Thursday, August 14, 2014

Alasan Untuk Bahagia Part 2...


"What? Ex-boyfriend?" kata Indah, separuh menjerit. Apabila tersedar suaranya agak kuat, dia terus menekup mulutnya.

          Indah Suriati, setiausaha Razin ini memang terkenal dengan perangai kecohnya itu. Suaranya kadangkala dapat didengari hampir sebatu jauhnya. Namun begitu, perangai Indah itu sedikitpun tidak mengganggu Razin kerana sebenarnya dia telah terbiasa. Indah merupakan rakan seuniversitinya yang dikenali sejak 10 tahun lepas. Hubungan mereka yang akrab membuatkan Razin mengambil Indah sebagai setiausahanya sejak dia memegang jawatan itu dua tahun lepas, lebih-lebih lagi setelah Indah bercerai dengan bekas suaminya dan hilang punca pendapatan untuk menyara dua orang anak yang masih kecil.

         Bukan Razin tak tahu, Indah menyayanginya lebih daripada seorang kawan, namun perhubungan yang gagal dulu telah menyekat keinginannya untuk bercinta lagi apatah lagi bernikah meskipun usianya telah menginjak 34 tahun. Akan tetapi, kehadiran Najihah telah mengetuk pintu hatinya secara tiba-tiba.

         Sebelum dia menghantar pinangan buat Najihah, dia telah melakukan solat istikharah selama 3 malam berturut-turut supaya dia tak tersalah pilih. Jawapan yang diterimanya adalah Najihah membuatkan dia betul-betul yakin Najihah adalah jodoh yang dicari. Akan tetapi, bagaimana harus dia hendak berterus-terang pada insan yang sudah menunggunya selama bertahun-tahun ini?

        "Yup, nampak dia stress sangat. Mungkin dia ada kenangan buruk kot. Kasihanlah pula," jelas Razin.

        "Kasihan ke kasihkan? Indah dah kenal Razin sepuluh tahun kot. Indah tahu sangat apa yang ada dalam benak hati Razin. Razin sayangkan Jihah kan?" duga Indah.

        Indah tahu Razin sayangkan rakan serumahnya itu. Dia juga tahu Najihah ada hati dengan insan yang sekian lama bertakhta dalam hatinya itu. Bukan dia tak tahu sebab itu Najihah bertahan dengan kerja-kerja yang tiada kaitan yang Razin berikan padanya itu. Kalau tidak, sudah lama Najihah berhenti atau berpindah ke cawangan lain. Apalah sangat ugutan yang Razin berikan sebenarnya, tak terjejas pun Najihah dengan ugutan itu semua.

        Namun dia hairan apabila Najihah tiba-tiba menghilang hujung minggu lepas, begitu juga Razin. Najihah kata, dia balik kampung. Razin pula, pergi bercuti. Hairan pula bila kedua-duanya menghilang pada masa yang sama. Macam ada yang tak kena.

         Dia juga perasan cincin baru di jari manis Najihah ketika dia pulang ke rumah semalam. Takkanlah dah bertunang kot? Cepatnya! Tak ada angin, tak ada ribut tu satu hal, dengan siapa lagi satu hal. Tiba-tiba, Indah terfikirkan sesuatu.

         "Razin, boleh Indah tanya sikit boleh?" tanya Indah lalu tersengih serupa kerang busuk.

         "Apa dia, Indah?" tanya Razin pula.

         "Razin meminang Jihah ke?" duga Indah.

         Razin tidak menjawab, tidak pula terkejut dengan soalan itu. Respon sudah cukup menggambarkan segalanya.

         "Kenapa tak beritahu Indah? Jihah pun senyap saja."

         "Jihah pun tak tahu hal ni. Semuanya Razin yang aturkan."

          "Kiranya betullah Razin meminang Najihah?" tanya Indah lagi, untuk kepastian.

          Razin mengangguk. Benarlah sangkaan Indah beberapa hari ini.

          "Habis itu, Jihah terima tak?" tanya Indah lagi.

           "Indah rasa?"

           "Terima kot, sebab pagi tadi datang ofis, muka Razin ceria sangat."

           Mendengar jawapan Indah, Razin tertawa. Alahai, payah nak bersembunyi daripada Indah Suriati ini. Memang cekap menangkap bahasa tubuh daripada kata-kata.

          "Pandai betul Indah ni. Betullah tu. Itu yang Razin resah sangat bila dapat tahu Amir itu rupanya bekas teman lelaki Jihah."

           "Razin, Indah bukan apa, tapi kalau Jihah jodoh Razin, insya-Allah Jihah akan jadi milik Razin. Baik Amir mahupun sesiapapun takkan dapat pisahkan kamu berdua. Tapi kalau Jihah bukan jodoh Razin, tanpa kehadiran Amir pun kamu berdua takkan bersatu. Betul tak?" jelas Indah panjang lebar.

             Mendengar kenyataan Indah, Razin terdiam. Ada benarnya kata-kata Indah, kenapa dia perlu bimbang? Lebih baik serahkan itu kepada Yang Maha Mengetahui.

     *     *     *     *     *

             "Lambat Jihah balik hari ini, ke mana kamu lepas makan malam tadi? Kak Indah cari saja kamu dah hilang. Bukan kamu saja, dengan Razin sekali lesap," duga Indah ketika dia melihat susuk tubuh Najihah yang baru saja menutup pintu rumahnya.

             "Jihah temankan Encik Razin pergi hantar Yati, Ana, Ros dan Wani balik. Lepas itu, Encik Razin hantar Jihah balik pula. Kenapa kak?" jawab Najihah, hairan.

             "Takkanlah Razin tak boleh balik seorang? Rumah kita ini dekat Shah Alam, rumah Razin dekat Damansara. Lain laluannya. Hairan pula akak. Atau kamu berdua ada ke tempat lain selepas hantar yang berderet-deret itu? Rumah mereka semua belah Ampang sana. Kamu pergi rumah keluarga Razin ya?" duga Indah lagi.

             "Mana akak tahu?" tanya Najihah.

             "Jihah, akak dah kenal Razin 10 tahun kot. Semua benda tentang dia akak tahu. Termasuklah rumah banglo milik Tan Sri Abdul Jalil bin Mansor," jelas Indah.

              "Apa dia? Tan Sri? Kenapa Jihah tak tahu hal ini?"

              Mendengar soalan Najihah, Indah panik. Biar betul Razin tak pernah beritahu status keluarganya. Kata bakal isteri!

             "Kamu memang tak tahu ke Razin ni anak Tan Sri?" Tanya Indah. Najihah menggeleng.

             "Mungkin sebab dia tak nak orang terima dia sebab ayah dia kot."

             "Kak Indah, saya tak hairan pun dengan harta keluarga dia tu. Saya ikhlas terima dia seadanya dia. Dia dah banyak buang titik hitam dalam hati saya tentang cinta."

             Mendengar jawapan Najihah, Indah tersenyum. Tanpa pengetahuan Najihah, ada insan lain yang sedang mendengar perbualan mereka.

       *         *          *          *           *

            Amir sedang termenung apabila Indah datang mengetuk mejanya. Melihat kehadiran Indah, dia terus memandang Indah lalu tersengih.

            "Apa kamu buat ni? Besar sangat ke masalah tu sampai termenung saja kerjanya? Kamu jangan macam-macam, Amir. Nanti kot ada yang buat sejarah nanti, kena pecat tak sampai seminggu."

            "Masalah jiwalah akak. Akak pernah bercinta?"

            "Akak ni janda anak dua, mestilah pernah kan? Kenapa kamu tanya?"

            "Akak janda? Tak percayalah! Tak adalah, akak pernah tak sayang pada orang yang akak pernah lepaskan? Tapi orang tu dah tak sayangkan akak sekarang?"

            Mendengar soalan Amir, Indah diam seribu bahasa. Terasa hatinya bagai ditusuk sembilu.

            "Pernah dan masih," jawab Indah, pendek.

            "Akak tak cuba tawan hati dia ke?"

            "Amir, bila kita lepaskan dia dulu, kita kena ingat satu perkara. Dia yang dulu kita dah 'bunuh'. Sebab tu akak tak berharap sangat yang dia akan terima akak balik."

            "Maksud akak?"

            "Dia yang sekarang tak sama dah. Kalau dia masih sayang pun, dia pasti akan takut pisang berbuah dua kali. Tak semudah itu dia akan terima kita semula."

            "Oh ya ke. Habis, akak dengan dia macam mana sekarang?"

           "Kawan baik merangkap majikan," jawab Indah lalu tersenyum.

           "Encik Razin? Dia dah ada yang punya ke sampai akak jadi kawan baik saja? Akak lawa kot, takkanlah dia tak terpikat."

            "Mungkin pada kamu, akak lawa. Akak pasti dia pun rasa macam tu juga dulu. Tapi akak pernah khianati cinta dia pada akak. Dia mahu berkawan semula pun akak dah bersyukur sangat."

            "Apa yang akak buat?"

            "Akak kahwin dengan orang lain. Akak ingatkan dia tak pernah sayangkan akak tapi akak silap. Akak buta menilai cinta dia."

            "Saya pula dah cuba untuk berbaik tapi dia langsung tak nak. Dia masih marahkan saya."

           "Biar dia lepaskan marahnya dulu. Bila dia dah reda, dia akan bagi awak peluang untuk menjelaskan semua tapi jangan berharap sangat sebab selalunya tak menjadi. Boleh akak tahu siapa yang Amir maksudkan? Akak kenal ke?"

           "Fatin Najihah."

           "Najihah? Bos kamu tu?" tanya Indah, pura-pura terkejut. Amir mengangguk.

           "Kalau Najihah, lebih baik lupakan sajalah. Ada beberapa sebab kenapa akak cakap macam ni. Pertama, dia pernah cakap dengan akak betapa susah dia nak lupakan Amir, jadi hati dia dah keras untuk terima Amir balik. Kedua, dia dah berpunya sekarang."

          "Berpunya? Siapa punya?" tanya Amir, bingung.

          "Tak perlu tahu. Dahlah, akak nak sambung kerja ni. Buat kerja ya, Amir. Jangan mengelat," jawab Indah lalu beredar dan ketawa. Geli hatinya melihatkan Amir.

         Amir pula masih terpinga-pinga dengan kenyataan Indah.

     *      *      *      *       *

Semakin laju kaki Najihah melangkah, mengelak dirinya terus dikejar. Namun, langkah Amir yang lebih besar membuatkan Najihah dapat dipintas dengan mudah.

        "Awak nak apa lagi? Saya dah cakap, saya tak boleh terima awak lagi!" bentak Najihah.

        "Saya tahu, sebab awak sudah berpunya bukan?" duga Amir.

        Najihah terkesima mendengar soalan Amir. Mana dia tahu ni? Siapa beritahu?

        "Baguslah kalau awak dah tahu. Jadi, apa masalah awak sekarang?"

        "Siapa dia? Apa lebihnya dia daripada saya?"

        "Dia? Biasa saja, tapi bezanya dia sembuhkan luka yang dah bertahun awak biarkan!"

        "Najihah! Amir! Kenapa awak berdua di sini? Tak ada kerja ke?" sampuk satu suara tak jauh dari mereka.

        Mereka berdua mencari punca suara itu. Alangkah terkejut mereka apabila melihat Razin berdiri tak jauh daripada mereka berdua. Kehadiran Razin memberi peluang untuk Najihah beredar dari situ.

        "Nanti dulu, Jihah! Saya ada benda nak cakap dengan awak dan Amir," arah Razin setelah Najihah memintasnya. Arahan itu yang membuatkan Najihah menghentikan langkahnya dan kembali ke sebelah Razin lalu tunduk memandang lantai.

        "Amir, kenapa awak selalu sangat ganggu Najihah? Dia bos awak, bukan teman wanita awak yang awak boleh buat ikut suka hati awak. Saya dah dengar banyak aduan daripada rakan-rakan sekerja tentang perilaku awak. Saya tak mahu buang awak tapi itu tak bermakna saya tak boleh buat."

        "Maafkan saya, Encik Razin. Saya cuma mahu selesaikan masalah peribadi kami."

        "Saya tak ada masalah dengan dia, dia saja yang tak faham bahasa," jawab Najihah pula.

        "Kenapa keterangan kamu dengan Najihah tak sama?" duga Razin.

        "Saya cuma kembali bersama dia, Encik Razin. Itupun salah ke?"tanya Amir, geram diperlakukan sedemikian rupa.

       "Memanglah salah kalau orang itu tunang orang!" bentak Razin.

       Nampak riak terkejut di wajah Amir dan Najihah sendiri. Najihah memandang Razin, nampak sangat dia cemburu dengan Amir.

       "Tunang? Tunang siapa?" tanya Amir, terpinga-pinga.

*bersambung*

Foot print: Seminggu lagi nak habis praktikal! Yeay! =)

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com