Part sebelumnya:
*****
"Sir Syafiq?" tanya Amelia, terkejut.
"Ya, saya. Cuma, saya bukan pensyarah awak lagi, saya bos kepada bos awak. Jadi, panggil saya tuan. Kat sini, semua orang panggil saya tuan sebab majoriti pengarah syarikat adalah keluarga saya."
"Oh ya, betul. Maafkan saya, tuan. Betul ke tuan dah maafkan saya?" tanya Amelia, inginkan kepastian atas apa yang didengarinya.
"Saya maafkan awak tapi saya ada satu permintaan," jawab Syafiq.
"Apa dia, tuan? Saya sanggup buat apa saja kalau tuan maafkan saya."
"Hati-hati dengan apa yang awak kata, Diyana. Saya suruh awak jadi isteri saya nanti, baru padan muka."
"Tuan masih ada hati pada saya lagikah? Macam tak percaya saja, tuan mesti bertemu dengan ramai anak-anak kerabat, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, takkan seorang pun tuan tak terpikat?"
"Tak."
"Kenapa?"
"Sebab mereka bukan awak."
Syafiq dapat melihat Amelia menelan air liur mendengar jawapan Syafiq itu.
"Saya tak bermaksud apa-apa, itu satu pujian saja. Awak ini, suka fikir bukan-bukan!" seloroh Syafiq sambil tertawa.
"Saya risau kalau-kalau tuan masih ada perasaan pada saya."
"Hati saya bukan masalah awak sekarang. Saya cuma nak awak jadi teman saya untuk majlis malam ini boleh?" tanya Syafiq.
"Teman tuan? Tak apakah?"
"Tak apa, sebab saya baru sahaja minta putus dengan teman asal saya tadi. Jadi, saya tak nak dia jadi teman saya malam ini. Nanti jadi awkward, awak faham bukan?" jelas Syafiq sambil tersenyum manis.
"Saya boleh saja jadi teman tuan, tapi baju yang saya pilih untuk ke majlis malam ni baju murah saja, mana padan dengan baju tuan nanti."
"Itu yang awak risaukan?" tanya Syafiq sambil tertawa.
Amelia hanya mengangguk. Melihat respon Amelia, semakin kuat tawa Syafiq.
"Tentang pakaian awak malam ini, jangan risau. Apa yang awak pakai dari hujung rambut sampai hujung kaki malam ini saya taja. Hari ini saya bagi pelepasan setengah hari bukan? Pukul 1 petang nanti, awak tunggu saya di lobi."
"Baiklah kalau begitu. Ada apa-apa lagikah tuan?"
"Tak ada apa-apa. Awak boleh sambung kerja awak," jawab Syafiq.
"Terima kasih, tuan."
Amelia bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya tadi lalu berjalan keluar dari bilik Syafiq. Syafiq hanya memerhatikan pemergian Amelia sambil tersenyum.
* * * * *
"Macam mana Zai? Dapat pujuk Amy tak?" tanya Azam selepas selesai menghirup air teh O ais yang dipesannya.
"Dapat, tapi buat masa ini dia masih sibuk lagi. Nanti bila dia dah lapang sikit, dia beritahu aku balik. Kau tahulah, kerja bahagian pemasaran ini bukannya mudah nak cari masa. Pagi petang siang malam kena kerja, mujurlah boleh claim OT tau?" jawab Zaidah yang sedang mengasingkan cili api daripada nasi gorengnya. Bukannya dia tak sukakan kepedasan, namun dia tidak lagi boleh makan cili api selepas pembedahan pembuangan apendiks yang dijalaninya tahun lepas.
"Legalah aku dengar. Aku bukan apa, aku tak nak orang lain rembat Amy sebelum aku cuba nasib. Aku dah lama sukakan dia. Kau ini Zai, dah tahu tak boleh makan cili api, kenapa kau pergi pesan nasi goreng kampung?"
"Aku tak boleh hiduplah tanpa cili dalam hidup aku, Zam. Cili api dengan aku dah sebati bersama. Sedih tau aku bila dapat tahu aku dah tak boleh makan cili api lagi," jawab Zaidah sambil menayangkan wajah sedihnya.
"Banyaklah alasan kau. Nanti kalau dah sakit, kau ingat insurans pejabat kau boleh cover semua perbelanjaan ke?"
Mendengar jawapan Azam, Zaidah hanya menyeringai membuatkan Azam mulai geram dengan rakan baiknya itu.
"Oh ya, mana si Ruzaini pergi? Dia tak takutkah tinggalkan awek dia dengan aku ni?" tanya Azam tiba-tiba.
"Dia kata dia pergi beli rokok kat 7E depan sana. Agaknya hisap sebatang dululah itu. 3 meter kan sekarang," jawab Zaidah sambil tertawa.
"Nasib baiklah aku dah taubat merokok. Kalau tak, tinggal seoranglah kau makan kat sini."
Mendengar kenyataan Azam, keduanya tertawa. Tawa mereka membuatkan seorang lelaki yang baru saja tiba di meja mereka memandang mereka dengan perasaan hairan.
"Oh, kutuk akulah tu kan?" tanya Ruzaini, lelaki yang baru tiba dan memilih untuk duduk di sebelah Zaidah itu.
"Yalah, nak kutuk siapa lagi bro! Kau orang ini, aku rasa dah hampir sepuluh tahun kau orang berkawan, bila nak upgrade status ini?" tanya Azam setelah menjawab soalan Ruzaini tadi.
"In shaa Allah, Zam. Kalau ada jodoh, mesti aku panggil kau jadi pengapit aku. Kalau tak kerana awek aku ini, kita tak bertemu semula kan? Selepas kau masuk sekolah teknik, aku langsung tak dapat cari kau lagi."
"Itulah, aku pun tak tahu si Zai ini rupanya awek yang aku tolong kau ngoratkan dulu. Yalah, dulukan tak pakai tudung, sekarang dah ayu jelita, mana aku nak cam," jawab Azam sambil tertawa.
"Ewah, ewah, sakan kau orang mengata aku kan?" sampuk Zaidah sambil mencebik mukanya.
"Eh, makcik! Aku puji kau, kau kata aku mengata kau. Tak reti beza dah ke?" jelas Azam sambil tersenyum sinis.
Mendengar jawapan Azam, mereka bertiga pun tertawa.
* * * * *
"Terima kasih sebab jadi teman saya malam ini. Terkejut ahli keluarga saya bila saya datang dengan awak, Diyana. Barangkali mereka ingat awak ini bakal isteri saya agaknya," ujar Syafiq sambil ke arah Amelia yang duduk di sebelahnya.
Syafiq dapat melihat keresahan Amelia. Dia sama sekali tidak menyangka kehadirannya bersama Amelia ke majlis anugerah tadi disambut baik ibu bapanya. Kedua mereka sepertinya amat menyukai Amelia. Bukan ibu bapanya sahaja, malah abang dan kakak iparnya juga amat menyenangi peribadi Amelia.
Dia tahu Amelia tak pernah punya perasaan terhadapnya. Dia cuma mahukan seseorang untuk menemaninya sebagai gantian Deena, tetapi niatnya disalah ertikan oleh keluarganya. Dia tak tahu apa yang keluarga katakan kepada Amelia sehinggakan wanita itu merasa terbeban begini.
"Saya minta maaf kalau ahli keluarga saya membuatkan awak tak selesa. Mereka memang peramah," jelas Syafiq.
"Tak, keluarga tuan baik sangat. Cuma, harapan mereka membuatkan saya berasa serba salah," jawab Amelia, akhirnya meluahkan keresahan jiwanya.
"Tak apa, saya akan jelaskan perkara sebenar pada mereka. Saya harap perkara takkan menjejaskan hubungan kita sebagai rakan sekerja."
"Jangan risau, tuan. Saya tahu tempat saya."
"Oh ya, apakah perasaan awak kali pertama menghadiri majlis makan malam? Siap dapat anugerah lagi! Tahniah Diyana, awak memang layak."
"Terima kasih, tuan. Majlis ini sangat meriah, seronok sangat. Kali pertama saya hadir, tapi meja saya kat depan sekali," seloroh Amelia.
"Itu sebagai ganjaran sebab bertahan dengan kerenah saya semasa saya mengajar awak dulu."
"Oh ya, boleh saya tanya kenapa tuan berhenti kerja dulu?" tanya Amelia, ingin tahu.
"Betulkah awak nak tahu?" tanya Syafiq, inginkan kepastian.
"Kalau saya tak nak tahu, saya tak tanya tuan."
"Tapi awak boleh terimakah jawapannya nanti? Saya lebih bimbangkan itu," jawab Syafiq, bersahaja.
"Kenapa pula?"
"Saya tak nak awak simpan apa-apa perasaan bersalah pada saya kalau saya beritahu jawapannya."
"Beritahu sajalah, tuan."
"Saya berhenti sebab awak."
"Apa dia?" tanya Amelia, terkejut dengan jawapan yang didengarinya.
No comments:
Post a Comment