Monday, October 30, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 43...

Bahagian sebelumnya:
Bahagian 43: Pernikahan Kedua

Hafizal baru sahaja tiba di tingkat lapan apabila Ayra berjalan mendapatkannya. Pagi tadi, dia menyuruh Pak Din menghantar Ayra ke pejabat dahulu sebelum membawanya ke Citrapura Holdings untuk perjumpaan bersama Datuk Dahlan bagi membincangkan tentang projek perumahan baru syarikat di mana Datuk Dahlan ingin melabur di dalam projek tersebut.

"Ada apa, Mel? tanya Hafizal, cemas melihat Ayra berkelakuan begitu.

"Bakal isteri baru abang datang, dia pergi tandas sebentar," bisik Ayra di telinga Hafizal.

Hafizal hanya mengangguk lemah. Sangkaannya Salwa takkan mencarinya di pejabat, tetapi semakin hampir tarikh pernikahan mereka, semakin kerap wanita itu bertandang di pejabatnya. Semalam dia hadir untuk mengajaknya mengambil ukuran baju nikah dan bersanding. Akibat daripada terlewat, mereka berdua bersetuju untuk menyewa pakaian sedia ada sahaja memandangkan sukar untuk pereka pakaian pengantin untuk menyiapkan pakaian dalam masa seminggu. Mujur Salwa tak mencetuskan isu tentangnya.

Apa pula agaknya yang ingin dia lakukan hari ini? Pening Hafizal memikirkan sebab untuk dia menolak ajakan minah senget itu hari ini.

Sedang Ayra dan Hafizal berjalan menuju ke meja Ayra, kedengaran bunyi tapak kasut tumit tinggi berjalan mendekati mereka berdua. Bunyi tersebut membuatkan keduanya berpaling lalu memandang wanita yang memakai gaun separas lutut berwarna hijau muda, dan kasut stiletto berwarna sedondon itu sambil tersenyum nipis.

"Sayang, you ke mana? Puas I tunggu!" tanya Salwa sambil memegang lengan Hafizal. Hafizal mula berasa tidak selesa, apatah lagi melihat Ayra yang melihat ke arah lengan mereka yang bertaut itu dengan wajah tanpa ekspresi. Sesungguhnya dia lebih takutkan isterinya jika wanita itu tidak memberikan sebarang ekspresi berbanding sebaliknya.

"I ada meeting dengan papa you, itupun tak boleh ke?" jawab Hafizal, sinis. Dia cuba melepaskan pautan Salwa pada lengannya tetapi semakin kuat pula pegangannya.

"Oh ya ke. Kau ini pula, kenapa masih di sini? Sibuk saja!" Salwa mula menerjah Ayra yang masih lagi berdiri di hadapan mereka.

"Maaflah kalau saya mengganggu, tapi tuan ada mesyuarat dengan Tan Sri Tengku lagi sepuluh minit," ujar Ayra sambil memandang jam tangan yang dibelikan oleh Hafizal semalam. Sengaja dia tayangkan jam berjenama Fossil itu bagi membuatkan Salwa bengang dengannya.

"Banyak duit kau nak beli jam tangan mahal begitu? Oh ya, aku teringin nak tanya. Aku tak pernah tahu kau sudah berkahwin, tapi aku tengok orang dalam pejabat ini panggil kau puan dan perut kau pun sudah membesar. Bila kau menikah? Siapa suami kau?" tanya Salwa, terus terang.

Hafizal geli hati mendengar pertanyaan Salwa itu, lalu melihat ke arah isterinya yang sudahpun tersenyum lebar.

"Saya bernikah dengan CEO syarikat cik Salwa, suami saya yang berikan saya jam ini. Cantik bukan? Kalau cik nak, boleh suruh bakal suami cik ini tolong belikan," jawab Ayra sambil tersengih memandang Hafizal yang sudahpun merenung isterinya itu. Sakit pula hatinya mendengar kata-kata Ayra itu.

"Sayang, cantiklah jam dia! Boleh tak belikan I punya satu? Please, sayang..." pujuk Salwa sambil memandang wajah Hafizal sebelum Hafizal memandangnya pula.

"Boleh, sayang. Untuk you, bom atom pun I boleh beli!" jawab Hafizal sambil menjeling ke arah Ayra. Sengaja ditekankan ayat keduanya itu bagi menyindir isterinya itu.

"Okay, we can go buy it now!" ujar Salwa, teruja.

Mendengar kata-kata Salwa, Ayra menepuk dahi. Hafizal pula hanya menggelengkan kepalanya.

"Not now, Salwa. I ada meeting dengan Tan Sri Tengku. You balik dulu, malam nanti I jemput you, kita pergi beli jam ini untuk letak atas dulang hantaran kita," arah Hafizal, lembut.

"Okay, sayang. See you tonight! Ayra, kau tolong tengok-tengokkan bakal suami aku! Pastikan tak ada perempuan yang nak goda dia. Aku tak nak ada madu lagi dua, cukuplah seorang," ujar Salwa sebelum beredar dari situ.

Hafizal dan Ayra hanya memerhatikan pemergian Salwa dengan senyuman sebelum keduanya ketawa besar apabila pintu lif yang dimasuki Salwa itu ditutup.

"Amboi, bukan main lembut lagi abang dengan dia ya? Kalau dengan Mel, bukan main lagi kuasa veto abang!" sindir Ayra sebelum beredar kembali menuju ke meja.

Hafizal pula terpinga-pinga sebelum berjalan menuju ke arah Ayra yang sedang memegang perutnya itu. Bukan main gembira lagi isterinya mengusap perutnya.

"Takkan cemburu kot? Mel tahu bukan abang cuma sayang Mel seorang?" tanya Hafizal sambil tersenyum nakal.

"Tahu, tapi cemburu itu harus kalau betul Mel sayang abang! Atau abang nak Mel tayang muka tanpa ekspresi itu?" tanya Ayra, ingin menguji.

Hafizal terkesima mendengar kata-kata Ayra itu. Mati akalnya kerana Ayra sudahpun mengetahui kelemahannya.

"Janganlah, sayang. Terima kasih sebab sudi cemburukan abang. Sudah, abang nak masuk ke dalam bilik. Nanti bila Tan Sri sudah sampai, maklumkan pada abang," ujar Hafizal sebelum memasuki bilik pejabatnya.

Entah mengapa dia merasakan Ayra sudah boleh dibawa bergurau dan tidak lagi hanya mengikut saja arahannya seperti dahulu. Mungkin juga pembawakan anak yang mengubahnya menjadi sebegitu. Namun, dia terfikir adakah kebahagiaan yang dia rasakan akan berubah setelah dia mengahwini Salwa?

     *     *     *     *     *

"Aku terima nikahnya Siti Salwa binti Dahlan dengan mas kahwinnya sepuluh ribu ringgit tunai," lafaz Hafizal bagi menjawab lafaz Ijab yang dilafazkan oleh Datuk Dahlan, wali kepada Salwa.

"Bagaimana, saksi? Sah?" tanya Tok Kadi yang menyaksi upacara akad nikah tersebut. Sekali lagi, Nazrin dan Khairul telah menjadi saksi pernikahan Hafizal kerana bagi Hafizal, lebih mudah jika mereka berdua kekal menjadi saksi pernikahan keduanya. Mujurlah keduanya bersetuju.

Namun begitu, dia berasa sedikit terkilan kerana Ayra tidak bersamanya pada hari ini. Ayra telah meminta izin untuk keluar sendirian kerana dia tak mahu menyaksikan pernikahan kedua suaminya. Terpaksa dia tunaikan permintaan isterinya itu kerana dia tahu hati wanita itu tetap terluka, namun dia perlu bernikah lagi satu untuk menyelamatkan maruah ibunya. Akan tetapi, dia telah menyuruh Apai memerhatikan Ayra dan memaklumkan pergerakan isterinya itu.

Selesai sahaja akad nikah dan sesi membatalkan wudhuk, Hafizal terus keluar menuju keluar masjid bagi menghirup udara segar. Dia berasa lemas dengan perhatian yang diberikan oleh para tetamu kepadanya. Almaklumlah, ketika dia bernikah dengan Ayra, dia tidak berpeluang merasai semua ini.

"Abang, boleh Mel minta sesuatu? Lagipun, esok abang akan bernikah dan kemudian terus ke Paris untuk berbulan madu selama seminggu. Jadi, Mel tak berpeluang melihat wajah abang selama seminggu," ujar Ayra, memecah kesunyian.

"Apa dia, sayang?" tanya Hafizal sambil mengusap perut Ayra. Kandungan Ayra yang telah mencecah 26 minggu itu sudah mula ketara walaupun semasa baring.

"Mel nak keluar mencari ketenangan pada hari pernikahan abang. Mel tak boleh hadiri pernikahan abang dengan Salwa. Mel minta maaf," ujar Ayra.

Hafizal memandang wajah isterinya. Isteri tidak menunjukkan sebarang ekspresi.
Jadi, mengapakah isterinya membuat permintaan begini?

"Kenapa pula?" tanya Hafizal, tidak mengerti.

"Mel tak boleh, Mel minta maaf. Kalau abang nak suruh Apai ikut Mel pun Mel tak kisah. Asalkan Mel keluar sendirian," pinta Ayra dengan pandangan penuh harapan.

Hafizal kalah dengan pandangan minta simpati yang diberikan oleh Ayra. Sempat lagi dia mengeluh sebelum memberikan jawapannya.

"Baiklah, tapi abang akan suruh Apai ikut sayang," jawab Hafizal.

Ayra tidak menjawab, sebaliknya hanya memeluk Hafizal tanda dia gembira dengan keizinan yang diberikan oleh Hafizal.

"Apa ini, pengantin duduk di luar? Kau kenapa, Izal? Tak sihat ke?" tanya Khairul, bimbang dengan keadaan Hafizal yang nampak resah.

"Aku rasa tak sedap hatilah, macam ada yang tak kena. Aku bimbangkan Ayra," jawab Hafizal.

"Oh ya, bila kau cakap, baru aku perasan. Ayra mana?" tanya Nazrin kepada Hafizal yang sedang menghubungi seseorang.

"Hello, Apai. Kau di mana?" tanya Hafizal setelah Apai menjawab panggilannya. Dia tidak mengendahkan pertanyaan Nazrin tadi.

"Hello, bos. Saya di MRR2 ini, puan kemalangan. Berhampiran dengan TBS," jawab Apai di hujung talian.

"Ya Allah, dia macam mana?" tanya Hafizal, cemas.

"Dia pengsan ini, barangkali kerana terkejut tapi dia tak ada sebarang kecederaan luaran. Saya baru sahaja masukkan dia ke dalam kereta untuk dibawa ke Hospital Ampang. Apa-apa saya akan maklumkan pada bos," jawab Apai.

"Baiklah, roger and out," ujar Hafizal sebelum mematikan panggilan telefon.

"Naz, Kay, aku nak minta jasa baik kau orang berdua. Tolong hantar aku ke Hospital Ampang. Ayra kemalangan, dia dalam perjalanan ke hospital. Dia tak ada waris terdekat lain selain daripada aku," rayu Hafizal kepada Nazrin dan Khairul yang saling berpandangan itu.

Lama mereka berdua berfikir sebelum akhirnya mengangguk setuju. Mereka bertiga baru sahaja hendak melangkah apabila ada suara yang menghalang pergerakan mereka.

"Nak ke mana itu, Megat Hafizal?" tanya Puan Sri Halimatun, cuba menghalang tiga sekawan itu daripada meninggalkan majlis.

"Ijal ke hospital sebentar, nanti sebelum majlis resepsi malam nanti, Ijal ke hotel. Isteri Ijal kemalangan," jawab Hafizal lalu berpaling memandang ibunya bagi meraih simpati.

Hafizal dapat melihat wajah ibunya yang serba salah itu. Lebih-lebih lagi setelah perkarangan masjid itu tiba-tiba riuh dengan suara-suara umpatan orang akibat daripada kata-kata Hafizal tadi.

"Pergilah, daddy izinkan. Ingat, daddy nak Ijal maklumkan pada daddy tentang keadaannya. Malam nanti sebelum Ijal ke hotel, daddy akan suruh mak dengan ayah kamu temankan dia," jawab Tan Sri Mustaqim lalu tersenyum nipis.

Dia kenal benar ayahnya itu. Lelaki itu sentiasa tahu bagaimana hendak berdiplomasi, kerana itulah syarikatnya ambil masa yang singkat untuk berkembang pesat.

"Terima kasih, daddy. Ijal pergi dulu," ujar Hafizal lalu berpaling untuk meneruskan langkahnya.

"Siapa berikan you hak untuk  keluar dari majlis kita?" tanya Salwa yang berbusana putih dan dipenuhi dengan manik-manik berwarna krim, dilengkapi dengan selendang berwarna krim.

Pertanyaan Salwa membuatkan Hafizal tidak jadi untuk berpaling. Dia memandang wanita itu dengan perasaan yang bengang.

"Apa pula hak you nak halang I?" tanya Hafizal, sinis sebelum beredar meninggalkan majlis tersebut untuk berangkat ke hospital. Dia lebih bimbangkan isteri pertamanya, kerana wanita itu sedang mengandungkan zuriatnya.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment