camellia.

"Innalillah Wainnailaihi rajiun, jadi dia ada di sana sekarang? Bagaimana keadaan dia?" tanya Puan Wardah, panik.

"Doktor kata dia kehilangan banyak darah, dan Kak Su harus dibedah bagi mengeluarkan janin. Dia masih dalam bilik pembedahan. Haziq pula sudah sedarkan diri, tetapi dia masih menjalani ujian doktor."

"Kalau begitu, nanti ibu akan ke sana bersama kakak. Ayah sudah tahu?"

"Sudah, Lia sudah hubungi ayah tadi. Dia dalam perjalanan ke sana. Lia sedang tunggu abang balik jemput Lia. Nanti kami akan menyusul."

"Baiklah, kalau ada apa-apa berita, Lia sampaikan pada kami ya," jawab Puan Wardah sebelum mematikan talian.

Selepas itu, dia berlari menuju ke arah bilik Lily. Lily yang baru sahaja keluar dari bilik terkejut melihat ibunya berkejaran sambil memegang telefon bimbitnya.

"Kenapa, ibu?" tanya Lily, hairan dengan perilaku ibunya itu.

"Tadi Lia call kakak banyak kali, jadi ibu jawablah," jelas Puan Wardah.

"Baik, kenapa Lia call?" tanya Lily, ingin tahu.

"Suraya, dia pengsan dan tumpah darah tadi. Doktor kata dia keguguran," jawab Puan Wardah.

"Apa dia, ibu?" tanya Lily, terkejut.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com