Tuesday, October 10, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 22...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 22: Perlu Melindungi

"Cukuplah tuan seorang dalam hati saya sekarang, saya tak perlukan orang lain untuk itu," jawab Ayra membuatkan Hafizal terkesima.


"Mel, awak tahu bukan, saya sudah rampas awak daripada Wafi? Takkan tergamak saya nak lukakan hati sepupu saya?" tanya Hafizal, ingin menduga.

"Bolehkah saya berterus terang? Bukankah tuan tak benarkan saya tunjukkan ekspresi wajah?" tanya Ayra, inginkan kepastian.

"Malam ini saya izinkan," jawab Hafizal sambil mengerling sekilas ke arah isterinya yang masih setia duduk di atas sofa berhampirannya.

"Maksud tuan?" tanya Ayra lagi.

"Malam ini kita bicara dari hati ke hati. Antara Megat Hafizal dan Ayra Melissa, antara suami dan isteri. Itu sahaja," jelas Hafizal sambil menoleh ke arah Ayra yang sudah lama merenungnya. Bukannya dia tidak tahu Ayra sudah mula memandangnya pelik.

"Baiklah kalau macam itu, tuan."

"Malam ini saya nak dengar Mel panggil saya abang boleh? Seperti di hadapan orang lain," pinta Hafizal, tiba-tiba. Entah mengapa malam ini dia mendambakan isterinya yang sebenarnya, bukan isteri yang dibelinya sebulan lepas.

"Baiklah, abang. Beginilah, Mel hanya akan berterus terang dengan abang sekali ini sahaja. Selepas ini, abang jangan tanya apa-apa lagi tentang perasaan Mel pada abang. Sejak dari mula, sejak kita berkenalan lagi, hanya abang seorang saja yang telah mencuri hati Mel. Bukan Wafi, bukan juga lelaki lain. Hanya abang."

Hafizal terkesima mendengar pengakuan Ayra itu. Begitu berani isterinya malam ini, sehingga mampu membuatkan dia berhenti fokus pada laporan yang hendak disiapkan itu.

"Kenapa tak berterus terang dari mula? Apa yang buat Mel benci abang sejak Mel bekerja dengan abang?"

"Mel tahu Wafi juga menyukai Mel. Mel tak tegar nak putuskan hubungan darah antara abang dengan Wafi hanya kerana Mel mahukan abang. Mel masih ada sifat kemanusiaan lagi, abang. Mel bukan benci abang, tapi itu adalah mekanisme pertahanan Mel supaya Mel tak tunjukkan perasaan Mel pada abang."

"Hanya sebab Wafi? Habis itu, kenapa Mel terima Wafi?" tanya Hafizal lagi, ingin tahu.

"Mel tak tahu apa perasaan abang ketika itu, abang tahu tak? Abang ingat Mel tak sakit hatikah apabila abang selalu sangat buli Mel, suruh Mel buat macam-macam sedangkan Mel pernah saja nampak abang buat perkara itu sendiri?" tanya Ayra dengan nada yang mula meninggi.

Soalan Ayra membuatkan Hafizal terbungkam. Sunggu dia tak sangka Ayra menggunakan peluang ini untuk melepaskan perasaannya yang terpendam selama bertahun-tahun. Mereka berdua bekerja bersama bukannya sehari dua, tapi sudah tiga tahun. Banyak benda yang telah terbuku di dalam hati Ayra yang tak mampu untuk dia lepaskan selama ini.

"Abang minta maaf, abang tak tahu Mel tunggu abang. Jadi, atas sebab inilah Mel tak membantah apabila abang nak menikahi Mel?" tanya Hafizal, inginkan kepastian.

"Do I look like a person that follows your order without arguing? Jadi, sepatutnya abang sudah boleh agak kenapa Mel tak membantah apabila abang menyuarakan tentang pernikahan kita itu," jawab Ayra, sedikit sinis.

"Selepas kita bernikah, Mel agak patuh dengan arahan abang. Jadi, abang ingatkan Mel patuh sebab keadaan kita. Manalah abang tahu Mel memang suka nak berkahwin dengan abang," seloroh Hafizal sambil tersengih nakal.

"Mel patuh setiap arahan abang, bukan sebab abang beli Mel tapi sebab abang suami Mel. Keredhaan Allah pada seorang isteri adalah apabila suaminya redha dengan dirinya. Benda asas perkahwinan kot, siapa yang tak tahu?"

Sekali lagi Hafizal terkesima mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh isterinya itu. Banyak betul yang dia tak habis kaji tentang Ayra.

     *     *     *     *     *

Hafizal terjaga dari tidurnya dan mendapati dirinya berada di atas katil. Hairan juga kerana dia sama sekali tak ingat bagaimana dia boleh berpindah dari meja kerjanya ke katil. Kepalanya pening, mungkin akibat terkejut tatkala tersedar tadi.

Dia memandang sekelilingnya, dan ternampak kelibat Ayra yang sedang duduk di atas sofa. Wanita itu nampak seperti masih berjaga, namun tiada reaksi daripada Ayra membuatkan hatinya mula berasa bimbang lalu mendekati isterinya itu.

"Mel, are you okay?" tanya Hafizal setelah mendapati Ayra masih tidak memberikan tindakan refleks terhadap tindakannya.

Hafizal menyentuh bahu Ayra dan menggoncangnya sedikit. Masih tiada respon daripada Ayra membuatkan hatinya menjadi sangat bimbang.

"Mel, bangun. Sudah pagi. Mel, tolong jangan takutkan abang begini," Hafizal masih mencuba untuk mengejutkan Ayra, namun masih tiada respon.

Tanpa berlengah, dia terus mencapai telefon bimbitnya lalu menghubungi doktor keluarganya, Dr. Aman.

"Hello doktor, ini Hafizal. Boleh datang ke rumah banglo saya di Kiara tak? Saya nak minta tolong periksa seseorang, rasanya dia pengsan," terang Hafizal, apabila panggilan dijawab.

"Hello, Encik Hafizal. Tunggu sekejap ya, lagi setengah jam saya datang," jawab Dr. Aman sebelum memutuskan talian.

Hafizal bertindak mencempung Ayra lalu dibawa menuju ke arah katilnya. Selepas itu, dia meletakkan Ayra di atas katilnya dan keluar menuju ke dapur untuk memasak bubur nasi buat Ayra kerana dia dapat merasa badan Ayra sangat panas. Jadi, dia mengagak Ayra pasti demam.

Tak lama selepas dia selesai memasak, bunyi loceng pintu membuatkan Hafizal bergegas menuju ke arah pintu rumahnya lalu membukanya. Kelihatan seorang lelaki berpakaian seperti doktor berdiri di hadapannya.

"Doktor, dah sampai pun! Jemputlah masuk," pelawa Hafizal lalu mengiringi doktor tersebut ke bilik tidurnya.

Sebaik sahaja mereka berdua memasuki bilik tidur Hafizal, Dr. Aman memeriksa Ayra yang masih tidak sedarkan diri itu dan diperhatikan oleh Hafizal yang berdiri di belakang Dr. Aman.

"Nampaknya perempuan ini istimewa kerana menjadi satu-satunya perempuan yang pernah memasuki bilik tidur awak, Hafizal. Siapa dia? Bukankah awak sudah bertunang dengan anak Datin Zuraidah?" tanya Dr. Aman, hairan.

"Sangat istimewa, doktor. Dia ini isteri saya, Ayra Melissa."

"Awak sudah berkahwin? Tan Sri dengan Puan Sri tahu tentang dia?" tanya Dr. Aman yang terkejut dengan jawapan Hafizal tadi.

"Tahu, doktor. Cuma, perkahwinan saya dengan Salwa tetap akan dijalankan atas sebab-sebab tertentu. Kenapa dengan Ayra, doktor?"

"Dia pengsan, mungkin kerana keletihan. Dia buat apa semalam sampai keletihan begini?" tanya Dr. Aman, ingin tahu.

"Pengsan? Sebenarnya, dia teman saya berjaga malam semalam. Cuma, saya tertidur dulu. Jadi, saya tak tahu apa yang jadi dengannya selepas saya tertidur."

"Awak ini, selepas ini awak kena hati-hati. Bukan apa, saya cakap begini kerana isteri awak ini mengandung. Saya rasa dia masih berada di trimester pertama, jadi kandungannya agak lemah. Jangan berikan tekanan pada dia, jaga makan dan minumnya, pastikan dia tidur dengan baik dan paling penting, kalau boleh janganlah sampai kahwin lain. Saya rasa dia sudah cukup sempurna," terang Dr. Aman sambil tersenyum nakal.

"Apa dia, mengandung?" tanya Hafizal.

"Ya, tapi dia perlu buat pemeriksaan untuk kepastian jangka masa kandungan. Saya tak ada peralatan untuk itu sekarang. Jadi, bila dia sudah sedar nanti, awak bawa dia jumpa saya. Ingat, jangan nak nakal sangat, awak itu sudah bakal jadi ayah," pesan Dr. Aman yang sudahpun berjalan menuju ke arah pintu rumah, diikuti oleh Hafizal.

Selepas Dr. Aman keluar dari rumah tersebut, Hafizal bergegas semula menuju ke biliknya bagi menjenguk Ayra. Sebaik sahaja dia tiba di biliknya, deringan telefon bimbitnya mengejutkannya lalu dia mengeluarkan telefon itu dari poket seluarnya.

Nama 'Fred' tertera di skrin telefonnya. Hairan kerana selalunya Fred tidak mengganggunya di hari Ahad, tetapi dia memilih untuk menjawab panggilan tersebut.

"Bos, ada hal kecemasan. Saya dapat tahu Wafi telah menguruskan satu perjumpaan dengan pemegang saham minoriti syarikat bos esok pagi," terang Fred, cemas.

"Kenapa pula?" tanya Hafizal, terkejut bercampur hairan.

"Khabarnya, dia nak membeli saham minoriti syarikat untuk menjadi ahli lembaga pengarah Mustaqim Ventures. Saham minoriti jika dikumpulkan, ada dalam 10%. Banyak itu, bos. Saya rasa cukup untuk dia dilantik menjadi pengarah syarikat."

"Aku nak kau buat sesuatu. Pastikan kesemua pemegang saham minoriti syarikat jualkan saham mereka kepada aku, tapi aku nak semua saham itu dan 20% saham aku diletakkan atas nama Ayra," arah Hafizal.

"Kenapa Ayra? Lagi satu, kalau bos bagi saham bos pada dia, dia akan jadi pemegang saham terbesar syarikat. Dia boleh diangkat menjadi CEO menggantikan bos," bantah Fred.

"Aku nak kau uruskan yang itu dulu. Selepas itu, aku nak kau pindahkan semua harta aku kecuali kereta kepada Ayra juga. Aku tak sedap hatilah," jawab Hafizal.

"Bos nak saya selesaikan bila?"

"Secepat mungkin. Sekejap lagi aku berikan salinan kad pengenalan Ayra. Dia sedang pengsan sekarang, sepatutnya lebih senang aku siapkan semuanya. Apa-apa kau maklumkan pada aku. Roger and out," jawab Hafizal sebelum memutuskan talian.

"Sudah tiba masanya Mel untuk menjadi Ayra Melissa, isteri kepada Megat Hafizal, bukan lagi orang gaji. Lagipun, mak dengan ayah sudah dalam perjalanan pulang dari lapangan terbang, jadi kerja orang gaji dan pemandu itu pasti diambil alih kembali oleh mereka berdua," ngomel Hafizal lalu menoleh ke arah Ayra yang masih lagi tidak sedarkan diri.

     *     *     *     *     *

Hafizal sedang duduk berbual dengan pemandu dan orang gaji yang selama ini menjaganya apabila kelibat Ayra muncul dari tingkat atas. Ayra dilihat memegang kepalanya sambil menahan sakit. Melihat kehadiran Ayra, Hafizal berlari menuju ke arah isterinya lalu memimpinnya menuju ke meja makan, tempat dia berada tadi.

"Baiklah, semua sudah ada. Mari kita makan," ujar Hafizal sambil menadah tangan hendak membaca doa.

"Siapa perempuan ini Ijal? Kamu ini, mak dengan ayah pergi Haji sekejap saja, kamu sudah bawa balik perempuan? Tan Sri dengan Puan Sri tahu tak ini?" sergah seorang wanita tua yang duduk bersebelahan dengan Ayra

Mendengar kata-kata wanita itu, Hafizal tersenyum tetapi tidak Ayra. Hafizal dapat melihat wanita itu sudah seperti cacing kepanasan.

"Kenapa ini, Mel?" tanya Hafizal, bimbang melihat isterinya begitu.

"Kenapa tak beritahu ada orang nak datang? Mel tak pakai tudung ini!" ujar Ayra lalu berlari menuju ke tingkat atas semula.

Apabila Ayra menegur situasi mereka, baru mereka bertiga menyedari tentang itu. Pada mulanya, mereka bertiga hanya berpandangan antara satu sama lain, namun akhirnya ketawa terbahak-bahak.

"Abang gelakkan Mel?" tanya Ayra yang tiba-tiba muncul dari tingkat atas lalu mencubit bahu Hafizal yang masih lagi ketawa. Cubitan tajam Ayra menghentikan tawa Hafizal.

Hafizal memandang isterinya yang memakai tudung sama sekali tidak berpadanan dengan baju yang dipakainya. Dia ingin menyambung tawanya, namun ditahan kerana dia sedar ini adalah salahnya juga.

"Ijal belum jawab lagi soalan mak," ujar wanita itu yang sedari tadi memandang Hafizal dan Ayra.

"Oh ya, mak. Lupa pula. Mak, ayah, kenalkan ini isteri Ijal, Ayra. Mel, ini ayah dan mak abang, Mak Iti dan Pak Din," terang Hafizal kepada tiga orang yang lain.

Ayra memandang ke arah Mak Iti yang duduk di sebelahnya. Dia bersalaman dengan Mak Iti dengan wajah yang berkerut.

"Kenapa, Mel?" tanya Hafizal yang menyedari perubahan pada wajah Ayra.

"Berapa banyak mak dan ayah abang ada?" tanya Ayra, hairan.

Mendengar soalan Ayra, Hafizal tersenyum. Alahai isteri, kenapalah kamu ini jujur sangat?

"Sepasang saja. Asalnya, mak merupakan pengasuh abang adik-beradik dan ayah merupakan pemandu daddy. Cuma, kami adik-beradik memang panggil mereka berdua ayah dan mak sebagai tanda hormat. Sejak abang duduk sendiri, mummy hantar mak dan ayah untuk menjaga abang, walaupun abang tahu sebenarnya mereka kena mengawasi abang," terang Hafizal lalu tertawa.

Hafizal dapat merasakan lengannya disiku oleh Pak Din kerana penerangannya tadi, namun hatinya lebih bahagia melihat Ayra yang tersenyum lega mendengar penjelasan Hafizal.

"Habis itu, sepanjang sebulan ini, mak dengan ayah ke mana?" tanya Ayra lagi.

"Ijal belanja kami berdua menunaikan Haji dan Umrah. Itu sebabnya Ayra tak pernah berjumpa kami. Oh ya, ayah nak tanya Ijal, jadi juga ke Puan Sri nak nikahkan kamu dengan cik Salwa?" tanya Pak Din setelah menjelaskan tentang kehilangan pasangan itu sepanjang sebulan ini.

"Mummy nak batalkan, tapi saya tak nak. Saya nak keluarga datin yang batalkan," jawab Hafizal.

"Kenapa pula? Kamu dah ada isteri kot!" tanya Mak Iti pula.

"Saya perlu jaga nama keluarga, sebab itu saya buat begini. Saya tak mahu kerana pernikahan saya dengan Ayra, mummy kena tanggung malu. Saya sudah maklumkan pada Salwa bahawa dia akan jadi isteri kedua, dia kata dia setuju asalkan dia dapat nikahi saya. Saya nak tengok seteguh mana pendiriannya dalam hal ini," terang Hafizal.

"Ayra tahu mengenai perkara ini?" tanya Pak Din pula.

"Tahu, mak, ayah. Saya sudah berikan keizinan saya untuk dia bernikah lagi satu kerana saya yakin setiap yang abang lakukan pasti ada sebabnya," jawab Ayra, tenang.

Mak Iti dan Pak Din terdiam mendengar kata-kata Ayra. Hafizal pula memandang isterinya dengan pelbagai perasaan. Lebih-lebih lagi setelah dia mengetahui isterinya sedang mengandung dan dirinya dalam bahaya.

     *     *     *     *     *

Pagi itu, setelah bersiap, Hafizal mendapatkan Ayra yang sedang bersiap di dalam biliknya. Mujurlah dia sudah menerangkan kepada Pak Din dan Mak Iti tentang bilik Ayra yang diwujudkan untuk privasi isterinya, namun mereka berdua kini bergilir-gilir tidur di bilik masing-masing.

Ini adalah kerana Hafizal telahpun memansuhkan kebanyakan syarat yang dikemukakan di awal perkahwinan kerana dia mahukan Ayra menjadi isterinya, bukan lagi seperti barangan miliknya. Syarat yang tidak dimansuhkan hanyalah Ayra masih perlu menjadi PA Hafizal, Ayra masih tidak boleh menolak kehendak Hafizal, Ayra tidak boleh ke mana-mana tanpa izin Hafizal, dan Ayra tidak boleh menuntut penceraian daripada Hafizal.

Semasa Hafizal memasuki bilik Ayra, Ayra sedang memakai tudung. Hafizal mendekati isterinya yang memakai jubah berwarna merah jambu dengan tudung bercorak sedondon, sama seperti dirinya yang memakai kemeja berwarna sama. Padahal mereka berdua tidak berjanji untuk memakai sedondon hari ini.

"Mel dah sihat ke ini? Kalau Mel tak larat, Mel rehatlah. Cuti Mel pun banyak lagi kan?" tanya Hafizal yang berdiri di sebelah Ayra yang sedang duduk di hadapan meja soleknya.

"Tak apa, Mel dah sihat. Kalau Mel duduk rumah, bukannya boleh buat kerja pun. Semuanya mak yang buat, Mel bosanlah. Kenapa abang datang ini? Mel dah nak siap dah," ujar Ayra yang sedang memakai pengilap bibir.

"Abang nak minta sayang tanda tangan dokumen ini," arah Hafizal lalu menyuakan beberapa keping kertas kepada Ayra.

"Apa ini, abang?" tanya Ayra yang terpinga-pinga dengan dokumen yang dihulurkan oleh Hafizal itu.

"Dokumen penyerahan saham dan harta milik abang kepada Mel. Tolong jangan tanya abang apa-apa, minta tolong tanda tangan sahaja," ujar Hafizal, dengan nada sedikit terdesak.

Hafizal dapat melihat Ayra tidak terus menanda tangani surat pemindahan hak milik, sebaliknya hanya memandang ke arah kertas tersebut dengan muka yang berkerut-kerut, dan tindakan Ayra itu mengundang kegusaran dalam hati Hafizal.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com