Wednesday, November 15, 2017

Kau Kunci Hatiku Bahagian 48...

Bahagian sebelumnya:

Bahagian 48: Mengelak

Apabila Ayra sedarkan dirinya, dia mendapati persekitarannya sangat ganjil. Kelihatannya seperti hospital, membuatkan dia berfikir bagaimanakah dia boleh berada di situ? Puas dia melihat sekelilingnya apabila dia terlihat kelibat Pak Din dan Mak Iti yang sedang berbual sambil duduk di atas kerusi berhampiran dengan katil tempat dia berbaring.

"Echa dekat mana ini, ayah, mak?" tanya Ayra, lemah.

Mendengar soalan Ayra, Mak Iti dan Pak Din cepat-cepat mendekati Ayra. Mak Iti memegang tangan Ayra lalu mengusapnya lembut. Tindakan Mak Iti menyeramkan Ayra.

"Echa ada di Hospital Ampang. Tadi, Echa kemalangan. Jadi, Apai dan Fred bawa Echa ke sini. Sepanjang siang Ijal tunggu kamu, mak dan ayah datang sebelum Ijal bertolak menuju ke hotel bagi menyiapkan dirinya untuk resepsi perkahwinannya," terang Pak Din, satu persatu.

"Kemalangan? Kenapa Echa masih di sini, sedangkan Echa tak ada sebarang kecederaan?" tanya Ayra, keliru dengan apa yang berlaku.

"Betul, tetapi kandungan Echa tak berapa stabil. Tekanan darah Echa juga tinggi. Jadi, doktor ingin memantau tekanan darah Echa dalam masa tiga hari ini. Andai masih tinggi, Echa terpaksa dibedah bagi menyelamatkan Echa dan kandungan," sambung Pak Din lagi.

Ayra terdiam mendengar penjelasan Pak Din. Hatinya mula diulit rasa bimbang. Dia pasti takkan memaafkan dirinya andai sesuatu berlaku kepada kandungannya.

"Ijal kata apa bila dia dapat tahu tentang ini?" tanya Ayra lagi.

"Ijal suruh doktor buat apa yang patut. Dia mahu isteri dan anaknya selamat," jelas Pak Din lagi.

"Sayang sungguh Ijal pada Echa. Cuma, itulah. Dia tak mahu berkongsi isterinya pada umum sehingga sanggup bernikah seorang lagi," sampuk Mak Iti pula.

"Tak apa, mak, ayah. Saya faham kenapa abang buat begitu. Cuma, saya tak pasti andai Salwa betul-betul menerima saya adalah madunya," ujar Ayra, lemah.

Mendengar kata-kata Ayra, Mak Iti dan Pak Din berpandangan sesama sendiri. Ayra tahu mereka berdua keliru, namun dia tak mahu menjelaskan apa-apa tentangnya. Lebih baik semua penjelasan datangnya dari mulut Hafizal, kerana itulah resminya semenjak mereka berdua bernikah.

     *     *     *     *     *

Tiga hari kemudian, setelah diperiksa oleh Dr. Amalina, Pakar Sakit Puan yang bertugas merawatnya, doktor tersebut mengambil keputusan untuk membedah Ayra. Atas sebab itu jugalah Hafizal terpaksa menangguhkan bulan madunya bersama Salwa bagi memberikan kebenaran bagi membedah Ayra.

Pembedahan itu akan dijalankan pada jam lima petang, namun Hafizal telah berada di hospital sedari semalam. Sejak Ayra dimasukkan ke hospital, Ayra memilih untuk tidak bercakap dengan Hafizal kerana hatinya sedikit sebanyak tetap terluka dengan keputusan Hafizal mengahwini Salwa. Dia tahu Hafizal inginkan privasi di dalam perkahwinan mereka sedangkan dia sendiri bukanlah seorang manusia yang boleh menikmati privasi seperti orang lain.

Pagi itu, Ayra bangun lebih awal dari biasa. Dia memandang ke arah Hafizal yang sedang nyenyak tidur di atas kerusi malas berdekatan katilnya. Mengahwini seorang CEO membolehkan dirinya mendapat bilik di dalam wad kelas pertama kerana suaminya seorang usahawan terkemuka. Walaupun Hafizal mampu untuk menghantar isterinya ke hospital swasta, namun suaminya itu lebih selesa menghantar isterinya ke hospital kerajaan kerana baginya mana-mana hospital juga sama.

Malah, dia sendiripun lebih selesa di hospital kerajaan kerana dia tak mahu membebankan suaminya dengan perbelanjaan yang tidak perlu. Suaminya ada menyuarakan hasrat ingin memindahkannya ke KPJ Ampang Puteri andai dia tidak selesa, namun ditolak secara baik olehnya.

"Mel sudah bangun? Maaflah abang tak perasan, abang mengantuk sangat ini," ujar Hafizal tiba-tiba membuatkan Ayra tersentak dari lamunannya.

"Kalau abang tak selesa, abang baliklah. Nanti isteri abang kata apa pula, abang berumah tangga di sini," jawab Ayra, lemah.

"Mel pun isteri abang juga. Salahkah abang temani isteri abang di saat dia ingin melahirkan anak zuriat abang juga?" tanya Hafizal, tidak puas hati ditolak begitu.

"Terpulanglah, abang. Mel tak kisah," jawab Ayra, hambar.

Belum sempat Hafizal menjawab, telefon bimbit Hafizal berdering tanda panggilan masuk. Ayra hanya memandang Hafizal yang melihat skrin telefonnya sebelum dia menjawab panggilan tersebut.

"Assalamualaikum mummy, ada apa hubungi Ijal pagi-pagi buta ini?" tanya Hafizal, hairan dengan panggilan seawal jam enam pagi.

Ayra dapat melihat Hafizal menggaru kepalanya yang tidak gatal selepas itu. Entah apalah yang ibu mentuanya bebelkan itu.

"Mummy, Ijal temankan Echa. Takkanlah Ijal nak balik sekarang? Biarkan saja menantu mummy itu di situ," ujar Hafizal, bengang.

"Pergilah balik, abang. Salwa itu isteri abang juga, takkanlah mummy dengan daddy pula yang nak kena jaga dia?" ujar Ayra, rimas dengan sikap suaminya itu.

"Yalah, sekejap lagi Ijal balik. Sementara itu, biarkan saja dia di situ," jawab Hafizal sebelum memutuskan talian.

Ayra melihat sahaja Hafizal yang menyimpan telefon bimbitnya sebelum memandangnya tajam.

"Mel sengaja suruh abang balik, bukan?" tanya Hafizal dengan nada suara yang agak keras.

"Selesaikan tanggungjawab abang dulu," jawab Ayra, ringkas.

"Mel pun tanggungjawab abang juga," ujar Hafizal, serius.

"Ya, tapi Mel bukan lagi satu-satunya tanggungjawab abang," jawab Ayra, selamba.

"Apa yang Mel cuba lakukan ini?" tanya Hafizal, geram.

"Mel cuma tak mahu Salwa marahkan abang dan salahkan Mel di atas apa yang abang lakukan kepadanya. Itu sahaja," jawab Ayra, lemah.

"Itu bukan masalah yang perlu Mel fikirkan. Mel sejak akhir-akhir kerapkali melawan kata-kata abang," tegur Hafizal, tanpa sedar.

Kata-kata Hafizal membuatkan Ayra tersentap. Dengan pantas dia menarik tangan Hafizal lalu mengusap lembut sebelum menciumnya.

"Mel minta ampun, Mel tak ada niat nak derhaka pada abang. Mel cuma tak mahu abang susah kerana Mel. Kita tak tahu hati Salwa bagaimana, abang. Jangan ambil risiko walaupun abang punya kuasa," jelas Ayra ketika dia mencium tangan Hafizal.

"Kalau tak mengenangkan Mel ini bakal bersalin, abang nak saja simpan marah abang ini. Akan tetapi, siapalah abang untuk menidakkan kemaafan yang telah dipohon. Abang maafkan, dan untuk Mel, abang pulang sekarang. Petang nanti abang kembali ke sini untuk temankan Mel di dalam bilik pembedahan," jawab Hafizal lalu mengusap kepala Ayra.

Selepas Ayra melepaskan tangannya, Hafizal bertindak mencium kedua-dua belah pipi Ayra sebelum keluar dari bilik yang menempatkan Ayra itu. Ayra hanya memandang pemergian suaminya sebelum mengeluh resah.

     *     *     *     *     *

Sudah seminggu sejak pembedahan ke atas Ayra dibuat, dan lahirnya seorang bayi lelaki secara pra-matang. Kelam-kabut Hafizal selama seminggu itu untuk menguruskan perihal anaknya, termasuklah memberikan nama.

Hasil timbang tara yang dibuat sebelum ini, Hafizal membuat keputusan untuk menamakan anak lelaki sulung mereka sebagai Megat Zulfadhly bin Megat Hafizal. Entah mengapa lelaki itu begitu tertarik dengan nama tersebut dan memilih nama itu buat anaknya.

Ayra hanya bersetuju dengan semua yang dipilih oleh Hafizal kerana dia masih lagi sakit akibat pembedahan itu masih belum pulih. Dia terpaksa ditahan lebih lama kerana doktor ingin memastikan bahawa dia betul-betul sihat sebelum dia boleh pulang.

Hari ini, akhirnya Dr. Amalina telah memberikan kebenaran buatnya untuk keluar tetapi Zulfadhly harus ditahan selama tiga bulan kerana dia harus diletakkan di dalam inkubator. Pak Din dan Mak Iti telah ditugaskan untuk menjemputnya dan membawanya pulang ke rumah agam Tan Sri Mustaqim kerana Hafizal dan Salwa telah berangkat ke Paris awal pagi tadi.

Setibanya Ayra di rumah tersebut, Ayra mula menggarukan kepalanya yang tak gatal itu. Kelakuan Ayra itu menarik perhatian Mak Iti yang berada di belakangnya.

"Kenapa ini, Echa? Fikir apa itu?" tanya Mak Iti, hairan.

"Saya fikir nak tidur di mana selepas ini. Takkan nak tidur dalam bilik abang pula, nanti Salwa nak letak mana?" tanya Ayra pula.

"Tan Sri kata tadi, dia suruh Echa tidur bilik Ijal. Lagipun Salwa masih belum pindah masuk lagi, jadi lebih mudah untuk bawa terus Salwa ke bilik lain daripada nak kemaskan barang Echa untuk dipindahkan ke bilik lain," jawab Mak Iti.

"Alahai, barang Echa bukannya banyak pun mak. Boleh saja nak alihkan," ujar Ayra sambil membuka pintu rumah untuk masuk.

"Jangan nak mengada, Echa! Mummy nak Echa duduk dalam bilik Ijal. Echa itu menantu sulung mummy dan daddy, jadi hak Echa dalam rumah ini tiada siapa boleh nafikan. Faham?" arah Puan Sri Halimatun sambil memeluk tubuh berdiri di hadapan Ayra.

Ayra tergamam mendengar arahan ibu mentuanya itu. Mana mungkin dia boleh tidur di kamar milik anak lelaki wanita itu sedangkan madunya merupakan pilihan wanita itu?

"Habis itu, Salwa?" tanya Ayra, pura-pura tak mendengar penjelasan Mak Iti tadi.

"Nanti bila dia balik, baru mummy suruh bibik kemaskan bilik tetamu tingkat dua itu. Bukankah tingkat dua itu ada empat bilik? Pakailah satu buat bilik Ijal yang baru," jawab Puan Sri Halimatun, serius.

"Biarlah Echa saja yang duduk di tingkat dua," jawab Ayra.

"Awak itu dalam pantang, jangan nak mengada sangat boleh?" bentak Puan Sri Halimatun, geram.

"Tapi mummy..."

Belum sempat menghabiskan ayatnya, Puan Sri Halimatun sudah mendekatkan jari telunjuknya di bibir tanda menyuruh Ayra mendiamkan dirinya, membuatkan Ayra terus mendiamkan diri.

"Kak, tolong bawakan menantu kesayangan saya ini ke bilik Ijal. Nanti kalau apa-apa jadi, bentan pula budak ini!" arah Puan Sri Halimatun sambil berjalan menuju ke ruang tamu sebelum duduk di atas sofa berdekatan.

Betul-betul emak borek, anak rintik. Rupanya Hafizal menyalin perangai ibunya, fikir Ayra sambil berjalan dipapah oleh Mak Iti menuju ke tingkat satu.

     *     *     *     *     *

Seminggu sejak dia pulang ke rumah, seminggu jugalah dia memerap di dalam bilik ini. Baik Mak Iti, baik ibu mentuanya, keduanya tidak membenarkan dia keluar dari bilik, apatah lagi untuk membuat sebarang kerja rumah. Sudahlah Zulfadhly tiada di rumah, terasa bosan dia duduk sahaja di dalam bilik.

Sudah menjadi rutin dia pergi melawat Zulfadhly di hospital setiap pagi bagi menyerahkan susunya kepada juru rawat yang bertugas menjaga anaknya. Setakat ini kesihatan Zulfadhly agak baik, dan dia tidak mengalami apa-apa masalah kesihatan mahupun kecacatan anggota badan. Jika ianya berterusan, Zulfadhly boleh keluar dua bulan lagi.

Sedang dia mengelamun, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering tanda mesej masuk. Dia membuka aplikasi WhatsApp untuk membaca mesej yang dihantar oleh suaminya.

Me: Nanti bila abang dan Salwa sudah balik, kalau tak perlu, abang tak nak Mel keluar dari bilik. Nanti perang dunia ketiga pula.

Ayra tersenyum sinis. Inilah peluangnya untuk mengelak daripada bertemu suaminya, kerana hatinya masih belum sembuh daripada peristiwa perkahwinan kedua Hafizal. Tanpa berlengah, dia menjawab mesej tersebut.

Ayra: Baiklah, as your wish abang.

Sengaja dia tidak meluahkan rasa rindu mahupun sayangnya kepada Hafizal kerana dia ingin menunjukkan rasa marahnya kepada Hafizal. Biar padan dengan muka dia.

Tak sempat dia tutup aplikasi WhatsApp yang dibukanya tadi, Hafizal telahpun menghantar balasannya.

Me: Sudah seminggu lebih kita tak bertemu, sampai hati Mel layan abang begini.

Ayra terus menjawab mesej Hafizal itu, ringkas.

Ayra: Mel minta maaf.

Selepas itu, Ayra menutup semula aplikasi itu memandangkan tiada lagi jawapan daripada Hafizal. Tak lama selepas itu, dia pun terlelap. Apabila dia sedar, dia mendapati ada sekujur tubuh lelaki yang tidur di sebelahnya membuatkan dia terjerit kecil.

Ayra merenung lelaki itu, dan akhirnya menarik nafas lega apabila dia mengesahkan bahawa lelaki itu merupakan Hafizal. Dia hanya membalas renungan Ayra dengan wajah yang hairan.

"Kenapa, sayang?" tanya Hafizal, hairan.

"Apa abang buat di dalam bilik ini?" tanya Ayra, mula berpeluk tubuh.

"Sekarang pukul berapa?" tanya Hafizal lagi.

"Pukul 5 petang," jawab Ayra, ringkas.

"Nasib baik. Baru terlelap sejam sahaja. Sudahlah, abang nak ambil wuduk dan solat. Kalau buat di dalam bilik Salwa, nanti jiwa abang tak tenteram nak fokus pada solat abang," ujar Hafizal sebelum berjalan menuju ke arah bilik air.

Ayra terpinga-pinga kehairanan mendengar penjelasan Hafizal. Apakah maksud Hafizal di sebalik kata-katanya? Apakah ketiadaan Hafizal ini dapat dihidu oleh Salwa nanti?

*BERSAMBUNG*

0 comments:

Cuba baca yang ini:

 
design by suckmylolly.com