Monday, October 2, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 18...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 18: Semuanya Bersebab

"Mel, apa Mel buat di sini? Abang rasa abang cakap dengan cukup jelas tadi, Mel jangan keluar dari rumah bukan?" tanya Hafizal, keras.

Hafizal dapat melihat wajah Ayra yang tadinya tenang, mulai menjadi pucat akibat soalan yang diajukan olehnya tadi.

"Ijal nak marah Ayra kenapa? Mummy yang paksa dia datang sini ikut mummy. Salahkah mummy nak ajak menantu mummy balik rumah mummy? Sudahlah hidup dia yang terkongkong dek kamu," sindir Puan Sri Halimatun membuatkan semua mata memandang ke arah Hafizal.

"Mel mengadu dengan mummy ke?" tanya Hafizal lalu merenung tajam ke arah Ayra menyebabkan Ayra menggelengkan kepala sebelum beralih tempat ke arah belakang Puan Sri Halimatun.

"Bukan Ayra yang mengadu, mummy tanya Apai, pengawal peribadi Ayra itu. Mula-mula dia takut juga nak beritahu, tapi bila mummy ugut dia, laju saja dia menjawab. Kalau mummy dapat tahu kamu apa-apakan Apai mahupun Ayra, jaga kamu Ijal!" tegas Puan Sri Halimatun dengan renungan tajam menjadi peneman.

Suasana di situ mulai tegang, membuatkan Hafizal terpaksa mengalah lalu melepaskan keluhan berat. Dia tidak menjawab amaran keras ibunya lalu beredar dari ruang tamu menuju ke bilik tidurnya.

Sebaik sahaja dia memasuki bilik tidurnya, sengaja dia membiarkan pintu biliknya terbuka kerana dia tahu ada orang yang mengikuti jejak langkahnya sedari tadi. Sedang dia berbaring di atas katil, kelibat Ayra muncul lalu menutup pintu biliknya itu.

Selepas Ayra mengunci pintu bilik Hafizal, Hafizal dapat melihat Ayra menuju ke arahnya. Hafizal tidak mengendahkan Ayra yang berdiri bersebelahan katil tempat dia berbaring itu, sengaja dia ingin menduga isterinya yang mengingkari perintahnya pagi tadi.

"Saya minta maaf tuan, saya ingatkan tuan yang suruh mummy tuan datang jemput saya," ujar Ayra, serba salah.

"Kalau saya nak bawa awak ke sini, saya sendiri akan jemput awak. Saya memang tak mahu awak datang ke sini, ada sebabnya!" tegas Hafizal, dengan suara yang agak tinggi.

Ayra yang masih berdiri di hadapan Hafizal yang kini telah duduk di birai katil itu mula tunduk menghadap lantai. Puas Hafizal memandang wanita itu untuk kepastian, benarlah wanita itu menangis kerana ada titisan air jatuh ke lantai biliknya.

"Awak menangis?" tanya Hafizal, inginkan kepastian.

Sebaik sahaja soalan itu ditanya, dengan pantas wanita itu mengelap mukanya lalu memandang ke arahnya semula. Mata Ayra yang merah itu telah menjawab soalannya.

"Mel, duduk sini," ujar Hafizal lalu menepuk tempat di sebelahnya.

Ayra hanya mengikut tanpa sebarang kata. Mungkin dia takut Hafizal akan naik angin jika dia melawan.

"Saya tahu mummy yang paksa awak ke sini, Mel. Ayra Melissa saya takkan bantah arahan saya, bukan?" tanya Hafizal, lembut. Dia tak mahu memanjangkan cerita kerana perkara itu sudahpun berlaku.

Ayra hanya mengangguk lemah. Melihat respon Ayra, Hafizal tersenyum nakal.

"Cuma, saya masih perlu menghukum awak kerana keluar rumah tanpa izin saya tapi bukan sekarang. Selepas kita balik nanti," ujar Hafizal, sedikit tegas.

Ayra tidak menjawab, sebaliknya hanya mengangguk.

"Awak tahu kenapa saya tak bagi awak datang ke sini hari ini?" tanya Hafizal, ingin menduga.

"Sebab tuan bertunang dengan cik Salwa hari ini?" tanya Ayra pula.

"Ya, betul dan saya tak mahu isteri saya terlibat dengan urusan ini. Saya tahu, walaupun saya tak izinkan awak tunjukkan ekspresi awak, awak tetap akan terluka dengan pertunangan saya," terang Hafizal, serba salah.

Riak wajah Ayra masih tenang tatkala mendengar luahan hati Hafizal membuatkan Hafizal mulai resah.

"Tak apa tuan, saya baik-baik saja. Tuan tak perlu risaukan saya," jawab Ayra lalu tersenyum nipis.

"Mana boleh saya tak risaukan awak? Awak itu milik saya, tanggungjawab saya. Jadi, saya kena risaukan awak 200% tahu?" seloroh Hafizal lalu menarik Ayra ke dalam pelukannya.

"Saya minta maaf, Mel. Layanan saya pada awak sekarang semuanya bersebab," terang Hafizal, setelah lama mereka berdua mendiamkan diri dalam pelukan.

"Kenapa perlu minta maaf, tuan? Saya tak ada hak untuk mempertikaikan setiap layanan tuan pada saya, walaupun kadang kala hairan juga," jawab Ayra.

"Saya mahu awak percayakan saya. Saya lakukan semua ini untuk awak juga, semuanya."

"Saya percayakan tuan," jawab Ayra.

Hafizal terbungkam mendengar jawapan Ayra itu. Dia tidak lagi berkata-kata, sebaliknya menguatkan lagi pelukannya.

     *     *     *     *     *

Hafizal baru sahaja selesai mandi apabila kelibat Ayra muncul di dalam biliknya. Perasaan hairan mula menjalar dalam benak sanubarinya melihat Ayra yang sedang berdiri di hadapannya itu.

"Ada apa, Mel?" tanya Hafizal, hairan.

"Saya datang sebab nak minta maaf atas kesalahan saya pagi tadi. Saya tak sengaja, saya tahu saya sepatutnya hubungi tuan dahulu untuk kepastian..."

Kata-kata Ayra berhenti di situ apabila jari telunjuk Hafizal melekat di bibir Ayra tanda menyuruh wanita itu diam.

"Saya maafkan, tetapi untuk itu, awak kena temankan saya malam ini. Bukan di atas katil, tapi di situ," jawab Hafizal sambil menuding ke arah sofa yang terletak berhampiran katilnya.

"Jadi, saya kena tidur di atas sofa?" tanya Ayra yang sedikit terkejut dengan arahan suaminya itu.

"Tak, awak kena berjaga malam ini kerana saya ada kerja nak buat. Jadi, saya nak awak temankan saya," jawab Hafizal, selamba.

"Baiklah, tuan. Menurut perintah," ujar Ayra lalu berjalan menuju ke arah sofa yang dimaksudkan sebelum duduk di atasnya.

Setelah melihat isterinya itu duduk di atas sofa itu dan bermain dengan telefon bimbitnya, Hafizal berjalan menuju ke arah almari pakaiannya lalu memakai pakaian tidur yang dipilihnya tadi. Kemudian, dia berjalan menuju ke meja kerjanya lalu memulakan kerja yang mahu dibuatnya tadi.

Mujurlah hari itu hari Sabtu, maka esok bolehlah dia berehat sepuasnya dan dia akan memastikan Ayra juga berehat sepuasnya setelah dia selesai menjalani hukuman yang tak seberapanya itu.

"Mel, saya nak tanya sesuatu boleh?" tanya Hafizal bagi memecah kesunyian.

"Apa dia, tuan?" tanya Ayra pula.

"Kalau diberikan peluang, awak nak bersama Wafi semula?" tanya Hafizal, ingin tahu.

Hafizal sempat menjeling ke arah Ayra. Dia memandang suaminya dengan riak wajah penuh tanda tanya.

"Tuan nak jawapan jujur?" tanya Ayra, ingin menduga.

"Kenapa tidak? Saya cuma nak tahu apa yang ada di dalam benak hati awak itu Mel," jawab Hafizal, cuba menjelaskan sebab dia bertanyakan soalan itu.

"Saya pilih untuk tidak kembali kepada Wafi walaupun tuan campakkan saya kepadanya," ujar Ayra, lembut.

Hafizal memandang wajah isterinya. Ayra tampak begitu tenang untuk menipu sesuatu yang bekaitan dengan hatinya. Kenapa dia tidak mahu kembali kepada Wafi?

"Kenapa tidak?" tanya Hafizal.

Ayra tidak terus menjawab, sebaliknya hanya tersenyum. Senyuman Ayra membuatkan jantung Hafizal mula berdegup kencang.

 *BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com