Monday, January 20, 2020

Dalam Kesamaran Bahagian 2

Link terdahulu:
Bahagian 1

"Elok sangatlah perangai awak itu, Wardah! Ataupun awak pernah buat begitu sepanjang kita bercerai?" sindir Encik Wahab yang membuatkan Puan Wardah terkesima.

"Abang tuduh saya buat maksiat? Kalau ya pun, abang kisah apa? Bukannya saya ini isteri abang pun!" jerit Puan Wardah, geram dengan tuduhan berat itu.

Pernyataan Puan Wardah itu pula membuatkan Encik Wahab terdiam. Ada benarnya kata-kata isterinya itu.

"Sudahlah, saya minta diri dulu. Ayah jaga diri ya?" ujar Suraya lalu mencium tangan Encik Wahab.
Encik Wahab hanya mengangguk lemah. Tidak betah rasanya membiarkan gadis itu keluar dari rumah dengan cara begini, tetapi mengenangkan isterinya sudah seperti orang hilang akal, dia relakan.

Suraya menuju ke arah Puan Wardah untuk bersalaman tetapi tangannya ditepis kasar oleh wanita itu membuatkan dia mengerti bahawa wanita itu tidak mahu bersalaman dengannya.

Tanpa berlengah, Suraya berjalan laju meninggalkan rumah itu menuju ke arah kereta kawan baiknya, Rashdan yang diparkir di hadapan rumah Encik Wahab.

"Kenapa kau kena keluar dari rumah jam 3 pagi woi? Agak-agaklah kau ini!" ujar Rashdan, sebaik sahaja Suraya masuk ke dalam kereta.

"Kau jangan banyak bunyi, aku tempeleng kau nanti! Ini Zalikha tahu tak?" jawab Suraya, kasar.

"Okay, sabar ya. Aku tanya saja. Kau ini pun, agak-agaklah nak tanya! Isteri aku kan ada di hospital, baru lepas bersalin anak sulung aku. Kau pandai kata orang, kau pun sama! Ini, aku nak hantar kau ke mana ini?"

"Bawa aku ke rumah aku," jawab Suraya.

"Kau serius? Rumah kau sudah lama tinggal kot, entah apa ada kat sana pun aku tak tahu. Tak payah, aku hantar kau tumpang rumah mak ayah aku. Nanti aku terangkan pada mereka berdua. Lagipun, isteri aku nanti aku hantar dia balik berpantang kat rumah mak dia. Jadi, kau tak payah nak layan kerenah mak budak itu," jelas Rashdan.

"Alahai, setakat isteri kau, aku tak ada hal nak layanlah! Isteri kau dengan aku kan BFF sekarang. Bukannya kau!" jawab Suraya sambil tersengih.

"Yalah, tuan puteri," jawab Rashdan, pendek. Malas hendak bertegang urat dengan kawan baiknya itu. Bukan apa, dia lebih masak dengan gadis itu.

     *     *     *     *     *

Haziq yang sedang menaip emel yang ingin dihantar kepada prospek yang baru sahaja ditemuinya tadi berhenti menaip apabila terdengar bunyi ketukan pada pintu biliknya.

"Masuk!" jerit Haziq bagi memberikan izin kepada orang yang mengetuk pintu tersebut untuk masuk.

Tak lama selepas itu, muncul seorang lelaki agak berisi di hadapannya sebelum duduk berhadapan dengan Haziq.

"Aku tahu kau rakan kongsi aku, tapi hormatilah privasi aku sikit bro! Apalah salahnya beritahu PA aku dulu kau nak jumpa aku?" sergah Haziq, geram dengan tindakan Tarmizi, lelaki yang di hadapannya itu.

"PA kau tak ada di meja dia. Mungkin ke tandas agaknya. Jadi, takkan aku nak tunggu sampai PA kau balik semula?" tanya Tarmizi.

"Bagus juga. Biar beradab, jangan biadap. Jadi, keluar balik sampai Suraya jemput kau masuk," seloroh Haziq sambil tersenyum sinis.

"Kau ini, kalau sehari tak gurau kasar dengan aku, memang tak sah bukan? Kalau dibuatnya si Suraya itu cirit-birit ke apa, mahu terkemut aku tunggu kat luar sana! Beginikah caranya kau layan Managing Director company yang masih nak berkembang ini?" jawab Tarmizi dengan wajah pinta simpati.

"Aku seriuslah rasa nak lempang saja muka Managing Director seorang ini! Geramnya aku dengan kau ini,"ujar Haziq, geram dengan kerenah Tarmizi itu.

"Macam perempuanlah kau ini, Haziq! Aku nak bergurau pun tak boleh ke?"jawab Tarmizi sambil memeluk tubuh memandang ke arah rakan kongsinya itu.

"Aku tahulah kau bergurau, kita sudah kenal sejak zaman universiti, takkanlah aku tak tahu perangai kau ini? Kita bukannya kenal semalam," ujar Haziq sambil tersenyum.

"Eh, sedar tak sedar sudah 10 tahun ya kita kenal? Aku sudah beranak dua, kau itu masih nak mendudakah?" tanya Tarmizi, ingin tahu.

"Aku duda terlajak laris 2.0, ramai sangat yang nak. Payahlah nak pilih," jawab Haziq.

"Kepala kau duda terlajak laris 2.0! Duda terlajak laris itu bukannya nyata, yang nyata itu kau seorang saja! Kau nak yang bagaimana sampai tak nak bernikah lagi ini?" tanya Tarmizi, hairan.

"Aku nak yang sempurnakan aku sebagaimana aku sempurnakan dia. Tak susah pun," jawab Haziq sambil tersenyum.

"Kalau tak susah, mesti sudah jumpa. Mana orangnya?" tanya Tarmizi lagi.

"Itu, ada di luar sana. Kau tak nampakkah?"

"Luar? Siapa? Suraya?"

Haziq mengangguk.

"Kau biar benar! Aku dengar ada orang nak dekat dia, khabarnya pengurus pembekal alat tulis kita itu. Siapa namanya ya? Alahai, lupa pula! Hah, Muhaimin! Ya, Muhaimin namanya," ujar Tarmizi.

"Kau ini, sejak bila pandai membawang? Muhaimin anak Tan Sri Mazlan itu?"

"Yalah, ada orang kata Tan Sri Mazlan itu kawan kepada pakcik Suraya yang besarkan dia dulu. Tan Sri itu kenal semua anak-anak pakcik Suraya itu, tetapi dia minta Suraya untuk dijadikan menantu," jelas Tarmizi.

"Habis itu, Suraya setuju?"

"Kalau dia setuju sekalipun, kau ingat makciknya setuju? Aku dengar, teruk juga Suraya kena maki dengan makciknya. Kata makciknya, anak-anaknya lebih layak untuk Muhaimin. Bukannya Suraya," terang Tarmizi lagi.

"Ish, apa punya keluargalah! Biarlah Tan Sri Mazlan nak pilih siapapun jadi menantunya. Lagipun, kalau Suraya terima sekalipun, makciknya tak ada hak untuk pertikaikan. Dia bukan ibu kandung Suraya," ujar Haziq, sedikit kendur.

"Alahai bro, takkan mengalah kot!"

"Kau tahu bukan Tan Sri Mazlan itu bagaimana? Hitam dia nak, hitam dia dapat! Anak-anaknya pun tak berani nak membantah kata-katanya," jawab Haziq.

"Jadi, kau nak mengalahlah? Kalau kau nak mengalah, kau buatlah betul-betul! Ini aku tengok, bukan main lagi kau pandang ke luar?" sindir Tarmizi sambil merenung Haziq yang sedang asyik memerhatikan Suraya yang sedang menyiapkan laporan itu.

"Ini sajalah masa aku nak cuci mata, Ji! Nanti kalau dia dah kahwin, takkanlah dia nak sambung bekerja di sini? Tan Sri Mazlan itu ada lima restoran mewah kot, mana sama taraf dengan kita yang baru nak menapak ini?"

"Eleh kau, kau itu setidak-tidaknya anak Datuk Muhsin, pemilik syarikat pemaju perumahan MH Holdings! Aku ini ada apa?" ujar Tarmizi pula.

"Kau itu ada anak dua! Sudah ada anak, sibuk pula nak mengorat anak dara orang. Gatal kau ini memang tak boleh bawa berbincangkah?" tanya Haziq, geram.

"Alahai, aku berguraulah! Tak payahlah nak ambil serius sangat!"

"Mahunya aku tak serius? Aku tak nak nanti isteri kau kejar aku sebab tak jaga suami dia ini. Ish, baru sebut sudah meremang bulu roma aku!"

"Kau ini, potonglah! Menyampah aku layan kau ini, baik aku sambung tengok laporan-laporan aku yang bersepah atas meja aku itu," ujar Tarmizi lalu bangun dan beredar keluar dari bilik Haziq itu.

Tak lama kemudian, kedengaran pintu biliknya diketuk sebelum pintu bilik itu dibuka. Suraya muncul dan berjalan menuju ke arah tempat Tarmizi duduk sedari tadi.

"Encik, bila masa Encik Tarmizi datang sini?" tanya Suraya, hairan.

"Tadi kamu pergi mana?" tanya Haziq, hambar.

"Pergi tandas, encik. Saya hari ini ada masalah penyahtinjaan sikit," jawab Suraya, sedikit kekok.

"Cakap sajalah cirit-birit, masalah penyahtinjaan konon. Kenapa tak pergi klinik? Tak penatkah berulang ke tandas?" tanya Haziq, masih dalam nada hambar.

"Penat, tapi masalahnya saya kena siapkan laporan untuk syarikat WM Industries. Bahagian Sumber Manusia syarikat mereka sudah kejar kita untuk laporan," jawab Suraya, serba salah.

"Sudah siapkah laporan itu?" tanya Haziq sambil menekan tetikus komputernya. Emel yang dikarang sedari tadi baru sahaja selesai dihantar. Selepas itu, barulah dia memandang ke arah Suraya bagi menanti jawapan kepada soalannya itu.

"Belum, ada sikit lagi."

"Awak emelkan saya laporan tak siap awak itu, kemudian serahkan fail syarikat tersebut kepada saya. Saya siapkan dan hantar terus. Hantar pada siapa?

"Tak apa, encik. Saya boleh siapkan," jawab Suraya, masih lagi serba salah.

"Jangan nak mengada boleh? Saya akan hantarkan laporan itu untuk awak, awak pergi klinik. Kalau saya dapat tahu awak masih berada di sini, saya sendiri akan heret awak ke klinik! Sudah, buat apa yang saya suruh," arah Haziq lalu menuding ke arah meja Suraya.

Suraya hanya mengangguk lalu keluar dari biliknya. Haziq hanya menggelengkan kepalanya lalu menyambung kerjanya yang tertangguh akibat daripada kedatangan Tarmizi tadi.

Namun begitu, setelah 10 minit, Suraya masih lagi tidak menyerahkan fail WM Industries yang dipintanya tadi membuatkan dia keluar dari biliknya menuju ke arah meja milik Suraya.

Apabila dia keluar dari bilik, dia melihat Suraya masih lagi tekun menaip sesuatu di komputernya membuatkan dia berasa geram lalu mendekati meja pembantu peribadinya itu.

"Saya kata apa tadi, Suraya Hani?" tanya Haziq sambil memeluk tubuh di hadapan meja Suraya.

"Saya baru sahaja siapkan laporan ini. Tengah hantar ini, sekejap ya," jawab Suraya sambil menekan-nekan tetikusnya.

Haziq mendekati Suraya bagi melihat skrin komputernya. Melihat apa yang dilakukan Suraya, Haziq masuk semula ke dalam biliknya bagi mengambil telefon bimbitnya di atas meja dan menutup lampu biliknya sebelum keluar semula.

Sebaik sahaja dia keluar, dia menuju ke arah skrin komputer Suraya lalu menutup suis skrin tersebut. Tindakan Haziq membuatkan Suraya tercengang.

"Apa ini, encik? Saya nak buat kerja ini," ujar Suraya.

"Saya kata apa tadi? Jangan sampai saya heret awak ke klinik, bukan?" tanya Haziq sambil merenung ke arah Suraya.

"Saya dah baik sedikit, sekejap lagi baiklah itu. Tak payahlah membazir duit untuk ke klinik," jawab Suraya.

"Ambil beg tangan awak sekarang," arah Haziq dengan nada keras.

Suraya tahu tidak guna dia membantah lagi. Hati majikannya sudah bulat, bererti tiada apapun selain Tuhan yang dapat menghalang lelaki ini. Tanpa berlengah, Suraya mencapai telefon bimbit dan beg tangannya lalu digalasnya di bahu kirinya.

Melihat Suraya sudah siap, tanpa sedar Haziq menarik lengan Suraya lalu mengheretnya untuk berjalan di sampingnya. Tindakan Haziq membuatkan semua staf yang melihat mereka berdua terpana melihat adegan majikan mengheret pekerjanya keluar dari pejabat.

Sebaik sahaja mereka berdua tiba di kereta Volkswagen Passad milik Haziq, Haziq terus memastikan Suraya masuk ke dalam kereta terlebih dahulu sebelum gilirannya pula. Suraya hanya mampu memandang tingkah laku Haziq dengan perasaan sebal.

"Kenapa dengan encik ini?" tanya Suraya, tidak puas hati diperlakukan begitu.

"Kenapa apa? Awak sakit, saya suruh pergi klinik tapi awak degil. Jadi, saya sendiri bawa awak pergi klinik. Senang saya tahu sakit apa awak ini. Ataupun, saya suruh doktor repair otak awak yang dah nak berkarat itu!"

"Encik tak nampak ke semua orang di pejabat tadi pandang kita lain macam?" tanya Suraya lagi.

"Perasan," jawab Haziq, pendek.

"Habis itu, kenapa buat begini? Nanti orang kata saya goda encik pula!" tanya Suraya, geram dengan jawapan pendek Haziq itu.

"Apa masalahnya? Saya single, awak single. Tak salah, bukan?" duga Haziq.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment