Thursday, October 19, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 34...

Bahagian sebelumnya:
Bahagian 34: Bebas Semula

Ayra sedang melihat ke luar tingkap apabila Hafizal keluar dari bilik air. Walaupun bilik tersebut mempunyai tingkap, namun ianya telah dipasang geriji besi bagi menghalangnya daripada keluar.

"Mel fikirkan apa itu?" tanya Hafizal yang datang dari belakang lalu memeluk Ayra.

"Mel sedang fikirkan bagaimana nak bebaskan abang dari sini," jawab Ayra, selamba.

"Tak payahlah, Mel. Abang tak mungkin dapat keluar dari sini. Terima kasih sebab sudi fikirkan tentang abang, sedangkan abang tak dapat nak berikan apa yang sayang perlukan," ujar Hafizal, lalu mengetatkan pelukannya.

"Abang tahukah apa yang Mel perlukan?" tanya Ayra.

"Abang tak mampu nak bersama Mel, seperti suami yang lain. Abang hanyalah seorang manusia tanpa sebarang kebebasan. Abang minta maaf sebab Mel perlu terlibat dengan lelaki seperti abang," sambung Hafizal lagi.

"Abang tak ada kebebasan, tapi Mel ada kebebasan untuk bertemu dengan abang," jawab Ayra, sambil berpaling untuk berdiri bertentangan dengan suaminya itu.

"Mel, kita tak tahu sampai bila Wafi akan benarkan Mel jumpa abang. Both of us have to be very careful on this."

"Selagi Mel ada di sisi Wafi, rasanya tak ada masalah," ujar Ayra sambil memegang pipi Hafizal.
Hafizal memandang wajah isterinya itu. Ayra nampak sangat gembira apabila bersamanya, namun dia perasan sejak kebelakangan wajah Ayra tampak kusam. Adakah sebab pembawakan anak?

"Abang bukan apa, abang bimbangkan sayang. Sudahlah sayang tinggal sendirian di rumah, apa-apapun boleh terjadi. Lagipun, abang syak Wafi sudahpun mengetahui tentang harta-harta abang yang tidak dapat dimilikinya itu. Abang yakin dia pasti akan mencari siapakah pemegang saham terbesar syarikat dan pemilik semua hartanah abang," jelas Hafizal, bimbang.

"Abang, Mel tinggal di rumah daddy sekarang. Dia tak benarkan Mel tinggal di rumah kita. Mak dengan ayah pun sudah kembali ke sana. Abang jangan risau ya?" terang Ayra sambil tersenyum.
Mendengar kata-kata Ayra, Hafizal menarik nafas lega.

     *     *     *     *     *

Hafizal baru selesai solat Isyak apabila Qatrunnada memasuki biliknya. Sejak kebelakangan ini, dia sudah mula mencuba untuk solat semula setelah lebih sebulan terlupa untuk menyembah Yang Maha Esa.

"You solat sekarang? I tak tahu pula selama ini you tahu solat," sindir Qatrunnada setelah duduk di atas kerusi berhampiran katil Hafizal.

"Lebih baik solat sekarang, daripada tak solat langsung," jawab Hafizal, sinis.

"You tak payahlah nak berbicara serupa orang alim, sedangkan you pun tawanan seseorang! You tak tahu sampai bila hayat you kan?" ujar Qatrunnada.

"You tahu tak, I cemburu dengan orang yang ada HIV, AIDS, Kanser dan juga banduan akhir, sebab Allah berikan mereka peluang untuk bertaubat dengan memberikan mereka anggaran jangka hayat mereka. Mereka dah tahu bila mereka akan mati, sayanglah kalau mereka tak bertaubat. Betul tak?" ujar Hafizal pula.

Kata-kata Hafizal membuatkan Qatrunnada tersentap. Sungguh, selama ini dia menyalahkan takdir di atas penyakit yang dihadapinya, namun dia sendiri tidak menyedari akan peluang yang Allah berikan kepadanya.

"I memang tawanan Wafi, I akuinya. Itu membuatkan I sendiri tak tahu bila ajal I akan tiba. Mungkinkah hari ini, mungkinkah esok? Entahlah," sambung Hafizal lagi.

Qatrunnada masih lagi mendiamkan diri, sungguh dia berasa malu dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Hafizal itu.

"Kenapa sudah dekat dua bulan you tak datang sini? Lama I tak nampak you," ujar Hafizal, tiba-tiba.

"Bagaimana you tahu I sudah dekat dua bulan tak datang jumpa you? Rindu ya?" seloroh Qatrunnada bagi menyembunyikan keresahannya.

"Sejak you letakkan dadah dalam makanan I, I kira hari yang berganti selepas itu. Bukan rindu, cuma tertanya-tanya. Selalunya you datang cari gaduh dengan I," jawab Hafizal, bersahaja.

"Ya ke? Hari ini berapa hari bulan, kalau betul you kira," tanya Qatrunnada, ingin menguji tahap pengiraan Hafizal.

"Hari ini satu hari bulan dua belas. Betul tak?" jawab Hafizal sambil tersenyum.

"Wah, hebatnya! Betullah itu. Sedar tak sedar, sudah lebih dua bulan you hidup terkurung dalam ini ya? Eh, sekejap! Macam mana you tahu I yang letakkan dadah dalam makanan you?" ujar Qatrunnada sambil membalas senyuman Hafizal.

"Budak-budak ini beritahu semasa mereka hantar makanan. I tanya mana you, mereka kata you tak nak hantar makanan pada I lagi sejak kantoi hari itu. Begitulah cara I dapat tahu," jawab Hafizal.

"I dah dapat balasan I di atas semua dosa-dosa I. I rasa jijik sangat dengan diri I sendiri. I minta maaf sebab perangkap you dulu sehingga you hidup begini sekarang," jelas Qatrunnada.

"Semua orang ada sebab mereka sendiri mengapa mereka melakukan kesilapan. Semua manusia tak terlepas daripada berbuat silap, yang penting kita haruslah bertaubat sebelum Allah tarik nyawa kita," jawab Hafizal.

"I ini pelacur, Hafizal, bukan model seperti dulu. Bagaimana I nak solat sedangkan I sendiri bergelumang dengan maksiat?" tanya Qatrunnada.

"I tak bagus mana, tapi setahu I, dosa kita hanya Allah sahaja yang boleh menilai. Bukannya you sengaja pilih untuk jadi pelacur bukan? You terpaksa, untuk membayar hutang you pada Wafi. Kalau you nak bertaubat, you buat saja. Pilihan itu di tangan you," jawab Hafizal sambil tersenyum.

"Boleh I berkongsi sesuatu dengan you tak?" tanya Qatrunnada, resah.

"Boleh, kalau I boleh tolong, I tolong. Apa dia?" tanya Hafizal pula.

"I telah dijangkiti virus HIV, I dianggarkan boleh hidup lebih kurang setahun lagi. Atas sebab itulah I tak nak hantar makanan pada you lagi, bukannya sebab kes dadah itu," jelas Qatrunnada, sebelum menangis.

Hafizal terbungkam. Hilang sudah kata-katanya untuk membalas kata-kata Qatrunnada itu.

     *     *     *     *     *

Pintu bilik Hafizal yang dibuka menyebabkan Hafizal terjaga dari tidurnya. Selama lima bulan dia berada di situ, dia lebih bimbangkan pintu bilik yang dibuka secara tiba-tiba kerana dia sendiri tak boleh menjangka siapakah yang masuk ke dalam bilik yang dihuninya sekian lama itu.

Dia mula menarik nafas lega apabila melihat Bob dan beberapa orang bawahan Wafi masuk ke dalam bilik tersebut kerana dia lebih bimbang andai yang masuk itu adalah Wafi. Ini adalah kerana dia masih belum sembuh daripada kecederaan akibat dibelasah kelmarin.

Meskipun kebelakangan ini, Wafi kurang membelasahnya tetapi dia masih lagi menjadi tempat sepupunya itu melepaskan geram apabila lelaki itu bergaduh dengan isterinya.

Namun begitu, hatinya mulai resah apabila orang-orang bawahan Wafi mula memegangnya dan memasang gari di kaki dan tangannya. Bob pula berdiri di hadapannya dan melihatnya digari.

"Kenapa ini?" tanya Hafizal, hairan dengan apa yang berlaku.

"Aku minta maaf Hafizal, aku sendiripun tak sangka perkara ini boleh berlaku. Cuma, aku tak boleh nak beritahu sekarang. Kau dengar sendirilah," jawab Bob, serba salah.

Hafizal memandang Bob. Sejak dia menghuni markas itu lima bulan lepas, kesemua ahli geng tersebut mulai akrab dengannya. Jadi, dia tak terkejut andai Bob menyimpan perasaan bersalah terhadapnya.

"Kau ini, janganlah buat muka begini. Kau buat aku rasa berdebarlah," seloroh Hafizal.

"Beginilah, aku beritahu kau. Wafi naikkan kau untuk lelongan kelmarin, tanpa pengetahuan sesiapa termasuklah aku dan Qat. Ada pembeli yang membida kau dengan harga RM10 juta, dan orang itu sudah tiba untuk mengambil kau," jawab Bob, tanpa memandang wajah Hafizal.

Hafizal terbungkam. Bagaimana Wafi boleh menjualnya? Sudah lupakah dia akan perjanjiannya dengan Ayra? Apakah respon Ayra andai dia mengetahui tentang perkara ini?

"Ayra tahu tak?" tanya Hafizal lagi.

"Dia sudah tahu, aku beritahu dia tadi. Dia dalam perjalanan ke sini," jawab Bob.

"Terima kasih, Bob. Aku cuma nak jumpa dia buat kali terakhir sebelum aku pergi," jawab Hafizal lalu tersenyum.

Hafizal dapat melihat Bob membalas senyumannya sebelum pandangannya menjadi kelam akibat ditutup dengan kain. Dia dipimpin oleh orang-orang bawahan Wafi yang memegangnya sedari tadi sebelum disuruh melutut setelah berjalan beberapa ketika.

"Kenapa you jual dia? You dah janji dengan I yang you takkan jual dia! I sudah buat apa yang you nak, kenapa you mungkir janji?" jerit Ayra dengan jelas dapat didengari oleh Hafizal.

"Dia hak milik I, jadi suka hatilah I nak jual dia ataupun simpan dia! You itu, kekasih I saja! Apa hak you untuk pertikaikan keputusan I?" bentak Wafi.

"Kalau begitu, you jual I sekali! I ini hak milik dia, just in case you forgotten," jawab Ayra.

Hafizal terkesima mendengar kata-kata Ayra, berani betul isterinya. Bagaimana kalau Wafi betul-betul menjual Ayra?

"Siapa nak perempuan mengandung seperti you? Lainlah kalau you nak I jual anak you itu," jawab Wafi, kedengaran sinis di telinga Hafizal. Hafizal masih mencuba menahan kemarahannya, demi Ayra.

"You ingat semua benda dalam dunia ini boleh dijual belikah? You sebenarnya marah sebab I tak berikan perkara terakhir yang you minta, bukan?" tanya Ayra, geram.

"I tak hadaplah benda itu, kalau I boleh dapat RM10 juta hanya dengan menjual seorang manusia! Selama inipun I kaya sebab jual manusia apa?" bentak Wafi, bongkak.

"You berbicara serupa orang tak ada iman ya, Wafi?" sindir Ayra lagi.

"Sudah, pembeli Ijal sudah sampai. I nak you diam, Ayra."

"Kalau I tak nak diam?" tanya Ayra.

"Bob, kau gari tangan Ayra dan tekup mulut dia. Aku nak dia saksikan sesi jual beli suaminya," arah Wafi lalu tertawa besar.

Kedengaran suara jeritan Ayra sebelum jeritan itu semakin tak jelas dan perlahan. Dia mengagak Ayra sudahpun digari dan ditekup mulutnya.

"Well, well, well, Encik Farid! You rupanya yang telah membeli Hafizal! What a small world! Tak sangka you tahu tentang portal lelongan kami," ujar Wafi, mesra.

Farid? Takkanlah Fred yang beli dirinya? Mana pula dia dapat duit sebanyak itu?

"I sudah tahu sejak you buka cik Ayra untuk lelongan lagi. I cuba bida untuk dia, tapi tak sangka ada orang lain yang dapat dia," jawab Fred, mesra.

"Orang yang you beli itulah yang telah membeli Ayra," jelas Wafi.

"Kalau begitu, mungkinkah selepas ini you akan tipu I dan menyebabkan I terjual pula?" tanya Fred sebelum ketawa besar.

"Ish, ke situ pula Encik Farid! Tak adalah, Hafizal ini special case. Jangan risau, ianya takkan berulang. Jadi, bagaimana? Nak periksa Hafizal dulu atau nak ambil terus?" tanya Wafi setelah menjelaskan perkara sebenar kepada Fred.

"I ambil teruslah, tapi I ada tawaran untuk you. How about I pay you another RM5 million for Ayra?" tawar Fred membuatkan Hafizal terbungkam.

"Come on, RM5 million is the price Hafizal paid for Ayra before," jelas Wafi.

"Kira baguslah I nak beli Ayra dengan harga asal, melihatkan keadaan dia sekarang," jawab Fred, sinis.

Keadaan sepi seketika, tanpa ada suara dari Wafi mahupun Fred.

"Deal!" ucap Wafi, tiba-tiba.

Hafizal mengucap panjang mendengar kata-kata Wafi itu. Sebegitu tegarkah dia menjual wanita yang dia cintai?

"Wow, plot twist! I thought you will never sell Ayra, since she is your girl friend," seloroh Fred.

"She's no longer useful for me, so you can have her," jawab Wafi.

"Ini duit RM5 juta you, so can I take both of them?" tanya Fred.

"Okay, done. Boleh, they are yours now. Bob, tutup mata Ayra dan bawa mereka berdua ke dalam kereta Encik Farid ini," arah Wafi sebelum Hafizal ditarik untuk bangun dan dipimpin masuk ke dalam kereta.

Kedengaran enjin kereta berbunyi dan kereta mula bergerak sebelum berhenti semula lebih kurang setengah jam kemudian. Sekali lagi Hafizal berasa dirinya dipimpin buat beberapa minit sebelum didudukkan di atas kerusi dan dibukakan gari tangan dan kakinya. Selepas itu, kain hitam yang menutup matanya sekian lama dibuka.

Perlahan-lahan Hafizal membuka matanya dan cuba menganalisa keadaan sekelilingnya. Dia dapat melihat Fred dan beberapa orang pegawai polis lengkap berseragam sedang berdiri di hadapannya, manakala Ayra pula terbaring di atas sofa berdekatan.

"Aku kat mana ini, Fred? Kenapa Ayra begitu?" tanya Hafizal, hairan.

"Bos ada di balai polis Rawang, balai polis terdekat dari markas Wafi. Puan Ayra pengsan tadi kerana terkejut. Dia betul-betul tak sangka Wafi sanggup jual dia, bos. Sampai pengsan," jawab Fred, sebelum ketawa kecil.

"Terkejutlah sangat, padahal dia yang cabar Wafi jual dia sekali dengan aku sebab katanya, dia milik aku," jawab Hafizal, selamba.

"Apa?" tanya Fred, terkejut dengan pernyataan Hafizal itu.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment