Monday, October 2, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 19...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 19: Tak Punya Pilihan

"Mel, apa Mel buat di sini? Abang rasa abang cakap dengan cukup jelas tadi, Mel jangan keluar dari rumah bukan?" tanya Hafizal, keras.

Ayra terbungkam mendengar soalan yang berbaur amaran keras dari suaminya itu. Tahulah dia yang dirinya tersalah tindakan.

"Ijal nak marah Ayra kenapa? Mummy yang paksa dia datang sini ikut mummy. Salahkah mummy nak ajak menantu mummy balik rumah mummy? Sudahlah hidup dia yang terkongkong dek kamu," sindir Puan Sri Halimatun membuatkan semua mata memandang ke arah Hafizal.

Ayra mulai kaget. Sejak bila pula ibu mentuanya itu mengetahui tentang hidupnya yang dikongkong suami? Kalaulah ibu mentuanya itu juga tahu bagaimana dia boleh menjadi isteri seorang Ketua Pengarah Eksekutif itu, pasti ibu mentuanya itu semakin pening.

"Mel mengadu dengan mummy ke?" tanya Hafizal lalu merenung tajam ke arah Ayra menyebabkan Ayra menggelengkan kepala sebelum beralih tempat ke arah belakang Puan Sri Halimatun.

"Bukan Ayra yang mengadu, mummy tanya Apai, pengawal peribadi Ayra itu. Mula-mula dia takut juga nak beritahu, tapi bila mummy ugut dia, laju saja dia menjawab. Kalau mummy tahu kamu apa-apakan Apai mahupun Ayra, jaga kamu Ijal!" tegas Puan Sri Halimatun dengan renungan tajam menjadi peneman.

Ayra hanya melihat Hafizal mengeluh berat sebelum berlalu pergi dari situ menuju ke tingkat atas. Tindakan Hafizal membuatkan Ayra terbungkam.

"Apa kamu tunggu lagi, Ayra? Pergilah pujuk suami kamu itu!" arah Puan Sri Halimatun.

Pada mulanya, dia tidak pasti sama ada untuk membiarkan saja suaminya itu ataupun pergi memujuknya. Dia tahu baran suaminya kadangkala memeningkan kepalanya.

"Ayra, kalau awak tak nak pujuk Ijal, saya nak berbicara dengan awak sebentar boleh?" tanya Wafi yang tiba-tiba berada di sebelah kanan Ayra.

Ayra kaget melihat tindakan Wafi yang menghampirinya. Dia tahu tak guna dia menolak Wafi secara terang-terangan kerana Wafi masih ahli keluarga ini yang lebih rapat berbanding dirinya. Maka, satu-satunya jalan untuk melarikan diri adalah dengan mengejar suaminya itu.

Tanpa menjawab soalan Wafi, Ayra mengejar Hafizal yang sudahpun berada di tingkat atas rumah banglo itu. Sebaik sahaja tiba di tingkat atas, dia melihat ada sebuah bilik yang mana pintunya dibiarkan terbuka.

"Mungkin yang itu bilik tuan," fikir Ayra.

Ayra menuju ke arah bilik yang terletak di hujung sekali. Dia menjenguk ke arah dalam bilik tersebut, kelihatan Hafizal sedang berbaring di atas katil membuatkan dia pasti itu adalah bilik Hafizal dan membuat keputusan untuk masuk ke dalam bilik tersebut lalu mengunci pintu bilik itu.

Selepas Ayra mengunci pintu bilik Hafizal, Ayra menuju ke arah suaminya. Suaminya itu masih lagi sibuk dengan telefon bimbitnya walaupun dia sudahpun berdiri di birai katil tempat suaminya itu berbaring.

"Saya minta maaf tuan, saya ingatkan tuan yang suruh mummy tuan datang jemput saya," ujar Ayra, serba salah.

"Kalau saya nak bawa awak ke sini, saya sendiri akan jemput awak. Saya memang tak mahu awak datang ke sini, ada sebabnya!" tegas Hafizal, dengan suara yang agak tinggi.

Ayra yang masih berdiri di hadapan Hafizal yang kini telah duduk di birai katil itu mula tunduk menghadap lantai. Tersentuh hatinya apabila Hafizal meninggikan suara kepadanya. Dia tak berjaya menyembunyikan kesedihannya membuatkan air matanya mulai gugur.

"Awak menangis?" tanya Hafizal, inginkan kepastian.

Sebaik sahaja soalan itu ditanya, dengan pantas Ayra mengelap mukanya lalu memandang ke arah Hafizal semula. Ayra dapat melihat wajah Hafizal yang pada mulanya berang mulai tenang semula.

"Mel, duduk sini," ujar Hafizal lalu menepuk tempat di sebelahnya.

Ayra hanya mengikut tanpa sebarang kata. Dia takut Hafizal akan naik angin jika dia melawan. Bukan dia tidak tahu baran suaminya yang tak kena masa itu.

"Saya tahu mummy yang paksa awak ke sini, Mel. Ayra Melissa saya takkan bantah arahan saya, bukan?" tanya Hafizal, lembut. Dia tak mahu memanjangkan cerita kerana perkara itu sudahpun berlaku.

Ayra hanya mengangguk lemah. Malas dia hendak melawan kata-kata Hafizal, lebih-lebih lagi apabila dia tidak lagi mempunyai hak untuk itu.

"Cuma, saya masih perlu menghukum awak kerana keluar rumah tanpa izin saya tapi bukan sekarang. Selepas kita balik nanti," ujar Hafizal, sedikit tegas.

Ayra tidak menjawab, sebaliknya hanya mengangguk. Dia pasrah dengan hukuman Hafizal yang kadangkala tidak masuk akal itu.

"Awak tahu kenapa saya tak bagi awak datang ke sini hari ini?" tanya Hafizal, ingin menduga.

"Sebab tuan bertunang dengan cik Salwa hari ini?" tanya Ayra pula.

"Ya, betul dan saya tak mahu isteri saya terlibat dengan urusan ini. Saya tahu, walaupun saya tak izinkan awak tunjukkan ekspresi awak, awak tetap akan terluka dengan pertunangan saya," terang Hafizal, serba salah.

Walaupun hatinya sakit mengenangkan suaminya bertunang dengan wanita lain tanpa pengetahuannya, namun dia tahu dia tak punya hak yang sama seperti isteri-isteri lain. Dia bukanlah isteri yang dipinang, sebaliknya hanyalah isteri yang dibeli.

"Tak apa tuan, saya baik-baik saja. Tuan tak perlu risaukan saya," jawab Ayra lalu tersenyum nipis.

"Mana boleh saya tak risaukan awak? Awak itu milik saya, tanggungjawab saya. Jadi, saya kena risaukan awak 200% tahu?" seloroh Hafizal lalu menarik Ayra ke dalam pelukannya.

Ayra terbungkam apabila dia dipeluk oleh Hafizal tatkala Hafizal sedang memarahinya, namun dia malas hendak mempertikaikan setiap layanan pelik yang dilakukan si suami kerana bimbang akan menyusahkan dirinya semula.

"Saya minta maaf, Mel. Layanan saya pada awak sekarang semuanya bersebab," terang Hafizal, setelah lama mereka berdua mendiamkan diri dalam pelukan.

"Kenapa perlu minta maaf, tuan? Saya tak ada hak untuk mempertikaikan setiap layanan tuan pada saya, walaupun kadang kala hairan juga," jawab Ayra.

"Saya mahu awak percayakan saya. Saya lakukan semua ini untuk awak juga, semuanya."

"Semuanya? Apakah maksud tuan ini?" getus hati Ayra. Hairan menyelubunginya setelah mendengar luahan hati Hafizal.

"Saya percayakan tuan," jawab Ayra.

Tiada lagi jawapan daripada Hafizal, hanya pelukan Hafizal tiba-tiba bertambah kuat.

     *     *     *     *     *

Malam itu, Ayra mulai resah kerana dia tidak boleh mengagak apakah hukuman yang Hafizal ingin berikan kepadanya. Selalunya hukuman yang diberikan oleh suaminya itu tidaklah menyakit fizikal, namun lebih kepada menyakitkan emosinya. Seakan sengaja ingin menyakiti hatinya.

Belum sempat dia ingin melangkah keluar, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Hairan betul, setahunya tak ramai orang yang mengetahui nombor telefon bimbitnya sekarang.

Dengan segera, dia mencapai telefon bimbitnya. Nama 'Erni' tertera di skrin membuatkan dia berani menjawab panggilan tersebut.

"Hello, Erni. Kenapa kau hubungi aku malam-malam buta ini?" tanya Ayra sebalik sahaja dia menjawab panggilan.

"Aku nak ajak kau keluar esok, boleh tak?" tanya Erni, di hujung talian.

"Aku bukan tak mahu, tapi aku kena tanya suami aku dulu. Esok pagi baru aku boleh bagi jawapannya," jawab Ayra.

"Baiklah, kau tanya suami kau dulu. Kasihan betul kau ini, di pejabat kau terkongkong dengan Encik Hafizal. Kalau di rumah, suami kau pula. Sedih betul aku tengok hidup kau," ujar Erni diikuti dengan keluhan.

Ayra terpempan mendengar pernyataan Erni itu. Kalaulah dia tahu suaminya itu Encik Hafizal, Ayra pasti dia akan pengsan.

"Sudahlah, suami aku panggil. Nanti esok aku mesej kau beritahu keputusannya ya? Assalamualaikum," ngelat Ayra lalu memutuskan talian.

Tanpa berlengah, dia menuju ke bilik tidur Hafizal yang terletak berhadapan dengan bilik tidurnya. Meskipun mereka selalu tidur sekali, namun Hafizal mahu memberikan ruang privasi kepada isterinya. Atas sebab itulah mereka mempunyai bilik tidur mereka sendiri.

Sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik tidur Hafizal, kelihatan Hafizal baru sahaja keluar dari bilik air dengan hanya berbalutkan tuala mandinya. Ayra terkesima melihat Hafizal yang tampak seksi sebegitu.

"Ada apa, Mel?" tanya Hafizal, hairan. Soalan itu membuatkan Ayra kembali ke alam nyata.

"Saya datang sebab nak minta maaf atas kesalahan saya pagi tadi. Saya tak sengaja, saya tahu saya sepatutnya hubungi tuan dahulu untuk kepastian..."

Kata-kata Ayra berhenti di situ apabila jari telunjuk Hafizal melekat di bibir Ayra tanda menyuruh wanita itu diam.

"Saya maafkan, tetapi untuk itu, awak kena temankan saya malam ini. Bukan di atas katil, tapi di situ," jawab Hafizal sambil menuding ke arah sofa yang terletak berhampiran katilnya.

"Jadi, saya kena tidur di atas sofa?" tanya Ayra yang sedikit terkejut dengan arahan suaminya itu.

"Tak, awak kena berjaga malam ini kerana saya ada kerja nak buat. Jadi, saya nak awak temankan saya," jawab Hafizal, selamba.

"Baiklah, tuan. Menurut perintah," ujar Ayra lalu berjalan menuju ke arah sofa yang dimaksudkan sebelum duduk di atasnya.

Ayra duduk di sofa itu lalu membuka aplikasi permainan yang ada di dalam telefon bimbitnya. Namun begitu, dia sempat lagi mengerling ke arah Hafizal yang sedang memakai pakaian tidurnya sebelum lelaki itu menuju ke meja kerjanya lalu membuka suis komputer ribanya.

Mujurlah hari itu hari Sabtu, fikir Ayra. Andai kata hari itu hari bekerja, pasti keesokan harinya dia tidak hadir ke pejabat akibat kepenatan. Sudahlah dia tak biasa berjaga malam, tidak seperti Hafizal yang selalu berjaga malam bagi menyiapkan kerjanya. Almaklumlah, tugasnya sebagai Ketua Pengawai Eksekutif tidak mengizinkan lelaki itu untuk berehat sepertinya.

"Mel, saya nak tanya sesuatu boleh?" tanya Hafizal bagi memecah kesunyian.

"Apa dia, tuan?" tanya Ayra pula.

"Kalau diberikan peluang, awak nak bersama Wafi semula?" tanya Hafizal, ingin tahu.

Ayra memandang wajah Hafizal dengan penuh tanda tanya. Kenapa pula soalan ini dibangkitkan? Rasanya tidak perlu lagi suaminya menguji kesetiaannya sebegini.

"Tuan nak jawapan jujur?" tanya Ayra, ingin menduga.

"Kenapa tidak? Saya cuma nak tahu apa yang ada di dalam benak hati awak itu Mel," jawab Hafizal, cuba menjelaskan sebab dia bertanyakan soalan itu.

"Saya pilih untuk tidak kembali kepada Wafi walaupun tuan campakkan saya kepadanya," ujar Ayra, lembut.

Ayra tahu suaminya masih meragui jawapan yang diberikan. Namun begitu, pengalamannya menjadi teman wanita Wafi membuatkan dia benar-benar bersyukur hidupnya terkongkong oleh Hafizal. Tipulah kalau dia merasa begitu selesa dilayan ibarat burung yang terkurung di dalam sangkar emas itu, namun begitu dia memilih untuk mempercayai Hafizal untuk itu. Biarlah hidupnya diaturkan sebegini, asalkan Wafi tidak punya ruang untuk kembali ke dalam hidupnya.

"Kenapa tidak?" tanya Hafizal.

Ayra tidak terus menjawab, sebaliknya hanya tersenyum. Sengaja dia membiarkan suaminya itu berteka-teki dengannya.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com