Monday, August 13, 2018

Jodoh yang Tertangguh

Irdina Wardah, nama yang indah meskipun Allah tidak kurniakan wajah secantik namanya. Berusia 35 tahun tetapi masih solo. Bukan memilih mencari calon suami, tetapi calon suami tidak mahu memilihnya.

Bermacam-macam cara dia usahakan bagi mendapatkan putera idaman suri hati, namun jodohnya belum kelihatan. Setiap calon potensi pastinya akan memberikan segala macam alasan sebelum meninggalnya.

Malah, dia juga turut mengusahakan perubatan alternatif bagi menghindari segala gangguan atau anasir jahat yang ingin menghalang, tetapi tetap jua sendiri. Inilah satu-satunya masalah yang dia tiada jawapannya.

"Sudah dua jam kau buat muka cengkodok itu, Dina. Balik sajalah," desak Kak Tina, penyelia yang bertugas mengawal selia bahagian dapur tempat Irdina bekerja sambil berdiri memandang Irdina yang berada di sebelahnya.

"Saya tak puas hati selagi saya tak dapat rekaan untuk kek kahwin Raisha Roslan. Encik Talha nak tengok rekaan tu sebelum minggu depan. Masalahnya, hari ini sudah hari Khamis!" Keluh Irdina sambil menongkat dagunya.

"Itulah sebabnya aku suruh kau balik, cari ilham. Kau ini, gaya serupa baru sehari kerja jadi chef kan?" leter Kak Tina.

Lama Irdina merenung Kak Tina sebelum akhirnya bangun lalu menuju ke arah bilik loker bagi menukar baju. Baju kerja yang dipakainya digantikan dengan baju kemeja-T dan seluar jeans yang tergantung di dalam loker miliknya lalu dicampakkan baju kerjanya di dalam bakul dobi yang terletak berhadapan dengannya. Irdina lebih suka menyuruh kesemua pekerja di kedai bakeri miliknya dan seorang lagi rakan kongsi meletakkan baju kerja yang sudah dipakai di dalam bakul yang telah dia sediakan kerana dia akan membawa baju kotor itu ke kedai dobi untuk dibasuh.

Sebaik sahaja dia selesai menukar pakaiannya, dia mengambil beg tangannya lalu menggalasnya sebelum mengambil plastik berisi baju kotor itu lalu membawanya keluar dari kedai melalui pintu belakang. Dia menuju ke arah kereta Honda City warna perak yang terletak berdekatan dengan pintu belakang kedai lalu meletakkan plastik tersebut di tempat duduk belakang sebelum masuk ke dalam kereta di tempat duduk pemandu.

Baru sahaja dia menghidupkan enjin kereta, telefon bimbit Huawei Nova 2i miliknya berdering. Dengan pantas dia mencapai telefonnya sebelum menjawab panggilan tersebut.

"Hello, kakak. Nak minta tolong boleh?" kedengaran satu suara yang sangat dikenalinya.

"Nak suruh jemput anak kau kat sekolah ke apa? Pukul berapa ni? Anak kau bukan balik pukul satu ke? Ini sudah pukul tiga! Apa punya mak kau ini, Wani!"

"Cantik sikit, kak! Rayyan ada lawatanlah hari ini, sebab itulah aku tak boleh nak ambil. Aku ada mesyuarat penting sekarang, tak boleh lari. Tolonglah, kakak! Aku merayu sangat ni," pujuk Irwani, adik Irdina di hujung talian.

"Yalah, aku pergi sekarang," jawab Irdina sebelum mematikan talian lalu memulakan pemanduannya.

     *     *     *     *     *
Huzair, nama yang singkat namun begitu indah makna yang tersirat di sebaliknya. Berusia 35 tahun, telah mempunyai isteri dan sepasang cahaya mata yang berumur sepuluh dan enam tahun.

Pada mata kasar, rumah tangganya kelihatan sangat bahagia tetapi gelora di hati manusia tak siapa yang tahu. Isterinya sangat baik, tetapi Huzair hanya mampu memendam perasaan lamanya kerana tidak mahu dikatakan kufur nikmat.

Tipulah kalau dia tidak menyayangi isterinya, namun perasaan sayang itu tidak sepenuh hati buat wanita itu. Sudah bermacam-macam cara dia lakukan untuk membuang perasaan yang bersarang di dalam hati, namun perasaan itu tetap utuh di situ.

Pada mulanya, dia hanya memilih untuk mendiamkan diri sehinggalah suatu hari dia terlihat si pemilik hatinya tadi. Namun begitu, dia tak pasti apakah insan itu adalah insan yang sama yang dia rindui. Lagi memilukan apabila dia melihat wanita itu memegang seorang budak lelaki seusia anak perempuannya.

Huzair memandang ke arah anak perempuannya yang sedang bermain dengan anak patung beruang yang dibelinya tiga tahun lepas.

"Hannah, boleh abi tanya sesuatu?" tanya Huzair, lembut.

"Apa dia, abi?" tanya Hannah sambil memandang ke arah Huzair.

"Siapa nama kawan Hannah yang bagi bola tadi?" tanya Huzair, ingin tahu.

"Rayyan, dia satu kelas dengan Hannah. Tahun depan pun dia masuk darjah satu di sekolah yang sama dengan Hannah," jawab Hannah.

"Ya ke? Siapa yang jemput dia tadi?" tanya Huzair lagi.

"Rayyan kata itu mama dia tapi mama dia tak datang hari-hari. Selalunya ibu dia yang ambil," jawab Hannah, jujur.

"Berapa banyak mak dia?" tanya Huzair, hairan.

"Rayyan kata dia ada dua mak, dua ayah," jawab Hannah, selamba.

"Pulak dah. Terima kasih, Hannah. Abi tanya sebab rasanya mama Rayyan itu macam kawan lama abi. Jadi, jangan beritahu ummi tau. Ini rahsia kita," jelas Huzair.

"Baik, abi. Hannah akan simpan rahsia kita," Jawab Hannah sambil tersenyum nakal.

     *     *     *     *     *

Irdina memandang sekelilingnya. Dia tak tahu dia berada di mana, di sekelilingnya terasa begitu asing. Dia cuba mencari jalan keluar, namun tak ketemu.

Sedang dia tercari-cari, tiba-tiba ada kelibat seorang lelaki muncul di hadapannya.

"Hai, Irdina. Apa khabar?" sapa lelaki itu sambil tersenyum.

Irdina cuba memandang lelaki itu, tetapi kekurangan cahaya membuatkan wajah lelaki itu tidak dapat dilihat dengan jelas.

"Awak buat apa di sini?" tanya Irdina meskipun dia tidak pasti siapakah orangnya.

"Saya cari awaklah," jawab lelaki itu.

Irdina cuba menilik wajah lelaki itu, sikit demi sikit wajah lelaki itu mula jelas kelihatan. Apabila dia pasti siapakah gerangan lelaki tersebut, dia ingin mendekati lelaki itu tetapi dia menyedari ada jurang di antara dia dan lelaki itu. Akibat terkejut, dia tersedar daripada tidurnya.

Apabila Irdina menyedari bahawa dia hanya bermimpi, dia hanya mampu beristighfar berulang kali kerana mimpi ini semakin kerap berlaku. Bermula dengan sekali-sekala, ianya semakin kerap sehingga selang dua tiga hari kini. Setiap kali pun mimpinya akan sama. Dia akan ketemu lelaki itu di dalam mimpinya.

Dia tahu dirinya merindui lelaki itu, saban tahun dia mengharapkan agar mereka berdua bertemu tetapi hasratnya itu dibatalkan setelah dia mendapat tahu tentang berita perkahwinan lelaki itu tujuh tahun lepas.

Dia cuma berharap sekiranya pertemuan mereka berdua akan memudaratkan, lebih baik dia tidak ketemu lagi dengan lelaki itu.

"Maafkan saya, saya sepatutnya berterus terang dengan awak dulu," Irdina bermonolog sendiri.

     *     *     *     *     *

"Semua orang tahu dia sukakan kau, kenapa kau tak berterus terang saja pada dia?" tegur Puteri yang hairan dengan tindak-tanduk Irdina.

"Nak terus terang apa?" tanya Irdina, hairan.

"Kau sebenarnya sukakan dia atau tak? Beritahu sajalah supaya dia tahu apa yang perlu dia lakukan," jawab Puteri, geram dengan jawapan Irdina.

Kata-kata Puteri membuatkan Irdina mendiamkan diri. Bukan dia tak mahu mengikut cadangan teman baiknya itu, tetapi dia tak merasakan dia harus berbuat demikian. Dia tidak pernah menghalang lelaki itu daripada menyukainya, tetapi dia tak mampu untuk menyatakan jawapannya kerana dia sedar mereka baru sahaja berusia sebelas tahun. Apakah yang boleh mereka berdua lakukan?

"Tengoklah bagaimana nanti, aku beritahu dia di pusat tusyen malam nanti," jawab Irdina kerana tidak mahu terus bertegang leher dengan Puteri.

"Jangan tangguh lama-lama, nanti takut dia kecewa. Kalau dia tak berdendam, tak apalah," Puteri memberikan amaran sebelum kembali ke tempat duduknya.

Irdina memandang ke arah lelaki yang diceritakan oleh Puteri itu. Tipulah hatinya tidak menyukai lelaki itu, tetapi atas sebab keluarganya yang tidak pernah memberikan kebebasan kepadanya untuk keluar dengan kawan-kawan seperti orang lain membuatkan dia terpaksa memendam rasa.

"Apa yang kau fikirkan, kakak?" tanya Irwani selepas dia duduk di sebelah Irdina.

Pertanyaan Irwani mematikan lamunan Irdina. Dia memandang ke arah satu-satunya adik perempuannya itu. Wanita berusia 29 tahun itu telahpun bergelar ibu beranak dua, hasil perkahwinannya dengan seorang anggota polis tujuh tahun lepas.

"Aku nak tanyalah, kau tak rasa ke perhubungan kau sebelum ini tak jadi, ada sebab tertentu?" tanya Irwani lagi.

"Sebab apa itu?" tanya Irdina, tak mengerti akan pertanyaan Irwani itu.

"Kau tak rasakah Allah tak temukan jodoh kau sebab jodoh kau masih dijaga oleh orang lain?" tanya Irwani sambil tersenyum.

"Apa yang kau cuba sampaikan?" tanya Irdina, pura-pura tak mengerti maksud Irwani meskipun dia tahu Irwani memaksudkan lelaki itu.

"Biarlah dia, tetapi aku tak mahu doakan kehancuran rumah tangga orang lain, walhal aku tak kisah pun bernikah dengan duda, asalkan bukan suami orang," sambung Irdina lagi.

"Kalau dia ada anak, sanggup kau jaga anak-anak dia?" tanya Irwani lagi.

"Asalkan anak-anaknya sudi menerima aku, kenapa tidak? Mereka tak sepatutnya menanggung beban di atas permasalahan ibu bapa mereka."

"Jadi, kau masih sayangkan dia?" tanya Irwani sambil merenung Irdina.

Irdina tidak terus menjawab, sebaliknya hanya mendiamkan diri sambil membalas renungan adiknya itu.

"Mungkin ya, mungkin tidak. Aku tak tahu sama ada perasaan ini adalah cinta yang tersimpan rapi atau sekadar perasaan bersalah yang bersarang di hati," jelas Irdina sambil merenung ke arah skrin telefon bimbitnya. Gambar pelakon kegemarannya, Park Seo Joon ditenung. Lebih mudah meminati selebriti kerana dia tahu mereka tiada peluang untuk bersama.

"Sudah sampai masanya untuk kakak buat solat istikharah, semoga Allah berikan petunjuk kepada akak dan apapun jawapannya kelak, akak kena redha. Ingat itu. Sudahlah, Wani nak tidur. Esok nak kena hantar Rayyan pergi sekolah darjah satu. Takkan hari pertama dia nak datang lambat bukan? Good night my dear sis," Irwani memberikan nasihatnya sebelum bangun dari sofa lalu menuju ke tingkat atas meninggalkan Irdina sendirian.

Irdina hanya mampu melepaskan keluhan berat sebelum bangun dari sofa lalu berjalan menuju ke bilik tidurnya yang terletak di tepi ruang tamu itu. Memang sengaja Irdina memilih bilik tidur di tingkat bawah kerana tidak mahu mengganggu privasi keluarga Irwani memandangkan dia menumpang di rumah adiknya itu. Atas sebab itulah, dia tak pernah berkira dengan adiknya walaupun sesen.

     *     *     *     *     *

Irdina baru sahaja menjemput Rayyan dari kelasnya apabila dia perasan akan kelibat seseorang yang berdiri di hadapannya bersama seorang budak perempuan seusia Rayyan.

Dia memandang kelibat itu dan dia amat pasti matanya tidak salah meneka. Dia amat yakin insan yang berada di hadapannya itu merupakan lelaki yang sama yang hadir dalam mimpinya saban hari.

"Hannah, pergi main dengan Rayyan dulu. Abi nak bercakap dengan mama Rayyan," pujuk Huzair, lelaki yang berdiri di hadapan Irdina tatkala itu.

Tanpa sebarang soalan, Hannah mengajak Rayyan bermain di padang berhampiran manakala Huzair mengajak Irdina untuk duduk di pondok yang terletak berhampiran tempat Hannah dan Rayyan bermain.

"Awak Irdina Wardah bukan?" tanya Huzair, tanpa berlengah.

"Kalau saya kata bukan, awak percayakan saya ke?" seloroh Irdina.

"Walaupun rupa awak sudah berubah, tapi mata awak tetap sama Irdina. Awak tak boleh bohongi saya tentang itu," jawab Huzair, serius.

"Samalah macam telinga awak, Huzair. Masih capang," usik Irdina sambil tersenyum.

"Awak sihat?" tanya Huzair sambil tersipu malu.

"Alhamdulillah, bagai dipam-pam," jawab Irdina dalam nada yang masih tidak serius.

"Biasa saja saya tengok, mana ada gemuk," jawab Huzair yang masih mengekalkan nada seriusnya.
Irdina tidak menjawab, sebaliknya hanya memandang lelaki yang berada di hadapannya. Wajahnya tidak banyak perubahan membuatkan dirinya mudah mengecam lelaki itu. Tidak seperti dirinya yang sudah jauh berubah.

"Maafkan saya," lafaz Irdina setelah lebih seminit dia memilih untuk mendiamkan diri.

"Tapi kenapa?" soal Huzair, tak mengerti maaf yang terucap itu.

"Sebab kita berjumpa di sini, di tempat segalanya bermula, di tempat kita terpisah," luah Irdina tanpa melihat riak wajah insan yang duduk berhadapan dengannya.

Huzair memandang wajah Irdina. Matanya berkaca, pasti pertemuan mereka berdua ini memberikan impak buatnya. Cuma Huzair tidak mengerti apakah sebabnya.

"Saya rasa, yang terkesan dengan pertemuan ini seharusnya adalah saya. Awak cinta pertama saya, cinta monyet saya, tetapi kenapa awak tampak lebih terkesan daripada saya?"

"Kerana awak juga adalah cinta pertama saya, cinta monyet saya. Perasaan yang saya pendam sekian lama, tak siapapun tahu betapa peritnya saya menyimpan perasaan ini. Perasaan bersalah itu sentiasa ada, meskipun awak kini telahpun temui kebahagiaan awak sendiri."

Terkesima Huzair mendengar luahan panjang lebar Irdina itu. Jadi, selama ini perasaan yang disangkakan bertepuk sebelah tangan itu rupanya berbalas?

"Apa maksud awak?" tanya Huzair, tidak pasti dengan apa yang didengarinya.

"Saya minta maaf kerana tak sempat berikan jawapan kepada luahan perasaan awak dulu. Saya sama sekali tak menyangka bahawa awak akan ke sekolah berasrama semasa kita di tingkatan satu. Mungkin sebahagian daripada saya memperkecilkan kebolehan awak untuk masuk ke sekolah berasrama. Saya minta maaf," jelas Irdina dengan riak wajah yang pernuh dengan perasaan bersalah.

Terkesima Huzair mendengar pengakuan Irdina itu. Sudah hampir dua puluh lima tahun dia menantikan pengakuan itu, tetapi sayangnya pengakuan itu muncul tatkala dia sudahpun menjadi suami orang. Hanya Allah sahaja tahu betapa luluhnya hati seorang Huzair ketika menerima pengakuan itu.

"Kenapa baru sekarang awak beritahu saya? Kenapa bukan dulu?" tanya Huzair, tidak puas hati dengan penjelasan Irdina.

"Kita masih kecil, apa yang budak berusia dua belas tahun boleh lakukan? Tambahan pula, keluarga saya sangat mengongkong ketika itu, awak rasa kita boleh bahagia ke kalau saya terima perasaan awak dulu?"

Huzair terbungkam mendengar hujah Irdina. Ada benarnya kata-kata wanita yang berada di hadapannya itu. Namun begitu, kenapa Allah memilih untuk pertemukan mereka semula selepas dua puluh satu tahun?

     *      *     *     *     *

Balqis, wanita berusia 33 tahun. Isteri kepada Huzair dan ibu kepada sepasang anak yang kini berusia sebelas dan tujuh tahun. Memilih untuk mendirikan rumah tangga bersama Huzair atas kepentingan anak lelakinya, memandangkan Huzair dapat menerima anaknya walaupun hatinya tiada buat Huzair di awal perkahwinan mereka.

Namun begitu, gelora di hati sang isteri tiada siapa yang tahu. Lama-kelamaan, perasaan buat si suami mula bercambah tetapi jauh di sudut hatinya, dia tahu ada yang membelenggu hati suaminya. Seolah-olah suaminya itu tidak benar-benar mencintainya.

Berbulan-bulan lamanya dia cuba mencari jawapannya, sehinggalah suatu hari dia terjumpa sekeping gambar kelas milik suaminya. Pada mulanya, dia tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dia terbaca tulisan di belakang gambar tersebut yang berbunyi:

Kali pertama ketemu Irdina Wardah, 1995.

Tatkala membaca tulisan di belakang gambar tersebut, fahamlah Balqis bahawa Irdina Wardah ini merupakan cinta pertama suaminya. Akan tetapi, masihkah lelaki itu punya perasaan kepada cinta pertamanya ini? Kalau mengikut tahun, suaminya bertemu dengan wanita ini buat kali pertama dua puluh tiga tahun lepas. Suatu jangka masa yang sangat lama.

Sedang dia memegang gambar tersebut, Huzair keluar dari bilik air. Akibat tergamam, Balqis hanya berdiri kaku bersama dengan gambar yang masih dalam pegangannya.

Huzair pula memandang Balqis yang sedang memegang gambar yang amat dikenalinya. Tanpa berlengah, Huzair mendekati Balqis lalu menadahkan tangannya sebagai isyarat meminta kembali gambar tersebut.

Balqis pula yang memahami isyarat Huzair itu menyerahkan semula gambar tersebut kepada Huzair tanpa sebarang bicara.

Baru sahaja Huzair ingin berpaling selepas mengambil gambar tersebut, dia dapat mendengar soalan pertama yang keluar dari mulut isterinya.

"Siapa Irdina? Cinta pertama abang?" tanya Balqis, terketar-ketar.

Huzair tidak menjawab, sebaliknya hanya mengangguk.

"Abang masih cintakan dia?" tanya Balqis lagi.

Huzair tidak terus menjawab, lama dia mendiamkan diri membuatkan Balqis semakin resah menantikan jawapannya.

"Kenapa abang tak jawab?" tanya Balqis setelah mendapati Huzair tiada niat untuk menjawab soalan sebelumnya.

"Abang sendiri tak pasti dengan perasaan abang. Abang tak nak tertipu dengan hati abang sendiri. Lagipun, kita ada anak-anak, takkan semata-mata kerana perasaan abang yang lalu, abang nak korbankan hidup anak-anak?" jawab Huzair.

"Abang cuma ada seorang saja anak dengan saya, iaitu Hannah. Abang dengan saya sama-sama tahu yang Omar itu anak saya dengan bekas suami saya. Kenapa dalam hal inipun abang masih fikirkan kebajikan Omar? Ayah dia masih hidup," balas Balqis.

"Sewaktu abang menikahi Balqis, abang sudah nekad untuk anggap Omar itu seperti anak abang sendiri. Atas sebab itulah, abang tak pernah berkira dengan Omar dalam segala hal pun. Malah kasih sayang abang tak pernah kurang buat Omar."

Balqis terbungkam mendengar pengakuan Huzair itu. Dia sama sekali tidak menyangka sebegitu dalam kasih sayang Huzair buat anak yang bukan dari darah daging lelaki itu.

"Irdina sudah berkahwin?" tanya Balqis, kembali kepada topik asal mereka.

Huzair tidak menjawab, sebaliknya hanya menggelengkan kepala.

"Kalau abang benar-benar ingin menikahi Irdina, saya izinkan."

Kata-kata Balqis mengundang 1001 tanda tanya dalam fikiran Huzair. Dia keliru, kerana fitrah wanita tidak mahu berkongsi suami tetapi isterinya mengizinkannya bernikah lagi tanpa dia meminta. Apakah yang berlaku sebenarnya?

     *     *     *     *     *

Sejak Balqis memberikan keizinannya, Huzair tidak lagi meneruskan niatnya untuk berkawan semula dengan Irdina. Andai terserempak di sekolah Hannah, dia hanya memberikan senyuman, namun hanya setakat itu sahaja.

Sengaja dia lakukan begitu untuk memastikan perasaannya kepada Irdina bukan mainan atau penipuan hatinya sendiri. Selain itu, dia ingin menjaga hati isterinya meskipun isterinya menyuruhnya bernikah dengan Irdina, dia masih belum bersedia untuk berpoligami.

Irdina juga seperti tidak mempedulikan perubahannya, meskipun dia sedar akan perubahan itu. Mungkin Irdina juga tidak selesa dengan statusnya sebagai suami orang.

Akan tetapi, selepas sebulan, hatinya mula meronta. Dia sedar perasaannya kepada Irdina bukan lagi cinta monyet. Dia mula terbayang-bayang kelibat Irdina di sekolah tatkala Irdina tiada dan rasa teruja tatkala Irdina ada.

Suatu hari, ketika menunggu kepulangan Hannah, Huzair ternampak Irdina sedang melihat senarai nama pelajar cemerlang UPSR yang terpampang di dinding yang terletak berhampiran kantin sekolah.

Huzair mendekati Irdina, sambil melihat senarai nama yang dibaca oleh Irdina. Rupanya ianya merupakan senarai nama pelajar cemerlang tahun mereka mengambil peperiksaan UPSR.

Matanya tertancap pada sebaris nama yang amat dikenalinya. Irdina Wardah binti Mohamad Iman. Pelajar cemerlang UPSR tetapi dia tidak menyambung pengajian di sekolah berasrama penuh ketika di sekolah menengah. Tidak sepertinya yang memilih untuk menyambung pengajiannya di sekolah menengah kebangsaan agama.

"Kenapa awak tak masuk sekolah berasrama penuh dulu? Keputusan UPSR awak cemerlang," tanya Huzair bagi melahirkan perasaan hairan di dalam hatinya.

"Saya dapat tawaran ke MRSM dulu, tapi saya tolak. Saya tak berminat dengan sekolah berasrama penuh atau separuh penuh sekalipun," jawab Irdina.

"Kalau awak masuk ke MRSM, mesti awak sudah bergelar graduan lepasan universiti luar negara. Awak pelajar pintar, tak ada siapapun boleh nafikannya," luah Huzair.

"Awak pastikah? Takdir Tuhan bukan di tangan kita, Huzair. Awak tak perlu dapatkan keputusan gah macam orang-orang yang namanya terpampang di sini, tapi awak masih graduan lepasan universiti luar negara bukan? Lagipun, apa cacatnya universiti kita? Saya masih seorang graduan lepasan ijazah sarjana muda, sama seperti awak."

"Setidak-tidaknya kalau awak berusaha, mungkin peluang awak lebih cerah."

"Apa yang awak cuba sampaikan ini?" tanya Irdina, perasan akan kejanggalan topik yang Huzair kemukakan.

"Tak ada, saya cuma cakap kosong. Abaikan saya kalau rasa tak selesa," jawab Huzair dengan gaya bersahaja.

"Tak mungkin, naluri saya mengatakan awak ada perkara lain yang ingin awak sampaikan. Apa dia?" tanya Irdina lagi lalu memalingkan dirinya menghadap Huzair.

Melihat respon Irdina, Huzair tahu dia tidak boleh mengelak lagi. Ini mungkin satu-satunya peluang yang dia ada.

"Saya sayangkan awak, Irdina. Awak masih lagi bertakhta dalam hati saya, baik dua puluh tiga tahun lepas, baik sekarang."

Luahan hati Huzair disambut dengan hilai tawa Irdina. Geli hatinya mendengar luahan hati Huzair itu.

"Awak biar betul? Kalau awak betul-betul sayangkan saya, mana datangnya isteri dan anak-anak awak itu?" tanya Irdina selepas habis tawanya.

Soalan yang dikemukakan Irdina membuatkan Huzair terdiam. Ada benarnya keraguan Irdina, kalau benar dia tak pernah berhenti menyayangi Irdina, bagaimanakah dia boleh bernikah dan mempunyai anak?

"Bohonglah kalau saya katakan saya tak pernah berhenti menyayangi awak tetapi sekarang, awak telah keluarkan perasaan yang sudah lama saya tanam jauh di sudut hati saya," jawab Huzair.

"Saya tak sanggup nak menjadi orang ketiga dalam perhubungan awak dan isteri," bantah Irdina.

"Isteri saya izinkan, dia yang suruh saya dekati awak."

"Jadi, adakah itu sebab untuk awak ikut cakap dia? Tidak, saya takkan setuju walaupun isteri awak izinkan. Saya juga wanita sepertinya, saya tahu apa yang dia rasa. Mulut memang kata izinkan, tapi hati belum tentu lagi. Selagi awak masih bersama isteri awak, saya takkan sesekali terima awak. Faham?" tegas Irdina.

"Abi, Hannah dah balik ini. Abang mana?" tanya Hannah yang muncul tiba-tiba.

Mendengar suara Hannah, keduanya berpaling lalu memandang ke arah Hannah yang berbaju kurung putih dan berkain biru gelap. Rambutnya ditocangkan dua membuatkan dia tampak begitu comel.

"Eh, mama Rayyan pun ada! Hai auntie," tegur Hannah apabila dia perasan akan kehadiran Irdina bersama ayahnya.

"Hai Hannah, Hannah nampak Rayyan tak? Puas auntie cari dia," tanya Irdina selepas mencangkung di hadapan Hannah.

"Ada, dia main di atas pentas dataran sana. Auntie pergilah tengok," jawab Hannah sambil menudingkan jarinya ke arah dataran sekolah.

"Okay, thank you Hannah. Sudahlah, saya gerak dulu. Saya tak boleh lama ini, nanti pekerja saya mengelat pula. Assalamualaikum," ujar Irdina sebelum beredar meninggalkan Hannah dan Huzair.

"Abi, auntie cantik bukan? Kalau umi tak ada, Hannah nak umi macam auntie," ujar Hannah setelah Irdina pergi.

"Apa Hannah merepek ini? Umi Hannah masih sihat lagi, nanti kalau umi dengar, mesti dia kecil hati," tegas Huzair, pening dengan kenyataan Hannah.

"Umi memanglah nampak sihat, tapi Hannah tahu umi tak sihat."

Terbungkam Huzair mendengar kata-kata Hannah. Apakah isterinya menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya?

     *     *     *     *     *

Balqis sedang melipat kain di atas lantai apabila Omar dan Hannah datang menerpa lalu memeluk ibu mereka. Tindakan mereka membuatkan Balqis terpana.

"Kenapa ini?" tanya Balqis, hairan dengan tindakan anak-anaknya.

"Umi sakit apa? Hannah kata dia nampak umi batuk keluar darah," ujar Omar selepas meleraikan pelukannya. Omar memilih untuk duduk di sebelah kanan Balqis.

"Umi batuklah. Kenapa Omar tanya?" tanya Balqis selepas menjawab soalan Omar itu.

"Umi jangan tipu Omar. Omar sudah besar, Omar tahu batuk jenis apa yang berdarah. Kalau umi sakit, umi beritahulah kami. Nanti kalau apa-apa jadi pada umi, siapa nak jaga kami?" tanya Omar, pilu.

"Hannah tak nak umi pergi, tapi ustazah kata sampai masa kita semua akan pergi. Kalau masa umi dah sampai, Hannah cuma nak mama Rayyan jadi mama Hannah," jawab Hannah tiba-tiba.

"Mama Rayyan? Siapa mama Rayyan?" tanya Balqis, hairan.

"Auntie Dina, kawan abi. Dia baik, umi. Dia selalu belanja Omar dan Hannah makan kalau abi lambat datang. Dia sanggup tunggu sampai abi datang jemput kami, baru dia balik. Cuma, Omar tak tahulah kalau dia kahwin dengan abi, adakah dia masih akan layan kami berdua dengan baik," jawab Omar pula.

"In shaa Allah sayang, kita sama-sama doakan kalau perkara itu terjadi, kawan abi itu akan jaga abi dengan anak-anak umi ini dengan baik," ujar Balqis lalu memeluk kedua-dua anaknya yang berada di kiri dan kanannya.

"Apa yang tiga beranak ini bualkan?" tanya Huzair bagi memecah kesunyian.

"Tak ada apa-apalah, abi. Omar cuma nak manja-manja dengan umi," bohong Omar.

"Omar, umi tak pernah ajar anak umi menipu," tegas Balqis dengan wajah serius.

"Umi kata kalau apa-apa jadi pada umi, dia nak mama Rayyan jaga abi dengan kami," jelas Hannah membuatkan wajah Huzair berubah.

"Omar, Hannah, pergi tidur ya. Abi nak bercakap dengan umi," arah Huzair lalu duduk di atas sofa berhampiran dengan Balqis.

Mendengar arahan Huzair, Omar menarik tangan Hannah lalu berjalan menuju ke tangga dan seterusnya naik ke tingkat atas meninggalkan Huzair dan Balqis berdua di ruang tamu.

"Kenapa Balqis tak berterus-terang dengan abang tentang penyakit Balqis?" tanya Huzair setelah lama dia mendiamkan diri.

"Penyakit? Penyakit apa?" tanya Balqis, berpura-pura tak memahami soalan Huzair.

"Balqis jangan nak menipu abang lagi boleh? Abang sudah jumpa laporan kesihatan Balqis. Kenapa perkara sepenting ini Balqis boleh rahsiakan daripada abang?" tanya Huzair, bertubi-tubi.

"Saya minta maaf, abang. Abang cuma tak mahu buat abang susah hati," luah Balqis sambil memegang tangan Huzair sebelum menciumnya.

"Balqis, kita ini suami isteri. Segala beban Balqis sepatutnya kita kongsi bersama," ujar Huzair sambil memegang pipi Balqis bagi mengelap air mata Balqis yang gugur.

"Saya tak mahu bebankan abang dengan masalah saya. Kalau boleh, saya nak abang tahu tentang penyakit saya selepas saya pergi," jawab Balqis.

"Berapa lama yang Balqis ada?" tanya Huzair, ingin tahu.

"Sebulan setengah," jawab Balqis, sebak.

"Astaghfirullah hallazim, Balqis. Kenapa sayang buat abang begini?" tanya Huzair lalu menarik Balqis ke atas pangkunya sebelum dipeluknya. Luluh hatinya mengenangkan masa yang tinggal bersama isterinya sudah hampir luput, sedangkan dia asyik memikirkan tentang wanita yang belum menjadi miliknya.

     *     *     *     *     *

Sejak kejadian di hadapan senarai pelajar cemerlang UPSR, Irdina tidak lagi bertemu dengan Huzair. Omar dan Hannah kini dijemput oleh seorang wanita yang hanya menjemput mereka dari dalam kereta lewat sedikit daripada waktu pulang. Selalunya dialah yang akan menunggu Omar dan Hannah sehingga wanita yang mereka berdua gelar sebagai umi itu menjemputnya. Barangkali itulah isteri Huzair.

Sedang dia mengelamun memikirkan mengenai Huzair dan rumah tangganya, seorang wanita memilih untuk duduk di hadapan Irdina membuatkan dia terkejut.

Dia memerhatikan wanita itu. Wajah wanita itu seperti pernah dilihat tetapi dia tidak dapat mengecam siapakah wanita itu. Puas difikirkan, namun masih tidak berhasil.

"Cik Irdina, saya Balqis, isteri Huzair. Awak kenal suami saya, bukan?" tanya Balqis, setelah dia memperkenalkan dirinya kepada Irdina.

Irdina terkedu. Dia tahu dia telah terperangkap di dalam jurang yang tidak dia pilih untuk terjun. Fahamlah dia maksud mimpi yang kerapkali dia alami. Huzair, cinta pertamanya masih bergelar suami orang sehingga saat ini.

"Puan Balqis, saya harap puan tak salah faham dengan saya. Saya tiada apa-apa hubungan dengan suami puan, berniat pun tidak. Ya, kami memang rakan sekelas dulu tapi hanya setakat itu. Saya tahu Huzair merupakan suami orang dan bukan prinsip saya memilih suami orang sebagai suami saya," jelas Irdina tanpa dipinta.

"Saya tahu awak tak terima cinta Huzair, saya juga tahu siapa awak dalam hidup Huzair sebelum ini dan kini."

"Maksud puan?"

"Saya tahu awak adalah cinta pertama suami saya. Awak tahu bukan, cinta pertama itu punya tempat istimewa dalam hati semua orang?"

Irdina mengangguk setuju.

"Tolong saya," pinta Balqis sampai memandang Irdina.

"Tolong apa?" tanya Irdina, ingin tahu.

"Tolong nikahi Huzair. Jadi madu saya, saya yakin awak boleh jaga suami dan anak-anak saya dengan baik."

"Apa maksud awak, puan Balqis? Saya seorang wanita dan saya pernah rasa berkongsi kasih, takkan saya tergamak nak menjadi orang ketiga dalam perhubungan puan dan Huzair? Saya tak setuju," jawab Irdina, tegas.

"Tolonglah, Irdina. Awak sahaja harapan saya. Sebenarnya, saya sudah intip awak selama dua bulan. Saya nampak sendiri bagaimana awak melayan Omar dan Hannah. Saya juga melihat bagaimana Omar dan Hannah menerima awak dengan baik."

"Itu adalah kerana Omar dan Hannah hanya mengenali saya sebagai kawan ayah mereka, bukannya ibu tiri mereka," bantah Irdina lagi.

"Awak pastikah? Saya sudah bertanya kepada mereka berdua tentang awak, mereka berkata sekiranya ayah mereka perlu berkahwin lain, mereka hanya boleh menerima awak sahaja," jawab Balqis, tenang.

Irdina terbungkam. Permintaan Balqis terlalu berat untuk ditunaikan. Menjadi isteri kedua Huzair bermakna dia akan digelar perampas seumur hidupnya, meskipun dengan izin Balqis.

"Saya tak sanggup, puan Balqis. Saya tak nak pikul gelaran perampas seumur hidup saya," jawab Irdina, lemah.

"Panggil saya Balqis, saya lebih muda dua tahun daripada awak. Awak bukan perampas, saya sendiri yang serahkan suami saya pada awak," pujuk Balqis.

"Apa kurangnya awak sehinggakan awak nak serahkan Huzair kepada perempuan lain? Awak cantik, awak sempurna, apa lagi yang tidak kena?" tanya Irdina, hairan.

"Saya kekurangan umur," jawab Balqis, pendek.

"Maksud awak?" tanya Irdina, tak faham dengan respon Balqis tadi.

"Saya dijangkakan hidup sehingga hujung bulan depan sahaja," jawab Balqis.

Irdina memandang wanita itu. Ada air mata yang mengalir di wajahnya.

"Awak sakit?" tanya Irdina lagi.

Balqis hanya mengangguk lemah.

"Huzair tahu?" tanya Irdina untuk kali ketiga.

Balqis hanya mengganggukkan kepalanya.

"Huzair tahu, tak bererti seluruh dunia juga tahu. Maka, saya dan Huzair harus memikul kesalahan yang besar sekiranya kami bersama dan awak? Orang akan menyangka awak adalah mangsa keadaan. Adilkah buat saya?" bantah Irdina.

"Kalau seluruh dunia tahu, awak sudi bernikah dengan Huzair?" tanya Balqis, ingin menduga.

"Masih tidak. Saya hanya akan menikahi Huzair setelah dia tidak lagi beristeri tapi tolong, jangan bercerai dengan Huzair kerana inginkan perkahwinan ini. Saya tidak akan setuju sama sekali. Sekiranya umur awak tak panjang, saya mahu awak pergi sebagai satu-satunya isteri Huzair. Selepas itu, saya janji saya akan menikahinya sekiranya dia masih mahukan saya," jelas Irdina.

"Kenapa awak serahkan hidup awak kepada takdir?" tanya Balqis, hairan dengan syarat yang diberikan oleh Irdina.

"Kerana saya yakin jodoh saya ada, cuma tertangguh. Saya tak mahu hidup bahagia atas penderitaan orang lain."

"Baiklah, kalau begitu. Saya yakin pilihan saya tepat. Terima kasih Irdina," jawab Balqis sebelum berlalu pergi.

Irdina hanya memandang pemergian Balqis dengan hati yang sayu. Dia sama sekali tidak menduga bahawa itulah kali pertama dan terakhir dia berbual dengan wanita itu.

     *     *     *     *     *

Dua minggu berlalu, sekalipun dia tidak melihat kelibat Huzair, Omar mahupun Hannah. Meskipun dia berasa sedikit lega kerana tidak lagi diganggu, tetapi kata-kata Balqis dua minggu lepas membuatkan dia berasa serba salah.

Dengan penuh keberanian, dia bertanyakan perihal itu pada Rayyan selepas mengambil anak saudaranya itu pulang dari sekolah.

"Rayyan, mama sudah lama tak nampak Hannah? Mana dia?" tanya Irdina.

"Mama tak tahukah?" tanya Rayyan pula, hairan.

"Tahu apa?" tanya Irdina lagi.

"Cikgu kata keluarga Hannah kemalangan dua minggu lepas. Kasihan dia," jawab Rayyan, jujur.

"Kemalangan? Kenapa kasihan?" tanya Irdina bertubi-tubi.

"Umi dia meninggal dunia, dia dan abangnya cedera sikit-sikit saja tapi abi dia masih tak bangun-bangun. Cikgu kata abi dia teruk," jelas Rayyan.

"Innalillah wainnailaihi rajiun. Patutlah mama lama tak nampak mereka," ujar Irdina lalu memeluk Rayyan. Dia mencuba untuk menahan air matanya, namun gagal.

     *     *     *     *     *

"Mama Rayyan!" jeritan itu membuatkan Irdina menoleh ke arah punca suara itu. Kelihatan susuk tubuh kecil yang dirinduinya itu berlari-lari mendapatkannya.

"Hannah!" jerit Irdina lalu mendepakan tangannya bagi memeluk gadis molek itu. Hanya Tuhan saja tahu betapa rindunya dia pada Hannah.

"Hannah rindu auntie," ujar Hannah selepas melepaskan pelukan.

"Auntie pun rindu Hannah," jawab Irdina sambil tersenyum.

"Kenapa auntie tak datang tengok Hannah dekat hospital?" tanya Hannah, sedih.

"Auntie tak tahu, sayang. Auntie baru tahu semalam, itupun lepas tanya Rayyan."

"Hannah, kenapa kacau auntie?" pertanyaan itu membuatkan Hannah dan Irdina sama-sama mendongakkan kepala memandang punca suara itu. Seorang gadis sedang memandang mereka berdua.

"Ala, maaflah maksu. Hannah rindu auntie, jadi Hannah datanglah jumpa auntie," bebel Hannah sambil mencebikkan muka.

Irdina memandang gadis itu, wajah seiras dengan seseorang tetapi dia tidak dapat berfikir siapakah orangnya.

"Maafkan anak saudara saya. Saya Hannan, makcik Hannah," ujar gadis itu untuk memperkenalkan dirinya.

"Hannan, adik Huzair? Saya Irdina, kawan Huzair," giliran Irdina pula memperkenalkan diri.

Mendengar kata-kata Irdina, Hannan terbungkam. Irdina yang memandang gadis itu hairan dengan reaksi Hannan.

"Ya, saya adik Huzair. Akak, saya nak minta akak datang hospital jenguk abang. Ada perkara yang perlu akak tahu," jelas Hannan, perlahan.

"Baiklah, selepas anak saudara akak sampai, kita berangkat bersama ya?"

Hannan hanya menganggukkan kepalanya tanda setuju dengan idea Irdina.

     *     *     *     *     *

Hannan, Irdina, Rayyan, Omar dan Hannah berjalan dalam kumpulan menuju ke arah sebuah bilik wad yang terletak di hujung koridor. Hannan, dan Omar memasuki bilik tersebut terlebih dahulu manakala Hannah mula memegang tangan kanan Irdina berhenti di hadapan pintu bilik itu. Rayyan pula setia menemani Irdina di sebelah kirinya.

Melihat ketiadaan Hannah, Irdina dan Rayyan, Hannan keluar semula.

"Kenapa, kak?" tanya Hannah.

"Abang kamu tak ada masalah yang serius bukan?" tanya Irdina, resah.

"Ish, akak! Tak adalah serius sangat, tetapi atas sebab-sebab tertentu, akak saja yang boleh tolong kami pulihkan abang," jawab Hannan, sebak.

Mendengar kata-kata Hannan, Irdina terus masuk ke dalam bilik wad tersebut. Mujur bilik wad itu merupakan bilik wad katil individu, jadi cuma ada sebuah katil sahaja di dalam wad tersebut. Di atas katil tersebut, lelaki yang sangat dirinduinya sedang terbaring manakala Omar yang baru sahaja masuk hanya duduk di sofa berhampiran. Perasaan hairan mula menyelubungi Irdina.

"Assalamualaikum, Huzair. Awak sihat?" tanya Irdina, lembut kerana tak mahu mengejutkan Huzair.

"Waalaikumussalam, awak ini siapa?" tanya Huzair, hairan dengan pertanyaan Irdina sebentar tadi.

Irdina mulai panik. Akhirnya, dia memahami maksud Hannan. Huzair telah kehilangan ingatannya tetapi sukar untuk menentukan tempoh masa ingatan terakhirnya.

"Abang ini, semalam kata abang cari Irdina. Jadi, adik panggillah Irdina datang sini. Nak kena lempang ke baru boleh ingat?" ujar Hannan, geram.

"Jadi, ini Irdina? Budak lelaki itu siapa pula?" tanya Huzair, keliru.

Irdina terkesima akibat keliru. Matanya mula bergenang melihat keadaan Huzair yang dicintai sejak dua puluh satu tahun lalu.

"Ini Rayyan, anak saudara saya. Rayyan, salam tangan uncle," jawab Irdina, sebak.

Rayyan hanya menurut perintah dan selepas dia selesai mencium tangan Huzair, dia kembali kepada Irdina.

"Rayyan, pergi bawa Hannah duduk dengan abang Omar. Mama nak berbual dengan uncle sekejap," pinta Irdina sebelum mendekati katil Huzair.

"Awak apa khabar?" tanya Irdina sekali lagi.

"Sihat. Lama betul saya cari awak. Hampir tiga belas tahun kita terpisah, saya masih menyimpan perasaan kepada awak. Saya cuba cari awak sampai ke rumah awak, tapi awak tak ada. Mana awak pergi selama ini?" jelas Huzair membuatkan wajah Irdina berubah.

"Tiga belas tahun? Umur kita berapa sekarang?" tanya Irdina, hairan.

"Ish, takkanlah umur awak sendiri, awak tak ingat? Kita kan berumur dua puluh tujuh tahun," jawab Huzair.

"Huzair, itu cerita lapan tahun lepas. Kita sekarang sudahpun berumur tiga puluh lima tahun," jelas Irdina dengan air mata yang mula mengalir.

"Awak menangis? Apa maksud awak kita sudah berusia tiga puluh lima tahun?" tanya Huzair, keliru.

"Awak kemalangan dan hilang ingatan," jawab Irdina.

"Jadi, budak-budak itu anak kita?" tanya Huzair lagi.

Mendengar soalan Huzair, Irdina terbungkam. Bertambah deras air mata yang mengalir keluar. Apakah jawapan yang harus diberikan? Dalam kepincangan yang dia rasakan, dia dapat merasakan ada tangan yang memegang bahu kirinya membuatkan dia berpaling.

Irdina dapat melihat tangan Hannan lembut memegang bahunya. Seolah-olah dapat merasakan kecelaruannya.

"Bukan, dia anak-anak awak. Saya cuma tolong jagakan anak-anak awak saja," bohong Irdina.

"Anak-anak saya? Kenapa awak yang jaga? Kenapa bukan mak mereka? Siapa isteri saya?" tanya Huzair, bertubi-tubi.

Irdina dapat melihat Huzair memegang kepalanya. Barangkali dia merasa sakit kepala. Irdina tahu bukan mudah untuk menerima memori yang telah hilang, jadi mungkin itu kesan sampingan yang dihadapinya.

"Isteri awak sudah meninggal dunia, dia amanahkan saya untuk jaga anak-anak awak sekiranya dia sudah tiada," jawab Irdina, sebak.

"Innalillah wainnailaihi rajiun. Irdina, saya nak tidur sekejap. Kepala saya sakit. Awak jangan tinggalkan saya," pinta Huzair.

"Saya perlu hantar Rayyan pulang, selepas itu saya datang semula boleh?" tanya Irdina.

"Tak apa, kak. Hannan hantar Rayyan pulang. Lagipun Hannan perlu hantar Omar dan Hannah pulang juga. Akak temankan abang," jawab Hannan lalu membawa Omar, Rayyan dan Hannah keluar dari bilik tersebut.

Melihat Irdina yang duduk di birai katilnya, Huzair terlelap dalam masa lima saat.

Irdina melihat wajah Huzair. Huzair memang bernasib baik kerana dia tidak mempunyai luka di bahagian mukanya. Namun begitu, apakah yang dia harus lakukan sekarang? Huzair tidak mengingati kewujudan Omar dan Hannah, tetapi anak-anak itu perlukan Huzair. Apakah dia harus mengambil alih tempat Balqis dalam hidup anak-anak itu?

     *      *     *     *     *

Selepas seminggu, Huzair telah dibenarkan keluar. Atas nasihat doktor, dia telah berpindah semula ke rumah ibu bapanya. Sepanjang seminggu itu, Huzair dijaga oleh Irdina atas permintaan Huzair.

Malam itu, Huzair duduk menonton televisyen dengan ibu bapanya. Omar dan Hannah telah ditidurkan oleh ibunya, Puan Junaidah memandangkan Huzair masih belum boleh menerima kewujudan Omar dan Hannah dalam hidupnya.

"Huzair, boleh abah cakap sedikit?" tanya Encik Saiful, ayah Huzair memecahkan kesunyian.

"Apa dia abah?" tanya Huzair, hairan dengan tindak-tanduk abahnya.

"Omar dan Hannah perlukan kasih sayang seorang ibu. Kamu sendiripun tak sihat, bagaimana nak jaga anak-anak kamu?" jelas Encik Saiful.

"Macam mana Huzair nak jaga anak-anak yang Huzair sendiri tak ingat?" tanya Huzair.

"Huzair betul nak tahu?" tanya Encik Saiful.

"Tak apa, abah. Abah beritahu saja dengan abang. Abang dah bersedia."

"Sebenarnya, Omar itu anak tiri kamu. Dia adalah anak isteri kamu hasil perkahwinan terdahulu, tapi kamu sayangkan dia macam anak kamu sendiri," jelas Encik Saiful.

"Maksudnya, cuma Hannah sajalah anak saya?" tanya Huzair, keliru.

"Ya, tapi kamu tak pernah membeza-bezakan Omar dan Hannah. Mungkin sebab itulah arwah Balqis terima kamu dalam hidupnya," jawab Encik Saiful.

"Mak dan abah faham perasaan kamu, sebab itulah kami berharap kamu boleh bernikah. Mak tengok Irdina itu dah cukup elok untuk dijadikan isteri. Dia pun boleh terima Omar dan Hannah. Mak sudah tanya Omar dan Hannah, mereka berdua bersetuju untuk kamu nikahi Irdina. Jadi, kamu fikirkanlah cadangan mak ini. Jangan lama-lama, bimbang Irdina itu disambar orang lain," sampuk Puan Junaidah.

"In shaa Allah mak, ayah. Abang akan fikirkannya," jawab Huzair sambil mengangguk lemah.

     *     *     *     *     *

"Sudah lama sampai?" tanya Irdina selepas duduk berhadapan dengan Huzair yang sedang menghirup minuman Mocha yang dipesannya tadi.

"Lama jugalah, air saya pun dah habis hampir setengah gelas. Banyak kerjakah?" tanya Huzair setelah menjawab soalan Irdina tadi.

"Saya baru sahaja habis membakar kek untuk majlis perkahwinan hujung minggu ini. Kek itu tiga tingkat, jadi tiga biji kek semuanya. Itu baru satu tempahan, ada tiga lagi. Jadi, kenapa awak datang sini cari saya?" tanya Irdina pula selepas menjelaskan segalanya bagi menjawab soalan Huzair.

"Kalau saya ajak awak nikah, awak setuju? Saya tak mahu hantar rombongan tanpa pengetahuan awak," tanya Huzair.

Irdina tidak terus menjawab soalan Huzair, sebaliknya memandang wajah lelaki itu. Tindakan Irdina membuatkan Huzair mula berasa tidak keruan.

"Kenapa? Saya salah tanyakah?" tanya Huzair lagi.

"Tak, cuma saya masih berfikir tadi."

"Jadi, sekarang?"

"Sekarang saya sudah ada jawapannya," jawab Irdina sambil tersenyum.

"Apa dia?"

"Saya setuju."

Huzair tersenyum riang mendengar jawapan Irdina itu. Irdina tidak membalas senyuman itu, dan tindakan Irdina membuatkan Huzair terdiam.

"Kenapa ni Dina?" tanya Huzair, hairan dengan respon Irdina.

"Saya terima bukan lagi sebab awak, tapi kerana arwah isteri dan anak-anak awak," jawab Irdina.

"Awak tak sayangkan saya?" tanya Huzair lagi.

"Perasaan yang tinggal untuk awak hanyalah perasaan bersalah. Saya rasa bersalah sebab tak pernah berterus terang dengan awak dulu. Sebenarnya, saya ada tolak perasaan awak sebelum awak hilang ingatan," jawab Irdina, jujur.

"Saya sangkakan awak masih punyai perasaan terhadap saya, melihatkan bagaimana awak menjaga saya semasa saya di hospital," ujar Huzair, keliru.

"Saya sudahpun berjanji dengan arwah Balqis yang saya akan jaga awak dan anak-anak sekiranya apa-apa berlaku kepadanya. Jadi, saya kena tunaikan amanah yang arwah berikan. Soal perasaan, itu semua boleh dipupuk. Lagipun, kita sudah berpuluh tahun terpisah, perasaan awak dan perasaan saya pastinya dah berubah."

"Tak, saya masih sayangkan awak."

"Sebab awak tak ingat. Kalau awak tak hilang ingatan macam sekarang, dalam hati awak pastinya ada wanita lain selain daripada saya dan orang itu adalah arwah Balqis, isteri dan ibu kepada anak-anak awak," jelas Irdina, lembut.

"Tak mungkin, Irdina! Awak cinta pertama saya!" jerit Huzair, tiba-tiba menyebabkan semua mata di sekeliling mereka bertumpu ke arah mereka berdua.

"Terpulang, tapi kalau awak mahukan saya, saya sanggup terima awak atas dasar sayang saya pada anak-anak awak. Itu saja," tegas Irdina lalu bangun untuk beredar dari situ.

Baru sahaja beberapa langkah dia meninggalkan Huzair, kedengaran bunyi sesuatu jatuh menyebabkan dia berpaling. Alangkah terkejutnya apabila melihat Huzair rebah ke lantai tidak sedarkan diri. Entah mengapa, melihatkan kejadian tersebut, kepalanya terus berpinar dan matanya mulai kelam. Dia hanya mendengar jeritan rakan-rakan sekerjanya sebelum semuanya menjadi senyap dan gelap-gelita.

     *     *     *     *     *

"Irdina, bangun. Kenapa lama sangat sayang tidur ini?" soalan itu mengejutkan Irdina dari lenanya. Dia memandang ke arah punca suara itu, kelihatan seorang lelaki yang amat dikenalinya sedang duduk di sebelah tempat dia berbaring.

"Entahlah, abang. Dina ingat nak lelapkan mata sekejap sahaja, tapi tertidur terus. Abang bila balik? Abang nak minum? Dina buatkan," jawab Irdina lalu berhajat untuk bangun dari katil namun dihalang oleh lelaki yang berada di sebelahnya itu.

"Jangan nak mengada. Abang sudah minum tadi, dengan anak-anak."

"Abang bancuh sendiri? Malunya Dina," tanya Irdina sambil menutup mukanya tanda malu.

"Alahai, kita sudah enam bulan bernikah, Dina masih nak segan dengan abang? Dina, semasa abang dengan arwah Balqis lagi, abang memang buat kerja rumah sendiri. Tak payah nak malu sangat, itu bukan tanggungjawab Dina. Tanggungjawab Dina cuma melayan abang, sampai naik berisi Dina kan?" jawab Huzair, lelaki yang setia duduk bersebelahan dengan Irdina sedari tadi itu sambil tersenyum menahan tawa.

"Ish, abang ini! Ini berisi buatan abang, bukan salah Dina. Jadi, abang kena bertanggungjawab."

"Abang bertanggungjawablah ini, sebab itulah abang tak kejutkan Dina tadi. Omar dengan Hannah pun tak bagi abang kejutkan Dina. Sayang sangat dengan mamanya," ujar Huzair sambil mencebik tanda merajuk.

"Aik? Merajuk lagi? Abang ini, sejak kahwin dengan Dina, sudah pandai merajuk ya? Abang janganlah begini, Dina tak larat nak pujuk. Sudahlah Dina punya mabuk masih tak habis lagi, abang janganlah buat Dina begini," ujar Irdina lalu baring semula membelakangi Huzair.

Huzair memandang tingkah isterinya. Sejak Irdina mengandung tiga bulan, dia sering mengalami mabuk dan muntah-muntah setiap pagi. Maka, setiap pagi jugalah Huzair harus membantu Irdina menyiapkan Omar dan Hannah ke sekolah sebelum dia bersiap untuk pergi ke kerja. Irdina pula hanya akan masuk kerja tiga hingga empat hari sahaja seminggu memandangkan kondisinya yang tidak memberangsangkan.

Dia masih ingat lagi saat ingatannya kembali pulih. Dia sama sekali tidak menyangka Irdina pengsan sekali bersamanya. Kata doktor yang merawat, Irdina pengsan akibat terlalu penat dan stress. Rupa-rupanya Irdina asyik memikirkan tentang dirinya dan wanita itu terpaksa mengakui yang dia masih mencintainya.

"Abang, apa yang kelakar sangat tu sampai nak kena senyum sendiri?" tanya Irdina tatkala dia melihat Huzair tersenyum-senyum seperti kerang busuk.

"Abang tiba-tiba teringat semasa ingatan abang pulih. Entah kenapa ada orang tu boleh pengsan sekali dengan abang. Banyak sangat fikir," jawab Huzair sambil tertawa.

"Tak habis-habislah abang ni. Benci betul! Abang, Dina nak tanya sesuatu boleh?" tanya Irdina, menukar topik.

"Apa dia, sayang?"

"Kenapa abang tiba-tiba boleh ternikah dengan arwah Balqis sedangkan abang cuba cari Dina lapan tahun lepas? Apakah yang sebenarnya terjadi?"

"Abang tak ternikah dengan arwah. Arwah bekas rakan sekerja abang dan dialah yang sembuhkan hati abang dulu. Atas sebab itulah, abang tak kisah status jandanya. Sebenarnya, abang dah jumpa sayang dulu semasa sayang belajar di Pulau Pinang. Cuma, ketika itulah abang dapat tahu Dina sudah berpunya, jadi abang mula patah hati. Arwahlah yang setia mendengar luahan hati abang, berikan nasihat kepada abang sedangkan dia sendiri baru sahaja bercerai ketika itu. Mungkin atas sebab itulah, abang mula sayangkan dia."

"Maafkan Dina, Dina tak tahu abang pernah cari Dina."

Mendengar kata-kata Irdina, Huzair memeluk Irdina.

"Tak apa, Dina. Allah dah tulis kisah kita cukup cantik. Pasti ada hikmahnya kenapa Allah tangguhkan jodoh kita selama hampir dua puluh lima tahun," jawab Huzair.

"Terima kasih abang sebab sudi terima anak dara tua ni jadi isteri abang, biarpun Dina bukan isteri pertama abang," ujar Irdina selepas melepaskan diri daripada pelukan Huzair.

"Terima kasih juga sebab sudi terima duda anak dua ini jadi suami sayang, biarpun sayang cinta pertama abang yang tak kesampaian tetapi abang harap sayanglah cinta terakhir abang sampai akhir hayat kita," jawab Huzair pula sebelum bertindak mengucup dahi isterinya itu.

Irdina tidak membalas kata-kata Huzair itu kerana hatinya berbunga mendengar madah pujangga yang keluar dari mulut si suami. Benar, pasti ada sebabnya kenapa Allah tangguhkan jodoh mereka berdua. Mungkin untuk membuatkan mereka berdua lebih menghargai kerana barangsiapa yang tidak pernah merasa sakit, takkan pernah merasa bahagia...

*TAMAT*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com