Friday, October 27, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 41...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 41: Yang Kotor Kembali Bersih

"Echa yang beritahu abang Ijal, daddy. Echa terpaksa," sampuk Ayra dari belakang membuatkan tiga beranak itu berpaling ke arah Ayra yang sedang berjalan menuju ke arah mereka sebelum memilih untuk duduk bersebelahan dengan Hafizal.

"Kenapa Echa beritahu Ijal? Bukankah Echa tak mahu buat Ijal susah hati?" tanya Tan Sri Mustaqim, hairan dengan tindakan menantunya itu.

"Betul, memang Echa tak mahu runsingkan kepala abang, lebih-lebih lagi apabila keluarga Salwa minta percepatkan perkahwinan abang dengannya tapi apa alasan yang Echa nak berikan jika abang suruh Echa pergi kerja? Dia tak tahu bahawa Echa sudah minta cuti tanpa gaji," jelas Ayra membuatkan Hafizal terpana.

"Mujurlah Wafi itu anak saudara daddy, kalau orang lain memang daddy sudah belasah cukup-cukup! Geram betul daddy dengan Wafi, sampai hati dia buat anak menantu daddy begini?" gumam Tan Sri Mustaqim.

"Cucu pun, daddy," jawab Ayra dan Hafizal, hampir serentak.

Mendengar respon Ayra dan Hafizal, kesemua mereka tertawa. Namun, tawa Ayra terhenti setelah Ayra memandang ke arah Hafizal. Rindunya dia pada pemilik wajah yang berada di sebelahnya itu. Kali terakhir mereka bersua muka adalah ketika Hafizal memberikan perintah berkurung kepadanya.

"Kenapa Mel pandang abang begitu?" tanya Hafizal.

"Tak ada, cuma nak pandang puas-puas sebab dua minggu lagi abang dah ada isteri baru," jawab Ayra, selamba. Dia tak mahu Hafizal terlupa tentang itu.

"Oh ya, bercakap tentang itu. Salwa tahukah Ijal di mana sepanjang lima bulan ini mummy?" tanya Hafizal kepada ibunya.

"Mahunya dia tak cari Ijal, sampai ke pejabat dia cari. Echa kata, mujur ketika dia datang ke pejabat itu, Wafi tiada di pejabat. Jadi, mudah sikit nak menipu. Kami semua mengatakan bahawa Ijal ada projek di London dan akan berada di sana selama beberapa bulan," jelas Puan Sri Halimatun.

"Bagaimana pula pernikahan ini boleh dipercepatkan?" tanya Hafizal lagi.

"Pihak perempuan yang minta ianya dipercepatkan, katanya Salwa sudah berusia 30 tahun. Jadi, dia ingin bernikah secepat mungkin memandangkan kamu berdua sudah mengenali satu sama lain," jawab Puan Sri Halimatun.

"Peliknya, tapi tak apalah. Lagipun, ini bukan kali pertama Ijal bernikah, jadi sijil kursus kahwin masih boleh digunakan. Cuma, ujian HIV kena buat semula kerana Ijal sudah enam bulan bernikah dengan Mel. Maka, keputusan ujian yang dahulu sudah tidak boleh digunakan. Jadi, yang tinggal hanyalah urusan kebenaran bernikah sahaja. Memandangkan Ijal memang lahir dan menetap di sini, jadi mudahlah. Bahagian Salwa, pandai-pandailah dia nanti," jelas Hafizal sambil tersenyum.

Ayra dapat merasakan tangan Hafizal mula menyentuh tangannya. Jika sebelum ini, dia pasti akan menepis setiap kali ianya berlaku, namun tidak kali ini. Sengaja dia membiarkan Hafizal melepaskan rindu dan dalam masa yang sama, dia juga ingin melepas rindu.

"Bos, Puan, Tan Sri, Puan Sri, jemput minum. Ini saya bancuhkan kopi, ada cucur ikan bilis sekali," ujar Fred dan Apai yang datang membawa dulang berisi teko, cawan dan sepiring cucur ikan bilis sebelum meletakkannya di atas meja kopi yang terletak di hadapan mereka berempat.

"Betulkah ini kamu berdua yang bancuh? Bukan Mel?" tanya Hafizal sambil menjeling ke arah Ayra yang sedari tadi tunduk memandang kakinya yang mulai bengkak. Patutlah kakinya berasa sengal-sengal.

"Bukanlah, kalau kami tak datang tadi, mungkin puan yang akan bancuh air itu," jawab Fred, terus terang.

Ayra menyedari bahawa Hafizal sekali lagi menjeling ke arah Ayra. Sengaja Ayra mempamerkan wajah tanpa ekspresinya bagi menyakat suaminya. Padan muka lelaki itu tidak dapat membaca fikirannya.

"Bagus, kamu berdua bolehlah sambung makan di dapur itu. Terima kasih," ujar Hafizal sebelum melihat Fred dan Apai kembali ke dapur. Kemudian, dia mengambil seketul cucur dari dalam piring kuih itu lalu menyuakan cucur itu ke mulut Ayra. Melihat tindakannya, Ayra memandangnya dengan perasaan hairan terpancar pada wajahnya.

"Kenapa pula dengan suami aku ini?" tanya Ayra, dalam hatinya.

"Makanlah, Mel lapar bukan?" ujar Hafizal.

Ayra terpana. Bagaimanakah suaminya tahu bahawa dia sedang lapar? Tanpa berlengah, dia membuka mulutnya bagi memberi ruang pada suaminya untuk menyuapnya.

"Amboi, Ijal dengan Echa ini, romantik betul sampai tak nampak mummy dan daddy di sini," usik Tan Sri Mustaqim sambil tersenyum nakal.

"Apa daddy ini? Suap saja pun, takkan tak boleh kot?" tanya Hafizal, diiringi oleh senyuman.

Namun begitu, Ayra tidak membalas senyumannya. Dia tahu suaminya itu menghadiahkan senyuman itu buatnya buat penawar rindu, tetapi tidak semudah itu dia ingin membalasnya. Dia mahu boikot akibat kecewa suaminya tidak tidur bersamanya sejak mereka berdua dapat bersama semula. Dia hanya memandang wajah suaminya yang penuh dengan perasaan hairan itu.

     *     *     *     *     *

Ayra baru sahaja selesai memasak ayam masak kicap pedas, lauk kegemaran suaminya itu apabila loceng pintu rumahnya berbunyi. Baru sahaja dia ingin melangkah ke muka pintu, Mak Iti terlebih dahulu menegahnya daripada bergerak lalu menuju ke muka pintu rumah tersebut.

Tak lama kemudian, muncul kelibat Mak Iti dan Tan Sri Mustaqim di dapur membuatkan wajah Ayra berubah pucat. Dia tahu bapa mentuanya itu baru sahaja pulang dari Mustaqim Ventures kerana dia dikhabarkan bahawa pagi ini ada mesyuarat lembaga pengarah. Kehadirannya hanya diwakilkan oleh Hafizal memandangkan Hafizal merupakan proksinya kini.

Sangkaannya, Hafizal ada bersama Tan Sri Mustaqim tetapi dia akhirnya mampu menarik nafas lega apabila mendapati Tan Sri Mustaqim datang sendirian. Dengan segera dia berjalan ke arah bapa mentuanya lalu mencium tangan lelaki itu.

"Echa masak ke? Nanti kalau Ijal tahu Echa buat kerja rumah, mesti dia marah. Betul tak Kak Iti?" ujar Tan Sri Mustaqim sambil tersenyum nakal. Mak Iti dilihat hanya mengangguk lemah.

"Tak apa, Echa masak ayam masak kicap pedas, harap-harap dia terlupa tentang itu," jawab Ayra sambil membalas senyuman nakal bapa mentuanya.

"Pandai ya kamu masakkan lauk kegemarannya untuk buat dia lupa salah kamu?" duga Tan Sri Mustaqim sebelum mereka berdua tertawa.

"Oh ya, kenapa daddy datang ke rumah? Takkan datang nak jenguk Echa kot?" tanya Ayra, hairan dengan kedatangan lelaki itu ke rumahnya.

"Oh, terlupa pula! Ijal suruh kamu datang ke pejabat. Ada perjumpaan pekerja dan kamu diwajibkan hadir. Cepatlah siap, Ijal suruh kamu ke pejabat dengan daddy. Nanti kita balik bersama, kita jemput mummy, lepas itu kita balik sini semula. Mummy kamu mesti tak tolak masakan kamu punya!" ujar Tan Sri Mustaqim sambil mengangkat ibu jarinya ke atas.

Mendengar kata-kata bapa mentuanya, Ayra tersenyum lalu menuju ke tingkat atas. Terhibur pula dengan pujian lelaki itu. Siapa sangka orang kampung sepertinya dapat diterima sebagai menantu keluarga berada seperti keluarga Tan Sri Megat Mustaqim. Mujur dia masak lebih, jadi bolehlah dia menjamu kedua ibu bapa mentuanya itu malam nanti. Harap-harap itulah senjata terbaiknya bagi mengelakkan suaminya marahkan dia kerana memasak tadi.

     *     *      *     *     *

Setibanya Ayra dan Tan Sri Mustaqim di pejabat, kelihatan beberapa pasang mata memerhatikannya. Dia sama sekali tidak terkejut memandangkan dia hadir ke pejabat ditemani oleh Penasihat Mustaqim Ventures, sedangkan dia telah dituduh mengandungkan anak luar nikah hasil benih anak kepada lelaki itu.

"Kenapa, Echa? Echa rasa tak selesa mereka semua memandang Echa begitu?" tanya Tan Sri Mustaqim, seakan menyedari apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Ayra hanya mengangguk, membuatkan Tan Sri Mustaqim tersenyum.

"Biarkan mereka, mereka hanya cemburu. Mereka tak mampu menjadi menantu daddy, sebab Ijal sudahpun menikahi kamu. Orang cemburu memang begitu, sentiasa mencari alasan untuk menjatuhkan orang lain," pujuk Tan Sri Mustaqim.

Mendengar kata-kata Tan Sri Mustaqim, Ayra berasa lega. Begitu lembut kata-kata lelaki itu, terasa seperti sebuah pelukan hangat. Rindunya dia kepada arwah ayah.

Mereka berdua masuk ke dalam auditorium dan memilih untuk duduk di barisan hadapan sebelah kanan supaya mereka berdua tidak menjadi perhatian ramai. Tak lama selepas itu, Erni yang baru sahaja tiba mendekati mereka berdua lalu duduk di sebelah kanan Ayra manakala Hafizal yang masuk selepas Erni terus sahaja berjalan menuju ke arah pentas yang menempatkan podium bagi memulakan perjumpaan.

"Assalamualaikum dan salam sejahtera. Seperti yang anda semua sedia maklum, perjumpaan kali ini adalah untuk memaklumkan pertukaran CEO dan juga untuk menyelesaikan sebuah kes yang sudah tertunggak selama tiga bulan. Saya memohon maaf kerana telah mencuri sedikit masa anda semua sedangkan saya tahu anda semua sangat sibuk.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan berita bekas CEO kita, Encik Megat Wafi yang sedang diburu polis. Saya tidak mahu bercerita mengenai hal itu, namun saya ingin menyeru kepada anda semua agar berhenti membuat spekulasi tentang beliau. Selagi beliau belum disabitkan bersalah, saya tak mahu mendengar apa-apa komen atau pendapat mengenai perkara ini. Akan tetapi, syarikat ini masih memerlukan CEO bagi meneruskan operasinya. Jadi, sehubungan dengan ini, ahli lembaga pengarah telah membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Encik Wafi daripada jawatan CEO yang disandang beliau dan memilih saya sebagai pemangku CEO menggantikan beliau.

Satu lagi agenda kita pada petang ini, adalah untuk memperjelaskan berkenaan isu kehamilan salah seorang daripada staf kita yang didakwa mengandung anak luar nikah. Ini adalah kerana pernikahan staf tersebut tidak dilaporkan kepada bahagian sumber manusia, apatah lagi diwar-warkan kepada seluruh dunia. Maka, berdirinya saya di sini adalah untuk menjelaskan tentang perkara ini dan juga  meminta orang yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin ini untuk meminta maaf secara terbuka.

Memandangkan isu ini bukan isu baru, saya pasti sebahagian daripada staf syarikat ini sudahpun melupakan tentang perkara ini, lebih-lebih lagi kerana staf tersebut sedang bercuti panjang. Akan tetapi, sudah menjadi tanggung jawab saya untuk menjelaskan semuanya memandangkan saya adalah orang yang dikatakan menghamilkan staf tersebut tanpa sebarang ikatan pernikahan.

Jadi, saya, Megat Hafizal Megat Mustaqim ingin memohon maaf kepada isteri saya, Puan Ayra Melissa Mohd Elyas yang juga merupakan pembantu peribadi saya serta kepada seluruh warga Mustaqim Ventures di atas perselisihan faham yang terjadi," terang Hafizal panjang lebar.

Selepas ayat terakhir Hafizal, riuh rendah auditorium tempat perjumpaan itu diadakan dengan suara para pekerja bercakap antara satu sama lain. Ayra mula berasa sangat malu dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Hafizal itu. Selama enam bulan lebih pernikahan mereka, tidak pernah sekalipun dia mendengar Hafizal menyebut dirinya sebagai isteri lelaki itu. Selalunya, hanya pembantu peribadi sahaja. Dia tidak sanggup untuk memandang Hafizal kerana pengumuman itu.

"Saya harap anda semua boleh memaafkan Ayra di atas perselisihan faham ini kerana semuanya berpunca daripada diri saya sendiri. Saya telah meminta isteri saya untuk merahsiakan pernikahannya di atas sebab-sebab tertentu dan ketika perkara ini berlaku, saya sedang berada di luar kawasan. Maka, saya sama sekali tidak menyangka bahawa isteri saya terpaksa menanggung segala beban bagi pihak saya selama khabar angin tersebar. Saya memohon maaf kepada beliau dan anda semua di atas permasalahan yang berlaku akibat daripada kekhilafan diri saya," sambung Hafizal lagi.

Ayra memandang Hafizal sebelum menghadiahkan sekuntum senyuman kepadanya. Dia merasakan inilah masa yang sesuai untuk berbaik dengan suaminya itu. Tambahan pula, semua orang sudah mengetahui status dirinya, maka tak manislah andai dirinya bermasam muka.

"Namun begitu, saya tidak boleh menerima sikap segelintir pekerja syarikat ini yang memilih untuk menyebarkan sesuatu yang tidak terbukti kesahihannya. Jadi, saya ingin meminta pekerja itu sendiri datang ke hadapan bagi memohon maaf," jelas Hafizal sebelum kelibat Izreen berjalan menuju ke pentas auditorium dan akhirnya berdiri di sebelahnya.

Ayra tercengang melihat Izreen yang dengan beraninya berdiri di hadapan semua. Apakah yang sebenarnya dilakukan oleh Hafizal? Seluruh syarikat mengetahui Izreen tak mungkin akan mengakui kesilapannya. Mana mungkin dengan mudah dia tampil meminta maaf?

"Terima kasih Encik Hafizal. Saya tahu kesalahan saya terlalu besar untuk dimaafkan, kerana ianya sudah jatuh fitnah ke atas Ayra dan Encik Hafizal di atas perbuatan saya. Namun begitu, saya tetap ingin meminta maaf kepada Encik Hafizal, Ayra dan semua rakan sekerja di atas kesalahan yang saya lakukan. Peristiwa ini telah memberikan pengajaran hebat buat saya dan saya ingin berubah. Diharap anda semua dapat memaafkan dan mendoakan perubahan saya. Terima kasih," jelas Izreen sebelum turun semula menuju ke tempat duduknya.

Ayra tercengang, dia sama sekali tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Namun begitu, hatinya tahu dia perlu memaafkan. Tambahan pula, dia sudah melihat Hafizal memandang ke arahnya. Mungkin dia mahukan jawapan, jadi Ayra mengangguk sebagai tanda dia telah memaafkan Izreen atas kesilapannya.

"Terima kasih Izreen. Saya dan isteri saya telah memaafkan Izreen dan diharap anda semua dapat memaafkannya juga. Ingatlah, setiap manusia takkan terlepas daripada membuat kesilapan. Saya pernah silap, anda pernah silap, kita semua pernah silap dan menjadi tanggung jawab kita semua untuk memaafkan kerana kita tak punya hak untuk menghakimi sesama kita, hak itu milik Tuhan.

Jadi, saya harap isu ini akan berakhir di sini dan saya mohon anda semua mendoakan yang terbaik buat saya dan isteri saya. Saya juga berharap agar Puan Ayra dapat kembali bertugas di syarikat kita sebelum beliau cuti bersalin nanti kerana syarikat ini masih memerlukannya," pinta Hafizal sambil tersipu malu.

Tak semena-mena seluruh auditorium bersorak kepada Hafizal di atas keberanian meminta Ayra untuk bekerja semula di khalayak ramai. Ayra tahu tak mungkin dia dapat mengelak kali ini, akhirnya dia terpaksa mengalah.

"Baiklah, encik Hafizal. Bagi menunaikan permintaan awak, saya akan kembali bekerja esok," jawab Ayra, tiba-tiba.

Kedengaran bunyi tepukan seantero auditorium bagi meraikan kepulangan Hafizal dan Ayra ke syarikat itu semula. Bunyi tepukan itu membuatkan Ayra sangat malu, namun jauh di sudut hatinya dia bersyukur kerana pernikahannya dengan Hafizal diterima baik oleh pekerja syarikat. Akan tetapi, adakah rakan-rakan sekerjanya itu boleh menerima minah senget yang bakal menjadi madunya itu? Dia lebih bimbangkan itu.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com