Wednesday, November 8, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 46...

Bahagian sebelumnya:
Bahagian 46: Balas Budi


Harry sedang tidur apabila dia terkejut akibat kaki dan tangannya diikat, diikuti dengan mata dan mulutnya yang ditutup. Selepas itu, dia dapat merasakan dirinya diangkat lalu diletakkan ke dalam sesuatu seperti peti kayu kerana dia dapat merasakan permukaan bawah setelah dia diletakkan di atas permukaan tersebut.

"Mana pula mereka ini nak bawa aku?" tanya Harry, dalam hatinya.

Dia dapat mendengar bunyi selak dan mangga terpasang di atasnya, membuatkan dia dapat mengagak bahawa peti di mana dirinya diletakkan sedang dikunci. Bertahun dia melakukan kerja ini, masakan dia tak tahu bagaimana prosedur untuk sesuatu perkara.

Sesungguhnya dia amat menyedari bahawa dia diletakkan ke dalam peti ini atas tujuan pengangkutan. Nampaknya, dia sudah ada pembeli dan pembeli itu bukan berasal dari negara ini. Maka, dia harus diseludup keluar untuk diserahkan kepada pembeli tersebut.

Harry mulai panik kerana dia tak mahu hidupnya berakhir begitu sahaja. Dia cuba menendang peti tersebut, namun ternyata ianya sia-sia kerana dia dapat merasakan peti itu diangkat dan dimasukkan ke dalam kenderaan.

Dengan kaki yang terikat itu dia masih mencuba untuk menendang bahagian atas peti. Dia terus mencuba dan mencuba sebelum selak itu mulai longgar dan tercabut dari tempatnya. Harry menggunakan peluang itu untuk menendang peti itu bagi membukanya.

Namun, pandangannya yang kelam akibat mata yang ditekup membuatkan dia sukar untuk bergerak. Akan tetapi, demi melepaskan diri dia terpaksa mencuba untuk keluar tanpa dapat melihat apa yang berada di luar.

Baru sahaja dia mengangkat kepalanya, dia dapat mendengar bunyi picu pistol ditarik dan bunyi itu terasa sangat dekat dengan kepalanya. Jantungnya berdegup lebih kencang daripada tadi.

"Kalau kau bergerak lagi seinci, aku takkan teragak-agak untuk tembak kau!" jerit Bob membuatkan Harry kaku di tempatnya.

"Kau nak lari ya? Kenapalah semasa kau curi duit bos dulu, kau tak fikir semua ini?" tanya Bob lalu mencabut pita pelekat yang terletak di mulut dan kain hitam yang menutup mata Harry itu.

"Aku jual Ayra dulu memang untuk duit lebih, sebab itulah aku bayar bos jumlah hutang yang aku pinjam guna nama Ayra itu sahaja," jelas Harry sambil mencuba untuk membetulkan duduknya.

"Itulah kau, sebelum kau tipu orang, tengok dulu dia itu siapa. Ini tidak, main sebat sahaja! Tak memasal saja kau jual teman wanita bos. Inilah makannya," jawab Bob yang masih mengacukan pistol ke arah dahi Harry.

"Tolonglah lepaskan aku, Bob. Aku janji aku takkan kacau kau orang lagi," rayu Harry.

"Aku memang nak lepaskan kau, kerana aku sudah siapkan pengganti kau di sini," ujar Bob sambil menunjukkan ke arah peti yang sama dengan peti di mana Harry diletakkan tadi.

"Bagaimana dengan bos?" tanya Harry, hairan dengan kata-kata Bob itu.

"Bos takkan tahu kalau kau tak muncul depan mata dia. Aku buat begini sebab aku nak balas budi semasa kau selamatkan aku daripada ditembak geng Ah Wai dulu," jawab Bob sambil memegang bahu Harry. Selepas itu, dia mula meleraikan ikatan yang membelenggu tangan dan kaki Harry.

"Terima kasih, Bob. Aku akan ingat jasa kau sampai bila-bila," ujar Harry sambil memeluk Bob erat. Sesungguhnya perasaan terhutang budi itu satu perasaan yang tak tergambar dengan kata-kata.

"Ingat, aku tak nak kau muncul depan bos. Kalau kau pilih untuk muncul sekalipun, kau jangan sesekali babitkan kami semua dalam hal ini," jelas Bob sambil menuding ke arah Harry bagi menunjukkan bahawa dia serius.

"Yalah, pandai-pandailah aku," jawab Harry sambil tersenyum.

"Nah, ini dompet kau. Ini pula telefon bimbit kau. Aku akan turunkan kau di depan rumah Datuk Dahlan. Aku dengar dia tengah cari orang untuk jadi pembantu peribadinya. Jadi, aku cadangkan kau. Aku juga sudah terangkan semuanya pada dia tentang masalah kau. Dia setuju dengan semua syarat aku," jelas Bob sambil menyerahkan dompet dan telefon bimbit Harry.

Harry membuka dompetnya, hanya kad pengenalan dan kad-kad keahlian sahaja yang tinggal. Seperti yang diduganya.

"Kita sudah sampai. Jom aku hantar kau masuk," jawab Bob sebaik sahaja lori yang dinaiki mereka berhenti.

Mereka berdua turun dari lori tersebut sebelum mereka menuju ke arah pintu pagar yang sudah terbuka sedikit. Tanpa berlengah, Bob terus sahaja masuk ke dalam kawasan rumah yang berada di hadapan mereka itu.

Kelihatan seorang lelaki tua yang berbaju melayu hijau dan berkain pelikat berwarna sedondon sedang berdiri dengan kedua belah tangannya diletakkan di belakang. Terdapat seorang lelaki berbaju hitam di belakangnya.

"Assalamualaikum Datuk, saya Bob. Kawan Erman," sapa Bob sambil bersalaman dengan Datuk Dahlan.

"Waalaikumussalam, Bob. Akhirnya kita dapat bertemu. Ini pasti Harry bukan?" tanya Datuk Dahlan selepas menjawab salam yang diberikan oleh Bob tadi.

"Ya, betul. Harry, kenalkan. Ini Datuk Dahlan, CEO Citrapura Holdings. Bakal majikan kau," jawab Bob sambil memperkenalkan Datuk Dahlan kepada Harry.

Sebaik sahaja Bob selesai memperkenalkan Datuk Dahlan kepada Harry, Bob bersalaman dengan Datuk Dahlan. Harry dapat melihat Datuk Dahlan menelitinya dari atas ke bawah.

"Aku suka dengan orang yang kau bawa kali ini. Bila Harry boleh mula bekerja?" tanya Datuk Dahlan selepas berpuas hati dengan apa yang dilihatnya.

"Sekarang pun boleh, Datuk. Oh ya, Harry ini sebenarnya tak ada rumah. Rumahnya yang sebelum ini dia beli dengan menggunakan nama kekasihnya. Jadi, pihak bank telah menyita rumah tersebut," bohong Bob.

Harry menjeling ke arah Bob kerana pembohongan Bob yang dirasakan melampau itu membuatkan Bob memandangnya semula lalu tersengih.

"Tak apa, Bob. Dalam perkarangan rumah ini ada sebuah rumah kecil aku siapkan untuk para pekerja aku. Setakat ini cuma tukang kebun sahaja yang duduk di situ, ada lagi tiga buah rumah yang masih kosong. Cuma salah sebuah rumah itu pengawal yang berjaga di rumah ini gunakan untuk solat dan berehat. Amir, tolong ambil kunci rumah belakang dan berikan kepada Harry," arah Datuk Dahlan selepas menjelaskan tentang rumah pekerja yang disediakan olehnya itu.

Habis sahaja kata-kata Datuk Dahlan, lelaki yang sedari tadi berada di belakang lelaki itu beredar dari situ.

"Itu Amir, pengawal peribadi aku. Amir ini sudah bekerja dengan aku selama lima tahun. Aku taja dia semasa dia menyambung pengajiannya di dalam bidang psikologi. Dia ada tali pinggang hitam dalam Tae Kwon Do," terang Datuk Dahlan tanpa perlu ditanya terlebih dahulu.

"Jadi, Harry ini akan jadi pengawal peribadi siapa?" tanya Bob, hairan.

"Salwa, anak aku. Dia bakal berkahwin dengan seorang CEO tetapi dia mempunya gaya hidup yang agak liar. Jadi, aku bimbangkan keselamatannya," jawab Datuk Dahlan.

"Wah, bertuahnya Datuk! Sudahlah diri sendiri CEO syarikat, bakal menerima CEO sebagai menantu pula," puji Bob.

"Bertuah apanya? Anak aku isteri nombor dua. Orang kaya, mana puas dengan seorang isteri. Aku tidak dapat menafikannya," jawab Datuk Dahlan sambil mencebik mukanya.

"CEO muda ke tua?" tanya Harry, mulai hairan.

"Muda," jawab Datuk Dahlan.

"CEO muda yang bakal bernikah dua ini cuma seorang sahaja. Megat Hafizal Megat Mustaqim bukan?" teka Bob.

"Ya, betul. Kamu berdua kenal dia? Mesti rapat sampaikan kau tahu dia sudah beristeri," ujar Datuk Dahlan.

"Kenal, tapi bukanlah rapat. Saya bekerja dengan Megat Wafi, sepupu Megat Hafizal. Jadi, kami berdua pernah bertemu dengan Encik Hafizal dan isterinya, Ayra," jawab Bob.

"Oh, begitu. Jadi, kamu berdua kenal isteri Hafizal?" tanya Datuk Dahlan, teruja.

"Kenal. Kenapa Datuk?" tanya Harry, hairan.

"Orangnya bagaimana?" tanya Datuk Dahlan, ingin tahu.

"Dari segi rupa, biasa saja. Cantik lagi cik Salwa," komen Bob.

"Habis itu, apa yang Hafizal sayang sangat pada isterinya itu?" tanya Datuk Dahlan lagi.

"Ayra ini aura dia lain macam. Dia tak perlu menggoda untuk mengambil hati orang. Lagi satu, dia ini dengar kata. Encik Hafizal suka wanita yang dengar kata, mungkin sebab perwatakannya yang dominan itu," ujar Harry pula.

"Kalau begitu, risau juga aku dengan anak aku itu. Dia itu degil, tak boleh nak ditegur. Macam manalah rumah tangga mereka berdua itu nanti?" ujar Datuk Dahlan.

"Kalau diteliti, berbeza sungguh sikap dan perangai Datuk dengan cik Salwa. Saya ada juga mendengar cerita-cerita orang, tetapi tak tahulah betul atau tak. Minta maaflah Datuk kalau salah," jawab Bob.

"Memang betul aku dengan Salwa bagai langit dengan bumi kerana dia banyak mengikut perangai nenek sebelah emaknya. Almaklumlah kerabat Diraja," jelas Datuk Dahlan sebelum mengeluh.

Mendengar kata-kata Datuk Dahlan, Harry dan Bob saling berpandangan tanpa sebarang jawapan.

"Oh ya, kenapa Hafizal tak dedahkan kepada umum tentang isterinya?" tanya Datuk Dahlan.

"Entahlah, mungkin dia tak sukakan publisiti agaknya. Akan tetapi, hidupnya sebagai seorang CEO barangkali memaksanya untuk ambil isteri kedua," teka Bob sambil tersenyum.

"Maksud kau, Bob?" tanya Datuk Dahlan, tidak faham.

"Dia seorang personaliti terkenal dan usahawan. Pastinya dia harus mempunyai seorang isteri yang gah di mata netizen. Kalau saya jadi dia pun, saya akan ambil seorang lagi isteri untuk tontonan umum. Isteri pertama saya hanya milik saya dan untuk menjaga rumah tangga," jelas Bob.

"Jadi, maksud kau Hafizal hanya nak mempergunakan anak aku?" tanya Datuk Dahlan dengan wajah berkerut.

"Tak juga, kerana anak Datuk tak rasa dirinya dipergunakan. Dia cuma mahu memiliki Encik Hafizal, jadi dalam perniagaan kita panggil ini sebagai apa Datuk?" ujar Bob, yakin.

"Situasi menang-menang. Bijak, memang bijak. Memang layak dia jadi bakal menantu aku," jawab Datuk Dahlan.

Mendengar kata-kata Datuk Dahlan, mereka bertiga tertawa. Tak lama selepas itu, Amir datang dengan segugus kunci lalu diserahkan kepada Datuk Dahlan.

"Ini kunci rumah kau. Maaflah, rumah itu mungkin kecil tapi aku rasa cukup untuk kamu tinggal sendirian. Jadi, aku harap kau dapat memberikan yang terbaik untuk pekerjaan kau. Lagipun, isteri tontonan Hafizal perlu ada pengawal peribadi. Isteri simpanan tak perlukan pengawal peribadi pun tak apa bukan?" ujar Datuk Dahlan sambil tertawa di saat dia menyerahkan gugusan kunci yang dipegangnya itu kepada Harry.

"Datuk kena tahu, bakal madu cik Salwa ada pengawal peribadi sendiri. Malah, kadang-kadang pengawal peribadi Encik Hafizal juga akan ditugaskan menjaga isterinya," jelas Bob dengan riak wajah serba salah.

"Kau biar betul! Harry, benarkah apa yang kawan kau ini katakan?" tanya Datuk Dahlan, tidak puas hati.

"Betul, Datuk. Isteri Encik Hafizal ada pengawal peribadinya sendiri dan dia sedia maklum tentang kewujudan pengawal itu," jawab Harry, lemah.

"Hebat! Ternyata Hafizal seorang yang sangat berhati-hati. Aku suka lelaki seperti dia, barulah lelaki!" puji Datuk Dahlan, teruja.

Harry dan Bob hanya tersenyum mendengar kata-kata Datuk Dahlan itu.

     *     *     *     *     *

Sudah empat bulan dia menjadi pengawal peribadi Salwa. Akan tetapi, Salwa tidak diberitahu mengenai kewujudannya sebagai pengawal peribadi. Kata Datuk Dahlan, dia bimbang andai Salwa memberontak jikalau dia mengetahuinya.

Sepanjang empat bulan ini, Salwa semakin meliar. Siang dia akan duduk melepak dengan teman-temannya di kafe, manakala malam pula dia akan ke kelab malam. Namun, yang menghairankan, tak pernah sekalipun sepanjang empat bulan ini dia melihat Salwa keluar dengan Hafizal sedangkan mereka berdua telah bertunang. Apakah yang sebenarnya berlaku?

Disebabkan perasaan hairan yang terlalu mengganggu, akhirnya dia mengambil keputusan untuk menghubungi Bob.

"Hello, Bob. Lama tak nampak kau, kau di mana?" tanya Harry selepas Bob menjawab panggilannya.

"Hello, Harry. Aku tak ada dalam KL sekarang, memang kau dah lama tak nampak aku. Kenapa kau hubungi aku?" tanya Bob, selepas menjawab soalan Harry itu tadi.

"Aku nak tanya sesuatu tentang bos aku ini," terang Harry, ringkas.

"Yang mana? Datuk atau anak Datuk?" tanya Bob, inginkan kepastian.

"Anak Datuk," jawab Harry, pendek.

"Apa soalannya? Kalau aku tahu jawapannya, aku akan jawab."

"Kenapa selama empat bulan aku jaga dia, tak pernah sekalipun aku nampak dia bertemu dengan Hafizal? Mereka sudah bertunang, bukan?" tanya Harry, meluahkan perasaan hairannya.

"Ya, betul. Mungkin Hafizal ke luar negara," bohong Bob.

"Mungkin juga. Cuma, kalau dia ke luar negara, kenapa aku ternampak Ayra bersama dengan Wafi bulan lepas? Takkan Ayra curang ketika Hafizal ke luar negara? Atau ada sesuatu yang berlaku?" duga Harry.

Soalan Harry membuatkan Bob mengeluh.

"Patutlah bos sayang sangat dengan kau dulu," jawab Bob, lemah.

"Maksud kau?" tanya Harry, hairan.

"Sebenarnya Hafizal ada saja dalam negara ini tapi dia telah dikurung," jawab Bob sebelum mengeluh kali kedua.

"Aku dah agak dah, mesti ada benda yang berlaku. Habis itu, kenapa Ayra keluar dengan Wafi?" tanya Harry, ingin tahu.

"Ayra kena ugut, sebab yang kurung Hafizal itu bos. Sudahlah dia rampas semua harta Hafizal, isterinya pun dia mahu, sampai nak kena kurung. Serius aku tak faham dengan bos," jawab Bob.

"Kau tak faham, sebab kau tak tahu cerita sebenarnya. Hafizal dengan Wafi itu nampak saja rapat, tetapi kau orang tak tahu mereka berdua banyak sangat konflik," jelas Harry.

"Aku tahu mereka berdua banyak konflik, tapi tak perlu sampai kurung. Kau tahu, selama aku bekerja dalam industri ini, aku tak pernah rasa kasihan kepada sesiapapun yang menjadi tawanan bos termasuklah kau kerana semua yang berlaku kepada mereka adalah berpunca daripada kesilapan kau orang sendiri. Akan tetapi, dia menjadi tawanan bos kerana diculik dan diugut. Malah, dia juga diugut untuk menceraikan Ayra," terang Bob.

"Pulak dah? Kiranya mereka berdua sudah bercerai?" tanya Harry, sedikit terkejut dengan penjelasan Bob tadi.

"Sudah, tetapi tak sampai sebulan sudah rujuk semula. Terima kasih kepada bekas teman wanita kau," ujar Bob sambil ketawa kecil.

"Qat? Apa yang dia buat?" tanya Harry lagi.

"Dia pergi letakkan dadah dalam makanan Hafizal, konon untuk buat Hafizal tidurinya. Akan tetapi, tiba-tiba Ayra datang dan suruh Qat keluar. Faham-fahamlah apa yang terjadi selepas itu," jawab Bob.

"Habis itu, bos tak marah ke?" tanya Harry.

"Itulah yang aku hairan. Bos sikitpun tak marah, baik Hafizal, baik Ayra mahupun Qat. Tak tahulah kenapa," jelas Bob.

"Itu hairan. Aku kasihankan Ayra, sudahlah kena tipu dengan aku dan Qat, selepas itu kena ugut pula dengan Wafi. Kalau aku jadi dia, tak tahulah bagaimana keadaan aku tatkala semua ini terjadi," ujar Harry, lemah.

"Itulah, tapi aku kagum dengan dia. Dia sedikitpun tak tergugat dengan apa yang bos buat kepada dia. Dia tahu bos ugut Hafizal, malah bos juga ugut dirinya. Dia tahu bos selalu belasah suaminya, tetapi dia tak pernah tunjukkan kemarahannya secara terang-terangan. Atas sebab muka selambanya itulah, dia kerapkali bertengkar dengan Wafi. Tak tahu mana dia belajar buat begitu," terang Bob, panjang lebar.

"Aku tak rasa seorang perempuan boleh buat begitu. Mungkin Hafizal sudah didik dia begitu," teka Harry.

"Maksud kau?" tanya Bob, hairan.

"Selepas Hafizal beli Ayra, aku dengan Qat ada cuba-cuba selidik mengenai mereka berdua. Ketika itu, mereka berdua baru sahaja bernikah. Kau tahu, Ayra takkan buat sesuatu andai Hafizal tak benarkan. Walaupun ke tandas, dia akan minta izin Hafizal terlebih dahulu. Cuma, sekarang aku tak pastilah bagaimana," jawab Harry.

"Sampai begitu sekali? Sudah macam boneka," ujar Bob.

"Aku tak pasti kenapa Hafizal buat begitu, tapi Ayra memang takutkan Hafizal. Terutamanya bila dia marah," sambung Harry lagi.

"Aku baru tahu. Eh, nanti aku hubungi kau. Aku ada hal ini, chaw!" ujar Bob, selepas kedengaran bunyi bising di hujung talian sebelum talian itu diputuskan.

Harry terbungkam. Apakah yang telah terjadi kepada Bob? Mungkin dia boleh bertanyakan tentang hal itu lain kali.

Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering. Nama Datuk Dahlan tertera di atas skrin telefon bimbitnya membuatkan dia menjawabnya dengan segera.

"Ya, Datuk. Ada apa?" tanya Harry.

"Kau boleh masuk sekarang," arah Datuk Dahlan lalu memutuskan talian.

Dengan pantas, dia bangun dari bangku tempat dia duduk itu menuju ke arah pintu rumah agam milik Datuk Dahlan itu sebelum membuka pintu rumah tersebut, Selepas itu, dia masuk ke dalam rumah itu sebelum menuju ke arah dua beranak itu. Dia dapat melihat Salwa berpaling untuk melihatnya, namun tidak diendahkan olehnya.

"Memandangkan Salwa buat perangai, papa tak ada pilihan selain untuk menghadiah seorang pengawal peribadi kepada anak kesayangan papa ini," terang Datuk Dahlan.

"What? Bodyguard? Why?" tanya Salwa, bertubi-tubi.

"Since you are behaving wildly, so it is better for you to have one. Lagipun, Salwa ini bakal menjadi isteri seorang CEO, jadi Salwa berpotensi untuk menjadi mangsa keadaan. Mungkin musuh papa, mungkin musuh Hafizal. Who knows? Jadi, papa harus siapkan payung sebelum hujan," terang Datuk Dahlan.

"Ish, papa ini! Salwa tak sukalah hidup terkawal begini. Kenapa pula jadi isteri Hafizal nak kena ada pengawal peribadi? Isteri pertama dia itu, tak ada siapapun tahu identitinya. Baik sahaja Salwa tengok," ujar Salwa.

"Are you sure no one knows who is his first wife? Papa pun tahu siapa orangnya, dan papa berani katakan anak papa ini tak sebagus dia. Jadi, sudah cukup bertuah anak papa ini masih boleh jadi isteri Megat Hafizal. Oh ya, bakal madu Salwa itu ada pengawal peribadi juga tahu?" jelas Datuk Dahlan, sinis.

"Papa ini, sepatutnya papa menangkan Salwa! Hah, kau! Kau tahu siapa isteri Megat Hafizal?" tanya Salwa kepada lelaki yang berdiri di antaranya dan bapanya.

"Tahu, cik."

"Kau pun tahu? Kenapa aku saja yang tak tahu? Siapa dia papa?" tanya Salwa, bertubi-tubi. Hairan bagaimana semua orang mengetahui tentang wanita yang telah menjadi isteri bakal suaminya tetapi dia, bakal isteri lelaki itu tidak mengetahuinya.

"Tak best kalau Salwa tahu sekarang. Selepas nikah baru papa beritahu. Jangan harap Salwa boleh korek dari Harry, sebab Harry lebih utamakan arahan papa berbanding Salwa," ujar Datuk Dahlan sambil tersenyum sinis.

Geram betul Salwa dengan papanya itu. Rupanya nama pengawal peribadinya itu Harry. Mungkin lelaki itu boleh membantu Salwa dalam mencari kelemahan bakal madunya itu.

"Baiklah, papa. Since you insist, I agree to have Harry has my bodyguard. Cuma, Salwa tak nak dia ikut Salwa secara nyata. Boleh?" ujar Salwa sambil berpeluk tubuh.

"As your wish, princess. Harry, kau boleh pergi sekarang. Terima kasih," jawab Datuk Dahlan, gembira.

"Baiklah, Datuk. Saya minta diri, Datuk, cik. Apa-apa hal, Datuk hubungi saja saya," jawab Harry sebelum beredar dari situ.

Apalah masalah orang-orang kaya ini? Sungguh dia tak mengerti.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment