Tuesday, November 21, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 51...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 51: Idea Gila


Sudah seminggu dia ditahan di wad Hospital Sultanah Aminah kerana demam panas dan jangkitan HIV yang dihidapinya memerlukannya untuk ditahan bagi mengelakkan penyebaran virus. Demamnya sudah kebah, namun dia harus menunggu keputusan doktor untuk membolehkannya keluar dari wad.

Sejak dia dibebaskan oleh Wafi, dia telah pulang ke kampung halamannya selama seminggu. Selepas itu, dia terus pergi ke rumah abangnya, Qayyum di Johor Bahru. Dia perlu berada jauh dari ibunya bagi mengelakkan ibunya daripada mengetahui tentang penyakitnya. Lagipun, dia tak mahu orang kampung menjaja ceritanya dan membuatkan ibunya terluka.

Penyakitnya mula diketahui oleh Qayyum beberapa minggu lepas kerana dia mengalami cirit-birit yang kronik sehingga dia terpaksa ditahan di hospital. Abangnya telah memaksa doktor untuk berterus terang mengenai penyakitnya membuatkan dia terpaksa bersetuju dengan permintaan abangnya itu. Dia masih ingat wajah Qayyum yang kesedihan setelah mendapat tahu bahawa dirinya menghidapi HIV.

Sejak itu jugalah bermulanya siri penahanannya di wad hospital. Hampir setiap minggu dia akan ditahan atas sebab yang berlainan. Mula-mula, cirit-birit. Selepas itu, batuk yang teruk. Seminggu selepasnya, demam panas dan begitulah seterusnya. Qayyumlah yang sentiasa menjadi penjaganya bagi urusan keluar masuknya di dalam wad. Atas permintaannya, Qayyum telah merahsiakan penyakitnya dari pengetahuan sesiapa, walaupun keluarga mereka.

Namun, pada hari itu, Qatrunnada telah dikejutkan dengan kehadiran seseorang yang sudah lama tidak ditemuinya. Kali terakhir dia berjumpa dengan orang itu adalah semasa dia ingin pulang ke Muar dulu. Sejak itu, tiada khabar berita daripada dia sehinggalah hari ini.

"Assalamualaikum, Qat. Kau apa khabar?" sapa lelaki itu sambil tersenyum. Qatrunnada yang baru sahaja menoleh apabila lelaki itu menghampiri katilnya terkedu dengan apa yang dilihatnya.

"Wa'alaikumussalam, Bob! Lama tak jumpa kau! Aku ini beginilah, bila virus itu menyerang, aku pun sakitlah. Kau tinggal di mana sekarang? Bos kau mana?" tanya Qatrunnada selepas menjawab salam yang diberikan oleh Bob tadi.

"Aku ini berpindah-randah, almaklumlah pelarian. Aku pernah tinggal di Johor Bahru, Pontian, Muadzam Shah, Kuantan, Kemaman, Kuala Terengganu, tetapi sekarang aku dengan bos ada di Johor Bahru semula kerana bos nak jumpa kau," jelas Bob, panjang lebar.

"Kenapa bos kau nak jumpa aku?" tanya Qatrunnada, hairan.

"Dia rindukan kau," jawab Bob sambil melirik senyum. Reaksi Bob membuatkan Qatrunnada semakin hairan.

"Kenapa pula nak rindu aku? Mana kau tahu ini, Bob?" tanya Qatrunnada, bertubi-tubi.

"Aku tinggal dengan dia sudah berbulan, Qat. Masakan aku tak tahu, kalau dia kerap mimpikan kau. Dia nak serah diri kepada polis, tapi sebelum itu, dia nak jumpa kau dulu. Boleh kau luangkan sedikit masa untuk jumpa dia?" terang Bob sebelum meminta izin untuk membawa Qatrunnada bertemu dengan Wafi.

"Aku pun rindukan dia juga," ujar Qatrunnada sebelum mengangguk tanda setuju untuk bertemu Wafi.

"Terima kasih, Qat. Aku tak mahu bos kempunan," jawab Bob sambil tersenyum hambar. Qatrunnada yang melihat reaksi Bob mulai hairan.

"Apakah yang disembunyikan oleh mereka berdua ini?" bisik hati kecil Qatrunnada.

     *     *     *     *     *

Qatrunnada mengikuti langkah Bob menuju ke hujung koridor. Akhirnya, dia berhenti di hadapan pintu terakhir sebelah kirinya sebelum memasukkan kunci yang dipegangnya sedari tadi ke dalam lubang kunci pintu tersebut. Selepas bunyi kedengaran, Bob pun membuka pintu bilik itu lalu melangkah masuk. Qatrunnada terus mengikuti jejak langkah Bob masuk ke dalam bilik tersebut.

Dia dapat melihat Wafi sedang duduk di birai katil, memandang mereka berdua. Tindakan refleksnya membuatkan Qatrunnada terus berjalan menuju ke arah Wafi tanpa menghiraukan apa-apa di sekelilingnya.

Qatrunnada berdiri di hadapan Wafi, memandangnya lama sebelum dia melutut di hadapan Wafi. Dia melihat Wafi hanya memandangnya sebelum akhirnya Wafi cuba untuk menyentuh pipi Qatrunnada, namun dielak lembut olehnya. Dia terpaksa mengelak kerana dia takut penyakitnya akan berjangkit kepada Wafi pula.

"Tak guna you elak, I memang dah dijangkiti penyakit yang sama. Jadi, I rasa tak ada masalah untuk I sentuh pipi you," ujar Wafi lalu mencuba nasibnya sekali lagi.

Qatrunnada terbungkam. Dia sama sekali tidak menduga Wafi akan menderita sepertinya. Baginya, Wafi tak seharusnya menjalani hidupnya begini sedangkan dia tak pernah hidup susah begini. Jadi, Qatrunnada hanya membiarkan Wafi menyentuh pipi lembutnya itu. Tindakan Wafi telah membuatkan air mata Qatrunnada mulai gugur dan mengenai tangan Wafi. Perasaan sebak akhirnya membuatkan Wafi menarik Qatrunnada lalu memeluknya. Pelukan itu telah membuatkan air mata lelaki Wafi juga turut gugur.

Setelah beberapa ketika, akhirnya Wafi melepaskan pelukannya lalu menyuruh Qatrunnada untuk duduk di sebelahnya.

"Sejak bila you dapat tahu you dijangkiti penyakit itu?" tanya Qatrunnada, lemah.

"Adalah dalam beberapa minggu lepas, kenapa? You dapat tahu bila?" tanya Wafi selepas menjawab soalan Qatrunnada.

"I dapat tahu sebelum you jual Hafizal lagi," jawab Qatrunnada lalu menangis.

"You rasa bersalah?" tanya Wafi.

Qatrunnada hanya mengangguk lemah. Wafi mengelap air mata yang mengalir di pipi Qatrunnada lalu memandangnya tepat pada matanya. Pandangan mata Wafi telah mencairkan hati Qatrunnada.

"Untuk apa?" tanya Wafi lagi.

"I telah cuba sedaya upaya supaya I tak jangkitkan penyakit ini pada you, tapi akhirnya you dijangkiti juga. I minta maaf, silap I sebab sanggup jadi teman tidur you dulu," jawab Qatrunnada.

"Dengan cara hidup I, lambat laun pun I tetap akan dapat penyakit ini. Simpan perasaan bersalah you itu. You tak pernah ada salah dengan I, tak perlu rasanya you nak minta maaf dengan I. Benda dah jadi, apapun kita sudah tak boleh nak ubah lagi. I yang sepatutnya minta maaf dengan you, sebab I telah babitkan you dalam kancah pelacuran menyebabkan you dijangkiti penyakit ini," jelas Wafi lalu tunduk memandang lantai.

"Apa yang berlaku ketika itu, sedikitpun I tak ada kekesalan. I memang sepatutnya bayar apa yang I hutang, walau dengan apa cara sekalipun. Oh ya, kalau you nak cari rumah di sini, I boleh uruskan. Itu saja yang I boleh buat untuk bantu you," jawab Qatrunnada lalu memegang tangan Wafi. Namun seketika selepas itu, Wafi melepaskan tangannya, membuatkan dia terpinga-pinga.

"Tak perlu susah-susah, Qat. I akan pulang ke KL pagi esok, I nak serah diri. I sudah tak larat nak lari lagi. I ini bukannya sihat seperti dulu, Qat. Mana boleh nak hidup seperti ini lagi," terang Wafi, lembut.

"Kalau begitu, malam ini kita makan bersama-sama. Kalau you tak mahu keluar, kita makan di sini. Dengan Bob sekali, tapi I belanja. Boleh tak? I memang teringin nak belanja you makan, walaupun sekali. Please," jelas Qatrunnada sambil membuat riak wajah meminta simpati membuatkan Wafi menganggukkan kepalanya.

"Terima kasih, Wafi."

Kata-kata Qatrunnada membuatkan Wafi memandangnya. Dia tahu inilah kali pertama lelaki itu mendengar wanita itu memanggilnya dengan nama. Selalunya dia akan memanggil lelaki itu dengan panggilan 'encik' atau 'tuan'. Entah mengapa, apabila terdengar kata-kata Qatrunnada itu, Wafi menguntum senyum tanpa sedar.

"Sama-sama, Qatrunnada. Kalaulah I boleh jadikan you isteri I," jawab Wafi.

Qatrunnada terbungkam mendengar kata-kata Wafi itu. Namun begitu, selepas itu dia tersenyum kerana dia juga merasakan seperti mana yang lelaki itu rasakan sekarang.

"Kalau you sanggup tanggung akibatnya, kita boleh bernikah malam ini juga," jawab Qatrunnada.

"Don't tell me," ujar Wafi sambil memandang ke arah Qatrunnada.

"Kalau saya jadi bos, saya redah saja. Alang-alang bukan?" sampuk Bob sambil tersenyum nakal, seolah-olah dapat membaca apa yang difikirkan oleh Qatrunnada.

Lama Wafi mendiamkan diri. Tindakan Wafi membuatkan Qatrunnada merasa berdebar-debar, apakah lelaki itu akan bersetuju dengan idea gilanya itu. Masakan lelaki itu mahu mengambil risiko memalukan nama baik keluarganya demi mencapai hasratnya sebelum dia menutup mata?

     *     *     *     *     *

Malam itu, atas rancangannya dan Bob, dia dan Wafi ditangkap khalwat. Mujurlah orang ramai tidak mengenali wajah Wafi kerana wajahnya yang cengkung dan berjambang. Mereka berdua telah dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Johor Bahru untuk siasatan.

Keduanya mengaku bersalah di atas kesalahan itu membuatkan penguatkuasa yang terlibat hanya menggelengkan kepala. Apabila ditanya apakah mereka sanggup bernikah, keduanya hanya bersetuju menyebabkan pihak Pejabat Agama terpaksa menghubungi Qayyum, abang kepada Qatrunnada memandangkan bapa Qatrunnada telah lama meninggal dunia.

Mujurlah Qayyum memang menetap di Johor Bahru setelah mendirikan rumah tangga dua tahun lalu, jadi dia dapat menghadirkan dirinya dalam masa setengah jam sahaja. Setibanya dia di sana, Qatrunnada sedang duduk bertentangan dengan Wafi yang ketika itu ditemani oleh Bob. Qayyum dilihat menjeling ke arah Wafi sebelum mendekatinya.

"Apa yang Ada buat ini? Ada sedar tak?" tanya Qayyum, berbisik.

"Ada sedar, along. Tolonglah, Ada cuma nak rasa bagaimana jadi isteri orang sebelum Ada tutup mata," jawab Qatrunnada dengan wajah minta simpati. Dia ingin abangnya tahu bahawa dia hanya ingin menjadi milik Wafi sebelum akhir hayatnya.

"Dia tahu tak tentang penyakit Ada? Ada tak boleh mengandung, nanti dia kata apa pula?" tanya Qayyum lagi.

"Dia tahu, jangan bimbang. Ada sedar itu, along tapi kalau Ada sihat sekalipun, belum tentu Ada boleh mengandungkan anak dia sebab dia pun sakit," jawab Qatrunnada. Namun begitu, sengaja dia tidak memberitahu abangnya apa pula penyakit Wafi.

Qayyum terkesima mendengar jawapan adiknya itu. Qatrunnada tahu mengapa abangnya itu begitu. Seperti abangnya, dia juga masih tak pasti apakah ini keputusan terbaiknya. Malah, dia yakin Wafi juga turut mempunyai keraguan yang sama. Akan tetapi, kerana masa mereka berdua yang begitu suntuk, dia teruskan jua rancangan itu agar dia tidak berasa terkilan sehingga ke akhir hayatnya.

Rancangan mereka dijalankan dengan penuh hemat. Dia dan Wafi makan bersama seperti yang dipinta olehnya manakala Bob pula menelefon Jabatan Pencegah Maksiat untuk membuat laporan. Namun, yang mereka berdua tak menjangka, selain daripada mereka, ada lima lagi pasangan yang ditangkap khalwat di hotel tersebut. Memang malanglah nasib pasangan-pasangan lain itu yang menjadi mangsa ketamakan mereka berdua.

"Hah, kau! Siapa nama?" tanya Qayyum, membuatkan Wafi tersentak.

"Wafi," jawab Wafi, ringkas.

"Betulkah kau boleh bahagiakan adik aku, walaupun untuk sekejap?" tanya Qayyum, kelihatan ragu-ragu untuk menyerahkan adik kesayangannya kepada Wafi.

Qatrunnada memandang Wafi, riak wajah tampak tenang tetapi lelaki itu tidak terus menjawab soalan itu. Barangkali memikirkan jawapan terbaik untuk diberikan kepada abangnya.

"In shaa Allah, saya tak boleh janjikan apa-apa, tetapi saya akan lakukan apa yang terdaya untuk buat Qat bahagia. Jadi, saya minta maaf kalau saya tak mampu untuk berikan kebahagiaan yang terbaik buat Qat," jawab Wafi, lembut.

"Aku suka jawapan kau, jujur. Itu soalan jerat saja. Aku tak nak lelaki yang hanya pandai bermadah tetapi satupun dia tak buat. Tak apa, tahulah aku nak buat apa," jawab Qayyum lalu bangun menuju ke arah pegawai penguatkuasa yang ada tidak jauh dari tempat mereka duduk.

Qatrunnada hanya memandang tingkah laku Qayyum yang sedang berbincang dengan para pegawai tersebut sebelum memandang Wafi. Dia seakan tak percaya bahawasanya dia bakal bernikah dengan jejaka idaman Malaya suatu ketika dahulu. Dia masih ingat lagi apabila sebuah majalah perniagaan memilih Wafi dan Hafizal sebagai personaliti muka depan majalah tersebut.

Setelah beberapa ketika, Qayyum dan para pegawai yang terlibat mendekati mereka bertiga lalu berdiri di antara Qatrunnada dan Wafi.

"Beginilah, atas permintaan abang cik Qatrunnada, kami akan nikahkan kamu berdua tetapi bukan malam ini. Kami akan nikahkan kamu berdua esok pagi, jadi malam ini Encik Amir kena temankan Encik Wafi ini baik-baik. Cik Qatrunnada pula, cik kena ikut Encik Qayyum pulang untuk keselamatan cik juga," jelas salah seorang pegawai yang bertugas membuat serbuan tadi.

Qatrunnada hanya mengangguk kepalanya, tanda faham akan penjelasan yang diberikan oleh pegawai tadi. Selepas melihat reaksinya, para pegawai itu mula bersalam dengan Qayyum, Bob dan dirinya sebelum beredar dari situ.

"Ada, ikut along balik. Nanti kak long kamu cari pula," ujar Qayyum yang mula melangkah meninggalkan Wafi dan Bob.

Qatrunnada pula memandang ke arah Wafi sebelum mengikuti jejak langkah abangnya keluar dari pejabat agama. Dia melihat sahaja wajah Qayyum yang kekal serius itu. Yalah, abang mana nak suka adiknya ditangkap khalwat? Lagi pula, adiknya itu tak punyai hayat yang panjang, malah dijangkiti penyakit yang tiada penawarnya pula.

     *     *     *     *     *

Qatrunnada sedang duduk di tempat menunggu berhampiran kaunter hadapan hotel apabila Wafi dan Bob turun dari tingkat atas. Dia baru saja tiba di hotel itu setelah mengambil pakaiannya di rumah sewanya. Mujurlah Qayyum mahu menghantarnya, kalau tidak dia harus menaiki bas ataupun teksi untuk datang ke sini.

Qatrunnada telah berjaya dinikahkan dengan Wafi pagi tadi diwalikan oleh abang sulung Qatrunnada, Qayyum dengan hanya sekali lafaz. Akan tetapi, mereka berdua disarankan untuk mengambil kursus kahwin dan diminta untuk menyerahkan sijil kursus bagi membolehkan mereka berdua mendapat kad nikah.

Wafi dan Bob mendekati Qatrunnada. Selepas meletakkan beg, Bob menuju ke arah kaunter untuk membuat bayaran. Qatrunnada pula bangun lalu menghulurkan tangannya untuk bersalam. Wafi menyambut tangannya dan Qatrunnada terus sahaja mencium tangan suaminya sebelum mengangkat kepalanya semula dan menyedari riak wajah Wafi sedikit berkerut.

"Kenapa, abang?" tanya Qatrunnada, hairan dengan riak wajah Wafi.

"Qat panggil apa tadi?" tanya Wafi, inginkan kepastian.

"Kenapa dengan abang?" ulang Qatrunnada. Hairan dia melihat perubahan Wafi sejak tadi. Sekali imbas, serupa orang kurang siuman pun ada. Tersenyum sendirian tanpa sebab yang pasti.

"Tak ada, masih kekok. Almaklumlah, sudah lama abang tak mendekati perempuan. Sejak abang larikan diri dari polis," jawab Wafi sambil tersenyum.

Qatrunnada memandang suaminya dengan pandangan yang sayu. Wafi yang dikenali dulu tak begini. Jika dulu, Wafi merupakan seorang lelaki yang segak, dengan potongan rambut seperti Zul Ariffin dalam drama Titian Cinta itu. Namun kini, lelaki itu dilihat sangat tak terurus dengan rambut mula panjang separas leher, berjambang dan tampak cengkung. Kelihatannya seperti orang lain andai tak benar-benar mengenali lelaki itu.

"Tak apa, walaupun abang nanti ada di dalam penjara, selagi hayat Qat masih ada, Qat akan setia menanti abang habiskan hukuman abang," bisik Qatrunnada di telinga Wafi.

"Betulkah? Cuma, dapatkah abang bertahan sampai hukuman abang habis?" tanya Wafi pula membuatkan riak wajah Qatrunnada berubah.

Apa pula lelaki yang berdiri di hadapannya ini boleh berbicara begini? Bukankah jodoh, pertemuan, ajal dan maut itu di tangan Tuhan?

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com