Monday, February 16, 2015

Alasan Untuk Bahagia 8.1 (Akhir)...


"Aku terima nikahnya Fatin Najihah binti Ahmad Kusaini, dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai..."

         Dengan sekali lafaz, Najihah telahpun selamat menjadi suri di hati Amir. Upacara akad nikah itu hanya dihadiri oleh saudara mara dan teman-teman rapat atas permintaan Najihah sendiri. Dia lebih memikirkan tentang pembedahannya yang telah dijadualkan pada 4 minggu lagi di London. Akan tetapi, dia dan Amir harus ke sana 2 minggu lebih awal untuk pemeriksaan dan ujian yang hendak dilakukan oleh pakar neurologi di sana.

        Malam itu, Najihah terus masuk ke dalam biliknya selepas makan malam. Kepalanya rasa sakit yang teramat. Tindak-tanduk Najihah membimbangkan Amir, dan atas nasihat ibu mentuanya, Puan Wahidah, dia mengikut Najihah masuk ke dalam bilik. Apabila dia masuk, Najihah sedang duduk berteleku di atas katil. Amir menghampiri isterinya.

       "Awak okay tak ni, Jihah?" tanya Amir, risau.

       "Saya okay, dah makan ubat tadi. Itu yang naik atas terus, sebab nak makan ubat. Awak, boleh saya minta sesuatu?"

       "Apa dia?" tanya Amir.

       "Boleh saya panggil awak, 'abang'? Walaupun kita hanya beza setahun, tapi saya nak panggil awak abang."

        "Boleh, sayang. Oh ya, boleh abang tanya sesuatu?"

        "Apa dia?"

        "Why you chose me instead of him? You love him, right?"

        "Serius ke ni nak tahu?"

        "I'm serious, my dear."

        "To be honest, waktu Razin masuk meminang Jihah, Jihah buat solat istikharah. Jihah nampak belakang lelaki, sekali imbas memang macam Razin. So, that's why I chose him at first."

        "Then, what happened?"

         "Bila abang lapor diri, Jihah memang terkejut sebab abang pakai exactly the same macam dalam mimpi itu. I was so speechless at that time, tapi dah terlanjur bertunang dengan orang lain. Razin memang baik, dia betul-betul buat Jihah gembira tapi bila abang datang balik, Jihah rasa bersalah sangat dengan Razin. Worse when I was diagnosed with brain tumor. So, I decided to use that as the reason to pull off the wedding."

        "Jahat betul isteri abang ni. Abang minta maaf sebab Jihah sakit ini kerana abang. Memang patut abang dapat balasan macam ni."

        "Mulut abang ni, tak beringat betul! Jodoh ni abang, datang macam-macam cara. Ada orang datang cara elok, ada orang tak. Asalkan kita balik pada yang Maha Esa, Dia pasti tahu apa yang terbaik."

        Amir tersenyum mendengar kata-kata isterinya. Dia memeluk Najihah lalu mengucup pipi Najihah. Terasa nyaman suasana malam itu.

     *     *     *     *     *
Najihah sedang memeriksa beg pakaiannya apabila pintu biliknya diketuk. Dia menuju ke arah pintu untuk membukanya dan dia terkejut melihat Indah di hadapannya. Dia memberi isyarat agar Indah masuk ke dalam biliknya.

          "Tengah kemas barang lagi ke? Esok dah nak gerak ke sana dah," tanya Indah apabila melihat beg pakaian bertaburan seantero bilik.

          "Nak periksa saja, takut ada yang tertinggal. Razin macam mana kak? Sihat tak?" Soal Najihah pula.

          "Razin? Macam itulah, mayat hidup. Dunia dia cuma pejabat dia saja. Semuanya dia buat dalam itu, makan, kerja, tidur, semuanya! Tapi termenung yang paling kerap dia buat."

          Najihah menuju ke arah meja soleknya. Dia membuka laci dan mengeluarkan dua pucuk surat. Dia menyerahkan keduanya kepada Indah.

          "Apa ni, Jihah?"

          "Satu ni surat perletakan jawatan, tolong berikan pada bahagian sumber manusia. Satu lagi ni surat peribadi, tolong berikan pada Razin. Boleh tak?"

           "Kenapa Jihah tak beritahu sendiri? Akak tak berani. Ini urusan kamu berdua."

           "Tolonglah akak. Dalam keadaan Jihah dan dia sekarang, kami tak sepatutnya bertemu. Lagipun, Jihah kena jaga hati Amir. Dia suami Jihah."

           "Baiklah, Jihah. Akak akan serahkan. Jihah bahagia ke sekarang?"

           "Alhamdulillah, akak. Kalau dah jodoh, berpisah pun tetap bertemu."

           Mendengar jawapan Najihah, Indah tersenyum lega. Setidaknya kurang satu beban di bahu Najihah.

           "Akak, tak nak cuba tawan hati Razin semula ke?" Tanya Najihah.

           "Biarlah masa tentukan, Jihah. Akak tak nak berharap sangat. Takut terluka lagi nanti. Lagipun, anak akak, Dahlia itu tengah membesar. Akak fokus pada dia dulu."

           "Kalau akak dah cakap begitu, apa lagi yang Jihah boleh komen kan?" jawab Najihah lalu tersenyum. Melihat senyuman Najihah, Indah yakin Najihah bahagia. Walaupun dia harus melukakan seseorang untuk bahagia.

     *     *     *      *       *
Razin sedang memandang ke arah luar tingkap apabila pintu biliknya diketuk. Namun, dia hanya mendiamkan dirinya kerana dia tahu insan yang mengetuk pintu biliknya itu pasti akan masuk tanpa kebenarannya jua.

            Ternyata telahan Razin benar. Indah masuk ke dalam biliknya apabila melihat tiada respon dari dalam bilik. Dia mendekati Razin, namun Razin masih lagi tidak berganjak dari apa yang dilakukannya sedari tadi.

           "Kalau Razin nak hidup macam mayat hidup sekalipun, buatlah. Asalkan baca surat Jihah ini dulu. Indah letak atas meja ya," ucap Indah lalu meletakkan sekeping sampul di atas meja. Razin masih tidak berganjak.

          "Tak apalah, Indah keluar dulu," ucap Indah lagi setelah melihat majikannya tidak menjawab lalu dia berjalan ke luar bilik.

          Razin berpaling dan mencapai sampul yang ditinggalkan Indah itu. Dia membuka sampul itu dan mengeluarkan surat yang dikirim oleh Najihah itu lalu membacanya. Air mata lelakinya mula mengalir selepas beberapa ketika.

     *     *     *     *     *
6 bulan kemudian...

"Indah, masuk sekejap!" laung Razin melalui interkom di biliknya. Tak sampai seminit, pintu biliknya dikuakkan dan Indah memasuki bilik tersebut perlahan-lahan. Melihat Indah berjalan agak perlahan, Razin bangun dan menuju ke arah Indah dan memimpin wanita itu ke kerusi berhadapan mejanya.

         "Indah okay ke tak ni? Kalau tak larat, tak payahlah kerja. Muntah-muntah lagi ke?" tanya Razin bertubi-tubi. Risau betul dia melihat Indah begitu.

         "Okay sikitlah. Tak apalah, kalau Indah cuti, siapa nak uruskan kerja cik abang ni? Sudahlah kita kena buatkan kerja Amir dengan Jihah," jawab Indah lalu ketawa.

         "Abang cakap sebab abang risau, Indah boleh ketawa? Indah ni memang betul-betullah nak kena. Oh ya, cakap pasal mereka berdua, Amir masih uruskan projek di Sabah itu lagi ke? Dia tak nak balik tengok isterinya ke? Pelik betul abang tengok dia itu, sejak dia masuk kerja 4 bulan lepas, dia langsung tak cerita pasal Jihah. Bila abang tanya, dia senyum tak ikhlas saja. Indah tahu apa-apa tak pasal ni?"

         "Abang, kalau Indah cerita, abang jangan marah ya."

         "Apa dia?"

         "Sebenarnya projek di Sabah itu sepatutnya dah siap. Tapi Amir buat deal dengan company Tan Sri Erman untuk restoran Tan Sri di Sarawak pula. Itu yang tak balik-balik."

         "Kenapa Amir tak bincang benda ini dengan abang?"

         "Kalau dia beritahu abang, mesti abang tak setuju dan suruh dia balik jenguk Jihah kan? Itu yang dia tak nak."

         "Kenapa pula?"

         "Sebab keadaan Jihah tak menggembirakan Amir. Petang ini kita pergi tengok Jihah, abang nilailah sendiri. Boleh tak?"

         Mendengar jawapan Indah, Razin terdiam. Pasti ada yang tak kena dengan Najihah dan Amir sehinggakan Amir membawa diri hingga ke Borneo.

     *     *     *      *     *
Razin melangkah masuk ke dalam bilik yang terletak di hujung sekali. Dia ternampak sekujur tubuh sedang duduk di tepi katil sambil memeluk bantal. Mata Razin mula bergenang melihat insan tersebut. Insan tersebut pernah sempurna di matanya, tapi kini dia hilang salah satu pancainderanya.

         "Abang masuk bilik Jihah nanti, abang jangan cakap apa-apa pasal penglihatannya. Takut dia sensitif pula," terngiang-ngiang kata-kata Indah di dalam kepalanya.

         Razin duduk di sebelah insan tersebut. Tindakannya telah membuat insan tersebut terkejut dengan kehadiran seseorang di sebelahnya.

         "Abang ke itu?" tanya Najihah. Razin tidak menjawab, hanya diam seribu bahasa. Hendak melihat sama ada Najihah boleh mengecamnya atau tidak.

        "Abang kan? Kenapa abang dah lama tak balik? Sejak kita balik dari London, abang hantar Jihah balik rumah mama dan terus keluar. Sampai sekarang tak balik-balik. Abang pergi mana? Mama cakap, abang kerja luar kat Sabah. Betul ke? Kenapa lama sangat? Tak cakap kat Encik Razin ke pasal Jihah? Sampai hati abang kerja luar lama-lama. Jihah tahulah Jihah dah..." Najihah tidak menghabiskan ayatnya, sebaliknya hanya menangis.

        Melihat keadaan Najihah, Razin mula sebak. Dia tak mampu untuk terus berada di situ. Dia bangun dan ingin beredar dari situ, tapi tangan Najihah lebih pantas mencapai seluarnya.

       "Abang jangan tinggalkan Jihah sendiri. Jihah takut abang. Dunia Jihah gelap. Walaupun doktor kata benda ini sementara, tapi Jihah tetap takut."

        Razin masih lagi tidak menjawab, sebaliknya hanya melepaskan pegangan Najihah pada seluarnya dan berlalu pergi.

         Razin menuju ke ruang tamu, Indah sedang duduk berbual dengan ibu Najihah, Puan Wahidah. Razin duduk di sebelah Indah. Air matanya masih bergenang, sebak dengan keadaan Najihah sedari tadi.

         "Kenapa abang?" tanya Indah, risau melihat keadaan Razin yang kelihatan agak murung.

         Razin tidak menjawab, sebaliknya mencapai telefon bimbitnya di dalam poket lalu menghubungi seseorang. Kedengaran suara Amir di hujung talian.

         "Hello, Encik Razin. Ada apa call saya terus ni?"

         "Amir, saya nak awak balik KL penerbangan pertama esok dan terus lapor diri di pejabat jam 9 pagi esok. Kalau awak tak muncul sampai habis waktu pejabat esok, awak dipecat!" arah Razin lalu memutuskan talian.

        "Kenapa abang cakap begitu pada Amir?" tanya Indah, hairan.

        "Makcik, betul ke Amir tak balik rumah sejak dia bawa Najihah balik sini? Dia ingat saya ni Amir tadi," tanya Razin kepada Puan Wahidah. Wajah Indah berubah mendengar pertanyaan Razin itu.

        "Dia balik, cuma dia tak tidur dalam bilik Najihah. Dia tidur dalam bilik tetamu di tingkat bawah. Bila makcik tanya, katanya dia tak sanggup nak tengok Najihah dalam keadaan begitu."

         "Bukankah Najihah perlukan Amir dalam keadaan begini? Kenapa Amir buat begitu?" luah Indah yang masih terkejut dengan cerita Puan Wahidah itu.

         "Najihah itu nampak saja kuat, tapi dia lemah sebenarnya. Tak salah tekaan kamu, Najihah perlukan Amir dalam keadaan begini. Namun, Amir itu nampak lemah, tapi kuat sebenarnya. Cuma bila dia lihat Najihah begitu, dia jadi sebak. Kalau kamu di tempatnya, adakah kamu nak orang yang kamu sayang sedar yang kamu sedang bersedih kerana dia? Walaupun Amir tak masuk bilik Najihah, tapi Amir setiap hari bangun solat malam untuk mendoakan isterinya itu. Janganlah kamu salahkan Amir, dia juga manusia biasa seperti kita. Kalau rasa cara dia salah, tegurlah sebaiknya. Jangan dihina atau dituding kesalahan padanya. Dia juga mangsa keadaan seperti Najihah."

         Razin dan Indah berpandangan sesama sendiri. Mereka semakin keliru.

     *     *     *     *     *
"Jihah apa khabar? Sihat?" tanya Indah setelah dia duduk di sebelah Najihah. Najihah hanya tersenyum bagi menjawab pertanyaan Indah itu.

          "Abang Razin cakap apa bila keluar dari bilik tadi?" tanya Najihah.

          Terkejut bukan kepalang Indah mendengar soalan Najihah. Ternyata Najihah dapat mengecam Razin dengan baik walaupun mereka tidak pernah bersua muka sejak dia pulang dari London.

          "Akak ingat Jihah tak cam Razin. Sebab Razin cakap dia ingat Razin itu Amir," jawab Indah.

          Mendengar jawapan Indah, Najihah ketawa.

          "Akak, mungkin Jihah tak nampak tapi Jihah tak bodohlah. Abang Razin dengan abang Amir mana guna minyak wangi yang sama. Lagipun tangan abang Razin halus, orang kaya kan. Jihah sengaja buat begitu supaya abang Razin bawa abang Amir balik. Jihah tahu abang Razin mampu lakukannya."

          "Kalau dia tak buat macam itu sebab dia nak Jihah balik, macam mana?" duga Indah.

          "Akak, Amir dah beritahu Jihah semasa di London. Akak dengan abang Razin dah bernikah 5 bulan lepas. Takkanlah abang Razin sanggup nak tunggu isteri orang macam Jihah ni sedangkan isterinya sendiri dah cukup cantik?"

          "Kalau betul jodoh Jihah dengan Amir kuat, insya-Allah Amir akan balik. Akak yakin."

           Mendengar kata-kata Indah, Najihah tersenyum lega.

     *     *     *     *     *
"Kenapa Encik Razin panggil saya balik? Projek kata Sabah itupun tak habis lagi," tanya Amir selepas dia duduk berhadapan dengan Razin.

         "Kalau tak pandai nak bohong, tak payahlah bohong. Buat tambah marah saya saja, Amir. Awak ingat saya tak hubungi Tan Sri Erman ke? Dia kata, awak dah seminggu di Sarawak. Uruskan projek di sana pula. Kenapa awak tak bincang dengan saya tentang hal ini?" luah Razin.

         "Saya minta maaf, saya bimbang Encik Razin tak luluskan."

        "Saya akan luluskan kalau awak beritahu saya, tapi saya tetap akan suruh awak balik. Saya akan hantar Hairi pula uruskan projek di Sarawak. Kenapa awak buat begini? Awak tak bimbangkan Jihah ke?"

        "Saya tak boleh terus-terusan tengok Jihah begitu, Encik Razin. Jiwa saya sakit. Saya rasa diri saya tak guna sebab tak boleh buat apa-apapun untuk Jihah. Sedangkan saya punca dia jadi begitu."

         "Sekalipun awak tak boleh sembuhkan dia, awak tetap kena ada disisinya. Sokong dia, jangan bagi dia putus asa. Benda ini soal kekuatan, hanya kekuatannya saja yang boleh sembuhkan dia. Tapi kalau awak tak ada dengan dia, apa lagi yang dia ada?"

          Mendengar kata-kata Razin, Amir terdiam. Ada benarnya kata-kata Razin itu.

     *     *     *     *     *
Najihah tersedar dari tidurnya apabila dia merasakan ada orang memeluknya. Dia cuba menghidu bau yang datang dari insan yang tidur disebelahnya, ternyata bau yang muncul sangat dikenalinya. Dia berasa sangat bahagia berada dalam pelukan insan tersebut.

        "Dah bangun ke sayang?" pertanyaan yang datang dari insan yang memeluknya itu tambah menggembirakan Najihah. Suara yang sangat dirindui kini berada dekat dengannya lagi.

        "Dah. Bila abang balik?" tanya Najihah lalu bangkit dan bersandar di kepala katil.

        "Pagi tadi, tapi abang masuk kerja dulu. Encik Razin suruh masuk menghadap dia. Jadi tak dapatlah isteri abang ini ambil bau Sarawak."

         "Sarawak? Bukan Sabah ke?" tanya Najihah, hairan.

         "Projek kat Sabah dah habis, abang dapat tawaran sambung di Sarawak pula. Dah seminggu abang di sana, tapi semalam Encik Razin suruh balik."

          Mendengar jawapan Amir, Najihah tersenyum. Amir yang melihat senyuman isterinya mula merasa hairan.

          "Jihah dah jumpa Encik Razin ke?" duga Amir.

          "Sudah, semalam. Dia ingat Jihah tak cam dia, sebab Jihah pura-pura ingatkan dia itu abang," jawab Najihah lalu ketawa.

          "Macam itu pula. Sayang, abang minta maaf sebab abaikan Jihah dulu. Abang terlupa yang Jihah perlukan abang dalam keadaan Jihah sekarang. Abang minta maaf ya," luah Amir lalu mengusap pipi Najihah.

          Najihah mengambil tangan Amir lalu diciumnya. Sungguh dia rindu dengan tangan itu, meskipun tangan itu kasar namun terasa hangat apabila dipegang.

          "Jihah minta maaf sebab tak sempurna dimata abang. Abang tak salahpun, kenapa nak minta maaf? Jihah sentiasa maafkan abang."

           Amir menarik Najihah ke dalam pelukannya. Hanya tangisan yang kedengaran selepas itu.

     *     *     *     *     *
"Sedapnya bau! Jihah masak apa itu?" tanya Amir yang sedari tadi memerhatikan Najihah yang sedang asyik memasak di dapur.

         "Sayur campur pun sedap ke abang oi? Pelik saja abang ini," jawab Najihah.

         "Sayang goreng ikan masin pun sedap kat lidah abang tau? Oh ya, Kak Indah dengan Abang Razin dah dalam perjalanan. Sekejap lagi mereka sampailah. Mana lauk yang lain? Abang tolong siapkan atas meja. Pinggan dengan gelas abang dah susun dah."

          "Ada atas kabinet itu. Abang ambillah. Sayang nak cedok sayur ini dalam mangkuk sekejap," jawab Najihah lalu mencapai mangkuk di sebelahnya untuk mengisi sayur campur dalam kuali itu.

           Selepas selesai mencedok, Najihah membawa mangkuk tersebut ke meja makan. Sedang asyik dia memperbetulkan susunan lauk, kedengaran loceng pintu berbunyi. Amir yang datang dari dapur terus meluru ke pintu sebelum sempat Najihah melangkah. Ternyata sejak Najihah mengandung, Amir memang banyak membantunya dalam melakukan kerja rumah.

          Tak lama selepas itu, muncul Indah dan Razin di meja makan. Indah mendekati Najihah dan mereka berpelukan. Selepas itu, Amir muncul bersama seorang bayi lelaki.

          "Duduklah, abang, akak. Jemputlah makan. Jihah pun duduk sekali. Abang nak main dengan Izzat sekejap. Geram tengok dia," kata Amir yang kemudiannya mencium pipi bayi yang didukungnya berkali-kali.

          "Ini siapa yang kenan dengan Izzat ini? Akak tengok mak buyung pun tak over macam Amir," seloroh Indah setelah melihat kerenah Amir.

          "Apa nak hairan, kak? Dia juga yang kena morning sickness dulu, lupa ke? Sampai kena ambil MC selang sehari. Melepek saja di rumah. Nasib baiklah saya ini kerja juga, kalau tak makan pasirlah jawabnya," seloroh Najihah pula.

          "Untunglah kamu, Jihah. Kalau abanglah, memang angkat bendera putihlah jawabnya. Nak tolong kak Indah kamu jaga Izzat pun abang tak larat," sampuk Razin yang sedari tadi memerhatikan mereka bertiga.

         "Oh ya, macam mana abang Razin boleh menikah dengan kak Indah?" tanya Najihah.

         "Surat kamulah, lupa? Bukan ke dalam surat itu kamu sebut yang kak Indah dah lama tunggu abang? Kamu pun dah mengaku yang kamu memang sayangkan Amir sejak dulu lagi dan kamu terima abang sekadar alasan untuk bahagia kan?" jawab Razin, selamba.

         "Sebab itu saja?" tanya Najihah lagi, hairan.

         "Abang dah buat solat istikharah, abang yakin kak Indah memang untuk abang. Selebihnya, biarlah Allah tentukan," jawab Razin lagi.

         Mendengar kata-kata Razin, Najihah tersenyum puas. Ternyata tiada lagi alasan untuk bahagia dari pihak sesiapapun kerana ternyata ianya hanya melukakan banyak hati. Kini, dia bahagia dengan Amir dan dia pasti Indah bahagia dengan Razin. Buktinya? Indah dan Razin telahpun mempunyai Izzat yang sudahpun berusia 3 bulan dan dia kini mengandung 6 bulan hasil perkahwinannya dengan Amir. Sejak matanya sembuh 6 bulan lepas, Amir sentiasa ada disisinya tak kira senang ataupun susah. Tak salah dia meninggalkan Razin kerana dia ingin Razin bahagia.

TAMAT

Foot print: Penat perah otak karang ayat jam 3 pagi. Maaf kalau mengecewakan.

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com