Sunday, October 22, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 37...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 37: Proses Baikpulih

"Itu dahsyat bos, nampaknya bos tak salah pilih isteri. Dia memang isteri terbaik! Macam ini!" ujar Fred sambil mengangkat ibu jarinya ke atas.

"Kau ini, tak sampai sejam kau bebaskan aku, dah minta kena tampar. Kenapa kita berada di sini?" tanya Hafizal yang hairan sedari tadi tentang kehadirannya di balai polis.

"Oh ya, kenalkan ini Inspektor Rahman, dari Pasukan Siasatan Khas Bukit Aman. Dia yang minta kita ke sini untuk menjaga keselamatan bos dan Puan Ayra. Lagipun, bos dan puan kena beri keterangan memandangkan bos dan puan adalah mangsa dalam kes ini," jawab Fred sambil tersenyum memandang Hafizal yang masih lagi hairan.

"Kenapa pasukan siasatan khas?" tanya Hafizal.

"Begini, Encik Hafizal. Kami merupakan pasukan yang ditubuhkan bagi membanteras sindiket pemerdagangan manusia yang semakin berleluasa di dalam negara kita. Saya faham, encik pernah membuat laporan polis tentang penubuhan kumpulan gengster yang dikelolakan oleh Encik Harry, namun setelah rakan sekerja kami siasat, mereka mendapati kumpulan ini bukan hanya menjalankan perniagaan ceti haram, tetapi juga pemerdagangan manusia. Jadi, kes ini telah dipindahkan kepada pasukan kami untuk tindakan lanjut," terang Inspektor Rahman yang sedari tadi tersenyum melihat gelagat Hafizal dan Fred.

Tiba-tiba, bunyi jeritan kecil yang datangnya daripada Ayra membuatkan pandangan mereka bertiga beralih ke arah wanita itu. Ayra dilihat memegang perutnya dan wajahnya seperti sedang menahan kesakitan.

Melihat keadaan isterinya, Hafizal mendapatkan wanita itu yang mencuba untuk bangun dari pembaringannya. Hafizal cuba untuk membantu Ayra, namun tangannya lebih dahulu ditepis lembut oleh isterinya itu.

"Kenapa ini?" tanya Hafizal, hairan dengan sikap Ayra.

"Tak ada apa. Kita di mana?" tanya Ayra, sambil menggosok-gosok matanya.

"Kita di balai polis, Mel kena berikan keterangan kepada polis. Selepas itu, kita boleh pulang," jawab Hafizal sambil tersenyum.

Ayra mempamerkan wajah tanpa ekspresi membuatkan Hafizal masih berteka-teki. Mengapakah Ayra bertindak begini?

"Inspektor, saya nak berikan keterangan dulu. Perut saya sakit sangat ini," ujar Ayra lalu mencuba untuk bangun dari sofa yang didudukinya. Hafizal ingin membantunya, tetapi sekali lagi tangannya ditepis lembut.

Seorang konstabel wanita yang telah dipanggil oleh Inspektor Rahman mendekati Ayra bagi membantu wanita itu dan sesuatu yang mengejutkan Hafizal telah berlaku. Ayra telah membenarkan konstabel wanita itu membantunya membuatkan Hafizal semakin hairan dengan tingkah laku Ayra itu.

"Kenapa dengan Ayra, Fred? Ada apa-apa yang terjadikah sebelum ini? Lagipun, aku hairan juga kerana Ayra tidak datang bertemu aku selama tiga bulan," tanya Hafizal selepas berjalan menuju ke arah Fred.

"Sebenarnya, Wafi tak benarkan Puan Ayra jumpa bos lagi tiga bulan lepas. Mungkin dia masih dalam trauma agaknya kerana Wafi betul-betul menyeksa hidup puan sepanjang tiga bulan ini," jawab Wafi.

"Apa yang berlaku?" tanya Hafizal lagi.

"Itu bos kena tanya puan sendiri. Saya sudah puas bertanyakan tentang ini kepadanya, tapi dia telah mengunci mulutnya," jawab Fred.

"Tak apalah, nanti aku tanyakan. Sekarang, aku nak berikan keterangan aku. Kau tunggu sini," ujar Hafizal lalu beredar bersama Inspektor Rahman yang sedari tadi menantinya.

     *     *     *     *     *

Hafizal sedang menatap wajah isterinya yang masih tidur itu apabila dia melihat isterinya mempamerkan kerutan di wajahnya. Tak lama selepas itu, Ayra terjaga dari tidurnya lalu memandang Hafizal sebelum bangun terus dari pembaringannya.

Melihat reaksi Ayra, Hafizal memandang isterinya dengan perasaan hairan. Kenapa pula dengan isterinya ini?

"Saya di mana ini? Bukankah tadi saya di balai polis?" tanya Ayra, panik.

Mendengar soalan Ayra, Hafizal tertawa. Reaksi Hafizal membuatkan Ayra terpinga-pinga.

"Mel punya sel otak tak boleh berhubungkah? Mel pengsan depan balai tadi, abang juga yang kena angkat Mel bawa balik," jawab Hafizal, sinis.

"Kalau tak ikhlas, kenapa bawa balik? Tinggalkan saja saya di situ," ujar Ayra, selamba.

"Sudahlah abang kena pikul dua orang, terima kasih pun tiada?" tanya Hafizal, bengang.

"Terima kasih, tuan. Jasa baik tuan saya hargai," jawab Ayra, cuba untuk mengelak daripada memandang Hafizal.

"Kenapa tiba-tiba panggil abang 'tuan' semula ini? Ada buat salah ke?" tanya Hafizal, ingin menduga.

"Kenapa tuan baik sangat dengan saya? Tuan lupakah saya ini isteri yang curang? Lagi pula, mengandung anak luar nikah?" tanya Ayra, bertubi-tubi.

Melopong Hafizal mendengar soalan-soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi yang diberikan oleh Ayra itu.

"Apa ini? Kita bernikah cara elok, bukan? Apa masalah Mel ini?" tanya Hafizal, semakin berang.

"Itu kata tuan. Kata orang?" jawab Ayra, masih lagi memandang ke arah lain.

Hafizal mula panas hati. Kalau tidak kerana Ayra mengandungkan anaknya, sudah pasti wanita yang berada di hadapannya ini disekeh kepalanya.

"Apa maksud Mel?" tanya Hafizal, hairan.

"Apa yang berlaku kepada tuan, semuanya kerana saya bukan? Tuan dikurung, tuan dipaksa bercerai dengan saya, semua harta tuan dirampas, tuan difitnah, tuan dipecat daripada jawatan tuan, tuan terpaksa melihat kecurangan isteri sendiri, dan tahukah tuan, tuan dituduh berzina dengan isteri sendiri?" terang Ayra, lalu merenung wajah suaminya.

"Apa maksud Mel berzina dengan isteri sendiri?" tanya Hafizal lagi.

"Wafi pernah ugut saya untuk serahkan semua harta tuan yang dimiliki oleh saya padanya, kalau saya gagal, dia akan sebarkan pada semua pekerja bahawa saya sedang mengandungkan anak luar nikah hasil benih tuan," ujar Ayra.

"Jadi, apa yang Mel lakukan?" tanya Hafizal, lagi.

"Saya tak serahkan harta tersebut, dan itulah hasilnya. Semua pekerja di pejabat sekarang memandang serong pada saya, kononnya saya mempunyai hubungan sulit dengan bekas majikan saya sendiri," jawab Ayra, kembali tunduk.

Hafizal memandang Ayra, kelihatan titisan air mata jatuh ke atas peha wanita itu. Tahulah dia bahawa Ayra sedang menangis.

"Biarlah apa orang nak kata, Mel isteri abang dan tak ada sesiapapun yang boleh mengubah kenyataan itu," ujar Hafizal, cuba untuk memegang pipi isterinya tetapi ditahan oleh Ayra.

"Tak apalah, saya sudah pasrah. Saya anggap semua ini adalah balasan saya atas semua dosa-dosa saya kepada tuan. Lagipun, tuan pun bakal bernikah dengan cik Salwa. Satu saja saya minta, saya harap tuan tak beritahu cik Salwa bahawa saya adalah madunya," jelas Ayra.

"Kenapa tidak? Awak isteri saya, kenapa saya perlu menidakkan kebenaran itu?" bantah Hafizal. Kemarahannya sudah memuncak.

"Saya bukan anak Datuk seperti cik Salwa, manalah layak nak bergelar isteri kepada anak seorang Tan Sri. Tambahan pula, saya ini orang kampung sahaja, bukan graduan universiti luar negara seperti tuan dan cik Salwa..."

"Mel, stop it!" jerkah Hafizal, membuatkan Ayra tersentak lalu memandang Hafizal.

Hafizal pula memandang Ayra dengan perasaan marah yang begitu membara membuatkan Hafizal bangun lalu merentap tangan Ayra bagi memaksa wanita itu bangun. Selepas itu, Ayra disandarkan di dinding bilik tidur milik wanita itu dan serta-merta dia meletakkan kedua-dua belah tangannya di kiri dan kanan wanita itu bagi mengelakkan Ayra untuk melarikan diri.

"Semasa abang melafazkan akad nikah kita dahulu, sedikitpun tak ada dalam kepala otak abang ini bahawa Mel sama sekali tidak layak untuk menjadi isteri abang! Kalau abang rasa Mel tak layak, do you think I will bought you from Harry?" tanya Hafizal selepas menghamburkan isi hatinya.

Ayra tidak menjawab, sebaliknya hanya tunduk memandang perutnya. Hafizal yang melihat isterinya tidak menjawab itu semakin berang.

"Kelayakan Mel sebagai isteri abang, bukan hak orang lain untuk menilai! Cukuplah Allah dan abang sahaja yang menilai semua itu! Mel faham tak?" sambung Hafizal lagi.

"Perlukah diungkit tentang hal tuan beli saya itu? I am just your possession, isn't it?" tanya Ayra pula, membuatkan Hafizal terbungkam. Dia tak sepatutnya menyebut tentang kes pembelian itu, tetapi hatinya sakit melihat perubahan perangai yang ditunjukkan oleh Ayra.

"Cantik betul perangai Mel sekarang, kenapa jadi begini? Apa yang Mel nak sebenarnya? Mel nak bercerai ke?" tanya Hafizal, geram.

Ayra memandang Hafizal dengan mata yang tidak berkedip. Hafizal pula melarikan pandangannya terhadap isterinya itu kerana marah yang teramat.

"Saya minta maaf, tuan. Tolong jangan ceraikan saya, saya cuma nak padamkan perasaan bersalah saya pada tuan," jawab Ayra, perlahan.

"Dengan buat semua ini? Mel ingat bila Mel buat semua ini, abang akan salahkan Mel? Atau Mel memang minta dihukum? Begitu?" tanya Hafizal yang masih lagi berang.

"Apa sahaja yang boleh hilangkan perasaan bersalah saya," jawab Ayra dengan wajah yang berkerut-kerut, sepertinya menahan kesakitan.

"Geram betullah abang dengan Mel ini! Melawan cakap suami lagi, sekarang anak kita pun marah mama dia!" bentak Hafizal lalu berpeluk tubuh. Seketika selepas itu, dia melepaskan keluhan berat.

Hafizal memandang Ayra yang tiba-tiba memegang perut itu. Ada rasa kasihan pada wanita itu, tetapi kemarahannya kepada wanita itu tidak mampu terpadam semudah itu.

"Ayra Melissa, abang tak izinkan Mel keluar dari rumah sama sekali kecuali atas izin abang sampai satu tempoh yang abang akan berikan kelak," arah Hafizal dengan riak wajah tegas.

Ayra dilihat hanya memandangnya tanpa sebarang ekspresi. Hebat betul isterinya ini, menyesal pula dilatih wanita itu begitu.

"Menurut perintah, tuan."

Mendengar jawapan Ayra, sekali lagi Hafizal mengeluh. Sebegitu dalamkah perasaan bersalah Ayra terhadapnya?

     *     *     *     *     *

Hafizal sedang menonton televisyen bersama Fred dan Apai apabila loceng pintu rumahnya berbunyi. Tanpa disuruh, Fred bangun menuju ke arah pintu lalu membukanya. Muncul kelibat Tan Sri Mustaqim dan Puan Sri Halimatun dari belakang pintu lalu menuju ke arah sofa yang berada di ruang tamu rumah banglo milik Ayra itu.

Melihat kehadiran Tan Sri Mustaqim dan Puan Sri Halimatun, Fred dan Apai terus bangun lalu menuju ke arah dapur. Pasangan suami isteri itu memilih untuk duduk berhadapan dengan Hafizal yang masih lagi menonton televisyen.

"Echa mana?" tanya Puan Sri Halimatun, hairan dengan ketiadaan Ayra di mana-mana.

"Echa? Siapa? Ayra? Sejak bila mummy panggil Ayra, Echa?" tanya Hafizal, semakin hairan dengan perilaku semua orang.

"Yalah, dia suruh semua orang panggil dia Echa. Katanya, keluarga dia panggil dia Echa sejak kecil. Jadi, kami semua panggillah dia Echa. Lagipun, sepanjang lima bulan ini dia tinggal dengan mummy dan daddy. Sejak kamu berdua bercerai sampailah rujuk semula, kami yang tolong jagakan dia," terang Puan Sri Halimatun sambil tersenyum.

"Mummy ini susah-susah saja jagakan Mel. Mak dengan ayah kan ada?" tanya Hafizal lagi.

"Kamu tahu tak, semasa dia kena alahan dua bulan lepas, dia tak boleh nak bangun pun? Seminggu yang pertama itu, mana ada dia pergi kerja. Mengamuk si Wafi dengan dia, sejak itulah Echa selalu kena kerja lebih masa. Pernah sekali itu dia memandu ke pejabat, tapi malam itu daddy dengan ayah kena jemput dia ke pejabat kerana dia muntah-muntah," sambung Puan Sri Halimatun lagi.

Hafizal terkesima mendengar kisah yang diceritakan oleh ibunya itu. Semakin dalam perasaan hairan menjalar di dalam sanubarinya tatkala mendengar semuanya.

"Kenapa Wafi seksa Mel begitu?" tanya Hafizal, tidak puas hati.

"Dengar khabarnya, Wafi marah Echa tak serahkan harta yang kamu berikan kepadanya itu pada Wafi. Atas sebab itu jugalah, Wafi tidak membenarkan Echa untuk bertemu dengan kamu. Kamu tak tahu betapa peritnya hidup Echa sepanjang tiga bulan ini. Jadi, daddy harap apapun kerenahnya sekarang, kamu layankan sahaja," terang Tan Sri Mustaqim pula.

"Daddy, betulkah seluruh syarikat menyangkakan Mel mengandung anak luar nikah?" tanya Hafizal, inginkan kepastian.

Mendengar soalan Hafizal, riak wajah Tan Sri Mustaqim dan Puan Sri Halimatun mula berubah pucat. Perubahan wajah ibu bapanya merunsingkannya.

"Mana kamu tahu cerita ini?" tanya Tan Sri Mustaqim, panik.

Hafizal tidak terus menjawab, sebaliknya hanya merenung wajah ayahnya itu.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com