Friday, February 13, 2015

Alasan Untuk Bahagia Part 7...


"Apa awak merepek ni? Awak minta tolong sebagai kawan, saya tolong awak sebagai kawanlah. Awak meragui keikhlasan saya?"

       "Awak masih sayangkan saya ke?"

       "Sebab itu awak meragui saya, Fatin Najihah?"

       Najihah terbungkam. Amir Arsyad yang dia kenal hanya akan memanggilnya dengan nama penuh bila dia sedang marah. Najihah mula rasa bersalah kerana bertanya begitu.

       "Saya bukan apa, saya bimbang saya akan tersepit di tengah-tengah."

       "Apa kata hati awak, Jihah? Fikir masak-masak, jangan buat tindakan yang bakal membuatkan awak menyesalinya."

       "Saya tak tahu, saya mulai buntu. Dalam keadaan saya sekarang, saya tak mampu memilih sesiapapun dalam hidup saya, tapi tindakan saya pasti akan melukai Encik Razin."

       "Saya rasa lebih baik awak berterus terang, Jihah. Tindakan awak menyulitkan banyak pihak. Macam mana kalau Encik Razin buat keputusan macam sebelum ni? Boleh awak hidup begitu?"

       Kata-kata Amir membuatkan Najihah terfikir sejenak. Ada benarnya kata jejaka dihadapannya ini.

     *     *     *     *     *
Razin memandang insan di sebelahnya itu. Sejak dia bersetuju untuk makan tengahari dengannya, dia tidak mengeluarkan sepatah pun dari mulutnya. Hanya diam seribu bahasa. Sangkaannya setelah dia batalkan 'hukuman'nya semalam, dia akan kembali normal. Rupanya dia masih lagi begitu. Pening Razin dibuatnya.

       "Jihah memang tak nak bercakap dengan abang ke? Abang tengok tadi Jihah cakap dengan Amir bukan main lagi."

       "Dah seminggu tak jumpa, kami bincang pasal kerjalah. Esok kan dia cuti. Apa masalah abang?"

      "Abang tak suka, dia bekas kekasih Jihah. Abang cemburu."

       "Jihah tak pernah cemburukan abang dengan kak Indah, sedangkan kak Indah pun bekas kekasih abang juga."

       Razin menjeling Najihah. Bengang betul dia mendengar respon tunangannya. Apa perasaannya tak penting ke? Najihah sedar tindakan Razin, namun dia tidak mempedulikan reaksi Razin itu.

       "Amir masih sayangkan Jihah. Abang pun tak pasti apa perasaan Jihah pada dia. Abang takut Jihah tinggalkan abang."

       "Kak Indah pun masih sayangkan abang, tapi Jihah percaya abang takkan khianati Jihah. Kenapa abang tak boleh nak percayakan Jihah?"

       Razin terkesima. Benar, apa yang dilakukan oleh Najihah bersama Amir juga dilakukan oleh dirinya bersama Indah. Salah dia juga. Tak patut dia hukum Najihah sedang dirinya juga bersalah.

       "Baiklah, abang boleh cuba untuk percayakan Jihah. Jadi, abang harap Jihah tak khianati abang."

       Mendengar kata-kata Razin, Najihah tersenyum. Senyumannya membuatkan Razin berasa lega. Mungkin benar kata Najihah, dia harus belajar mempercayai.

     *     *     *     *     *
Amir sedang melintasi bilik Najihah apabila dia terlihat Najihah sedang memegang kepalanya. Lantas, dia memasuki bilik Najihah.

       Tindakan Amir membuatkan Najihah kaget, namun selepas dia menyedari bahawa Amir yang memasuki biliknya, dia kembali memegang kepalanya.

       "Sakit kan? Kenapa tak makan ubat? Ubat mana? Saya ambilkan."

       Amir mula mencari ubat Najihah di atas meja Najihah yang berselerak itu. Namun, tindakan Najihah yang memegang lengan baju kemejanya menghentikan proses mencari itu.

       "Tak payah cari, saya tertinggal beg ubat kat rumah."

       "What? Sakit ni macam mana?"

       Belum sempat Najihah menjawab, dia sudahpun rebah ke lantai. Amir tidak membuang masa lalu mencempung Najihah keluar menuju ke lif.

       Tindakan Amir mengundang buah mulut semua orang di dalam pejabat, sehinggakan berita tersebut sampai ke telinga Razin dan Indah. Dengan pantas, Razin mengejar Amir.

       Namun begitu, dia terlewat seminit dua sahaja kerana ketika dia tiba di pintu hadapan bangunan pejabat mereka, kereta Nissan Almera milik Amir melintasinya.

     *     *     *     *     *
"Encik Amir, saya rasa ketumbuhan dalam otak cik Najihah dah semakin membesar. Kalau tak dibedah dalam masa sebulan, dia akan buta. Tolong nasihatkan dia, saya tak nak perkara itu terjadi pada cik Najihah," terang Doktor Hazeline setelah pemeriksaan dilakukan ke atas Najihah.

       "Saya tak tahu apa yang dia tunggu. Saya cuba ikut rentak dia, doktor tapi saya tak tahu kenapa dia menangguhkan pembedahannya. Tak apalah, nanti saya bincang dengan dia semula. Saya minta diri dulu."

       Amir berjalan keluar. Keluar saja dari bilik doktor, langkahnya terhenti dek dua kelibat yang sangat dikenalinya. Amir memandang dua insan dihadapannya lalu menelan air liur. Dia tahu rahsia Najihah tak mampu lagi untuk disimpan.

       "Saya rasa lebih baik Encik Razin minta penjelasan daripada doktor sendiri. Bukan daripada saya."

       "I will, but I will also need ypur explanation afterwards."

       Razin menuju ke dalam bilik Doktor Hazeline manakala Indah hanya kekal berdiri di mana dia berdiri sedari tadi.

       Amir mendekati Indah. Dia tahu Indah pasti ada soalan untuknya.

       "Jihah sakit teruk kan?"

        Amir mengangguk lemah.

       "Ada kesan lain ke penyakit dia tu?"

       "Buta."

       Indah terbungkam. Dia tak dapat menahan sebak dari apa yang didengarinya. Dia hilang kekuatan lalu terduduk di atas lantai sambil menangis teresak-esak.

       Melihat Indah, air mata lelaki Amir juga tumpas petang itu. Sempatkah untuk selamatkan Najihah?

     *     *     *     *     *
"Abang, Jihah minta maaf kerana tak mampu berterus terang. Jihah harap abang faham keadaan Jihah."

       "Tak apa, Jihah. Abang faham dan abang maafkan Jihah. Kita pergi London untuk pembedahan Jihah ya?"

       "Jihah akan pergi, selepas kita selesai urusan kita berdua."

       "Maksud Jihah?"

       "Kita putus. Jihah tak nak pasang harapan pada abang. Manalah tahu kalau umur Jihah tak panjang."

       "Kita ikhtiar dulu."

       "Jihah akan ikhtiar, tanpa abang. Tolonglah abang, kalau abang sayangkan Jihah, lepaskan Jihah."

       Razin kehilangan kata-kata. Dia menatap wajah insan kesayangannya itu. Wajah itu langsung tidak memandangnya sedari tadi. Keluhan berat dilepaskan.

       "Baiklah, abang lepaskan Jihah. Jihah bersiaplah untuk ke sana. Abang akan uruskan hal pertunangan kita," jawab Razin, tenang. Jawapan Razin itu dibalas dengan pandangan Najihah.

       "Terima kasih abang. Maafkan Jihah dan halalkan makan minum Jihah. Nah, cincin abang. Ini bukan hak Jihah lagi," ucap Najihah lalu menanggalkan cincin tunangnya dan diserahkan kepada Razin semula.

       *       *       *       *       *
"Kenapa minta putus pada Razin? Apa salah dia, Jihah?" Tanya Indah yang ternyata tidak berpuas hati dengan keputusan Najihah tadi.

       "Jihah ni boleh pergi bila-bila masa saja, akak. Bukan Jihah yang abang Razin cari. Kak Indah, Dahlia perlukan ayah. Abang Razin perlukan isteri. Jihah tahu akak orang yang paling sesuai untuk ambil tempat Jihah dalam hidup abang Razin."

       "Razin tak cintakan akak dah, itu semua sejarah. Dia cintakan Jihah. Jihah faham tak?"

       "Mungkin akak betul, tapi kalau abang Razin tak ada sekelumit perasaan pada akak pun, mana mungkin dia masih lagi fobia dengan kecurangan? Mana mungkin dia ambil akak jadi pembantu perobadinya?"

       "Apapun, masa kami dah lama habis."

       "Kalau dah jodoh, abang Razin tetap akan jadi milik akak. Trust me."

       Indah terdiam. Tak guna berbalah dengan orang yang menegakkan keputusannya. Dia harus beralah. Dia tahu itu.

       *       *       *       *       *
Amir sedang memotong buah epal yang dibelinya tadi. Sejak Najihah putus tunang, hanya dia saja tempat Najihah mengadu. Indah juga tidak lagi melawat Najihah sejak kali terakhir mereka bersua minggu lepas.

       "Amir, saya nak tanya sesuatu boleh?" Tanya Najihah sambil memandang Amir.

       "Apa dia, Jihah?"

       "Kita kahwin nak?"

       Pertanyaan Najihah menghentikan perbuatannya sedari tadi. Dia memandang Najihah. Najihah nampak serius.

       "Kenapa tiba-tiba? Kenapa saya, bukan Encik Razin?"

       "Nak ke tak nak? Tolonglah awak, jangan tanya semua soalan itu. Saya tak ada jawapannya."

       Air mata Najihah mulai gugur. Amir berasa tak senang hati melihat Najihah menangis sebegitu. Namun, hatinya keliru. Sangat keliru.

*bersambung*

Foot print: Siapakah yang korang rasa layak jadi suami Najihah? Amir atau Razin? Boleh bagi jawapan korang diruangan comment. Tarikh tutup undian adalah pada 12.00 tengah malam, 17/02/2015. Mohon beri kerjasama. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment