Monday, February 25, 2019

Di Sebalik Kisah Cinta Biasa Part 11

Part sebelumnya:

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4
Part 5
Part 6
Part 7
Part 8
Part 9
Part 10

*****

"Apa dia?" tanya Ruzaini dengan suara yang sangat lantang.

"Dia bersama dengan seorang perempuan cina ketika kemalangan. Namanya, Olivia Chee. Nak cari maklumat, kena tunggu polis dulu sebab semua barangan peribadi mereka berdua sudah terbakar dalam kemalangan itu," terang Zaidah.

"Olivia? Itu bekas teman wanitanya. Mereka berdua dikatakan putus sebelum kita bawa Azam jumpa Amy dulu. Takkanlah..."

"Sayang, simpan pendapat you tentang Olivia, I call sebab nak tahu ada tak sesiapa yang boleh kami call untuk maklumkan kematian Azam atau kebumikan dia?" potong Zaidah.

"Dia tak ada keluarga, dia dibesarkan di rumah anak yatim. Rumah itupun sudah ditutup lima tahun lepas selepas penyelia meninggal dunia," terang Ruzaini.

"Oh ya ke. Tak apalah, kita tanam di kampung Amy sajalah," ujar Zaidah.

"I ke sana ya?" tanya Ruzaini, risaukan Amelia yang pastinya masih di bawah pengaruh minyak pengasih Azam itu.

"Tapi esok pagi mungkin kami akan bawa jenazah balik. Sir Syafiq pun sudah hubungi pemandunya untuk jemput kami di sini," ujar Zaidah.

"Tak apa, I cuba kejar bas terakhir. Jadi, I akan sampai di Kangar jam 5 pagi. Sempat saja kejar kamu semua. Lagipun, I rasa tak sedap hatilah," jawab Ruzaini.

"Baiklah, apa-apa nanti you update I okay?"

"Ya, sayang. You too okay?" jawab Ruzaini sebelum.memutuskan talian.

Zaidah meletakkan semula telefon bimbitnya ke dalam beg tangannya sebaik sahaja panggilan diputuskan.

     *     *     *     *     *

Akhirnya, setelah pelbagai dugaan yang melanda kesemua mereka yang terlibat, petang itu dalam jam 3, barulah jenazah Azam dapat dikebumikan.

Pagi itu, pihak hospital yang dipertanggungjawabkan untuk memandikan jenazah telahpun diduga dengan keluarnya cecair hitam dari kemaluannya. Setelah beberapa ketika, barulah pihak hospital selesai memandikan jenazah.

Rancangan asal mereka untuk membawa pulang jenazah ke kampung Amelia di Linggi, Negeri Sembilan terpaksa dibatalkan akibat daripada tiga buah van jenazah kesemuanya pancit setelah menempatkan jenazah untuk dibawa pulang.

Urusan pengebumian akhirnya dilakukan di Perlis setelah puas Ruzaini dan Redzuan memujuk orang kampung terdekat untuk membenarkan jenazah ditanam di tanah perkuburan kampung mereka.

Akan tetapi, mereka diduga lagi apabila jenazah tidak boleh masuk ke dalam liang lahad meskipun beberapa kali penggali kubur mengorek semula. Atas permintaan imam masjid bersebelahan kubur, mereka melakukan solat hajat bagi memohon kemudahan pengebumian jenazah. Setelah solat selesai, barulah pengebumian dapat diselesaikan.

Namun begitu, setelah Talkin habis dibaca dan orang mulai beransur pulang, Amelia tiba-tiba meraung dan merayu untuk mengikut Azam sambil menguis tanah kubur Azam.

Akibat kudratnya terlalu kuat, Encik Ruslan meminta Syafiq dan Ruzaini memapah Amelia untuk dibawa ke masjid sebelum dia menjirus anaknya itu dengan air ruqyah yang sentiasa dibawanya di hadapan masjid.

Melihat kejadian itu, imam masjid mendekati Encik Ruslan selepas Syafiq mencempung Amelia masuk ke dalam kereta.

"Assalamualaikum encik, boleh saya bertanya sikit?" tanya imam masjid.

"Waalaikumussalam, imam. Apa dia?" tanya Encik Ruslan.

"Siapa arwah pada encik? Wanita yang meracau itu anak encik bukan? Siapa pula dia pada arwah?" tanya imam, hairan.

"Arwah itu... menantu saya. Dia baru sahaja bernikah dengan anak saya pagi semalam, malamnya pula meninggal dunia," jawab Encik Ruslan meskipun perit untuk dia melafazkan perkataan 'menantu'.

"Saya sebenarnya masih berkira-kira nak beritahu encik atau tak, tapi tengok gayanya macam anak encik terkena guna-guna," jelas imam.

"Kenapa imam berkata begitu?" tanya Encik Ruslan.

"Saya pernah tengok anak jiran saya terkena minyak pengasih dulu. Begini jugalah gayanya. Kena hantar pergi berubat ini," jawab imam.

"Sebenarnya saya memang tahu tentang ini. Itulah nak bawa dia balik ke kampung untuk berubat. Air yang saya sapukan pada mukanya tadi itu pun air ruqyah, bukannya air biasa," jelas Encik Ruslan.

"Kalau begitu, legalah saya. Saya bimbang encik tak tahu, sebab itulah saya sampaikan. Kalau begitu, saya minta diri dululah. Semoga Allah permudahkan urusan encik sekeluarga," ujar imam sebelum bersalaman dengan Encik Ruslan dan berlalu pergi.

"Baiklah, imam. In shaa Allah, amiinn..."

Sebaik sahaja imam masjid beredar, Encik Ruslan juga berjalan menuju ke arah kereta Syafiq.

"Apa yang imam tanyakan?" tanya Puan Kursiah selepas Encik Ruslan masuk ke dalam kereta.

"Dia tanya tentang Lia ini. Dia pun tahu Lia ini sakit," jelas Encik Ruslan, ringkas.

"Yalah, ketara sangat. Kesian Syafiq, asyik kena dukung Lia saja. Alahai Lia, kenapalah susah sangat kau nak nampak kebaikan Syafiq ini?" ujar Puan Kursiah, geram.

Syafiq yang sedari tadi hanya mendengar perbualan kedua suami isteri ini hanya diam membisu. Tak mampu untuk dia jawab kerana bimbang akan memberikan harapan pada ibu bapa Amelia dan dirinya sendiri juga.

     *      *      *      *       *

Dora, Zaidah, Ruzaini, Syafiq dan Redzuan pergi melawat Amelia di hospital hari itu. Sudah seminggu Amelia dimasukkan ke dalam wad psikiatri selepas cubaan bunuh diri yang dilakukan sehari selepas mereka pulang ke Kuala Lumpur. Mujurlah Dora menemuinya sebaik sahaja dia mengelar tangannya dan dia dibawa ke hospital dengan pantas.

Meskipun lukanya tidak dalam, tetapi atas nasihat doktor, dia telah dirujuk ke bahagian psikiatri kerana ianya boleh berulang sekiranya tidak dirawat.

Akan tetapi, semua orang tahu kemurungan Amelia itu merupakan kesan sampingan daripada minyak pengasih itu. Jadi, dia harus diubati secara perubatan alternatif seiring dengan perubatan moden.

Memandangkan wad psikiatri tidak membenarkan pesakit memakai tudung di dalam wad, Dora dan Zaidah masuk dahulu ke tempat melawat membawa tudung atas persetujuan doktor. Selepas 5 minit, barulah yang lain tiba.

Ketika Ruzaini, Syafiq dan Redzuan sampai, Dora dan Zaidah baru sahaja selesai memakaikan tudung pada Amelia. Dora, Zaidah dan Amelia duduk sebaris manakala Ruzaini, Syafiq dan Redzuan duduk bertentangan dengan mereka bertiga.

"Kau macam mana, Amy? Semakin baikkah?" tanya Ruzaini.

"Alhamdulillah, aku dah mula kembali ke alam nyata. Aku harap kau orang maafkan aku sebab susahkan kau orang," jawab Amelia.

"Tak apalah, Amy. Kami semua sayangkan kau, sebab itu kami pergi ke sana tolong kau," jawab Dora sambil memegang tangan Amelia.

"Terima kasih Dora, Zai sebab sentiasa ada untuk aku waktu itu. Wan, Zaini, terima kasih sebab uruskan pengebumian arwah Azam," ujar Amelia, perlahan.

Sebaik sahaja ayat itu habis, keempat-empat nama yang disebut mula berpandangan sesama sendiri. Kenapa hanya nama mereka yang disebut sedangkan Syafiq adalah orang yang paling banyak berjasa dalam hal ini?

Syafiq pula hanya mengekalkan wajah tanpa reaksi yang dipamernya sejak tadi. Dia hanya memerhatikan perubahan Amelia dan tidak mengendahkan perihal namanya yang tak disebut.

"Apapun, terima kasih semua datang melawat aku. Cuma, boleh tak aku nak bercakap sikit dengan sir Syafiq sekejap?" tanya Amelia.

Mendengar permintaan Amelia, Redzuan, Ruzaini, Zaidah dan Dora meninggalkan Amelia dan Syafiq berduaan.

"Tuan, boleh saya tanya sesuatu?" tanya Amelia, lembut.

Syafiq memandang wajah Amelia lalu mengangguk.

"Kenapa tuan masih nak berjumpa dengan saya walaupun saya dah kecewakan tuan dulu dan sekarang?" tanya Amelia lagi.

"Saya tak rasa apa yang berlaku pada awak itu salah awak. Jadi, kenapa nak rasa malu?" duga Syafiq.

"Tak adalah, setelah apa yang berlaku, mampukah tuan hadap muka saya ini?"

"Saya akan hadap muka awak walaupun awak bosan dengan saya. Jangan risaukan saya, awak itu kena sihat dulu. Nanti kita cerita balik lepas awak dah sihat sepenuhnya," ujar Syafiq.

"Baiklah, tuan. Apapun, terima kasih ya."

"Untuk apa?" tanya Syafiq, hairan kerana dia pasti Amelia tidak tahu penglibatannya di dalam kejadian di Perlis tempoh hari.

*BERSAMBUNG*

No comments:

Post a Comment