Thursday, September 14, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 3...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 3: Kau Milikku

Lama Ayra mendiamkan diri, membiarkan soalan Hafizal tidak berjawab. Bukan dia tak mahu menjawab, tetapi apabila dia mengenangkan nasibnya, dia mula dihantui rasa bersalah.

"Kenapa dengan kau ini? Aku tanya dari tadi tak berjawab. Kau rasa tak mungkin aku yang beli kau, begitu?" tanya Hafizal lagi, selepas dia melihat Ayra tidak menjawab soalannya sedari tadi.

"Ya, saya memang tak sangka Encik Hafizal yang beli saya," jawab Ayra, jujur.

"Baiklah, aku nak mulakan dengan 'Encik Hafizal' itu. Mulai saat ini, aku tak benarkan kau panggil aku Encik Hafizal lagi. Kau kena panggil aku Tuan," arah Hafizal, sambil tersenyum sinis.

"Kenapa tuan?" tanya Ayra, lembut. Dia sedar hidupnya kini tidak lagi mengizinkannya untuk dia melayan lelaki di hadapannya seperti dulu.

"Supaya kau tak pernah lupa yang kau milik aku," jawab Hafizal, selamba.

"Tapi, takkan di pejabat pun?" tanya Ayra lagi.

"Aku ada kata apa-apa tentang kerja kau ke?" duga Hafizal.

Ayra hanya menggeleng, tapi dalam hatinya sebal dengan lagak Hafizal yang tak sudah itu.

"Bagi menjawab soalan kau, ya. Kau harus memanggil aku dengan gelaran itu sehingga aku mengizinkan kau memanggil aku dengan nama lain. Tentang kerja kau, kau masih boleh bekerja di syarikat aku seperti biasa, tetapi kau tak boleh memegang jawatan yang kau pegang sekarang."

"Maksud en.. tuan?"

"Aku akan pindahkan kau jadi Pembantu Peribadi aku, gaji kau aku naikkan kepada RM4500, tapi dalam masa yang sama kau akan jadi pemandu aku sehingga aku suruh kau berhenti. Selepas waktu kerja, kau akan jadi orang gaji tak berbayar aku untuk ganti balik duit yang aku dah keluarkan untuk beli kau dulu," terang Hafizal lagi.

"Aku buat macam-macam untuk mengelak daripada dia ini, akhirnya melekat juga sampai lepas waktu kerja," ngomel Ayra, geram.

Hafizal melihat wajah Ayra yang berkerut itu. Dia tahu gadis itu geram dengan apa yang dilakukannya. Namun, semuanya bersebab. Tidak kiralah apa yang sudah, sedang dan bakal dia lakukan ini.

"Selepas waktu kerja? Maksudnya saya..."

"Ya, kau kena tinggal di sini mulai saat ini. Kau kena layan aku 24 jam sehari, 7 hari seminggu, melainkan kalau aku izinkan kau untuk berehat. Kau nak ke mana-mana, hanya dengan izin aku," potong Hafizal sebelum sempat Ayra menghabiskan ayatnya.

Melopong Ayra mendengar jawapan Hafizal itu. Apakah lelaki di hadapannya ini sudah dirasuk syaitan ataupun gila?

"Kau ingat aku ini gila ke apa?" tanya Hafizal.

Alangkah terkejutnya Ayra mendengar soalan Hafizal itu tadi. Bagaimana pula dia tahu itu yang difikirkannya? Namun begitu, dia hanya mampu menggelengkan kepalanya.

"Buat sementara waktu ini, aku takkan tinggal disini. Namun, ini bukan peluang kau untuk melarikan diri. Aku dah arahkan pengawal peribadi aku untuk jaga kau. Aku takkan teragak-agak untuk kurung kau dalam rumah ini kalau kau berdegil."

"Habis itu, tuan duduk di mana?"

"Aku ada rumah lain. Tak lama lagi kau akan berpindah ke sana, kerana aku akan menikahi kau untuk memudahkan aku memastikan kau ada di sisi aku."

"Nikah? Tuan ingat nikah kahwin ini boleh dibuat main ke?"

"Aku tak main-main, kau tengok muka aku ini, ada gaya orang main-main tak?"

Ayra hanya menggelengkan kepala bagi menjawab soalan Hafizal.

"Kau bukannya ada pilihan, melainkan kau sanggup nak bayar balik RM5 juta itu," sindir Hafizal.

Ayra mengetap bibir. Senang betul orang kaya ini bercakap! Namun begitu, Ayra masih lagi bersyukur Hafizal masih memikirkan tentang harga dirinya.

"Betul juga cakap tuan itu. Saya bukannya ada pilihan, bukan? Saya setuju, asalkan kita tak bersedudukan tanpa ikatan pernikahan."

"Bagus. Hujung minggu ini kita pergi kursus kahwin. Kalau semuanya selesai, minggu depan kita nikah. Akan tetapi, aku masih ada beberapa syarat untuk pernikahan kita."

"Apa dia, tuan?"

"Pertama, aku nak kau rahsiakan pernikahan kita. Kedua, kau tidak boleh menuntut sebarang hak sebagai seorang isteri, melainkan aku yang berikan atau aku izinkan kau memintanya. Ketiga, kau sama sekali tidak boleh menolak sebarang permintaan aku, aku hanya mahu dengar 'ya' atau 'okay' sahaja sebagai jawapan."

Tidak berkedip mata Ayra memandang Hafizal, rasa seperti kisah hidupnya bakal menjadi seperti dalam novel cinta.

"Apa yang kau tenung itu? Keempat, kau tidak boleh merenung ke dalam mata aku atau memandang wajah aku. Kalau kau jumpa aku, aku nak kau tunduk melainkan aku suruh kau pandang muka aku ini."

Ayra mengangguk, lemah. Banyak pula syaratnya, tambah dengan tiga syarat yang mula-mula didengari sebaik sahaja dia sedar lagi!

"Kelima, kau tidak boleh menunjukkan sebarang reaksi apabila bercakap dengan aku, walaupun gembira. Seolah-olah kau tiada perasaan. Terakhir sekali, kau sama sekali tidak boleh meminta cerai."

"Berapa lama kita kena berkahwin?" tanya Ayra, hairan dengan syarat terakhir Hafizal.

"Sampai bila-bila."

Ayra terbungkam. Bagaimana dia hendak hidup dengan insan yang paling dibencinya itu? Dia sama sekali tidak pernah menyangka bahawa lelaki di hadapannya ini bakal menjadi suaminya. Walaupun mereka kahwin terpaksa, namun tiada istilah kahwin kontrak antara mereka.

     *      *      *      *      *

"Ayra, mana kau pergi dua hari hilang?" tanya seorang gadis yang tiba-tiba berdiri di hadapan meja kerja Ayra sebaik sahaja Ayra tiba di pejabat pagi itu.

"Aku ada hal kecemasan, Erni. Minta maaflah kalau kau kena cover aku pula," ujar Ayra sambil memegang bahu Erni.

"Eh, tak ada apa-apalah! Lagipun semasa kau tiada, Encik Hafizal tak cari kau pun. Sekejap, kau nak ke mana ini kemas barang atas meja kau ini?"tanya Erni setelah dia melihat Ayra mengemaskan barang-barang di atas mejanya ke dalam sebuah kotak kecil yang dia bawa dari rumah tadi. Sudahlah malam sebelumnya dia sudah terbungkam setelah masuk ke dalam bilik tidur yang Hafizal sediakan kerana barangan peribadi sudahpun tiba sebelumnya.

"Aku tahu sebentar lagi aku akan dipindahkan ke bahagian lain. Aku tengah tunggu surat daripada HR sahaja ni."

"Kau ini peliklah. Mana ada orang tahu dia bakal dipindahkan lebih awal?"

"Aku tahu. Aku dah dapat arahan malam semalam."

"Pindah ke mana?" tanya Erni, ingin tahu.

Belum sempat Ayra menjawab, ada seorang lelaki berhenti di sebelah Erni lalu menghulurkan sekeping sampul kepada Ayra.

"Tahniah Ayra, awak dinaikkan pangkat untuk menjadi pembantu peribadi Encik Hafizal. Semoga awak dapat menjalankan amanah ini dengan baik," ujar lelaki itu selepas Ayra menyambut sampul tersebut.

"Terima kasih, Encik Selamat. In shaa Allah, saya akan lakukan yang terbaik," jawab Ayra, sambil tersenyum. Tiada riak terkejut di wajah Ayra memandangkan dia telah mengetahui rancangan Hafizal itu.

"Baiklah kalau begitu. Encik Hafizal arahkan awak untuk ada di dalam biliknya lagi lima minit," arah Selamat sebelum berlalu pergi.

"Lima minit. Baiklah, saya pergi sekarang. Erni, nanti kita borak lain," jawab Ayra sebelum berlari menuju ke arah lif bersama kotak yang berisi barangan peribadinya itu.

Pejabat Hafizal terletak di tingkat 8 manakala pejabat lama Ayra terletak di tingkat 3. Jadi, dia tak mungkin akan tiba dalam masa lima minit sekiranya dia perlu menaiki tangga.

Setelah bertarung dengan masa, akhirnya Ayra tiba di hadapan bilik pejabat Hafizal. Dia meletakkan kotak yang dijinjingnya itu di atas meja kosong yang terletak di hadapan bilik tersebut sebelum mengetuk pintu bilik majikan barunya itu.

"Masuk!" suara itu membuatkan Ayra membuka pintu bilik itu perlahan-lahan.

Ayra melihat Hafizal sedang khusyuk membaca laporan projek ketika dia masuk ke dalam bilik itu. Dia menutup pintu bilik itu lalu berdiri di sebelah kanan meja Hafizal, menantikan arahan pertama lelaki itu di tempat kerja.

"Lima minit dan satu saat. Awak lewat," ujar Hafizal, tiba-tiba.

Lewat satu saat? Ayra tercengang.

"Satu saat pun kira?" tanya Ayra, dengan suara yang sedikit bergetar.

"Kalau orang lain, saya tak kira tetapi awak, ya. I don't want you to be late for even one second!" terjah Hafizal, dengan suara yang agak keras.

"Tuan kira sejak bila?" tanya Ayra, hairan.

"Sejak Encik Selamat beritahu awak untuk ada di sini dalam masa lima minit. No more question, nampaknya saya kena ajar awak ini supaya menepati masa," ujar Hafizal dengan riak wajah yang penuh helah.

"Maafkan saya, tuan. Berikan kelonggaran kali ini sahaja, selepas ini saya akan buat yang terbaik," rayu Ayra, bersungguh.

"Sejak bila Ayra Melissa tahu minta maaf dengan saya? Hairan," sindir Hafizal, bersahaja.

Ayra mengetap bibirnya tanda geram.

"No expression, Ayra!" Hafizal memberikan amaran apabila dia melihat tindakan Ayra itu.

Mendengar amaran Hafizal, terus sahaja Ayra mengembalikan wajah asalnya. Takut dia jikalau Hafizal menghukumnya seperti pagi tadi di mana dia tidak dibenarkan untuk bangun dari kerusi makan selagi Hafizal tidak habis bersarapan gara-gara dia menyenduk bihun goreng yang dimasaknya pagi tadi dengan kasar. Malah, dia juga tidak dibenarkan untuk bersarapan, hanya minum milo sahaja dibenarkan.

"Bagi menjawab soalan tuan tadi, sejak tuan beli saya."

"Kalau saya tidak beli awak, awak takkan berbaik dengan saya. Begitu?"

Ayra mengangguk lemah.

Hafizal tersenyum melihat respon Ayra. Geli hatinya melihat kejujuran gadis itu.

"Disebabkan awak minta maaf dengan saya dan jujur dengan saya tadi, saya izinkan awak pergi sarapan di kafe bawah. Ini duitnya, tapi jangan cuba lari sebab saya sentiasa ada mata-mata yang memerhatikan awak," ujar Hafizal lalu menyerahkan sekeping not RM50 kepada Ayra.

Hafizal tahu Ayra tak punya wang kerana dompet Ayra yang dipulangkan semalam hanya mempunyai kad pengenalannya dan kad-kad keahlian sahaja. Kad bank miliknya pula telah dipatahkan.

"Banyak ini, tuan tak ada duit kecil ke?" tanya Ayra sambil memegang not RM50 tersebut.

"Bakinya awak simpan untuk kegunaan masa depan. Saya tahu awak tak ada duit," ujar Hafizal.

Ayra semakin tercengang melihat tingkah laku Hafizal itu. Sama sekali berbeza dengan Hafizal yang dikenalinya sebelum ini. Mungkin ini sisi Megat Hafizal yang lain barangkali.

"Terima kasih, tuan. Saya pergi dulu," jawab Ayra lalu berpusing untuk beredar.

"Awak nak ke mana itu? Saya belum habis cakap lagi," jerkah Hafizal apabila dia melihat Ayra ingin beredar.

"Maaf, tuan. Ada apa-apa lagi?" tanya Ayra selepas berpaling semula menghadap Hafizal.

"Saya bagi awak setengah jam daripada saat awak tutup pintu bilik saya. Faham?"

Ayra mengangguk.

"Lagi satu, kita akan bernikah esok pagi. Pakcik awak dah tanda tangan surat pemindahan kuasa wali kepada wali hakim kerana dia tak sihat. Dia kirim salam dan ucapkan selamat pengantin baru pada kita."

"Apa dia?" tanya Ayra, tercengang dengan kenyataan Hafizal.

*BERSAMBUNG* 

Wednesday, September 13, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 2...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 2: Perubahan Hidup Hafizal

Pagi itu, Hafizal datang lebih awal daripada pekerjanya. Ketika Hafizal tiba di pejabat, tiada siapapun yang berada di tingkat tersebut. Hajatnya tiba ke pejabat awal adalah untuk mengganggu ketenteraman pekerja kesayangannya. Penolong pengurus pentadbiran syarikatnya itu telah ditugaskan untuk menggantikan tempat pembantu peribadinya yang berhenti minggu lepas akibat mengikut suaminya berpindah.

Namun, dia mulai gusar apabila dia mendapati wanita itu masih belum masuk selepas jam 10 pagi. Dia mencapai telefon bimbitnya lalu dihubunginya wanita tersebut berkali-kali, namun gagal. Dia amat mengenali wanita itu. Seteruk manapun wanita itu membencinya gara-gara sikapnya yang kuat memerintah itu, namun dia pasti akan dimaklumkan jika wanita itu tidak dapat hadir ke pejabat.

Selepas lama dia berfikir, akhirnya dia menelefon pengawal peribadinya.

"Hello, Bos! Kenapa bos hubungi saya ni?"tanya pengawal peribadinya itu, sebaik sahaja dia menjawab panggilan tersebut.

"Hello, Fred. Aku nak kau cari seseorang untuk aku, budak ini hilangkan diri tanpa notis. Sekejap lagi aku hantar gambar dan maklumat peribadinya,"arah Hafizal, serius.

"Boleh, lelaki atau perempuan?"

"Kenapa kena tahu jantina pula?"

"Kalau perempuan, saya kena luaskan kuasa pencarian. Almaklumlah, perempuan ini selalu jadi mangsa culiklah, rogollah, ragutlah, macam-macamlah."

"Perempuan. Aku nak kau dapatkan maklumat hari ini juga!"

"Baik, bos! Roger and out,"jawab Fred sebelum dia memutuskan panggilan tersebut. Hanya Fred sahaja yang dapat membantunya.

Hafizal meletakkan semula telefon bimbitnya lalu memulakan kerjanya yang tergendala akibat wanita kesayangannya itu.

     *     *     *     *     *

"Kau biar betul, Izal! Kau dah tersuka pekerja kau sendiri?" tanya lelaki yang duduk di hadapan Hafizal.

Hafizal memandang sekelilingnya, mujurlah tiada siapa yang memandang ke arahnya. Dalam hatinya dia hanya mampu menyumpah seranah kawan baiknya itu.

"Yalah, tapi masalahnya Naz, minah itu garang sangat! Asal aku nak berbaik saja, dia makinya aku balik. Memang keluarlah perangai singa aku kat dia!" ujar Hafizal, bengang dengan kenyataan Nazrin tadi.

"Dia memang begitulah, kasar. Aku sendiripun pernah terkena dengan dia. Boleh dia marahkan aku sebab aku lewat hantar borang tuntutan perjalanan," ujar Nazrin.

"Kau kena maki, aku tak terkejut sebab kau itu Pengurus Operasi. Aku ini CEO pun kena maki dengan dia! Dia itu setakat penolong pengurus sahaja tahu?" bebel Hafizal.

"Eleh kau, kena maki pun yang itu juga yang kau suka! Kau memang suka perkara-perkara yang unik begini, betul tak Kay?"sindir Nazrin lalu memohon sokongan kawan baik mereka, Khairul.

Khairul tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum sinis.

Tiba-tiba, telefon bimbit Hafizal berdering. Hafizal menjawab panggilan yang ditunggunya itu.

"Bos, saya dah jumpa perempuan itu. Dia diculik oleh geng 888 dan dalam masa dua jam lagi, dia akan dilelong,"ujar Fred, di hujung talian.

"Apa? Lelong? Kau biar betul, Fred!" jerkah Hafizal, tidak percaya. Nazrin dan Khairul juga mula memasang telinga setelah mendengar jerita Hafizal itu.

"Ya, bos. Saya masih lagi tak pasti kenapa dia harus dilelong kerana saya tak jumpa apa-apa maklumat tentang dirinya yang membolehkannya terbabit dengan 'along'."

"Aku nak kau buat tiga perkara untuk aku. Aku nak kau beli dia dan bawa dia balik ke kondominium aku. Seterusnya, aku nak kau siasat bagaimana dia boleh terjebak dengan kumpulan gengster ini. Lagi satu, aku nak kau kumpulkan bukti-bukti yang menunjukkan geng ini melakukan pemerdagangan manusia dan hantarkan pada pihak polis."

"Baik, bos. Saya akan maklumkan kepada bos selepas saya selesai membelinya nanti. Roger and out," ujar Fred sebelum memutuskan talian.

"Siapa yang kena lelong, Izal?" tanya Khairul, tiba-tiba.

"Budak bertuah itulah! Aduhai, sehari tak menyusahkan aku tak sah!" ngomel Hafizal, walaupun jauh di benak hatinya rasa bimbang mula mengulit.

"Kau serius nak beli dia? Beli manusia ini bukan macam beli ikan, harga mahu makan juta beb!" ujar Nazrin pula.

"Habis itu, kau nak dia jadi pelacur? Atau dia dibunuh dan dijual organnya? Kau nak tanggung ke?" tanya Hafizal pula.

Soalan Hafizal membuatkan Nazrin dan Khairul terdiam kerana mereka berdua tahu hujah Hafizal ada benarnya. Mereka berdua sudah mengenali Hafizal sejak zaman mereka di universiti lagi. Masakan mereka tidak masak dengan perangai Hafizal yang suka bersusah untuk orang-orang yang penting dalam hidupnya. Ternyata begitu pentingnya wanita tersebut dalam hidup Hafizal.

     *     *     *     *     *

"Hello, you must be Mr. H. I am Harry, the manager of this gang," Harry memperkenalkan dirinya setelah dia menjemput Hafizal duduk di atas sofa berhadapan dengannya.

"Well, hello Harry! You know what, I am impressed to see your bidding item, so impressed until I just can't stop bidding until it was sold to me!" ujar Hafizal, lalu ketawa.

"Bercakap tentang itu, saya dah terima duit yang encik pindahkan ke dalam akaun saya. Jadi, ini dokumen penerimaan. Saya nak encik tanda tangan di sini," terang Harry sambil menunjukkan ke bahagian bawah kertas yang dia letakkan di hadapan Hafizal.

"I want to see her first," ujar Hafizal selepas dia menyilangkan kakinya dan memeluk tubuh.

"Sabar, dia sedang tukar pakaian. Sekejap lagi dia sampai," jawab Harry.

"Kalau begitu, saya tunggu," jawab Hafizal, bersahaja.

Tidak lama selepas itu, Hafizal dapat melihat seorang lelaki yang sedang mencempung seorang wanita menuju ke arahnya. Paling mengejutkannya, wanita itu tidak bertudung sepertimana yang dikenalinya malah hanya memakai gaun panjang tanpa lengan yang berwarna putih.

Wanita itu diletakkan di atas lantai tidak jauh dari tempat dia duduk. Hafizal memerhatikan wanita tersebut. Benar, dia adalah wanita yang dia cari. Namun, perasaan hairan menyelubungi melihat keadaan wanita tersebut yang sangat tidak terurus.

"Tak sia-sia saya bayar dia dengan harga RM5 juta, memang dia ada ciri-ciri wanita yang saya inginkan," komennya bagi meyakinkan Harry tentang pilihannya membeli wanita tersebut.

Wanita itu kelihatannya seperti memandangnya, namun kerutan di dahinya menunjukkan seperti mata wanita tersebut tidak dapat melihatnya dengan jelas. Jadi, dia perlu mencari helah supaya wanita itu tidak mengetahui identitinya buat masa sekarang.

Hafizal memberikan isyarat kepada Harry supaya mendekatkan diri dengannya. Harry menurut.

"Tolong tutupkan mata perempuan ini," pinta Hafizal.

Mendengar permintaan Hafizal, Harry memberikan isyarat kepada Ery supaya menutup mata wanita itu. Setelah berpuas hati, barulah Hafizal menanda tangani dokumen yang diletakkan di hadapannya sedari tadi.

Selepas itu, dia menuju ke arah wanita tersebut lalu memegang seluruh badannya kecuali bahagian sulit bagi melihat kalau-kalau ada kecederaan pada wanita tersebut. Ternyata badannya tiada kesan kecederaan, kecuali pada pergelangan tangan dan kaki yang digari itu.

"Badannya cantik. Baiklah, saya puas hati. Boleh saya bawa dia balik?" tanya Hafizal sambil tersenyum lebar.

"Boleh, Encik H. Saya akan minta Ery bawakan dia masuk ke dalam kereta," jawab Harry sebelum memberikan isyarat kepada Ery.

Ery mengambil pita pelekat lalu menekup mulut wanita itu sebelum dia mencempung wanita itu dan mengikuti langkah Hafizal yang sudah keluar menuju ke kereta Volkswagen Vento miliknya.

Hafizal membuka bonet keretanya dan mengisyaratkan kepada Ery supaya meletakkan wanita tersebut di dalam bonet itu. Ery hanya mengikut arahan Hafizal dan selepas itu, Hafizal bertindak menutup pintu bonet tersebut.

"Terima kasih, Ery. Saya gerak dulu," ujar Hafizal lalu menuju ke pintu sebelah pemandu. Dia terdengar bunyi dari bonet kereta, namun tidak diendahkan.

Hafizal masuk ke dalam kereta dan menghidup enjin kereta tersebut sebelum meluncur pergi.

Sedang dia memandu, dia menghubungi Fred bagi memberikan arahan selanjutnya.

"Hello, bos! Dah keluar dari situkah?" tanya Fred, berbasa-basi.

"Sudah, dapat footage itu?" tanya Hafizal pula.

"Sudah, bos. Sekejap lagi saya akan uruskan tentang itu. Jangan risau."

"Lagi satu, aku nak kau uruskan sesuatu untuk aku. Aku nak kau cari waris perempuan ini, sebab setahu aku dia masih ada seorang pakcik di Kedah. Aku nak jumpa dia untuk uruskan pernikahan aku dengan perempuan ini."

"Bos serius nak bernikah dengannya? Saya sangkakan bos nak simpan dia saja?"

"Aku bukan jenis manusia yang tak ada iman! Sesedap rasa kau saja tuduh aku begitu, Fred. Aku potong gaji kau nanti."

"Maaf, bos. Saya akan uruskan. Ada lagi?"

"Aku nak kau hantar orang untuk jaga perempuan ini di kondominium aku 24jam, sampai aku bernikah dengan dia. Esok, aku nak kau teman aku tempah gelang dengan cincin kahwin."

"Kenapa ada gelang sekali?"

"Sebab aku nak letak GPS dalam gelang itu. Aku bayar mahal untuk tebus dia, masakan aku nak bagi dia larikan diri pula! Telefon bimbit dia pun aku akan tukar nanti, siap dengan tetapan yang mana aku boleh dapat semua salinan perhubungan keluar masuk dia. Cakap pasal itu, aku nak kau pergi ambil barang-barang dia yang ada di rumah sewa dia sekarang."

"Baik, bos. Nanti saya akan maklumkan perkembangan. Roger and out."

Talian dimatikan. Hafizal meneruskan pemanduannya.

     *      *     *     *     *

Hafizal sedang duduk di atas sofa yang terletak di ruang tamu kondominium miliknya apabila beberapa orang pengawal peribadinya membawa masuk beberapa buah beg berisi barangan peribadi milik wanita yang dibelinya tadi.

"Mana nak letak barang-barang ini, bos?" tanya salah seorang pengawal peribadinya.

"Letakkan dalam bilik tidur bersebelahan bilik aku," arah Hafizal.

Pengawal peribadinya itu mengangguk lalu meneruskan kerjanya mengalihkan barangan tersebut manakala pandangan Hafizal beralih ke arah wanita yang terbaring di atas lantai berhadapan dengannya itu. Lena betul tidurnya sehinggakan suasana riuh di sekelilingnya tidak mampu untuk mengejutkannya. Tambahan pula, Fred sudah membuka rantai yang membelenggu wanita itu dan juga kain dan pita pelekat yang menutupi mata dan mulutnya itu.

"Ayra, bangunlah. Nak tidur sampai bila?" kejut Hafizal, lembut.

Ayra yang masih kaku dalam lenanya, sedikitpun tidak terkesan dengan suara Hafizal itu membuatkan Hafizal hilang sabar.

"Ayra Melissa Mohd Elyas, bangunlah!" jerit Hafizal yang geram melihat Ayra yang masih tertidur itu.

Ayra tersentak lalu bangkit dari tidurnya. Hafizal hanya melihat tindak-tanduk Ayra yang memandang sekeliling dan juga dirinya sendiri, sebelum memandang ke arahnya.

"Tak mungkin," ujar Ayra, dengan riak wajah yang sangat terkejut.

Hafizal tersenyum sinis. Dia tahu sangat apa yang wanita itu fikirkan.

"Apa yang tak mungkinnya, Ayra?" tanya Hafizal.

Ayra tidak menjawab soalannya, sebaliknya hanya mengeluh.

*BERSAMBUNG*

Kau Kunci Hatiku Bahagian 1...

Bahagian 1: Perubahan Hidup Ayra

Cahaya yang terang mengejutkan Ayra daripada lenanya. Lena yang sama sekali tidak direlakannya. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat dirinya berada di dalam sebuah bilik yang agak asing baginya, tambahan pula dengan gari di tangan dan kakinya membuatkan dirinya sukar untuk bergerak.


Dia melihat sekelilingnya, cahaya terang itu datangnya daripada tingkap yang berada di hadapan katilnya. Dia cuba bangun dan berjalan mendekati tingkap tersebut, namun gari di kakinya disambung dengan rantai yang panjangnya hanya lebih kurang semeter dari katil tempat dia tidur tadi, membataskan pergerakannya. Akhirnya, dia kembali duduk di atas katil tersebut.

Dia cuba mengingati apa yang berlaku sehingga dia diperlakukan begini. Apa yang dia dapat ingat, dirinya sedang berjalan di kawasan kedai berhampiran rumahnya apabila tiba-tiba dua orang lelaki berbadan sasa menahannya dengan mengacukan pisau di perutnya. Lelaki yang mengacukan pisau itu meminta dia mengikut mereka andai mahu dirinya selamat.

Dia akur dengan permintaan lelaki tersebut, namun setelah dia dipaksa masuk ke sebuah kereta hitam yang menanti di penghujung blok kedai tersebut, hidung dan mulutnya ditekup dengan tuala yang berbau aneh. Ketika itulah dia mula berasa lemah dan akhirnya pandangannya kelam.

Sedang dia berfikir, pintu bilik tersebut dibuka dari luar. Muncul tiga orang lelaki lengkap berkemeja dan berseluar hitam. Dua daripadanya merupakan lelaki-lelaki yang menahannya tadi, namun lelaki yang di antara mereka berdua dan dirinya masih lagi misteri.

"Cik Ayra Melissa binti Mohd. Elyas?" tanya lelaki misteri itu setelah duduk disebelahnya.

"Bagaimana encik tahu nama saya?" tanya Ayra, sedikit gementar.

Lelaki itu tidak terus menjawab, sebaliknya mula meraba bahu kanan gadis itu. Tindakan lelaki itu membuatkan Ayra mula berasa tidak selesa dan semakin takut.

"Kenal Qatrunnada binti Ruslan?" tanya lelaki itu lagi.

"Kenal, kenapa dengan dia?"

"Dia berhutang dengan saya sebanyak RM50,000 dan meletakkan nama awak sebagai penjamin."

"Apa? Macam mana dia boleh letak nama saya sebagai penjamin tanpa pengetahuan saya?"

Mendengar soalan Ayra, salah seorang lelaki yang berada di belakang menyerahkan beberapa dokumen kepada lelaki yang duduk di sebelahnya itu.

"Ini salinan kad pengenalan awak, bukan?" tanya lelaki itu.

Ayra meneliti kertas yang ditunjukkan di hadapannya itu. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati salinan kad pengenalannya berada di tangan lelaki itu.

"Kenapa saya yang ditahan? Kenapa encik tak cari dia sendiri? Saya tak tahu apa-apapun tentang ini. Lagipun, dia dah pindah keluar dari rumah saya sejak setahun yang lepas dan kami tidak berhubung lagi sejak itu."

"Kalau saya dapat cari dia, saya takkan cari awak. Masalahnya, saya dah cari dia selama setahun tapi tak jumpa. Maka, saya terpaksalah cari awak supaya awak boleh tolong lunaskan hutang dia," terang lelaki itu sambil meraba peha Ayra pula.

"Tolonglah encik, RM50,000 itu bukannya sedikit. Saya tak ada wang sebanyak itu," rayu Ayra dalam sedu-sedan tangisannya.

"Betul awak tak ada duitnya?" tanya lelaki itu semula.

"Betul, encik. Saya hidup sebatang kara. Pada siapa saya nak pinjam duit untuk bayar hutang ini? Jadi, encik tolonglah lepaskan saya. Saya janji saya akan cari Qatrunnada sampai dapat," rayu Ayra lagi.

Mendengar rayuan Ayra, lelaki tersebut menarik rambutnya yang mengurai itu ke belakang. Ayra hanya mampu menjerit dalam kesakitan.

"Kau ingat aku ini bodoh? Ini Harry tahu, belum pernah lagi aku salah dalam menilai orang! Kau ingat aku tak tahu yang kau akan larikan diri selepas aku lepaskan kau?" tanya lelaki itu yang masih lagi menarik rambut Ayra.

"Jangan buat saya begini, encik. Saya janji saya akan cari Qatrunnada sampai dapat untuk encik."

"Tak payah! Buat apa aku lepaskan kau dengan 50-50 jaminan yang aku akan dapat duit aku sedangkan aku boleh jual kau dan dapat duit aku semula beserta tiga atau empat kali ganda nilai bunga?"

"Tolong jangan buat saya begini, encik! Saya merayu sangat," rayu Ayra untuk kesekalian kalinya.

Harry melepaskan rambut Ayra yang ditariknya sedari tadi, lalu bangun dan berjalan meninggalkan Ayra. Ayra hanya mampu menangis kesakitan dan juga mengenangkan nasibnya yang bakal dijual itu.

     *     *     *     *     *

Tindakan salah seorang lelaki yang menahannya ke sini mencampakkan sesuatu ke muka Ayra telah membangunkannya dari tidur. Dia mengangkat benda yang menutupinya wajahnya itu, benda itu adalah sehelai gaun panjang berwarna putih.

"Aku akan bukakan gari di tangan kau, aku nak kau salin baju kau kepada yang ini! Pembeli kau dah tunggu nak bawa kau dari sini!" arah lelaki itu lalu membukakan gari yang membelenggu tangan Ayra.

"Pembeli? Maksudnya aku dah dijual? Ya Allah, Kau selamatkan maruahku dan diriku," doa Ayra, dalam hatinya.

Ayra terus menukarkan pakaiannya setelah gari tangannya dibuka. Setelah selesai, lelaki itu menggari tangannya semula lalu dibukakan pula mangga yang mencangkuk rantai yang disambung pada gari di kakinya. Rantai tersebut dicangkuk pula di gari tangannya lalu dikunci dengan mangga yang dibuka tadi. Selepas itu, Ayra dicempung keluar dari bilik tersebut dan menuju ke ruang hadapan bangunan itu, di mana Harry dan seorang lagi lelaki sedang menunggu.

Ayra diletakkan di atas lantai. Akibat dicempung, kepalanya berasa sedikit pening.

"Tak sia-sia saya bayar dia dengan harga RM5 juta, memang dia ada ciri-ciri wanita yang saya inginkan," komen lelaki yang bersama Harry itu setelah dia melihat 'hasil pembeliannya'.

Ayra mula berasa hairan. Entah mengapa dia merasakan suara lelaki itu sering kali didengarinya sebelum ini. Dia cuba memandang ke arah lelaki tersebut, namun belum sempat dia dapat melihat wajah si pembeli dirinya itu, matanya sudahpun ditutup dengan kain.

Meskipun matanya telah ditutupkan, namun dia dapat merasakan ada tangan yang meraba seluruh badannya, kecuali bahagian sulitnya.

"Badannya cantik. Baiklah, saya puas hati. Boleh saya bawa dia balik?" tanya lelaki yang telah membeli Ayra itu tadi.

"Boleh, Encik H. Saya akan minta Ery bawakan dia masuk ke dalam kereta," ujar Harry.

Ayra hanya memilih untuk mendiamkan diri memandangkan dia masih lagi tidak tahu apakah nasibnya selepas ini. Namun begitu, tak lama selepas itu, mulutnya dilekatkan dengan pita pelekat bagi menghalangnya daripada bersuara. Selepas itu, dia dapat merasakan yang dirinya dicempung sekali lagi sebelum diletakkan di dalam sesuatu seperti peti.

Ayra cuma mencari petunjuk bagi mengetahui di mana dia diletakkan dengan menendang apa saja yang berdekatan dengannya. Ada bunyi seperti dinding besi di sekelilingnya. Akan tetapi, bunyi enjin kereta yang sangat jelas membuatkan Ayra pasti yang diletakkan di dalam bonet kereta lelaki itu.

     *     *     *     *     *

"Ayra Melissa Mohd Elyas, bangunlah!" jeritan itu mengejutkan Ayra yang tertidur selepas puas menangis di dalam bonet kereta itu tadi.

Ayra bingkas bangun. Dia melihat sekeliling, kelihatannya seperti dia berada di dalam sebuah apartment atau kondominium. Selepas puas melihat sekeliling, dia melihat dirinya pula.

Ayra dapat melihat dirinya masih lagi berbaju gaun panjang yang diberikan oleh Ery tadi. Namun begitu, perbezaan pada dirinya ialah dirinya sudah tidak lagi digari dan dirantai. Mulutnya juga tiada pita pelekat yang dilekatkan. Namun begitu, dia masih lagi belum tahu siapakah yang telah membelinya dirinya dengan harga RM5 juta itu.

Untuk memuaskan rasa ingin tahunya, dia memandang ke arah lelaki yang sedang duduk di atas sofa berhadapannya itu. Alangkah terkejutnya dia melihat lelaki yang amat dikenalinya itu.

"Tak mungkin," ujar Ayra yang masih lagi terkejut.

"Apa yang tak mungkinnya, Ayra?" tanya lelaki itu sambil memandang sinis kepada Ayra.

Ayra tidak menjawab soalan lelaki itu, sebaliknya hanya mengeluh.

*BERSAMBUNG*

Tuesday, January 31, 2017

Selingkar Kasih

"Hello, BumiMas Holdings. I am Dania, how can I assist you?" lemah gemalai suara Dania menuturkan ayat keramat itu. Kerjaya sebagai penyambut tetamu membuatkan dirinya menuturkan ayat tersebut hampir seratus kali sehari dan kerana itulah, lidah itu seakan sudah biasa menuturkannya.

"Hello Dania, sambungkan saya pada Firdaus," kedengaran suara yang tidak asing lagi bagi Dania. Suara yang digeruni oleh seantero pejabat BumiMas Holdings.

"Sebentar Datuk, saya sambungkan," ucap Dania lalu menyambungkan talian kepada Firdaus Hazim, pengurus kreatif syarikat tersebut.

Baru saja dia menyambung talian Datuk itu tadi, telefonnya berdering lagi. Mujur dia tidak perlu mengangkat gagang telefon kerana dia menggunakan telefon yang sudah mempunyai pembesar dan mikrofon suara seakan-akan fon kepala.

"Hello BumiMas Holdings. I am Dania, how may I assist you?" sesekali akan dia ubah frasa yang digunakan dalam ayat pengenalan dirinya.

"Hello, miss. May I speak to miss Dania Natasha?" kedengaran suara serak basah di hujung talian.

"Speaking. May I know who is this?" Hairan Dania kerana skop kerjaya yang dipegang sejak dua tahun lalu tak memerlukan dirinya dicari sesiapa.

"Boleh berbicara sebentar?"

"Kenalkan diri anda dahulu, dan saya akan timbangkan," jawab Dania, tegas. Dia dapat melihat ada panggilan lain yang masuk membuatkan dirinya diulit resah.

"Saya Hadif, Hadif Imran."

Nama itulah yang sebolehnya tak mahu didengari oleh Dania kerana nama itulah yang mengingatkannya kepada kebodohannya sendiri.

     *     *     *     *     *
"Apa semua ini, Dania? Apa yang awak tulis atas kertas ini?" tanya Hadif, bertubi-tubi sampai menghulurkan sekeping kertas kepada Dania.

Tak perlu Dania ambil kertas itu kerana Dania lebih arif tentang isi kandungan kertas tersebut. Namun begitu, tindakannya yang mendiamkan diri meskipun dilontar dengan soalan-soalan cepumas oleh Hadif membuatkan Hadif bertambah berang.

"Sejak bila perasaan ini hadir?" tanya Hadif lagi.

"Tahun lepas agaknya. Saya tak pasti."

"Kenapa awak beritahu sekarang kalau awak dah simpan selama setahun?"

"Saya tulis surat ini untuk lepaskan perasaan saya. Itu saja, tak perlu tanya saya itu ini lagi. Cuma tolong doakan kebahagiaan saya. Saya akan sentiasa mendoakan kebahagiaan awak. Saya rasa kita tak boleh bersama," ujar Dania lalu berlalu pergi dari situ meninggalkan Hadif yang terkelu di situ.

     *     *     *     *     *
"Dania Natasha? Are you still there?" soalan itu membuatkan lamunan Dania terhenti. Sedarlah dia bahawa dia hampir tenggelam dalam kenangan silam.

"Yes, Hadif. Kenapa awak cari saya sampai ke pejabat? Saya rasa saya tak tukar nombor telefon."

"Oh ya ke. Saya minta maaf andai saya menganggu awak berkerja tapi saya perlu berjumpa awak. Ada hal mustahak untuk saya bincangkan. Bila awak boleh berjumpa saya?"

"Saya rasa saya tak ada perkara yang ingin saya bincangkan dengan awak."

"Tolonglah, saya perlu berbincang dengan awak."

"Dania, awak sibuk ke?" Ada suara lain yang menyapa Dania dari hadapan membuatkan Dania tidak membalas kata-kata Hadif.

Dia memandang empunya suara yang menyapanya tadi. Wajah yang telah mula mencuri hatinya kebelakangan ini. Wajah Azmi hanya dipandang tanpa sebarang jawapan.

"Dania, saya tanya awak ini. Awak sibuk ke?"

"Eh, tak! Ada apa ya, Azmi?"

"Saya nak minta awak poskan surat ini. Penting tau, jangan hilangkan!" ujar Azmi lalu menghulurkan sekeping sampul surat kepada Dania lalu beredar.

Dania tersenyum sendiri. Namun, senyuman itu hilang apabila dia teringat bahawasanya Hadif masih lagi dalam talian.

"Hello, Hadif. Maaf saya ada hal sikit tadi. Baiklah, saya jumpa awak petang ini, selepas waktu kerja di tempat biasa kita jumpa dulu. Apa-apa hal, awak mesej saya saja. Assalamualaikum," ujar Dania lalu memutuskan talian.

Dania termenung sendiri. Dia sangat berharap dapat mengelak diri dari bertemu Hadif kerana dia sama sekali tak mahu mengenang peristiwa lalu.

Hatinya masih tak dapat menerima apa yang dilakukannya tahun lepas. Mana mungkin dia dapat berbaik semula dengan insan yang telah mencuri hatinya dahulu.

Sedang Dania mengelamun, dia sama sekali tak perasan ada yang sedang memerhatikannya.

     *     *     *     *     *
"Ada apa awak nak jumpa saya ini?" tanya Dania, sejurus sahaja dia melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan Hadif.

Soalan Dania membuatkan Hadif terkelu kerana terkejut disergah begitu.

"Saya dah fikir masak-masak. Saya nak terima cinta awak. Maaf andai jawapan saya terlalu lewat."

"Semudah itu, Hadif? Sebegitu mudah awak menzahirkan perasaan awak? Selepas setahun? Pernah awak fikirkan betapa payahnya saya nak melupakan awak dulu?"

"Saya ada sebab kenapa saya tak terima dulu."

"Sebab awak tak sukakan saya dulu, kan?"

"Bukan, sebab saya sakit!"

Dania kaget. Dia sama sekali tak mengetahui tentang ini.

"Apa yang buat awak terima saya sekarang?"

"Saya cuma nak rasa bagaimana menyayangi dan disayangi orang yang ada dalam hati saya sebelum saya tutup mata."

Dania terkesima. Entah mengapa hatinya berbelah bagi dengan kata-kata Hadif.

"Maksud awak Hadif, kita..."

"Kita kahwin."

Dania tak mampu meneruskan kata-katanya lagi. Benar, cinta itu ada tapi mengenangkan ianya bakal menemui tarikh luput, dia mati akal.

"Saya cuma nak habiskan sisa hidup saya dengan orang yang saya cintai selama bertahun-tahun. Saya cuma nak habiskannya dengan awak. Tolong pertimbangkan permintaan saya."

Dania hanya mendiamkan diri. Dia terlalu sebak untuk menyuarakan isi hatinya. Ikut hatinya, mahu saya dia baling semua pinggan mangkuk di hadapannya ini bagi melepaskan geramnya tetapi dia masih lagi mampu untuk berfikiran waras.

"Awak sakit apa?" hanya itu mampu keluar dari mulut gadis sunti itu.

"Leukimia."

"Allahu, begitu berat dugaanmu ya Allah!" detik hati kecil Dania.

Lama dia memilih untuk membisu. Kepalanya ligat berfikir sehinggakan Hadif yang berada di hadapannya hanya dianggap halimunan. Dia harus membuat keputusan yang tepat agar tak ada sesiapa yang menyesal kemudian hari.

Hadif juga tidak bersuara apabila melihat Dania seakan memikirkan seuatu. Dia tak mahu menganggu fokus Dania. Lagipun dia faham pasti Dania berada di dalam dilema kerana usianya yang semakin singkat itu.

"Baiklah, saya terima. Cuma saya harap isu penyakit awak ini tidak ditimbulkan oleh sesiapa kepada keluarga saya. Saya bimbang mereka takkan bersetuju," Dania pasrah. Dia harus mencuba untuk membahagiakan dirinya dan orang yang dicintainya supaya tiada kekesalan untuknya nanti.

"Terima kasih, Dania. Terima kasih banyak-banyak."

Dania tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum nipis.

     *     *     *      *      *
Dua tahun kemudian...

Dania merenung ke luar jendela. Pemandangan di Cherating ini tak pernah mengecewakan. Panorama indah laut dari biliknya di Impiana Cherating Resort membuatkan tempat penginapan menjadi salah satu kegemarannya.

Hari ini genap seminggu Hadif kembali kepada sang Pencipta. Meskipun rumah tangga yang dibina hanyalah sekejap cuma, namun kebahagiaan yang Hadif berikan tak mampu Dania ungkapkan dengan bait kata-kata kerana lingkaran kasih yang dikurniakan Hadif buatnya sangat berharga. Mungkin juga kerana keduanya tahu mereka berdua tak punya banyak masa, maka kesungguhan itu begitu ketara.

Sedang dia mengelamun, pintu biliknya diketuk. Dia berjalan menuju ke arah pintu lalu membukanya. Kelihatan seorang pekerja hotel tersebut berdiri di hadapannya.

"Puan Dania, saya tak pasti sama ada saya sepatutnya sampaikan perkara ini ataupun tidak, tetapi saya telah diamanahkan untuk melakukannya. Sebelum Encik Hadif meninggal dunia, dia ada mengirimkan surat ini kepada pengurus kami dan meminta kami menyerahkan surat ini pada puan apabila puan berkunjung ke sini setelah pemergiannya," ujar pekerja itu sambil menghulurkan sekeping sampul surat berwarna perang kepada Dania.

"Terima kasih," jawab Dania setelah mengambil sampul surat tersebut daripada tangan pekerja tersebut. Tak lama selepas itu, pekerja tersebut berlalu pergi.

Dania duduk di ruang tamu biliknya. Dengan segera dia membuka sampul surat yang dipegangnya sedari tadi. Satu persatu bait yang dikarang arwah suaminya dibacanya perlahan.

Buat sayangku Dania,

Tatkala warkah abang ini berada di dalam pegangan tangan Nia, pastinya jasad dan roh abang sudah tidak bersatu lagi di dunia. Abang mohon sejuta kemaafan kerana terpaksa menggunakan cara ini untuk menzahirkan luahan hati abang yang tak kesampaian kerana lumpuhkan segenap kekuatan yang abang ada.

Pertamanya, abang ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Nia kerana sudi bernikah dengan abang. Walaupun Nia tahu masa depan kita berdua tak berapa cerah, namun kesudian Nia untuk bernikah dengan abang sangat abang hargai. Nia kahwini abang, Nia jaga abang sampai hujung nafas abang, hanya Allah saja yang mampu balas jasa Nia pada abang.

Abang tak mampu nak berikan harta berjuta pada Nia sebagai balasan, harta abang dah habis untuk biayai kos rawatan abang. Abang tahu, abang tak banyak harta, tapi abang sebolehnya tak mahu bebankan Nia dan keluarga abang dengan hutang-piutang abang. Abang dah berbincang dengan mak dan ayah, mereka bersetuju dengan cadangan abang untuk tukar hak milik rumah kita atas nama Nia sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan kita yang sepatutnya kita sambut pada bulan Oktober. Geran rumah yang abang dah pindah milik itu ada dalam sampul itu.

Abang tahu, dalam hati Nia ada orang lain. Nia ada pilihan hati Nia sendiri, tapi Nia masih terima abang walaupun atas dasar simpati. Bila abang dapat tahu, hati abang remuk tapi abang tahu hati abang tak seremuk hati Nia. Nia korbankan peluang Nia untuk bersama si dia demi membantu orang sakit macam abang ini. Kadang-kadang abang tanya diri abang sendiri, cinta itu sepatutnya melambangkan kemegahan dan kebahagiaan seorang manusia tapi cinta abang pada Nia hanyalah lambang kelemahan abang sendiri.

Abang mohon ampun dan maaf andai keputusan abang melamar Nia menjadi isteri abang dulu memberikan seribu penyesalan buat Nia. Abang harap Nia gapai impian Nia, cari kebahagiaan Nia yang mana abang tak boleh nak berikan. Abang tahu Nia pasti akan temui kebahagiaan itu.

Yang tulus mencintai,
Hadif Imran.

Kertas yang pada mulanya kering akhirnya dibasahi air mata Dania. Setelah selesai dibaca, kertas itu dilipat semula lalu diletakkan di atas meja kopi berhampiran sofa tempat Dania duduk ketika itu. Tak mampu menahan sebak, akhirnya Dania meraung sendirian akibat kesedihan yang teramat.

     *     *     *     *     *

Hari itu, setelah hampir lima bulan Dania bercuti, akhirnya wanita itu kembali dengan pertukaran status yang amat ketara. Daripada seorang isteri, menjadi seorang balu. Benar, sedih itu tetap menyelubungi, namun Dania tahu hidup ini tetap perlu diteruskan. Dia harus tabah menghadapi.

"Salam takziah daripada saya," teguran itu membuatkan Dania tergamam. Suara itu suatu ketika dahulu pernah menghuni hatinya. Namun kini dia tidak lagi pasti.

"Terima kasih, Azmi. Apa khabar?" tanya Dania, berbasa-basi.

"Alhamdulillah, masih menanti jodoh yang belum pasti lagi bila akan tiba."

"Memilih sangat barangkali, atau ingin menikmati hidup?"

"Keduanya. Mungkin."

"Masa tak menanti sesiapa, awak tahu bukan?"

"Ya, saya sedar itu tapi sebenarnya hati saya telah lama dicuri."

"Kenapa tak kejar si pencuri hati?"

"Pernah dengar lagu 'Andai' nyanyi Kaer Azami tak?"

"Pernah, kenapa dengan lagu itu?"

"Jawapan soalan awak ada dalam lirik lagu itu. Lirik lagu tersebut seiring dengan coretan hati saya buat sang pencuri hati. Awak kaji lirik lagu itu, dan apabila awak pasti akan jawapan saya, kita boleh sambung perbincangan kita," jawab Azmi lalu beredar dari kaunter depan syarikat tempat mereka bekerja.

     *     *     *      *     *

Malam itu Dania tak boleh melelapkan matanya. Jawapan Azmi siang tadi masih terngiang-ngiang di corong telinganya. Lantas dia bangun dan mencapai telefon pintar jenama Samsung Galaxy S3 yang dimilikinya lalu membuka enjin pencari di dalam aplikasi Google.

Dia mencari lirik lagu yang disebutkan oleh Azmi lalu dibacanya satu persatu:

Tidak pernah ku sesali merindui begini
Masih jelas sehingga kini
Walau tak lagi disisi

Aku mahu dikau tahu ketulusan cintamu
Satu keindahan rasa dikalbu, tersimpan dalam hayatku

Namun hatiku redha
Ketentuan yang Esa
Jodoh bukan milik kita
Untuk melayari cinta

Andai ada waktu
Andai kasih dipertemu
Cinta pasti menunggu
Untuk dia dan aku

Aku perlu menerima
Pasrah dengan segalanya
Biarpun makin lemah denyut jiwa
Melihat kau membawa hati ini bersamanya

Bahagialah kau cinta
Kasih sampai ke syurga
Walau diriku bukanlah pilihan
Kau tetap dijiwaku

Namun hatiku redha
Ketentuan yang Esa
Jodoh bukan milik kita
Untuk melayari cinta

Andai ada waktu
Andai kasih dipertemu
Jodoh pasti menunggu
Untuk dia dan aku

Aku perlu menerima
Pasrah dengan segalanya
Biarpun makin lemah denyut jiwa
Melihat kau membawa hati ini...

Oh Tuhan kuatkanlah hatiku ini
Untuk meniti hari-hari tanpanya disisi
Berikan petunjuk-Mu

Andai ada waktu
Andai kasih dipertemu
Cinta pasti menunggu
Untuk dia dan aku

Aku perlu menerima
Pasrah dengan segalanya
Biarpun makin lemah denyut jiwa
Melihat kau membawa hati ini bersamanya...

Setelah selesai Dania membaca lirik lagu tersebut, fahamlah dia kini apa yang tersurat di hati seorang Azmi. Namun begitu, dia masih tak pasti sama ada ingin membiarkan sahaja topik itu atau memberitahu Azmi tentang penilaiannya.

     *     *     *     *     *

"Dah dapat jawapan saya?" suara itu muncul lagi. Dania yang memilih untuk tidak memanjangkan cerita semalam tidak mengendahkan pertanyaan itu.

"Awak dengar tak soalan saya tadi?" tanyanya lagi. Dania masih lagi berdiam diri.

"Dania Natasha, saya tanya ini. Tak baik biarkan saya tertunggu."

"Awak memang pandai menjerat saya ya? Kenapa nak sangat saya tahu jawapan awak? Saya tak faham."

"Sebab saya pilih awak untuk berkongsi rasa hati saya."

Lama Dania mendiamkan diri. Sehingga Azmi mulai penat menunggu dan berpaling untuk meninggalkan meja Dania.

"Awak cintai orang yang telah berpunya? Namun masih mahu menunggu? Untuk apa?"

"Wah, 3-in-1! Ya, saya mencintai orang yang telah berpunya, sebelum dia berpunya lagi. Saya tidak menunggu, tetapi saya tidak berpaling. Dia terlalu istimewa di mata saya. Saya telah mencuba untuk menerima gadis-gadis lain, namun ada sisi setiap gadis itu yang mengingatkan saya padanya. Lama-kelamaan, saya mengalah. Saya tidak mahu lagi menerima seseorang untuk menutup perasaan saya pada orang lain."

"Dia pasti cantik," jawab Dania, sedikit hampa.

"Dia memang cantik. Setidaknya bagi saya."

"Andai awak rasa begitu, apa lagi yang saya mahu katakan?"

"Andai insan itu adalah awak?"

Dania tergamam. Dia sama sekali tidak menyangka itu akan keluar dari mulut lelaki yang berada di hadapannya.

"Awak mungkin tersalah orang."

"Saya tak tersalah orang. Saya dah berminat dengan awak sejak hari pertama saya menyertai syarikat kita. Mana mungkin saya tersalah penilaian. Saya sendiripun sudah lima tahun bekerja disini."

Dania kehabisan idea untuk menjawab. Dia masih lagi dalam keadaan tergamam akibat pengakuan Azmi.

"Saya tak tahu nak kata apa."

"Saya faham awak baru sahaja kehilangan suami. Tak manis kiranya kalau hati awak terus diganti. Tak apa, saya tunggu."

"Bukan begitu, jumpa saya di Taman Tasik Titiwangsa. Akan saya beritahu jawapan saya."

Azmi tidak menjawab. Hanya mengangguk dan berlalu pergi.

     *     *     *      *      *
"Lama dah tunggu saya? Saya minta maaf sebab tadi Encik Kadir macam susah nak bagi saya balik. Kenapa sampai ke sini? Kenapa tak boleh bincang di pejabat saja?"

"Sebab saya tahu ada mata-mata yang memerhati. Awak ada rupa, ramai wanita di pejabat kita yang tergila-gilakan awak, kenapa awak tak bagi peluang pada mereka?"

"Sebab tak ada siapapun yang mampu mencuri hati saya sebagaimana awak curi hati saya 5 tahun lepas,"jawab Azmi, tenang.

"Kenapa tak berterus terang saja dulu? Saya tunggu awak dulu."

"Tunggu saya? Maksud awak, selama ini awak memang ada hati pada saya?"

"Sebelum saya kahwin, ya. Tapi sekarang, sejujurnya saya tak pasti adakah perasaan itu masih ada."

Azmi terkesima mendengar jawapan Dania itu. Dia sendiripun menyesali tindakannya tidak berterus terang sedari mula.

"Kalau awak masih belum boleh memberikan jawapan, saya sanggup tunggu."

"Kenapa perlu buang masa awak untuk menunggu saya? Awak jangan bunuh peluang awak untuk menemui jodoh semata-mata untuk menunggu seorang balu seperti saya."

"Awak terlalu istimewa buat saya, sukar untuk saya cari gantinya."

"Kubur arwah suami saya masih merah, Azmi. Walaupun saya menerimanya bukan kerana cinta sekalipun, saya sudahpun mencintainya. Saya tak mampu untuk membuka hati saya pada orang lain, walaupun orang yang saya pernah ada dalam hati saya dulu. Maafkan saya, andai Allah dah tulis nama kita berdua di Luth Mahfuz nanti, pastinya kita akan bersatu," terang Dania lalu beredar dari situ.

Azmi hanya mampu memandang pemergian Dania tanpa menyedari bahawa itulah kali terakhir dirinya bertemu wanita itu. Rupanya hari itu merupakan hari terakhir Dania kerana Dania telah menghantar surat perletakan jawatan sebulan yang lalu.

     *     *     *     *      *
"Selamat datang ke Primula Beach Resort. Saya Dania, boleh saya bantu puan?" suara itu membuatkan Azmi tersentak. Dia menegakkan kepalanya untuk melihat empunya suara, dan dia sama sekali tidak menyangka bahawa dia akan berjumpa dengan tuan punya suara itu semula.

"Saya ada tempah bilik bulan madu, nama saya Mashitah,"kedengaran suara insan di hadapan Azmi pula yang bersuara.

"Sebentar puan, tempahan di atas nama puan ya?"

"Ya, cik."

"Baiklah, tempahan puan saya dah jumpa. Puan Mashitah binti Ruslan dan Encik Azmi bin Hatta bukan?" Dania dapat merasakan jantungnya berdegup pantas apabila menyebut nama suami wanita yang berada di hadapannya itu. Tanpa berlengah, dia melihat insan di sebelah wanita itu. Benar, dia insan yang sama. Insan yang sama yang dia lukai tiga tahun lepas. Dia lihat ada sinar kaca di mata lelaki itu. Sinar kaca yang tak sepatutnya ada pada wajahnya kini.

"Ya, cik. Betul," jawapan Mashitah telah mengembalikan keduanya ke alam realiti.

"Baiklah, puan. Ini kunci bilik puan. Puan ke kiri dan naik ke tingkat 2 melalui lif. Selamat berbulan madu," tuturnya lancar sambil tersenyum manis.

"Terima kasih, cik..."

"Dania, puan."

"Cik Dania, terima kasih. Saya tersentuh dengan layanan awak."

"Tak perlu berterima kasih dengan saya, puan. Itu memang tugas saya."

"Cik Dania dah kahwin?"

Tergamam Dania apabila Mashitah bertanya soalan itu kepadanya. Dia memandang Azmi di belakang, riak wajah lelaki itu seperti menantikan jawapannya.

"Sudah, puan."

"Ada anak tak?"

"Ada, puan. Seorang. Lelaki."

"Alhamdulillah. Semoga rumah tangga puan diberkati Allah. Baiklah, saya masuk bilik dulu. Jumpa lagi," jawab Mashitah lalu berlalu pergi.

Mata Dania beralih pula kepada Azmi. Ada riak kekecewaan di wajahnya. Dia juga berlalu mengikuti langkah si isteri.

"Semoga awak bahagia, Azmi," tutur Dania dalam hatinya.

     *     *     *     *     *
Dania sedang melayan perasaan memandang laut apabila dia menyedari ada insan di sebelahnya. Dia memandang sebelah kirinya. Azmi sedang membetulkan duduknya lalu memandangnya.

"Tahniah atas perkahwinan awak," ucap Dania, tenang.

"Tahniah atas perkahwinan awak juga."

"Terima kasih. Cantik isteri awak," jawab Dania.

"Tak secantik awak. Lingkaran kasih awak masih menyakar hati saya, meskipun tiga tahun awak pergi dari hidup saya."

"Mungkin jodoh kita tiada."

"Semudah itu? Awak tak pernah tahu bagaimana saya mengharungi segalanya selepas awak pergi."

"Saya tahu ianya tak mudah, tapi hidup perlu diteruskan."

"Betapa sukarnya semua orang nak yakinkan saya untuk kahwini Mashitah, andai saya ikut kata hati, saya tak mahu berkahwin kalau bukan dengan awak. Hancur luluh hati saya mendengar khabar awak sudahpun berkahwin malah mempunyai anak. Mesti anak awak comel macam awak kan?"

"Taklah, dia mirip suami saya."

"Oh ya ke. Apapun semoga awak berbahagia, walaupun saya tak pasti adakah saya mampu berbahagia sejak awak tiada dalam hidup saya."

"Tolonglah Azmi, saya mohon. Awak kena hidup bahagia dengan isteri awak."

"Dania, bahagia itu takkan boleh dipaksa."

Dania bangun lalu berdiri menghadap Azmi yang masih kekal di kedudukan asalnya. Dengan perlahan, dia berlutut di hadapan Azmi. Azmi yang melihat tindakan Dania mulai kaget.

"Kenapa ini? Bangunlah!"

"Saya akan bangun kalau awak berjanji dengan saya, awak akan bahagiakan diri awak dan isteri awak. Setidaknya, itulah hukuman terbaik yang awak boleh berikan saya atas kesalahan saya melukakan hati awak dulu."

"Apa maksud awak?"

"Memang saya akui, saya masih sayangkan awak ketika awak meluahkan perasaan awak pada saya tiga tahun lepas. Namun, saya tak boleh terima awak lagi. Atas sebab itulah, saya berhenti kerja dan berpindah jauh dari awak. Saya harus lupakan awak agar awak boleh teruskan hidup awak."

"Setidaknya awak sudah ada insan lain dalam hati awak. Saya?"

"Mashitah seorang wanita yang cukup sempurna. Jangan sia-siakan anugerah Allah untuk awak. Dia tahu hati awak bukan untuknya, namun dia masih setia berada di sisi awak. Apalah salahnya andai awak berikan selingkar kasih buatnya? Itu saja yang dia perlukan daripada awak."

"Dia ada jumpa awak? Bila? Kenapa?"

"Bila itu tak penting. Awak ingat saya nak ke bercakap dengan awak andai tanpa izinnya? Saya wanita, sama sepertinya. Saya tahu betapa peritnya andai dilukai lelaki yang sepatutnya menjadi sandarannya untuk hidup. Dia tahu saya adalah insan yang berada dalam hati awak itu."

"Kalau dia tahu, kenapa dia terima saya?"

"Sebab awak cinta pertamanya, jawapan istikharahnya, imam yang Allah kurniakan buatnya. Awak ada istikharah ke sewaktu awak mahu memilihnya?"

Azmi menggelengkan kepalanya.

"Allah takkan berikan apa yang kita mahu, Dia berikan apa yang kita perlu. Awak tak perlukan saya, awak cuma mahukan saya. Tapi Allah kata Mashitah adalah orang yang awak perlu, bukan saya. Hargailah dia, dia dah banyak berkorban untuk awak, bukan saya."

Azmi tidak menjawab, sebaliknya hanya mampu mengalirkan air mata lelakinya.

     *     *     *     *     *
"Itah, boleh abang cakap sikit dengan Itah?" Pertanyaan Azmi mengundang perasaan terkejut bagi Mashitah kerana Azmi tidak pernah membahasakan dirinya 'abang' sejak mereka berkahwin.

"Apa dia? Kalau Itah ada buat salah, abang beritahu Itah. In shaa Allah, Itah akan perbaiki semuanya."

"Bukan itu. Abang cuma nak ucap terima kasih."

"Kenapa?"

"Sebab beri abang peluang untuk bersemuka dengan Dania."

"Itah yang suruh Dania jumpa abang. Sebab Itah tahu ada sesuatu yang dia ingin beritahu abang. Dania itu baik, Itah tahu. Siapalah Itah nak halang perasaan abang."

"Tapi dia milik orang. Abang tak boleh nak menyuntingnya jadi isteri abang."

"Abang nak Itah beritahu satu rahsia?"

"Rahsia apa?" tanya Azmi, hairan.

"Dania itu masih lagi seorang balu. Dia tidak berkahwin dengan sesiapapun sejak kematian arwah suaminya. Anak lelakinya adalah daripada hasil perkahwinan dengan arwah suaminya itu."

"Maksud Itah, dia mengandung waktu..."

"Ya, abang. Dania mengandung sewaktu abang meluahkan perasaan abang padanya dulu. Sebab itulah dia mengambil keputusan untuk menghilangkan diri. Dia rasa tak adil bagi arwah suaminya dan anaknya untuk dia menerima abang."

Penerangan Mashitah membuatkan Azmi terbungkam. Dia kehilangan kata-kata.

"Abang minta maaf kerana Itah harus mendengar semua ini. Mesti hati Itah terluka bukan?"

Pertanyaan itu membuatkan Mashitah ketawa kecil. Tindakan Mashitah menghairankan Azmi.

"Itah tak nak abang terima Itah kerana terpaksa. Selagi Itah tak lakukan semua ini, abang takkan buka mata abang untuk pandang Itah ini. Biar kita sakit kerana mencuba daripada sakit kerana tidak mencuba."

"Terima kasih, Itah. Abang terharu sangat dengan pengorbanan Itah," ujar Azmi lalu memeluk Mashitah.

Mashitah yang terkejut pada mulanya akhirnya menerima pelukan suaminya itu dengan rasa lega.

     *     *     *     *     *
"Saya nak daftar keluar, tapi sebelum itu saya nak tanya. Staf yang bernama Dania Natasha datang kerja tak hari ini?" tanya Azmi lalu menyerahkan kunci bilik sementara menunggu isterinya ke tandas seketika.

"Dania? Dia dah tak kerja disini."

"Dia berhenti atau pindah ya? Sebab saya perlu berjumpa dengannya kerana ingin mengucapkan terima kasih padanya atas pertolongannya."

"Bila encik jumpa dia?" tanya staf yang bernama Yusri itu dengan riak wajah yang sangat hairan.

"Minggu lepas. Dia dah daftarkan saya masuk."

"Sebentar ya," jawab Yusri lalu menekan-nekan sesuatu di komputer yang terletak berhadapannya.

Azmi memerhatikan sahaja tindak-tanduk Yusri. Sesekali ada riak wajah terkejut pada wajah lelaki itu. Timbul tanda tanya di dalam hatinya, namun lebih baik dia diamkan sahaja.

"Saya minta diri sebentar. Puan Dania ada memesan agar menyerahkan sesuatu kepada encik andai encik tiba di sini suatu hari nanti. Tunggu sebentar."

Tidak lama selepas itu, Yusri kembali bersama sekeping sampul lalu menyerahkan kepada Azmi.

"Ini barangnya, tapi saya nasihatkan encik baca selepas encik tiba di rumah. Ini pula bil hotel."

Yusri menyerahkan bil bayaran kepada Azmi. Azmi melihat bil tersebut lalu mengeluarkan duit dari dompet yang sekian lama berada dalam genggamannya.

"Terima kasih encik kerana sudi menginap di hotel kami. Atas permintaan pengurus, saya ingin menyampaikan pesanan agar sebelum pulang nanti, encik jangan lupa membaca doa dan ayat kursi. Saya sarankan encik terus pulang ke rumah agar keselamatan encik lebih terjamin," terang Yusri sambil tersenyum manis.

Muka Azmi semakin hairan mendengar kata-kata Yusri namun dia hanya membalas penerangan panjang lebar Yusri dengan senyuman.

     *     *     *     *     *

Azmi terjaga dari tidurnya, dia melihat jam di dinding. Menunjukkan tiga pagi. Entah mengapa dia merasa ingin menunaikan solat Tahajjud.

Seusai solatnya, dia melabuhkan punggungnya di atas sofa kecil di sudut kamar tidurnya lalu mencapai sampul surat yang diberikan Yusri tadi. Dia membukanya dan di dalamnya terdapat sekeping foto dan sehelai kertas. Dia mengambil foto tersebut, Itu merupakan foto Dania dan dirinya yang diambil ketika majlis makan malam syarikat dua tahun lalu. Dia melihat di belakang foto tersebut, ada tertulis sesuatu.

The love of my life - 18 March 2014

Melihat tulisan tersebut, air mata Azmi terus mengalir. Betapa menyesalnya dia tidak meluahkan perasaannya terhadap wanita itu dahulu.

Pandangannya beralih kepada surat itu pula. Dia membuka lipatan kertas tersebut lalu dibaca setiap bait kata yang tertulis di atas kertas tersebut.

Buat Azmi yang dikasihi,

Semasa awak menerima surat ini, ketahuilah bahawasanya saya sudah tidak lagi sudi ketemu awak dan Mashitah. Bukan kerana benci, tetapi atas dasar kemanusiaan. Sudah cukup terluka hati seorang isteri sepanjang bulan madunya kerana suaminya asyik mengejar wanita lain, saya tak sanggup untuk menambah lagi kedukaan itu.

Maafkan saya kerana tidak berterus terang ketika awak meluahkan perasaan awak dulu. Hanya Tuhan tahu betapa saya gembira kerana saya tidak bertepuk sebelah tangan, namun untuk menerima awak di kala saya mengandungkan anak arwah suami saya, adalah keputusan yang tidak adil bagi dirinya dan anak kami.

Lagipun, selingkar kasih yang arwah tinggalkan dalam hati saya telah terpahat dan amat sukar untuk dihapuskan dari sekeping hati ini. Saya tak mampu nak berlaku adil pada hati saya sekiranya saya memilih untuk menerima awak. Maka, lebih baik saya lepaskan sahaja.

Bahagiakanlah isteri awak, dia pendamping awak yang Allah berikan. Usah bimbangkan saya, saya masih ada anak saya, hadiah terbaik arwah suami buat saya. Doakan saya lebih tabah menghadapi hidup dan saya doakan kebahagiaan rumah tangga awak.

Terima kasih kerana sudi membaca warkah tak berlagu saya. Saya harap andai ada jodoh kita ketemu lagi, awak sudah beranak dua. Hahahaha...

Yang Benar,
Dania Natasha.

Azmi terbungkam. Dia harus redha bahawa jodoh antara dirinya dan Dania bukan milik mereka. Malah tidak pernah jadi milik mereka.

Dia memandang Mashitah yang sedang nyenyak tidur, Itulah jodoh yang Allah kurniakan buatnya, mengapa dia harus mendustai nikmat itu? Terlalu bodoh kelihatannya Azmi akan dirinya kerana tidak tahu menghargai.

Dia mendekati Mashitah, lalu duduk di birai katil bersebelahan isterinya itu. Bibirnya didekatkan dengan dahi wanita itu lalu dikucupnya lembut. Tanpa disedari, air matanya mengalir dan jatuh di atas dahi isterinya.

"Terima kasih Allah, kerana berikan abang isteri sebaik Itah," bisik hati kecil Azmi.

*TAMAT*

Sunday, August 21, 2016

#TigaPuluhEnamPurnama

Aku termenung sendiri. Meskipun pandangan mataku dapat melihat kelibat Pulau Lagenda dari tempat aku berdiri, namun fikiran sudah tidak tahu ke mana arahnya.

Begitulah aku sejak tiga puluh enam purnama yang lalu. Tempat inilah yang seringkali menjadi saksi lamunan seorang gadis sunti yang mana usianya sudahpun menjangkau siri ketiga. Tatkala teman sebayaku sedang mendakap penyambung zuriat mereka, aku masih disini mencari erti cinta dari Illahi.

Bukan tiada yang ingin menyunting hati seorang gadis sunti ini, tetapi tiada tampaknya keikhlasan hati dari seorang khalifah muka bumi buatku. Dari sinar mata mereka pasti punya agenda tersembunyi.

Siapa sangka tiga puluh enam purnama yang lalu, lelaki itulah yang telah menutup erat pintu hatiku sehinggakan tiada seorang umat manusiapun yang mampu membukanya kembali.

*     *     *     *      *

"Saya minta maaf, saya dah hilang rasa sayang itu. Semasa perasaan itu hadir, awak lukakan hati saya dengan perkara yang saya tak tahu apa kebenarannya, pernah awak fikirkan itu?" luah Farish, geram.

Aku memandangnya yang membelakangiku. Aku tahu dia marah. Siapalah yang tak marah bila hati dikecewakan saat dia mendambakan, namun hadir saat dia ingin melupakan?

Aku amat menyedari tindakanku padanya beberapa bulan lepas telah memakan diriku semula. Namun, aku juga manusia sepertinya.

"Perkara itu memang benar, saya memang sudah punyai calon ketika itu, namun kecewa awak itu tak terbanding dengan kekecewaan saya mengharapkan awak berjuang bagi memiliki saya. Saya tunggu awak ungkapkan perasaan awak, tapi apa yang awak berikan? Hanya sebab untuk kita saling membenci!" aku membalas luahannya dengan luahan.

"Bagaimana saya nak mengambil hak orang, sedang saya sudah lebih dahulu merasakan peritnya hak saya diambil? Tak mungkin awak tak pernah tahu saya ini pernah putus tunang," ujar Farish, sedikit kendur.

Aku terdiam. Bagaimana aku boleh terlupa tentang itu?

"Saya juga pernah dilukai, tetapi mungkin saya terlalu pentingkan diri sehingga terlupa bahawa awak juga punya perasaan. Maafkan saya," ujarku lalu meninggalkan dia. Sungguh aku malu dengannya, sehinggakan aku langsung tidak menoleh ke belakang lagi.

Aku berjalan sehinggakan kaki aku sudah penat nak melangkah, tanpa aku sedari aku sudah menghampiri jeti nelayan Kampung Sungai Baru. Aku berhenti dan duduk di tebing yang memisahkan antara laut dan daratan. Aku tak mampu memikirkan apa-apa lagi lalu menangis semahunya. Ada orang yang memerhatikanku, aku tahu. Namun, aku sudah tak mahu ambil kisah tentang apa yang orang fikirkan. Aku cuma mahu menangis.

Sedang aku menangis, aku dapat melihat ada kelibat yang duduk di sebelahku. Aku berpaling, menghadap insan itu. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat rakan sekerjaku dari Kuala Lumpur berada di hadapan mataku.

"Kenapa ini, Hani? Saya tengah tengok-tengok ikan kat pasar nelayan sana itu bila saya dengar orang ramai kata ada orang menangis serupa orang meroyan. Saya pun macam biasalah, nak menyibuk juga. Tengok-tengok, rupanya awak. Apa dah jadi?" terang Ilham, panjang lebar.

Mendengar penerangan panjang lebar darinya, perasaan sedihku tak semena-mena hilang. Aku jadi geli hati mendengar caranya menerangkan situasi yang dialaminya. Mujur ada dia, Muhammad Ilham.

     *     *     *     *     *
"Bawa-bawalah berhenti termenung kat sini, bukan ada putera raja datang masuk meminang pun!" jeritan itu sangat aku kenali. Jeritan yang membuatkan lamunanku terhenti.

Aku berpaling memandang punca jeritan itu. Susuk tubuh yang acapkali ku lihat berdiri di pangkal jeti melambai ke arahku. Aku hanya tersenyum, melambai semula lalu menuju ke arah insan itu.

"Bagaimana awak tahu saya disini?" tanyaku, sambil menggaru kepala yang tak gatal.

"Eleh, awak itu dah tiga tahun buat perangai begini, masakan saya tak tahu? Bawa-bawalah berhenti, tak terubat hati awak buat begini. Orang yang pergi takkan kembali," komen Ilham, serius.

"Terubat apa? Dapat tengok burung, awan, laut, Pulau Langkawi," ujarku, sambil ketawa besar.

Namun, tawaku terhenti apabila menyedari riak wajahnya masih kekal serius. Baik, ini masalah besar.

"Awak mesti ada sebab cari saya sampai ke Kuala ini kan?" tanyaku, hairan.

"Haruslah. Esok ikut saya, saya nak bawa awak pergi suatu tempat. Untuk buat awak lupakan semuanya. Sudah-sudahlah itu Hani, saya tak selesa nak bekerja dengan awak bila tengok awak begini."

"Kenapa pula tak selesa? Sekarang sudah jam enam setengah petang. Waktu kerja kita sampai pukul lima sahaja. Selepas itu, saya terus bertolak dari Kangar ke Kuala naik kereta saya sendiri. Jadi Encik Ilham, dimanakah bahagian yang awak kata tak selesa itu?"

"Semuanya."

"Semuanya? Maksud?"

Belum sempat Ilham menjawab soalanku, aku lihat ada bayang seperti manusia menghampiri kami. Ilham memilih untuk memandang ke arah bayang tersebut, namun tidak aku. Aku memilih untuk memandang semula ke arah laut.

"Assalamualaikum," sapa tuan punya bayang bagi memulakan bicara sambil menghulurkan tangan kepada Ilham untuk bersalam.

"Wa'alaikumussalam," jawab Ilham, lalu menyambut salam orang itu. Namun, wajahnya kelihatan berkerut, namun tak ku tahu mengapa.

Namun begitu, suara itu amat merunsingkan aku. Sepertinya suara itulah yang tidak mahu aku dengari lagi. Tak mungkin suara itu datangnya daripada...

"Saudari ini cik Nurhani Saffiyya bukan?" tanya insan itu, kepadaku.

Aku tak punya pilihan, lalu memberanikan diri untuk memandang insan yang aku belakangi sedari tadi. Sebaik sahaja aku berpaling, aku tergamam. Kelu lidahku meskipun hatiku bingit dengan segala macam bait-bait kata. Benar sangkaanku, lelaki itu kini berada di hadapanku. Memilih untuk kembali setelah tiga puluh enam purnama pergi meninggalkan diri ini.

"Ya, sayalah Nurhani Saffiyya," jawabku, ringkas.

"Awak, takkanlah awak sudah tak cam saya? Saya Farish," ujarnya, cuba menyakinkan aku bahawa aku sama sekali tidak bermimpi.

"Ya, saya tahu," jawabku, masih dalam keadaan yang ringkas.

"Habis itu, kenapa mendatar sangat nada awak itu? Oh ya, siapa ini?" tanyanya lagi sambil memandang ke arah Ilham yang sedari tadi kekal disisiku.

"Ini Ilham. Ilham, kenalkan inilah Farish,"ujarku, sekadar berbasa-basi. Hakikatnya, hati aku jadi keliru. Sungguh keliru.

"Oh, ini rupanya Farish yang selalu Hani ceritakan itu? Akhirnya dapat juga kita bertemu. Kalau begitu, saya balik dululah. Bimbang mengganggu kamu berdua pula,"kata Ilham, mengelat.

Namun, belum sempat dia melangkah pergi, aku sudah mencapai lengannya. Mujur hari itu dia memakai kemeja lengan panjang, jadi kami tidak bersentuhan kulit.

Aku dapat melihat Farish memandang tanganku yang sedang menarik lengan Ilham itu. Ada riak cemburu di wajahnya, namun entah mengapa hatiku sama sekali tidak berasa bersalah dengan tindakanku itu.

"Cakap saja di sini. Depan saya, depan Ilham. Saya tak berahsia dengannya," ujarku, meski aku tahu tindakanku akan mengundang tanda tanya dalam benak fikiran dua orang lelaki. Aku tak kisah semua itu kerana aku tahu, aku tidak kuat untuk berdepan dengan orang yang telah memalukan aku tiga tahun lepas.

"Saya dah fikirkan selama tiga tahun kebelakangan ini. Saya nakkan awak semula,"ucapnya dengan begitu mudah sekali. Semudah ABC.

"Kenapa ambil masa tiga tahun untuk terima saya? Bukan semula, hanya sekadar terima. Kita tak pernah bersama, mohon awak ingat itu," jawabku, sambil merenungnya tajam.

"Saya tahu saya ambil masa yang terlalu lama untuk terima awak, tapi fahamilah. Saya dah cuba untuk lupakan awak, tapi tak berjaya."

"Saya juga dah mencuba untuk melupakan, tapi sehingga hari ini saya masih di sini, menunggu awak. Terima kasih sebab datang, tetapi saya tak boleh menerima awak semudah tutur bicara awak. Hati saya dah lama awak biarkan terluka."

"Habis itu, hati saya tak terluka?"

"Hati awak, saat awak mengungkit semua kesalahan saya, sepatutnya awak sudahpun menyedari bahawasanya awak akan kehilangan saya. Awak sepatutnya lebih bersedia. Kalau awak rasa awak masih mahu mengenang segala kesakitan yang awak telah tempuhi sepanjang awak menyayangi saya, saya nasihatkan supaya awak pergilah cari kebahagiaan awak pada orang lain. Akan tetapi, kalau awak rasa awak berani berjuang sekarang, awak berikan saya waktu untuk saya hilangkan segala perasaan malu saya pada awak selama bertahun-tahun ini. Itu saja saya minta. Saya sedar dulu saya hanya kerani biasa, siapalah saya untuk menarik perhatian awak. Tiba-tiba bila awak seperti berminat dengan saya, saya pula kecewakan awak. Kemudian, saya datang kembali pada awak menagih kasih yang sudah hilang dari hati awak. Hanya Allah saja tahu betapa peritnya perasaan itu."

Farish terkesima. Lidahnya kelu, tak tahu bagaimana hendak menjawab luahanku. Barangkali dia sama sekali tidak menyangkakan jawapan sebegitu daripadaku.

"Saya tahu saya tak sepatutnya layan awak begitu dulu. Maafkan saya," rayu Farish.

"Saya maafkan, tapi satu saja saya minta. Andai awak benar-benar perlukan saya, awak tahu apa yang perlu awak lakukan. Namun, saya tidak memberi sebarang jaminan yang saya akan menerima awak. Ilham, jom kita balik," ujarku sebelum berlalu dari situ.

     *     *     *     *      *

Keesokan harinya, sebelum masa kerja tamat, Ilham sudah terpacak di hadapan meja kerjaku. Takut betul dia aku tak sudi keluar bersamanya. Aku hanya memandangnya sambil tersengih.

"Kenapa tiba-tiba tersengih serupa kerang busuk ini? Baik cakap cepat. Nak pergi Kuala dulu ke?" tanya Ilham, lembut.

Aku hanya menggeleng sambil tersenyum.

"Tak nak pergi Kuala? Pelik. Tiga tahun tak pernah ponteng kecuali sakit atau balik kampung, sudah jumpa dia terus tak nak pergi?" tanyanya lagi.

Aku menggeleng lagi, namun masih tersenyum.

"Habis itu?"

"Sebab saya dah jumpa apa yang saya cari. Erti cinta dari Illahi," balasku sambil tersenyum manis.

Aku dapat melihat wajahnya merona merah selepas aku tersenyum itu. Aku dapat mengagak mengapa dia berbuat demikian.

"Sudah pukul lima. Jom kita pergi sekarang," ujarku sambil menyandang beg tanganku. Melihat tindak-tandukku, Ilham cepat-cepat berjalan keluar dari pejabat dan aku sekadar mengikutinya dari belakang.

Setelah tiba di keretanya, dia membuka pintu kereta Proton Iris miliknya dan menjemputku masuk. Setelah aku duduk, dia menutup pintu kereta lalu menuju ke arah bertentangan untuk masuk ke dalam keretanya itu.

Selepas dia selesai menutup pintu kereta, dia memandangku. Aku rasa malu ditatap sebegitu. Terasa panas kereta ini.

Dia mencapai kain penutup mata di tempat duduk belakang lalu memakaikan kepadaku. Aku terkedu seketika kerana terkejut diperlakukan begitu. Tambah terkejut apabila terasa pergelangan tanganku diikat dengan kain.

"Awak nak culik saya ke?" tanyaku, spontan.

"Kalau boleh, saya nak culik awak, kurung awak dalam hati saya. Lepas tu, saya kunci supaya awak tak boleh keluar dan tiada siapa boleh masuk."

Aku terkesima. Dia ini bergurau ke serius? Namun, aku tidak berbuat apa-apa setelah dia menutup mataku dan mengikat kedua pergelangan tanganku. Aku memilih untuk mempercayainya walaupun kami berada sekangkang kera sahaja dari Siam.

"Saya harap awak percayakan saya, saya minta maaf kerana terpaksa menutup mata dan mengikat tangan awak. Kalau awak nak tidur, tidurlah. Nanti dah sampai, saya kejut."

Sebaik sahaja ayat itu habis dituturkan Ilham, aku terlelap akibat tersangat penat.

     *     *     *     *     *

"Hani, bangun. Kita dah sampai," kedengaran suara Ilham yang telah membuatkan aku terjaga dari tidur.

Aku sangkakan duniaku masih lagi gelap setelah 'dibutakan' oleh Ilham tadi, rupanya sudah dia bukakan terlebih dahulu. Cuma tanganku sahaja yang masih lagi menyatu. Namun, apabila aku melihat sekeliling, aku lebih terkedu.

Aku melihat jam tanganku. Sudah menunjukkan jam dua pagi. Kalau mengikut perkiraan, sama ada aku sudahpun memasuki Siam yang mana tak mungkin berlaku kerana pasportku sudah lama tamat tempoh, ataupun aku sudah tiba di Kuala Lumpur atau Selangor!

"Lamanya termenung cik adik. Mari saya bukakan ikatan tangan itu," ujarnya sambil membukakan ikatan pada tanganku.

"Kita di mana?" tanyaku, spontan.

"Rumah ibu bapa saya di KL. Kenapa?"

"Saya tak bawa baju lebih," ujarku, sayu. Bukan apa, aku segan nak meminjam harta peribadi orang lain.

"Oh, itu ke? Beg pakaian awak, ini kan?" tanyanya sambil menuding ke arah beg yang berada di sebelahnya.

"Mana awak dapat ini?" tanyaku lagi.

"Ambil di rumah awaklah. Saya minta tolong Sherry siapkan," terangnya sambil mengenyitkan sebelah matanya.

Aku tak mampu nak bertanya lagi. Mahu tak mahu, terpaksalah turun. Sudah sembilan jam duduk dalam kereta, takkan nak balik semula kan?

Aku mengikuti langkahnya sambil memerhatikan sekeliling. Rumah yang terletak di kiri dan kanan rumahnya kelihatan mewah, namun rumahnya tampak ringkas walaupun kelihatan besar. Takkan anak orang kaya Ilham ini?

Disebabkan kami berdua tiba lambat, Ilham membawaku terus ke bilik tetamu. Mujurlah dalam bilik tersebut terdapat bilik mandi dan tandas, maka tak bimbanglah aku untuk mandi dan mengambil wuduk.

Selepas Ilham selesai memberikan penerangan tentang bilik tidurku, dia terus keluar dan menutup pintu bilikku. Dengan pantas aku mengunci bilik tidurku, takut-takut andai ada yang tak mengetahui kehadiranku malam ini.

Aku melihat segenap sudut di dalam bilik ini. Kelihatan kemas dan berbau harum sahaja, seperti baru sahaja dikemas. Adakah kehadiranku ini sudah dijangka? Andai sudah diberitahu sekalipun, atas tujuan apa Ilham membawaku ke sini? Pening kepalaku memikirnya.

Daripada pening kepala memikirkan perkara yang aku sendiripun tak tahu-menahu, lebih baik aku mandi dan solat dahulu. Sudahlah tertinggal solat Maghrib tadi. Kalau Ilham beritahu awal-awal, boleh niat jamak tadi. Huh!

     *       *      *      *      *

"Assalamualaikum, makcik. Makcik buat apa tu?" sapaku selepas melihat mak Ilham (barangkali) sedang menyiapkan bahan untuk membuat sarapan pagi.

Wanita itu menoleh ke arahku, lalu tersenyum.

"Wa'alaikumussalam. Oh, inilah dia Hani ya. Makcik tengah siap-siap bahan nak masak bihun goreng ini. Hani makan bihun kan? Maaflah makcik tak tahu nak masak apa," jawab wanita itu lalu menyambung kerjanya yang tergendala seketika tadi.

"Tak apa, makcik. Saya tak ada masalah dengan bihun. Makcik dah lama duduk sini?" tanyaku, lagi.

"Lama juga, sejak Ilham berusia tiga tahun. Ayahnya dapat kenaikan pangkat ke KL ini, sejak itulah kami tinggal di sini. Ayah Ilham pun dah bersara tiga tahun lepas. Hani asal mana?"

"Saya asal Perak, makcik. Bota Kanan, tapi mak ayah saya menetap di Seri Iskandar."

"Oh, orang bote ke? Makcik orang Parit," ujar mak Ilham lalu tertawa.

Mendengar jawapan wanita itu, aku tersipu malu. Namun, aku masih belum punya kudrat untuk bertanya soalan yang ingin ku tanya sedari semalam.

"Makcik, kenapa Ilham tiba-tiba bawa saya jumpa makcik dengan pakcik?" tanyaku setelah mengumpul segenap kekuatan untuk bertanyakan soalan tersebut,

"Dia tak beritahu kamu ke? Bertuah punya budak! Diheretnya kamu dari Kangar sampai ke sini tapi dia tak beritahu kenapa?"

Aku hanya menggeleng.

"Dia nak jadikan kamu suri hatinya. Jadi, dia bawa kamu tunjuk dengan pakcik dan makcik. Sebenarnya kami tak kisah sangat, sebab yang berkahwinnya nanti dia, tapi dia berkeras mahu kenalkan. Kami terima saja," terang mak Ilham, makcik Ros sambil tersenyum memandangku.

Aku terbungkam. Aku tidak pernah memberikan harapan buat Ilham selama kami berkenalan, meski aku tahu dia berminat untuk menyuntingku menjadi teman hidupnya. Aku hanya memikirkan perasaanku buat Farish yang tidak pernah sehati denganku. Namun, aku sedar aku tidak mampu kehilangan Ilham. Dialah tempat aku bergantung harapan sejak aku memilih untuk meninggalkan Farish. Dia tahu bila aku gembira dan bila aku sedih. Persoalannya sekarang, siapa yang harus aku terima sekarang? Farish atau Ilham?

"Kenapa berkerut itu, Hani? Fikirkan seseorang ke? Hani ada pilihan sendiri?" tanya makcik Ros, barangkali hairan melihat wajah aku berkerut memikirkan masalah ini.

"Tak. Hani tak ada sesiapa. Cuma Hani takut," laju saja mulutku menjawab pertanyaan makcik Ros itu.

"Takut? Takut apanya, nak?"

"Saya takut terluka lagi. Saya pernah dikecewakan begitu dalam oleh seseorang, jadi saya jadi paranoid untuk mencuba lagi,"luahku dalam keadaan sedikit sebak.

Makcik Ros menutup api kuali lalu mendekatiku yang sedang memotong cili. Melihatnya, aku berhenti. Makcik Ros memegang tanganku lalu memandang wajahku.

"Makcik tahu kamu takut kamu tak cukup sempurna buat Ilham, makcik juga pasti Ilham juga begitu. Akan tetapi, dunia rumah tangga bukan tentang kesempurnaan suami mahupun isteri. Rumah tangga ini adalah berkisar tentang suami yang melengkapi dunia isteri dan sebaliknya. Kalau kita sempurna, maka tak perlulah kita untuk berkahwin, tapi kita berkahwin kerana Allah telah jadikan lelaki dan wanita sama-sama tak sempurna."

Aku terpana dengan nasihat makcik Ros itu tadi. Namun, aku masih keliru kerana aku mungkin harus memilih.

      *      *      *      *      *

Aku merenung ke luar beranda tingkat atas rumah Ilham ini. Tak sangka kota metropolitan ini masih boleh tampak indah walaupun bising dan sudah kelihatan seperti hutan konkrit. Manusia kini lebih mengejar harta dan kuasa dan mula mengendahkan soal alam sekitar dan kemanusiaan.

Aku bersyukur ditempatkan di Perlis. Sungguh berbeza dengan Kuala Lumpur. Udaranya, persekitarannya, suasananya, kos sara hidupnya, bagai langit dengan bumi. Tak banyak tekanan berbanding di sini.

Sedang aku mengelamun, ada insan berdiri di sebelahku. Aku sudah dapat menduga siapakah gerangan yang berdiri di sebelahku ini, maka aku berpaling menghadapnya. Lama aku merenung wajahnya membuatkan wajahnya merona merah akibat malu.

"Saya dengar awak dah tahu kenapa awak di sini. Jadi, bagaimana?" tanya Ilham setelah berpaling memandang ke luar.

Aku masih merenungnya. Mencari apa yang membuatkan aku boleh menerima insan ini dengan hati yang terbuka. Aku perlukan jawapan itu kelak.

"Saya masih tak boleh berikan jawapan. Kalau benar awak mahukan saya, awak tahu apa yang perlu awak lakukan," aku memberikan jawapan selamat buatnya. Sebagaimana aku memberikan jawapan yang sama buat Farish semalam.

"Kenapa awak berikan jawapan yang sama pada saya dan Farish? Adakah awak tak mampu nak memilih atau awak memang tak mahukan sesiapa?"

"Saya selesa dengan awak, awak baik, selalu berada bersama saya tatkala sedih mahupun gembira. Awak penting dalam hidup saya, saya tak boleh bayangkan hidup saya tanpa awak disisi saya. Namun begitu, awak kena faham, dia adalah lelaki terakhir bertakhta dalam hati saya. Saya akui, saya masih belum mampu untuk melupakan dan membuang perasaan saya buatnya yang telah tersemat dalam hati saya sekian lama. Jadi, saya lebih selesa membiarkan Allah sebagai pemilik kekal hati saya memilih untuk saya," terangku panjang lebar.

Aku melihat Ilham sekali lagi. Dia masih tenang memandang ke arah luar. Aku sama sekali tak dapat menduga apa yang berada di benak hatinya.

"Saya yakin pilihan Allah adalah lebih baik daripada pilihan kita semua," luahnya, tenang sebelum berlalu pergi.

Entah mengapa, melihat dia pergi begitu sahaja, membuat hatiku rasa kecewa. Ya Allah, adakah aku telah mula menyayanginya?

     *      *     *     *     *

Aku sedang mengemaskan barang-barang pejabatku apabila Ilham datang menghampiriku.

"Kenapa awak berhenti kerja? Awak ada masalah ke?" tanya Ilham, ada nada risau dari suaranya,

Aku hanya menggelengkan kepala.

"Habis itu? Awak marahkan saya ke?"

Aku menggeleng lagi.

"Takkan awak nak mengelak untuk berjumpa dengan saya setelah saya hantar awak rombongan meminang?"

Aku berhenti mengemas. Aku memandang wajahnya, mana tahu kalau pendek umurku, ini merupakan kali terakhir aku melihat wajahnya.

"Saya nak balik kampung. Saya nak berfikir."

"Kenapa pula?"

"Sebab selepas keluarga awak balik, keluarga Farish pula datang meminang saya. Saya buntu, awak. Saya tak tahu siapa yang harus saya pilih," ujarku sebelum menangis.

Melihat tindakanku, Ilham terbungkam. Sama sekali dia tidak menduga yang aku akan menangis di dalam pejabat. Mujur hanya kami berdua sahaja di sini.

"Saya akan terima siapa sahaja pilihan awak, tapi saya nak awak tahu satu perkara. Mak saya pesan, jangan pilih orang yang kita sayang, tapi pilihlah orang yang sayangkan kita. Kalau keduanya menyayangi kita, pilihlah yang mana yang awak tak boleh hidup tanpanya."

Aku terkesima. Rasa terharu pula bila mendapat nasihat sebegitu.

"In sha Allah, saya akan pertimbangkan itu. Saya mohon, selagi saya tak berikan jawapan saya, jangan datang jumpa saya."

Ilham tersenyum, lalu menganggukkan kepalanya. Melihat responnya, aku lega. Setidak-tidaknya aku hanya perlu bimbangkan respon Farish.

     *      *     *     *     *

"Terima kasih sebab sudi luangkan masa untuk berjumpa dengan saya," ujarku sebaik sahaja duduk di hadapan Farish. Sengaja aku memilih Alora Cafe sebagai tempat pertemuan kami kerana kafe ini lebih senyap dan privasi. Kafe ini juga merupakan tempat aku dan Ilham serringkali melepak kerana ianya berdekatan dengan tempat kerja kami.

"Sama-sama. Macam mana? Apa jawapan awak?" tanya Farish pula.

"Boleh jujur dengan saya satu benda tak?"

"Apa dia?"

"Awak ada masalah yang hanya boleh diselesaikan dengan perkahwinan kita ke?"

Farish menggelengkan kepalanya.

"Baiklah kalau begitu."

"Awak ini banyak sangat tengok drama ini," seloroh Farish sambil tersenyum nakal.

"Drama itu takkan ada situasi begitu andai tiada siapa yang melakukannya. Beginilah, saya tak boleh nak bagi jawapan lagi. Saya ada beberapa perkara yang saya kena uruskan."

"Apa masalah awak sampai tak boleh nak terima atau tolak pinangan saya?" jerkah Farish, membuatkan aku tergamam.

"Kalau saya boleh tunggu tiga tahun untuk awak kembali pada saya, kenapa awak tak boleh lagi beberapa minggu untuk saya?"

Farish terdiam. Tak lama kemudian, ada keluhan berat kedengaran.

"Saya betul-betul minta maaf tentang itu. Saya sangka, saya mampu cari yang lebih baik daripada awak. Jadi, saya buat macam-macam untuk melupakan awak. Tambahan pula, kita memang jauh, sepatutnya benda itu mudah."

Aku tidak menjawab, sebaliknya hanya mendengar.

"Benda jadi lebih ketara bila setiap kali saya buka Facebook. Semua status awak ada dalam garisan masa saya. Separuh hati saya rasa nak sekat awak dari media sosial saya, namun separuh lagi masih mahu mengikuti perkembangan awak."

Aku masih lagi membisu, membiarkannya meluahkan perasaannya.

"Namun, hati saya jadi tak keruan apabila saya ternampak foto awak bersama Ilham. Saya cemburu. Saya jadi takut kehilangan awak."

"Kenapa awak rasa begitu?"tanyaku, hairan.

"Sebab pada sinar mata awak dan dia, perasaan itu ada. Saya bimbang ramalan saya benar. Itulah sebabnya kenapa saya cuba mencari awak di Kuala Perlis hari itu. Tak sangka awak ada di sana, tapi awak bersama dia."

Aku terbungkam. Masih kelu lidah ini untuk menjawab.

"Saya pasti dia sangat cintakan awak, tapi perasaan awak saya tak berapa pasti. Bezanya cuma banyak atau sikit saja."

Aku memandangnya. Perasaan Ilham aku pasti dia boleh rasa, sebab dia juga lelaki. Namun, hati aku sendiripun tak berapa pasti tentang perasaanku sebagaimana yang Farish rasakan.

"Jadi, awak boleh tunggu saya tak? Saya tanya kerana saya ada syarat lain selain daripada itu," tanyaku, serius.

"Apa syaratnya? Banyak betul."

"Selagi saya tak cari awak untuk berikan jawapan, jangan sesekali cari saya atau hubungi saya. Bukan setakat saya, keluarga saya pun awak jangan cari."

"Awak ini betul-betul nak terima saya ke tak sebenarnya? Atau awak tunggu Ilham masuk meminang?"

"Ilham lebih dulu datang meminang saya, sepatutnya awak tiada hak untuk memperlekehkannya. Dia juga menerima syarat yang sama dengan awak. Namun begitu, dia tidak melatah seperti awak walaupun usianya lebih muda daripada awak. Malulah sikit!"

"Awak cuba nak bandingkan saya dengan dia?"

"Ya, jika itu yang awak mahu percaya. Akan tetapi, pada hakikatnya saya sekadar ingin menduga."

"Maksud awak? Saya tak sukalah apabila awak cuba bermain kata dengan saya. Saya bukan artistik seperti awak."

"Saya juga bukannya artistik sangat, tapi saya bercakap dari akal yang berfikir, bukan hati yang membabi buta."

Aku dapat lihat Farish terbungkam. Dia sama sekali tidak boleh menerima sindiran tajamku.

"Baiklah, saya akan tunggu. Terima kasih sebab sudi memberikan peluang kepada saya," ujarnya lalu beredar.

     *     *     *     *     *

Aku sedang menikmati keindahan pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor apabila aku merasakan ada tangan yang memegang bahuku. Aku berpusing.

Alangkah terkejutnya aku apabila melihat seseorang yang telah lama tidak aku temui. Sangat lama, tiga puluh enam purnama kami tidak ketemu. Aku dapat melihat senyumannya masih ada buatku, membuatkan aku berasa sangat lega.

"Assalamualaikum, Hani. Ingat makcik lagi tak?" sapa makcik Ros, insan yang berdiri di hadapanku ini.

"Wa'alaikumussalam, makcik. Mana boleh tak ingat. Makcik sihat?" tanyaku pula.

"Alhamdulillah, makcik sihat. Kamu datang sini seorang saja ke?"

"Ya, makcik. Seorang saja. Makcik datang sini bercuti ke?"

"Tak, Hani. Makcik datang sini cari kamu. Makcik rindu sangat dengan kamu. Kamu tak rindu makcik ke?"

Aku terkesima apabila makcik Ros berkata begitu. Namun begitu, semua yang berlaku ini adalah kerana salahku juga.

"Saya rindu makcik juga. Saya minta maaf sebab tak datang jumpa makcik."

"Kamu tak nak bertembung dengan Ilham, bukan? Kenapa tak cakap? Makcik boleh aturkan, asalkan kamu nak datang jumpa makcik."

Aku tersenyum mendengar jawapan makcik Ros. Sayang benar dia padaku. Sehingga timbul perasaan bersalah kerana tidak menjenguknya sepanjang tiga puluh enam purnama ini.

"Makcik datang dengan siapa? Pakcik ke?"

"Hani tengok sendirilah," jawab makcik Ros sambil menuding ke arah kirinya.

Aku memandang ke arah yang ditunjukkan oleh makcik Ros tadi. Aku dapat melihat ayah Ilham, pakcik Husin sedang melambai ke arahku dan di sebelahnya adalah Ilham yang sedang tersenyum kepadaku.

Sejurus selepas itu, Ilham mendekati kami. Jantung aku mula berdegup kencang. Aduhai, jangan buat hal!

"Makcik tinggalkan kamu berdua ya. Kamu berbincanglah, jangan tangguh lama-lama. Takut hilang seri nanti," tegur makcik Ros setelah Ilham berada di hadapanku, lalu beredar meninggalkan kami berdua.

Aku memandang Ilham. Ya Allah, rindunya rasa! Tiba-tiba perasaan kesal itu mula menyelubungi segenap ruang hatiku kerana membiarkan Ilham menunggu selama tiga tahun. Kalau aku terus memberikan jawapan kepada pinangan Ilham dan Farish, pasti aku sudah beranak satu sekarang, bukan?

"Awak apa khabar?" tanya Ilham, sedikit gugup.

"Alhamdulillah, sihat. Saya tak nak tanya khabar awak kerana saya yakin awak sihat," selorohku, nakal.

Ilham terkejut pada mulanya, namun tersenyum tak lama selepas itu. Ada rona merah di wajahnya, malulah itu!

"Kenapa awak tak berikan keputusan awak pada pinangan saya? Atau awak dah terima pinangan Farish?" tanya Ilham, akhirnya.

"Kenapa awak tak hubungi saya?" tanyaku bagi menjeratnya.

"Awak kata jangan jumpa awak selagi awak tak berikan jawapannya."

"Ada saya kata jangan hubungi saya tak?" tanyaku lagi sambil membuatkan riak wajah nakal.

"Aduhai, macam mana saya boleh terkena ini? Saya minta maaf sebab tak hubungi awak dulu, sampai tiga tahun benda ini meleret," jawabnya, lemah.

"Kenapa awak tak cari lain dalam masa tiga tahun ini?"

"Awak boleh tunggu Farish selama tiga tahun sebelum dia masuk meminang awak, kenapa saya tak boleh tunggu awak tiga tahun bukan?"

Aku terdiam. Inilah jawapan yang aku cari, membuatkan aku tersenyum.

"Betul. Awak nak tahu apa keputusan saya pada pinangan Farish?"

"Mesti awak terima dia bukan?"

"Sebenarnya Farish sendiri yang minta agar saya pulangkan cincin tanda dua hari selepas saya berhenti kerja. Saya sangka dia sanggup tunggu saya, rupanya dia meminang saya kerana ibu bapanya sudah menggesanya agar segera berkahwin kerana keluarganya memerlukan zuriat."

Aku dapat melihat Ilham terkedu mendengar penjelasanku.

"Habis, bagaimana dengan saya?"

Aku tersenyum lebar lalu menekup mulutku dengan tangan kiriku. Aku memandang Ilham. Adakah Ilham menyedari sesuatu?

"Maksudnya, awak terima pinangan saya?"

Aku mengangguk. Aku lihat Ilham yang sedang melonjak kegembiraan membuatkan hatiku berasa amat bahagia kerana aku telah memilih insan yang menyayangiku dan aku sama sekali tak dapat membayangkan bagaimana hidupku tanpanya disisi. Cukuplah tiga puluh enam purnama aku hidup tanpanya, betapa seksanya rasa.

"Terima kasih sebab terima saya yang serba kekurangan ini," ujar Ilham sambil tersenyum.

"Terima kasih juga sebab memilih saya yang serba kekurangan ini dan sanggup tunggu sampai tiga puluh enam purnama untuk jawapan saya."

"Sebenarnya saya dah tunggu awak tujuh puluh dua purnama tahu? Tiga puluh enam yang pertama adalah untuk menyunting awak, dan tiga puluh purnama yang kedua adalah untuk menunggu jawapan awak," jelas Ilham.

Aku terpana. Betullah, dia sudah menantiku selama enam tahun. Kejamnya aku!

"Maafkan saya, Ilham."

"Tak apa, berbaloi apa tunggu tiga puluh enam purnama darab dua untuk dapatkan awak seumur hidup bukan? Nikmatilah zaman bujang awak, sebab tak lama lagi awak akan jadi milik saya," ujar Ilham sambil mengangkat kedua-dua belah keningnya.

Aku tidak menjawab, sebaliknya hanya memandang ke arah laut. Malas pula nak menjawab, nanti perkara ini akan meleret sampai dua tiga perenggan lagi. Apapun, tak sia-sia aku tunggu tiga puluh enam purnama untuk seorang lelaki bernama Muhammad Ilham bin Husin.

*TAMAT*

Foot print: Terima kasih Deena sebab bagi cadangan tajuk. =)

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com