Friday, February 22, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 9

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8

*****

"Apa dia? Sihir?" tanya Puan Rasyida, terkejut.

"Ya, mama. Sihir pengasih. Lelaki yang mama jumpa bersama Amelia itu bekas pelajar Syafiq juga. Senior Amelia. Kawan baik Amelia kata lelaki itu sudah mencuba untuk memikat Amelia sejak tiga tahun lepas tetapi Amelia tidak melayan. Akan tetapi, ada sekali mereka keluar bersama kawan-kawan lain tetapi mereka berdua pulang bersama. Sejak itulah, Amelia mula menjadi seperti yang mama lihat. Berpegangan sana-sini dengan lelaki itu tak kira masa, kalau boleh 24 jam nak bersama," terang Syafiq, panjang lebar.

"Kamu pernah bertemu mereka berdua?"

Syafiq hanya mengangguk bagi menjawab soalan ibunya.

"Mesti sakit bukan? Melihat orang yang kita sayang bermesraan dengan lelaki lain di hadapan kita?"

"Sakit itu tak terasa kalau dia betul-betul menyayangi lelaki itu dan bahagia tetapi hati ini lebih sakit kerana tahu ada jiwa yang terperangkap dalam jasad itu yang tak dapat menzahirkan apa yang dia rasa. Jiwa dia lama-kelamaan akan sakit, mama. Sakit dia, sakitlah Syafiq."

"Syafiq, kalau kita cintakan seseorang, lepaskanlah dia pergi. Kalau dia datang kembali, dia adalah milik kita selamanya. Syafiq kena redha apapun yang terjadi selepas ini. Sekiranya Syafiq dan berusaha tetapi nasib tak menyebelahi Syafiq, Syafiq kena tahu bila nak berhenti."

Mendengar kata-kata ibunya, Syafiq memegang erat tangan ibunya sebelum menciumnya.

"Baiklah, mama. Syafiq naik atas dulu. Nak mandi, melengas satu badan ni," ujar Syafiq sebelum beredar menuju ke tingkat atas.

"Sekejap sayang, mama nak ikut sekali. Tunggu mama tutup lampu sekejap," jawab Puan Rasyida sambil menutup suis lampu ruang tamu rumahnya sebelum menghampiri Syafiq yang menunggunya di mata tangga yang pertama. Selepas itu, dua beranak itupun naik ke tingkat atas bersama.

     *     *     *      *      *

"Amelia, cuti awak sudah diluluskan. Lima hari kan?" ujar Emily sebaik sahaja dia tiba di meja Amelia.

"Thank you, boss. Nanti saya bagi ole-ole ya?" jawab Amelia sambil tersengih.

"Saya tak kisah, tapi ada satu hal lagi," ujar Emily lagi.

"Apa dia, bos?"

"Tuan Syafiq nak jumpa awak. Ada benda dia nak tanya awak," jelas Emily lalu pergi dari situ.

Amelia yang hairan itupun berjalan menuju ke bilik Syafiq. Apabila dia tiba, Aina terus sahaja membukakan pintu untuknya dan menjemputnya masuk.

Amelia terus sahaja masuk ke dalam bilik Syafiq dan melihat Syafiq sedang memandangnya. Melihat reaksi Syafiq, dia bertambah hairan.

"Duduklah, Diyana. Terima kasih Aina," ujar Syafiq sambil tersenyum.

Amelia dapat mendengar bunyi pintu ditutup. Amelia hanya memandang Syafiq, membiarkan lelaki itu memulakan bicara.

"Kenapa nak cuti sampai seminggu?" tanya Syafiq, serius.

"Ada hal peribadi," jawab Amelia, bersahaja.

"What sort of peribadi?" tanya Syafiq lagi.

"Kenapa tuan banyak sangat tanya ini?" tanya Amelia.

"Tak adalah, saya kena tanya apa halnya staf saya kalau sampai mak ayahnya hubungi pejabat tanyakan perihal anaknya?" jelas Syafiq, selamba.

"Maksud tuan?" tanya Amelia, kurang faham.

"Mak ayah awak bertanya kenapa anaknya sudah dua minggu tak hubungi mereka. Mereka nyaris buat laporan polis tahu?" duga Syafiq.

"Itu bukan urusan tuan. Jaga sajalah tepi kain tuan sendiri!" bentak Amelia, berang.

"Masakan saya tak nak jaga tepi kain awak kalau awak masih orang yang saya sayang, Diyana," jawab Syafiq, sinis.

"Tak payah beranganlah, tuan. Saya tak hadaplah nak bersuamikan tuan. Kalau setakat berharta tapi tak ada timbang rasapun tak guna juga. Saya rasa tuan carilah perempuan lain yang setanding dengan tuan," bentak Amelia sebelum bangun, ingin meninggalkan bilik tersebut tetapi sempat tangannya direntap Syafiq.

"Duduk, saya belum habis lagi."

"Saya tak ada apa-apa yang saya nak katakan!"

"Duduk, Diyana!" jerkah Syafiq, lebih kuat daripada suara Amelia tadi.

Mendengar arahan Syafiq, Amelia duduk semula. Namun begitu, wajahnya mencuka tanda protes.

Syafiq mengeluarkan fail berwarna kuning yang tertulis nama Amelia di atasnya. Dia mengeluarkan dua set kertas lalu diletakkan berhadapan dengan Amelia.

"Apa ini?" tanya Amelia, sedikit kasar.

"Kontrak pekerjaan awak. Bacalah," ujar Syafiq.

Syafiq telah menukar kontrak pekerjaan Amelia kerana dia tahu Amelia pasti akan berhenti kerja selepas dia sembuh dan lelaki itu tidak mahu melepaskan pekerja sebaik dia. Jadi, Syafiq telah menukar kontrak pekerjaan Amelia dengan harapan Amelia tidak menyedari perubahan itu.

Amelia tidak membaca kontrak tersebut, sebaliknya terus menandatangani kedua-dua kontrak tersebut sebelum dipulangkan semula kepada Syafiq.

"Kenapa tak baca dulu?" tanya Syafiq, hairan.

"Ala, bukannya ada bezanya kontrak tahun lepas dengan tahun ini," jawab Amelia, angkuh.

"Baik, jangan menyesal tak sudah nanti. Nanti bahagian HR akan berikan salinan awak selepas mereka tanda tanganinya," jelas Syafiq.

"Baik, ada apa-apa lagi?" tanya Amelia, sinis.

"Tak ada, pergilah sambung kerja awak," jawab Syafiq.

Tanpa berlengah, Amelia terus bangun dan meninggalkan bilik tersebut. Syafiq yang melihat pemergian wanita itu hanya mampu melepaskan keluhan berat.

     *     *     *     *     *

Dora yang baru sahaja tiba di meja makan itu duduk bersebelahan dengan Puan Kursiah.

"Maaf, Dora lambat. Kena kerja lebih masa tadi," jelas Dora selepas bersalaman dengan Puan Kursiah.

"Awak bekerja shift ke, Dora?" tanya Syafiq yang duduk berhadapan dengannya.

"Yalah, sir. Susah nak cari kerja khidmat pelanggan waktu kerjanya ikut waktu pejabat," jawab Dora.

"Syarikat saya bahagian khidmat pelanggan ikut waktu pejabat. Awak nak cuba?" tanya Syafiq lagi.

"Tak payahlah, sir. Sudahlah sir nak tolong Amy, nak tolong saya sekali? Marah pula pengurusan syarikat sir nanti," tolak Dora, lembut.

"Oh ya, bercakap tentang Amelia, tadi saya provoke dia. Saya luahkan perasaan saya kali kedua, kaw-kaw saya kena reject! Lagi teruk daripada kali pertama," terang Syafiq, teruja.

"Yang kamu pergi provoke dia itu kenapa, Syafiq? Kan dah kena," ujar Encik Ruslan sambil tertawa kecil.

"Sebab saya nak suruh dia tanda tangan kontrak baru dia. Saya letak kontrak 10 tahun untuk dia. Kalau ikut hati saya, nak saja saya letak kontrak seumur hidup tapi kejam sangat itu," jawab Syafiq, bersahaja.

"Sayang betul kamu ini pada dia, Syafiq. Sampai sanggup buat begitu tapi sayangnya perasaan kamu tak dihargai," ujar Puan Kursiah pula.

"Biarlah, makcik. Saya tak kisah pun, saya tak minta perasaan saya berbalas," jawab Syafiq sambil tersenyum nipis.

"Tak apakah kamu tunggu anak pakcik ini? Umur Syafiq bukannya muda lagi, dah hampir 40 tahun. Pakcik tak nak sebab anak pakcik, kamu bergaduh dengan ahli keluarga kamu," ujar Encik Ruslan.

"Tak apalah, kalau ada jodoh tak ke mana pakcik, makcik. Soal hati ini bukan paksaan. Masuknya dia dalam hati bukan saya yang paksa, keluar juga bukan boleh saya paksa juga," terang Syafiq.

"Tapi kita boleh usaha, Syafiq. Takkanlah tak ada yang perkenan dengan kamu?" tanya Puan Kursiah pula.

"Tipulah kalau saya kata tak ada, makcik, pakcik. Tiga tahun saya cuba, saya cuba terima orang lain tapi hati saya masih dengan Amelia. Mungkin ada hikmah yang kita tak tahu," sambung Syafiq.

"Mungkin jugalah, Syafiq. Sayangnya anak pakcik buta hati nak nampak semua ini," ujar Encik Ruslan lalu mengeluh.

Puan Kursiah dan Dora hanya nampu berpandangan sesama sendiri. Cuba menangkap apa yang dimaksudkan oleh Encik Ruslan.

     *     *     *     *     *

Ruzaini yang baru sahaja bangun terkejut melihat Azam yang sedang menarik beg bagasi menuju ke arah pintu. Setahunya, lelaki itu tidak ada kerja luar. Ke manakah hala tujunya dengan beg tersebut?

"Bro, kau nak pergi mana bawa beg besar ini? Nak pindah ke?" tanya Ruzaini, hairan.

"Aku nak pergi kahwin," jawab Azam sambil tertawa.

"Kau seriuslah? Dengan siapa?" tanya Ruzaini.

"Dengan Amelialah, siapa lagi?"

"Kenapa aku tak tahu Amy nak kahwin dengan kau? Kau bawa dia kahwin lari ke apa?" tanya Ruzaini yang mula hairan dengan tindakan Azam.

Soalan Ruzaini tidak dijawab oleh Azam, sebaliknya hanya tersenyum.

"Kau biar betul, Zam! Mak ayah dia ada lagi kot!" jerkah Ruzaini.

"Kalau aku buat cara elok, mak ayah dia tahulah aku guna-gunakan dia!" jawab Azam sebelum menutup mulutnya.

"Kau guna-gunakan dia? Astaghfirullah hallazim, Azam! Berdosa kot!" jerit Ruzaini, terkejut.

"Perlahanlah sikit! Kau nak bagi satu taman ni dengar ke? Ya, aku guna-gunakan dia! Tiga tahun aku cuba cara elok, jangan kata nak terima aku, pandang aku pun dia tak sudi. Jadi, salahkah aku gunakan cara ini untuk tawan hati dia?"

"Matlamat tak halalkan cara, bro! Allah pasti akan balas nanti. Aku tak nak bersubahat," jawab Ruzaini.

"Kau jangan cuba-cuba beritahu Zai tentang ini! Nahas kau aku kerjakan nanti!"

"Kalau aku beritahu, apa yang kau nak buat?" tanya Ruzaini.

Mendengar pertanyaan Ruzaini, Azam terus bertindak menumbuk Ruzaini beberapa kali sehingga lelaki itu terjelepok di atas lantai.

"Kalau kau beritahu sesiapa, lebih teruk dari ini pun aku boleh buat! Jadi, jangan kau cuba-cuba beritahu kalau kau nak selamat! Faham?" Azam memberikan amaran kepada Ruzaini yang sedang mengerang kesakitan.

Tiba-tiba, muncul seorang lelaki yang mendekati mereka. Kemunculan lelaki itu sepertinya ditunggu oleh Azam.

"Hah, ini dia aku kenalkan. Ini Redzuan, housemate baru kau. Kawan aku di universiti dulu. Wan, kenalkan. Itu Ruzaini, housemate baru kau. Kawan sekolah aku dulu. Sudah, aku dah lambat! Aku gerak dulu, apa-apa kau tanya Zaini ya Wan," jelas Azam lalu meninggalkan Redzuan dan Ruzaini yang masih lagi terbaring di atas lantai.

Redzuan yang terpinga-pinga itu membantu Ruzaini untuk bangun. Mengucap panjang Redzuan melihat kecederaan Ruzaini yang dibelasah oleh Azam itu.

"Oh ya, Zaini! Barang-barang yang aku beli dalam rumah ini sekarang milik kau. Cuma, nanti aku akan balik semula untuk ambil kain baju aku. Apapun, aku minta maaf sebab tumbuk kau tadi," ujar Azam sebelum berlalu pergi.

"Bro, apa yang jadi ini? Kenapa kau jadi begini?" tanya Redzuan, bimbang.

Ruzaini yang baru saja dapat duduk memegang hujung bibir yang kebas ditumbuk oleh Azam tadi.

"Tak ada apalah, gaduh sikit saja. Eh, apa nama kau tadi?" jawab Ruzaini.

"Redzuan."

"Redzuan, bekas teman lelaki Amy itukah?" tanya Ruzaini, terkejut.

"Kau kenal Amy? Amelia?" tanya Redzuan pula.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment