Untuk cerpen "Rasa yang Sama", link part sebelumnya, ada di bawah ya:
"Nisa, abang rasa abang nak makan gulai tempoyak ikan patin esok. Nisa boleh masakkan?" Tanya Asyraf selepas selesai membasuh tangan di dapur tadi.
Nisa yang sedang mengemas meja makan terhenti seketika mendengar pertanyaan suami tersayang. Dah kalah orang mengandung dah encik suami ni.
"Nisa yang mengandung, abang yang mengidam, ni apa kes?" Soalan Asyraf tadi terjawab dengan soalan daripada Nisa pula.
"Ala sayang, bolehlah. Abang dah lama tak makan gulai tempoyak tu. Ikan patin pun abang dah beli siang tadi. Mahal gila, tapi abang beli juga sebab dah teringin."
Mendengar rengekan Asyraf, Nisa hanya tersenyum dan mengangguk tanda setuju dengan permintaan Asyraf itu.
"Nisa, fikir apa tu? Jawablah soalan abang," suara Asyraf mematikan lamunan Nisa. Barulah dia sedar dia sedang mengelamun.
"Hah? Rumah? Rasanya kita ada rumah, tapi..."
"Tapi apa, Nisa?"
Nisa tidak menjawab pertanyaan Asyraf kerana sakit kepalanya mula menyerang gara-gara ingatan yang hadir tadi.
Melihat keadaan Nisa, Asyraf mencapai botol ubat yang Nisa berikan kepadanya tadi lalu dikeluarkan 2 biji untuk diberikan kepada Nisa. Selepas itu, dia menuang air ke dalam gelas yang dipegang sedari tadi lalu diserahkan kepada Nisa.
Nisa hanya mengambil ubat dan gelas itu tanpa berkata apa-apa. Melihat reaksi Nisa, Asyraf terpaksa melupakan niatnya yang tergendala itu.
* * * * *
Malam itu, Asyraf makan malam di rumah keluarga mentuanya. Jawapan yang dipinta dari Nisa masih lagi terbiar sepi. Sejak sakit kepala Nisa pulih, dia memilih untuk tidur. Mujur diajaknya Asyraf tidur bersama, kalau tidak mati kutu si suami.
"Kenapa along diam saja? Selalunya along yang riuh. Along tak sihat ke atau along tak selesa dengan Asyraf?" Tanya Puan Hajar yang mengesan perubahan anaknya sejak petang tadi. Bukan setakat anaknya, malah menantunya juga tidak seperti biasa.
"Apa jadi pada kandungan along lepas kemalangan itu?" Nisa tiba-tiba bersuara. Soalan itu mengejutkan Puan Hajar dan Encik Saifullah. Namun, insan yang paling terkejut merupakan suaminya sendiri.
Fahamlah Asyraf mengapa Nisa tiba-tiba berubah sikap. Andai dia berada di tempat Nisa, dia juga akan berasa sedih dan keliru.
"Along dah ingat tentang kandungan itu?" Tanya Puan Hajar, inginkan kepastian.
"Sudah, ma. Bukan itu saja, along tahu along dengan Asyraf ada rumah sendiri. Cuma, along nak tahu tentang kandungan itu saja. Apa jadi pada kandungan along, ma?"
"Along keguguran ketika kemalangan itu. Ketika itu, kandungan along dah mencecah 4 bulan. Mama minta maaf mama tak berterus terang. Maafkan mama, along, Asyraf."
"Tak apalah, ma. Bukan rezeki kami," jawab Asyraf, untuk menyedapkan hati kedua mentuanya.
"Abang boleh cakap begitu? Abang tak rasa sedih ke?" Tanya Nisa kepada Asyraf yang ditemani jelingan tajam tanda protes. Nisa tidak menghabiskan nasinya lalu menghantar pinggan ke dapur.
Asyraf mengikut jejak Nisa dan memegang lengan Nisa ketika Nisa cuba beredar dari sinki setelah membasuh tangannya.
"Lepaskanlah!" protes Nisa sambil bergelut untuk melepaskan diri. Namun, kudrat Asyraf membuatkan ianya mustahil bagi Nisa.
"We need to talk!" Arah Asyraf lalu menarik Nisa menuju je arah bilik tidur Nisa.
Puan Hajar dan Encik Saifullah hanya menjadi pemerhati saja. Menggeleng kepala Encik Saifullah melihat anak dan menantunya itu. Mujurlah anak-anak yang lain tiada, kalau tak haru-biru rumahnya.
* * * * *
"Kita dah ada dalam bilik dah, lepaslah!" Bentak Nisa sebaik saja Asyraf menutup pintu bilik Nisa. Ada riak bengang di wajah gadis berusia 27 tahun itu.
"Molek sangat perangai puan Anissa ni ya. Macam manalah abang boleh sayang cik adik seorang ni?" Usik Asyraf lalu mencubit pipi Nisa.
Hati Nisa geram diperlakukan begitu, namun akalnya menegah dia menepis tangan insan di hadapannya itu. Tidak elok begitu, fikirnya.
"Aik? Okay, abang anggap Nisa tak melawan ni tanda Nisa dah cool down sikit. So, dengar penjelasan abang. Tipulah abang tak sedih, tambahan pula abang tak boleh ingat pun tentang itu. Kalau nak kata sedih, abang should be the one who is sadder than you. Cuma, abang fikir, pasti Allah punya perancangan yang lebih baik untuk kita, sebab itu dia tarik balik rezeki kita. Maafkan abang sebab buat Nisa salah sangka."
Nisa terdiam mendengar kata-kata Asyraf. Ada benarnya kata-kata itu. Astaghfirullah hallazim, dia tak berfikir panjang rupanya.
"Bukan salah abang, salah Nisa. Nisa minta ampun, abang," jawab Nisa lalu mencapai tangan Asyraf dan menciumnya.
Asyraf tidak berlengah lalu bertindak memeluk wanita di hadapannya itu. Rasa kasihnya pada wanita itu tidak berkurang, malah makin membuak meskipun memori bersama wanita itu hanya secebis yang dapat diingat.
* * * * *
"Baik Nisa cakap betul-betul dengan abang, dah berapa lama Nisa buat kerja terkutuk ni?" Tengking Asyraf yang sedang memandu Honda City miliknya.
"Demi Allah, abang. Nisa tak buat semua itu. Abang tuduh Nisa perkara yang sangat sulit untuk Nisa terima," jawab Nisa bagi mempertahankan dirinya.
"Habis itu, kenapa abang nampak Nisa berpelukan dengan mamat bajet tu? Kenapa masih menidakkan, Annisa? Abang nampak dengan mata abang sendiri!"
"Abang, Nisa dah puas bergelut dengan dia, tapi kudrat dia kuat sangat. Nisa tak mampu nak menepis."
"Nisa tak mampu atau suka? Anak dalam kandungan Nisa tu, jangan-jangan..."
"Abang! Bawa mengucap boleh tak? Anak ni anak abang! Kalau abang tak percaya, jom kita pergi hospital," rayu Nisa sambil memaut lengan Asyraf.
Asyraf ingin menepis, namun cahaya lampu yang datang dari arah hadapan menyilaukan matanya lalu dia memusing stereng bagi mengelak daripada kenderaan punca cahaya itu dan menyebabkan keretanya menuju ke arah pokok yang terletak di tepi jalan.
Asyraf terjaga. Dia melihat sekeliling, dia masih dalam bilik tidur dan di sebelahnya adalah Annisa. Barulah dia sedar itu adalah mimpi.
Mimpi itu sudah dialaminya sejak dia mula-mula datang ke rumah Nisa. Hari pertama dia mendapat mimpi tersebut adalah pada malam dia berbalah dengan isterinya tentang kandungan yang gugur itu. Ini merupakan malam ketiga dia mendapat mimpi yang sama, namun dia memilih untuk merahsiakannya daripada Nisa.
"Ya Allah, apa semua ni? Adakah ini punca Kau tarik anugerah yang Kau ingin berikan kepada kami? Adakah aku telah salah faham terhadap isteri dan zuriat yang tak sempat lahir ke dunia itu, ya Allah? Ampunkan aku, ya Allah. Aku khilaf, aku bersyukur kerana Kau masih memberikan peluang kepadaku untuk menebus kesalahanku. Alhamdulillah," Asyraf bermonolog sendiri.
"Abang, tidurlah. Abang buat apa tu?" Nisa mula bertanya setelah melihat suaminya duduk berlunjur di sebelahnya.
"Ya, sayang. Abang tidur," jawab Asyraf lalu baring semula dan memeluk erat isterinya. Tanpa sedar air mata lelakinya gugur dan mengenai pipi Nisa.
"Abang nangis? Kenapa abang nangis ni?" Tanya Nisa selepas menyedari air yang mengenai pipinya merupakan air mata Asyraf.
Asyraf tidak menjawab soalan itu, sebaliknya menguatkan lagi pelukannya. Tindakan Asyraf membingungkan Nisa.
*bersambung*
No comments:
Post a Comment