Monday, June 29, 2015

Rasa yang Sama Part 9...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Untuk cerpen "Rasa yang Sama", link part sebelumnya, ada di bawah ya:


Nisa mulai hairan apabila dia menyedari laluan pemanduan Asyraf sudah berubah menuju ke tempat lain. Nisa memandang Asyraf, Asyraf kelihatannya sangat serius. Seperti ada yang memenuhi ruang fikiran suaminya.

     "Abang nak ke mana ni? Ini bukan jalan nak balik rumah kita," tanya Nisa setelah melihat Asyraf tidak menyedari bahawa dia telah memerhatikan suaminya itu sedari tadi.

     "Abang nak balik rumah abah sekejap. Nak ambil barang kejap," jawab Asyraf, hambar.

     "Abang okay? Kenapa suara abang lain macam ni?" Tanya Nisa lagi.

     "Nisa, boleh tolong abang tak?"

     "Tolong apa, abang?"

     "Walau apapun yang terjadi lepas ni, abang nak sayang tahu abang ada sebab kenapa abang buat semua ni. Abang sayangkan Nisa, dah jadi tanggungjawab abang untuk lindungi Nisa. Siapapun yang jumpa Nisa selepas ni, cakap bukan-bukan tentang abang, siap bagi bukti sekalipun, abang harap Nisa boleh percayakan abang. Sepertimana abang percaya Nisa tak curangi abang dengan mamat bajet tu dulu. Maafkan abang andai abang tak mampu nak bantu Nisa cari memori Nisa selepas ni. Nisa jangan sendirian, kalau apa-apa jadi, Nisa balik rumah ayah atau abah. Boleh tak Nisa?"

     Belum sempat Nisa menjawab, kereta Toyota Vios milik Asyraf telahpun berhenti di destinasi yang dituju. Nisa melihat luar, rumah agam milik Encik Halim, ayah mentuanya berada di hadapannya. Namun yang menghairankan Nisa, terdapat sebuah kereta polis di sebelah kereta yang dipandu Asyraf itu.

     Mereka berdua keluar dari kereta. Tanpa berlengah, Asyraf berjalan memasuki rumah seolah-olah dia sudah tahu tentang kehadiran polis tersebut. Nisa mengikuti dari belakang.

     "Assalamualaikum semua," sapa Asyraf pada semua orang yang berada di ruang tamu. Nisa melihat sekeliling, terdapat dua orang pegawai polis, ayah dan ibu mentuanya, kakak iparnya dan suami kakak iparnya. Melihat semua orang, dia bertambah hairan.

     "Wa'alaikumussalam. Encik Asyraf Rasyid?" Tanya salah seorang pegawai polis yang bangun mendekati mereka berdua.

     "Ya, saya. Ada apa encik?" Tanya Asyraf, terkejut.

     "Saya Inspektor Hafizi dari bahagian siasatan jenayah Bukit Aman. Saya terpaksa menahan reman Encik Asyraf Rasyid atas tuduhan menyeleweng duit syarikat Hartamanah Holdings Sdn. Bhd. sebanyak kira-kira RM80,000. Saya harap Encik Asyraf dapat bekerjasama," jelas Inspektor Hafizi lalu menggari tangan Asyraf.

     Asyraf hanya berdiam dan membiarkan Inspektor Hafizi menggari tangannya. Tanpa berlengah, Inspektor Hafizi dan rakan sekerjanya, Sarjan Izani membawa Asyraf keluar dari rumah lalu menuju ke arah kereta polis yang dilihat oleh Nisa tadi.

     Nisa tidak berkata apa-apa kerana terlalu terkejut. Puan Aina dan kakak ipar Nisa, Adriana mendekati Nisa dan bertindak memeluk Nisa yang sudahpun berlinangan air mata.

     Sebaik sahaja kereta polis yang membawa Asyraf pergi, pandangan Nisa mulai kelabu dan akhirnya hitam.

     *     *     *     *     *
"Nazrin, saya nak awak tolong saya. Saya nak awak ambil alih semua kerja-kerja Asyraf berkuatkuasa serta-merta. Semua jadual kerja Asyraf, saya akan minta Yanti email pada setiausaha awak," arah Encik Halim sebaik sahaja Nazrin duduk di hadapannya.

     "Asyraf mana? Kenapa dia tak habiskan kerjanya?" Tanya Nazrin terpinga-pinga.

     "Saya percayakan kamu sebab kamu kawan baik Asyraf. Jadi saya harap kamu tak keluarkan cerita ini dari bilil saya."

     "Baiklah, Encik Halim, tapi apa ceritanya?"

     "Asyraf ditahan polis malam semalam. Saya terpaksa melaporkan anak saya kepada polis kerana dia seleweng duit syarikat."

     "Hah? Macam mana Encik Halim boleh buat begitu? Dia kan anak encik," bantah Nazrin.

     "Dia sendiri yang mengaku dan dia mengizinkan saya untuk menghukumnya mengikut undang-undang. Saya kena jaga ahli lembaga pengarah juga, apa pilihan yang saya ada?" Jelas Encik Halim, sedikit sedih.

     "Ya tak ya juga. Baiklah, kalau itu kata Encik Halim. Boleh saya tahu di mana dia ditahan? Saya nak lawat dia."

     "Bukit Aman. Pergilah, dia perlukan kamu. Nisa demam panas, jadi dia tak dapat nak lawat Asyraf."

     "Baiklah, saya akan pergi. Banyak bersabar, Encik Halim. Ini semua dugaan, encik."

     "Terima kasih, Nazrin."

     "Sama-sama. Saya minta diri dulu, Encik Halim," Nazrin bangun lalu beredar dari bilik Encik Halim. Dia mengukir senyuman sinis sebaik sahaja dia membelakangi Encik Halim. Ternyata berita itu yang dinantinya selama ini.

     Encik Halim melihat pemergian Nazrin. Selepas itu, dia mengambil telefon bimbitnya lalu menghubungi seseorang.

     "Assalamualaikum, Inspektor. Saya dah sampaikan berita itu pada dia. Selebihnya, saya serahkan pada Inspektor. Terima kasih banyak-banyak, Inspektor. Ya, ya, baiklah. Saya akan pastikan keselamatan Nisa terjamin. Baiklah, wa'alaikumussalam."

*bersambung*

No comments:

Post a Comment