Thursday, September 21, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 10...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 10: Bermadu

Ayra dapat melihat Hafizal dan lelaki yang baru saja hadir di belakang pentas itu berbual. Rupanya lelaki itu merupakan sepupu Hafizal, Megat Wafi bin Megat Mansor. Mereka kelihatan rapat, namun majikan merangkap suaminya itu hanya memperkenalkannya sebagai pembantu peribadi dan bukan isterinya. Pasti keluarga Hafizal belum mengetahui statusnya.

Selepas Wafi beredar, Ayra merenung wajah Hafizal. Ada kegusaran pada riak wajah suaminya, pasti ada perkara yang dibimbangkan oleh Hafizal dan ianya membuatkan Ayra berasa gundah.

"Ada apa-apa yang merunsingkan tuan?" pertanyaan Ayra itu telah mematikan lamunan Hafizal.

"Kita bincang benda ini nanti," jawab Hafizal lalu beredar menuju ke pintu dewan.

Ayra hanya memilih untuk mengikuti suaminya itu dari belakang.

     *     *     *     *     *

Ayra terjaga malam itu dan melihat di sebelahnya kosong. Dia ingat lagi sebelum dia tertidur, Hafizal masih berada di sisinya. Selepas sesi soal jawab mereka tadi, akhirnya Hafizal telah menyentuhnya sekali lagi.

Ayra memilih untuk duduk berteleku di atas katilnya. Rambutnya yang panjang separas dada dibiarkan mengurai kerana bilik itu terasa lebih sejuk daripada biasa.

Ayra pasti Hafizal telah kembali ke biliknya. Setelah puas melepaskan lempias nafsu, dia biasanya akan kembali kepada sisi dinginnya itu. Begitulah dia setiap kali, apabila diperlukan maka dia akan mengizinkan Ayra untuk menjadi dirinya yang sebenarnya dan kembali menjadi Ayra yang dikehendakinya apabila tidak diperlukan lagi.

Namun begitu, Ayra masih lagi berasa bersyukur kerana Hafizal telah menjaganya dengan baik walaupun dia pernah melayan lelaki itu dengan buruk.

"Ayra, boleh tak awak maniskan sedikit muka awak itu bila jumpa saya? Asyik kelat saja. Kalau awak menyampah pun, janganlah tunjuk sangat," tegas Hafizal setelah menandatangani borang tuntutan pekerja yang diberikan oleh Ayra tadi.

"Kalau depan mata saya ini Zul Ariffin ke Bront Palarae ke Remy Ishak ke, saya akan tersenyum manis sampai bersemut bilik ini. Sayangnya, depan saya ini hanyalah Megat Hafizal," sindir Ayra lalu mengetap bibirnya.

"Awak memang suka lelaki berkulit sawo matang ya?" tanya Hafizal, tiba-tiba.

"Mana encik tahu?" tanya Ayra dengan mata terbeliak.

"Nama pelakon yang awak sebutkan itu semuanya berkulit sawo matang," jelas Hafizal, selamba.

"Menyampahlah encik Hafizal ini!" jerit Ayra lalu beredar keluar dari bilik Hafizal. Dia dapat mendengar dekahan tawa Hafizal yang sangat kuat itu membuatkan hatinya berasa geram.

Apabila terkenang kembali saat itu, air mata Ayra gugur. Sungguh dalam perasaan bersalahnya kepada Hafizal, lebih-lebih lagi apabila mendapati bahawa Hafizal yang sudi menyelamatkannya daripada dijual, dilacur mahupun dibunuh.

"Wajarkah aku buka pintu hati aku pada dia? Bagaimana kalau dia tak punya perasaan pada aku? Mampukah aku bertepuk sebelah tangan?" Ayra bermonolog sendiri.

"Ya Allah, sungguh banyak dosaku pada suamiku ini. Apa yang harus aku lakukan ya Allah," sambung Ayra lagi.

"Awak hanya perlu berada di sisi saya, itu saja. Saya tak perlukan awak untuk lakukan yang lain," sampuk satu suara yang datangnya dari depan.

Ayra memandang ke arah hadapan, kelihatan Hafizal sedang duduk berhadapan dengannya. Kehadiran Hafizal membuatkan dia mula menggelabah kerana dia sedar bahawa dia sedang menangis.

"Menangislah, kalau itu boleh buat awak lega. Kalau awak mahu, saya boleh berikan bahu saya," ujar Hafizal sambil tersenyum nipis.

Tanpa berlengah, Ayra bertindak memeluk suaminya itu. Semakin banyak air mata yang mengalir, tak mampu untuk dia tahan lagi dan akhirnya dia mula menangis.

Lebih kuat tangisannya apabila dia merasakan tangan Hafizal melingkar di bahagian belakang badannya. Terasa hangat pelukan Hafizal, sehingga berjaya mencair seketul hati yang sengaja dikeraskan.

"Saya tahu awak terluka dengan semua ini. Saya sendiri tak boleh nak bayangkan kalau saya berada di tempat awak, Mel."

Kelembutan tutur kata Hafizal semakin mencairkan hati Ayra. Namun begitu, dia sudah tiada daya untuk hidup bebas seperti dulu.

Ayra melepaskan dirinya daripada pelukan Hafizal, lalu mengelap air matanya. Walaupun dia hanya memilih untuk tunduk, namun dia tahu Hafizal masih memandangnya.

"Andai selepas ini saya harus menduakan awak, ketahuilah bahawa ini semua bukan kehendak saya. Bagi saya, cukuplah awak seorang. Biarpun pernikahan kita tak seperti orang lain, tapi saya bahagia punyai awak dalam hidup saya," terang Hafizal lalu mengelap air mata yang masih bersisa di pipi Ayra.

"Jangan risau, tuan. Saya redha andai saya dimadukan. In shaa Allah ada yang terbaik buat kita semua nanti," ujar Ayra yang masih duduk membatu.

"Terima kasih, Mel. Saya sayangkan awak," ucap Hafizal, perlahan namun cukup jelas didengari oleh Ayra.

"Sama-sama dan terima kasih, tuan."

Dagu Ayra ditolak oleh Hafizal ke atas di mana pandangan mereka bersatu dan bibir Hafizal mula mencium bibir Ayra.

     *     *     *     *     *

Tengahari esoknya, Hafizal telah mengambil cuti setengah hari dan memberitahu Ayra bahawa dia akan ke rumah keluarganya. Maka, dia telah mengarahkan Fred untuk menghantar Ayra pulang dan menjaga Ayra di rumah sehingga Hafizal pulang.

Tepat jam 5.30 petang, telefon bimbit Ayra berdering dan nama Fred muncul di atas skrin telefon bimbitnya. Tanpa berlengah dia menjawab panggilan itu.

"Puan, saya dah ada di bawah. Puan turunlah," terang Fred.

"Baiklah, saya turun sekarang," jawab Ayra sebelum mematikan taliannya.

Ayra baru saja hendak melangkah, tiba-tiba Erni datang mendekatinya.

"Ayra, jom lepak. Aku rindulah nak lepak dengan kau," ujar Erni yang tiba-tiba menarik tangannya.

"Aku memang nak, tapi aku ada hal ini. Nanti kita pilih masa lain, kita pergi okay?" bohong Ayra bagi menolak ajakan kawan baiknya secara berhemah.

"Kenapa ya aku tengok kebelakangan ini kau macam sibuk sangat? Habis saja waktu kerja, kau terus hilang."

Ayra memandang Erni yang bertanya itu. Bukannya dia tak mahu memberitahu Erni, namun dia terpaksa menyembunyikan kerana syarat itu telah diberikan oleh Hafizal.

"Suami aku jenis yang tepati masa. Dia nak habis saja waktu kerja, aku kena ada di bawah."

Jawapan Ayra membuatkan Erni melopong.

"Kau dah kahwin?" tanya Erni.

"Aku minta maaf sebab tak beritahu kau. Tak ada sesiapapun tahu, kecuali kau. Itu permintaan suami aku. Jadi, aku cuma boleh beritahu kau yang aku dah berkahwin. Itu saja."

"Tak apalah, mesti kau orang ada sebab kenapa kau orang merahsiakannya. Aku faham."

Belum sempat Ayra ingin menjawab, telefonnya berdering sekali lagi dan nama Fred sekali lagi muncul di skrin. Ayra cepat-cepat menjawab panggilan tersebut.

"Ya, saya nak turun ini. Maafkan saya," ujar Ayra lalu mematikan taliannya.

"Kalau suami kau dah tunggu, kau pergilah dulu. Nanti kita berbual lagi," ujar Erni sambil menepuk bahu Ayra.

"Terima kasih, Erni. Kaulah kawan baik aku sampai bila-bila," jawab Ayra lalu tersenyum. Tanpa berlengah, dia berlari menuju ke arah lif yang terletak tidak jauh dari mejanya.

Sedang dia menunggu lif, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi lagi. Kali ini nama Hafizal pula muncul. Dalam ketakutan, dia menjawab panggilan tersebut.

"Hello, ya tuan?" kata Ayra, tersekat-sekat.

"Awak kat mana? Kenapa awak tiada dengan Fred?" tanya Hafizal dengan nada yang sangat keras.

"Saya minta maaf, saya ada depan lif. Tadi Erni tahan saya, ada perkara yang nak dibincangkan," jawab Ayra dengan perasaan bersalah.

"Mentang-mentang saya tak ada, bukan main lagi awak ya? Awak tunggu saya balik, tahulah saya nak ajar awak nanti!" jerkah Hafizal di hujung talian membuatkan wajah Ayra menjadi pucat.

"Saya minta maaf tuan, lif dah sampai. Saya letak telefon dulu, saya janji bila tuan balik nanti kita bincang tentang ini," ujar Ayra lalu mematikan taliannya. Takut dia dengan sikap suaminya yang punya 'angin' itu. Apabila dia baik, maka Ayra dilayan seperti ratu. Namun, bila datang jahatnya, Ayra pun boleh jadi halimunan di matanya.

     *     *     *     *     *

Ayra meletakkan dua buah gelas yang sudah siap berisi jus mangga yang dimesin semalam bersama sebuah jag berisi baki jus tersebut di atas meja.

"Terima kasih, puan. Macam tahu-tahu saja saya sedang dahaga," ujar seorang lelaki yang bekerja bersama Fred.

Ayra hanya tersenyum lalu membuat isyarat menjemput mereka minum.

"Ini saja yang sempat, sebab jus ini saya sudah perah semalam. Memang langkah kananlah kamu berdua," jawab Ayra lalu duduk berhadapan dengan dua orang lelaki yang sedang meneguk jus mangga yang dihidangkan tadi.

"Sedapnya, puan. Rasa segar betul jus ini," puji Fred, dengan wajah teruja.

"Terima kasih. Pertama kali saya tengok awak seronok. Boleh tak saya nak minta tolong?" tanya Ayra.

"Apa dia? Asalkan puan tak minta saya bawa puan lari, in shaa Allah saya tolong," tanya Fred, hairan.

"Ish, ke situ pula! Jangan risau, kalau saya lari pun saya izinkan awak beritahu Encik Hafizal. Saya tak nak awak dapat masalah kerana saya. Saya nak minta awak berdua jangan panggil saya puan, saya rasa saya tak layak dipanggil begitu. Panggil saja saya Ayra."

"Kalau boleh memang saya sudi saja nak panggil puan ini Ayra, tapi bos memang tak izinkan kami panggil puan selain daripada puan," terang Fred.

"Kenapa pula? Saya bukannya orang kaya macam dia, saya tak selesa dipanggil sebegitu," jelas Ayra, resah.

Fred dan rakannya berpandangan sesama sendiri. Tak lama selepas itu, kedengaran keluhan dari Fred membuatkan Ayra semakin hairan.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com