Tuesday, September 19, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 8...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 8: Kerugian yang Harus Dibayar

Bunyi telefon bimbit itu mengejutkan Wafi dari tidurnya. Tanpa berlengah dia mencapai telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja sisi katilnya. Dia melihat skrin telefonnya, nama Harry tertera di atas skrin.

"Hello, kenapa kau telefon aku ini? Hari ini aku tak datang ke sana," ujar Wafi setelah menjawab panggilan tersebut.

"Saya nak maklumkan bos, saya sudah dapat bayaran untuk hutang Ayra Melissa dan saya dah masukkan dalam akaun bos," terang Harry.

"Berapa kau masukkan? Hutangnya RM50 ribu bukan?" tanya Wafi yang akhirnya duduk bersandar di kepala katil setelah mendengar perkhabaran yang dibawa oleh Harry itu.

"RM70 ribu, bos. Saya depositkan guna CDM, 10 bank saya pergi. Sepertimana yang bos suruh," jawab Harry.

"Bagus, inilah sebab kenapa aku suka bekerja dengan kau. Baiklah, kalau ada apa-apa, kau hubungi aku. Chaw!" ujar Wafi sebelum memutuskan talian.

Sengaja dia menyuruh orang bawahannya itu memindahkan wang menggunakan mesin deposit tunai, kerana mana-mana pihak tidak dapat menyiasat dari mana datangnya wang yang dimasukkan oleh Harry itu. Begitulah rutinnya jika mereka mendapat duit hasil pinjaman yang dilakukannya.

Wafi mencapai komputer ribanya lalu dia membuka pelayar bagi melihat perkembangan lelongan pasaran gelap yang diterajuinya sejak setahun yang lalu. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat kutipan hasil lelongan malam semalam adalah RM6 juta dan RM5 juta sahaja datangnya dari satu 'barang', iaitu manusia! 

Selama dia mengendalikan lelongan ini, belum pernah lagi mana-mana manusia dibeli dengan harga yang begitu tinggi, hanya organ manusia sahaja yang dibeli dengan harga tinggi. Itupun paling tinggi harga yang pernah dicatatkan untuk organ manusia ialah RM5.2 juta untuk sepasang buah pinggang.

Wafi mencapai telefon iPhone 6S miliknya lalu menghubungi Harry semula. Tak lama selepas itu, kedengaran suara Harry di hujung talian.

"Hello, bos! Apa cerita ini, tak sampai sepuluh minit bos dah hubungi saya?" tanya Harry sambil ketawa.

"Siapa perempuan yang kau jual dengan harga RM5 juta ini?" tanya Wafi, dengan nada yang agak keras. Begitulah dia jika dia sedang menahan marah.

"Orang yang tak bayar hutang, bos! Saya pun terkejut ada orang sanggup beli perempuan ini dengan harga RM5 juta," ujar Harry dengan suara yang tersekat-sekat.

"Mana duitnya?" tanya Wafi, hairan kerana dia tak diberitahu tentang perkara ini.

"Saya sudah masukkan RM70 ribu tadi," jawab Harry.

"Kau jual Ayra itu ke?"

"Ya, bos. Dia pinjam, tapi sudah tiga bulan tak bayar. Bila kami minta, dia kata dia tak ada duit. Jadi, saya lelonglah dia."

Wafi mulai hairan, selalunya mengikut polisi geng, orang yang berhutang hanya akan dijual jika tiada bayaran selama setahun, itupun setelah tiga kali amaran. Mengapa pula Ayra dijual hanya setelah tiga bulan culas membuat bayaran? Pasti ada yang tak kena.

"Aku nak bahagian aku, lagi RM2.93 juta! Selebihnya kau agihkan kepada orang-orang kita," arah Wafi.

"Baik, bos! Nanti bila saya dah depositkan ke dalam akaun bos, saya akan hubungi bos."

"Okay, chaw!" jawab Wafi sebelum mematikan talian. Namun, selepas itu, dia menghubungi seseorang yang lain pula.

"Hello, bos! Ada apa hubungi saya malam-malam buta ini?" tanya lelaki yang berada di hujung talian.

"Aku ada kerja untuk kau, dan aku nak kau rahsiakan daripada semua orang, termasuklah Harry," jawab Wafi, serius.

"Bos curiga dengan Harry? Hairan," ujar lelaki itu dengan nada suara yang hairan.

"Kau jangan nak sindir aku, Bob! Aku nak kau buat beberapa perkara ini. Pertama, aku nak tahu siapa Ayra Melissa ini, kenapa dia buat pinjaman dengan kita dan siapa yang uruskan hal pinjaman dia? Kedua, aku nak kau siasat siapa yang beli Ayra dengan harga RM5 juta itu. Ketiga, aku nak kau siasat gerak-geri Harry, dengan siapa dia sekarang, apa yang dia buat, aku nak tahu semuanya."

"Banyaknya, tapi bos, saya nak deposit sikit. Tengah kering ini," ujar Bob.

"Harry tak cakap nak bagi kau orang duit sikit ke?" tanya Wafi.

"Tak ada pun, Harry baru saja keluar dari markas ini. Kalau ada, saya mesti sudah tahu."

"Baiklah, aku depositkan RM2 ribu dulu. Bakinya lepas kau dapat semua info yang aku nak."

"Baik, bos!"

"Ingat, tak ada siapapun harus tahu tentang ini. Chaw!" Wafi sempat memberikan amaran sebelum dia memutuskan talian. Dia mulai berang dengan tindakan Harry yang cuba untuk menipunya. Harapkan pegar, pegar makan padi.

     *      *     *     *      *

Wafi sedang menghirup cappuccino yang dipesannya apabila seorang lelaki duduk di hadapannya. Wafi memandang wajah lelaki itu, lelaki yang bermisai nipis, mempunyai kulit kuning langsat, hidung sedikit mancung dan mata yang tidak terlalu sepet dan tidak terlalu buntang itu sedang memesan minumannya daripada pelayan yang mengikuti lelaki itu sedari tadi.

"Kau sudah berapa lama tak pulang ke rumah? Auntie sudah bising," ujar Wafi kepada lelaki itu.

"Aku sibuk sikit, lagipun aku baru saja terima pembantu peribadi baru. Jadi, ambil masa sikit nak sesuaikan diri dengan dia. Mummy aku cakap apa pada kau?" tanya lelaki itu sambil tersenyum sinis.

"Kau ini, Ijal. Memanjangnya sibuk. Dia suruh kau balik, sebab dia nak bincang tentang perkahwinan kau dengan Salwa," terang Wafi, lalu menghirup minumannya.

"Dia masih nak aku berkahwin dengan minah senget itu? Kelakarnya," ujar Hafizal, sinis.

"Kau ini lagi meragukan aku. Aku kenal sangat kau ini, kau tak pernah bantah kata orang tua kau, kenapa kali ini?" tanya Wafi, terus terang. Dia tahu Hafizal menyembunyikan sesuatu.

"Aku bakal berkahwin, tapi mummy dengan daddy aku tak tahu."

"Patutlah kau begini. Kenapa tak berterus terang saja?" tanya Wafi, hairan.

"Aku ada sebab-sebab tertentu kenapa aku tak boleh berterus terang dengan sesiapa. Siapa bakal isteri aku pun aku tak boleh nak beritahu," ujar Hafizal.

"Kita kan sepupu. Kita berdua ini dah rapat sejak kecil lagi, takkan aku pun kau tak boleh nak beritahu?"

"Kau lagi bahaya, nanti dibuatnya kau beritahu mama kau, mama kau beritahu mummy aku, matilah aku!"

"Kau ini ada-ada sajalah. Aku pun kau tak boleh nak percaya," ujar Wafi, pura-pura sedih.

"Eleh, kau! Kau ingat aku tak tahu taktik kau itu? Aku kenal sangat kau itu, bukannya sedih manapun. Poyo saja lebih!" ujar Hafizal yang baru sahaja habis menghirup air teh limau yang dipesannya tadi.

"Tahu saja kau ini."

"Sudahlah, lagi lama aku layan kau, lagi banyak tertangguh kerja aku. Minum pagi ini aku belanja, bye!" ujar Hafizal sebelum bangun lalu meninggalkan kafe yang terletak berhampiran bangunan pejabat Hafizal itu.

Belum sempat Wafi menjawab, telefon bimbitnya berbunyi. Nama Bob tertera di atas skrin membuatkan dia cepat-cepat menjawab panggilan itu.

"Hello, Bob! Any info?" tanya Wafi, sedikit teruja.

"Ada, bos! Pertama, Ayra Melissa ini bekerja di Mustaqim Ventures, sebelum ini bekerja di bahagian pentadbiran tapi sekarang dia adalah PA Megat Hafizal. Memang pinjaman dibuat atas namanya, tapi tiada sebarang bukti yang menunjukkan dia menerima duit tersebut dan yang menguruskan pinjamannya ketika itu adalah Harry," terang Bob, panjang lebar.

"Harry? Aku tak terkejut. Setiap kali Harry yang uruskan pinjaman, mesti orang yang pinjam itu akan dilelong, tetapi Ayra ini dilelong terlalu awal. Lain?"

"Saya dapat tahu teman wanita Harry sekarang adalah bekas rakan serumah Ayra, bos! Model terkenal, Kathy Nada."

"What? Jangan-jangan ini semua kerja mereka berdua tak?" tanya Wafi, hairan.

"Kalau bos nak, saya boleh siasat. Oh ya, pembeli Ayra adalah Encik Megat Hafizal, bos Ayra sekarang."

"Apa dia? Megat Hafizal? Sejak bila dia tahu tentang portal lelongan kita?" tanya Wafi, tidak percaya.

"Apparently, sejak dia beli Ayra, sebab sebelum dan selepas belian itu, dia tak ada buat apa-apa transaksi lagi."

"Takkan sanggup berhabis sampai RM5 juta untuk selamatkan pekerja? Lebih baik dia bayar saja pinjaman Ayra itu."

"Macam mana nak bayar kalau Ayra tidak diberikan amaran terlebih dahulu, bos? Tahu-tahu saja Harry terus cekup budak itu, terus naikkan untuk dilelong."

"Masalah betul si Harry ini. Okay, aku nak kau siasat Harry dengan teman wanita dia itu. Apa-apa kau hubungi aku. Lagi satu, aku nak tengok gambar Ayra, kau hantar pada aku. Chaw!" arah Wafi sebelum mematikan taliannya.

"Apa yang kau cuba lakukan ini, Ijal?" ngomel Wafi, dalam hati.

     *     *     *     *     *

Dua malam selepas itu, Wafi telah menghadiri majlis makan malam amal yang dianjurkan oleh Mustaqim Ventures bagi mewakili ibu bapanya yang tak dapat hadir kerana mengerjakan Haji. Lagipun, majlis itu boleh membuatkan dia melepaskan tekanannya setelah markas geng miliknya diserbu polis malam kelmarin. Harry pula ghaib tanpa berita, membawa lari baki RM2.93 juta yang dijanjikan untuknya.

Dia ditempatkan di meja VIP kedua dan dari mejanya, dia dapat melihat seorang wanita yang duduk di sebelah sepupunya. Kelihatannya seperti gambar yang diterima olehnya dua hari lepas, tetapi yang berada di hadapannya malam ini lebih cantik.

Sekali lagi dia terkejut apabila dia melihat wanita itu membuat persembahan bersama sepupunya. Suara wanita itu yang berjaya memukaunya membuatnya hatinya dihuni rasa ingin tahu dan perasaan itu yang membawanya ke belakang pentas.

Ketika dia tiba di sana, Wafi dapat melihat sepupunya bersama wanita itu sedang memandang sesuatu yang ada di tangan wanita itu. Keintiman keduanya membuat perasaan ingin tahu itu lebih tinggi daripada sebelum ini. Lebih-lebih lagi setelah dia mendapat tahu kenyataan Hafizal adalah insan yang telah membeli wanita tersebut.

Tanpa berlengah, Wafi membuat keputusan untuk mendekati pasangan itu.

"Well, well, well, sejak bila kau rapat dengan PA kau ya, Ijal? tanya Wafi, sinis.

Dia dapat melihat pasangan yang berada di hadapannya menoleh ke arahnya dan Hafizal membuntangkan mata selepas melihatnya. Dia pula hanya tersenyum sinis.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com