Monday, October 23, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 38...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 38: Membuat Kerenah

Kesakitan pada perutnya membuatkan Ayra tersedar daripada pengsan. Ayra memegang perutnya dan wajahnya seperti sedang menahan kesakitan dan akhirnya dia terjerit kecil. Dia dapat melihat dari ekor matanya, suaminya, Fred dan seorang pegawai polis sedang memandangnya.

Hafizal meluru mendapatkan Ayra ketika dia mencuba untuk bangun dari pembaringannya. Hafizal cuba untuk membantu Ayra, namun tangannya lebih dahulu ditepis lembut oleh Ayra kerana dia tak mahu suaminya itu membantunya.

"Kenapa ini?" tanya Hafizal, hairan dengan sikap Ayra.

"Tak ada apa. Kita di mana?" tanya Ayra, sambil menggosok-gosok matanya.

"Kita di balai polis, Mel kena berikan keterangan kepada polis. Selepas itu, kita boleh pulang," jawab Hafizal sambil tersenyum.

Ayra berasa bimbang, namun sengaja tidak dipamerkan perasaannya pada wajahnya. Dia sudah terbiasa memandang orang lain tanpa sebarang ekspresi akibat daripada latihan Hafizal sebelum ini.

"Inspektor, saya nak berikan keterangan dulu. Perut saya sakit sangat ini," ujar Ayra lalu mencuba untuk bangun dari sofa yang didudukinya. Hafizal ingin membantunya, tetapi sekali lagi tangannya ditepis lembut. Dia tidak mahu suaminya tahu akan perasaan gusarnya itu.

Seorang konstabel wanita mendekati Ayra bagi membantu Ayra dan dia membenarkan konstabel wanita itu membantunya keluar dari bilik yang menempatkannya dan Hafizal sedari tadi.

Ayra tidak mahu Hafizal susah hati atas segala yang terjadi kepadanya sepanjang tiga bulan mereka berdua tidak ketemu. Namun begitu, dia tahu perangai telahpun mengundang seribu tanda tanya di dalam kepala suaminya itu.

     *     *     *     *     *

Ayra terjaga dari tidurnya lalu memandang Hafizal sebelum bangun terus dari pembaringannya. Ayra dapat melihat tindakannya membuatkan Hafizal memandang isterinya dengan perasaan hairan.

"Saya di mana ini? Bukankah tadi saya di balai polis?" tanya Ayra, panik.

Mendengar soalan Ayra, Hafizal tertawa. Reaksi Hafizal membuatkan Ayra terpinga-pinga.

"Mel punya sel otak tak boleh berhubungkah? Mel pengsan depan balai tadi, abang juga yang kena angkat Mel bawa balik," jawab Hafizal, sinis.

"Kalau tak ikhlas, kenapa bawa balik? Tinggalkan saja saya di situ," ujar Ayra, selamba. Geram pula mendengar jawapan Hafizal yang sarkastik itu.

"Sudahlah abang kena pikul dua orang, terima kasih pun tiada?" tanya Hafizal, bengang.

"Terima kasih, tuan. Jasa baik tuan saya hargai," jawab Ayra, cuba untuk mengelak daripada memandang Hafizal. Dia tak mahu Hafizal tahu isi hatinya.

"Kenapa tiba-tiba panggil abang 'tuan' semula ini? Ada buat salah ke?" tanya Hafizal, ingin menduga.

"Kenapa tuan baik sangat dengan saya? Tuan lupakah saya ini isteri yang curang? Lagi pula, mengandung anak luar nikah?" tanya Ayra, bertubi-tubi.

Soalan-soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi yang diberikan oleh Ayra itu telah membuatkan Hafizal melopong. Geli pula hatinya, namun cuba ditahan.

"Apa ini? Kita bernikah cara elok, bukan? Apa masalah Mel ini?" tanya Hafizal, semakin berang.

"Itu kata tuan. Kata orang?" jawab Ayra, masih lagi memandang ke arah lain. Biarlah suaminya ini marahkannya, tetapi dia harus melakukannya.

"Apa maksud Mel?" tanya Hafizal, hairan.

"Apa yang berlaku kepada tuan, semuanya kerana saya bukan? Tuan dikurung, tuan dipaksa bercerai dengan saya, semua harta tuan dirampas, tuan difitnah, tuan dipecat daripada jawatan tuan, tuan terpaksa melihat kecurangan isteri sendiri, dan tahukah tuan, tuan dituduh berzina dengan isteri sendiri?" terang Ayra, lalu merenung wajah suaminya.

"Apa maksud Mel berzina dengan isteri sendiri?" tanya Hafizal lagi.

"Wafi pernah ugut saya untuk serahkan semua harta tuan yang dimiliki oleh saya padanya, kalau saya gagal, dia akan sebarkan pada semua pekerja bahawa saya sedang mengandungkan anak luar nikah hasil benih tuan," ujar Ayra.

"Jadi, apa yang Mel lakukan?" tanya Hafizal, lagi.

"Saya tak serahkan harta tersebut, dan itulah hasilnya. Semua pekerja di pejabat sekarang memandang serong pada saya, kononnya saya mempunyai hubungan sulit dengan bekas majikan saya sendiri," jawab Ayra, kembali tunduk. Air matanya tak dapat dibendung lagi.

"Biarlah apa orang nak kata, Mel isteri abang dan tak ada sesiapapun yang boleh mengubah kenyataan itu," ujar Hafizal, cuba untuk memegang pipi isterinya tetapi ditahan oleh Ayra.

"Tak apalah, saya sudah pasrah. Saya anggap semua ini adalah balasan saya atas semua dosa-dosa saya kepada tuan. Lagipun, tuan pun bakal bernikah dengan cik Salwa. Satu saja saya minta, saya harap tuan tak beritahu cik Salwa bahawa saya adalah madunya," jelas Ayra.

"Kenapa tidak? Awak isteri saya, kenapa saya perlu menidakkan kebenaran itu?" bantah Hafizal. Wajahnya mula merona merah akibat menahan marah.

"Saya bukan anak Datuk seperti cik Salwa, manalah layak nak bergelar isteri kepada anak seorang Tan Sri. Tambahan pula, saya ini orang kampung sahaja, bukan graduan universiti luar negara seperti tuan dan cik Salwa..."

"Mel, stop it!" jerkah Hafizal, membuatkan Ayra tersentak lalu memandang Hafizal.

Hafizal pula memandang Ayra dengan perasaan marah yang begitu membara membuatkan Hafizal bangun lalu merentap tangan Ayra bagi memaksa wanita itu bangun. Selepas itu, Ayra disandarkan di dinding bilik tidur milik wanita itu dan serta-merta dia meletakkan kedua-dua belah tangannya di kiri dan kanan wanita itu bagi mengelakkan Ayra untuk melarikan diri.

"Semasa abang melafazkan akad nikah kita dahulu, sedikitpun tak ada dalam kepala otak abang ini bahawa Mel sama sekali tidak layak untuk menjadi isteri abang! Kalau abang rasa Mel tak layak, do you think I will bought you from Harry?" tanya Hafizal selepas menghamburkan isi hatinya.

Ayra tidak menjawab, sebaliknya hanya tunduk memandang perutnya kerana perutnya sudah mula sakit.

"Kelayakan Mel sebagai isteri abang, bukan hak orang lain untuk menilai! Cukuplah Allah dan abang sahaja yang menilai semua itu! Mel faham tak?" sambung Hafizal lagi.

"Perlukah diungkit tentang hal tuan beli saya itu? I am just your possession, isn't it?" tanya Ayra pula, membuatkan Hafizal terbungkam.

"Cantik betul perangai Mel sekarang, kenapa jadi begini? Apa yang Mel nak sebenarnya? Mel nak bercerai ke?" tanya Hafizal, geram.

Ayra memandang Hafizal dengan mata yang tidak berkedip. Dia sama sekali tidak mengimpikan cerai, namun tak sangka lelaki itu tegar berfikiran begitu. Hafizal pula dilihat melarikan pandangannya terhadap isterinya itu kerana marah yang teramat.

"Saya minta maaf, tuan. Tolong jangan ceraikan saya, saya cuma nak padamkan perasaan bersalah saya pada tuan," jawab Ayra, perlahan.

"Dengan buat semua ini? Mel ingat bila Mel buat semua ini, abang akan salahkan Mel? Atau Mel memang minta dihukum? Begitu?" tanya Hafizal yang masih lagi berang.

"Apa sahaja yang boleh hilangkan perasaan bersalah saya," jawab Ayra sambil menahan kesakitan.

"Geram betullah abang dengan Mel ini! Melawan cakap suami lagi, sekarang anak kita pun marah mama dia!" bentak Hafizal lalu berpeluk tubuh. Seketika selepas itu, dia melepaskan keluhan berat.

Ayra yang tiba-tiba memegang perut itu, kesakitannya tidak dapat ditahan lagi. Dia tahu suaminya sangat marah, tetapi Ayra tidak mampu untuk memikirkan apa-apa lagi.

"Ayra Melissa, abang tak izinkan Mel keluar dari rumah sama sekali kecuali atas izin abang sampai satu tempoh yang abang akan berikan kelak," arah Hafizal dengan riak wajah tegas.

Ayra hanya memandangnya tanpa sebarang ekspresi. Akhirnya, dia mendapat apa yang diinginkan. Sengaja dia mencipta drama swasta itu semata-mata untuk membuatkan suaminya itu menghukumnya. Dia tak mahu mengeruhkan keadaan di pejabat, lebih-lebih lagi sejak seluruh syarikat mengetahui akan kehamilannya.

"Menurut perintah, tuan."

Mendengar jawapan Ayra, sekali lagi Hafizal mengeluh. Ayra pula hanya tersenyum nipis.

     *     *     *     *     *

Ayra berjalan turun dari biliknya di tingkat atas menuju ke dapur. Sejak Hafizal mengenakan perintah berkurung kepadanya, Hafizal tidak tidur sebilik dengannya. Dia tidur di biliknya, manakala Hafizal tidur di bilik lelaki itu. Mungkin kemarahan lelaki itu masih belum reda.

Sebaik sahaja dia tiba di dapur, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Cepat-cepat dia menjawab panggilan tersebut kerana bimbang Hafizal mendengarnya.

"Hello, Erni. Ada apa?" tanya Ayra sebaik sahaja dia menjawab panggilan tersebut.

"Ayra, kenapa kau sudah seminggu tak datang kerja? Encik Wafi pun sama," tanya Erni di hujung talian.

"Aku tak ada jiwa nak bekerja sekarang, aku sudah hantarkan surat peletakkan jawatan aku pada bapa mentua aku minggu lepas tapi dia tolak. Dia berikan aku cuti tanpa gaji sampai aku terbuka hati nak bekerja semula. Kenapa Encik Wafi tak datang?" tanya Ayra, selepas menjelaskan keadaannya.

"Aku dengar khabar Encik Wafi diburu polis atas tuduhan pemerdagangan manusia. Tak sangka lelaki seperti Encik Wafi tegar melakukan sebegitu," ujar Erni.

"Kalaulah kau tahu akulah salah seorang mangsanya, malah aku sudah dua kali dijual. Tahukah kau?" bisik hati kecil Ayra.

"Ayra, dengar tak?" tanya Erni membuatkan Ayra tersentak dari lamunannya.

"Apa dia?" tanya Ayra pula.

"Aku dengar khabar lagi ahli lembaga pengarah telah memecat Encik Wafi semalam, dan akan diganti oleh Encik Hafizal semula. Cuma, aku hairan satu perkara saja," ujar Erni.

"Apa yang kau hairan?" tanya Ayra, pening dengan bebelan Erni itu.

"Siapakah pemilik saham yang Encik Hafizal wakilkan itu? Kenapa dia tak beli sahaja saham itu? Aku dengar pemegang saham yang Encik Hafizal wakilkan itu merupakan pemegang saham terbesar," terang Erni membuatkan Ayra tersenyum menahan gelak.

"Tanyalah Encik Hafizal sendiri, esok dia lapor diri bukan?" tanya Ayra, menahan ketawa.

"Bukankah kau isterinya, kau mesti tahu bukan?" tanya Erni pula.

"Hal-hal syarikat, tak semuanya aku tahu. Lagipun, aku kena perintah berkurunglah. Manalah aku tahu apa yang berlaku di luar," bohong Ayra sedangkan dia merupakan orang yang menanda tangani persetujuan memilih Hafizal sebagai CEO menggantikan Wafi yang dipecat.

"Entah-entah kau punya saham tak? Hafizal sayang sangat dengan kau, takkanlah dia tak berikan kau harta?" duga Erni.

"Sudahlah, aku nak ke tandas ini. Kacau saja kau. Lain kali kita cerita," ngelat Ayra sebelum memutuskan talian.

"Susah juga jadi isteri CEO ini ya? Puan tak penat ke kena temu ramah?" tanya Fred yang tiba-tiba muncul di sebelah Ayra membuatkan Ayra terkejut. Dia melihat ke belakang, hanya Apai sahaja yang berada di belakang Fred. Tanpa disedari, Ayra menarik nafas lega.

"Takut bos eh?" seloroh Fred lalu mereka berdua tertawa.

"Tak adalah. Mak Iti mana, Fred? Tak nampak dia pun," jawab Ayra lalu membuka tudung saji yang berada di atas meja dapur. Terdapat dua piring cucur ikan bilis di bawah tudung saji itu membuatkan Ayra berjalan menuju ke kabinet untuk mengambil piring dan sos cili sebelum kembali semula ke meja dapur.

"Dia pergi ke pasar dengan Pak Din. Bos suruh belikan ikan siakap. Tan Sri dan Puan Sri ada di ruang tamu, atas sebab itulah kami berdua ke dapur ini. Nak buatkan air," ulas Fred sambil membancuh kopi di dalam teko yang diambilnya daripada rak pinggan.

"Biarlah saya buatkan," ujar Ayra, mendekati Fred.

"Tak payah, nanti bos marah kami berdua. Dia tak benarkan puan buat sebarang kerja pun kalau boleh. Kalau bos tak ada di rumah, kami berdua boleh tolong pejam mata tapi kali ini susah sikit," jawab Apai, menegah Ayra daripada mendekati Fred.

"Habis itu, saya nak buat apa? Bosan tahu tak?" tanya Ayra sambil membuat muka sedih dengan harapan kedua-dua pengawal peribadinya itu lembut hati.

"Puan pergi ke ruang tamu, layan ibu bapa mentua puan itu," arah Apai lalu menolak Ayra keluar dari dapur.

Ayra tak punya pilihan selain daripada menuju ke ruang tamu. Setibanya dia di sana, dia ternampak Hafizal sedang berbual dengan ibu bapa mentuanya itu.

"Kamu tahu tak, semasa dia kena alahan dua bulan lepas, dia tak boleh nak bangun pun? Seminggu yang pertama itu, mana ada dia pergi kerja. Mengamuk si Wafi dengan dia, sejak itulah Echa selalu kena kerja lebih masa. Pernah sekali itu dia memandu ke pejabat, tapi malam itu daddy dengan ayah kena jemput dia ke pejabat kerana dia muntah-muntah," sambung Puan Sri Halimatun lagi.

Ayra terbungkam mendengar kata-kata ibu mentuanya itu. Oleh sebab itu, dia memilih untuk mencuri dengar sahaja perbualan mereka bertiga.

"Kenapa Wafi seksa Mel begitu?" tanya Hafizal, dengan riak wajah tidak puas hati.

"Dengar khabarnya, Wafi marah Echa tak serahkan harta yang kamu berikan kepadanya itu pada Wafi. Atas sebab itu jugalah, Wafi tidak membenarkan Echa untuk bertemu dengan kamu. Kamu tak tahu betapa peritnya hidup Echa sepanjang tiga bulan ini. Jadi, daddy harap apapun kerenahnya sekarang, kamu layankan sahaja," terang Tan Sri Mustaqim pula.

Ayra berasa terharu mendengar penjelasan bapa mentuanya. Sayang benar mereka berdua itu kepadanya walaupun dia hanyalah menantu di dalam keluarga itu.

"Daddy, betulkah seluruh syarikat menyangkakan Mel mengandung anak luar nikah?" tanya Hafizal, inginkan kepastian.

Mendengar soalan Hafizal, Ayra mulai panik. Kenapa pula suaminya itu bertanyakan tentang ini kepada mereka berdua? Ibu bapa mentuanya itu tidak sepatutnya tahu tentang ini.

"Mana kamu tahu cerita ini?" tanya Tan Sri Mustaqim pula.

Soalan Tan Sri Mustaqim lebih mengejutkan Ayra. Dia tak menyangka bapa mentuanya itu tahu tentang perkara itu. Apa yang harus dia lakukan?

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com