Friday, November 17, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 49...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 49: Cakap ke Tangan

Salwa pulang ke rumah agam bapanya dengan hati yang panas membara. Kenapa dalam banyak-banyak hari, madunya harus ditimpa kemalangan pada hari pernikahannya? Sengaja dia tak menyiasat siapakah madunya sebelum ini kerana dia tak mahu tahu siapakah gerangan wanita yang telah mengikat hati suaminya itu.

Namun begitu, kini hatinya mula ingin tahu siapakah gerangan wanita yang telah merosakkan majlisnya tadi. Disebabkan oleh wanita itulah, semua orang tahu dia merupakan isteri kedua Megat Hafizal. Hanya Tuhan tahu betapa malunya dia kerana itu.

"Kenapa wajah cik Salwa berkerut begitu? Ada apa-apa yang mengganggu fikiran cik?" tanya Harry yang ketika itu sedang memandu kereta di sebelah Salwa. Sejak dia mempunyai pengawal peribadi, dia semakin malas hendak memandu, jadi pemanduan dilakukan oleh Harry. Lagi pula, Salwa sepatutnya pulang bersama Hafizal selepas majlis mereka tadi.

"Kau janganlah panggil aku cik lagi, aku dah nikah bukan? Atau kau pun sudah lupa memandangkan pengantin lelaki aku lari tadi?" jawab Salwa, geram.

"Maafkan saya, puan. Saya betul-betul terlupa. Lagipun, saya tiada di dalam majlis tadi. Puan lupakah?" jawab Harry, bersahaja.

"Oh yalah. Aku minta kau buat sesuatu tadi bukan? Bagaimana? Dapat?" tanya Salwa lagi.

"Encik Hafizal menghilangkan dirinya sebelum ini bukan kerana dia ke London, dia tidak ada rekod perjalanan keluar dari negara sepanjang tempoh itu," jawab Harry.

"Habis itu, dia ke mana?" tanya Salwa lagi.

"Dia diculik. Sepanjang tempoh dia menghilangkan diri, dia diculik dan ditawan," jelas Harry.

"Takkanlah CEO boleh diculik dan ditawan selama lima bulan? Macam tak masuk akal sahaja. Tan Sri Mustaqim tak laporkan pada polis? Isterinya?" tanya Salwa, hairan dengan penjelasan Harry tadi.

"Tidak, puan. Bukan kerana Tan Sri tak nak, tapi Tan Sri tak boleh. Penculiknya adalah darah dagingnya sendiri," jawab Harry sebelum mengeluh.

Salwa terpinga-pinga apabila mendengar kata-kata Harry itu. Darah daging? Siapa pula?

"Siapa?" tanya Salwa lagi.

"Megat Wafi, sepupu Megat Hafizal. Cik Salwa kenal?" tanya Harry lagi.

"Kenapa dia kena culik sepupunya sendiri, sedangkan dia sudah ada syarikat milik keluarga mereka? Syarikat Hafizal inikan hasil titik peluh ayahnya sendiri?" tanya Salwa, semakin hairan dengan apa yang didengarinya.

"Kepala agung punya hal, puan. Ibu pun boleh bunuh anaknya, inikan pula sepupu," jawab Harry, lemah.

"Kiranya sepanjang lima bulan ini, madu aku itu tak pernah dapat suaminya?" tanya Salwa lagi.

"Macam itulah nampaknya. Sepanjang lima bulan itu, madu puan tinggal bersama ibu bapa mentua puan," terang Harry.

"Siapa madu aku ini? Apa yang hebatnya dia sampai semua orang boleh menangkan dia?" tanya Salwa, cuba memerangkap Harry untuk menjawab soalannya.

"Seseorang yang puan takkan pernah sangka dia merupakan madu puan," jawab Harry sambil tersenyum sinis.

"Yalah, tapi siapa?" tanya Salwa, tidak puas hati.

"Lambat laun nanti, puan akan tahu juga. Rasanya dia masih ada di rumah Tan Sri kerana kandungannya, malah jika dia bersalin hari ini, dia tetap akan ada di sana selepas dia keluar dari hospital kerana dia perlu menjalani tempoh berpantang di sana," jawab Harry.

"Kenapa dia tak berpantang di rumah ibu bapanya?"

"Dia anak yatim, puan. Jadi, Puan Sri yang akan menjaganya semasa dia sedang berpantang," jawab Harry lagi.

"Mummy yang jaga? Takkanlah mummy nak jaga perempuan itu?" tanya Salwa sambil mencebik mukanya.

"Kalau dia sudah melahirkan pewaris keluarga, saya rasa Tan Sri pun sanggup jaga dia. Tak begitu, puan?" ujar Harry.

Salwa terkesima mendengar kata-kata Harry. Ada benarnya juga kata-kata pengawal peribadinya itu. Namun begitu, dia terpaksa menelan kenyataan itu kerana dia masih belum bersedia untuk melahirkan pewaris Tan Sri Megat Mustaqim dan juga Datuk Dahlan.

     *     *     *     *     *

Bulan madunya selama seminggu di Paris akhirnya tamat jua. Sudahlah bulan madunya dipotong daripada dua minggu menjadi seminggu sahaja akibat madunya terpaksa dibedah bagi menyelamatkan kandungannya, bulan madunya pula bertukar menjadi bulan hempedu akibat layanan dingin Hafizal terhadapnya.

Walaupun secara kasarnya, Hafizal melayannya seperti mana seorang suami melayan isterinya, tetapi Salwa tahu Hafizal masih melayannya dingin. Hanya di khalayak ramai sahaja dia akan menjadi lelaki yang paling romantis.

Apabila melihat perangai suaminya, kadangkala dia berharap dia dapat tinggal dia dalam sebuah peti kaca agar semua orang dapat menyaksikan rumah tangganya. Biar suaminya perlu melayannya baik sepanjang masa agar orang luar tidak melihat celanya seorang lelaki bernama Megat Hafizal.

Salwa melihat Hafizal yang sedang duduk di sebelahnya. Lelaki itu asyik mengelamun sehingga lupa akan kewujudannya sebagai seorang isteri di sebelah lelaki itu. Apalah agaknya yang dibuat oleh Hafizal?

"Sayang," Salwa cuba memanggil Hafizal, namun tiada jawapan.

Salwa memanggil buat kali kedua, barulah Hafizal tersentak lalu memandangnya.

"Sayang, penat I panggil you! Kenapa you tak jawab?" ngomel Salwa sambil meramas tangannya yang dipegang oleh isterinya itu sedari tadi.

"Sorry, I tengah fikir sesuatu. You nak apa?" tanya Hafizal, lembut.

"Kita nak pulang ke mana selepas ini?" tanya Salwa, manja.

"Rumah kondominium I di KL, kenapa Salwa?" tanya Hafizal selepas menjawab soalan isterinya itu.

"Ish, kenapa kena duduk di kondominium? Habis itu, siapa nak buat kerja rumah?" tanya Salwa sambil mencebik mukanya.

"You, apa guna I bayar duit mas kahwin you mahal-mahal kalau you tak boleh buat satu kerja pun? Sedangkan isteri simpanan I yang I bayar mas kahwin tiga ratus ringgit itupun boleh buat semua kerja tahu? Buat malu kaum Hawa saja," sindir Hafizal, geram.

"Kata I isteri tontonan, jadi kenapa I kena buat semua kerja yang kotor itu? Tak nak, kita pulang rumah daddy you! At least di sana ada orang gaji kan?" jawab Salwa.

"Mujur kita di dalam penerbangan, kalau kita di rumah, rasa I dah tampar muka you yang cantik itu," sindir Hafizal dalam lembut.

Salwa terdiam tatkala mendengar kata-kata Hafizal itu. Salwa sudah kehabisan kata-kata untuk membidas kata-kata suaminya.

Namun begitu, hatinya panas tatkala melihat Hafizal rancak bermain dengan telefon bimbitnya. Lama dia perhatikan suaminya itu, namun lelaki itu begitu ralit dengan telefonnya sehinggakan tidak menyedari dirinya diperhatikan.

"Sayang mesej siapa itu? Sekejap gelak, sekejap berkerut. Mesej dengan bini tua you ke apa?" tanya Salwa, agak kasar.

"Ya, mana you tahu ini? Hebat!" tanya Hafizal, sinis.

Mendengar jawapan Hafizal, Salwa merengus geram. Dia dapat mendengar tawa kecil suaminya membuatkan dia semakin geram.

     *     *     *      *      *

Salwa dan Hafizal akhirnya tiba di hadapan rumah agam milik Tan Sri Mustaqim. Belum sempat dia ingin meminta Hafizal untuk mengangkat bagasinya, lelaki itu sudahpun menarik bagasinya masuk ke dalam kawasan rumah. Mujurlah pemandu teksi itu mahu membantunya menurunkan lima buah beg bagasi miliknya.

Meskipun dia hanya membawa dua sahaja ke Paris, dia terpaksa menyinggah di rumahnya untuk mengambil baki tiga buah beg yang ditinggalkan untuk dibawa ke rumah suaminya.

Panas hatinya mengenangkan bagaimana suaminya boleh membiarkan dirinya terkial-kial mengangkat begnya. Kalaulah Harry ada bersamanya, pasti perkara ini tidak terjadi. Boleh pula lelaki itu pulang ke kampung di kala dia memerlukannya.

Dia mula berasa tertekan lalu menyelak rambutnya yang asyik mengganggu pemandangannya. Geram diperlakukan begitu oleh Hafizal, Salwa meninggalkan semua bagasinya di perkarangan rumah lalu berjalan menuju ke arah pintu masuk.

Sebaik sahaja dia masuk ke dalam, dia terdengar tawa kecil Hafizal yang membuatkan hatinya bertambah panas. Sudahlah dilayan sebegitu rupa, selamba badak sahaja suaminya mentertawakannya di depan keluarga mentuanya.

"Gelakkan I ke sayang?" celah Salwa, sinis membuatkan semua mata tertumpu kepada wanita itu yang dilihat agak kusut-masai.

"Kenapa dengan kamu ini Salwa?" tanya Puan Sri Halimatun.

"Anak mummy ini, dia tak nak tolong pun Salwa angkat beg-beg Salwa ini! Dia angkat beg dia sahaja! Panggil orang, satu orang pun tak ada!" ngomel Salwa sambil mencebik mukanya.

"Husaini, kamu tolong angkatkan beg pakaian kakak kamu ini, bawakan ke biliknya. Boleh tak?" arah Puan Sri Halimatun kepada Husaini.

Husaini tidak menjawab, sebaliknya hanya bergerak menuju ke arah pintu. Namun setelah pintu dibuka, Husaini terpaku di pintu.

"Kenapa?" tanya Puan Sri Halimatun, hairan dengan kelakuan Husaini.

"Banyaknya beg kak Salwa! Ini bawa almari terus ke apa?" ujar Husaini sambil terbeliak biji matanya.

Mendengar kata-kata Husaini, kesemua mereka yang berada di situ kecuali Hafizal dan Salwa meluru ke arah lelaki itu. Hafizal tidak mengikut jejak langkah mereka kerana dia sudahpun mengetahui apakah yang sebenarnya menyebabkan mereka semua bertindak begitu.

"Kalau banyak sangat Husaini, kau angkat saja mana yang kau boleh. Selebihnya kak Salwa kau boleh angkat sendiri!" ujar Hafizal lalu menuju ke arah tangga.

Husaini kembali bersama salah sebuah beg milik Salwa setelah keluar untuk mengambilnya. Salwa dapat melihat Husaini gigih menaiki tangga walaupun rumah itu mempunyai lif.

Tak lama selepas itu, semua orang menarik sebuah beg setiap seorang termasuklah Salwa yang merupakan orang terakhir masuk bersama beg bagasi terakhirnya. Akan tetapi, disebabkan Salwa membawa beg bagasi yang paling besar, maka perjalanannya memakan masa.

Semua orang yang membantu Salwa meletakkan begnya di hadapan lif membuatkan Salwa semakin bengang. Puas dia memandang sekeliling, tiada siapa yang berada berdekatan membuatkan dia hilang sabar lalu menjerit sepuas hati.

Selepas itu, dia membuka pintu lif dan menahannya dengan salah sebuah beg sebelum memasukkan beg yang lain ke dalam lif. Hatinya sakit kerana dia merupakan isteri kepada seorang CEO, namun dia harus melakukan semuanya sendiri. Sedangkan semua orang bersenang-lenang di dalam bilik masing-masing. Dia tak faham kenapa dia dilayan begini, sedangkan dia merupakan pilihan Puan Sri Halimatun.

Sebaik sahaja selesai mengangkat beg-begnya ke dalam bilik, dia baru sahaja menyedari bahawa Hafizal tiada di dalam bilik, meskipun begnya ada. Ke manakah dia ini pergi? Ini membuatkan hatinya semakin membara. Dia mula menghempaskan badannya lalu melihat sekeliling biliknya. Apa yang tak kena dengan bilik ini ya? Puas juga dia berfikir, namun akhirnya dia terlelap akibat kepenatan.

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com