Tuesday, February 19, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 6

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5

*****

"Amy, kau tak pergi kerjakah hari ini?" tanya Dora sebaik sahaja dia keluar bilik dan mendapati Amelia sedang duduk di atas sofa.

Pada awalnya, dia sangkakan dia tersalah hari tetapi dia yakin hari ini adalah hari Isnin. Jadi, Amelia sepatutnya pergi bekerja hari ini.

Dora melihat jam di dinding. Jam menunjukkan tepat pukul 10 pagi. Perasaan hairan mula menyelubungi sanubari Dora.

"Tak, malaslah. Sekejap lagi aku nak pergi dating. Tak sabarnya!" jawab Amelia dengan tona sangat teruja.

"Kau bercinta? Dengan siapa? Kenapa aku tak tahu hal ini?" tanya Dora bertubi-tubi. Dia masih teringat baru sahaja 3 hari lepas rakan baiknya itu menangis akibat terpaksa memendam perasaan. Alih-alih sudah berpunya pula?

"Azam sayang akulah. Kawan Zai yang bertahun-tahun dia cuba kenalkan itu. Menyesal aku tak setuju tiga tahun lepas, kalau tak mesti aku dah berkahwin dengan dia kan?" jawab Amelia, menyeringai.

"Azam? Mudahnya dia berubah hati? Apa yang tak kena ini?" fikir Dora.

"Kau ada teman lelaki, kau tak ceritapun dengan aku! Sudah berapa hari kau bercinta dengan dia?" tanya Dora, cuba mencari titik pertemuan tanda tanya dalam fikirannya.

"Sudah 28 jam, 15 minit, 29 saat aku jadi girlfriend dia. Tengok ini, aku siap dah ada cincin couple lagi. Cantik tak?" ujar Amelia sambil menayang cincin di jari manisnya.

"Cantik. Tak apalah kalau begitu, semoga kau bahagia. Aku nak pergi buat sarapan dulu," jawab Dora lalu menuju ke dapur.

Sepanjang dia berada di dapur, dia dapat mendengar beberapa kali telefon bimbit Amelia berbunyi tetapi tidak dijawab. Hanya panggilan telefon Azam sahaja yang dijawab berpandukan daripada ayat-ayat yang dituturkan oleh Amelia sepanjang percakapannya.

Tiba-tiba, Dora perasan Amelia berjalan menuju ke arah tandas yang terletak di dapur membuatkan Dora berlari menuju ke arah ruang tamu di mana letaknya telefon bimbit Amelia.

Dora cuba membuka kunci telefon bimbit Amelia, tetapi kod aksesnya telah ditukar. Pasti ianya berkaitan dengan Azam. Akan tetapi, nasibnya baik kerana ada seseorang yang menghubunginya menggunakan nombor landline. Jadi, dengan pantas Dora menaip nombor telefon tersebut lalu menghubungi semula nombor itu selepas deringan pada telefon bimbit Amelia berhenti.

Bagi mengelakkan syak wasangka, Dora memilih untuk mendail nombor yang disalinnya tadi di luar rumah mereka.

"Hello, Teraju Emas Sdn. Bhd. How may I assist you?" kedengaran suara operator di hujung talian membuatkan Dora mengetahui bahawa ianya merupakan nombor telefon pejabat Amelia.

"Hai, boleh sambungkan saya kepada Encik Raja Mohamad Syafiq. Katakan padanya Dora Elina ingin bercakap. Hal mustahak," jawab Dora.

"Sebentar ya, cik Dora."

Kedengaran lagu bergema di hujung talian selama lebih kurang dua minit sebelum ianya berhenti.

"Assalamualaikum, Dora. Ini saya Raja Mohamad Syafiq bercakap," ujar Syafiq di hujung talian.

Mendengar suara Syafiq, Dora menarik nafas lega.

"Waalaikumussalam, sir. Saya terpaksa menghubungi sir kerana saya harus memaklumkan sesuatu berkenaan Amelia," terang Dora.

"Tak payahlah awak panggil saya sir, saya bukannya pensyarah awak lagi sekarang. Panggil saya Syafiq saja. Kenapa dengan Amelia? Dia tak masuk kerja hari ini bukan? Dia sakitkah?" tanya Syafiq, bertubi-tubi.

"Tak boleh sir, rasa awkward panggil nama saja. Begini, sir. Saya rasa Amelia ini sakit buatan manusialah. Macam kena guna-guna pun ada," jawab Dora, resah.

"Apa dia? Awak biar betul! Kenapa awak cakap begitu?" tanya Syafiq, terkejut.

"Susah untuk saya jelaskan dalam telefon. Apa kata kita berjumpa di luar? Saya cuti hari ini, saya rasa macam nak intip Amelia. Sir ikut sekali, mungkin sir akan faham. Sir ambil nombor telefon saya, apa-apa kita berhubung dalam Whatsapp," jawab Dora sebelum memberikan nombor telefon bimbitnya kepada Syafiq.

"Baiklah, kita jumpa lagi sejam. Apa-apa awak maklumkan kepada saya ya? Terima kasih Dora. Assalamualaikum," ujar Syafiq.

"Waalaikumussalam," jawab Dora sebelum memutuskan talian.

"Ya Allah, semoga Kau permudahkan jalanku untuk selesaikan semua ini," doa Dora dalam hati.

      *     *      *      *      *

"Sayang, hari ini kita pergi kedai emas nak tak?" tanya Azam, tiba-tiba.

Azam dapat melihat Amelia hanya memandang ke arahnya dengan wajah yang menyeringai. Hebat penangan ilmu ini, sekali jalan saja terus tumpas.

"Kedai emas? Saya tak kisah, awak nak ke hujung dunia pun saya ikut asalkan dapat bersama dengan awak," jawab Amelia yang masih lagi memandang Azam tanpa jemu.

Azam tersenyum riang. Rancangan untuk memiliki Amelia pasti akan berjaya tak lama lagi.

Tak lama selepas itu, mereka pun tiba di hadapan sebuah kedai emas. Sebelum mereka keluar dari kereta, Azam telah bertindak mencalit minyak lagi di bahu Amelia bagi menguatkan lagi rancangannya.

Setelah selesai, mereka berdua keluar menuju ke arah kedai emas. Azam berjalan seiringan Amelia di mana Amelia sentiasa memegang tangan Azam tanpa mahu lepas.

Sepanjang mereka di kedai emas, Azam telah berjaya memilih cincin-cincin yang ingin dia gunakan untuk perkahwinan mereka dan cincin-cincin tersebut dibayar sepenuhnya oleh Amelia. Melihat keadaan itu, Azam tersenyum puas. Amelia telah dapat ditawan sekali dengan harta bendanya.

Namun, Azam sama sekali tidak menyedari bahawasanya tindak-tanduknya bersama Amelia diperhatikan oleh dua orang, Dora dan Syafiq.

Selepas selesai urusan mereka di kedai emas, Azam membawa Amelia ke butik pakaian pula bagi memilih pakaian yang hendak dipakai ketika hari pernikahan mereka berdua nanti. Sekali lagi, Azam berjaya membuatkan Amelia membayar segalanya.

"Sayang, kita nak beli semua ini untuk apa?" tanya Amelia setelah keluar dari butik, hairan dengan tindakan Azam membeli cincin dan pakaian baru. Tambahan pula, pakaian tersebut merupakan sepasang baju kurung dan baju melayu berwarna sedondon.

"Kita nak pakai untuk hari nikah kitalah. Sayang suka tak?" tanya Azam setelah menjawab soalan Amelia.

"Suka! Bila kita nak nikah? Esok ke?" tanya Amelia, teruja.

"Ish, bukan esoklah! Minggu depan, sayang. Awak kena minta cuti dulu bukan?" jawab Azam sambil memegang pipi Amelia.

"Ala, saya tak boleh nak fokus kerjalah. Saya berhenti kerja sajalah, alang-alang kita sudah nak bernikah. Nanti saya duduk di rumah, jaga awak saja."

"Janganlah berhenti kerja dulu, nanti bila saya suruh baru pergi kerja. Buat masa ini, awak pergi kerja dulu ya?" pujuk Azam.

Amelia tidak membantah, sebaliknya hanya mengangguk sambil tersenyum. Semakin puas hati Azam melihat Amelia yang sudahpun menjadi seperti lembu dicucuk hidung di hadapannya.

     *     *     *      *     *

"Panasnya hati saya tengok Azam ini! Semua benda dia buat Amy bayarkan! Lelaki tak guna!" ngomel Dora sambil melayangkan penumbuknya di udara.

"Saya tengok Diyana macam sudah hilang jiwa. Azam depan matanya, tetapi gayanya seperti orang angau. Tengok gayanya, betullah macam yang awak syak. Terkena minyak atau jampi pengasih ini," ujar Syafiq sambil mengacau air kopinya.

"Habis itu, macam mana ini sir? Nak beritahu mak ayah Amy tak?" tanya Dora.

"Kita memang kena beritahu mak ayahnya, tapi kita tak boleh bertindak sekarang. Kalau melihat daripada kedai-kedai yang dibawa Azam tadi, nampak gayanya mereka nak bernikah."

"Bernikah? Nak kahwin lari?" tanya Dora, inginkan kepastian.

"Boleh jadi," jawab Syafiq.

"Masalahnya sir, Amy kata dia tak boleh bernikah. Keluarganya ada masalah lain," terang Dora.

"Masalah apa?" tanya Syafiq, hairan.

"Keluarga mereka tak boleh ada orang baru, ada kemungkinan nyawa orang baru itu boleh melayang kalau baru berkahwin atau melahirkan," jelas Dora.

"Apa dia? Awak biar betul?" tanya Syafiq, tak percaya.

"Betul, sir. Saya tak tipu. Sudah ramai yang terkorban. Katanya, ilmu nenek moyang makan tuan. Senang ceritalah," jawab Dora lagi.

"Kalau begitu, kita kena jumpa mak ayah Diyana. Saya ada rancangan tetapi saya perlukan kerjasama mak ayahnya," ujar Syafiq.

"Rancangan apa, sir?" tanya Dora, ingin tahu.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment