Wednesday, November 1, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 44...

Bahagian sebelumnya:
Bahagian 44: Kemalangan


"Bos kau mana?" tanya Salwa yang tiba-tiba muncul di hadapan Ayra. Terkejut Ayra dengan kehadiran minah senget itu. Apa halnya pula hari ini? Semalam, kelmarin dan hari sebelum-sebelumnya juga begitu. Bukannya lama lagi mereka berdua hendak bernikah, tetapi wanita ini tidak habis-habis cuba mengganggu ketenteraman awam.

"Tuan pergi mesyuarat di luar. Cik Salwa nak tunggu ataupun nak balik dulu? Nanti tuan sampai, saya maklumkan kepadanya akan kehadiran cik Salwa," ujar Ayra sambil tersenyum walaupun senyuman itu agak dipaksa.

"Aku tunggu," jawab Salwa sebelum menuju ke tandas yang terletak tidak jauh dari meja Ayra. Betapa kerapnya dia berada di sini, sehinggakan tandas pun dia sudah tahu di mana. Tindakan bakal madunya itu membuatkan Ayra mengeluh.

Tiba-tiba, dia terdengar bunyi pintu lif terbuka dan kelibat Hafizal mula kelihatan. Ayra berjalan mendapatkan Hafizal yang baru sahaja tiba di tingkat lapan itu. Dia perlu memberitahu Hafizal tentang kehadiran tunang lelaki itu terlebih dahulu.

"Ada apa, Mel? tanya Hafizal, cemas melihat Ayra berkelakuan begitu.

"Bakal isteri baru abang datang, dia pergi tandas sebentar," bisik Ayra di telinga Hafizal.

Hafizal hanya mengangguk lemah. Ayra yang melihat respon Hafizal itu mulai bimbang dengan reaksi suaminya. Hafizal kelihatan tak gembira, tetapi mengapa dia masih meneruskan pernikahan mereka berdua? Puan Sri Halimatun pernah memujuk Hafizal untuk membatalkan sahaja perkahwinan Hafizal dan Salwa, tetapi dibantah keras oleh Hafizal membuatkan dia mula berasa keliru. Apakah yang ingin Hafizal lindungi?

Sedang Ayra dan Hafizal berjalan menuju ke meja Ayra, kedengaran bunyi tapak kasut tumit tinggi berjalan mendekati mereka berdua. Bunyi tersebut membuatkan keduanya berpaling lalu memandang wanita yang memakai gaun separas lutut berwarna hijau muda, dan kasut stiletto berwarna sedondon itu sambil tersenyum nipis.

"Sayang, you ke mana? Puas I tunggu!" tanya Salwa sambil memegang lengan Hafizal. Ayra memandang ke arah lengan Hafizal dan Salwa yang bertaut itu tanpa sebarang ekspresi, meskipun hatinya sudah mula mendidih sehingga dia tidak peduli akan Hafizal yang sedang memandangnya itu.

"I ada meeting dengan papa you, itupun tak boleh ke?" jawab Hafizal, sinis. Ayra dapat melihat Hafizal cuba melepaskan pautan Salwa pada lengannya tetapi semakin kuat pula pegangannya.

"Oh ya ke. Kau ini pula, kenapa masih di sini? Sibuk saja!" Salwa mula menerjah Ayra yang masih lagi berdiri di hadapan mereka.

"Maaflah kalau saya mengganggu, tapi tuan ada mesyuarat dengan Tan Sri Tengku lagi sepuluh minit," ujar Ayra sambil memandang jam tangan yang dibelikan oleh Hafizal semalam. Sengaja dia tayangkan jam berjenama Fossil itu bagi membuatkan Salwa bengang dengannya.

"Banyak duit kau nak beli jam tangan mahal begitu? Oh ya, aku teringin nak tanya. Aku tak pernah tahu kau sudah berkahwin, tapi aku tengok orang dalam pejabat ini panggil kau puan dan perut kau pun sudah membesar. Bila kau menikah? Siapa suami kau?" tanya Salwa, terus terang.

Ayra tersenyum puas mendengar pertanyaan Salwa. Helahnya berjaya.

"Saya bernikah dengan CEO syarikat cik Salwa, suami saya yang berikan saya jam ini. Cantik bukan? Kalau cik nak, boleh suruh bakal suami cik ini tolong belikan," jawab Ayra sambil tersengih memandang Hafizal yang sudahpun merenung isterinya itu. Sekali lagi Ayra tersenyum puas kerana dapat mengenakan Hafizal pula.

"Sayang, cantiklah jam dia! Boleh tak belikan I punya satu? Please, sayang..." pujuk Salwa sambil memandang wajah Hafizal sebelum Hafizal memandangnya pula.

"Boleh, sayang. Untuk you, bom atom pun I boleh beli!" jawab Hafizal sambil menjeling ke arah Ayra. Ayra tahu Hafizal cuba menyindirnya, namun dia sedikitpun tidak tergugat dengan sindiran Hafizal itu.

"Okay, we can go buy it now!" ujar Salwa, teruja.

Mendengar kata-kata Salwa, Ayra menepuk dahi. Bagaimanakah ibu mentuanya boleh bersetuju untuk bermenantukan gadis di hadapannya ini?

"Not now, SalwaI ada meeting dengan Tan Sri Tengku. You balik dulu, malam nanti I jemput you, kita pergi beli jam ini untuk letak atas dulang hantaran kita," arah Hafizal, lembut.

"Okay, sayang. See you tonight! Ayra, kau tolong tengok-tengokkan bakal suami aku! Pastikan tak ada perempuan yang nak goda dia. Aku tak nak ada madu lagi dua, cukuplah seorang," ujar Salwa sebelum beredar dari situ.

Hafizal dan Ayra hanya memerhatikan pemergian Salwa dengan senyuman sebelum keduanya ketawa besar apabila pintu lif yang dimasuki Salwa itu ditutup.

"Amboi, bukan main lembut lagi abang dengan dia ya? Kalau dengan Mel, bukan main lagi kuasa veto abang!" sindir Ayra sebelum beredar kembali menuju ke meja.

Hafizal pula kelihatan terpinga-pinga sebelum berjalan menuju ke arah Ayra yang sedang memegang perutnya itu. Ayra berasa sangat bahagia kerana berpeluang untuk mengandungkan anak Hafizal.

"Takkan cemburu kot? Mel tahu bukan abang cuma sayang Mel seorang?" tanya Hafizal sambil tersenyum nakal.

"Tahu, tapi cemburu itu harus kalau betul Mel sayang abang! Atau abang nak Mel tayang muka tanpa ekspresi itu?" tanya Ayra, ingin menguji.

Sengaja dia mengugut suaminya kerana dia tahu wajah tanpa ekspresi yang seringkali dipamerkan itulah adalah kelemahan suaminya itu. Itulah, siapa suruh suaminya itu mengajarnya berbuat begitu?

"Janganlah, sayang. Terima kasih sebab sudi cemburukan abang. Sudah, abang nak masuk ke dalam bilik. Nanti bila Tan Sri sudah sampai, maklumkan pada abang," ujar Hafizal sebelum memasuki bilik pejabatnya.

Ayra hanya melihat pemergian Hafizal dengan senyuman. Lelaki itu pasti perasan akan perubahan mendadaknya itu. Jika dulu, dia tidak banyak berbual dengan suaminya itu kecuali hal-hal penting tetapi kini dia sudah mula berseloroh dengan Hafizal. Entah apalah persepsi suaminya kepadanya?

     *     *     *     *     *

"Abang, boleh Mel minta sesuatu? Lagipun, esok abang akan bernikah dan kemudian terus ke Paris untuk berbulan madu selama seminggu. Jadi, Mel tak berpeluang melihat wajah abang selama seminggu," ujar Ayra, memecah kesunyian.

"Apa dia, sayang?" tanya Hafizal sambil mengusap perut Ayra. Kandungan Ayra yang telah mencecah 26 minggu itu sudah mula ketara walaupun semasa baring.

"Mel nak keluar mencari ketenangan pada hari pernikahan abang. Mel tak boleh hadiri pernikahan abang dengan Salwa. Mel minta maaf," ujar Ayra, terus terang.

"Kenapa pula?" tanya Hafizal, tidak mengerti.

"Mel tak boleh, Mel minta maaf. Kalau abang nak suruh Apai ikut Mel pun Mel tak kisah. Asalkan Mel keluar sendirian," pinta Ayra dengan pandangan penuh harapan. Dia tak mahu suaminya tahu bahawa dia terluka di atas pernikahan suaminya itu.

Hafizal kalah dengan pandangan minta simpati yang diberikan oleh Ayra. Sempat lagi dia mengeluh sebelum memberikan jawapannya.

"Baiklah, tapi abang akan suruh Apai ikut sayang," jawab Hafizal.

Ayra tidak menjawab, sebaliknya hanya memeluk Hafizal tanda dia gembira dengan keizinan yang diberikan oleh Hafizal. Dia hanya mahukan ketenangan sebelum menghadap Salwa setiap hari dalam hidupnya.

Dia tahu Salwa pasti akan mengganggu hidupnya selepas ini, lebih-lebih lagi memandangkan semua orang telah ditegah olehnya untuk membongkarkan identitinya kepada keluarga Salwa kerana dia tahu ianya akan menjadi isu kepada kedua belah pihak pada masa akan datang.

     *     *     *     *     *

Pagi itu, sebaik sahaja dia terbangun, dia melihat Hafizal sudah tiada di sisinya. Dia mencapai iPhone 6 miliknya, jam di skrin menunjukkan tepat jam 9.30 pagi. Pasti Hafizal sudah berangkat ke rumah Tan Sri Mustaqim untuk bersiap sebelum ke masjid untuk upacara akad nikah.

Entah mengapa dia mula berasa sebak mengenangkan suaminya itu tidak lagi menjadi miliknya. Selepas ini dia terpaksa berkongsi suaminya itu bersama minah senget yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan suaminya.

Kelmarin, Puan Sri Halimatun mengakui Datin Ruzaidah, ibu kepada Salwa sengaja menawarkan bantuan kepadanya hanya untuk membuatkan dirinya terhutang budi lalu bersetuju untuk mengahwinkan Hafizal dengan Salwa. Ibu mentuanya itu memohon maaf kerana tak mampu untuk menghalang pernikahan mereka berdua dan akhirnya membuatkan dirinya terluka.

Namun begitu, Ayra mengerti akan tujuan Hafizal mengahwini Salwa adalah untuk melindungi Ayra juga. Mungkin kerana Hafizal tidak mahu mendedahkan identiti Ayra kepada netizen memandangkan lelaki itu merupakan usahawan terkenal, maka dia menggunakan Salwa untuk menjadi 'isteri tayangan' kepada umum.

Selepas dia bersiap, dia keluar dan mengunci pintu rumah. Mak Iti dan Pak Din juga telah pergi ke rumah Tan Sri Mustaqim bagi membantu persiapan upacara pernikahan dan resepsi malam nanti. Hanya Fred dan Apai yang ditugaskan untuk menemani Ayra.

Belum sempat dia pergi mencari dua orang lelaki itu, Apai dan Fred telahpun muncul di hadapannya membuatkan dia terkejut lalu terjerit kecil. Apai dan Fred hanya menggelakkannya.

"Puan nak pergi mana hari ini? Ada cadangan?" tanya Fred sambil tersenyum.

Ayra membalas senyuman Fred tatkala mendengar soalan Fred itu. Geli hati pula dia mendengar soalan Fred itu.

"Entahlah, rasa nak keluar saja supaya saya tak terfikir tentang Hafizal," jawab Ayra sambil tersenyum.

"Mesti puan pening kan nak gelarkan dia tuan atapun abang di hadapan kami, betul tak?" seloroh Apai apabila mendengar jawapan Ayra itu.

"Agaklah, mana kau orang tahu ini? Baguslah, patutlah kau orang ini menjadi kesayangan Hafizal ya?" tanya Ayra lalu tertawa.

"Ala puan, saya ini bekas anggota polis. Apai pula bekas tentera laut. Masakan kami berdua tak boleh membaca tindakan orang lain, puan. Oh ya, puan nak memandu sendiri ataupun nak kami pandukan? Bos minta kami tanya puan dulu sebelum kita keluar," tanya Fred selepas memberikan jawapan kepada persoalan Ayra tadi.

Lama Ayra berfikir, sebelum menyerahkan kunci kereta Proton Saga miliknya kepada Fred. Sengaja dia meminta Fred membawa kereta itu kerana dia khuatir Hafizal akan memberikan kereta Volkswagen Vento miliknya itu kepada Salwa.

"Saya rasa tak sedap hatilah, awak pandulah. Setidaknya kalau ada bahaya yang menimpa, kamu berdua lebih bersedia daripada saya," jawab Ayra lalu tersenyum.

Fred hanya mengangguk sebelum mereka berdua memasuki kereta milik Ayra itu. Kereta itu dibeli tak lama sebelum arwah ayahnya meninggal dunia tujuh tahun lepas. Atas sebab itulah, Hafizal tidak menjual kereta itu meskipun dia telah menghadiahkan kereta baru kepada Ayra.

"Nak ke mana kita, puan?" tanya Fred selepas menghidupkan enjin.

"Saya teringin nak makan sate Kajang tapi jom kita pergi beli-belah dulu," jawab Ayra.

"Beli-belah? Untuk apa, puan?" tanya Fred, hairan.

"Untuk yang dalam perut inilah, saya belum sempat nak beli-belah barangannya. Nanti dia keluar, nak bagi pakai kain batikkah?" seloroh Ayra sambil tertawa kecil.

Baiklah, nak beli-belah di mana?" tanya Fred.

"One Utama?" tanya Ayra kembali.

"Baiklah, puan. Kita ke One Utama, selepas itu kita ke Kajang untuk makan sate ya? Saya tahu satu kedai yang hidangkan sate paling sedap," jawab Fred sebelum mula memandu.

Ayra yang duduk di tempat duduk belakang hanya mengangguk sebelum memandang ke arah luar tingkap. Fikirannya kusut memikirkan masa depan yang tak tentu lagi itu. Entah mengapa, sejak dia dijual dan dibeli oleh Hafizal, hidupnya tidak lagi seperti manusia normal. Satu demi satu dugaan muncul menyesakkan nafasnya.

Selepas beberapa jam membeli-belah di One Utama, mereka bertiga berangkat menuju ke Kajang. Mereka memilih untuk menggunakan Jalan Lingkaran Tengah 2 sebelum masuk ke dalam Lebuhraya KL-Seremban.

Selepas mereka melepasi Terminal Bersepadu Selatan, tiba-tiba ada kereta Mitsubishi Lancer yang cuba memotong kereta Proton Exora yang berada bersebelahan dengan kereta yang dipandu Fred itu menyebabkan kereta tersebut hilang kawalan lalu bergesel dengan kereta mereka. Fred cuba mengawal kereta, setelah beberapa minit bergelut untuk mengelak daripada kereta yang hilang kawalan itu, akhirnya dia berjaya berhenti secara mengejut di tepi jalan.

Detik mencemaskan itu membuatkan Ayra terhantuk kepalanya di pintu kereta akibat terlupa memakai tali pinggang keledar. Hantukan itu membuatkan Ayra mula berasa pening.

"Puan, puan okay tak ini? Puan? Puan?" kedengaran samar-samar jeritan Fred walaupun Fred berada di hadapan Ayra sahaja. Tak lama kemudian, pandangan Ayra mulai kelam.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment