Link terdahulu:
Bahagian 6
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 7
Bahagian 8
Bahagian 9
Bahagian 10
Bahagian 11
Bahagian 12
Bahagian 13
Bahagian 14
Bahagian 15
Bahagian 16
Bahagian 17
Bahagian 18
Bahagian 19
Bahagian 20
Bahagian 21
Bahagian 22
Bahagian 23
Bahagian 15
Bahagian 16
Bahagian 17
Bahagian 18
Bahagian 19
Bahagian 20
Bahagian 21
Bahagian 22
Bahagian 23
"Rashdan, kenapa diam?" tanya Lily, hairan dengan tindakan Rashdan yang mendiamkan diri itu.
"Aku bertengkar dengan Ika dan tak tidur bersama sejak semalam. Aku marah dengan sikapnya yang suka membandingkan dirinya dengan Su. Su dah berkahwin dua kali, kenapa masih tak mampu nak buangkan perasaan cemburu itu?" jawab Rashdan, lemah.
"Cinta pertama seorang lelaki pasti akan sentiasa dicemburui oleh pasangannya. Tak kiralah apapun status wanita itu sekarang."
"Then, kenapa tak halang aku berkawan semula dengan Su dulu? Alih-alih nak cemburu pula. Sekarang inipun aku tak tahu nak beritahu dia tentang Haziq kena tembak ataupun tidak. Kalau dia tahu, nanti bukan-bukan pula dia merepek."
Lily terdiam. Ada benarnya juga kata-kata Rashdan itu.
"Tak apa, biar aku beritahu dia. Aku rasa kau jangan datang hospital dulu. Tunggu aku beritahu dia dulu, tengok dia nak buat apa."
"Baiklah kalau begitu. Oh ya, ada orang panggil aku. Nanti apa-apa hal, kau hantar mesej pada aku ya?"
"Yalah," jawab Lily, pendek sebelum talian diputuskan oleh Rashdan.
Tanpa berlengah, Lily menyimpan telefon bimbitnya di dalam beg tangannya semula lalu memasuki keretanya sebelum memandu keluar dari perkarangan rumahnya.
* * * * *
Suraya terjaga dari tidurnya dan mendapati yang dia berada di atas katil di dalam bilik tidurnya. Dia melihat sebelah, tiada kelibat Haziq kelihatan membuatkan dia berasa hairan. Terus dia mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas rak bersebelahan katilnya, sudah jam 10 pagi membuatkan dia bertambah hairan kerana kebiasaannya, Haziq akan mengejutkannya untuk solat Subuh jikalau dia tidak bangun menjelang waktu Subuh.
Tanpa berlengah, dia bangun menuju ke arah bilik air untuk mandi dan mengambil wuduk sebelum dia menunaikan solat Qada' Subuh pagi tadi.
Setelah selesai, dia keluar dan turun ke tingkat bawah di mana dia dapat melihat Datuk Muhsin dan Datin Nurina sedang menonton televisyen. Dia bertindak mendekati mereka berdua lalu duduk bersebelahan dengan Datin Nurina.
"Abang mana, ma? Su tak nampak bayang dia pun hari ini," tanya Suraya yang hairan dengan ketiadaan suaminya itu.
"Haziq? Dia ke Sarawak, katanya kawannya semasa dia di sana sakit. Dia minta maaf kerana tak sempat nak beritahu kamu," bohong Datuk Muhsin.
"Samarahan? Kawan dia yang mana? Kenapa tak adapun dia mesej?"
"Tak ada isyaratlah itu. Nanti-nanti dia telefonlah itu," bohong Datin Nurina pula.
Suraya tidak sama sekali menyedari bahawa dia sudah tidak sedarkan diri selama setengah hari sejak dia pulang ke rumah semalam. Atas persetujuan keluarga Haziq dan Suraya, mereka semua sepakat untuk merahsiakan keadaan Haziq yang masih dalam koma itu dan semua yang terjadi kelmarin dari pengetahuan Suraya. Sekiranya perlu, biarlah Suraya ingat sendiri.
"Su, tengahari ini mama dengan papa nak ke Pavilion, nak beli hadiah hari jadi Lina. Kamu nak ikut tak?" tanya Datin Nurina, cuba mengumpan menantunya itu agar dia keluar rumah. Dia tidak mahu Suraya terperap saja di rumah.
"Tapi ma, esok Isnin. Su kena kerja. Kalau ikut ma, nanti penat," jawab Suraya sambil memeluk lengan ibu mentuanya itu.
"Su tak ingatkah? Su cuti seminggu," duga Datin Nurina.
"Cuti seminggu? Kenapa?" tanya Suraya, hairan.
"Doktor bagi cuti seminggu kerana Su mengandung."
Jawapan Datin Nurina membuatkan Suraya bertambah hairan kerana dia sama sekali tidak mengingati bahawa dia mengandung. Jauh sekali mengingati bahawa dirinya cuti seminggu.
"Kenapa Su tak ingat Su cuti seminggu?" tanya Suraya, hairan.
"Su ingat tak Su pergi hospital kelmarin?" tanya Datin Nurina pula.
"Ingat, tapi tak ingat sebab apa. Rupanya sebab mengandung."
Datin Nurina memandang Datuk Muhsin. Tentang itu, mereka tidaklah mereka cerita kerana Suraya memang disahkan mengandung sebulan hasil pemeriksaan doktor ketika dia tiba di hospital kelmarin. Akan tetapi, gara-gara dia kerapkali kehilangan ingatan setiap kali pengsan, dia tidak meyedari doktor telah mengesahkan bahawasanya dirinya mengandung.
"Kalau begitu, bolehlah Su ikut."
"Kalau macam itu, siaplah. Mama malas nak masak, jadi kita makan di sana sajalah. Bagi peluanglah makcik Jun kamu rehat."
Mendengar kata-kata Datin Nurina, Suraya tidak menjawab dan terus saja bangun menuju ke biliknya.
Sebaik sahaja Suraya hilang dari pandangan, Datin Nurina menarik nafas lega.
"Kalau Haziq tak sedar juga, macam mana?" tanya Datin Nurina.
"Kita sama-sama doakan Haziq akan sedar semula secepat mungkin. Kalau tak, terpaksa dia kata dia koma kerana sebab lain."
"Sebab lain?"
"Kemalangan, mungkin. Asalkan Su tak ingat semula peristiwa hari itu."
Datin Nurina hanya mengangguk setuju cadangan Datuk Muhsin itu. Baginya, keselamatan menantu dan cucunya lebih utama buat masa ini.
* * * * *
Muhammad sedang merokok di tepi kereta Muhaimin apabila Muhaimin tiba di keretanya itu. Melihat kehadiran majikannya, Muhammad membuang puntung rokoknya lalu memijaknya.
"Bagaimana, Mat? Jumpa bukti?" tanya Muhaimin.
"Jumpa, bos! Saya jumpa sebuah kereta berdekatan yang mempunyai dashcam dan merakam kejadian tersebut dengan jelas. Cumanya, ini hanya mampu membuatkan orang-orang bawahan Tan Sri saja yang ditangkap polis. Kita tak ada bukti Tan Sri terlibat!"
"Siapa pula kata kita tak ada? Hari itu awak bawa kereta siapa ke tempat mereka bawa Suraya itu?" tanya Muhaimin sambil tersenyum sinis.
"Kereta bos sebab nak cepat. Sekejap, kereta bos ada dashcam?" tanya Muhammad, kurang mengerti.
"Adalah, Mat! Pergi ambil rakaman dashcam saya dan semak kalau-kalau Tan Sri ada dalam rakaman hari itu," jawab Muhaimin sambil menepuk lengan Muhammad.
"Baik, bos!" jawab Muhammad sebelum menuju ke arah pintu pemandu kereta Muhaimin dan membukanya bagi mengambil kad memori kamera papan pemuka kereta Muhaimin. Selepas itu, dia menutup kembali pintu kereta itu lalu beredar dari situ.
Muhaimin hanya memerhatikan pemergian Muhammad sebelum telefon bimbitnya berdering. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluarnya dan mendapati nama ayahnya tertera di skrin. Dia mengambil keputusan untuk menjawab panggilan tersebut.
"Assalamualaikum papa, papa ada di mana?" tanya Muhaimin, risau.
"Waalaikumussalam, papa ada di Bukit Kayu Hitam sekarang. Boleh tak kamu masukkan lima belas ribu ringgit dalam akaun papa sekarang?" tanya Tan Sri Mazlan pula di hujung talian.
"Papa nak buat apa duit banyak-banyak ini? Mat beritahu Muhaimin yang papa tembak Haziq, betulkah?"
"Janganlah banyak cerita, sekarang ini kamu ada duit sebanyak itu ataupun tidak?" bentak Tan Sri Mazlan tatkala disoal sebegitu oleh anaknya.
"Papa, Muhaimin baru saja dapat anak. Mana ada duit sebanyak itu. Papa nak pergi Siamkah?" tanya Muhaimin lagi.
Pertanyaan Muhaimin itu tidak dijawab, sebaliknya talian terus terputus. Melihat respon bapanya itu, tahulah dia bahawasanya bapanya ingin melarikan diri ke Thailand.
Tanpa berlengah, Muhaimin terus menghubungi seseorang.
"Hello Inspektor Saad, ini saya Muhaimin. Saya dapat berita bahawa ayah saya berada di Bukit Kayu Hitam sekarang," ujar Muhaimin sebaik sahaja orang yang berada di hujung talian menjawab panggilannya.
"Hello, encik Muhaimin. Kalau saya tak kenal kamu berdua, saya tak percaya kamu berdua ini anak-beranak. Kamu pastikah dengan tindakan kamu melaporkan ayah kamu ini?" tanya Inspektor Wahab, pegawai polis yang ditugaskan untuk menyiasat kes penculikan dan mencederakan Haziq dan Suraya.
"Saya lebih banyak terhutang budi dengan Suraya yang belum dibalas. Lagipun, bapa saya harus kembali ke pangkal jalan. Bukannya saya tak nasihatkan dia, Inspektor. Mungkin ini saja jalan yang boleh menyedarkan dia."
"Baiklah, kalau begitu. Saya akan uruskan perihal bapa kamu tapi kamu hati-hati. Kamu tahu perangai ayah kamu bukan?"
"Ya, saya tahu. Terima kasih Inspektor."
"Sama-sama. Saya ada hal ini, kalau ada perkembangan tentang ayah kamu, saya akan maklumkan pada encik Muhaimin ya. Assalamualaikum," jawab Inspektor Saad.
"Baiklah, waalaikumussalam."
Muhaimin terus sahaja memutuskan talian lalu menyimpan telefon bimbitnya kembali. Pening dia memikirkan soal bapanya dan bekas isterinya merangkap sepupu iparnya itu. Ditelan mati emak, diluah mati bapa.
* * * * *
Aduka sedang menyemak stok perniagaannya di bilik stor apabila dia mendengar loceng yang digantung di pintu masuk kedainya berbunyi. Dia yang baru sahaja membuka kedai menjual makanan sejuk beku sebulan yang lalu terus berjalan menuju ke hadapan kedai kerana sangkaannya ada pelanggan yang datang.
Namun begitu, kelibat seorang lelaki tua yang amat dikenalinya membuat dia terkesima kerana dia sama sekali tidak menyangka lelaki itu akan mencarinya di tempat kerja.
"Assalamualaikum Aduka," ujar Encik Wahab.
"Waalaikumussalam, pakcik. Saya sihat, bagaimana pula dengan pakcik?" jawab Aduka sebelum mendekati lelaki itu dan bersalaman dengannya.
"Pakcik sihat, Alhamdulillah. Semenjak makcik kamu dah berbaik dengan Suraya, pakcik rasa hidup pakcik makin tenang."
Mendengar kata-kata Encik Wahab, Aduka tersenyum. Dia amat mengetahui bagaimana ibu Lily itu membuatkan seluruh keluarga mereka huru-hara akibat kebenciannya terhadap Suraya dahulu.
"Faham sangat perasaan pakcik itu. Alhamdulillah, urusan pakcik sekarang dipermudahkan. Betapa besarnya impak makcik terhadap keluarga pakcik sekarang. Oh ya, maafkan saya. Pakcik, jemput duduk. Biasalah kedai kecil, sini sajalah tempat yang sesuai untuk berbual. Belakang sana cuma ada stor," jemput Aduka sambil menunjukkan kerusi yang berada berdekatan dengan kaunter bayaran.
Encik Wahab duduk di kerusi yang ditunjukkan oleh Aduka tadi manakala Aduka pula menuju ke peti ais untuk mengambil air mineral lalu dibawa kepada Encik Wahab. Dia meletakkan botol air mineral itu di atas meja berhadapan Encik Wahab sebelum dia duduk di kerusi berhadapan dengan lelaki itu.
"Maaflah, air yang lain manis. Tak sesuai untuk pakcik."
"Tak apalah, ini pun dah cukup. Pakcik datang nak berbual dengan kamu, bukannya nak minum air," seloroh Encik Wahab sebelum ketawa.
Aduka juga ikut ketawa mendengar kata-kata Encik Wahab itu. Terhibur jugalah hatinya dengan telatah bapa mentua tak jadinya itu.
"Pakcik sebenarnya ada perkara nak berbincang dengan kamu, mengenai Lily."
Kata-kata Encik Wahab selepas itu membuatkan Aduka terbungkam.
"Lily? Kenapa dengan dia?"
"Pakcik sebenarnya bimbang dengan keadaannya sejak pemergian Adrian, tapi pakcik tahu hatinya masih belum boleh memaafkan kamu atas tindakan kamu menghancurkan hatinya dulu."
Aduka tidak menjawab kerana dia tahu itulah yang berlaku sekarang.
"Cuma, Rashdan ada beritahu pakcik yang sebenarnya kamu tak curang dulu. Betulkah?"
"Saya curang ataupun tidak, benda itu sama sekali takkan mengubah pendirian Lily buat saya. Semasa saya membuat keputusan untuk berpura-pura curang dahulu, saya sudah bersedia untuk menghadapi implikasinya. Jikalau bukan kerana amanah Adrian, pastinya saya sudah hilangkan diri seluruhnya dari hidup Lily."
"Aduka tahu tak, sebenarnya orang perempuan ini, dia marah sebab dia sayang?"
"Tahu, tapi Lily bukan marah saya. Dia benci saya, pakcik."
Mendengar kata-kata Aduka, Encik Wahab tertawa. Hairan Aduka melihat respon Encik Wahab itu.
"Lily tak benci kamu, dia cuma marah. Kalau Lily bencikan seseorang, memang teruk kamu kena belasah dengan dia semasa pertama kali kamu bertemu dia semula. Cuma kamu ingat balik, semasa kamu bertemu dia semula dahulu, siapa yang paling bimbang?" tanya Encik Wahab selepas menjelaskan keadaan sebenarnya.
"Paling bimbang? Saya perasan Rashdan dan Ika minta maaf banyak kali pada Lily, malah semasa Su dan Haziq tiba, Su nampak macam tak senang duduk. Kenapa pakcik?"
"Itu adalah kerana Rashdan dan Su amat mengenali Lily. Ketika Rashdan mula-mula kenal Su dahulu, Lily pernah membelasah bekas teman lelakinya ketika itu kerana bencikan lelaki itu yang hampir meragut kesuciannya. Mujurlah Su tak sedap hati dan dia bersama Rashdan pergi mencari Lily, kalau tak sudah meninggal budak itu anak pakcik kerjakan."
Melopong Aduka mendengar kata-kata Encik Wahab itu. Masih ada sisi Lily yang tidak dia ketahui meskipun hampir sepuluh tahun dia mengenali wanita itu.
"Akan tetapi, Rashdan memberitahu pakcik yang Lily hanya bertikam lidah sahaja dengan kamu."
"Itu sebab ada Adrian. Malah, hari itupun dia kena marah dengan Adrian kerana saya," jawab Aduka, lemah.
"Adrian takkan mampu menghalang Lily sekiranya dia sudah tekad hendak menumbuk muka kamu. Mungkin kamu akan lebam setepek di muka," seloroh Encik Wahab lagi.
Akan tetapi, kali ini seloroh Encik Wahab tidak membuatkan Aduka tertawa. Dia masih memikirkan mengapa Lily tidak membencinya.
"Pakcik tahu, jauh di sudut hati Lily, kamu masih ada tempat istimewa itu. Kalau tidak, masakan Adrian mengamanahkan anak dan isterinya buat kamu?" sambung Encik Wahab lagi setelah melihat tiada respon dari Aduka.
"Saya tak tahu bagaimana nak pulihkan keadaan, pakcik. Lily tak mahu bertemu dengan saya, apatah lagi hendak bawa berbincang," jawab Aduka.
"Kalau pakcik tolong kamu, bagaimana?" tanya Encik Wahab.
"Tolong apa, pakcik?" tanya Aduka, hairan.
*BERSAMBUNG*
0 comments:
Post a Comment