Thursday, June 4, 2015

Alasan Untuk Bahagia Part 8.2 (Akhir)...

"Awak buat apa di sini, Razin? Bukan ke awak dah janji dengan Jihah awak nak pergi hantar dia dan Amir ke lapangan terbang petang ini? Sudahlah pernikahan mereka pun awak tak pergi, janganlah begini Razin."

         Razin tidak menjawab pertanyaan Indah. Dia masih lagi memandang ke luar tingkap. Seolah-olah Indah tidak wujud di hadapannya. Begitulah Razin sejak Najihah memutuskan pertunangan mereka dua minggu lepas. Hanya terperuk di dalam bilik pejabatnya. Makan di situ, kerja di situ, tidur pun di situ. Pening juga Indah hendak menjawab dengan Tan Sri dan Puan Sri tentang keadaan Razin.

         "Kalau betul Razin nekad tak mahu jumpa Jihah sebelum dia berangkat, I think you should read this first before you make your decision," pesan Indah lalu meninggalkan sepucuk surat di atas meja Razin dan berlalu pergi.

         Razin mengambil surat tersebut lalu membukanya. Tulisan Najihah memenuhkan segenap keping kertas. Tanpa berlengah, Razin membaca satu persatu bait kata yang ditulis:

Ke hadapan Razin yang disayangi,

      Ketika surat ini awak baca, kita pastinya sudah tiada hubungan istimewa lagi. Maafkan saya kerana tak mampu berterus terang tentang penyakit saya lebih awal, hatta memilih Amir untuk dijadikan tempat mencurah rasa sedang dia hanya bekas kekasih dan awak adalah tunang saya. Saya akan jelaskan semuanya kepada awak dalam warkah ini.

      Saya pernah kemalangan 5 tahun lepas, di dalam kampus. Saya kematian jiwa akibat patah hati dengan Amir sehinggakan kereta di hadapan saya yang telahpun berkali-kali menekan hon bagi memberi amaran pun saya tak sedar. Sedar-sedar saja, saya sudahpun terbaring di katil hospital. Sejak itu, mata saya seringkali kabur tapi saya sangkakan itu hanya rabun ataupun panas saja. Begitu juga dengan sakit kepala, saya sangkakan ianya hanya migrain biasa.

      Namun, kesakitan di kepala itu makin lama makin teruk. Beberapa bulan lepas, baru saya dapat tahu yang saya mengalami ketumbuhan dalam otak akibat kemalangan itu dan ianya mungkin akan menjejaskan penglihatan saya secara kekal andai tidak dirawat. Terus terang, saya sangat takut ketika itu. Saya bimbang saya akan membebankan awak dan orang lain andai penglihatan saya hilang satu hari nanti.

      Oleh sebab itulah, saya merancang untuk melepaskan awak. Awak terlalu baik untuk saya, tapi hati saya dah pernah rasa sakit kerana cinta. Demi Allah, saya tak mahu awak rasa benda yang sama. Saya tahu satu hari nanti awak akan berterima kasih dengan saya.

      Pergilah cari kebahagiaan awak, Razin. Kak Indah sudah bertahun-tahun menanti saat dan ketika untuk menebus kesalahannya pada awak dulu. Jangan bebani dia lagi. Meskipun dia janda beranak satu, tapi setidak-tidaknya dia sihat dan sempurna, bukan macam saya yang masih bertarung dengan nyawa sendiri.

        Halalkan makan minum saya selama ini, dan maafkan saya atas kesalahan saya yang tak terungkap ini. Andai ada salah silap awak, saya telahpun maafkan sebab saya sendiri pun tak tahu sampai bila saya akan masih bernafas. Terima kasih atas segalanya.

Yang benar,
Fatin Najihah.

Mengalir air mata lelaki Razin membaca surat itu. Dengan sepantas kilat, dia mencapai telefon bimbitnya lalu menghubungi Amir. Selepas dua deringan, kedengaran suara Amir di hujung talian.

         "Saya nak bercakap dengan Najihah sebentar, boleh kan?" tanya Razin. Hanya diam di hujung talian buat seketika, dan kemudiannya kedengaran suara Najihah.

         "Assalamualaikum Razin."

         "Wa'alaikumussalam Najihah. Saya dah baca surat awak. Saya minta maaf, saya tak mampu nak hantar awak pergi ke London. Saya maafkan awak, atas semua kesalahan awak selama ini. Apapun terjadi nanti, saya akan tetap tunggu awak di sini. Awak ingat itu. Saya sayangkan awak seadanya awak, jadi jaga diri awak baik-baik. Surat perletakan jawatan awak yang awak hantar kelmarin, saya tak terima. Saya tukarkan kepada cuti tanpa gaji. Sama macam Amir. So, both of you kena masuk kerja bila semua dah selesai nanti, okay?" luah Razin, ditemani air mata yang mengalir laju.

          "Terima kasih, Razin sebab maafkan saya. Kalau masih ada kesempatan dan jodoh, insya-Allah kita pasti akan berjumpa lagi. Awak pun carilah kebahagiaan sendiri, jangan tunggu saya. Jaga diri awak elok-elok, jangan tinggal solat dan sentiasa doakan yang terbaik untuk saya ya? Terima kasih sebab sudi call saya, kalau tak ada apa-apa, saya letak dulu. Assalamualaikum."

          "Wa'alaikumussalam," jawab Razin lalu meletakkan telefonnya di atas meja. Selepas itu, hanya tangisan yang kedengaran. Indah hanya berupaya menggelengkan kepalanya apabila mendengar tangisan kawan baiknya itu.

     *     *     *     *      *
6 bulan kemudian...

Razin sedang bertungkus-lumus menyiapkan pembentangan projek FunTimes Bakery apabila pintu biliknya diketuk. Dia berhenti membuat kerja lalu mengarahkan insan yang mengetuk pintu biliknya itu masuk.

          "Razin, ada orang nak lapor diri hari ini," lapor Indah.

          "Siapa? Pengurus Operasi atau pembantunya? Atau keduanya?"

          "Pembantu Pengurus Operasi."

           "Panggil dia masuk," jawab Razin lalu menyambung kerjanya. Tak lama kemudian, pintu biliknya dikuak lagi dan kelibat Amir mula kelihatan masuk ke dalam bilik pejabat Razin.

            "Assalamualaikum bos. Apa khabar?" sapa Amir, selepas duduk di hadapan Razin.

            "Wa'alaikumussalam, Amir. Amboi, makin berisi. Awak buat apa kat London tu sampai berisi macam ni? Seronok sangat ke duduk di sana sampai 6 bulan?" seloroh Razin lalu menepuk bahu Amir.

            "Encik Razin, Indah tak beritahu Encik Razin apa-apa ke?" tanya Amir, hairan.

            "Indah? Kenapa dengan Indah?" tanya Razin pula.

            "Waktu dia minta cuti seminggu itu, dia tak beritahu apa-apa pada Encik Razin?"

            "Tak ada pun, kenapa? Lagipun, Indah minta cuti itu 4 bulan lepas kan? Lama dah."

            "Patutlah, baru saya faham."

            "Faham apa? Apa semua ini?"

            "Encik Razin, saya dan Najihah dah balik Malaysia 5 bulan lepas. Saya jumpa Indah dan beritahu semuanya sebab saya sangka Indah akan sampaikan pada Encik Razin, tapi nampak gayanya saya kena berterus terang sendiri pada Encik Razinlah ya?" Amir mula membuka cerita.

            "Berterus terang? Tentang apa?" soal Razin, hairan.

            "Saya dan Najihah tak jadi bernikah 6 bulan lepas. Saya sekadar menemani Najihah saja ke London, tanpa sebarang ikatan sah. Najihah lebih sayangkan Encik Razin, kerana Encik Razin telah sembuhkan luka saya."

             "Jadi, apa kena-mengena dengan Indah? Mana Najihah sekarang? Kenapa korang berdua tak masuk kerja terus?"

             "Sabar Encik Razin, satu persatu akan saya jelaskan pada Encik Razin. Sebenarnya, saya telahpun bernikah dengan Indah sewaktu Indah cuti seminggu tu. Saya sudah minta Indah jelaskan pada Encik Razin, tetapi katanya Encik Razin sibuk sangat."

             "Saya akui, saya memang sibuk sejak kamu berdua ke London. Jadi, Najihah bagaimana?"

             "Pembedahan dia berjaya, tapi dia mengalami kesan sampingan."

             "Kesan sampingan?"

             "Saya rasa lebih baik Encik Razin tengok sendiri. Saya bawakan Encik Razin."

*     *     *     *     *
Luluh hati seorang lelaki bernama Razin melihat keadaan Najihah yang hilang penglihatannya akibat pembedahan itu. Amir menerangkan bahawa penglihatan Najihah hilang hanya sementara akibat sisa darah beku yang tak dapat dibersihkan seluruhnya, jadi doktor memberikan ubat bagi mencairkan sisa darah beku tetapi tidak dapat menjangkakan berapa lama Najihah akan buta.

            "Kenapa Amir tak beritahu saya?"tanya Razin, sebak.

            "Saya dan Indah memang nak beritahu, tapi Najihah dah beri amaran pada kami supaya jangan beritahu Encik Razin. Saya berterus terang inipun atas permintaan pakcik Kusaini dan makcik Wahidah supaya kembalikan Razin dalam hidup Najihah. Najihah selalu mimpikan Encik Razin."

           "Betul tu, Razin. Rindu sangat dia pada kamu," sampuk Puan Wahidah yang tiba di ruang tamu membawa dulang berisi air teh dan kuih karipap.

           "Makcik, boleh saya bernikah dengan Najihah? Pakcik sebagai wali mujbir, bukankah boleh nikahkan Najihah tanpa kebenaran dia sendiri?"

           "Pakcik setuju dengan Razin. Pakcik dah tak sanggup tengok anak pakcik hari-hari menangis sebab rindukan kamu. Bila kita boleh langsung? Buat yang wajib sajalah, almaklumlah keadaan Najihah yang begitu."

            "Saya akan bincang dengan keluarga saya, dan saya akan maklumkan pakcik kemudian. Boleh?"

             Encik Kusaini memandang Amir dan Puan Wahidah. Keduanya mengangguk, lalu Encik Kusaini pun mengangguk. Melihat respon bapa kepada Najihah itu, Razin tersenyum lega.

     *     *     *     *     *
"Aku terima nikahnya Fatin Najihah binti Ahmad Kusaini dengan mas kahwin tiga ratus ringgit, tunai," lafaz kabul yang diucap oleh Razin telahpun disahkan oleh dua orang saksi. Maka, dengan sekali lafaz, Najihah akhirnya menjadi milik Razin.

            Setelah berdoa dan bersalam dengan tok kadi, Razin menuju ke bilik Najihah di tingkat atas. Dia masih ingat lagi, dia telah membantu bapa mentuanya membayar duit rumah ini sebagai hadiah pertunangannya 6 bulan lepas. Akhirnya, rumah ini jadi saksi pernikahannya dengan gadis pilihannya.

             Razin membuka pintu bilik Najihah. Terlihat Najihah sedang duduk dan bermain dengan comforter katilnya. Jelas kelihatan di mata Razin tangan Najihah yang menggigil akibat gemuruh. Dia merapati isterinya itu, dan akhirnya duduk di sebelah Najihah. Tangan Najihah di angkat, dan cincin emas yang digenggam sedari tadi disarungkan di jari manis isterinya itu.

             "Assalamualaikum, encik suami," tutur Najihah, lembut kerana malu.

             "Wa'alaikumussalam, puan isteri," jawab Razin, lembut. Dahi Najihah dikucup lembut, membuatkan air mata Najihah mengalir tanpa sedar.

             "Kenapa awak masih terima saya yang buta ini, Razin?" tanya Najihah dalam sedu sedan tangisan.

             "Sebab saya cintakan awak seadanya awak, ingat tak saya pernah beritahu sebelum awak ke London dulu? Walau apapun terjadi, saya akan tetap tunggu awak di sini," jawab Razin lalu mengelap air mata Najihah yang masih tersedu akibat menangis.

              Najihah mencari-cari tangan Razin. Razin yang seakan mengerti memegang tangan Najihah. Najihah terus mencium tangan Razin dan selepas itu, Razin dengan pantas menarik Najihah ke dalam pelukannya. Keduanya menangis dan ketawa dalam masa yang sama.

              "Macam mana awak tahu saya adalah Razin?" tanya Razin, inginkan kepastian.

              "Bau minyak wangi awak. Saya kenal sangat," jawab Najihah, jujur.

              "Kena tukar minyak wangi kalau macam ni," seloroh Razin.

              Najihah ketawa mendengar seloroh suaminya. Dalam hati, segala puji bagi Allah kerana menyatukan dia dan jodohnya meskipun dalam keadaan yang serba kekurangan.

     *      *     *     *     *
"Izzat! Jangan lari-lari, nanti mummy rotan nanti!" jerit Najihah setelah dia melihat Izzat berlari-lari mengejar anak kucing yang selalu datang bermain di rumahnya.

           Pekikan Najihah tidak diendahkan, bahkan makin ligat dia bermain. Melihat keletah anak kecil berusia 3 tahun itu, Najihah hanya tersenyum.

            "Apa yang Jihah jerit-jerit itu?" tanya Indah yang tiba dari dapur dengan dulang berisi kuih. Najihah mengambil piring-piring kuih itu lalu diletakkan di atas meja santai yang terletak di perkarangan rumahnya.

            "Itu ha, Izzat itu. Bukan main lagi dia, main kejar-kejar dengan kucing. Ikut perangai papa dia kan?" seloroh Najihah.

            "Agaklah, papa dia itu pantang jumpa kucing. Semua dibelainya. Tak cukup dengan kucing yang ada di rumah agaknya," luah Indah lalu ketawa.

            "Daddy dia pun sama saja, cuma niat nak membela terbantut sebab Jihah tak biasa dengan kucing."

            "Tak lama lagi, mummy Jihah nak bersalin. Adalah geng Izzat nanti."

            "Ala, mama Indah pun 4 bulan lagi nak bersalin kan?" sampuk Razin yang datang entah dari mana.

            "Indah lambat lagi, lagipun anak ketiga. Razin dengan Jihah baru anak pertama, lambat betul."

           "Nak buat macam mana, rezeki lambat. Mujur mummy Razin tak suruh Razin kahwin lain tau?"

            Mendengar ayat Razin, Najihah bertindak mencubit peha suaminya. Kuat jeritan Razin akibat sakit.

            "Kena cubit lagilah tu, Razin? Jaga-jaga, Jihah ni memang kuat mencubit. Nasiblah kau dapat bini kuat mencubit," seloroh Amir yang baru tiba. Dia duduk di sebelah Indah dan mencium pipi isterinya itu.

            "Waktu mata dia tak nampak lagi dia dah kuat mencubit. Naik lebam jugalah peha aku ni Amir." jawab Razin sambil menggosok-gosok pehanya.

             "Itu macam minta lagi itu," sindir Najihah.

             "Okay, okay, sorry sayang. Abang nak gurau pun tak boleh. Cium sikit," jawab Razin lalu menghadiahkan pipi Najihah sebuah ciuman. Muka Najihah terus merah akibat malu.

             Amir memandang Indah. Baginya, Indah sudah cukup sempurna. Kahwin-kahwin dapat anak free seorang, selepas itu diberikannya Amir Izzat dan kini sedang menantikan anak kedua hasil perkahwinan mereka.

             Bagi Razin pula, sejauh manapun dia dan Najihah terpisah atas alasan untuk bahagia, jodoh dan pertemuan itu rahsia Illahi. Alasan untuk bahagia itu tak mampu melawan takdir, kerana alasan itulah mereka bersatu akhirnya.

TAMAT

Foot print: Sejujurnya masih ada rasa cinta yang tak akan putus kerna alasanmu untukku bahagia....

No comments:

Post a Comment