Wednesday, June 14, 2023

Dalam Kesamaran Bahagian 23

Link terdahulu:
Bahagian 1
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15
Bahagian 16
Bahagian 17
Bahagian 18
Bahagian 19
Bahagian 20
Bahagian 21
Bahagian 22

Jawapan Rashdan membuatkan Zulaikha terkedu.

"Apa dia, abang?" tanya Zulaikha, inginkan kepastian.

"Abang sudah dua bulan menganggur. Pagi tadi abang pergi temu duga di syarikat ayah Haziq, sebab itu Ika nampak macam abang balik awal. Pada mulanya, abang ingat nak rahsiakan dan terus masuk kerja di syarikat baru andai abang diterima tapi bila Ika minta nak bercuti, abang jadi penat. Bulan lepas Ika minta tukar sofa, bulan sebelumnya Ika minta tukar dapur. Permintaan Ika yang itupun abang masih belum tunaikan, Ika dah minta benda lain?" jelas Rashdan, melepaskan apa yang terbuku di dalam hatinya.

"Salahkah Ika minta?" tanya Zulaikha, berang.

"Tak salah, tapi berpadalah."

"Itu sebab Ika tak tahu abang tak bekerja," jawab Zulaikha.

"Habis itu, kalau abang masih bekerja sekalipun, apakah Ika pasti abang mampu untuk tunaikan semua permintaan Ika dengan gaji abang ketika itu?"

Zulaikha terdiam.

"Ika, tolong jangan bandingkan hidup Ika dengan Su, atau Lily. Hidup kita semua tak sama. Betul, Su dapat suami dari golongan berada, bukan sekali tapi dua. Ika tahu bukan berapa lama dia menderita untuk dapatkan kebahagiaan? Itupun belum pasti lagi dia betul-betul bahagia ataupun tidak. Masalah rumah tangga dia, takkan dia nak cerita semua? Macam Lily pula, Ika tengok arwah Adrian sangat sabar melayan kerenah Lily tapi bagaimana pula dengan nasib Lily sekarang?"

Zulaikha masih lagi mendiamkan diri.

"Harta benda, bukan ukuran kebahagiaan. Ika sepatutnya bersyukur dengan apa yang Ika ada. Abang tak pernah duakan Ika, walaupun dengan kehadiran semula cinta pertama abang dulu. Itu saja dah buat Ika jauh lebih beruntung dari ramai isteri di luar sana. Ika sedar tak?" sambung Rashdan lagi sebelum ingin beredar keluar dari bilik itu.

"Sewaktu Su datang semula dalam hidup abang, pernahkah abang terlintas nak duakan Ika?" tanya Zulaikha, membuatkan langkah Rashdan.

"Tipulah kalau hati abang tak goyah, dia cinta pertama abang. Cuma, abang masih ada akal fikiran. Jangankan sebab benda yang tak pasti, abang buang benda yang pasti dalam tangan abang," jawab Rashdan sebelum menyambung langkahnya ke bilik tetamu lalu mengunci dirinya di dalamnya.

Mendengar jawapan suaminya itu, Zulaikha terduduk lalu menangis semahunya. Barulah dia sedar bahawa dia amat beruntung jika dibandingkan dengan Suraya dan Lily yang pernah dicemburuinya dalam diam itu.

     *     *     *     *     *

"Bos, saya ada benda penting nak laporkan pada bos," ujar Mohamad, pengawal peribadi Muhaimin sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta.

"Apa dia?" tanya Muhaimin, sambil membelek laporan yang ada pada skrin tab miliknya.

"Ayah bos, dia arahkan orang untuk intip cik Suraya," jawab Mohamad.

"Kenapa pula?"

"Khabarnya, dia nak tahu kenapa bos pilih untuk bercerai dengan cik Suraya dulu dan ayah bos dah dapat salinan video bos dengan puan," jawab Mohamad lagi.

"Dia tahu di mana Suraya sekarang?"

"Nampak gayanya macam sudah tahu, cuma sekarang ini dia masih menyiasat apakah hubungan cik Suraya dengan encik Haziq, anak Datuk Muhsin."

"Dia tahu Suraya ada salinan video itu?"

"Tahu, bos."

"Kau ada sesiapa yang boleh ekori ayah aku tak?"

"Kenapa, bos?"

"Jawab sajalah!"

"Tapi itu Tan Sri Mazlan, bos! Siapa berani buat hal dengan dia?"

"Aku kenal ayah aku, sebab itulah aku suruh seseorang ekori dia. Kalau susah sangat, cari orang yang boleh ekori Amri. Bagaimana?" tanya Muhaimin.

"Lebih mudah cari orang untuk ekori Tan Sri, bos!"

"Nanti apa-apa perkembangan, cepat-cepat laporkan pada aku. Tak kira pukul berapa sekalipun, faham?"

"Faham, bos!" jawab Mohamad.

Muhaimin tidak menyambung perbualan mereka dan meneruskan kerjanya yang terhenti tadi. Dalam hatinya, dia berharap agar apa yang dia fikirkan tidak berlaku.

     *     *     *     *     *

Lily dan Suraya duduk di sebuah bangku berdekatan dengan taman permainan kanak-kanak di mana Cempaka sedang bermain bersama Haziq. Walaupun kelihatan seperti Lily sedang memerhatikan Cempaka, namun Suraya tahu fikiran Lily sudahpun menerawang entah ke mana memandangkan dia tidak sama sekali menyedari kehadiran Aduka berdekatan mereka.

Namun begitu, ketika Cempaka mula mendekati Aduka yang duduk di bangku yang lain dan minta untuk didukung, Lily mula menyedari kehadiran lelaki lalu bangun menuju ke arah Aduka.

"Kenapa kau usik anak aku?" tanya Lily, cuba untuk merampas Cempaka daripada Aduka membuatkan semuanya terkejut termasuklah Cempaka. Tindakan Lily telah membuatkan Cempaka mula menangis dan meronta-ronta tidak mahu berenggang daripada dukungan Aduka.

Aduka tidak menjawab, sebaliknya dia cuba untuk tidak mencederakan Lily atau Cempaka. Namun, tingkah dua beranak itu menyukarkannya dan memberikan isyarat kepada Suraya dan Haziq untuk membantunya.

"Lily, cuba bawa bertenang. Bukan Aduka yang ambil Cempaka tapi Cempaka yang minta Aduka dukung dia," jelas Suraya sambil mencuba untuk meleraikan Lily dari Cempaka.

"Dia anak aku dengan abang Adrian, kenapa jantan ini sibuk nak dukung anak aku?" teriak Lily seperti orang kurang siuman.

"Cempaka cuma ajak Aduka bermain dengan dia saja," jawab Suraya sambil memeluk Lily yang meronta-ronta itu.

Mendengar jawapan Suraya, Lily menepis Suraya sehingga dia hilang keseimbangan lalu terjatuh. Mujur Suraya sempat disambut oleh Haziq yang berada di belakang mereka.

Suraya dan Haziq hanya mampu melihat Lily yang mengambil semula Cempaka dari dukungan Aduka sebelum berlalu pergi.

Sengaja Suraya dan Haziq tidak mengejar Lily kerana mereka tahu kedegilan Lily. Tak guna bertikam lidah dengan seseorang yang baru sahaja kehilangan, mana mungkin dia akan membuka hatinya.

"Sorry bro, dia masih belum stabil," ujar Haziq sambil memegang bahu Aduka yang masih lagi terkejut dengan tindakan Lily tadi.

"Aku okay, cuma aku bimbangkan Cempaka. Budak itu bukan tahu apapun, kenapa dia nak marah sangat?" tanya Aduka, hairan dengan perubahan sikap Lily.

"Dia tertekan, mana mungkin dia dapat menerima kehilangan Adrian dengan begitu mudah. Jadi, hanya kau saja tempat lepas geram yang dia ada," jawab Suraya yang masih memegang pinggangnya yang sakit akibat terjatuh tadi.

"Kalau tak kerana amanah arwah Adrian, memang tidaklah aku nak hadap muka dia lagi. Sayang macam manapun, kalau kau dilayan ibarat sampah, letihlah."

"Sabar banyak-banyak, pasti ada hikmahnya kenapa semua benda ini berlaku kepada kau," jawab Haziq.

"Aku cuba untuk bersabar, itu saja yang aku boleh lakukan. Akan tetapi, kalau dia tak nak bantu diri dia sendiri, macam mana?" tanya Aduka, tidak puas hati.

Mendengar kata-kata Aduka, Suraya dan Haziq terdiam. Mereka tahu Aduka tidak perlu untuk menjaga Lily dan Cempaka, tetapi atas sebab amanah yang diberikan oleh arwah Adrian, Aduka terpaksa diamkan. Pastinya lelaki itu akan penat jua akhirnya.

     *      *      *     *     *

"Sayang, kenapa termenung ni?" tanya Camellia setelah melihat Muhaimin termenung memandang ke arah luar tingkap.

Pertanyaan Camellia membuatkan Muhaimin berpaling dan memandang ke arah isterinya itu.

"Tak ada apa-apa. Cuma, terfikir soal kerja yang tak habis-habis itu," jawab Muhaimin sebelum memeluk isterinya.

"Sayang, I tengok you banyak berubah sejak kita kahwin. You dah mula nak solat, seronok I tengok," ujar Camellia, sambil tersenyum memandang Muhaimin.

"Sebab Allah dah berikan I isteri yang I nak, jadi apa lagi alasan I nak berpaling dari Dia?" tanya Muhaimin, inginkan persetujuan isterinya itu.

"Ya, Allah berikan you seorang isteri yang buruk bagi you tapi kalau tak kerana dia, kita takkan jadi suami isteri. Sampai I mati, I takkan lupa pengorbanan Kak Su pada kita," jawab Camellia.

"Andai katalah I terjatuh cinta pada Su dulu, apa yang akan you lakukan?" duga Muhaimin.

"I akan lepaskan you, dengan senang hati. Kak Su banyak berkorban untuk keluarga I, kalau you betul-betul sayangkan dia, I sanggup lepaskan you asalkan dia bahagia," jawab Camellia sambil tersenyum.

Mendengar jawapan dan melihat reaksi Camellia, Muhaimin tahu isterinya ikhlas dengan jawapannya. Benar, Suraya telah banyak berkorban untuk kebahagiaan semua orang sehinggakan dia lupa akan kebahagiaannya. Atas sebab itulah, Muhaimin nekad untuk melindungi Suraya sekiranya dia dalam bahaya.

"Sebab inilah I sayang you," jawab Muhaimin sebelum menguatkan pelukannya.

"I pun sayangkan you. Tambahan pula, you dah bagi I peluang untuk jadi ibu pada Mikail," ujar Camellia sambil tersenyum.

"Tak cukuplah Mikail seorang, I nak anak lima!" seloroh Muhaimin.

"Amboi!" ujar Camellia sebelum mencubit Muhaimin.

"Oh ya, hari itu ibu pergi jumpa Kak Su di rumah abang Haziq."

"Kenapa tiba-tiba ibu nak jumpa Su?" tanya Muhaimin, hairan.

"Dia nak minta maaf. Hari itu I tak tahan dengar ibu asyik salahkan Kak Su tentang apa yang dah terjadi, jadi I berterus-terang tentang apa yang berlaku antara kita bertiga malam itu," jawab Camellia.

"You tunjuk video itu pada ibukah?" tanya Muhaimin, setelah terkejut mendengar kenyataan Camellia itu.

"Ya, I tunjuk video itu guna komputer you. Kenapa?" tanya Camellia.

"Patutlah," jawab Muhaimin sebelum mengeluh.

"Kenapa, sayang?" tanya Camellia, hairan.

"Puas I fikir bagaimana ayah I tahu tentang video itu, sedangkan cuma I dengan Su saja yang ada salinannya. I terlupa nak beritahu, telefon bimbit kita berdua, komputer I semuanya ayah I boleh semak. Cuma, nasib baik you masih pakai telefon bimbit lama you, bukan?" jelas Muhaimin.

"Ayah boleh semak telefon dengan komputer kita?" tanya Camellia, inginkan kepastian.

"Ya, sayang. Sewaktu I masih bersama Suraya pun dia buat benda yang sama, sebab itulah sejak kami bercerai, Su jual kereta, komputer dan telefon bimbitnya. Malah, I sendiripun ada pasang pengesan pada barangan Su dulu," jawab Muhaimin.

"Habis itu, dengan I pun you ada pasangkah?" tanya Camellia, sedikit geram.

"I have to, sebab I dengan ayah ramai musuh. I tak nak sesiapa apa-apakan you. Tapi tak sebanyak yang I pasang pada Su dululah," jelas Muhaimin.

"I tak fahamlah, kenapa you pasang banyak pengesan pada Kak Su kalau you tak cintakan dia? You arahkan pengawal jaga dia juga, bukan?" tanya Camellia, hairan.

"Sebab I tak nak dia larikan diri," jawab Muhaimin, ringkas.

"Kenapa dia nak larikan diri, sedangkan dia yang setuju nak bernikah dengan you?"

"Manalah tahu, kalau-kalau dia tak tahan dengan I."

"Dia tahukah you buat semua itu?"

"Tahu," jawab Muhaimin.

"Kagum I dengan dia. Dengan layanan buruk you pada dia, kecurangan you, ditambah lagi dengan semua ini, dia masih boleh bertahan empat tahun dengan you? Wow!"

"Itulah, I pun kagum juga. I sangkakan dia tak pernah tahu, sampailah I terjumpa dia berborak dengan pengawal peribadi dia di halaman rumah. Siap bagi minum petang lagi! Teruk juga mereka berdua kena belasah," ujar Muhaimin.

"Rupanya sebab itu Kak Su kena belasah dengan you dulu. Kasihan dia, bukan salah dia pun," jawab Camellia.

Belum sempat Muhaimin menjawab, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dia melihat nama Mohamad tertera di atas skrin, membuatkan dia segera menjawab panggilan tersebut.

"Hello, Mat. Ada apa-apa yang kau nak laporkan?" tanya Muhaimin, sebaik sahaja dia menjawab panggilan tersebut.

"Hello, bos. Benda yang bos takutkan, dah terjadi!" jawab Mohamad, dengan nafas tercungap.

"Apa dia?" tanya Muhaimin, terkejut.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com