Monday, July 8, 2013

Kasih Tercipta Part 9

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Alhamdulillah dengan limpah karunia-Nya dapat lagi aku mencoret dalam blog aku ini... Hari ini aku nak sambung cerpen bersiri aku yang setelah sekian lama tertunggak... Untuk part sebelumnya, sila klik link-link dibawah:

Syazwan duduk di birai katilnya setelah selesai dia mandi pagi itu. Fikirannya kusut, sekusut rambutnya yang tak terurus sedari awal pagi tadi. Bingung dia memikirkan apakah sebenarnya yang bermain di dalam fikiran isterinya sehingga isterinya mengalami stress.

Setahunya jika Arissa punya masalah, pasti Arissa akan berkongsi masalahnya itu dengannya, tapi kenapa tidak kali ini? Selalunya jika seorang wanita itu tidak lagi berkongsi satu-satu masalah pada insan yang biasa dia kongsikan masalahnya, pastinya masalah wanita itu adalah insan itu.

"Apakah dia punya masalah dengan aku? Tapi apa?" Syazwan bermonolog sendiri.

Ternyata permasalahannya dengan Datuk Shahrizal telah membuatkan dia terlupa tentang isterinya yang memerlukan perhatiannya. Dia hanya melihat Arissa hanya sebagai tempat mengadu dan mencurahkan perasaannya tetapi dia lupa Arissa juga perlukan perhatiannya daripada dia, suaminya.

Sambil dia memikirkan, dia terus berbaring di atas katil kerana dia berasa sangat mengantuk. Kepalanya benar-benar sakit kerana tak cukup tidur malam semalam. Walaupun Arissa dalam keadaan stabil, sememangnya itu tidak dapat membuatkan Syazwan tidur lena malam tadi. Sedang dia ligat memikirkan permasalahnya,Syazwan akhirnya kalah antara lena dan jaga dan kemudiannya hanyut dibuai mimpi.

*     *      *      *      *

"Yang curi duit itu sebenarnya Ridhuan. Ibu dah cuba minta abah kamu selidik benda ni tapi abah kamu masih menangkan Rid. Ibu pun sebenarnya tak faham kenapa abah kamu tak suka dengan Syaz sampai semua benda yang Syaz buat semuanya salah. Takkanlah sebab itu pula..." Datin Rosnah membiarkan ayatnya tergantung kerana memikirkan sesuatu.

Melihat gaya ibu mentuanya, Arissa diulit keresahan. "Ada lagi rahsia tentang Syazwan ini rupanya. Tapi apa?" Arissa bermonolog sendiri.

"Sebab apa, ibu?"tanya Arissa, hairan.

"Eh, tak ada apa-apalah! Arissa jangan banyak fikirlah. Nanti terjejas pula kandungan Arissa nanti," jawab Datin Rosnah lalu tersenyum tawar. Sedangkan hatinya berasa tak senang dengan sikap suaminya itu.

Arissa hanya mengangguk lemah. Dia tahu bagaimana dia cuba sedaya upaya sekalipun, ibu mentuanya itu pastinya takkan membuka cerita padanya. Ligat dia berfikir bagaimana dia ingin tahu cerita yang disorok Datin Rosnah itu.

Mungkinkah Ridhuan boleh menceritakan segalanya? Namun, dia tahu Ridhuan itu sangat licik orangnya. Pastinya dia tak mahu menceritakan tanpa apa-apa syarat. Akhirnya, keluhan dalam saja yang mampu keluar dari bibir Arissa.

*     *      *     *     *

Setelah 3 hari, Arissa sudahpun dibenarkan pulang oleh doktornya. Namun begitu, dia harus datang kembali ke hospital bagi menjalani pemeriksaan berkala untuk memastikan kandungan sentiasa dalam keadaan baik. Pagi itu, Syazwan telah mengambil cuti bagi menjemput isterinya dari hospital, ditemani oleh Datin Rosnah.

Setibanya di rumah, Syazwan mengiringi isterinya ke bilik tidur mereka manakala Datin Rosnah terus ke dapur bagi memasak makan tengahari. Walaupun bergelar seorang Datin, Datin Rosnah lebih suka memasak sendiri daripada menyerahkan semua tugas kepada orang gajinya, Mak Yam.

Syazwan membuka pintu bilik mereka lalu memimpin Arissa masuk ke dalam bilik. Selepas itu, dia membantu Arissa duduk di birai katil dan kemudiannya, giliran dia pula duduk di sebelah isterinya. Dia memandang Arissa, lama. Tingkah Syazwan telah membuatkan Arissa berasa tak keruan lalu dia membalas pandangan suaminya itu dengan pandangan pelik.

"Kenapa Arissa pandang abang pelik?"tanya Syazwan setelah menyedari isterinya itu memandangnya pelik.

"Boleh Arissa interview abang sikit tak?"tanya Arissa pula dengan muka serius.

"Uish! Seriusnya muka. Boleh sayang, apa dia? Rasa popular kejap bila isteri sendiripun nak temu ramah kita,"seloroh Syazwan.

"It's not funny, abang. Arissa nak tanya, apa sebenarnya yang jadi waktu kes abang dituduh curi duit itu? Kenapa abah tak percayakan abang walaupun abang dengan abang Rid sama-sama anak dia?"tanya Arissa, terus terang.

Terkesima Syazwan mendengar soalan panas isterinya. Lama dia mendiamkan diri menyebabkan perasaan hairan menerjah sanubari Arissa. "Apakah suaminya tak mahu berkongsi kisah itu?" fikir Arissa.

"Apa yang Arissa dah tahu?"tanya Syazwan sambil menjeling isterinya, tajam.

"Arissa tahu abang tak buat tapi kenapa abah tak percayakan abang? Boleh nampak kot layanan abah pada abang dengan abang Rid terlalu berbeza. Arissa mungkin jenis manusia yang pendiam tapi Arissa tak buta sampai benda yang jelas depan matapun Arissa tak tahu."

Ini adalah kali kedua isterinya bertanyakan soalan yang sama. Dia tahu mana mungkin dia boleh lari lagi. Namun, untuk menceritakan perkara sebenar, berat sekali baginya. Dia bimbang isterinya tak mampu untuk menerima hakikat tersebut.

"Abah tak suka abang sebenarnya."

"Tapi kenapa? Abang kan anak kandungnya?" tanya Arissa lagi.

"Tapi abang tak sempurna macam abang Rid."

"Kenapa pula? Arissa tengok abang sempurna saja. Ada 2 biji mata, 2 telinga, satu hidung, 1 mulut, dua tangan dan kaki, macam orang lain juga,"jawab Arissa, hairan.

"Abang... Abang sebenarnya ada masalah psikologi,"jawab Syazwan, perlahan.

"What?"jawab Arissa dengan mulut yang melopong. Apa lagi dugaannya sekarang?

*bersambung*



Foot print: Just go with the flow... =)

No comments:

Post a Comment